Rabu, 30 April 2025

Kitab al-Arba'in fi Dala'il al-Tauhid oleh Abu Ismail al-Harawi

 

Kitab al-Arba'in fi Dala'il al-Tauhid oleh Abu Ismail Abdullah bin Muhammad al-Harawi (meninggal 481 Hijrah).

Al-Harawi adalah orang yang digelar Syeikh al-Islam oleh golongan Mujassimah di Herat (Afghanistan) sebagai ejekan kepada al-Hafiz Abu Uthman al-Sabuni yang turut digelar demikian.

Ibnu al-Subki dalam Tabaqat al-Syafi’iyyah al-Kubra berkata: "Adapun golongan mujassimah di kota Herat, apabila mereka tersinggung kerana gelaran ini, mereka sengaja memberikan gelaran Syeikh al-Islam kepada Abu Ismail Abdullah al-Ansari, penulis kitab Zamm al-Kalam.

Al-Ansari yang dimaksudkan adalah seorang yang banyak beribadat dan ahli hadis, tetapi dia menzahirkan fahaman tajsim dan tasybih serta mencela Ahli Sunnah. Dia telah berlebihan dalam kitabnya, Zamm al-Kalam sehingga menyebut bahawa sembelihan golongan Ash'ariyyah tidak halal.

Penduduk Herat pada zamannya terbahagi kepada dua kumpulan: satu kumpulan yang mempercayainya dan berlebihan terhadapnya kerana sifat zuhud dan ibadatnya dan satu kumpulan yang mengkafirkannya kerana fahaman tasybih yang dizahirkannya.

Antara karya-karyanya yang menjadi sasaran kritikan umat Islam ialah kitab Zamm al-Kalam, kitab al-Faruq fi al-Sifat dan kitab al-Arba'in. Dalam ketiga-tiga kitab ini, dia menjelaskan dan menyatakan dengan terang tentang akidah Tasybih.

Dia sangat taksub kepada golongan Hanabilah sehingga dia melantunkan di atas mimbar sebagaimana yang diriwayatkan oleh muridnya Muhammad bin Tahir: 

Aku seorang Hanbali selama aku hidup dan jika aku mati, wasiatku kepada manusia ialah agar mereka menjadi Hanbali.

Dia meninggalkan periwayatan daripada gurunya, al-Qadi Abu Bakr al-Hiri kerana dia seorang Asy'ari. Semua ini adalah ketaksuban yang melampau. Semoga Allah membebaskan kita daripada hawa nafsu.”

Dalam kitab al-Arba'in, dinyatakan bahawa:

1 - Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam melihat Tuhannya dalam bentuk seorang pemuda amrad (yang tidak berjanggut) yang pada kedua-dua kakinya ada warna kehijauan.

2 - Di dalamnya terdapat bab-bab yang bertajuk:

i) Allah meletakkan kaki-Nya di atas Kursi.

ii) Menetapkan arah bagi Allah.

iii) Menetapkan batasan (had) bagi Allah.

iv) Menetapkan sifat menulis bagi Allah.

v)  Menetapkan surah (rupa) bagi Allah.

vi) Menetapkan dua mata bagi Allah.

vii) Menetapkan berlari (harwalah) bagi Allah.

Kitab Zamm al-Kalam

Daripada kitabnya, Zamm Al-Kalam, Ibnu Taimiyah memetik kekeliruan Al-Harawi dalam merendahkan Imam al-Asy'ari. Ibnu Taimiyah berkata dalam Bayan Talbis al-Jahmiyyah:

“Syeikh al-Islam Abu Ismail Abdullah bin Muhammad al-Ansari berkata dalam kitab Zamm al-Kalam di penghujungnya ketika beliau membuat bab mengenai golongan Asha’riyyah yang terkemudian, beliau berkata:

Bab mengenai ucapan al-Asy'ari.

Ketika para ilmuwan terkemuka daripada umat ini dan orang yang tinggi kefahamannya daripada Ahli Sunnah meneliti inti ucapan Jahmiyyah dan simbol-simbol ahli falsafah yang terkandung di dalamnya, mereka tidak mendapati padanya melainkan penafian sifat-sifat Allah secara mutlak dan bahawa teras mazhab mereka dan kemuncak akidah mereka adalah apa yang telah dinyatakan oleh tokoh-tokoh zindiq sebelum mereka bahawa falak itu berputar dan langit itu kosong... dan bahawa perkataan mereka: Allah Maha Mendengar tanpa pendengaran...tanpa diri, tanpa zat dan tanpa rupa... Aku telah memenuhi kitab Takfir al-Jahmiyyah dengan ucapan-ucapan ulama Islam dan ketegasan para khalifah terhadap mereka dan kecaman umum Ahli Sunnah terhadap mereka dan ijmak umat Islam untuk mengeluarkan mereka dari agama.

Mereka menolak perkataan Yahudi bahawa "tangan Allah terbelenggu" lalu mereka mengingkari belenggu dan mengingkari tangan, maka keadaan mereka lebih buruk daripada Yahudi kerana Allah menetapkan sifat dan menafikan kekurangan, sedangkan Yahudi menetapkan sifat dan menetapkan kekurangan. Adapun mereka ini menafikan sifat sebagaimana mereka menafikan kekurangan.

Sesungguhnya kepercayaan mereka adalah bahawa al-Quran itu tidak wujud. Jahmiyyah jantan (merujuk kepada golongan Jahmiyyah sebenar) menyebutnya sekali dan Jahmiyyah betina (merujuk kepada golongan Asha’irah) menyebutnya sepuluh kali (Al-Harawi ingin menggambarkan Asha’irah lebih teruk daripada Jahmiyyah).

Mereka berkata: Telah tersebar di kalangan umat Islam bahawa ketua mereka, Ali bin Ismail al-Asy'ari (Imam Abu Hasan al-Asy’ari) tidak beristinjak, tidak berwudhu dan tidak solat.”

Ibnu Taimiyyah telah memetik perkara tersebut sebagai hujah untuk mencela golongan yang beliau gelar sebagai golongan muta’akhirin daripada kalangan pengikut Imam al-Asy’ari.

Sedangkan orang yang Ibnu Taimiyyah gelar sebagai Syeikh al-Islam (iaitu al-Harawi) tidak pun mengecualikan seorang pun daripada mereka (pengikut Imam al-Asy’ari), bahkan beliau menyebutkan ijmak tentang mengkafirkan mereka, memenuhi kitab-kitabnya dengan hal tersebut, serta berusaha untuk menyebarkan fitnah terhadap mereka  di kalangan para sultan dan mencurahkan celaan ke atas mereka dengan gambaran yang melampaui batasan adab.

Lalu perbuatan itu menjadi satu ‘ikutan buruk’ yang al-Harawi memikul dosanya, kemudian Ibn Taimiyyah pula turut menanggung dosa yang sama kerana mengikuti 'ikutan buruk' itu dalam banyak tempat (dalam kitab-kitabnya), lalu diikuti oleh Ibnu al-Qayyim dan orang-orang zaman moden ini yang terpesona dengan mereka.

Sumber:

Al-Tajsim Fi al-Fikr al-Islami oleh Dr Suhaib al-Saqqar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan