1 - Daripada Hisham bin Urwah bin al-Zubair, bahawa bapanya meninggal dunia ketika dia berpuasa dan orang ramai berkata kepadanya: "Berbukalah," tetapi dia tetap tidak berbuka.
Daripada Hisham bin Urwah bin Al-Zubair juga, bahawa bapanya
berpuasa sepanjang tahun kecuali pada hari raya Aidilfitri dan hari raya
Aidiladha dan dia meninggal dunia dalam keadaan berpuasa.
2 - Syu'aib bin al-Habhab berkata: “Hunaidah, isteri
Ibrahim al-Nakha'i, telah memberitahu saya bahawa Ibrahim berpuasa sehari dan
berbuka sehari.”
3 - Daripada Ayyub, dia berkata: “Muhammad bin Sirin
berpuasa sehari dan berbuka sehari.”
4 - Sufyan bin 'Uyainah berkata: “Mansur bin Al-Mu'tamir
berpuasa selama enam puluh tahun. Dia bangun pada malamnya dan berpuasa pada
siangnya. Semoga Allah merahmatinya.”
5 - Muhammad bin Abdul A'la berkata: Mu'tamir bin Sulaiman
Al-Taimi berkata kepada saya: "Kalau bukan kerana kamu daripada
keluarga saya, saya tidak akan memberitahu kamu tentang bapa saya ini. Bapa
saya telah berpuasa selama 40 tahun, sehari berpuasa dan sehari berbuka dan dia
solat Subuh dengan wuduk Isyak."
6 - Abu 'Asim Al-Nabil berkata: “Ibnu Juraij adalah
seorang ahli ibadah yang berpuasa sepanjang tahun kecuali tiga hari dalam (setiap)
bulan.”
7 - Bakkar bin Muhammad berkata: “Ibnu 'Aun berpuasa
sehari dan berbuka sehari.”
Abdurrahman bin Mahdi berkata: “Tidak ada di Iraq orang
yang lebih mengetahui tentang sunnah daripada Ibnu 'Aun.”
8 - Ibnu Abi 'Adi berkata: “Daud bin Abi Hind berpuasa
selama 40 tahun tanpa diketahui oleh keluarganya. Dia adalah seorang penjual
kain yang membawa makanan tengah harinya lalu menyedekahkannya di jalan.”
9 - Saudara Muhammad bin Abi Dhi'b berkata: “Saudaraku
berpuasa sehari dan berbuka sehari, kemudian beliau berpuasa secara berterusan.
Dia hidup dalam keadaan susah, makan malam dengan roti dan minyak zaitun. Dia
mempunyai sehelai baju dan selendang yang dipakainya pada musim sejuk dan
panas. Dia adalah termasuk orang yang tegas dan berani menyatakan kebenaran. Dia
menghafal hadisnya tidak mempunyai kitab (catatan). Dia pergi awal ke solat
Jumaat, lalu solat sehingga imam keluar (berkhutbah).”
10 - Yahya bin Ma'in berkata: “Pada suatu hari, Ghundar
mengeluarkan kepada kami sebuah karung yang berisi kitab-kitab, lalu berkata:
"Berusahalah untuk mencari kesalahan di dalamnya."
Yahya bin Ma’in berkata: "Kami tidak menemui apa-apa
kesalahan di dalamnya. Dia telah berpuasa sehari dan berbuka sehari selama 50
tahun."
11 - 'Ubaid bin Muhammad Al-Warraq berkata: “Ma'ruf
Al-Karkhi, ketika sedang berpuasa, melintasi di hadapan seorang pemberi air
yang berkata: Semoga Allah merahmati orang yang minum. Lalu dia minum kerana mengharapkan
rahmat Allah.”
12 - Abu 'Ubaidah menyebutkan, katanya: “Baqi bin Makhlad
mengkhatamkan al-Quran setiap malam dalam 13 rakaat dan dia solat pada siang
hari 100 rakaat. Dia berpuasa sepanjang tahun dan dia banyak berjihad dan
seorang yang mulia. Disebutkan bahawa dia telah menyertai 72 peperangan.”
13 - Sekumpulan ulama dari Qazwin berkata: “Abu al-Hasan al-Qattan,
semoga Allah merahmatinya, tidak pernah melihat orang seperti dirinya dari segi
kehebatan dan kezuhudan. Dia berpuasa secara berterusan selama 30 tahun dan
beliau biasa berbuka dengan roti dan garam. Kelebihan-kelebihannya terlalu
banyak untuk dihitung.”
14 - Al-Hafiz al-Zahabi berkata: “Imam al-Suri dilahirkan
pada tahun 376 atau 377. Beliau, semoga Allah merahmatinya, biasa berpuasa
secara berterusan kecuali pada hari-hari raya.”
Sumber:
Siyar A’lam al-Nubala’ oleh al-Hafiz al-Zahabi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan