Tuesday, November 11, 2014

Kucing dalam Islam



Abu Hurairah

Siapa di antara kita yang mengenali sahabat Nabi s.a.w yang bernama Abdul Rahman bin Saqr? Sudah pasti ramai di antara kita yang tidak mengenali nama ini. Tetapi apabila disebut gelarannya iaitu Abu Hurairah (19 tahun sebelum Hijrah – 57 Hijrah) sudah pasti ramai di antara kita yang mengenali sahabat nabi yang agung ini.

Abdul Rahman bin Saqr merupakan nama sebenar kepada Abu Hurairah walaupun terdapat perbezaan pendapat tentang nama sebenar bagi beliau. Beliau merupakan sahabat nabi s.a.w yang paling banyak menghafaz dan meriwayatkan hadis iaitu sebanyak 5374 buah hadis.

Apakah sebab beliau digelar Abu Hurairah (bapa kucing)?

Ibnu Ishak berkata: Berkata kepadaku oleh sebahagian sahabatku daripada Abu Hurairah, beliau berkata: “Namaku ketika jahiliyyah Abdul Syams bin Saqr. Maka Rasulullah s.a.w menamakanku dengan nama Abdul Rahman. Aku digelar Abu Hurairah kerana apabila aku terjumpa kucing, maka aku membawanya di dalam lengan bajuku. Maka digelarkan bagiku Abu Hurairah (bapa kucing).”

Dikeluarkan oleh at-Termizi (3840) dengan sanad yang hasan daripada Ubaidillah bin Abi Rafi’, beliau berkata: “Aku bertanya kepada Abu Hurairah, mengapa engkau digelar Abu Hurairah? Beliau menjawab: Ketika aku mengembala kambing keluargaku, aku membawa seekor anak kucing bersamaku. Aku meletakkannya di atas pokok pada waktu malam dan ketika waktu siang aku membawanya bersamaku dan aku bermain dengannya. Maka aku digelar Abu Hurairah.”

(Ibnu Hajar al-Asqalani, Al-Isobah Fi Tamyiz As-Sahabah, jilid 13, ms. 30, cetakan Dar ‘Alim al-Kutub)

Kucing dalam bahasa Arab

Dalam bahasa Arab, kucing dipanggil dengan pelbagai nama, antaranya:

1. اَلْهِرٌّ (Al-Hirrun)

2. اَلْبَسٌّ (Al-Bassun)

3. اَلْقِطٌّ (Al-Qittun)

4. اَلْسِّنَّوْرٌ (As-Sinnaur)

5. الضَّيْوَنٌ (Ad-Dhaiwan)

Hadis tentang kucing

1. عَنْ كَبْشَةَ بِنْتِ كَعْبٍ وَكَانَتْ تَحْتَ بَعْضِ وَلَدِ أَبِي قَتَادَةَ أَنَّهَا صَبَّتْ لِأَبِي قَتَادَةَ مَاءً يَتَوَضَّأُ بِهِ فَجَاءَتْ هِرَّةٌ تَشْرَبُ فَأَصْغَى لَهَا الْإِنَاءَ فَجَعَلْتُ أَنْظُرُ إِلَيْهِ فَقَالَ يَا ابْنَةَ أَخِي أَتَعْجَبِينَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ هِيَ مِنْ الطَّوَّافِينَ أَوْ الطَّوَّافَاتِ

Terjemahan:

Daripada Kabshah bt Ka’ab ibn Malik meriwayatkan: "Pada suatu hari Abu Qatadah berada di dalam rumah, lalu saya menyediakan baginya sebekas air untuk dijadikan sebagai air wuduk. Kemudian datang seekor kucing dan ia menjilat air tersebut. Abu Qatadah membiarkan sahaja kucing itu menjilat air daripada bekas tersebut." Kabshah meneruskan kata-katanya, "Abu Qatadah perasan yang saya memandang kepadanya, lalu dia bertanya, adakah kamu merasa pelik wahai anak saudaraku?” Saya menjawab, “Ya”. Abu Qatadah menjelaskan, "Rasulullah saw pernah bersabda, “Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia adalah binatang yang berkeliaran di sekeliling kamu."

Hadis sahih, riwayat Malik dalam al-Muwatta’ (46) dengan riwayat al-Laithi, asy-Syafi’e dalam Musnadnya (7), Ahmad 5/303, Abu Daud (75), Ibnu Majah (367), at-Termizi (92), an-Nasa’ie 1/55, Ibnu Jarud (60), Ibnu Khuzaimah (104), Ibnu Hibban (1299) dan al-Hakim 1/160.

Syarah:

1. Boleh bersuci dan mengambil wuduk daripada air lebihan minum kucing kerana ianya tidak najis.

2. Hendaklah berlaku ihsan kepada haiwan dengan memberi makan dan minum kepada mereka dan janganlah menyakiti dan berbuat zalim kepada mereka.

 .2عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كُنْتُ أَتَوَضَّأُ أَنَا وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ إِنَاءٍ وَاحِدٍ قَدْ أَصَابَتْ مِنْهُ الْهِرَّةُ قَبْلَ ذَلِكَ.

Terjemahan:

Daripada Aisyah, beliau berkata: “Aku dan Rasulullah s.a.w mengambil wuduk daripada bekas air yang sama yang merupakan bekas air yang dijilat kucing sebelum itu.”

Hadis hasan, riwayat Ibnu Majah (368), Abdul Razak dalam al-Musannaf (356), ad-Daraqutni (214), (215), at-Tahawi dalam Syarah Ma’ani al-Athar 1/19 dan dalam Syarah Musykil al-Athar (2651) dan (2652).

 Syarah:

1. Hadis ini juga sama seperti hadis nombor satu, menunjukkan lebihan air minuman kucing adalah suci.

3. عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ، قَالَ :الْهِرَّةُ لَا تَقْطَعُ الصَّلَاةَ لِأَنَّهَا مِنْ مَتَاعِ الْبَيْتِ.

Terjemahan:

Daripada Abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: “Kucing tidak memutuskan (kekhusyukan) solat kerana sesungguhnya ianya adalah daripada perhiasan rumah.”

Hadis mauquf (yakni hadis ini merupakan kata-kata Abu Hurairah bukan kata-kata Rasulullah s.a.w), riwayat Ibnu Majah (369), Ibnu Khuzaimah (828), al-Hakim dalam Mustadrak 1/254-255 dan Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil 4/1586.

Syarah:

1. Maksud memutuskan di dalam hadis ini bukan bermaksud membatalkan solat tapi memutuskan kekhusyukan solat.

4. عَنْ جَابِرٍ قَالَ نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَكْلِ الْهِرَّةِ وَثَمَنِهَا

Terjemahan:

Daripada Jabir, beliau berkata: “Rasulullah s.a.w melarang memakan kucing dan jual belinya.”

Hadis sahih, riwayat Abu Daud (3480), (3807), at-Termizi (1326), dan Ibnu Majah (3250).

Syarah:

1. Hadis ini merupakan dalil keharaman memakan kucing.

2. Adapun mengenai hukum jual beli kucing, terdapat perbincangan ulama tentangnya. Jumhur ulama di antaranya empat imam mazhab mengharuskan jual beli kucing. Pendapat ulama yang mengharamkan jual beli kucing adalah pendapat Abu Hurairah, Tawus, Mujahid dan mazhab Zahiri.

3. Adapun larangan jual beli kucing dalam hadis tersebut adalah larangan jual beli kucing liar yang tidak memberi manfaat. Adapun jika kucing tersebut dimanfaatkan dengan manfaat yang dibenarkan oleh agama seperti membela kucing sebagai haiwan peliharaan, maka jual belinya sah dan hasil jual belinya halal. Inilah pendapat Imam an-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim.

5. عَنْ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ عُذِّبَتْ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ سَجَنَتْهَا حَتَّى مَاتَتْ فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ لَا هِيَ أَطْعَمَتْهَا وَسَقَتْهَا إِذْ حَبَسَتْهَا وَلَا هِيَ تَرَكَتْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الْأَرْضِ.

Terjemahan:

Daripada Abdullah bin Umar, Rasulullah s.a.w bersabda: “Seorang wanita diazab disebabkan oleh seekor kucing. Dikurung kucing itu sehingga mati. Disebabkan perbuatannya itu, Allah memasukkannya ke dalam neraka. Kucing itu dikurung tanpa diberi makan dan minum dan tidak pula dilepaskan kucing itu untuk memakan haiwan perosak yang berada di bumi.”

Hadis sahih, riwayat al-Bukhari (2365), (3318), (3482) dan Muslim (2242).

Syarah:

1. Hadis ini menjadi dalil keharaman membunuh kucing dan keharaman mengurung kucing tanpa makan dan minum.

2. Zahir hadis ini menunjukkan perempuan itu adalah seorang muslimah dan dia diazab disebabkan perbuatannya menyeksa kucing tersebut dan berkemungkinan juga perempuan itu adalah kafir dan dia diazab disebabkan kekafirannya dan ditambah lagi azabnya disebabkan perbuatannya menyeksa kucing itu.

3. Perbuatan menyeksa kucing bukanlah dosa kecil, bahkan ianya dosa besar berdasarkan hadis ini.

4. Wajib bagi pemilik haiwan memberi makan dan minum bagi haiwan yang dimilikinya.

5. Haiwan perosak yang berada di bumi yakni haiwan seperti tikus, serangga atau seumpamanya.

6. عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَنَّهُ قَالَ: يُغْسَلُ الْإِنَاءُ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ أَوْ أُخْرَاهُنَّ بِالتُّرَابِ، وَإِذَا وَلَغَتْ فِيهِ الْهِرَّةُ غُسِلَ مَرَّةً

Terjemahan:

Daripada Abu Hurairah, daripada Rasulullah s.a.w, sesungguhnya baginda bersabda: “Basuhlah bekas kamu jika ianya dijilat oleh anjing sebanyak tujuh kali, awalnya atau akhirnya dengan tanah. Dan jika bekas kamu dijilat kucing maka basuhlah ianya sekali.”

Hadis sahih, riwayat Abdul Razak dalam al-Musannaf (330), (331), Ahmad 2/265, 427, 489, 508, Muslim 1/162, Abu Daud (71), (73), at-Termizi (91), an-Nasa’ie 1/177 dan lain-lain.

Syarah:

1. Kata-kata “dan jika bekas kamu dijilat kucing maka basuhlah ianya sekali” merupakan kata-kata Abu Hurairah bukan sabda nabi s.a.w.

2. Hadis ini menjadi dalil wajibnya membasuh sebanyak tujuh kali (satunya dengan air tanah) bagi najis jilatan anjing dan najis tersebut tidak hanya terbatas pada mulut tapi juga seluruh anggota tubuhnya.

3. Hukum jilatan dan anggota tubuh babi juga disamakan dengan jilatan anjing bahkan najis babi lebih kotor.

7. عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ: خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إلَى أَرْضٍ بِالْمَدِينَةِ، يُقَالُ لَهَا: بَطْحَانُ، فَقَالَ: "يَا أَنَسُ اُسْكُبْ لِي وَضُوءًا" فَسَكَبْتُ لَهُ، فَلَمَّا قَضَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَاجَتَهُ أَقْبَلَ إلَى الْإِنَاءِ، وَقَدْ أَتَى هِرٌّ فَوَلَغَ فِي الْإِنَاءِ، فَوَقَفَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقْفَةً حَتَّى شَرِبَ الْهِرُّ، ثُمَّ سَأَلْتُهُ فَقَالَ: "يَا أَنَسُ إنَّ الْهِرَّ مِنْ مَتَاعِ الْبَيْتِ لَنْ يُقَذِّرَ شَيْئًا، وَلَنْ يُنَجِّسَهُ

Terjemahan:

Daripada Anas bin Malik, beliau berkata: “Rasulullah s.a.w. keluar ke bumi Madinah yang dinamakan tempat tersebut  Bathan. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: “Wahai Anas, tuangkan bagiku air untuk berwuduk.” Maka aku menungkan air untuk baginda s.a.w. Ketika Rasulullah s.a.w selesai mengqada hajatnya, baginda menghampiri sebuah bekas air. Tiba-tiba datang seekor kucing kemudian ia menjilat air dalam bekas tersebut. Maka Rasulullah s.a.w. menunggu sehingga kucing tersebut sehingga ia selesai minum air. Kemudian aku bertanya kepada baginda (berkenaan kucing tersebut), maka baginda menjawab: “Wahai Anas, sesungguhnya kucing itu adalah antara perhiasan rumah, ianya tidak mencemarkan sesuatu dan tidak pula menajiskannya.”

Hadis daif, riwayat Imam at-Tabrani dalam Mu’jam as-Saghir, ms. 227-228, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah dan Imam Abu Nu’aim al-Asbahani dalam Akhbar al-Asbahan, ms. 71, cetakan Dar al-Kitab al-Islami.

Hadis ini turut disebutkan oleh al-Haithami dalam Majma’ az-Zawaid (1084) dan beliau berkata: “Diriwayatkan oleh at-Tabrani dalam as-Saghir, dalam sanadnya terdapat Umar bin Hafs al-Makki, beliau dithiqahkan oleh Ibnu Hibban, berkata az-Zahabi: Tidak diketahui siapakah dia.”

Syarah:      
    
1. Hadis ini juga sama seperti hadis nombor satu, menunjukkan lebihan air minuman kucing adalah suci.

8. عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ :كَانَ رَسُولُ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - يَأْتِي دَارَ قَوْمٍ مِنَ الْأَنْصَارِ ، وَدُونَهُمْ دَارٌ ، فَشَقَّ ذَلِكَ عَلَيْهِمْ ، فَقَالُوايَا رَسُولَ اللَّهِ ، تَأْتِي دَارَ فُلَانٍ ، وَلَا تَأْتِي دَارَنَا ، فَقَالَ النَّبِيُّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - : " لِأَنَّ فِي دَارِكُمْ كَلْبًا " . قَالُوا : فَإِنَّ فِي دَارِهِمْ سِنَّوْرًا ، فَقَالَ النَّبِيُّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - : " السِّنَّوْرُ سَبُعٌ

Terjemahan:

Daripada Abu Hurairah, beliau berkata: “Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah datang ke rumah satu kaum daripada kalangan orang-orang Anshar namun baginda enggan masuk rumah mereka. Ini menimbulkan kegelisahan ke atas mereka (tuan rumah) lalu mereka bertanya: “Ya Rasulullah, anda datang ke rumah si fulan tetapi anda enggan pergi ke rumah kami.” Maka baginda menjawab: “Ini kerana rumah kamu ada anjing.” Mereka berkata: “Akan tetapi pada rumah mereka ada kucing.” Rasulullah menjawab: “Kucing adalah sejenis binatang buas (yakni tidak tetap penjagaannya, sering merayau-rayau)”.

Hadis daif, riwayat Ahmad (8342), (9708), ad-Daraqutni (179) dan at-Tahawi dalam Syarah Musykil al-Athar (2656).

9. عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَنَّهُ كَانَ يُصْغِي إِلَى الْهِرَّةِ الإِنَاءَ حَتَّى تَشْرَبَ ثُمَّ يَتَوَضَّأُ بِفَضْلِهَا

Terjemahan:

Daripada Aisyah radiallahu ‘anha daripada Nabi s.a.w berkata: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w membiarkan kucing minum daripada sebuah bekas kemudian baginda berwuduk dengan lebihan air minuman kucing tersebut.”

Hadis daif, riwayat ad-Daraqutni (218).

Kisah Nabi membela kucing yang bernama Muezza?

Sering tersebar tentang kisah Nabi s.a.w membela seekor kucing bernama Muezza. Saya cuba mencari sumber bagi kisah tersebut tetapi belum menjumpainya. Jika ada yang menjumpai sumber kisah tersebut, harap dapat maklumkan kepada saya. Kebenaran kisah tersebut Allah yang lebih mengetahui. Seeloknya orang yang menyebarkan kisah tersebut memastikan kebenaran kisah tersebut dahulu sebelum menyebarkannya agar tidak termasuk dalam kalangan orang yang berdusta atas nama nabi.


Sabda Nabi s.a.w:
مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

“Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya di dalam neraka.”

Hadis riwayat al-Bukhari (107), Abu Daud (3651), at-Termizi (3659), Ibnu Majah (36) dan an-Nasai’e dalam Sunan al-Kubra (5881).

Saya terjumpa dalam kitab Siyar A'lam al-Nubala (21/78) oleh al-Dzahabi rahimahullah cerita yang lebih kurang sama seperti di atas yang berlaku kepada Imam Ahmad al-Rifa'ie rahimahullah (512H-578H).

Seekor kucing tidur di atas lengan baju Syeikh Ahmad al-Rifa’ie. Apabila tiba waktu solat, Syeikh Ahmad al-Rifa’ie mengunting lengan bajunya dan tidak mengganggu kucing tersebut. Kemudian beliau duduk lalu mencantumkan lengan baju yang terkoyak itu dan berkata: “Tiada apa yg berubah.”

Hukum bulu kucing

Dalam mazhab asy-Syafi’e, segala bulu yang tercabut daripada binatang yang haram dimakan maka bulunya adalah najis. Tetapi jika bulu tersebut masih berada pada binatang tersebut maka ianya tidak najis.

Kucing ialah binatang yang haram dimakan, maka bulu yang tercabut daripadanya adalah najis. Walaubagaimanapun agak sukar untuk mengelak dari terkena bulu kucing kerana ianya adalah haiwan yang sentiasa berada dekat dengan manusia. Jadi bulu kucing termasuk dalam konsep Umum al-Balwa.

Maksud Umum al-Balwa ialah berleluasanya sesuatu sehingga seseorang itu sukar untuk menyelamatkan diri daripadanya atau menjauhinya.

Di dalam kaedah-kaedah fiqh juga terdapat satu kaedah yang disebut al-masyaqqah tajlibu at-taisir yakni kesusahan membawa kemudahan.

Oleh sebab hampir musahil untuk mengelak daripada terkena bulu kucing maka bulu kucing termasuk najis yang dimaafkan jika jumlahnya sedikit. Walaubagaimana pun jika jumlahnya banyak, maka hendaklah dibersihkan terlebih dahulu.

Hukum mengembirikan/mengkasi kucing betina

Menurut Keputusan Panel Kajian Syariah JAKIM pada 3 dan 4 April 2000, mengembiri binatang kesayangan yang tidak boleh dimakan seperti kucing atau anjing adalah diharuskan dengan sebab-sebab tertentu iaitu bagi menjaga maslahah ammah.

Maslahah ammah bermaksud jika binatang itu membawa penyakit atau menjaga keselamatan manusia serta kesejahteraan persekitaran dan sebagainya.

Disyaratkan juga bahawa proses mengembiri/mengkasi tersebut tidak menyakiti kucing tersebut.

Saturday, October 18, 2014

Syeikhul Islam Zakariyya Al-Ansari



Nama dan pembesaran

Beliau ialah Syeikhul Islam, al-Qadhi al-Qudhah (qadi agung), Zainul ‘Abidin (perhiasan para ‘abid), al-Hafiz (seorang penghafal hadis), Abu Yahya, Zakariyya bin Muhammad bin Ahmad bin Zakariyya al-Ansari as-Sunaiki al-Misri al-Azhari al-Asy’ari asy-Syafi’e.

Dilahirkan di Sunaikah (nama sebuah kampung di Mesir) pada tahun 826 Hijrah. Ada juga pendapat yang mengatakan beliau di lahirkan pada tahun 823 Hijrah dan ada juga mengatakan pada 824 Hijrah tetapi pendapat yang mengatakan pada tahun 826 Hijrah lebih tepat.

Beliau dilahirkan dalam keluarga yang sangat miskin. Diceritakan bahawa beliau sentiasa dalam keadaan kelaparan kerana tidak mempunyai wang untuk membeli makanan. Pada waktu malam beliau keluar untuk mengutip sisa-sisa kulit tembikai kemudian dibasuh lalu beliau memakannya. Begitulah keadaan para ulama dahulu. Kebanyakan mereka dilahirkan dalam keluarga yang miskin tetapi kemiskinan tidak pernah menghalang mereka menuntut ilmu.

Menuntut ilmu

Beliau mula menghafal al-Quran di bawah bimbingan dua orang faqih iaitu Syeikh Muhammad bin Rabi’ dan Syeikh al-Burhan al-Faqusi al-Balbisi.

Kemudian beliau mula menghafal matan-matan ilmiah seperti kitab Umdah al-Ahkam oleh al-Hafiz Abdul Ghani al-Maqdisi dan kitab Mukhtasar al-Tibrizi oleh Abi al-Khair Muzaffar al-Tibrizi.

Pada tahun 841 Hijrah, ketika berumur 15 tahun, beliau bertolak menuju ke Kaherah untuk menuntut di Jami’ al-Azhar. Di sana beliau menamatkan hafalan kitab Mukhtasar at-Tibrizi dan mula menghafal kitab Minhaj at-Thalibin oleh an-Nawawi dalam ilmu fiqh, Alfiyyah Ibnu Malik dalam ilmu nahu, asy-Syatibiyyah dalam ilmu qiraat, Mazumah ar-Rai’yyah oleh al-Zanjani, Minhaj al-Wusul oleh al-Baidhawi dalam ilmu usul fiqh  dan sebahagian daripada kitab Alfiyyah al-Iraqi dalam ilmu mustholah hadis. Beliau tinggal di Kaherah tidak lama dan beliau pulang semula ke kampungnya selepas itu.

Beliau kembali semula ke Kaherah untuk kali kedua untuk menuntut ilmu dengan para ulama di Mesir dalam pelbagai bidang ilmu sehingga beliau menjadi alim dan mahir dalam pelbagai bidang ilmu seperti nahu, bahasa Arab, tafsir, hadis, fiqh, usul fiqh, qiraat, sastera Arab dan lain-lain.

Keahlian dalam bidang ilmu

Keahliah beliau dalam pelbagai bidang ilmu terbukti apabila beliau diamanahkan untuk mengajar di pelbagai madrasah. Malah guru-guru beliau turut memberi keizinan kepada beliau untuk mengajar.

Pada tahun 886 Hijrah, beliau dilantik menjadi Qadhi Qudhah di bawah pemerintahan Raja Mesir iaitu, an-Nasir Muhammad bin Qaitibai dan beliau memegang jawatan tersebut sehingga beliau meninggal dunia. Walaupun sibuk dengan tugas sebagai qadi tetapi tugas tersebut tidak pernah menghalang beliau daripada aktiviti mengajar, mengeluarkan fatwa dan menulis.

Beliau sempat hidup dibawah pemerintahan lima orang raja kerajaan Mamluk Mesir iaitu an-Nasir Muhammad bin Qaitibai, al-Zahir Qansuh, al-Asyraf Jan Bilath, al-‘Adil Thuman Bai dan al-Asyraf al-Ghauri.

Guru-guru beliau

Beliau membaca al-Quran daripada beberapa orang guru, antaranya:

1. Syeikh Riduan bin Muhammad bin Yusuf bin Salamah bin al-Baha’, Abu an-Na’im al-‘Aqbi asy-Syafi’e.

2. Syeikh Soleh bin Amr bin Ruslan ibn al-Qadhi Abu al-Baqa’ Siraj ad-Din al-Bulqini.

3. Syeikh Tahir bin Muhammad bin Ali bin Muhammad bin Makin ad-Din, Abu al-Hasan an-Nuwairi al-Maliki.

4. Syeikh Nur ad-Din Ali bin Muhammad bin al-Imam Fakh ad-Din al-Balbisi asy-Syafi’e.

Beliau mengambil ilmu fiqh daripada:

5. Syeikh Ahmad bin Abdullah bin Mufarraj bin Badr ad-Din al-A’zzi asy-Syafi’e.

6. Syeikh Ahmad bin Ali bin Muhammad al-Syihab, Abu al-Fadl al-Kanani al-Asqalani, terkenal dengan nama Ibnu Hajar al-Asqalani.

7. Syeikh Muhammad bin Ismail bin Ahmad bin Yusuf bin al-Syams al-Wana’ie asy-Syafi’e.

8. Syeikh Musa bin Ahmad bin Musa bin Abdullah bin Sulaiman as-Subki al-Qahiri asy-Syafi’ie.

Beliau mengambil ilmu hadis daripada:

10. Syeikh Ibrahim bin Sadaqah bin Ibrahim bin Ismail, Burhan ad-Din Abu Ishaq bin Fath ad-Din al-Maqdisi al-Hanbali.

11. Syeikh Abu Abbas Ahmad bin Rejab bin Tibgha asy-Syafi’e, dikenali dengan nama Ibnu al-Majdi.

12. Syeikh Muhammad bin Ali al-Qayati asy-Syafi’e.

13. Syeikh Muhammad bin Sulaiman bin Mas’ud, Muhyi ad-Din Abu Abdullah al-Kafiji.

14. Syeikh Husain bin Ali bin Yusuf, Badr ad-Din al-Irbili al-Huskafi asy-Syafi’e.

Beliau membaca kepada guru-gurunya kitab Sirah an-Nabawiyyah, Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Musna Imam asy-Syafi’e, Sunan an-Nasa’ie as-Sughra dan Sunan Ibnu Majah.

Kesemua guru-gurunya memberikan ijazah kepada beliau dan disebutkan dalam kitab thabatnya bahawa guru-guru beliau lebih daripada 150 orang.

Imam Zakariyya al-Ansari telah dipakaikan khirqah as-sufiyyah oleh beberapa orang gurunya iaitu :

15. Syeikh Abi Abbas Ahmad bin Ali al-Atkawi.

16. Syeikh Abi Hafs Umar bin Ali an-Nabtini.

17. Syeikh Ahmad bin Ali al-Dimyathi.

Beliau mengambil ilmu tarikat daripada Syeikh Muhammad bin Umar al-Wasithi al-Umri asy-Syafi’e.

Murid-murid beliau

Oleh sebab keilmuan dan kealiman beliau dalam pelbagai jenis ilmu Islam, maka ramailah para ulama yang dating menuntut dengan beliau, di antaranya:

1. Syeikh Abu Bakar bin Muhammad bin Yusuf al-Qari.

2. Syeikh Ahmad bin Ahmad bin Ahmad bin Muhammad, Syeikhul Islam Syihab ad-Din terkenal dengan nama Ibnu Hajar al-Haitami al-Misri al-Makki asy-Syafi’e. Telah dijelaskan biodata beliau dalam posting yang lalu.

3. Syeikh Ahmad bin Ahmad bin Hamzah al-Ramli al-Ansari asy-Syafi’e.

4. Syeikh Ahmad bin Syihabuddin al-Ramli al-Misri asy-Syafi’e. Beliau merupakan murid utama bagi Imam Zakariyya al-Ansari. Beliau berdamping dengan Imam Zakariyya al-Ansari dalam waktu yang sangat lama sehingga beliau diberi kebenaran oleh Imam Zakariyya al-Ansari untuk membetulkan kitab-kitab karangan beliau sewaktu hayatnya dan selepas matinya dan perkara tersebut tidak diizinkan kepada murid beliau yang lain.

5. Syeikh Ahmad bin Muhammad bin Umar bin Abu Bakar, Syihab ad-Din al-Homsi ad-Dimasyqi asy-Syafi’e.

6. Syeikh Syihab ad-Din al-Birlisi al-Misri asy-Syafi’e, terkenal dengan nama ‘Umairah.

7. Syeikh as-Soleh Abdul Wahab bin Zauqa bin Musa asy-Sya’rawai al-Misri asy-Syafi’e.

8. Syeikh Ali bin Ahmad bin Ali bin Abdul Muhaimin bin Hasan bin Ali, Syeikh Nur ad-Din asy-Syafi’e, terkenal dengan nama al-Qarafi.

9. Syeikh Muhammad bin Ahmad bin Mahmud bin al-Farfur ad-Dimasyqi asy-Syafi’e.

10. Syeikh Muhammad bin Salam bin Ali at-Tablawi.

11. Syeikh Muhammad bin Abdullah, Bahauddin al-Misri.

12. Syeikh Yusuf bin Zakariyya, anak kepada Imam Zakariyya al-Ansari.

Penulisan

Beliau telah menghasilkan lebih kurang 89 buah karangan, di antara kitab beliau yang terkenal ialah:

1. Ahkam ad-Dilalah ‘Ala Tahrir ar-Risalah, syarah kepada kitab Risalah al-Qusyairiyyah karya Imam al-Qusyairi.



2. Tahrir Tanqih al-Lubab, dalam fiqh mazhab asy-Syafi’e.



3. Tuhfah at-Thulab Bi Syarah Tahrir Tanqih al-Lubab, syarah kepada kitab di atas.



4. Tuhfah al-Bari ‘Ala Sahih al-Bukhari, syarah kepada kitab Sahih al-Bukhari.



5. Hasyiah ‘Ala Tafsir al-Baidhawi, catatan ke atas Tafsir al-Baidhawi.

6. Al-Durar As-Saniyyah Fi Syarah Alfiyah, syarah kepada kitab Alfiyah Ibnu Malik dalam ilmu Nahu.

7. Al-Daqa’iq al-Muhakkamah Fi Syarah Al-Muqaddimah, syarah kepada Muqaddimah al-Jazariyyah dalam ilmu tajwid.

8. Syarah al-Arba’in an-Nawawiyyah.

9. Fath al-Baqi Bi Syarah Alfiyah al-Iraqi, syarah kepada kitab Alfiyah al-Iraqi dalam ilmu Mustholah hadis.



10. Fath al-Wahab bi Syarah Minhaj at-Thulab.



11. Minhaj al-Thulab, merupakan ringkasan kepada kitab Minhaj at-Thalibin karya Imam an-Nawawi.

Meninggal dunia

Imam Zakariyya al-Ansar meninggal dunia pada bulan Zulkaedah tahun 926 Hijrah ketika berumur 100 tahun. Jenazah beliau disolatkan di Masjid al-Azhar, malah raja juga turut mensolatkan jenazah beliau. Jenazah beliau dikebumikan tidak jauh dari makam Imam asy-Syafi’e. Semoga Allah merahmati Imam Zakariyya al-Ansari. Amin.

Makam Imam Zakariyya Al-Ansari

Sunday, October 5, 2014

Kelebihan orang yang menuntut ilmu



Daripada al-Quran

 فَسۡ‍َٔلُوٓاْ أَهۡلَ ٱلذِّكۡرِ إِن كُنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ

Terjemahan :

Maka bertanyalah kamu kepada Ahluzzikri (orang yang mengetahui mengenai kitab Allah) jika kamu tidak mengetahui.

Surah al-Anbiya’ ayat 7

فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٖ مِّنۡهُمۡ طَآئِفَةٞ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ

Terjemahan :

Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

Surah at-Taubah ayat 122

Daripada hadis Nabi Sallahu‘alaihiwasalam

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَطْلُبُ فِيهِ عِلْمًا، سَلَكَ اللَّهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ

Terjemahan :

“Sesiapa yang menempuhi satu jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan memasukkannya jalan ke syurga.”

Hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah, Ahmad, Abu Daud, at-Termizi, Ibnu Majah, ad-Darimi, al-Hakim, al-Baghawi dalam Syarh as-Sunnah, Ibn Abdil Barr dalam Jami’ Bayan al-‘Ilm Wa Fadluhu.

Berkata al-Iraqi : Hadis ini dikeluarkan oleh Muslim daripada hadis Abu Hurairah.

وَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا لِطَالِبِ الْعِلْمِ رِضًا بِمَا يَصْنَعُ

Terjemahan :

“Dan sesungguhnya malaikat merendahkan sayapkan bagi penuntut ilmu kerana reda dengan apa yang dilakukan oleh penuntut ilmu tersebut.”

Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, at-Termizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman.

Berkata al-Iraqi : Hadis ini dikeluarkan oleh Ahmad, Ibnu Hibban, al-Hakim dan beliau mensahihkannya daripada hadis Safwan bin ‘Asal.

لأَنْ تَغْدُوَ تَتَعَلَّمُ بَابًا مِنَ الْعِلْمِ، خَيْرٌ لَكَ مِنْ أَنْ تُصَلِّيَ مِائَةَ رَكْعَةٍ
Terjemahan :




“Demi Tuhanku, sesungguhnya berpagi-pagi kamu pergi menuntut satu bab daripada ilmu itu lebih baik daripada kamu sembahyang  seratus rakaat.”

Hadis riwayat Ibnu Majah  dan Ibnu Abdil Barr dalam Jami’ Bayan al-‘Ilm Wa Fadluhu.

Kata al-Iraqi : Hadis ini dikeluarkan oleh Ibn Abdil Barr daripada hadis Abu Zarr dan sanadnya tidak kuat dan hadis di sisi Ibnu Majah dengan lafaz yang lain.

طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ

Terjemahan :

Menuntut ilmu wajib keatas setiap muslim (lelaki dan perempuan).

Hadis riwayat Ibnu Abdil Barr dalam Jami’ Bayan al-‘Ilm Wa Fadluhu, Ibnu Majah, Abu Ya’la, al-‘Uqaili dalam ad-Du’afa’, at-Tabarani dalam al-Ausath, Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil, al-Baihaqi dalam Syu’sb al-Iman  dan al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad. 

الْعِلْمُ خَزَائِنُ وَمِفْتَاحُهُ السُّؤَالُ، فَإِنَّهُ يُؤْجَرُ فِيهِ أَرْبَعَةٌ : السَّائِلُ وَالعَالِمُ وَالمُسْتَمِعُ وَالمُحِبُّ لَهُم

Terjemahan :

“Ilmu itu adalah khazanah dan kuncinya adalah bertanya. Maka sesungguhnya diberi pahala di dalamnya (ilmu) itu empat orang : orang yang bertanya, orang alim, orang yang mendengar ilmu dan orang yang cintakan ilmu.”

Hadis riwayat Abu Nu’aim al-Asbahani dalam Hilyah al-Auliya’ dan al-Khatib al-Baghdadi dalam al-Faqih wa Al-Mutafaqqih.

Kata al-Iraqi : Hadis ini diriwayatkan Oleh Abu Nu’aim daripada hadis Ali secara marfu’ dengan sanad yang da’if.

لَا يَنْبَغِي لِلْجَاهِلِ أَنْ يَسْكُتَ عَلَى جَهِلِهِ وَلَا لِلْعَالِمِ أَنْ يَسْكُتَ عَلَى عِلْمِهِ

Terjemahan :

“Tidak harus bagi orang yang jahil untuk berdiam diri atas kejahilannya (yakni tidak belajar) dan tidak harus bagi orang yang alim berdiam atas ilmunya (yakni tidak mengajar).”

Hadis riwayat at-Tabarani dalam Mu’jam al-Ausath, ad-Dailami dalam Musnad al-Firdaus. 

Kata al-Haithami dalam Majma’ az-Zawa’id: “Hadis ini diriwayatkan oleh at-Tabarani dalam al-Ausath dan dalam sanadnya terdapat Muhammad bin Abi Hamid dan telah sepakat (ahli hadis) atas kedaifannya.”

Kata al-Iraqi : Hadis ini dikeluarkan oleh at-Tabari dalam al-Ausath, Ibnu Mardawaih dalam tafsirnya, Ibnu Sunni, Abu Nu’aim dalam Riyadhah al-Muta’alimin daripada hadis Jabir dengan sanad yang daif.

حُضُورُ مَجْلِسِ عَالِمٍ أَفْضَلُ مِنْ صَلاةِ أَلْفِ رَكْعَةٍ ، وَعِيَادَةِ أَلْفِ مَرِيضٍ ، وَشُهُودِ أَلْفِ جَنَازَةٍ ، فَقِيلَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمِنْ قِرَاءَةِ الْقُرْآنِ ؟ فَقَالَ : " وَهَلْ يَنْفَعُ الْقُرْآنُ إِلا بِالْعِلْمِ

Terjemahan :

Menghadiri majlis ilmu lebih baik daripada solat seribu rakaat, mengunjungi seribu orang yang sakit, menziarahi jenazah. Maka berkata seorang sahabat : “Wahai rasulullah, adakah lebih baik daripada membaca al-Quran?” Maka berkata Rasulullah s.a.w. : “Tiada manfaat membaca al-Quran melainkan dengan ilmu.”

Hadis ini dinilai sebagai palsu oleh:

1. Ibnu Jauzi dalam al-Maudhu’at.


2. Al-Syaukani dalam Al-Fawaid Al-Majmu’ah Fi Al-Ahadis Al-Maudhu’ah


3. Al-Mulla Ali al-Qari dalam al-Asrar al-Marfu’ah Fi al-Akhbar al-Maudu’ah dan 
Al-Masnu’ Fi Ma’rifah al-Hadis al-Maudhu' 

4. Al-Sayuthi dalam Al-Lali Al-Masnu’ah Fi Al-Ahadith Al-Maudu’ah 


5. Al-Zahabi dalam Tartib al-Maudu’at dan Talkhis al-Maudhu’at 


6. Ibnu Iraq al-Kanani dalam Tanzih Syari’ah al-Marfu’ah 


7. Al-Iraqi dalam Takhrij Hadis Ihya'

Peringatan : Hadis ini adalah hadis maudhu’ (palsu), maka dilarang menceritakan hadis ini kecuali disertai menerangkan kepalsuannya dan hadis ini tidak dibenarkan untuk beramal walaupun dalam bab fadha’il amal (kelebihan amalan).

مَنْ جَاءَهُ الْمَوْتُ وَهُوَ يَطْلُبُ الْعِلْمَ لِيُحْيِيَ بِهِ الْإِسْلَامَ فَبَيْنَهُ وَبَيْنَ الْأَنْبِيَاءِ فِي الْجَنَّةِ دَرَجَةٌ وَاحِدَةٌ

Terjemahan :
“Sesiapa yang mati ketika dia sedang menuntut ilmu untuk menghidupkan agama Islam, maka darjatnya dan darjat para anbiya’ di dalam syurga adalah sama.”

Hadis ini da’if dan diriwayatkan oleh ad-Darimi, at-Tabarani  dalam Mu’jam al-Ausath, Ibn Abdil Barr dalam Jami’ Bayan al-‘Ilm Wa Fadluhu, al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad dan dalam al-Faqih wa al-Mutafaqqih, Ibnu ‘Asakir dalam Tarikh Dimasq.

Kata al-Iraqi : Hadis ini dikeluarkan oleh ad-Darimi dan Ibnu Sunni dalam Riyad al-Muta’alimin daripada hadis al-Hasan, dikatakan beliau al-Hasan bin Ali, dan dikatakan beliau al-Hasan bin Yasar al-Basri secara mursal.


Daripada sahabat, tabi’in dan ulama radiallahu ‘anhum

قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عنهما ذللت طالباً فعززت مطلوباً

Terjemahan:

Ibnu ‘Abbas  radiallahu ‘anhuma berkata: “Aku merendah diri ketika menuntut ilmu maka aku dimuliakan ketika diminta mengajarkan ilmu.”

Diriwayatkan oleh al-Dainuri dalam al-Mujalasah Wa Jawahir al-‘Ilm.

قال ابن أبي مليكة رحمه الله ما رأيت مثل ابن عباس إذا رأيته رايت أحسن الناس وجهاً وإذا تكلم فأعرب الناس لساناً وإذا أفتى فأكثر الناس علماً

Terjemahan:

Ibnu Abi Mulaikah (seorang tabi’in) rahimahullah berkata: “Aku tidak pernah melihat seorang pun seperti Ibnu ‘Abbas.  Jika aku melihatnya, aku melihat orang yang paling baik wajahnya. Jika di bercakap maka dia adalah orang yang paling fasih lidahnya. Jika dia berfatwa maka dia adalah orang yang paling alim.”

Dinukilkan oleh Ibnu Abd Rabbuh dalam al-‘Aqd al-Farid.

قال ابن المبارك رحمه الله عجبت لمن لم يطلب العلم كيف تدعوه نفسه إلى مكرمة

Terjemahan

Ibnu al-Mubarak rahimahullah berkata: “Aku hairan dengan orang yang tidak pernah menuntut ilmu. Bagaimana dia boleh mendakwa dirinya mulia?”

Jami’ Bayan al-‘Ilm Wa Fadluh dan Siyar A’lam al-Nubala’

قال أبو الدرداء رضي الله عنه لَأَنْ أَتَعَلَّمَ مَسْأَلَةً أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ قِيَامِ ليلة
Terjemahan:

Abu Darda’ radiallahuanhu berkata: “Aku mempelajari satu masalah ilmu itu lebih aku sukai daripada qiyamullail.”

Al-Faqih Wa al-Mutafaqqih

قال عطاء مجلس علم يكفر سبعين مجلساً من مجالس اللهو
Terjemahan

‘Atha’ berkata : “Majlis ilmu itu menghapuskan dosa 70 majlis daripada majlis-majlis yang lalai.”

Qut al-Qulub

قال عمر رضي الله عنه موت ألف عابد قائم الليل صائم النهار أهون من موت عالم بصير بحلال الله وحرامه

Terjemahan:

‘Umar radiallahu ‘anhu berkata: “Kematian seribu ahli ibadah yang berqiamullail dan berpuasa pada siang hari itu lebih ringan daripada matinya seorang alim yang mengetahui perkara yang Allah halalkan dan yang Allah haramkan.”

Zawaid Musnad Harith


قَالَ الشَّافِعِيُّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ طَلَبُ الْعِلْمِ أفضل من النافلة
Terjemahan

Al-Syafi’e radiallahu ‘anhu berkata: “Menuntut ilmu itu lebih baik daripada melakukan ibadah sunat.”


Hilyah al-Auliya’ dan Manaqib al-Syafi’e

Dipetik daripada kitab Ihya' Ulum al-Din karya al-Imam al-Ghazali rahimahullah.