Selasa, 13 Julai 2021

Manhaj Kitab al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal oleh al-Hafiz Abdul Ghani al-Maqdisi



Sejarah Ringkas al-Hafiz Abdul Ghani al-Maqdisi

1 - Nama beliau ialah Abdul Ghani bin Abdul Wahid bin Ali bin Surur bin Rafi’ bin Hasan bin Ja’far al-Jamma’ili al-Maqdisi. Gelaran al-Jamma’ili ialah nisbah kepada Jamma’il yang merupakan nama sebuah perkampungan tempat kelahiran beliau yang terletak di Bukit Nabulus, Palestin. Beliau dilahirkan pada tahun 541 Hijrah dan ada beberapa pendapat lain tentang tahun kelahiran beliau.

2 - Keluarga beliau membawa beliau dari Palestin ke Damsyik sekitar usia beliau 10 tahun. Beliau mula belajar sejak kecil lagi dengan guru-guru di Damsyik sebelum memulakan pengembaraan menuntut ilmu di beberapa buah tempat seperti Iskandariah, Baghdad, Baitul Maqdis, Mesir, Asbahan, Hamazan dan lain-lain.

3 - Guru-guru beliau sangat ramai lebih daripada 100 orang. Antara yang terkenal ialah Abdul Qadir al-Jilani dan Abu Thahir al-Silafi.

4 - Murid beliau yang terkenal pula ialah Ibnu Qudamah al-Maqdisi, al-Munziri, al-Yunini, Abdul Qadir al-Ruhawi, al-Dhiya’ al-Maqdisi dan lain-lain.

5 - Karya penulisan beliau ialah Umdah al-Ahkam al-Kubra, Umdah al-Ahkam al-Sughra, al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal, al-Iqtisad Fi al-I’tiqad dan lain-lain.

6 - Beliau digambarkan sebagai seorang yang sangat banyak beribadat, warak, dermawan dan sangat berpegang dengan sunnah. Beliau sentiasa melazimi berpuasa, solat 300 rakaat sehari semalam dan melakukan amar makruf dan nani mungkar.

7 - Beliau mengadakan majlis membaca hadis pada malam Jumaat dan selepas solat Jumaat di Masjid Umawi di Damsyik. Majlis beliau akan dihadiri ramai orang. Apabila beliau membaca hadis beliau akan menangis lalu menangislah orang di sekeliling beliau.  

8 - Beliau mula jatuh sakit pada bulan Rabiulawal tahun 600 Hijrah dengan sakit yang sangat berat sehingga menghalang beliau daripada bangun dan bercakap. Beliau berterusan sakit selama 16 hari sehinggalah beliau meninggal dunia pada hari Isnin 23 Rabiulawal tahun 600 Hijrah.

Manhaj Penulisan Kitab al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal

1 - Sebelum al-Hafiz Abdul Ghani al-Maqdisi mengarang kitab al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal, terlebih dahulu al-Hafiz Ibnu ‘Asakir (w. 571 H) telah pun mengarang kitab berkenaan perawi al-Kutub al-Sittah, namun beliau hanya sekadar memuatkan maklumat berkenaan perawi-perawi yang merupakan guru kepada pengarang al-Kutub al-Sittah.

2 - Dalam kitab al-Kamal ini al-Hafiz Abdul Ghani al-Maqdisi tidak sekadar memasukkan maklumat berkenaan perawi yang merupakan guru kepada pengarang al-Kutub al-Sittah sahaja, bahkan keseluruhan perawi yang disebutkan dalam kitab-kitab ini sama ada daripada kalangan sahabat, tabi’in, tabi’ tabi’in sehinggalah ke peringkat guru-guru pengarang al-Kutub al-Sittah.

3 - Dalam kitab ini beliau berusaha sehabis boleh untuk mengumpulkan seluruh perawi dalam al-Kutub al-Sittah, tetapi beliau sendiri mengingatkan bahawa beliau tidak mampu mengumpulkan seluruh perawi berkenaan kerana terdapat naskhah-naskhah tulisan tangan al-Kutub al-Sittah yang berbeza-beza. Sebahagian hadis dan perawi-perawinya ada dalam sebahagian naskhah tetapi tidak ada dalam naskhah yang lain.

3 - Beliau menjelaskan keadaan perawi tersebut dari sudut jarh dan ta’dilnya semampu beliau dan membuang sebahagian penilaian imam-imam al-jarh wa al-ta’dil terhadap perawi tersebut kerana tidak mahu memanjangkan kitab ini.

4 - Beliau juga menggunakan beberapa ungkapan yang menunjukkan kewujudan perawi tersebut dalam al-Kutub al-Sittah atau dalam sebahagiannya, misalannya kata beliau: (روى له الجماعة) untuk perawi yang berada dalam keenam-enam kitab tersebut. Bagi perawi yang berada dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim pula beliau menggunakan ungkapan: (اتفقا عليه) atau (متفق عليه).

5 - Beliau memulakan kitab ini dengan menyebut sirah ringkas berkenaan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Kemudian beliau meletakkan sebuah mukadimah penting yang mengandungi ucapan para ulama hadis berkenaan kepentingan ilmu rijal, mengkaji sanad, membezakan sunah yang sahih dan daif dan memilih perawi yang thiqah daripada perawi daif.

6 - Kemudian beliau menyebutkan biografi para sahabat, dimulakan dengan sepuluh sahabat yang dijanjikan syurga dan baki sahabat-sahabat yang lain mengikut susunan abjad. Setelah itu barulah para perawi di kalangan tabi’in dan peringkat seterusnya. Dimulakan dengan perawi yang bernama Muhammad kerana kemuliaan nama ini dan baki perawi yang lain berdasarkan huruf abjad.

7 - Kitab ini pertama kali diterbitkan pada tahun 2016 dengan tahqiq oleh Dr Syadi bin Muhammad bin Salim Aali Nu’man sebanyak 10 jilid.

Rujukan

1 - Masadir al-Hadith Wa Maraji’uhu oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

2 - Mukadimah tahqiq kitab al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal oleh Dr Syadi bin Muhammad bin Salim Aali Nu’man. 

Baca juga: 

Manhaj Kitab Tahzib al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal oleh al-Hafiz al-Mizzi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan