Ahad, 27 April 2025

Adakah Sampai Pahala Bacaan al-Quran Kepada Si Mati

 

Soalan:

Adakah pahala bacaan al-Fatihah dan bacaan al-Quran lain sampai kepada si mati selepas kematiannya atau selepas pengebumiannya di kubur atau di mana-mana tempat?

Jawapan Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili:

Dalam masalah ini terdapat perbezaan pendapat yang terbahagi kepada dua pandangan seperti yang dinyatakan oleh Al-San'ani dalam kitabnya Busyra al-Ka'ib bi Liqa' al-Habib.

Pandangan Pertama: Pendapat masyhur dari mazhab Malik dan Syafie bahawa pahala tersebut tidak sampai.

Pandangan Kedua: Mazhab Imam Ahmad dan majoriti ulama salaf serta empat mazhab termasuk ulama terkemudian dari Malikiyyah dan Syafiiyyah: Pahala tersebut sampai. Imam Abu Hanifah berkata: "Si mati akan menerima segala sesuatu sama ada sedekah atau lainnya." Beliau juga berkata: "Bacalah Ayat Kursi tiga kali dan Surah al-Ikhlas serta katakanlah: Ya Allah, sesungguhnya kelebihannya (pahalanya adalah untuk ahli kubur."

Al-San'ani telah menyebutkan dalil-dalil pandangan kedua iaitu mereka yang berpendapat bahawa si mati mendapat manfaat dari apa yang dilakukan oleh orang yang hidup untuknya, berdasarkan al-Quran, Sunnah, Ijmak dan kaedah-kaedah syariat.

Adapun dari al-Quran: Firman Allah Ta'ala: "Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: 'Ya Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami'" [Al-Hasyr: 10].

Allah memuji mereka kerana memohon keampunan untuk orang-orang beriman sebelum mereka. Ini menunjukkan bahawa si mati mendapat manfaat daripada permohonan keampunan orang yang hidup. Bukti bahawa si mati mendapat manfaat daripada doa juga disokong oleh ijmak umat tentang doa untuk mereka dalam solat jenazah.

Hadis-hadis telah membuktikan bahawa Nabi sallahu ‘alaihi wasallam berdoa dalam solat jenazah untuk orang yang disembahyangkan, dengan berkata: "Ya Allah, ampunilah dia, rahmatilah dia, sejahterakanlah dia dan maafkanlah dia."

Sabit dalam hadis: "Apabila anak Adam meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan, atau anak soleh yang mendoakannya."

Telah berlaku ijmak bahawa membayar hutang si mati adalah dibenarkan, sama ada oleh sesiapa sahaja sama ada kerabat atau bukan. Jika seseorang yang hidup mempunyai hak terhadap si mati, lalu dia menggugurkan hak tersebut dan membebaskannya, maka itu memberi manfaat kepada si mati, sebagaimana ia gugur dari tanggungjawab orang yang hidup. Pahala puasa (sunat atau wajib) yang sampai kepada si mati yang telah sabit dalam Sunnah menjadi dalil bahawa pahala semua amalan lain juga sampai.

Sabit juga melalui nas-nas bahawa pahala sampai kepada si mati melalui tiga jenis ibadat: Ibadat badaniyyah/fizikal (dengan puasa), ibadat maliyyah/harta (dengan sedekah untuk si mati), dan ibadat gabungan fizikal dan harta (dengan haji bagi pihak si mati atau orang yang tidak mampu).

Ibnu Taimiyyah berkata: “Sesungguhnya si mati mendapat manfaat daripada bacaan Al-Quran, sebagaimana dia mendapat manfaat daripada ibadat harta seperti sedekah dan seumpamanya.”

Begitu juga kata Imam Nawawi dalam kitab al-Majmu': “Pahala bacaan Al-Quran sampai kepada si mati.”

Kesimpulan: Pendapat yang dipegang dalam empat mazhab ialah sampainya pahala bacaan al-Quran apabila orang yang hidup menghadiahkannya kepada si mati.

Sumber:

Fatawa Mu’asirah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan