Sabtu, 13 Julai 2019

Manhaj Kitab al-Mustadrak al-Hakim



- Dalam kitab ini Imam al-Hakim (m. 405 H) ingin mengikuti al-Syaikhain (Imam al-Bukhari dan Muslim) dengan mengeluarkan hadis-hadis yang menepati syarat kedua-dua mereka atau salah satu daripada mereka.

- Kitab ini dianggap sebagai kitab ‘al-Sahih’ kerana pengarangnya berusaha untuk mengumpulkan hadis-hadis sahih tambahan (zawaid) yang menepati syarat al-Syaikhain yang tidak dikeluarkan oleh kedua mereka dalam dua kitab Sahih mereka.

- Apabila Imam al-Hakim membawakan sesuatu hadis beliau akan mengulas: “Hadis ini sahih berdasarkan syarat al-Syaikhain” atau “Sahih berdasarkan syarat al-Bukhari” atau “Sahih berdasarkan syarat Muslim”.

- Imam al-Hakim juga membawakan hadis-hadis yang lain yang menetapi syarat hadis sahih (walaupun tidak menurut syarat al-Syaikhain atau salah seorang daripada mereka).

- Dalam kitab ini juga Imam al-Hakim memuatkan hadis-hadis yang beliau sendiri berpandangan bahawa ia tidak sahih, tetapi beliau memuatkannya sebagai hadis sokongan (mutaba’at).

Jenis hadis dalam kitab al-Mustadrak

Dalam kitab ini, Imam al-Hakim menyebutkan tiga jenis hadis:

Jenis Pertama: Hadis sahih menurut syarat al-Syaikhain atau salah seorang daripada mereka dan mereka tidak mengeluarkannya dalam kitab Sahih mereka. Jumlah hadis jenis ini mencapai 2767 buah hadis.

Jenis Kedua: Hadis yang sahih di sisi beliau walaupun tidak menepati syarat al-Syaikhain atau salah seorang daripada mereka. Hadis ini kebiasaannya diulas oleh al-Hakim dengan katanya: “Sahih al-Isnad.” Jumlah hadis ini jenis ini mencapai 2735 buah hadis.

Jenis Ketiga: Hadis yang tidak sahih di sisi beliau dan beliau memperingatkan akan ketidaksahihan hadis tersebut.

- Imam al-Hakim masyhur sebagai seorang yang mutasahil (longgar) dalam menghukum kesahihan hadis. Disebabkan itu beliau dikritik oleh ramai ulama dan ahli hadis selepas beliau antaranya ialah al-Hafiz al-Zahabi dalam kitab beliau Talkhis al-Mustadrak. Terdapat banyak hadis yang disahihkan oleh al-Hakim tetapi menurut al-Hafiz al-Zahabi hadis tersebut adalah daif dan mungkar. Terdapat juga sekitar 100 buah hadis yang menurut al-Hafiz al-Zahabi merupakan hadis-hadis maudhu’.

Rujukan:

- Al-Wajiz Fi Ta’rif Kutub al-Hadith, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

- Al-Ta'rif al-Wajiz Bi Manahij Asyhar al-Musannifin Fi al-Hadith, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan