Rabu, 23 April 2025

Sinopsis Surah al-Qadr

 


Surah al-Qadr adalah surah Makkiyah (diturunkan sebelum Hijrah). Ia membicarakan tentang sejarah permulaan turunnya al-Quran dan tentang kelebihan Lailatul Qadar berbanding seluruh hari dan bulan yang lain.

Ini kerana pada malam itu para malaikat dan Jibril turun pada malam itu dengan izin Tuhan mereka Yang Maha Suci dengan setiap perkara yang telah ditetapkan oleh Allah untuk tahun tersebut, sama ada rezeki, kematian, kelahiran atau perkara-perkara lain yang ditentukan oleh Allah.

Penurunan mereka itu juga dengan membawa keselamatan, keamanan, keberkatan, dan kebaikan kepada hamba-hamba Allah yang beriman lagi soleh, dari Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang yang melimpahkannya kepada sesiapa yang Dia kehendaki, sebagai memuliakan penurunan al-Quran pada malam itu.

Surah ini juga menceritakan bahawa turunnya para malaikat yang mulia itu menyebabkan malam itu dipenuhi dengan kebaikan dan keamanan sehinggalah terbit fajar. Ini menggambarkan alangkah besarnya malam yang penuh kemuliaan itu di sisi Allah, yang mana ia lebih baik daripada seribu bulan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan