Isnin, 19 Ogos 2019

Terlalu Asyik Dengan Hadis


- Muhammad bin Ahmad al-Wa’iz berkata:

“Abu Bakar bin al-Baghandi (البَاغَنْدِيُّ) bangun untuk menunaikan solat lalu beliau bertakbir. Kemudian beliau berkata: Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Sulaiman Luwain.

Kami mengucapkan tasbih. Lalu barulah beliau membaca:

بِسمِ اللَّهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ. الحَمدُ لِلَّهِ رَبِّ العالَمينَ."

- Diriwayatkan juga daripada beliau (al-Baghandi) bahawa beliau pernah berkata:

“Telah diberikan kepadaku kecintaan kepada hadis. Aku telah melihat Nabi sallahu ‘alaihi wasallam (di dalam mimpi) tetapi aku tidak meminta kepada baginda: Doakanlah untukku. Sebaliknya aku bertanya kepada baginda: Wahai Rasulullah, siapakan yang lebih mantap dalam hadis: Mansur atau al-A’masy? Baginda menjawab: Mansur, Mansur.”

- Kata Ibnu Kathir: “Beliau kadang-kala menyebut beberapa buah hadis berserta sanad-sanadnya dalam solat dan tidur dalam keadaan beliau tidak sedar!”

[‘Uluw al-Himmah, Muhammad Ahmad Isma’il al-Muqaddam]

_____________

Muhammad bin Muhammad bin Sulaiman, Abu Bakar al-Baghandi (m. 312 H) salah seorang huffaz hadis. Beliau mengembara untuk menuntut hadis ke Kufah, Syam, Mesir, Basrah dan lain-lain. Beliau menetap di Baghdad dan meninggal dunia di situ. Antara guru beliau ialah Ali bin al-Madini dan Ibnu Abi Syaibah. Muridnya yang terkenal ialah al-Thabarani dan Ibnu Syahin. Beliau gemar melakukan tadlis sehingga beliau dicela oleh beberapa ahli hadis sehingga ada yang menyifatkan beliau sebagai pendusta. Tetapi beliau telah dipertahankan oleh Ibnu ‘Adi, al-Khatib al-Baghdadi, al-Zahabi dan lain-lain.

Ditulis oleh hamba Allah yang banyak silapnya:
Zulhusni Mat Resat
18/8/2019

Gunung Semanggol, Perak.


Ahad, 18 Ogos 2019

Hadis Yang Tidak Diketahui Oleh Imam al-Bukhari

Muhammad bin Abi Hatim al-Warraq berkata:

“Aku pernah mendengar Muhammad bin Isma’il (al-Bukhari) berkata: Murid-murid ‘Amru bin ‘Ali (al-Fallas) berbincang denganku tentang sebuah hadis. Maka aku katakan: Aku tidak mengetahui tentangnya. Mereka berasa gembira tentang perkara tersebut. Mereka kemudian bertemu dengan ‘Amru bin Ali dan berkata kepadanya: Kami berbincang dengan Muhammad bin Isma’il al-Bukhari tentang suatu hadis dan dia tidak mengetahuinya. ‘Amru bin ‘Ali lalu berkata: Hadis yang tidak diketahui oleh Muhammad bin Isma’il adalah bukan hadis (sebenarnya).”

[Tarikh Baghdad, al-Khatib al-Baghdadi]

‘Amru bin ‘Ali al-Fallas (m. 249 H) adalah seorang imam, al-Hafiz dan naqid. Beliau merupakan guru kepada imam hadis yang enam, Abu Hatim al-Razi dan Abu Zur’ah al-Razi.

Ditulis oleh hamba Allah yang banyak silapnya:
Zulhusni Mat Resat
18/8/2019
Gunung Semanggol, Perak.

Kesusahan Imam al-Bukhari Demi Ilmu


Imam al-Bukhari (m. 256 H) pernah berkata:

"Aku keluar untuk belajar dengan Adam bin Abi Iyas. Wang belanjaku lewat tiba kepadaku sehingga aku terpaksa makan rumput. Aku tidak pernah menceritakan perkara tersebut kepada sesiapapun. Apabila tiba hari ketiga, datang kepadaku seorang yang tidak aku kenali. Dia memberikan kepadaku sebungkus wang dinar dan berkata kepadaku: "Gunakanlah untuk dirimu."

[Siyar A'lam al-Nubala, al-Hafiz al-Zahabi]

Ditulis oleh hamba Allah yang banyak silapnya:
Zulhusni Mat Resat
17/8/2019
Gunung Semanggol, Perak.

Selasa, 6 Ogos 2019

Manhaj Kitab Sahih Ibnu Khuzaimah



1 - Kitab ini diringkaskan oleh Ibnu Khuzaimah (m. 311 H) daripada sebuah kitab ringkasan (ringkasan pertama) yang lebih besar daripadanya. Kitab ringkasan pertama ini merupakan ringkasan kepada sebuah kitab yang berjudul ‘al-Musnad al-Kabir’. Disebabkan itu beliau menamakan kitab ini sebagai ‘Mukhtasar al-Mukhtasar Min al-Musnad al-Sahih ‘An al-Nabi sallahu ‘alaihi wasallam’.

2 - Hadis-hadis di dalam kitab ini tidaklah semuanya berada di tahap sahih yang tertinggi,  bahkan ada hadis yang tidak mencapai tahap sahih tetapi masih berada dalam lingkungan hadis yang yang dapat diterima dan dapat dijadikan hujah atau dikenali sebagai hadis hasan.

3 - Beliau turut memasukkan hadis-hadis daif sebagai syawahid dan mutaba’at (hadis sokongan).

4 - Beliau menyusun hadis-hadis dalam kitab ini berdasarkan kitab (bab besar) dan bab kecil. Bermula dengan kitab wuduk, kitab solat dan seterusnya. Dalam setiap kitab, beliau akan meletakkan beberapa bab-bab kecil.

5 - Beliau memasukkan hadis-hadis yang bersambung sanadnya kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Jika hadis tersebut mempunyai lebih daripada satu sanad, maka beliau akan menjelaskannya.

6 - Kebiasaannya beliau akan memberi ulasan berkenaan sanad dan matan hadis. Beliau juga memberi perhatian tentang ketepatan lafaz hadis yang diriwayatkan serta penjelasan perselisihan perawi dalam meriwayatkan lafaz-lafaz hadis.

7 - Beliau juga  menyebutkan tarjih dan istinbath beliau terhadap hadis berdasarkan tajuk bab (tarajim al-abwab) dalam kitab ini sebagaimana yang dilakukan oleh Imam al-Bukhari, Imam Abu Daud dan lain-lain.

8 - Menurut al-Hafiz al-Sayuthi, kedudukan Sahih Ibnu Khuzaimah lebih tinggi daripada Sahih Ibnu Hibban disebabkan syarat Ibnu Khuzaimah yang lebih ketat. Beliau akan berhenti (tawaqquf) daripada mensahihkan hadis disebabkan wujudnya sekecil-kecil kritikan yang ada pada sanad hadis.

9 - Malangnya kitab ini tidak sampai ke zaman kini secara lengkap. Hanya satu per empat daripada saiz sebenar kitab ini yang sampai ke tangan kita pada hari ini. Sahih Ibnu Khuzaimah yang dicetak pada hari ini hanya mengandungi tujuh bab sahaja, bermula bab wuduk sehingga bab manasik.

Rujukan:

- Al-Ta'rif al-Wajiz Bi Manahij Asyhar al-Musannifin Fi al-Hadith, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

- Masadir al-Hadith Wa Maraji’uhu, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.