1 - Daripada Ibrahim, beliau berkata: “Al-Aswad bin Yazid mengkhatamkan Al-Quran pada bulan Ramadan setiap dua malam. Beliau tidur antara Maghrib dan Isyak. Beliau mengkhatamkan al-Quran di luar bulan Ramadan setiap enam malam.”
2 - Daripada Ibnu Syawzab, beliau berkata: “Urwah (bin
al-Zubair bin al-‘Awwam) membaca seperempat al-Quran setiap hari dengan melihat
mushaf. Beliau melakukan qiyamullail dengan membacanya dan beliau tidak pernah
meninggalkannya kecuali pada malam kakinya dipotong. Kakinya telah ditimpa penyakit
yang mereputkan anggota badannya lalu ia dipotong. Apabila tiba musim
buah-buahan masak, beliau membuka pagar kebunnya, kemudian membenarkan orang
ramai memasukinya untuk makan dan membawa pulang buah-buahan.”
3 - Salam bin Abi Muti' berkata: “Qatadah mengkhatamkan al-Quran
dalam tujuh hari dan apabila tiba Ramadan, beliau mengkhatamkannya setiap tiga
hari. Apabila tiba sepuluh hari terakhir, beliau mengkhatamkannya setiap malam.”
4 - Ibnu al-Madini berkata: “Bisyr bin Mansur menggali
kuburnya sendiri dan mengkhatamkan al-Quran di dalamnya. Wiridnya adalah
sepertiga al-Quran.”
5 - Abu Bakr bin Ayyash hidup selama kira-kira 40 tahun dengan
mengkhatamkan al-Quran sekali setiap sehari semalam.
Yahya al-Hamman beliau berkata: “Ketika Abu Bakr (bin
Ayyash) hampir meninggal dunia, saudara perempuannya menangis. Lalu beliau
berkata kepadanya: "Apa yang membuatmu menangis? Lihatlah ke sudut itu,
saudaramu telah mengkhatamkan al-Quran di situ sebanyak 18 ribu kali."
6 - Daripada Husain al-Anqazi, beliau berkata: “Ketika
Ibnu Idris (Abdullah bin Idris al-Audi) hampir meninggal dunia, anak
perempuannya menangis. Lalu beliau berkata: Jangan menangis, wahai anakku,
sesungguhnya aku telah mengkhatamkan al-Quran di rumah ini sebanyak 4000
kali."
7 - Khalifah al-Ma'mun telah membaca al-Quran sebanyak 33
kali khatam pada bulan Ramadan.
8 - Muhammad bin Zuhair bin Muhammad bin Qumair berkata: “Bapa
saya mengumpulkan kami (anak-anaknya) pada waktu beliau mengkhatamkan al-Quran
pada bulan Ramadan sebanyak tiga kali setiap sehari semalam. Beliau
mengkhatamkan 90 kali dalam Ramadan.”
10 - Musabbih bin Said berkata: “Muhammad bin Isma'il (al-Bukhari)
mengkhatamkan pada bulan Ramadan pada waktu siang setiap hari satu kali khatam.
Beliau melakukan qiyam (solat malam) selepas Tarawih setiap tiga malam dengan
satu khatam.”
11 - Abu al-Abbas bin Ata' al-Baghdadi mengkhatamkan al-Quran setiap hari sekali dan pada bulan Ramadan 90 kali. Beliau pernah kekal dengan satu khatam selama lebih dari sepuluh tahun demi untuk memahami dan merenungkannya.
12 – Dikatakan Abu Bakar Muhammad bin Ali al-Kattani telah
mengkhatamkan al-Quran sebanyak 12 ribu kali semasa tawaf dan beliau adalah
salah seorang wali yang meninggal dunia pada tahun 322 Hijrah.
13 - Abu Bakr bin al-Haddad berkata: “Aku telah memaksa
diriku (untuk mengikuti) apa yang diriwayatkan oleh al-Rabi' daripada
al-Syafi'i, bahawa beliau mengkhatamkan sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadan,
selain daripada apa yang beliau baca dalam solat. Maka yang paling banyak yang aku
mampu adalah 59 kali khatam dan pada bulan selain Ramadan aku mampu mencapai 30
kali khatam.”
14 - Abdul Muhsin al-Shihi berkata: “Aku adalah teman
perjalanan Abu Bakr al-Khatib (al-Baghdadi) dari Damsyik ke Baghdad. Beliau
mengkhatamkan al-Quran sekali dalam setiap sehari semalam.”
Sumber:
Siyar A’lam al-Nubala’ oleh al-Hafiz al-Zahabi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan