Selasa, 27 Februari 2018

Athar Sayyidina ‘Umar Menyuruh Menebang Pohon Bai’ah al-Ridhwan


Athar ini diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf [(5/179), no. 7627]:

حَدَّثَنَا مُعَاذُ بْنُ مُعَاذٍ، قَالَ: أَنَا ابْنُ عَوْنٍ، عَنْ نَافِعٍ، قَالَ: بَلَغَ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ أَنَّ نَاسًا يَأْتُونَ الشَّجَرَةَ الَّتِي بُويِعَ تَحْتَهَا، قَالَ: فَأَمَرَ بِهَا فَقُطِعَتْ

“Telah menceritakan kepada kami Mu’az bin Mu’az, beliau berkata: Telah menceritakan kepada kami Ibnu ‘Aun daripada Nafi’, beliau berkata:

“Telah sampai kepada ‘Umar bin al-Khattab (khabar) bahawa orang ramai mendatangi pohon yang pernah dibai’ah di bawahnya.”

Nafi’ berkata:

“Umar memerintahkan supaya ia ditebang, maka ia pun ditebang.”

Sanad athar ini daif kerana terputus di antara Nafi’ dan ‘Umar bin al-Khattab.

Kata al-Termizi dalam al-Jami’ (1/244):

“(Riwayat) Nafi daripada ‘Umar terputus.”

Kata Abu Zur’ah al-‘Iraqi dalam Tuhfah al-Tahsil (hlm. 326):

“Dalam Sunan Abi Daud ada riwayatnya (Nafi') daripada ‘Umar bin al-Khattab radiallahu ‘anhu, ianya jelas terputus. Telah menjelaskan sedemikian juga oleh al-Zaki Abdul ‘Azhim (al-Munziri) dalam Mukhtasarnya (Mukhtasar Sunan Abi Daud), beliau berkata: (Riwayat) Nafi’ daripada ‘Umar terputus.”

Rujukan:

- Al-Jami’ al-Termizi, al-Termizi, c: Dar al-Gharb al-Islami, tahqiq: Dr Basyar ‘Awadh Ma’ruf.

- Al-Musannaf, Ibnu Abi Syaibah, c: Dar al-Qiblah & Muassasah ‘Ulum al-Quran, tahqiq: Muhammad ‘Awwamah.

- Tuhfah al-Tahsil Fi Zikr Ruwah al-Marasil, Abu Zur’ah al-‘Iraqi, c: Maktabah al-Rusyd.

Isnin, 26 Februari 2018

Istighfar: Pintu Rezeki Dan Kemudahan


Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنِ أكْثَرَ مِنَ الاسْتِغْفَارِ، جَعَلَ اللهُ لَهُ مِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا، وَمِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ

“Sesiapa yang membanyakkan istighfar, Allah akan menjadikan baginya kelapangan bagi setiap kesusahan, jalan keluar bagi setiap kesulitan dan memberikannya rezeki daripada jalan yang tidak disangka.”

Riwayat Ahmad (2234), Abu Daud (1518) dan Ibnu Majah (3819) daripada hadith Ibnu ‘Abbas.

Lafaz hadith adalah daripada riwayat Ahmad. Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah adalah dengan lafaz ‘sesiapa yang melazimi istighfar(مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ).

Kata al-Hafiz Ibnu Hajar dalam al-Amali al-Muthlaqah (hlm. 25, c: al-Maktab al-Islami):

“Hadith ini hasan gharib.”

Sebabahagian ahli hadith mendaifkan hadith ini disebabkan status salah seorang perawinya, al-Hakam bin Mus’ab yang dikatakan majhul.

Boleh lihat perbincangan tentang hadith ini dalam kitab al-Ta’rif (4/538) karangan Syeikh Mahmud Sa’id Mamduh.

- Diriwayatkan daripada al-Hasan al-Basri bahawa seorang lelaki datang mengadu kepada beliau tentang ketandusan tanah, beliau berkata: Beristighfarlah kepada Allah. Seorang lelaki yang lain datang mengadu tentang kefakiran, beliau berkata: Beristighfarlah kepada Allah. Seorang lelaki yang lain datang mengadu tentang kebunnya yang kering, beliau berkata: Beristighfarlah kepada Allah. Seorang lelaki yang lain mengadu tidak ada anak, beliau berkata: Beristighfarlah kepada Allah. Beliau membacakan ayat ini:

 فَقُلۡتُ ٱسۡتَغۡفِرُواْ رَبَّكُمۡ إِنَّهُۥ كَانَ غَفَّارٗا. يُرۡسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيۡكُم مِّدۡرَارٗا. وَيُمۡدِدۡكُم بِأَمۡوَٰلٖ وَبَنِينَ وَيَجۡعَل لَّكُمۡ جَنَّٰتٖ وَيَجۡعَل لَّكُمۡ أَنۡهَٰرٗا.  

10. Sehingga aku (Nabi Nuh) berkata (kepada mereka): Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun.

11. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;

12. Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

[Surah Nuh: Ayat 10-12]

[Fath al-Bari Syarah Sahih al-Bukhari, Ibnu Hajar al-‘Asqalani, jil. 14, hlm. 281, c: Dar Tayyibah]

Ahli Hadith Dan Orang Gila


- Syu’bah bin al-Hajjaj berkata:

“Aku tidak pernah langsung melihat seorang berlari-lari (di jalanan) kecuali aku akan katakan: (Sama ada orang ini) orang gila ataupun ahli hadith.”

[Al-Jami’ Li Akhlaq al-Rawi Wa Adab al-Sami’, al-Khatib al-Baghdadi, jil. 1, hlm. 152, c: Maktabah al-Ma’arif, tahqiq: Dr Mahmud al-Thahhan]

- Maksudnya, tidak ada orang yang melakukan perbuatan berlari-lari di tempat awam kecuali orang gila yang tidak hairan lagi akan perlakuannya dan ahli hadith yang ingin bersegera menghadiri majlis ilmu hadith.
_________________

 Syu'bah bin al-Hajjaj (80/82H-160H) adalah Amirul Mu'minin Fi al-Hadith. Beliau adalah guru kepada ulama-ulama hebat seperti Sufyan al-Thauri, Sufyan bin 'Uyainah, Abdul Rahman bin Mahdi, Yahya bin Sa'id al-Qathan dan lain-lain. Al-Imam al-Syafi'e pernah memuji beliau: "Jika tidak kerana Syu'bah, hadith tidak akan diketahui di 'Iraq."

[Siyar A'lam al-Nubala', al-Zahabi, jil. 7, hlm. 202, c: Muassasah al-Risalah]

Ahad, 25 Februari 2018

Pura-Pura Baru Bangun Tidur


Sallam bin Abi Muthi’ berkata:

“Ayub al-Sakhtiyani menghidupkan keseluruhan malamnya (dengan ibadat) dan beliau menyembunyikan perkara tersebut.

Apabila masuk waktu Subuh, beliau sengaja menguatkan suaranya seolah-olah beliau baru bangun ketika itu.”

Rujukan:

Hilyah al-Auliya’, Abu Nu’aim al-Asbahani, jil. 3, hlm. 7, c: Maktabah al-Khanji & Dar al-Fikr.
______________

[1] Ayub bin Abi Tamimah al-Sakhtiyani merupakan murid kepada al-Hasan al-Basri, Muhammad bin Sirin, Ikrimah Maula Ibnu ‘Abbas, Atha’ bin Abi Rabah dan lain-lain.

Antara murid-murid beliau adalah al-Zuhri, Syu’bah bin al-Hajjaj, Hammad bin Salamah dan lain-lain. Guru beliau sendiri iaitu Ibnu Sirin turut belajar daripada beliau.

Beliau dilahirkan pada 66 Hijrah dan menurut pendapat yang lain pada 68 Hijrah.

Beliau pernah melihat Anas bin Malik tetapi menurut al-Hafiz al-Zahabi, beliau tidak pernah temui riwayat Ayub al-Sakhtiyani daripada Anas bin Malik.

Guru beliau, al-Hasan al-Basri memuji beliau sebagai penghulu para pemuda ahli Basrah.
Murid beliau, Syu’bah bin al-Hajjaj memuji beliau sebagai penghulu para fuqaha’.

 Beliau meninggal dunia pada tahun 131 Hijrah dan ada beberapa pendapat lain tentang tahun kewafatan beliau.

Rujukan:

- Siyar A’lam al-Nubala’, al-Zahabi, jil. 6, hlm. 15, c: Muassasah al-Risalah.

- Tahzib al-Tahzib, Ibnu Hajar al-‘Asqalani, jil. 1, hlm. 200, c: Muassasah al-Risalah.

[2] Sallam bin Abi Muti’ al-Khuza’ie (سَلاَّمُ بنُ أَبِي مُطِيْعٍ الخُزَاعِيُّ) merupakan murid kepada Ayub al-Sakhtiyani.

Beliau merupakan guru kepada Abdullah bin al-Mubarak, Abdul Rahman bin Mahdi dan lain-lain.

Kata Abu Salamah al-Tabuzaki: “Beliau merupakan Ahli Basrah yang paling bijak sekali.”

Beliau seorang yang banyak menunaikan haji. Beliau meninggal dunia ketika pulang dari Mekah.

Beliau meninggal dunia pada 173 Hijrah dan menurut pandangan yang lain pada 164 Hijrah.

Rujukan:

- Siyar A’lam al-Nubala’, al-Zahabi, jil. 7, hlm. 428, c: Muassasah al-Risalah.

Sabtu, 24 Februari 2018

Kitab Lebih Menyeksakan Daripada Tiga Madu


Al-Zubair bin Bakkar berkata:

Anak saudara perempuanku berkata kepada isteriku:

Bapa saudaraku adalah sebaik-baik lelaki kepada isterinya. Beliau tidak berkahwin lain dan tidak membeli hamba perempuan.

Isteriku lalu berkata:

"Demi Allah, kitab-kitab ini (kitab al-Zubair bin Abi Bakr) lebih menyeksakan bagiku daripada tiga orang madu (disebabkan keasyikan al-Zubair terhadap kitab-kitabnya)."

Rujukan:

Al-Jami' Li Akhlaq al-Rawi Wa Adab al-Sami', al-Khatib al-Baghdadi, jil. 1, hlm. 149, c: Muassasah al-Risalah.
________________

Al-Zubair bin  Bakkar berketurunan sahabat Nabi sallahu 'alaihi wasallam, al-Zubair bin al-'Awwam. Beliau seorang yang alim, hafiz dan mahir tentang nasabnya. Beliau merupakan qadhi di Mekah.

Kata al-Khatib al-Baghdadi: "Al-Zubair merupakan seorang yang thiqah, mantap (ثبت), alim dalam ilmu nasab dan kisah-kisah orang yang terdahulu. Beliau mempunyai penulisan berkenaan nasab Quraisy."

Beliau meninggal dunia pada tahun 256 Hijrah.

رحمه الله تعالى

Rujukan:

Thabaqat al-Nassabin, Bakr Abu Zaid, hlm. 64, c: Dar al-Rusyd.

Khamis, 22 Februari 2018

Al-Imam al-Sarkhasi Mengimla' Kitab Dari Dalam Perigi Buta



- Al-Imam al-Sarkhasi al-Hanafi mengimla'kan kitab al-Mabsuth dalam fiqh al-Hanafi ketika beliau sedang dipenjarakan dalam perigi buta.

- Kitab ini beliau imla'kan tanpa sebarang rujukan, hanya berdasarkan ingatan beliau semata-mata dan ditulis oleh anak murid beliau yang berada di atas perigi.

- Kitab al-Mabsuth ini dicetak oleh Dar al-Ma'rifah setebal 31 jilid.

- Beliau juga mempunyai sebuah kitab Usul al-Fiqh dalam satu jilid tebal dan beliau mensyarahkan kitab al-Siyar al-Kabir karangan Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani dalam dua jilid tebal. Kedua-dua kitab ini juga beliau imla'kan dari dalam perigi.

- Beliau meninggal dunia sekitar tahun 500 Hijrah (ada khilaf tahun kewafatan beliau).

رحمه الله تعالى

Rujukan:

Taj al-Tarajim, Qasim bin Qutlubugha, hlm. 234, c: Dar al-Qalam.


Isnin, 12 Februari 2018

Bersolat Dengan Membaca Satu Ayat


- Muqatil bin Hayyan berkata:

"Aku bersolat di belakang 'Umar bin Abdul 'Aziz. Beliau membaca:

وَقِفُوهُمْ ۖ إِنَّهُم مَّسْئُولُونَ

"Dan hentikanlah mereka (menunggu), kerana sesungguhnya mereka akan disoal." (Surah al-Saafaat: Ayat 24)

Beliau mengulang-ulanginya dan tidak mampu lagi meneruskannya."

[Kitab al-Riqqah Wa al-Baka' oleh Ibnu Abi al-Dunya]

- Muhammad bin Abi al-Fath al-Ba'li al-Hanbali berkata:

"Aku berada di Jami' Dimasyq pada akhir malam. Syeikh (Imam al-Nawawi) sedang berdiri menghadap ke sebuah tiang sambil mengerjakan solat dalam kegelapan. Beliau mengulang-ulangi firman Allah Ta'ala:

وَقِفُوهُمْ ۖ إِنَّهُم مَّسْئُولُونَ

"Dan hentikanlah mereka (menunggu), kerana sesungguhnya mereka akan disoal." (Surah al-Saafaat: Ayat 24)

Beliau mengulang-ulanginya beberapa kali dalam keadaan sedih dan khusyuk sehingga perkara tersebut memberikan kesan yang besar terhadapku."

[Al-Manhal al-'Azb al-Rawi Fi Tarjamah Qutb al-Auliya' al-Nawawi oleh al-Sakhawi]

Rabu, 7 Februari 2018

Imam Abu Hanifah Meninggal Dunia Ketika Bersujud


Kata Abu Hassan al-Ziyadi:

"Ketika Abu Hanifah merasa kematiannya sudah hampir, dia lalu bersujud. Keluar rohnya ketika beliau sedang bersujud. Umur beliau pada hari kewafatannya adalah 70 tahun.

Al-Hasan bin 'Umarah yang memandikannya. Beliau merupakan salah seorang guru Abu Hanifah dan merupakan ahli hadis besar.

Abu Raja' Abdullah bin Waqid al-Harawi yang menuangkan air. Beliau merupakan imam penduduk Harah.

Al-Hasan bin 'Umarah juga yang mensolatkan jenazah Abu Hanifah.

Abu Hanifah disolatkan pada hari kewafatannya sebanyak enam kali disebabkan terlalu ramai orang. Orang yang terakhir mensolatkannya adalah anaknya , Hammad.

Khalifah al-Mansur turut datang mensolatkannya di kuburnya.

Dikatakan orang ramai terus menerus mensolatkannya di kuburnya selama lebih daripada 20 hari.

Al-Malik Abu Sa'ad Muhammad bin Mansur al-Khawarizmi membina kubah di atas kuburnya dan membina madrasah yang besar di sisinya untuk pengikut mazhab Hanafi. Peristiwa tersebut berlaku pada tahun 459 Hijrah."

رحمه الله تعالى

Sumber:

- Maghani al-Akhbar Fi Syarh Asami Rijal Ma'ani al-Athar, Badruddin al-'Aini, jil. 3, hlm. 141, Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah.

Imam al-Jazuli (807H-870H) Meninggal Dunia Ketika Bersujud


- Kata al-Imam Ahmad Zarruq (846H-899H) dalam al-Kunnasy:

“Pada tahun 870 (Hijrah), aku sedang berkhidmat kepada Sidi Muhammad bin Abdullah terkenal dengan gelaran al-Zaituni.

Lalu datang bertemu kami sekumpulan anak murid Sidi Muhammad al-Jazuli bersama al-Saghir al-Sufyani.

Mereka mensahihkan kepada kami (berita) kewafatan Syeikh al-Jazuli.

al-Saghir berkata: Beliau meninggal dunia ketika solat Subuh. Sama ada ketika sujud yang ke dua pada rakaat yang pertama atau ketika sujud yang pertama pada rakaat yang kedua.”

- Kata al-Tunbukti dalam Kifayah al-Muhtaj:

“Ketika ingin dipindahkan jasadnya selepas 77 tahun (selepas kematiannya), didapati jasadnya tidak berubah sedikitpun.”

Sumber:

- Man Tuwuffiya Min al-Ulama Wa Huwa Sajid, Muhammad Ibrahim Sa’id al-Fasi, hlm. 168-169.