Sabtu, 31 Julai 2021

Imam Abu Syuja’ - Pengarang Matan Abi Syuja’ atau al-Ghayah wa al-Taqrib

 

Nama beliau ialah Ahmad bin al-Hasan bin Ahmad al-‘Abbadani al-Asfahani al-Syafi'e. Sebahagian ulama menyebutkan nama bapa beliau sebagai al-Husein. Kunyah beliau ialah Abu Syuja’ dan Abu al-Tayyib. Gelaran beliau pula ialah Syihabuddin.

Beliau dilahirkan di Basrah pada tahun 434 Hijrah sebagaimana yang beliau beritahu kepada muridnya, al-Hafiz Abu Tahir al-Silafi.

Gelaran al-‘Abbadani ialah nisbah kepada ‘Abbadan, Iran yang merupakan tempat kelahiran datuk beliau manakala gelaran al-Asfahan pula ialah nisbah kepada Asfahan, Iran yang merupakan tempat kelahiran bapa beliau.

Beliau mengajar mazhab al-Syafi’i di kota Basrah selama lebih daripada 40 tahun.

Tidak ada sebarang maklumat tentang guru-guru beliau dan murid beliau yang diketahui pula hanyalah al-Hafiz al-Silafi.

Menurut Imam al-Subki, beliau juga mempunyai sebuah kitab yang mensyarahkan kitab al-Iqna’ karangan Imam al-Mawardi.

Beliau meninggal dunia setelah tahun 500 Hijrah, iaitu pada tahun yang tidak diketahui secara tepat. Menurut al-Hafiz al-Silafi, beliau bertemu dengan Imam Abu Syuja’ pada tahun 500 Hijrah dan Imam Abu Syuja’ hidup beberapa tahun selepas itu yang beliau tidak dapat pastikan. Al-Hafiz al-Silafi sendiri meninggal dunia pada tahun 576 Hijrah, jadi dapat disimpulkan bahawa Imam Abu Syuja’ meninggal dunia antara tahun 500 Hijrah hingga 576 Hijrah. Imam al-Subki dalam Thabaqat al-Syafi’iyyah al-Kubra juga menyebutkan bahawa beliau meninggal pada kurun ke-6 Hijrah.

Semoga Allah merahmati Imam Abu Syuja’.

Beberapa Perkara Yang Dinisbahkan Kepada Imam Abu Syuja’

Para ulama yang mensyarahkan matan Abi Syuja’ dan menulis biodata beliau ada menisbahkan beberapa fakta kepada beliau, antaranya:

1 - Beliau pernah menjawat jawatan menteri.

2 - Beliau meninggal dunia pada tahun 488 Hijrah.

3 - Beliau dikebumikan di Madinah al-Munawwarah iaitu berhampiran dengan Bab Jibril yang sekarang ini berada di dalam Masjid Nabawi dan tidak jauh dari makam Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

4 - Usia beliau sangat panjang sehingga 160 tahun. Apabila ditanya tentang rahsia panjang usia beliau, beliau menjawab: “Aku menjaga anggota badanku daripada maksiat ketika aku muda maka Allah menjaganya ketika aku tua.”

Berkenaan fakta pertama, kedua dan ketiga, mungkin para ulama yang menulis biodata Imam Abu Syuja’ tersilap menisbahkannya kepada beliau kerana terkeliru dengan seorang lagi tokoh yang mempunyai nama yang hampir sama iaitu Abu Syuja’ Zahiruddin Muhammad bin al-Hussein al-Ruzrawari al-Syafi’i.

Abu Syuja’ al-Ruzrawari ini memang pernah menjadi menteri ketika pemerintahan Khalifah al-Muqtadi daripada kerajaan Abbasiah dan meninggal dunia tahun 488 Hijrah di Madinah tetapi beliau dikebumikan di Baqi’. Manakala tokoh yang dikebumikan berhampiran Bab Jibril tersebut pula sebenarnya seorang menteri dari Asbahan bernama Jamaluddin Abu Ja’far Muhammad bin Ali bin Abi Mansur, meninggal dunia pada 559 Hijrah.

Berkenaan fakta keempat pula, sebenarnya fakta tersebut merujuk kepada tokoh lain yang sama kunyahnya seperti beliau iaitu al-Qadhi Abu al-Tayyib al-Tabari. Ibnu al-Jauzi dalam Sifah al-Sofwah mencatatkan bahawa beliau pernah berkata: “Sesungguhnya anggota-anggota kami ini kami jaga daripada bermaksiat kepada Allah maka Allah menjaganya untuk kami.” Al-Khatib al-Baghdadi juga menyebutkan bahawa usia Abu al-Tayyib al-Tabari ini mencapai 160 tahun tetapi masih mempunyai akal yang sihat, kefahaman yang baik, menjadi hakim dan memberi fatwa sehinggalah kematiannya.

Baca juga:

Imam Ibnu Ajurrum - Pengarang Matan al-Ajurrumiyyah

Jumaat, 30 Julai 2021

Waktu Disunatkan Bersiwak

1 - Bersiwak adalah dianjurkan pada bila-bila masa sahaja melainkan selepas masuk waktu zohor bagi orang yang berpuasa. Imam Abu Syuja’ berkata: “Bersiwak itu disunatkan pada setiap keadaan melainkan setelah gelincir matahari bagi orang yang berpuasa.”

2 - Rasulullah sallahu ‘alihi wasallam bersabda:

لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ.

“Bau mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada hadis Abu Hurairah.

Bau mulut tersebut kebiasaannya tidak berlaku kepada orang yang berpuasa melainkan setelah masuk waktu zohor. Bersiwak akan menghilangkan bau tersebut. Oleh itu, makruh bersugi setelah masuk waktu zohor bagi orang yang berpuasa.

Tidak dimakruhkan bersiwak jika belum masuk waktu zohor kerana perubahan bau mulutnya ketika itu adalah disebabkan oleh tidurnya atau makanan yang dimakannya pada waktu malam, bukan kerana kesan daripada puasa.

Begitu juga sekiranya bau mulut tersebut terjadi setelah zohor kerana dia tidur atau makan secara terlupa, maka tidak makruh juga untuk dia bersiwak kerana bau mulut tersebut terjadi bukan kerana kesan daripada berpuasa. Misalannya ada seseorang yang berpuasa lalu dia tidur setelah solat zohor dan bangun ketika solat asar. Dia mendapati bau mulutnya berubah disebabkan tidurnya, pada ketika itu disunatkan baginya untuk bersugi dan tidak makruh.

Dapat disimpulkan bahawa setiap perubahan bau mulut disebabkan oleh puasa maka makruh menghilangkannya dan setiap perubahan bau mulut yang berlaku kerana sebab selain puasa maka tidak makruh menghilangkannya bagi orang yang berpuasa.

3 - Antara waktu yang sangat dituntut untuk bersiwak adalah:

(i) Ketika bau mulut berubah disebabkan lama berdiam diri atau lama tidak makan atau selainnya seperti setelah makan makanan yang kuat baunya seperti bawang putih.

(2) Setelah bangun dari tidur. Aisyah radhiallahu ‘anha berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا قَامَ مِنَ اللَّيْلِ، يَشُوصُ فَاهُ بِالسِّوَاكِ.

“Nabi sallahu ‘alaihi wasallam apabila bangun pada waktu malam (untuk solat tahajud) baginda akan membersihkan mulutnya dengan bersiwak.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Dalam hadis yang lain Aisyah radhiallahu ‘anha berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لَا يَرْقُدُ مِنْ لَيْلٍ وَلَا نَهَارٍ، فَيَسْتَيْقِظُ إِلَّا تَسَوَّكَ قَبْلَ أَنْ يَتَوَضَّأَ.

“Sesungguhnya Nabi sallahu ‘alaihi wasallam tidak tidur pada malam mahupun siang hari lalu baginda bangun melainkan baginda akan bersiwak dahulu sebelum berwuduk.”

Riwayat Abu Daud.

(3) Ketika hendak solat. Rasulullah sallahu ‘alihi wasallam bersabda:

لَوْلاَ أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لَأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ مَعَ كُلِّ صَلاَةٍ.

“Kalaulah tidak kerana bimbang akan menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak setiap kali solat.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

(4) Ketika hendak berwuduk. Rasulullah sallahu ‘alihi wasallam bersabda:

لَوْلاَ أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لَأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ مَعَ كُلِّ وُضُوءٍ.

“Kalaulah tidak kerana bimbang akan menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak setiap kali berwuduk.”

Riwayat Ahmad.

5 - Ketika hendak membaca al-Quran. Rasulullah sallahu ‘alihi wasallam bersabda:

إِنَّ أَفْوَاهَكُمْ طُرُقٌ لِلْقُرْآنِ، فَطَيِّبُوهَا بِالسِّوَاكِ.

“Sesungguhnya mulut-mulut kamu itu adalah jalan bagi al-Quran, maka perelokkanlah ia dengan bersiwak.”

Riwayat Ibnu Majah dengan sanad yang daif.

6 - Setelah masuk ke dalam rumah. Daripada Syuraih bin Hani’, beliau berkata: “Aku bertanya kepada Aisyah, apakah yang Nabi sallahu ‘alaihi wasallam mula-mula buat apabila masuk ke dalam rumah? Aisyah menjawab: “Bersiwak.”

Riwayat Muslim.

Rujukan:

1 - Durus Fi Syarah Matan al-Ghayah Wa al-Taqrib karangan Syeikh Abu Mustofa al-Baghdadi

2 - Hashiyah al-Tarmasi 'ala Syarah Ibnu Hajar 'ala Muqaddimah al-Hadramiyyah.

3 - Hashiyyah al-Bajuri ‘ala Syarah Ibnu Qasim ‘ala Matan Abi Syuja’.

Khamis, 29 Julai 2021

Hadis Tentang Mengasihi Haiwan

 

Hadis Pertama

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: بَيْنَا رَجُلٌ يَمْشِي، فَاشْتَدَّ عَلَيْهِ العَطَشُ، فَنَزَلَ بِئْرًا، فَشَرِبَ مِنْهَا، ثُمَّ خَرَجَ فَإِذَا هُوَ بِكَلْبٍ يَلْهَثُ يَأْكُلُ الثَّرَى مِنَ العَطَشِ، فَقَالَ: لَقَدْ بَلَغَ هَذَا مِثْلُ الَّذِي بَلَغَ بِي، فَمَلَأَ خُفَّهُ، ثُمَّ أَمْسَكَهُ بِفِيهِ، ثُمَّ رَقِيَ، فَسَقَى الكَلْبَ، فَشَكَرَ اللَّهُ لَهُ، فَغَفَرَ لَهُ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَإِنَّ لَنَا فِي البَهَائِمِ أَجْرًا؟ قَالَ: فِي كُلِّ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ.

Daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 “Ada seorang lelaki yang sedang berjalan-jalan lalu dia merasa sangat haus. Dia lalu turun ke sebuah perigi dan minum daripada air perigi tersebut.

Setelah itu dia keluar dari perigi dan mendapati ada seekor anjing yang sedang menjelirkan lidahnya menjilat-jilat tanah yang lembab kerana kehausan.

Lelaki itu berkata: Anjing ini sedang kehausan seperti yang aku rasakan tadi.

Maka dia memenuhkan kasutnya dengan air, memegang kasut tersebut dengan mulutnya kemudian dia naik ke atas dan memberi anjing itu minum.

Maka Allah berterima kasih kepadanya dan mengampuninya.

Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, adakah kita akan dapat pahala dengan berbuat baik kepada haiwan?

Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam menjawab: Berbuat baik terhadap setiap makhluk bernyawa akan diberi pahala.”

Riwayat al-Bukhari (no. 2363, 2466 & 6009) dan Muslim (no. 2244).

Huraian Hadis:

1 - Maksud ‘Allah berterima kasih kepadanyaiaitu Allah memujinya atau Allah menerima amalannya.

Pengajaran Hadis:

1 - Wajib berbuat ihsan kepada makhluk yang hidup sama ada manusia mahupun haiwan kerana Allah mencintai orang yang berbuat ihsan dan kebaikan.

2 - Menyakiti haiwan hukumnya adalah haram dan pelakunya akan mendapat dosa. Ini kerana dalam hadis ini menunjukkan bahawa berbuat baik terhadap haiwan akan mendapat pahala, maka dapat difahami maksud sebaliknya bahawa menyakiti haiwan akan mendapat dosa.

3 - Galakan berbuat baik terhadap manusia kerana jika memberi minum kepada anjing pun mendapat pengampunan dosa maka lebih-lebih lagilah besar pahalanya jika memberi minum kepada manusia.

Hadis Kedua

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: بيْنَما كَلْبٌ يُطِيفُ برَكِيَّةٍ، كادَ يَقْتُلُهُ العَطَشُ، إذْ رَأَتْهُ بَغِيٌّ مِن بَغايا بَنِي إسْرائِيلَ، فَنَزَعَتْ مُوقَها فَسَقَتْهُ فَغُفِرَ لها بهِ.

Daripada Abu Hurairah radiallahu 'anhu, beliau berkata: Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

“Ada seekor anjing yang mengelilingi sebuah perigi dan hampir sahaja kehausan itu membunuhnya. Seorang wanita pelacur daripada Bani Israel melihatnya. Wanita itu membuka kasutnya (untuk mengambil air) dan memberi anjing itu minum. Diampunkan dosanya kerana perbuatan tersebut.”

Riwayat al-Bukhari (no. 3467) dan Muslim (no. 2245).

Pengajaran Hadis:

1 - Hadis ini juga sama seperti hadis pertama yang menunjukkan kelebihan dan galakan membuat baik kepada makhluk yang hidup.

2 - Allah menyediakan pahala yang besar dan pengampunan dosa bagi orang yang berbuat ihsan sesama makhluk.

3 - Kelebihan memberi minum terutamanya kepada pihak yang sangat memerlukannya dan ia merupakan seafdal-afdal ibadat kepada Allah.

4 - Hadis ini menunjukkan luasnya anugerah Allah Ta’ala bahawa Dia mengampunkan dosa yang besar dengan sebab melakukan amalan kebaikan yang kecil. Sebahagian ulama meletakkan kemungkinan bahawa wanita tersebut bertaubat daripada perbuatan zinanya sebelum kematiannya.

5 - Tidak memandang remeh apa sahaja bentuk amalan kebajikan walaupun hanya kecil kerana mungkin ia menjadi sebab pengampunan dosa. 

6 - Kelebihan ikhlas dalam melakukan ketaatan kepada Allah. Amalan yang dilakukan oleh wanita Bani Israel tersebut tidak ada padanya unsur riyak kerana tidak ada yang melihat perbuatannya melainkan Allah. 

Hadis Ketiga

دخل النَّبِي صلى الله عَلَيْهِ وَسلم حَائِطا لرجل من الْأَنْصَار فَإِذا فِيهِ جمل فَلَمَّا رَأَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَنَّ وَذَرَفَتْ عَيْنَاهُ، فَأَتَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَمَسَحَ ذِفْرَاهُ فَسَكَتَ فَقَالَ من رب هَذَا الْجمل فجَاء فَتى من الْأَنْصَار فَقَالَ هُوَ لي فَقَالَ أَلا تتقي الله فِي هَذِه الْبَهِيمَة الَّتِي ملكك الله إِيَّاهَا فانه شكا إِلَيّ أَنَّك تجيعه وتدئبه.

"Nabi sallahu 'alaihi wasallam memasuki sebuah kebun milik seorang lelaki daripada kaum Ansar. Di dalam kebun tersebut terdapat seekor unta. Tatkala unta tersebut melihat Nabi sallallahu 'alaihi wasallam ia merintih dan kedua matanya mengalirkan air mata.

Nabi sallallahu 'alaihi wasallam menghampirinya dan mengusap belakang telinganya sehinggalah unta tersebut diam. Baginda bertanya: “Siapakah pemilik unta ini?”

Datang seorang pemuda daripada kaum Ansar dan berkata: “Kepunyaan saya, wahai Rasulullah.”

Baginda bersabda: “Tidakkah engkau takut kepada Allah dalam menguruskan haiwan ternakan yang telah Allah berikan ini? Sesungguhnya ia telah mengadu kepadaku bahawa engkau membiarkannya kelaparan dan membuatkannya kepenatan."

Riwayat Abu Daud (no. 2549) daripada hadis Abdullah bin Ja'far dengan sanad yang sahih.

Pengajaran Hadis:

1 - Haiwan peliharaan adalah nikmat daripada Allah. Hendaklah menghargainya dengan memberinya makan dan minum serta belas ihsan terhadapnya iaitu dengan tidak memaksanya melakukan tugasan di luar kemampuannya.

2 - Mukjizat Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam yang mampu memahami bahasa haiwan yang mengadu kepada baginda.

3 - Galakan memberi nasihat kepada orang supaya berbuat baik kepada makhluk Allah.

4 - Haiwan juga turut mengenali Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

5 - Islam mewajibkan untuk berlaku adil kepada semua makhluk. 

Hadis Keempat

مَا مِنْ إِنْسَانٍ قَتَلَ عُصْفُورًا فَمَا فَوْقَهَا بِغَيْرِ حَقِّهَا، إِلَّا سَأَلَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَنْهَا، قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَا حَقُّهَا؟ قَالَ: يَذْبَحُهَا فَيَأْكُلُهَا، وَلَا يَقْطَعُ رَأْسَهَا يَرْمِي بِهَا.

“Tidaklah seorang manusia itu membunuh burung pipit atau (haiwan) yang lebih daripadanya dengan tujuan yang salah melainkan Allah akan menyoalnya (pada hari kiamat). Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah tujuan yang benar (membunuhnya)? Baginda menjawab: Kamu menyembelihnya lalu memakannya, bukan kamu memotong kepalanya lalu membuangnya.”

Riwayat al-Nasa’i (no. 4349) daripada hadis Abdullah bin Amru dengan sanad yang daif.

Dalam riwayat yang lain, Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ قَتَلَ عُصْفُورًا عَبَثًا عَجَّ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَقُولُ: يَا رَبِّ، إِنَّ فُلَانًا قَتَلَنِي عَبَثًا، وَلَمْ يَقْتُلْنِي لِمَنْفَعَةٍ.

“Sesiapa yang membunuh burung pipit secara sia-sia, ia akan mengadu kepada Allah pada hari kiamat: Wahai Tuhan, sesungguhnya si fulan telah membunuhku secara sia-sia dan dia tidak membunuhku untuk mengambil manfaat.”

Riwayat al-Nasa’i (no. 4446) daripada hadis al-Syarid bin Suwaid dengan sanad yang daif.

Huraian Hadis:

1 - Maksud ‘haiwan yang lebih daripadanya’ iaitu haiwan yang lebih kecil daripada burung pipit atau yang lebih besar daripadanya.

2 - Maksud ‘Allah akan menyoalnya’ iaitu Allah akan mengazabnya.

Pengajaran hadis:

1 - Hadis ini menunjukkan bahawa haram membunuh haiwan sama ada kecil mahupun besar melainkan untuk tujuan yang dibenarkan syarak seperti untuk memakannya.

2 - Sentiasa berhati-hati dalam setiap perbuatan dan tindakan agar kita tidak menzalimi makhluk yang lain kerana dibimbangi mereka akan menuntut keadilan di hadapan Allah di akhirat kelak. 

3 - Berwaspada daripada melakukan sesuatu perbuatan yang dianggap remeh pada pandangan kita sedangkan dosanya adalah besar di sisi Allah.

Hadis Kelima

عَنْ سَهْلِ ابْنِ الْحَنْظَلِيَّةِ، قَالَ: مَرَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِبَعِيرٍ قَدْ لَحِقَ ظَهْرُهُ بِبَطْنِهِ، فَقَالَ: اتَّقُوا اللَّهَ فِي هَذِهِ الْبَهَائِمِ الْمُعْجَمَةِ، فَارْكَبُوهَا صَالِحَةً، وَكُلُوهَا صَالِحَةً.

Daripada Sahl bin al-Hanzalah, beliau berkata:

Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam menjumpai seekor unta yang dalam keadaan kurus kelaparan, baginda bersabda:

“Takutlah kepada Allah dalam menguruskan haiwan yang tidak boleh bercakap ini, tunggangilah ketika ia dalam keadaan yang sesuai dan makanlah ketika ia dalam keadaan baik.”

Riwayat Abu Daud (2548) dan Imam al-Nawawi mensahihkannya dalam Riyadh al-Salihin.

Huraian Hadis:

1 - Maksud ‘tunggangilah ketika ia dalam keadaan yang sesuai’ iaitu ketika ia masih sihat dan tidak terlalu kecil.

2 - Maksud ‘makanlah ketika ia dalam keadaan baik’ iaitu ketika ia gemuk dan berisi.

Pengajaran hadis:

1 - Galakan untuk mengasihi haiwan dan menjaga kebajikannya kerana haiwan tersebut tidak mampu untuk meluahkan rasa lapar dan sakit yang dialaminya.

2 - Wajib berbuat ihsan kepada haiwan dan memanfaatkannya dengan cara yang tidak menzaliminya.

3 - Ada haiwan yang tidak sesuai untuk ditunggangi sama ada kerana ia lemah, sakit atau memang ia tidak diciptakan untuk ditunggangi. Begitu juga ada haiwan yang boleh digunakan sebagai tunggangan dan untuk manfaat yang lain namun ia tidak boleh dimakan seperti keldai.

3 - Hendaklah menjaga harta benda yang dimiliki dan tidak merosakkannya.

Hadis Keenam

إِنَّ اللهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ، فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ.

“Sesungguhnya Allah telah memerintahkan berbuat ihsan pada setiap sesuatu. Apabila kamu ingin membunuh maka perelokkanlah pembunuhan tersebut. Apabila kamu ingin menyembelih maka perelokkanlah sembelihan tersebut. Hendaklah dia menajamkan mata pisaunya dan merehatkan haiwan sembelihannya.”

Riwayat Muslim (no. 1955) daripada hadis Syaddad bin Aus.

Huraian Hadis:

1 - Maksud ‘apabila kamu ingin membunuh maka perelokkanlah pembunuhan tersebut’ iaitu apabila kamu ingin membunuh sesuatu yang diharuskan syarak membunuhnya seperti kafir harbi, orang yang murtad, pembunuh atau haiwan yang berbahaya maka bunuhlah ia dengan cara yang tidak menyakitkan dan paling cepat mematikannya.

2 - Maksud ‘apabila kamu ingin menyembelih maka perelokkanlah sembelihan tersebut’ iaitu apabila kamu ingin menyembelih haiwan untuk dimakan maka sembelihlah ia dengan segera agar tidak menyeksanya.

3 - Maksud ‘merehatkan haiwan sembelihannya’ iaitu buatkan haiwan tersebut berasa rehat dan tenang sama ada sebelum disembelih atau ketika disembelih.

Pengajaran Hadis:

1 - Tuntutan melakukan setiap perkara dengan baik dan penuh ihsan walaupun dalam urusan pembunuhan dan penyembelihan.

2 - Islam adalah agama yang menitik beratkan sikap ihsan dan berkasih sayang sesama makhluk.

Hadis Ketujuh

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ عُذِّبَتْ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ سَجَنَتْهَا حَتَّى مَاتَتْ فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ لَا هِيَ أَطْعَمَتْهَا وَسَقَتْهَا إِذْ حَبَسَتْهَا وَلَا هِيَ تَرَكَتْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الْأَرْضِ.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar, Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:  

“Seorang wanita diazab disebabkan oleh seekor kucing. Dikurung kucing itu sehingga mati. Disebabkan perbuatannya itu, Allah memasukkannya ke dalam neraka. Kucing itu dikurung tanpa diberi makan dan minum dan tidak pula dilepaskan kucing itu untuk memakan haiwan perosak yang berada di bumi.” 

Riwayat al-Bukhari (no. 2365, 3318 & 3482) dan Muslim (no. 2242 & 2619). 

Huraian Hadis:

1 - Maksud 'haiwan perosak yang berada di bumi' yakni haiwan seperti tikus, serangga atau seumpamanya. 

Pengajaran Hadis:

1 – Harus untuk memelihara kucing dan mengurungnya sekiranya tidak lalai daripada tanggungjawab memberinya makan dan minum.

2 – Wajib menjaga kebajikan haiwan yang dimiliki.

3 – Hadis ini menjadi dalil keharaman membunuh kucing dan mengurungnya tanpa diberi makan dan minum.

4 – Mengurung haiwan tanpa memberi makan dan minum adalah maksiat dan menjadi sebab masuk ke neraka. 

Hadis Kelapan

عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ قُرَّةَ، عَنْ أَبِيهِ قَالَ: قَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنِّي لَأَذْبَحُ الشَّاةَ فَأَرْحَمُهَا، أَوْ قَالَ: إِنِّي لَأَرْحَمُ الشَّاةَ أَنْ أَذْبَحَهَا، قَالَ: وَالشَّاةُ إِنْ رَحِمْتَهَا، رَحِمَكَ اللَّهُ، مَرَّتَيْنِ.

Daripada Mu’awiyyah bin Qurrah, daripada bapanya, beliau berkata:

“Ada seorang lelaki berkata:

Wahai Rasulullah, apabila aku menyembelih seekor kambing maka aku merasa belas kasihan kepadanya. Atau (syak perawi hadis) dia berkata: Aku merasa belas kasihan kepada kambing apabila aku hendak menyembelihnya.

Baginda bersabda:

Kalau dengan kambing pun engkau ada rasa belas kasihan maka sudah tentu Allah akan mengasihimu.”

Baginda mengulanginya sebanyak dua kali."

Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (no. 373). Al-Hafiz al-Busiri dalam Ithaf al-Khiyarah al-Maharah mengatakan sanadnya sahih.

Huraian Hadis:

1 – Perawi hadis ini tidak pasti sama ada lelaki tersebut menyebutkan “Aku ingin menyembelih seekor kambing maka aku mengasihinya” atau “Aku mengasihi kambing apabila aku hendak menyembelihnya.” Kedua-duanya sama maksudnya walaupun lafaznya berbeza.

Pengajaran Hadis:

1 – Galakan untuk berkasih sayang dan mengasihi semua makhluk yang bernyawa.

2 – Orang yang mengasihi makhluk yang lain akan mendapat kasih sayang Allah.

Rujukan:

1 - Al-Bahr al-Muhith al-Thajjaj Fi Syarh Sahih al-Imam Muslim bin al-Hajjaj karangan Syeikh Muhammad Ali Adam al-Athyubi.

2 - Al-Fath Al-Mubin Bi Syarh al-Arba'in karangan Imam Ibnu Hajar al-Haitami.

3 - Al-Jawahir al-Lu'luiyyah Fi Syarah al-Arba'in al-Nawawiyyah karangan Syeikh Muhammad bin Abdullah al-Jurdani.

4 - Al-Riyadh al-Zakiyyah Syarah al-Arba'in al-Nawawiyyah karangan Syeikh Abdul Karim al-Khudair.

5 - Dalil al-Falihin Syarah Riyadh al-Salihin karangan Imam Ibnu ‘Allan al-Siddiqi.

6 - Mirqah al-Mafatih Syarah Misykat al-Masabih karangan Imam Mulla Ali al-Qari.

7 - Nuzhah al-Muttaqin Syarah Riyadh al-Salihin karangan Dr Mustafa al-Khin, Dr Mustafa al-Bugha, Muhyiddin Misto, Ali al-Syirbaji dan Muhammad Amin Luthfi.

8 - Riyadh al-Salihin karangan Imam al-Nawawi.

9 - Syarah Sunan Abu Daud karangan Imam Ibnu Ruslan.

10 - Zakhirah Al-'Uqba Fi Syarh Al-Mujtaba karangan Syeikh Muhammad Ali Adam al-Athyubi.

*Tulisan ini saya telah kemaskini semula pada 11/3/2023 dengan beberapa penambahan maklumat. Semoga bermanfaat.

Baca juga:

Hadis Kelebihan Sedekah

Hadis Kelebihan Menjaga Anak Yatim

Selasa, 27 Julai 2021

Imam al-Baiquni - Pengarang Manzumah al-Baiquniyyah

Nazam Manzumah al-Baiquniyyah sangat terkenal dipelajari oleh para pelajar yang ingin mendalami ilmu hadis, akan tetapi sisi kehidupan Imam al-Baiquni yang mengarang nazam ini boleh dikatakan sangat misteri sehinggakan semua ulama yang mensyarahkan nazam ini mengakui tidak menemui maklumat lengkap tentang biodata beliau.  

Imam Ahmad al-Hamawi (m. 1098 H) yang hidup hampir dengan zaman Imam al-Baiquni juga turut mengakui perkara tersebut. Beliau berkata dalam kitab Talqih al-Fikar Bi Syarh Manzumah al-Athar: “Saya tidak temui bagi pengarang nazam ini biodata yang dapat diketahui daripadanya namanya dan hal ehwal kehidupannya. Saya tidak tahu apakah nisbah ini (al-Baiquni)? Adakah ia nisbah kepada tempat, kampung, nama bapa atau nama datuk?”

Nama dan Gelaran

Dikatakan nama beliau ialah Umar bin Muhammad bin Fattuh al-Baiquni al-Dimasyqi al-Syaf’ie. Imam al-Ajhuri (m. 1190 H) dalam Hashiyyah al-Ajhuri ‘ala Syarah al-Zurqani ‘ala al-Baiquniyyah berkata: “Ditemui di tepi manuskrip (Manzumah al-Baiquniyyah) terdapat tulisan tangan pengarangnya: Namanya Umar bin Syeikh Muhammad bin Fattuh al-Dimasyqi al-Syafi’i.”

Pendapat lain pula menyatakan nama beliau ialah Taha bin Muhammad bin Fattuh al-Baiquni al-Dimasyqi al-Syafi’i. Ini adalah pendapat Umar Ridha Kahalah dalam kitab Mu’jam al-Muallifin. Namun pendapat pertama dianggap lebih kuat berdasarkan manuskrip tulisan pengarangnya sendiri.

Sebahagian ulama menyebutkan nama bapa beliau sebagai Futuh.

Mengenai gelaran al-Baiquni pula, menurut Syeikh Badruddin al-Hasani dalam al-Durar al-Bahiyyah bi Syarh al-Baiquniyyah, ia adalah nama sebuah perkampungan yang terletak di Azerbaijan. Syeikh Dr Hisyam al-Kamil dalam al-Nafahat al-Madaniyyah Syarah al-Manzumah al-Baiquniyyah pula mengatakan bahawa terdapat sebuah tempat bernama Baiqun yang terletak di Jabal Lubnan, kira-kira 50 kilometer dari Beirut.

Gelaran al-Dimasyqi pula menunjukkan bahawa beliau menetap di Damsyik, Syiria. Mungkin asal usul beliau dari Baiqun yang terletak di Azerbaijan atau di Lubnan, tetapi beliau atau bapa beliau atau datuk beliau berpindah dan menetap di Damsyik.

Daripada gelaran al-Syafi’e pula dapat diketahui bahawa beliau bermazhab al-Syafi’i.

Tarikh Kelahiran

Tidak ada sebarang maklumat tentang tarikh kelahiran beliau.

Guru dan Murid

Tidak ada sebarang maklumat menyatakan tentang guru-guru dan murid-murid beliau

Hasil Karya

Selain Manzumah al-Baiquniyyah, al-Zirikli dalam al-A’lam menyatakan beliau mempunyai penulisan lain bertajuk Fath al-Qadir al-Mughith berkenaan hadis. Mungkin beliau terkeliru dengan kitab Fath al-Qadir al-Mughith karangan Syeikh Abdul Qadir bin Jalaluddin al-Mahalli yang merupakan syarah kepada Manzumah al-Baiquniyyah.

Kewafatan

Dikatakan beliau wafat pada tahun 1080 Hijrah bersamaan tahun 1669 Masihi. 

Pendapat lain mengatakan beliau hidup beberapa tahun sebelum tahun 1080 Hijrah dan meninggal dunia pada tahun yang tidak dapat ditentukan secara tepat.

Semoga Allah merahmati beliau.

Syarah Manzumah al-Baiquniyyah

Berkat keikhlasan hati pengarang nazam ini, Allah telah mentakdirkan nazam ini mendapat tempat di hati para ulama untuk mensyarahkannya dan penuntut ilmu yang menghafal dan mempelajarinya. Para ulama dari pelbagai aliran dan zaman berlumba-lumba untuk mensyarahkan matan yang berkat ini.

Berikut adalah senarai kitab yang mensyarahkan nazam ini:

1 - Aham al-Masail al-Jaliyyah Fi Syarh al-Baiquniyyah karangan Abu Abdul Rahman al-Falazuni. Disebarkan di internet.

2 - Ahsan al-Hadith karangan Syeikh Abdul Rahman al-Mahlawi. Beliau meringkaskan Manzumah al-Baiquniyyah lalu mensyarahkannya.

3 - Al-‘Urjun Fi Syarh al-Baiqun karangan Siddiq Hasan Khan (m. 1307 H). Disebutkan oleh al-Mubarakfuri dalam mukadimah Tuhfah al-Ahwazi.

4 - Al-Amali al-Fajriyyah ‘ala al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Hamzah bin Fayi’ al-Fathi. Disebarkan di internet.

5 - Al-Amali al-Makkiyyah ‘ala al-Manzumah al-Baiquniyyah. Disalin daripada syarahan lisan yang disampaikan oleh Sulaiman bin Nasir al-Ulwan. Disebarkan di internet.

6 - Al-As’ilah al-Saniyyah ‘ala al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Ummu al-Laith. Disyarah dalam bentuk soal jawab. Disebarkan di internet.

7 - Al-Bahjah al-Wadhiyyah Syarh Matan al-Baiquniyyah karangan Mahmud Nasyabah (m. 1308 H). Diterbitkan pada tahun 1328 H.

9 - Al-Bakurah al-Janiyyah Min Qithaf Matan al-Baiquniyyah karangan Syeikh Muhammad Amin bin Abdullah al-Athyubi (m. 1441 H). Diterbitkan oleh Mathabi’ al-Safa di Mekah al-Mukarramah.

10 - Al-Basth al-Mustadir Fi Syarh al-Baiquniyyah karangan Abdul Karim al-Khudair. Diterbitkan oleh Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah. Cetakan pertama ada tahun 2011.

11 - Al-Durar al-Bahiyyah Fi Syarah Manzumah al-Baiquniyyah karangan Badruddin al-Hasani (m. 1354 H). Diterbitkan oleh Dar al-Basha’ir, Kaherah pada tahun 2016.

12 - Al-Durar al-Naqiyyah Fi Syarah al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Turki bin Misfir bin Hadi al-‘Abdini. Disebarkan di internet.

13 - Al-Durr al-Jani Min Manzumah al-Baiquni karangan Abu ‘Adi Zakir Mahasini. Disebarkan di internet.

14 - Al-I’tiradh al-Fadhiyyah ‘ala al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Dhiya’ Muhammad Mahmud Jasim al-Mashhadani. Disebarkan di internet.

15 - Al-Jawahir Al-Sulaimaniyyah Syarh Al-Manzumah Al-Baiquniyyah karangan Abu al-Hasan Mustafa bin Isma’il al-Sulaimani al-Ma’rabi. Diterbitkan oleh Dar al-Kayan, Riyadh. Cetakan pertama pada tahun 2005.

16 - Al-Ghurar al-Bahiyyah Syarh al-Baiquniyyah karangan Muhammad bin Ahmad Amwah. Diterbitkan oleh Dar Abu Hanifah, Yaman pada tahun 2017. 

17 - Al-Kawakib al-Durriyah ‘ala al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Sulaiman bin Khalid al-Harbi.

18 - Al-Kawakib al-Nuraniyyah ‘ala al-Baiquniyyah karangan Abdullah bin Ali bin Abdul Rahman al-Azbaki al-Misri al-Syafi’i (m. 1234 H).

19 - Al-Luma’ al-Bahiyyah Bi Syarh al-Baiquniyyah karangan Abu Muhammad al-Alfi. Disebarkan di internet.

20 - Al-Minan al-‘Aliyyah Fi Syarh al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Abu al-Hasan Ali bin Mukhtar al-Ramli. Disebarkan di internet.

21 - Al-Minhah al-Rabbaniyyah Syarh al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Muhammad bin Muhammad Siraj bin Muhammad Sa’id al-Jabarti al-Aani. Diterbitkan oleh Dar al-Masyari’, Beirut pada tahun 2014.

22 - Al-Nafahat al-Madaniyyah Syarah al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Hisyam al-Kamil. Diterbitkan oleh Dar al-Manar, Kaherah ada tahun 2015.

23 - Al-Nafhah al-Juniyyah 'ala al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Ya’qub bin Mathar bin Daghis al-Mursyidi al-‘Atibi. Diterbitkan oleh Dar al-Asbah pada tahun 2019.

24 - Al-Nafhah al-Zakiyyah Fi Syarh Manzumah al-Baiquniyyah karangan Muhammad bin Ahmad Amwah. Ditulis pada tahun 1424  H. Disebarkan di internet.

25 - Al-Nukhbah al-Nabhaniyyah Bi Syarah al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Muhammad bin Khalifah al-Nabhani al-Maliki (m. 1369 H). Diterbitkan oleh Mathba’ah al-Taqaddum al-‘Ilmiyyah, Mesir pada tahun 1345 M.

26 - Al-Qala’id al-Anbariyyah ‘ala al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Uthman bin al-Makki al-Tauzi al-Zabidi (meninggal selepas tahun 1330 Hijrah). Diterbitkan oleh Dar Ibn ‘Affan, Arab Saudi pada tahun 1997 dengan tahqiq Ali bin Hasan al-Halabi.

27 - Al-Qatharat al-Sakhiyyah Fi Syarh al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Abu al-Qasim al-Maqdisi. Disebarkan di internet.

28 - Al-Sahl al-Musahhal Fi Mustholah al-Hadith ‘ala al-Baiquniyyah karangan Syeikh Saifurrahman Ahmad. Diterbitkan oleh Dar al-Da’wah, India. Cetakan ketiga pada tahun 1980.

29 - Al-Samsuniyyah Fi Syarh al-Baiquniyyah karangan Abu ‘Abdillah Laith al-Hayali. Disebarkan di internet.

30 - Al-Syarah al-Muyassar Lil Manzumah al-Baiquniyyah. Disebarkan di intenet.

31 - Al-Ta’liqat al-Athariyyah ‘ala al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Syeikh Ali bin Hasan al-Halabi. Diterbitkan oleh Dar Ibnu al-Jauzi, Arab Saudi pada tahun 1428 H.

32 - Al-Ta’liqat al-Radhiyyah ‘ala al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Abdullah bin Abdul Rahim al-Bukhari. Diterbitkan oleh Dar al-Istiqamah, Mesir pada tahun 2008.

33 - Al-Ta’rifat al-Nadiyyah ‘ala al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Hamid Soleh al-Mirri. Disebarkan di intenet.

34 - Al-Ta'liq al-Mukhtasar 'ala al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Bundar bin Nafi' al-'Abdali. Disebarkan di internet.

35 - Al-Ta'liqat al-'Umriyyah 'Ala al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Umar Balkahalah. Diterbitkan oleh Dar Thalithalah, Algeria pada tahun 2012.

36 - Al-Taqalid al-Dasuqiyyah al-Bayumiyyah ‘ala al-Manzumah al-Baiquniyyah oleh Bayumi bin Farraj bin Mustafa al-Sayuthi al-Khalwati al-Jirjawi (m 1293 H). Dihimpunkan oleh murid beliau yang bernama Muhammad bin Muhammad bin Hamid al-Maraghi al-Jirjawi. Manuskrip kitab ini ada di Dar al-Kutub al-Misriyyah.

37 - Al-Taqrirat al-Saniyyah Fi Syarh al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Hasan bin Muhammad al-Masyath (m. 1399 H). Diterbitkan di Jeddah pada tahun 1392 H dan mempunyai beberapa cetakan yang lain.

38 - Al-Taudhihat al-Basithah ‘ala al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Sa’ad bin Umar bin Sa’id al-Futi al-Tijani. Diterbitkan oleh Dar al-Tijani al-Muhammadi, Tunisia ada tahun 1400 H setebal 50 halaman.

39 - Al-Thamarat al-Janiyyah Syarh al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Abdullah bin Abdul Rahman al-Jibrin. Diterbitkan oleh Dar al-Asimah, Riyadh pada tahun 1417 H.

40 - Al-Tuhfah al-Aiquniyyah Syarh al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Ahmad Walad al-Kuri al-Syanqithi. Disebarkan di internet.

41 - Al-Tuhfah al-Wafiyyah Bi Syarh al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Usamah Ibrahim Muhammad Muhammad. Diterbitkan oleh Maktabah al-Iman, Mesir pada tahun 2016.

42 - Al-Tuhfah al-Zainiyyah Fi Syarh al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Zain bin Ahmad bin Zain al-Sayyad al-Marshafi al-Azhari al-Syafi’i  (m. 1300 H).

43 - Al-Zahrah al-Samiyyah karangan Syeikh Khalid al-Jazmati (meninggal selepas tahun 1315 H).

44 - Athib al-Manh Fi Syarah Manzumah al-Baiquniyyah Fi al-Mustholah karangan Majdi ‘Arafat al-Misri. Cetakan kedua pada tahun 1426 H.

45 - Bulugh al-Umniyyah Fi Syarh al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Luqman al-Hakim al-Indonesi al-Azhari. Diterbitkan oleh Dar al-Basha’ir, Mesir pada tahun 2017.

46 - Fath al-Qadir al-Mughith Fi Syarh Manzumah al-Baiquni karangan Syeikh Abdul Qadir bin Jalaluddin al-Mahalli (hidup sekitar tahun 1065 Hijrah).

47 - Hashiyyah ‘ala al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Mustafa bin Ali bin Muhammad bin Suwailim al-Baltani (hidup sekitar tahun 1249 Hijrah). Masih dalam bentuk manuskrip di Maktabah al-Makhtutat di Kuwait.

48 - Hawasy ‘ala al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Abdul Rahman bin Sulaiman al-Ahdal (m. 1250 H). Manuskripnya terdapat di Universiti Muhammad bin Sa’ud.

49 - Imta’ al-Asma’ Bi Syarh Ma Nazama al-Baiquni Min al-Anwa’ karangan Abu Abdillah Muhammad ‘Isa Haj. Ditulis pada tahun 1414 H.

50 - Kasyf al-Zunun wa al-Dur al-Masun Bi Syarh Matan al-Baiqun karangan Mustafa bin Mula Muhammad al-Kurdi.

51 - Lathaif Manh al-Mughith Fi Mutholah al-Baiquni Fi al-Hadith karangan Muhammad Uthman bin Muhammad al-Makki al-Mirghani (m. 1268 H).

52 - Maniyyah al-Ruh Syarh al-Baiquniyyah Li Ibn Futuh karangan Ali Muhammad Salman Muhaimid Aali Askar al-‘Abidi. Disebarkan di internet.

53 - Mukhtasar Syarh Manzumah al-Baiquniyyah karangan Muhammad Hasan Nuruddin Isma’il. Disebarkan di internet.

54 - Shaql al-Afham al-Jaliyyah Bi Syarh al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Mustafa bin Muhammad bin Salaman. Diterbitkan oleh Mathabi’ al-Hai’ah al-Misriyyah Lil Kitab, cetakan pertama pada tahun 1412.

55 - Sofwah al-Mulah Bi Syarh Manzumah al-Baiquni Fi Fann al-Mustholah karangan Muhammad bin Muhammad al-Budairi al-Dimyathi yang dikenali sebagai Ibnu al-Mayyit (m. 1149 H). Diterbitkan oleh Dar al-Nawadir pada tahun 2007.

56 - Syarah Abu al-Harith Muhammad bin Ibrahim al-Kharraj al-Salafi al-Jazairi. Disebarkan di internet.

57 - Syarah al-Baiquniyyah Fi Mustholah al-Hadith karangan Hasan bin Ghali al-Azhari al-Maliki al-Jadawi al-Misri (m. 1202 H).

58 - Syarah al-Baiquniyyah karangan Abdul Ghani bin Muhammad al-Burhani (m. 1151).

59 - Syarah al-Baiquniyyah karangan Syeikh Muhammad Ma’dan/Sa’dan bin al-Hajir, seorang faqih al-Syafi’i yang terkenal dengan nama Muhammad Jad al-Maula (m. 1228 H).

60 - Syarah al-Manzumah al-Baiquniyyah Fi Mustholah al-Hadith karangan Abdullah Sirajuddin (m. 1422 H). Selesai ditulis pada tahun 1372 H. Diterbitkan oleh Dar al-Falah setebal 218 halaman.

61 - Syarah al-Manzumah al-Baiquniyyah oleh Muhammad Soleh al-Uthaimin. Diterbitkan oleh Maktabah al-Rusyd, Riyadh pada tahun 1415 H setebal 88 halaman.

62 - Syarah Mahir Yasin al-Fahl. Dijadikan teks pengajian di sekolah-sekolah agama di Iraq semenjak tahun 19996.

63 - Syarah Manzumah al-Baiquniyyah oleh Ali Umar al-Zaila'i. Dihimpunkan oleh murid beliau bernama Abdul Rahman Thabit Muhammad 'Uthman. Disebarkan di internet.

64 - Syarah Abdullah al-Talidi. Masih dalam bentuk manuskrip. Disebutkan oleh Hussein al-Asybuki pada biodata Abdullah al-Talidi.

65 - Syarah Syeikh Ahmad al-Tirmanini

66 - Syarah Ali bin Muhammad bin Amir al-Nijari (m. 1351 H).

67 - Syarah Hasanain Muhammad Makhluf (m. 1410 H).

68 - Syarah Muhammad bin Abdul Baqi al-Zurqani (m. 1122 H). Athiyyah al-Ajhuri (m. 1190 H) menulis hashiyyah bagi syarah ini.

69 - Syarah Muhammad Zaitunah al-Tunisi (m. 1138 H).

70 - Syarah Soleh al-Asmari. Disebarkan di internet.

71 - Syarh al-Manzumah al-Baiquniyyah Fi Mustholah Ahl al-Hadith Wa al-Athar ‘ala Dhau’ Manahij al-Mutaqaddimin Wa Tahrirat al-Mutaakkirin karangan Sulthan bin Fahd bin Sulaiman al-Jurdan. Disebarkan di internet.

72 - Syarh Al-Manzumah Al-Baiquniyyah karangan Thariq 'Awadhallah. Diterbitkan oleh Dar al-Mughni pada tahun 2009.

73 - Syarh al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Yusuf bin Judah Yasin al-Dawudi. Diterbitkan oleh Dar al-Andalus Lil Thiba’ah pada tahun 2015.

74 - Syarh al-Manzumah al-Baiquniyyah oleh Abdul Aziz al-Tharifi. Disebarkan di internet.

75 - Talqih al-Fikar Bi Syarh Manzumah al-Athar karangan Ahmad bin Muhammad al-Husaini al-Hamawi al-Hanafi (m. 1098 H). Diterbitkan oleh Dar al-Minhaj, Jeddah pada tahun 2009 H.

76 - Tanwir al-Af’idah al-Zakiyyah karangan Ali bin Hasan al-Halabi. Syarahan beliau yang lebih besar berbanding al-Ta’liqat al-Athariyyah. Disebutkan pada mukadimah kitab al-Ta’liqat al-Athariyyah.

77 - Thiraz al-Baiquniyyah karangan Mahmud Ahmad Umar al-Nasywi al-Azhari. Beliau telah menambah 7 bait syair untuk melengkapkan Manzumah al-Baiquniyyah lalu mensyarahkannya secara ringkas. Diterbitkan oleh Dar Ibn ‘Affan pada tahun 1997 dengan tahqiq Ali bin Hasan al-Halabi.

78 - Tuhfah al-Ahbab Lil Mustarsyidin Min al-Thullab karangan Daud al-Tikriti (hidup sekitar tahun 1316 Hijrah). 

Baca juga:

Imam Abu Syuja’ - Pengarang Matan Abi Syuja’ atau al-Ghayah wa al-Taqrib