Surah al-Sharh atau al-Insyirah adalah surah Makkiyyah (diturunkan sebelum Hijrah), yang membincangkan mengenai keperibadian Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan nikmat-nikmat agung yang Allah kurniakan kepadanya, yang selayaknya dipuji dan disyukuri.
Surah ini menyentuh tentang pelbagai nikmat Allah kepada hamba dan Rasul-Nya, Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam, iaitu dengan melapangkan dadanya dengan iman, menerangi hatinya dengan hikmah dan pengetahuan, serta menyucikannya dari dosa dan beban. Semua ini bertujuan untuk menghiburkan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dari daripada gangguan hebat yang diterimanya daripada kaumnya di Mekah, Taif, dan tempat-tempat lain.
Kemudian surah ini membicarakan tentang pengangkatan martabat kedudukan baginda di dunia dan akhirat, serta menggandingkan namanya dengan nama Allah Ta'ala.
Surah ini juga menyentuh tentang dakwah Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam ketika di Makkah, di mana baginda dan orang-orang beriman menghadapi kesukaran dan ketakutan dari orang-orang kafir yang mendustakan dakwahnya. Maka Allah menghiburkannya dengan berita tentang kelapangan dan kemenangan yang hampir tiba ke atas musuh-musuhnya.
Surah ini diakhiri dengan peringatan kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam tentang kewajipan untuk menumpukan diri dalam beribadah kepada Allah setelah selesai menyampaikan risalah, sebagai tanda syukur kepada Allah atas nikmat-nikmat yang besar. Begitu juga diperintahkan kepada baginda selepas segala sesuatu untuk bertawakal hanya kepada Allah dan mengharapkan apa yang ada di sisi-Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan