Selasa, 23 Februari 2016

Perawi syiah dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim?

Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata dalam Tahzib al-Tahzib (1/53):

“Cenderung kepada syiah (tashayyu’) pada kebiasaan ulama mutaqaddimin (terdahulu) adalah sesiapa yang beriktikad melebihkan Ali ke atas Uthman radiallahu ‘anhuma, Ali adalah adalah seorang yang benar dalam peperangannya (perang Jamal dan perang Siffin), sesiapa yang berselisih dengan beliau adalah yang salah berserta mendahulu dan melebihkan dua orang syeikh (Abu Bakar dan Umar). Mungkin juga mereka beriktikad bahawa Ali adalah sebaik-baik makhluk selepas Rasulullah sallahu’alaihi wasallam. Dan jika seseorang yang beriktikad sedemian itu adalah seorang yang warak, beragama, jujur dan mujtahid maka tidak ditolak periwayatannya disebabkan iktikadnya itu, lebih-lebih lagi dia tidak menyeru kepada iktikadnya itu.

Adapun tashayyu’ pada kebiasaan ulama mutaakhirin (terkemudian) adalah golongan Rafidhah (Syiah yang menolak kepimpinan Abu Bakar dan Umar) semata-mata. Maka tidak diterima golongan Rafidhah yang melampau, dan tidak dihormati mereka itu.”

Cenderung kepada syiah semata-mata tidak menjadi keaiban (jarh) kepada perawi

Tidak terselamat ramai daripada ahli hadis dan perawi hadis yang hebat-hebat daripada tuduhan cenderung kepada syiah. Pada pemulaannya, mereka dikenali dengan rasa cinta mereka kepada Ali dan melebihkannya ke atas Uthman radiallahu ‘anhuma. Sesiapa yang berkeyakinan sebegini tanpa mencela salah seorang daripada sahabat dan tidak mengkafirkan mereka, maka urusannya mudah kerana ianya masih tertakluk dalam ruang lingkup ijtihad padanya dan tidak menghalang ahli hadis untuk meriwayatkan daripadanya.

Sebagai contoh:

1. Ali bin al-Munzir al-Thariqi

Kata al-Nasaie mengenai beliau: “Seorang syiah yang tulen dan beliau thiqah (dapat dipercayai).”

Kata Ibnu Abi Hatim: “Soduq (seorang yang benar) dan dapat dipercayai.” Mizan al-I’tidal (5/191)

2. Ali bin Hasyim.

Kata Abu Daud: “Thabt (sabit periwayatannya) dan cenderung kepada syiah.”

Kata al-Bukhari: “Beliau dan bapanya seorang yang ekstrem dalam mazhabnya.”

Walaupun begitu, Muslim meriwayatkan daripadanya.

Kata al-Zahabi: “Disebabkan sifat ekstremnya maka al-Bukhari meninggalkan riwayat beliau. Beliau (al-Bukhari) banyak menjauhi periwayatan  hadis daripada golongan Rafidhah kerana beliau bimbang sikap kuat beragama mereka itu hanya sekadar taqiyyah (pura-pura). Dan tidak dilihat bahawa beliau menjauhi periwayatan golongan Khawarij dan Jahmiyyah kerana walaupun bidaah yang mereka lakukan, mereka masih melazimi sikap benar.” Mizan al-I’tidal (5/194)

3. Fithr bin Khalifah

Komen Ahmad: “Thiqah, salih al-hadis (baik hadisnya), hadisnya adalah hadis seorang lelaki yang baik kecuali dia cenderung kepada syiah.”  Mizan al-I’tidal (5/441)

4. Khalid bin Makhlad al-Qathawani, Abu al-Haitham al-Jabali.

Al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud meriwayatkan daripada beliau kecuali beliau cenderung kepada syiah.

Kata al-Ajurri daripada Abu Daud: “Soduq (seorang yang benar) tetapi cenderung kepada syiah.”

Kata Ibnu Sa’ad: “Seorang yang cenderung kepada syiah, mungkar hadis, seorang yang melampau dalam tashayyu’nya, ditulis hadis daripadanya untuk keperluan sahaja.”

Kata al-‘Ijli: “Thiqah, sedikit cenderung kepada syiah dan banyak meriwayatkan hadis.”

Kata al-Jurjani: “Seorang yang suka menzahirkan cercaan disebabkan buruk mazhabnya.” Tahzib al-Tahzib (1/531)

Perawi syiah tidak semestinya ditolak

Cenderung kepada syiah sahaja tidak mencukupi untuk menjarhkah seorang perawi. Jarh hanya berlaku pada perawi yang menghimpunkan antara sifat tashayyu’ dan sifat pendusta sebagaimana kata Abu Nu’aim pada seorang perawi yang bernama Abdul Jabbar bin al-‘Abbas al-Syami al-Kufi: “Tidak ada di Kufah seorang yang lebih pendusta daripadanya dan dia seorang yang tashayyu’.”

Rujukan

1. Mizan al-I’tidal, al-Zahabi, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah – Beirut.

2. Mausu’ah ‘Ulum al-Hadis wa Fununuhu, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, Dar Ibnu Kathir - Damsyik.

3. Tahzib al-Tahzib, Ibnu Hajar al-Asqalani, Muassasah al-Risalah – Beirut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan