Ahad, 27 April 2025

Hukum Qunut Subuh

 

Soalan: Apakah hukum qunut dalam solat Subuh?

Jawapan Syeikh Dr Ali Juma’ah:

Persoalan qunut dalam solat Subuh adalah antara persoalan fiqh yang bersifat cabangan, yang tidak sepatutnya menyebabkan perpecahan dan permusuhan di kalangan umat Islam.

Penjelasan mengenai persoalan ini adalah bahawa para fuqaha telah berbeza pendapat mengenainya.

Mazhab Syafie dan Maliki berpendapat ia adalah sunat, manakala mazhab Hanafi dan Hanbali berpendapat tidak ada qunut dalam solat Subuh.

Imam Nawawi berkata: “Ketahuilah bahawa qunut disyariatkan pada pendapat kami (mazhab al-Syafi’i) dalam solat Subuh, dan ia adalah sunat muakkadah (sunat yang sangat dituntut), berdasarkan riwayat Anas bin Malik: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam sentiasa melakukan qunut dalam solat Fajar sehingga baginda meninggalkan dunia.

Mereka (ulama mazhab al-Syafi’i) berkata: Jika seseorang meninggalkannya, solatnya tidak batal, tetapi hendaklah melakukan sujud sahwi, sama ada meninggalkannya dengan sengaja atau terlupa.

Adapun tempatnya (waktu membacanya), ia dilakukan selepas bangkit dari rukuk pada rakaat kedua solat Subuh.

Jika seseorang melakukan qunut sebelum rukuk, ia tidak dikira sah mengikut pendapat yang paling sahih (al-asah) dan dia perlu mengulanginya selepas rukuk kemudian melakukan sujud sahwi.”

Telah dinukilkan berkenaan hukum qunut Subuh beberapa pendapat dan cara pelaksanaannya daripada sebahagian sahabat dan tabiin, antaranya:

Pendapat Ali bin Ziyad yang mewajibkan qunut dalam solat Subuh, sesiapa yang meninggalkannya maka rosak solatnya. Qunut boleh dilakukan sebelum rukuk atau selepasnya pada rakaat kedua, namun yang lebih disunatkan dan afdal adalah melakukannya sebelum rukuk selepas bacaan (surah) tanpa didahului takbir sebelum qunut itu. Ini kerana ia lebih memudahkan bagi makmum yang lewat (masbuk) dan tidak memisahkan antara qunut dengan rukun-rukun solat dan kerana itulah amalan yang telah ditetapkan oleh Umar dengan kehadiran para sahabat.

Al-Qadi Abdul Wahab al-Baghdadi berkata: "Diriwayatkan daripada Abu Raja' al-'Utaridi yang berkata: Qunut dahulunya dilakukan selepas rukuk, kemudian Umar menjadikannya sebelum rukuk supaya orang yang lewat dapat menyertai qunut. 

Diriwayatkan bahawa kaum Muhajirin dan Ansar bertanya kepada Uthman, lalu beliau menjadikannya sebelum rukuk, kerana terdapat faedah yang tidak didapati jika dilakukan selepas rukuk iaitu dapat berdiri lebih lama agar dapat membolehkan (makmum masbuk) sempat menyertainya (mendapat rakaat) dan kerana qunut merupakan satu bentuk memanjangkan qiyam (berdiri) dan waktu) sebelum rukuk lebih utama untuk itu (memanjangkan qiyam), terutamanya dalam solat Fajar."

Mazhab Syafie lebih kuat dalam isu qunut kerana kekuatan dalil-dalil mereka seperti berikut:

Riwayat Abu Hurairah yang berkata: “Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam apabila mengangkat kepalanya dari rukuk pada rakaat kedua solat Subuh, baginda berdoa dengan doa ini:

اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ...

Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau beri petunjuk...dan seterusnya.“

Al-Baihaqi menambah ungkapan:

فَلَكَ الْحَمْدُ عَلَى مَا قَضَيْتَ

“Maka bagi-Mu segala puji atas apa yang telah Engkau tetapkan.”

Al-Tabarani menambah:

وَلَا يَعِزُّ مَنْ عَادَيْتَ

“Dan tidak akan mulia orang yang Engkau musuhi.”

Hadis Anas bin Malik yang terdahulu: "Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam sentiasa melakukan qunut dalam solat Fajar sehingga baginda meninggalkan dunia."

Anas pernah ditanya: "Adakah Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam melakukan qunut dalam solat Subuh?" Beliau menjawab: "Ya." Lalu ditanya lagi: "Sebelum rukuk atau selepas rukuk?" Beliau menjawab: "Selepas rukuk."

Daripada Abu Hurairah, beliau berkata: "Demi Allah, aku adalah orang yang paling hampir solatnya dengan solat Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.” Abu Hurairah melakukan qunut pada rakaat terakhir solat Subuh selepas mengucapkan 'Sami'allahu liman hamidah' dan beliau berdoa untuk orang-orang mukmin lelaki dan perempuan serta melaknat orang-orang kafir.

Daripada Abdullah bin Abbas, beliau berkata: “Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam mengajarkan kami doa yang kami baca dalam qunut solat Subuh:

اللهُمَّ اهْدِنَا فِيمَنْ هَدَيْتَ، وَعَافِنَا فِيمَنْ عَافَيْتَ، وَتَوَلَّنَا فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ، وَبَارِكْ لَنَا فِيمَا أَعْطَيْتَ، وَقِنَا شَرَّ مَا قَضَيْتَ، إِنَّكَ تَقْضِي وَلَا يُقْضَى عَلَيْكَ، إِنَّهُ لَا يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ، تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ

Ya Allah, berilah kami petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau beri petunjuk, berilah kami kesihatan sebagaimana orang-orang yang telah Engkau beri kesihatan, jadikanlah kami di bawah perlindungan-Mu sebagaimana orang-orang yang telah Engkau lindungi, berkatilah kami pada apa yang telah Engkau berikan, dan lindungilah kami dari kejahatan apa yang telah Engkau tetapkan, sesungguhnya Engkaulah yang menghukum dan tidak ada yang dapat menghukum ke atas-Mu, sesungguhnya tidak akan hina orang yang Engkau lindungi, Maha Berkat Engkau wahai Tuhan kami dan Maha Tinggi.”

Dalam hadis: "Apabila baginda mengangkat kepalanya dari rukuk pada rakaat kedua solat Subuh, baginda mengangkat kedua tangannya dan berdoa dengan doa ini:

اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ

Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau beri petunjuk.”

Dan dalam riwayat lain: "Apabila baginda mengangkat kepalanya dari rukuk dalam solat Subuh pada rakaat terakhir, baginda melakukan qunut."

Adapun lafaz qunut, maka yang terpilih adalah mengucapkan apa yang diriwayatkan daripada Hasan bin Ali r.a. yang berkata: "Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam mengajarkan kepadaku beberapa kalimah yang aku ucapkan dalam solat Witir:

اللهُمَّ اهْدِنَا فِيمَنْ هَدَيْتَ، وَعَافِنَا فِيمَنْ عَافَيْتَ، وَتَوَلَّنَا فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ، وَبَارِكْ لَنَا فِيمَا أَعْطَيْتَ، وَقِنَا شَرَّ مَا قَضَيْتَ، إِنَّكَ تَقْضِي وَلَا يُقْضَى عَلَيْكَ، إِنَّهُ لَا يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ، تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ

“Ya Allah, berilah kami petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau beri petunjuk, berilah kami kesihatan sebagaimana orang-orang yang telah Engkau beri kesihatan, jadikanlah kami di bawah perlindungan-Mu sebagaimana orang-orang yang telah Engkau lindungi, berkatilah kami pada apa yang telah Engkau berikan, dan lindungilah kami dari kejahatan apa yang telah Engkau tetapkan, sesungguhnya Engkaulah yang menghukum dan tidak ada yang dapat menghukum ke atas-Mu, sesungguhnya tidak akan hina orang yang Engkau lindungi, Maha Berkat Engkau wahai Tuhan kami dan Maha Tinggi.”

Para ulama menambah padanya:

وَلَا يَعِزُّ مَنْ عَادَيْتَ

“Dan tidak akan mulia orang yang Engkau musuhi.”

…sebelum:

 تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ

 

“Maha Berkat Engkau wahai Tuhan kami dan Maha Tinggi.”

…dan selepasnya:

 فَلَكَ الْحَمْدُ عَلَى مَا قَضَيْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ

“Maka bagi-Mu segala puji atas apa yang telah Engkau tetapkan, aku memohon keampunan-Mu dan bertaubat kepada-Mu.”

Imam Nawawi berkata dalam kitab al-Raudhah: "Para ulama kami berkata: Tidak mengapa dengan tambahan ini, dan Abu Hamid, al-Bandaniji dan lain-lain berkata: Ia adalah sunat."

Disunatkan untuk mengucapkan selepas doa ini:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ وَسَلِّمِ

“Ya Allah, berilah rahmat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, dan berilah keselamatan.”

Ini adalah pendapat yang sahih dan masyhur.

Disunatkan juga menggunakan lafaz:

اللَّهُمَّ إنَّا نَسْتَعِينُكَ وَنَسْتَغْفِرُكَ وَنُؤْمِنُ بِكَ وَنَخْنَعُ لَكَ وَنَخْلَعُ وَنَتْرُكُ مَنْ يَكْفُرُكَ، اللَّهُمَّ إيَّاكَ نَعْبُدُ وَلَكَ نُصَلِّي وَنَسْجُدُ وَإِلَيْكَ نَسْعَى وَنَحْفِدُ نَرْجُو رَحْمَتَكَ وَنَخَافُ عَذَابَكَ الْجِدَّ إنَّ عَذَابَكَ الْجِدَّ بِالْكَافِرِينَ مُلْحِقٌ.

“Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pertolongan-Mu dan keampunan-Mu. Kami beriman kepada-Mu, bertawakal kepada-Mu dan kami tunduk kepada-Mu. Kami meninggalkan dan menjauhi orang yang kufur kepada-Mu. Ya Allah, hanya kepada-Mu kami menyembah dan untuk-Mu kami solat dan sujud dan kepada-Mu kami berusaha dan bersegera. Kami mengharapkan rahmat-Mu dan kami takut akan azab-Mu. Sesungguhnya azab-Mu yang berat pasti menimpa orang-orang kafir.”

Berdasarkan apa yang telah disebutkan, kami berpendapat bahawa mazhab Imam al-Syafi’i lebih kuat, iaitu qunut dalam solat Subuh adalah sunat. Disunatkan bagi yang meninggalkannya untuk melakukan sujud sahwi sebagai pengganti, tetapi solat tidak batal dengan meninggalkannya.

Allah Ta'ala Maha Tinggi dan Maha Mengetahui.

Sumber:

Al-Bayan al-Qawim Li Tashih Ba’dh al-Mafahim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan