Selasa, 29 September 2020

Manhaj Kitab al-Mughni Fi al-Dhu’afa’ Wa al-Matrukin Karangan al-Hafiz al-Zahabi

 


- Kitab ini ialah sebuah kitab yang kecil tetapi mempunyai nilai yang besar dan banyak manfaatnya.

- Melalui kitab ini, beliau berhasrat untuk menghimpunkan perawi-perawi yang ada kritikan pada mereka walaupun walaupun pada hakikatnya perawi tersebut adalah thiqah (atau kedudukan yang hampir dengannya seperti soduq, hasan al-hadith, soleh al-hadith dan lain-lain). Manhaj beliau ini adalah sama seperti Ibnu ‘Adi (m. 365H) dalam kitab al-Kamil Fi al-Dhu’afa’.

- Kitab ini dikarang sebelum kitab Mizan al-I’tidal yang juga menghimpunkan perawi-perawi daif.

- Kitab ini mengandungi perawi-perawi pendusta, pemalsu hadis, perawi matruk (ditinggalkan hadisnya) dan perawi yang binasa (هالك).

- Dalam kitab ini juga terdapat sebahagian perawi thiqah yang ada sedikit kritikan pada mereka dan ada juga perawi thiqah yang disenaraikan sebagai perawi daif oleh ahli hadis yang bersikap keras dalam mengkritik perawi.

- Seterusnya disebutkan sejumlah besar perawi majhul dan perawi-perawi yang dinaskan oleh Abi Hatim al-Razi sebagai majhul.

- Dalam kitab ini tidak disebutkan perawi-perawi yang dikatakan kepada mereka sebagai: محله الصدق (martabatnya di kalangan orang yang bersifat benar), يكته حديثه (ditulis hadisnya), لا بأس به (tiada masalah dengannya), هو شيخ (dia adalah syeikh) dan صالح الحديث (salih hadisnya) kerana ini termasuk dalam ucapan ta’dil (pujian terhadap perawi).

- Beliau meletakkan rumus secara khusus bagi perawi Kutub al-Sittah seperti berikut:

1 – Huruf Kha’ (خ) bagi perawi yang dikeluarkan hadisnya oleh al-Bukhari.

2 – Huruf Mim (م) bagi Muslim.

3 – Huruf Dal (د) bagi Abu Daud.

4 – Huruf Ta’ (ت) bagi al-Termizi.

5 – Huruf Sin (س) bagi al-Nasa’ie.

6 – Huruf Qaf (ق) bagi Ibnu Majah.

7 – Huruf ‘Ain (ع) bagi keenam-enam mereka.

8 – Huruf ‘Ain Ha’ (عه) bagi empat sunan.

- Beliau benar-benar meringkaskan dan memudahkan kitab ini agar penuntut ilmu hadis dapat mengenali perawi-perawi daif dengan mudah.

-Keseluruhan perawi yang terdapat dalam kitab ini ialah 7854 orang perawi.

- Kitab ini diterbitkan oleh Dar al-Ma’arif, Halab yang ditahqiq oleh Syeikh Dr Nuruddin ‘Itr rahimahullah pada tahun 1971 dalam dua jilid kitab bersaiz sederhana.

Rujukan:

- Masadir al-Hadith Wa Maraji’uhu oleh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

- Mukadimah tahqiq al-Mughni Fi al-Dhu’afa’ oleh Syeikh Dr Nuruddin ‘Itr.

Khamis, 17 September 2020

Kebaikan Banyak Mengingati Mati

Abu al-Darda’ radhiallahu ‘anhu berkata:

“Sesiapa yang banyak mengingati mati nescaya kuranglah rasa seronoknya (dengan dunia) dan sedikitlah rasa dengkinya (dengan orang lain).”

[Sumber: Siyar A'lam al-Nubala' oleh al-Zahabi]

_______________

Abu al-Darda’ atau nama sebenarnya ‘Uwaimir bin Zaid bin Qais al-Ansari (ada khilaf panjang tentang nama beliau dan bapanya) merupakan sahabat Nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Beliau merupakan seorang peniaga di Madinah sejak Nabi sallahu ‘alaihi wasallam belum menjadi Rasul lagi. Dalam sebuah hadis mursal riwayat al-Thabarani dalam Mu’jam al-Ausath, Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Orang yang bijak di kalangan umatku ialah ‘Uwaimir”. Mu’awiyah melantiknya menjadi Qadhi di Damsyik dengan arahan daripada ‘Umar bin al-Khattab. Meninggal dunia pada tahun 32 Hijrah ketika zaman khilafah ‘Uthman bin ‘Affan. Menurut pendapat yang lain tahun 31 Hijrah. Kubur beliau terletak di Bab al-Saghir, Damsyik.

Ahad, 13 September 2020

Pakaian Indah Tidak Mengurangkan Kezuhudan

Al-Mawardi berkata:

"Aku bersolat di belakang Abu al-Hasan al-Qazwini. Aku melihat beliau memakai pakaian yang bersih dan indah. Terdetik di dalam hatiku: Adakah berpakaian indah ini dianggap zuhud? Apabila selesai memberi salam beliau berkata: Subahanallah, berpakaian indah tidak mengurangkan kezuhudan."

[Sumber: Siyar A'lam al-Nubala' oleh al-Zahabi]

__________________

Imam Abu al-Hasan Ali bin Umar bin Muhammad al-Qazwini ialah seorang ulama mazhab al-Syafi'e di Baghdad. Beliau dilahirkan pada tahun 360 Hijrah. Salah seorang murid beliau ialah al-Khatib al-Baghdadi. Al-Khatib al-Baghdadi berkata: "Kami menulis hadis daripadanya. Beliau merupakan seorang yang zuhud dan hamba Allah yang soleh. Dipelajari daripadanya al-Quran dan diriwayatkan daripadanya hadis. Beliau tidak keluar dari rumahnya melainkan untuk solat." Al-Subki dalam Thabaqat al-Syafi'eyyah al-Kubra berkata: "Beliau salah seorang wali Allah yang dibukakan kepadanya lintasan hati orang yang berbicara." Al-Zahabi dalam Siyar A'lam al-Nubala' membawakan sebuah kisah daripada Ahmad bin Thalhah bin al-Munaqqi bahawa Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam berpesan kepadanya di dalam mimpi supaya menyampaikan salam kepada Abu al-Hasan al-Qazwini. Beliau meninggal dunia pada tahun 442 Hijrah. Pada hari kematiannya seluruh Baghdad ditutup dan orang ramai berkumpul untuk mengunjungi jenazahnya. Menurut al-Khatib al-Baghdadi, beliau tidak pernah melihat kumpulan orang yang mengunjungi jenazah yang lebih ramai daripada itu.

Sabtu, 12 September 2020

Zahid Yang Sebenar

Abu Sulaiman al-Darani berkata:

"Seorang zahid yang sebenar tidak mencela dunia dan tidak juga memujinya. Dia tidak melihat kepada dunia, tidak gembira apabila dunia datang kepadanya dan tidak bersedih apabila dunia pergi daripadanya."

[Sumber: Hilyah al-Auliya' oleh Abu Nu'aim al-Asbahani]

________________

Imam Abu Sulaiman al-Darani merupakan seorang ulama yang masyhur dengan kezuhudan. Beliau lahir sekitar tahun 140 Hijrah. Salah seorang  guru beliau ialah Sufyan al-Thauri. Al-Khatib al-Baghdadi memuji beliau sebagai salah seorang hamba Allah yang soleh dan daripada kalangan zahid yang banyak beribadat. Meninggal dunia pada tahun 215 Hijrah.


Rabu, 2 September 2020

Status Hadis: Matilah Sebelum Engkau Mati


مُوتُوا قَبْلَ أَنْ تَمُوتُوا

“Matilah sebelum engkau mati.”

1 – Al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah menukilkan daripada guru beliau, al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani bahawa beliau berkata ia tidak sabit (yakni palsu).

Hukum al-Hafiz Ibnu Hajar ini diikuti oleh para ulama selepas beliau seperti:

a. Al-Mulla Ali al-Qari dalam al-Asrar al-Marfu’ah dan al-Masnu’.

b. Mar’ie al-Karmi dalam al-Fawaid al-Maudhu’ah.

c. Al-Qauqji dalam al-Lu’lu’ al-Marsu’.

d. Al-‘Ajluni dalam Kasyf al-Khafa’.

2 – Al-Mulla ‘Ali al-Qari dalam al-Asrar al-Marfu’ah berkata: “Kalam ini adalah daripada kalam kaum sufi. Maknanya: Matilah secara pilihan sebelum kamu mati secara terpaksa. Yang dimaksudkan mati secara  pilihan ialah meninggalkan syahawat dan hiburan serta perkara yang lahir daripada keduanya seperti kegelinciran (dosa) dan kelalaian.”