Surah al-Qariah adalah surah Makkiyyah (diturunkan sebelum Hijrah). Surah ini membincangkan tentang kegetirannya Hari Kiamat serta kesusahannya dan apa yang akan berlaku pada hari itu berupa peristiwa ngeri seperti bertebarannya manusia pada hari yang menakutkan itu seperti kupu-kupu yang berterbangan, tersebar di sana sini, berkecamuk tanpa aturan kerana kebingungan dan ketakutan yang amat dahsyat.
Surah ini juga membincangkan tentang kehancuran dan berterbangan
gunung-ganang sehingga menjadi seperti bulu yang terbang di udara, yang mana
sebelum itu ia berdiri keras dan kukuh di atas bumi. Surah ini mengaitkan
antara manusia dan gunung-ganang sebagai peringatan tentang kesan Hari Kiamat
terhadap gunung-ganang sehingga menjadi seperti bulu yang ditiup, maka
bagaimanakah keadaan manusia pada hari yang sukar itu?
Surah yang mulia ini diakhiri dengan menyebutkan tentang timbangan
yang akan menimbang amalan manusia serta pembahagian makhluk kepada golongan
yang bahagia dan golongan yang celaka berdasarkan berat dan ringan timbangan
kebajikannya. Sesiapa yang berat timbangan kebaikannya akan masuk ke syurga dan
sesiapa yang ringan timbangan kebaikannya akan masuk ke neraka.
Surah ini dinamakan al-Qariah (hari yang mengetuk) kerana ia
menggetuk hati dan pendengaran dengan kedahsyatannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan