Sabtu, 22 Oktober 2016

Hadis: Syafaat penghafal al-Quran

Hadis ‘penghafal al-Quran akan memberi syafaat kepada 10 orang ahli keluarganya’ diriwayatkan oleh 3 orang sahabat:

1. Jabir

لِحَامِلُ الْقُرْآنِ إِذَا أَحِلَ حَلَالَهُ، وَحَرَّمَ حَرَامَهُ أَنْ يَشْفَعَ فِي عَشْرَةٍ مِنْ أَهْلِ بَيْتَهُ، كُلُّهُمْ قَدْ وَجَبَتْ لَهُ النَّارُ

“Untuk penghafal al-Quran, jika dia menghalalkan apa yang dihalalkan oleh al-Quran dan mengharamkan apa yang diharamkan olehnya, maka dia dapat memberi syafaat kepada 10 orang ahli keluarganya yang mana [sebelum itu] telah wajib bagi mereka neraka.”

Riwayat al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Ausath dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman dengan sanad yang daif.

Kata al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid: “Dalam sanadnya ada Ja’far bin al-Harith dan dia adalah daif.”

2. Ali bin Abi Thalib

مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ فَاسْتَظْهَرَهُ، شُفِّعَ فِي عَشْرَةٍ مِنْ أَهْلِ بَيْتِهِ قَدْ وَجَبَتْ لَهُمِ النَّارُ

“Sesiapa yang membaca al-Quran dan menghafalnya, dia dapat memberi syafaat kepada 10 orang ahli keluarganya yang mana mereka itu telah wajib bagi mereka neraka.”

Riwayat al-Termizi, Ahmad dalam Musnad, Ibnu Majah dan lain-lain melalui jalur perawi Hafs bin Sulaiman daripada hadis ‘Ali bin Abi Thalib.

Kata al-Termizi: “Tidak ada baginya sanad yang sahih. Hafs bin Sulaiman, Abu ‘Umar Bazzar Kufi didaifkan dalam hadis.”

Hafs bin Sulaiman dijarh dengan berat oleh para ulama hadis:

a. Al-Bukhari: “Ahli hadis meninggalkan hadisnya [تركوه].”

b. Ibnu Ma’in: “Tidak thiqah [ليس بثقة].”

c. Abu Hatim: “Matruk dan bukan seorang yang benar [متروك لا يصدق].”

d. Ibnu Hajar: “Matruk al-Hadis walaupun diakui keilmuannya dalam qiraat [متروك الحديث مع إمامته فى القراءة].”

Maka sanad ini sangat daif.

3. Aisyah

مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَحَفِظَهُ أَدْخَلَهُ اللَّهُ الْجَنَّةَ، وَشَفَّعَهُ فِي عَشَرَةٍ مِنْ أَهْلِ بَيْتِهِ كُلٌّ قَدْ أُوجِبَ النَّارَ

“Sesiapa yang mempelajari al-Quran dan menghafalnya, Allah akan memasukkannya ke dalam syurga dan dia dapat memberi syafaat kepada 10 orang ahli keluarganya yang mana mereka itu telah wajib bagi mereka neraka.”

Riwayat al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad melalui jalur perawi Ahmad bin Muhammad bin al-Hussein al-Saqathi daripada hadis ‘Aisyah.

Kata al-Khatib al-Baghdadi: “Isnadnya semua [perawinya] adalah thiqah kecuali al-Saqathi dan hadis [ini] tidak sabit [palsu].”

Penilaian al-Khatib al-Baghdadi diakui oleh Ibnu Jauzi dalam al-‘Ilal al-Mutanahiyyah dan al-Sayuthi dalam al-Ziyadat ‘ala al-Maudhu’at.”

Kesimpulannya, hadis tersebut hanya daif sahaja berdasarkan riwayat Jabir.

1 ulasan: