Rabu, 26 Februari 2020

Solat Imam Ahmad bin Hanbal


 1 – Kata guru beliau iaitu Imam Abdul Razzaq al-San’ani tentang solat beliau: “Ahmad bin Hanbal apabila beliau bersolat akan mengingatkan aku tentang keperibadian golongan salaf.”

2 – Kata anak beliau iaitu Abdullah bin Ahmad bin Hanbal: “Bapaku selama sehari semalam akan bersolat sebanyak 300 rakaat. Apabila beliau jatuh sakit akibat dipukul (ketika peristiwa Khalq al-Quran) yang menyebabkan beliau semakin lemah, beliau bersolat selama sehari semalam sebanyak 150 rakaat. Ketika itu usia beliau sudah hampir 80 tahun.”

3 - Kata Abdullah bin Ahmad bin Hanbal lagi: “Aku melihat bapaku apabila beliau semakin tua dan berusia beliau semakin bersungguh-sungguh dalam membaca al-Quran dan membanyakkan solat (sunat) antara Zohor dan Asar. Apabila aku menjeguk beliau, beliau berhenti daripada solatnya. Kadang-kala beliau bercakap-cakap dan kadang kala beliau diam sahaja. Apabila aku melihat keadaan beliau sebegitu, maka aku keluar dan beliau akan menyambung semula solatnya.”

[Imam Ahmad buat sebegitu supaya ibadatnya ikhlas kerana Allah dan tidak dirosakkan dengan perasaan riak dan ujub].

4 – Ibrahim bin Syammas berkata: “Aku mengenali Ahmad bin Hanbal – ketika itu beliau masih kecil -, beliau seorang yang menghidupkan malam (dengan ibadat).”

5 – Kadang-kala Imam Ahmad bin Hanbal mengutamakan muzakarah ilmu hadis dan fiqh melebihi solat sunat. Abdullah bin Ahmad bin Hanbal berkata: “Apabila Abu Zur’ah berkunjung dan tinggal bersama ayahku, beliau banyak bermuzakarah bersamanya. Suatu hari aku mendengar bapaku berkata: “Aku tidak solat langsung pada hari ini melainkan solat fardu. Aku lebih mengutamakan muzakarahku bersama Abu Zur’ah berbanding solat sunatku.”

Rujukan:

- Ahmad bin Hanbal Imam Ahl al-Sunnah karangan Abdul Ghani al-Daqar