Selasa, 29 April 2025

Kitab al-Sunnah Oleh Abdullah bin Ahmad bin Hanbal

Kitab al-Sunnah yang dinisbahkan kepada Abdullah bin Imam Ahmad bin Hanbal (meninggal 290 Hijrah).

Kitab ini memperoleh kedudukan yang besar di sisi golongan yang menisbahkan diri kepada Salaf, terutamanya pada zaman moden ini disebabkan penisbahannya kepada anak Imam Ahmad.

Penyunting (muhaqqiq) kitab ini telah menegaskan penisbahan kitab ini kepada penulisnya dan bersungguh-sungguh menjawab mereka yang menyucikan Imam Ahmad daripada anggapan bahawa anaknya (yang dibesarkan di bawah asuhannya) akan terlibat dalam semua perkara yang dibicarakan oleh pengarang dalam kitab ini.

Penyunting tidak mengemukakan apa-apa bukti, sebaliknya hanya berusaha melalui ucapan retorik yang tidak dapat menolak pengakuannya sendiri tentang kewujudan perawi-perawi yang tidak dikenali dalam dua peringkat sanad kitab ini kepada penulisnya.

Yang jelas adalah bahawa kitab ini adalah karya orang yang mereka panggil Syeikh al-Islam Abu Ismail al-Harawi, penulis karya-karya terkenal dalam apa yang mereka sebut sebagai akidah Salafiyyah.

Al-Harawi ini sangat fanatik dan mungkin telah mencipta sanad untuknya lalu meriwayatkannya dari Abu Yaqub Ishaq bin Ibrahim al-Qarrab al-Harawi daripada seorang syeikh yang tidak dikenali, daripada seorang lagi syeikh yang tidak dikenali, daripada pengarang kitab ini.

Tidak mustahil kandungan kitab ini sebenarnya bersumber daripada Abu Isma‘il al-Harawi sendiri. Adapun anak Imam Ahmad, maka tidak mungkin dia akan melampaui batas terhadap Allah dan Rasul-Nya, serta terhadap Imam Ahmad dan Imam Abu Hanifah al-Nu‘man.

Dalam usaha meneguhkan ketulenan kitab dan nisbahnya kepada pengarang, penyunting juga menyebut bahawa para ulama mazhab Hanbali telah meriwayatkannya dan mengambil manfaat daripadanya. Namun segala nukilan tersebut adalah selepas zaman al-Harawi yang disebut itu dan tidak menolak keraguan tentang nisbah kitab ini kepadanya dan tidak juga menghilangkan keraguan tentang kesahihan nisbahnya kepada pengarang.

Kitab ini mengandungi lebih daripada 180 teks yang mencela Imam Abu Hanifah, bahkan sebahagiannya mengkafirkannya. Dalam kitab ini disebutkan bahawa:

1 - Janggutnya ditarik seolah-olah dia adalah kambing dan dibawa berkeliling di majlis untuk diminta bertaubat daripada kekufuran lebih daripada sekali.

2 - Dia memberi fatwa membolehkan memakan daging babi.

3 - Terdapat nukilan daripada Imam Malik yang menyebutnya dengan buruk dengan berkata: "Dia hampir menghancurkan agama dan sesiapa yang hampir menghancurkan agama bukanlah daripada agama (Islam)."

Penyunting telah mengesahkan kesahihan perawi dalam rantaian sanad riwayat ini dan pelbagai celaan yang lain.

Meriwayatkan riwayat ini dalam sebuah buku yang bertujuan untuk menghimpunkan sunnah dan akidah yang diwarisi adalah contoh terbaik bahawa mencela tokoh-tokoh Muslim dan ulamanya adalah rukun daripada rukun-rukun akidah mereka ini yang ditentang oleh para ulama. Tiada jalan lain bagi mereka kecuali mencela para ulama dan menuduh mereka sebagai Jahmiyyah dan menyimpang daripada manhaj salaf. Mereka meninggalkan jawapan ilmiah dan menggantinya dengan pendekatan yang dianggap berjaya ini dalam mempersona orang awam yang terpedaya dengan penampilan mereka yang berpura-pura zuhud seperti al-Harawi al-Karrami dan terperdaya dengan slogan seruan kepada kitab dan sunnah serta mengikuti salaf.

Antara yang terkandung dalam kitab ini berupa kelancangan terhadap Allah ialah:

1 – Menyifatkan Allah dengan duduk di atas Arasy.

2 - Menetapkan dada dan dua lengan bagi Allah.

3 - Menetapkan berat bagi Allah.

4 – Adam diciptakan dalam rupa Allah.

4 - Allah berada di atas kerusi dari emas yang dipikul oleh empat malaikat.

5 - Allah meletakkan kedua kaki-Nya di atas Kursi sehingga Kursi telah menjadi seperti selipar di kedua kaki-Nya.

7 - Apabila Allah ingin menakutkan seseorang dari hamba-Nya, Allah menampakkan sebahagian diri-Nya,

8 - Dia mendekatkan Daud sehingga dia menyentuh sebahagian-Nya dan memegang kaki-Nya.

Antara yang terkandung di dalamnya berkenaan Imam Ahmad ialah bahawa beliau mensahihkan hadis-hadis yang menetapkan duduk Allah di atas Arasy dan berlakunya bunyi derit dari duduk ini, Allah meletakkan kedua kaki-Nya di atas Kursi, Kursi adalah tempat kedua kaki-Nya dan Allah duduk di atas Arasy sehingga tidak berbaki daripada Arasy itu melainkan selebar empat jari dan lain-lain yang kejelekannya dan kelemahan sanadnya tidak tersembunyi lagi kepada sebahagian mereka namun mereka mendiamkan diri daripada mempersoalkan penisbahan pensahihan hadis-hadis tersebut kepada imam mereka dan anak imam mereka.

Mustahil bahawa Imam Ahmad mensahihkan riwayat-riwayat ini kerana tersembunyi kepadanya kelemahan sanadnya dan kejelekan matannya serta bercanggah dengan akidah Salaf, kemudian datang pula penyunting untuk mendedahkannya.

Sumber:

Al-Tajsim Fi al-Fikr al-Islami oleh Dr Suhaib al-Saqqar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan