Selasa, 18 Oktober 2016

Ulama dan La Adri

1. Sufyan al-Thauri (w. 161H)

- Al-Hussein bin Waqid berkata: “Aku berasa ragu-ragu tentang suatu masalah ketika aku berada di Merv [Turkmenistan] dan aku mendapati tidak ada seorang pun yang mengetahuinya. Maka aku pergi ke Iraq lalu aku bertanya kepada Sufyan al-Thauri. Beliau menjawab: Wahai Hussein, aku tidak mengetahuinya -yakni selepas beliau terdiam selama beberapa ketika-. Aku berkata kepadanya: Kamu katakan bahawa kamu tidak tahu sedangkan kamu adalah imam. Beliau menjawab: Aku kata sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu ‘Umar: Jika ditanya tentang sesuatu yang tidak diketahui maka jawablah: Aku tidak tahu. Lalu aku bertemu dengan Abu Hanifah maka aku bertanya kepadanya. Beliau lalu menjawabnya. Aku menceritakan kepada Sufyan lalu dia bertanya: Apa yang beliau katakan kepada kamu? Aku katakan: Beliau menjawab begini dan begitu. Beliau lalu terdiam seketika lalu berkata: Wahai Hussein, benar apa yang dikatakan oleh Abu Hanifah kepada kamu.”

- Marwan bin Mu’awiyah berkata: “Aku menyaksikan bahawa Sufyan al-Thauri pernah ditanya tentang satu masalah berkenaan talak lalu beliau mendiamkan diri.” Beliau lalu berkata: “Sesungguhnya ia adalah satu kelegaan [yakni lega kerana tidak perlu menjawab soalan].”

2. Imam Malik bin Anas (w. 179H)

-Abdul Rahman bin Ghazwan berkata: “Kadang-kadang beliau ditanya tentang 50 buah persoalan dan beliau tidak jawab walaupun satu.”

- Al-Fadl bin Dukain berkata: “Aku tidak pernah melihat orang lebih banyak berkata ‘aku tidak tahu’ lebih daripada Malik bin Anas.”

- Al-Haitham bin Jamil al-Anthaki berkata: “Aku melihat Malik ditanya tentang 48 buah masalah. Beliau menjawab 32 buah masalah daripadanya dengan berkata: “Aku tidak tahu.”

- Khalid bin Khidasy al-Muhallabi berkata: “Aku datang dari Iraq [ke Madinah] untuk bertemu dengan Malik bin Anas untuk menanyakan 40 buah masalah. Maka aku bertanya kepadanya. Beliau tidak menjawab masalah-masalah tersebut kecuali hanya lima masalah.”

- Abdullah bin Wahb berkata: “Malik pernah berkata kepadaku: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam adalah imam bagi kaum Muslimin. Apabila baginda ditanya tentang sesuatu, baginda tidak menjawab sehinggalah turun kepadanya wahyu dari langit.”

- Seseorang pernah berkata kepadanya: “Kamu wahai Abu Abdillah [gelaran Imam Malik] berkata: Aku tidak tahu. Maka siapa yang tahu?” Beliau menjawab: “Kamu tidak kenal aku! Siapakah aku? Apakah kedudukan aku sehingga aku tahu apa yang kamu tidak tahu? Ibnu ‘Umar pernah berkata ‘aku tidak tahu’. Maka, siapakah aku [nak dibandingkan dengan Ibnu ‘Umar]?”

3. Sufyan bin ‘Uyainah (w. 198 H)

- Ahmad bin Hanbal berkata: “Aku tidak pernah melihat orang seperti Ibnu ‘Uyainah dalam bidang fatwa. Sebaik-baik fatwa adalah daripadanya. Beliau sangat mudah untuk berkata: Aku tidak tahu.”

- Ali bin al-Madini berkata: “Sufyan jika ditanya tentang sesuatu beliau akan berkata: Aku tidak layak [untuk menjawab]. Maka beliau ditanya: Kepada siapa kami hendak bertanya? Beliau menjawab: Tanyalah pada ulama dan mohonlah daripada Allah petunjuk.”

4. Al-Imam al-Syafi’e (w. 204 H)

- Al-Syafi’e ditanya tentang satu masalah lalu beliau mendiamkan diri. Penanya soalan lalu berkata: “Tidakkah kamu mahu menjawab. Semoga Allah merahmatimu.” Maka beliau menjawab: “Aku tidak akan menjawab sehinggalah aku mengetahui adakah lebih baik aku diam atau aku menjawab.”

5. Ahmad bin Hanbal (w. 241 H)

- Abu Daud berkata: “Aku tidak mampu untuk mengira berapa kali aku mendengar Ahmad bin Hanbal ditanya tentang sesuatu masalah yang banyak diperselisihkan lalu beliau menjawab: Aku tidak tahu.”

- Abdullah bin Ahmad bin Hanbal berkata: “Aku banyak kali mendengar ayahku apabila ditanya tentang suatu masalah maka beliau menjawab: Aku tidak tahu. Beliau akan bertawaquf [mendiamkan diri] jika masalah tersebut ada khilaf dan banyak kali beliau akan berkata: Tanyalah orang lain. Jika beliau ditanya: Kepada siapa kami hendak bertanya? Beliau akan menjawab: Tanyalah kepada ulama.”

-Al-Ulama’ Wa ‘Ilm La Adri oleh Abdul Rahman Yusuf al-Farhan-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan