Thursday, February 25, 2016

Hadis: Syurga di bawah telapak kaki ibu

عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ جَاهِمَةَ السَّلَمِيِّ، أَنَّ جَاهِمَةَ جَاءَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَرَدْتُ أَنْ أَغْزُوَ وَقَدْ جِئْتُ أَسْتَشِيرُكَ، فَقَالَ: هَلْ لَكَ مِنْ أُمٍّ؟. قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: فَالْزَمْهَا، فَإِنَّ الْجَنَّةَ تَحْتَ رِجْلَيْهَا

Dari Muawiyah bin Jahimah As-Salami, (katanya) : "Bahawasanya Jahimah datang kepada Nabi saw dan bertanya, ‘Wahai Rasululullah, aku ingin berperang dan aku datang untuk meminta pendapat engkau?’ Rasulullah saw bertanya, “Apakah engkau masih memiliki ibu?” Ia menjawab, ‘Ya.’ Maka baginda sallahu 'alaihi wasallam bersabda, “Maka tetaplah bersamanya, kerana sesungguhnya syurga itu di bawah kedua kakinya.” 

Riwayat al-Nasa’ie, Ibnu Syahin dalam al-Targhib, al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman, al-Hakim dalam al-Mustadrak dan lain-lain.

Disahihkan oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi.

Dalam riwayat Ahmad dengan lafaz:

الْزَمْهَا فَإِنَّ الْجَنَّةَ عِنْدَ رِجْلِهَا

Dalam riwayat al-Thabarani dalam Mu’jam al-Kabir dengan sanad yang daif (sebagaimana kata al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid) dengan lafaz:

عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ جَاهِمَةَ، عَنْ أَبِيهِ قَالَ: أَتَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَسْتَشِيرُهُ فِي الْجِهَادِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَلَكَ وَالِدَانِ؟ قُلْتُ: نَعَمْ، قَالَ: الْزَمْهُمَا فَإِنَّ الْجَنَّةَ تَحْتَ أَرْجُلِهِمَا

Dari Muawiyah bin Jahimah  daripada bapanya, beliau berkata: "Aku datang kepada Nabi saw untuk meminta pendapat untuk berjihad. Rasulullah saw bertanya, “Apakah engkau masih memiliki ibu bapa?” Aku menjawab, ‘Ya.’ Maka baginda sallahu 'alaihi wasallam bersabda, “Maka tetaplah bersama mereka, kerana sesungguhnya syurga itu di bawah kedua kaki mereka berdua.” 

Monday, February 22, 2016

Perawi syiah dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim?

Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata dalam Tahzib al-Tahzib (1/53):

“Cenderung kepada syiah (tashayyu’) pada kebiasaan ulama mutaqaddimin (terdahulu) adalah sesiapa yang beriktikad melebihkan Ali ke atas Uthman radiallahu ‘anhuma, Ali adalah adalah seorang yang benar dalam peperangannya (perang Jamal dan perang Siffin), sesiapa yang berselisih dengan beliau adalah yang salah berserta mendahulu dan melebihkan dua orang syeikh (Abu Bakar dan Umar). Mungkin juga mereka beriktikad bahawa Ali adalah sebaik-baik makhluk selepas Rasulullah sallahu’alaihi wasallam. Dan jika seseorang yang beriktikad sedemian itu adalah seorang yang warak, beragama, jujur dan mujtahid maka tidak ditolak periwayatannya disebabkan iktikadnya itu, lebih-lebih lagi dia tidak menyeru kepada iktikadnya itu.

Adapun tashayyu’ pada kebiasaan ulama mutaakhirin (terkemudian) adalah golongan Rafidhah (Syiah yang menolak kepimpinan Abu Bakar dan Umar) semata-mata. Maka tidak diterima golongan Rafidhah yang melampau, dan tidak dihormati mereka itu.”

Cenderung kepada syiah semata-mata tidak menjadi keaiban (jarh) kepada perawi

Tidak terselamat ramai daripada ahli hadis dan perawi hadis yang hebat-hebat daripada tuduhan cenderung kepada syiah. Pada pemulaannya, mereka dikenali dengan rasa cinta mereka kepada Ali dan melebihkannya ke atas Uthman radiallahu ‘anhuma. Sesiapa yang berkeyakinan sebegini tanpa mencela salah seorang daripada sahabat dan tidak mengkafirkan mereka, maka urusannya mudah kerana ianya masih tertakluk dalam ruang lingkup ijtihad padanya dan tidak menghalang ahli hadis untuk meriwayatkan daripadanya.

Sebagai contoh:

1. Ali bin al-Munzir al-Thariqi

Kata al-Nasaie mengenai beliau: “Seorang syiah yang tulen dan beliau thiqah (dapat dipercayai).”

Kata Ibnu Abi Hatim: “Soduq (seorang yang benar) dan dapat dipercayai.” Mizan al-I’tidal (5/191)

2. Ali bin Hasyim.

Kata Abu Daud: “Thabt (sabit periwayatannya) dan cenderung kepada syiah.”

Kata al-Bukhari: “Beliau dan bapanya seorang yang ekstrem dalam mazhabnya.”

Walaupun begitu, Muslim meriwayatkan daripadanya.

Kata al-Zahabi: “Disebabkan sifat ekstremnya maka al-Bukhari meninggalkan riwayat beliau. Beliau (al-Bukhari) banyak menjauhi periwayatan  hadis daripada golongan Rafidhah kerana beliau bimbang sikap kuat beragama mereka itu hanya sekadar taqiyyah (pura-pura). Dan tidak dilihat bahawa beliau menjauhi periwayatan golongan Khawarij dan Jahmiyyah kerana walaupun bidaah yang mereka lakukan, mereka masih melazimi sikap benar.” Mizan al-I’tidal (5/194)

3. Fithr bin Khalifah

Komen Ahmad: “Thiqah, salih al-hadis (baik hadisnya), hadisnya adalah hadis seorang lelaki yang baik kecuali dia cenderung kepada syiah.”  Mizan al-I’tidal (5/441)

4. Khalid bin Makhlad al-Qathawani, Abu al-Haitham al-Jabali.

Al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud meriwayatkan daripada beliau kecuali beliau cenderung kepada syiah.

Kata al-Ajurri daripada Abu Daud: “Soduq (seorang yang benar) tetapi cenderung kepada syiah.”

Kata Ibnu Sa’ad: “Seorang yang cenderung kepada syiah, mungkar hadis, seorang yang melampau dalam tashayyu’nya, ditulis hadis daripadanya untuk keperluan sahaja.”

Kata al-‘Ijli: “Thiqah, sedikit cenderung kepada syiah dan banyak meriwayatkan hadis.”

Kata al-Jurjani: “Seorang yang suka menzahirkan cercaan disebabkan buruk mazhabnya.” Tahzib al-Tahzib (1/531)

Perawi syiah tidak semestinya ditolak

Cenderung kepada syiah sahaja tidak mencukupi untuk menjarhkah seorang perawi. Jarh hanya berlaku pada perawi yang menghimpunkan antara sifat tashayyu’ dan sifat pendusta sebagaimana kata Abu Nu’aim pada seorang perawi yang bernama Abdul Jabbar bin al-‘Abbas al-Syami al-Kufi: “Tidak ada di Kufah seorang yang lebih pendusta daripadanya dan dia seorang yang tashayyu’.”

Rujukan

1. Mizan al-I’tidal, al-Zahabi, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah – Beirut.

2. Mausu’ah ‘Ulum al-Hadis wa Fununuhu, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, Dar Ibnu Kathir - Damsyik.

3. Tahzib al-Tahzib, Ibnu Hajar al-Asqalani, Muassasah al-Risalah – Beirut.


Saturday, February 6, 2016

Athar: Kamu tidak mengenali seseorang sehinggalah kamu pernah bermusafir bersamannya

فعند أبي القاسم البغوي بإسناد حسن والخطيب في الكفاية وغيرهم عن خرشة بن أبحر قال شهد عن عمر بن الخطاب رجل شهادة ؛ فقال له : لست أعرفك ولا يضرك أن لا أعرفك فأت بمن يعرفك . فقال رجلٌ من القوم : أنا أعرفه . فقال بأي شيء تعرفه ؟ قال : بالعدالة والفضل . قال : فهو جارك الأدنى الذي تعرف ليله ونهاره ومدخله ومخرجه ؟ قال : لا . قال : فمعاملك في الدينار والدرهم اللذين يستدل بهما على الورع ؟ قال : لا . قال : فرفيقك في السفر الذي يستدل به على مكارم الأخلاق ؟ قال : لا .قال : لست تعرفه . ثم قال للرجل : ائت بمن يعرفك

Terjemahan

Diriwayatkan oleh Abi Qasim al-Baghawi dengan sanad yang hasan dan al-Khatib dalam al-Kifayah dan selain mereka daripada Kharasah bin al-Hurr, beliau berkata:

“Seorang lelaki memberi kesaksian kepada Umar bin al-Khattab. Maka Umar berkata padanya: 

“Aku tidak mengenali kamu. Dan tidak memberi mudarat kepada kamu kerana aku tidak mengenalimu. Maka datangkan seseorang yang mengenali kamu.” 

Berkata seorang lelaki: “Aku mengenalinya.” 

Umar berkata: “Dengan (sifat) apakah kamu mengenalinya.” 

Lelaki tersebut menjawab: “Dia seorang yang adil dan mempunyai kelebihan.” 

Umar berkata: “Adakah dia adalah jiran yang berada di bawah kamu yang kamu mengetahui malamnya dan siangnya serta tempat masuknya dan tempat keluarnya?”

 Lelaki tersebut menjawab: “Tidak.” 

Umar berkata: “Adakah kamu berurusan dengannya berkaitan dinar dan dirham yang menunjukkan bahawa dia seorang yang warak?”

 Lelaki tersebut menjawab: “Tidak.” 

Umar bertanya lagi: “Adakah dia pernah menjadi teman kamu ketika bermusafir yang menununjukkan bahawa dia adalah seorang yang mempunyai akhlak yang mulia?” 

Lelaki tersebut menjawab: “Tidak.” 

Umar berkata: “Kamu tidak mengenalinya.” 

Dikatakan kepada lelaki yang memberi kesaksian tersebut: “Datangkan seseorang yang mengenali kamu.”

ورواه ابن أبي الدنيا في الصمت بلفظ : أن عمر رأى رجلا يثني على رجل فقال : أسافرت معه ؟ قال : لا . قال أخالطته قال : لا . قال : والله الذي لا إله إلا هو ما تعرفه .

Terjemahan

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Dunya dalam al-Samt dengan lafaz:

“Umar melihat seorang lelaki memuji seorang lelaki yang lain. Maka Umar bertanya padanya: 

“Adakah kamu pernah bermusafir bersamanya?” 

Lelaki tersebut menjawab: “Tidak.” 

Umar bertanya lagi: “Adakah kamu pernah bergaul dengannya? 

Lelaki tersebut menjawab: “Tidak.” 

Umar berkata: Demi Allah yang tiada Tuhan selainnya, kamu tidak mengenalinya.”

وروى الدينوري في المجالسة عن عبدالله العمري قال : قال رجل لعمر إن فلانا رجل صدق فقال له هل سافرت معه ؟ قال : لا . قال : فهل كانت بينك وبينه معاملة ؟ قال : لا . قال فهل ائتمنتَه على شيء ؟ قال : لا . قال : فأنت الذي لا علم لك به أُراك رأيتَه يرفع رأسه ويخفضه في المسجد

Terjemahan

Diriwayatkan oleh al-Dainuri dalam al-Majalisah daripada Abdullah al-‘Umri, beliau berkata:

“Seorang lelaki berkata pada Umar bahawa si fulan itu adalah seorang yang jujur. Maka Umar berkata padanya: 

“Adakah kamu pernah bermusafir bersamanya?” 

Lelaki tersebut menjawab: “Tidak.”  

Umar bertanya lagi: “Adakah kamu pernah berurusan dengannya?” 

Lelaki tersebut menjawab: “Tidak.” 

Umar bertanya lagi: “Adakah kamu pernah mengamanahkan padanya sesuatu?” 

Lelaki tersebut menjawab: “Tidak.” 

Maka Umar berkata: “Kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Aku rasa kamu sekadar pernah melihat dia mengangkat dan menundukkan kepalanya di masjid.”

Hadis palsu: hadis abjad

تَعَلَّمُوا أَبْجَدَ وَتَفْسِيِرَهَا، وَيْلٌ لِعَالِمٍ جَهِلَ تَفْسِيرَهَا، فِيهَا الأَعَاجِيبُ أَمَّا الأَلِفُ فَإِنَّهُ إِلا اللَّهُ، وَحَرْفٌ مِنْ أَسْمَاءِ اللَّهِ، وَالْبَاءُ بَهَاءُ اللَّهِ، وَالْجِيمُ جَنَّةُ اللَّهُ، وَالدَّالُ دِينُ اللَّهِ، وَذكر لكل حرف شَيْئا

Terjemahan

“Pelajarilah abjad dan tafsirannya. Kecelakaan bagi seorang alim yang jahil tentang tafsirannya. Padanya ada keajaiban. Adapun huruf alif ianya adalah illa Allah dan satu huruf daripada nama-mana Allah. Huruf ba’ adalah baha Allah. Huruf jim adalah jannatullah. Huruf dal adalah dinullah. Dan disebutkan bagi setiap huruf itu sesuatu (tafsirannya).”

Riwayat al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus daripada Ibnu ‘Abbas.

Komen Ibnu ‘Arraq al-Kinanni dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah:

“Dalam sanadnya terdapat Muhammad bin Ziyad al-Yasykuri (مُحَمَّد بن زِيَاد الْيَشْكُرِي).  Daripada jalannya  dikeluarkan juga oleh Ibnu Fanjawaih dalam kitab al-Mu’allimin kecuali dia menjadikannya daripada hadis Anas.”

Muhammad bin Ziyad al-Yasykuri dinilai sebagai pendusta oleh ulama sebagaimana berikut:

1. Imam Ahmad: “Pendusta, buta sebelah matanya, seorang pereka hadis.”

2. Ibnu Ma’in: “Pendusta.”

3. Abu Zur’ah: “Pendusta.”

4. Al-Daraqutni: “Pendusta.”

5. Ibnu al-Madini: “Aku telah lemparkan apa yang aku telah tulis darinya. Beliau (Ibnu al-Madini) menilainya sangat daif.”

6. Al-Bukhari: “Matruk.”

6. Ibnu Hajar: “Pendusta.”