Sahih Ibnu Khuzaimah merupakan karya Imam Abu Bakar Muhammad bin Ishaq bin Khuzaimah bin al-Mughirah al-Naisaburi al-Syafi'i (meninggal dunia tahun 311H).
Sahih al-Bukhari dan Muslim Tidak Meliputi Semua Hadis
Sahih
Kedua-dua kitab Sahih al-Bukhari dan Muslim tidak merangkumi
semua hadis sahih yang diketahui oleh mereka, bahkan mereka telah meninggalkan
banyak daripadanya di luar kitab mereka atas beberapa sebab, antaranya: Keinginan
untuk hanya mencatat hadis yang telah disepakati kesahihannya.
Imam al-Bukhari berkata: “Aku tidak mengeluarkan dalam
kitab ini melainkan yang sahih sahaja. Apa yang aku tinggalkan daripada hadis
sahih adalah banyak.”
Imam Muslim pula berkata: “Bukan semua yang sahih di
sisiku aku letakkan di sini (yakni dalam kitab sahihnya). Aku hanya meletakkan
apa yang telah mereka (ahli hadis) sepakati.”
Ibnu Khuzaimah Dan Ulama Lain Cuba Mengumpul Hadis Sahih
Maka, masih terdapat sejumlah besar hadis sahih yang tidak
dimuatkan dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim. Hal ini telah mendorong sekumpulan
ulama hadis untuk mengumpulkan dan menyusunnya dan antara tokoh terawal dalam
kalangan pakar-pakar hadis ialah Imam Ibnu Khuzaimah dalam kitab Sahihnya.
Caranya kemudian diikuti oleh muridnya Ibnu Hibban dalam
kitabnya al-Taqasim wa al-Anwa’. Kemudian datang pula murid Ibnu Hibban
iaitu al-Hakim al-Naisaburi yang mengarang kitabnya, al-Mustadrak ‘ala
al-Sahihain. Syarat yang mereka gunakan adalah meriwayatkan hadis sahih
semata-mata.
Syeikh Ahmad Syakir berkata mengenai tiga buah kitab ini: “Sahih
Ibnu Khuzaymah, al-Musnad al-Sahih ‘ala al-Taqasim wa al-Anwa’ karya Ibn Hibban
dan al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain karya al-Hakim, tiga buah kitab ini adalah
kitab yang paling penting yang dikarang mengenai hadis sahih semata-mata
selepas Sahih al-Bukhari dan Muslim.”
Adapun Sahih Ibn Khuzaimah, maka ia merupakan antara kitab
yang paling dipercayai dalam meriwayatkan hadis sahih selepas al-Bukhari dan
Muslim. Kitab ini dinamakan (seperti yang diriwayatkan oleh al-Hafiz Ibnu
Hajar) sebagai: Al-Musnad al-Sahih bi al-Naql al-‘Adl ‘an al-‘Adl min Ghairi
Qat‘in fi al-Sanad wa la Jarhin fi al-Naqalah (Musnad yang sahih dengan
periwayatan perawi yang adil daripada perawi yang adil tanpa sebarang terputus
dalam sanad dan tanpa sebarang kritikan pada perawi).
Ketelitian Ibnu Khuzaimah
Muridnya, Ibn Hibban, berkata tentang beliau: “Aku tidak
pernah melihat di muka bumi ini seseorang yang mahir dalam ilmu hadis dan
menghafal lafaz-lafaz hadis yang sahih serta tambahannya (selain yang sahih),
seolah-olah hadis-hadis itu berada di hadapan matanya, melainkan Muhammad bin
Ishaq (Ibnu Khuzaimah).”
Beliau adalah seorang yang sangat teliti dan penuh
berhati-hati. Al-Suyuti berkata tentangnya: “Sehingga beliau berhenti
daripada mensahihkan sesuatu hadis hanya kerana sedikit keraguan pada sanadnya,
lalu beliau berkata: Jika hadis ini sahih’ atau ‘Jika hadis ini sabit.”
Kedudukan Sahih Ibnu Khuzaimah Dalam Kalangan Kitab-kitab
Sunnah
Ibn al-Salah berkata: "Kemudian, sesungguhnya
tambahan hadis sahih selain yang terdapat dalam dua kitab sahih (al-Bukhari dan
Muslim) boleh diambil oleh pencarinya dari apa yang terkandung dalam salah satu
karya yang muktamad. Sudah memadai jika ia terdapat dalam kitab-kitab pengarang
yang mensyaratkan kesahihan pada hadis yang mereka kumpulkan, seperti kitab Ibnu
Khuzaimah...”
Al-Suyuti berkata: "Sahih Ibnu Khuzaimah lebih
tinggi kedudukannya daripada Sahih Ibnu Hibban kerana ketelitiannya yang
tinggi, di mana beliau berhenti dalam mensahihkan hadis walaupun kerana sedikit
kritikan pada sanad, lalu beliau berkata contohnya: “Bab makruhnya sekian
perkara jika benar khabar itu, atau jika sabit demiakian itu..."
Al-Zahabi berkata: "Imam ini adalah seorang yang padkar
dan mahir tentang perawi-perawi...” Kemudian al-Zahabi menyebutkan bahawa
Ibnu Khuzaimah berkata: “Saya tidak berhujah dengan Syahr bin Hawsyab, tidak
juga dengan Hariz bin Uthman, tidak juga dengan Abdullah bin Amr, tidak juga
dengan Baqiyyah, tidak juga dengan Muqatil bin Hayyan...”, kemudian beliau
menyebutkan sekumpulan perawi yang terdapat perselisihan antara para imam dalam
berhujah dengan riwayat mereka. Ini menunjukkan ketelitian Ibnu Khuzaimah yang
tinggi, dan kehati-hatiannya dalam meriwayatkan dalam kitab sahihnya.
Adakah Kitab Ini Ditemui Secara Lengkap?
Malangnya, kitab ini tidak ditemui secara lengkap sehingga
kini dan Sahih Ibnu Khuzaimah yang ada di tangan kita hanya mewakili kira-kira
satu perempat daripada kitab tersebut, yang terhad kepada bab-bab ibadat
sahaja.
Kehilangan baki kitab ini telah berlaku sejak dahulu dan
orang pertama yang menyebut tentang kehilangannya ialah al-Dimyati (m. 705H)
dalam pengenalan kitabnya, al-Matjar al-Rabih, di mana beliau tidak
mendapati daripadanya kecuali suku pertama.
Ibnu al-Mulaqqin (m. 804H) berkata: “Saya melihat
sebahagian daripada Sahih Ibnu Khuzaimah sehingga kitab jual beli.”
Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata: “Saya tidak menemui
daripadanya kecuali suku ibadat secara lengkap, dan beberapa tempat yang
terpisah-pisah daripada selainnya.”
Al-Sakhawi berkata: “Sesungguhnya kebanyakan Sahih Ibn
Khuzaimah telah hilang.”
Ibnu Fahd al-Makki berkata: “Sahih Ibn Khuzaimah tidak
ditemui kecuali kira-kira seperempatnya.”
Syarat Ibnu Khuzaimah Dalam Kitabnya
Ibnu Khuzaimah mensyaratkan dalam kitab ini bahawa beliau
tidak akan mengeluarkan melainkan hadis yang sahih sahaja. Beliau telah
menyatakan perkara ini dalam tajuk kitabnya, di mana beliau berkata: “Mukhtasar
al-Mukhtasar min al-Musnad al-Sahih ‘an al-Nabi bi Naql al-‘Adl ‘an al-‘Adl
Mausul ilaih min ghairi qat‘in fi asna’ al-isnad, wa la jarhin fi naqli
al-akhbar allati nazkuruha bi masyi’atillah ta‘ala.” (Ringkasan bagi
ringkasan al-Musnad al-Sahih, daripada Nabi, melalui periwayatan perawi yang
adil, daripada perawi yang adil, yang bersambung kepada Baginda, tanpa sebarang
terputus dalam sanad dan tanpa sebarang kritikan pada perawi-perawi hadis, yang
kami sebutkan dengan izin Allah Ta‘ala).
Sahih Ibnu Khuzaimah Adalah Kitab Ringkasan
Melalui penamaan yang disebutkan sebelum ini, jelas bahawa
Ibnu Khuzaimah meringkaskan kitab ini daripada ringkasan yang lebih besar
daripadanya, yang merupakan ringkasan kepada kitab lain miliknya yang berjudul al-Musnad
al-Kabir.
Manhajnya Dalam Menyusun Hadis Sahih
Beliau menyusunnya mengikut kitab dan bab, dimulakan dengan
Kitab al-Wudu’, kemudian Kitab al-Solah dan seterusnya. Di bawah setiap kitab,
beliau menyusun beberapa bab dan berkata: “Bab sekian...”, dan
kadang-kadang beliau berkata: “Bab-bab sekian...”
Beliau menyebut hadis-hadis secara musnad (bersanad)
hingga sampai kepada Rasulullah Sallahu
‘alaihi wasallam. Jika sesuatu hadis mempunyai lebih daripada satu
sanad, beliau akan menyatakannya.
Beliau sering memberikan komentar terhadap hadis, sama ada
pada sanad atau matannya, dan sangat teliti dalam menyemak lafaz-lafaz hadis
serta perbezaan lafaz yang diriwayatkan perawi. Kebiasaannya, beliau memulakan
komentarnya dengan berkata: “Qala Abu Bakr...” (Abu Bakr berkata).
Beliau juga kerap menyebut pendapat yang rajih (yang
lebih kuat) menurut pandangannya dalam tajuk-tajuk bab, mengikut gaya fuqaha
dalam kalangan ahli hadis seperti al-Bukhari, Abu Daud dan selain mereka.
Kritikan Terhadap Sahih Ibnu Khuzaimah
Walaupun Ibnu Khuzaimah memiliki ketelitian yang tinggi dan
kitabnya mempunyai nilai yang berharga dari sudut kesahihannya, namun ia tidak
terlepas daripada kritikan. Al-Hafiz Ibnu Kathir berkata: “Ibnu Khuzaimah
dan Ibnu Hibban beriltizam untuk (meriwayatkan) hadis sahih dan mereka berdua
jauh lebih baik daripada al-Mustadrak (karya al-Hakim), dengan sanad-sanad dan
matan yang lebih bersih. Namun begitu, tetap perlu dibuat penelitian untuk
membezakan (antara hadis yang benar-benar sahih dan sebaliknya), kerana dalam
kitab Ibnu Khuzaimah juga terdapat hadis yang dihukum sahih olehnya, sedangkan
ia tidak mencapai darjat hasan.”
Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata: “Berapa banyak hadis dalam
kitab Ibn Khuzaimah yang dihukum sahih sedangkan ia tidak mencapai tahap hasan.”
Beliau juga berkata: “Hukum hadis-hadis yang terdapat
dalam kitab Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban adalah sesuai untuk dijadikan hujah;
kerana ia berkisar antara sahih dan hasan, selagi tidak jelas pada
sebahagiannya kecacatan yang menjejaskan kesahihannya.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan