Selasa, 20 Julai 2021

Status Hadis: Doa Senjata Orang Mukmin


الدُّعَاءُ سِلَاحُ الْمُؤْمِنِ

“Doa itu ialah senjata orang mukmin.”

Takhrij

Hadis ini diriwayatkan daripada dua orang sahabat iaitu Ali bin Abi Thalib dan Jabir bin Abdillah.

1 - Hadis Ali bin Abi Thalib

Hadis Ali diriwayatkan oleh Abu Ya’la, al-Hakim, Ibnu Adi dan al-Qudha’ie dengan lafaz:

الدُّعَاءُ سِلَاحُ الْمُؤْمِنِ، وَعِمَادُ الدِّينِ، وَنُورُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ.

“Doa itu ialah senjata orang mukmin, tiang agama dan cahaya langit dan bumi.”

Hadis ini disahihkan oleh al-Hakim akan tetapi sanadnya sangat daif kerana dalam sanadnya ada dua kelemahan:

Pertama: Dalam sanadnya perawi yang bernama Muhammad bin al-Hasan bin Abi Yazid al-Hamdani, seorang perawi yang sangat daif.

Kedua: Sanadnya terputus antara perawinya, Ali bin al-Hussein dengan Ali bin Abi Thalib.

Hadis ini dimuatkan oleh al-Zahabi dalam kitab Mizan al-I’tidal pada senarai hadis-hadis mungkar milik Muhammad bin al-Hasan bin Abi Yazid al-Hamdani dan beliau juga mengatakan sanadnya terputus.

Al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid pula berkata: “Diriwayatkan oleh Abu Ya’la dan dalam sanadnya ada Muhammad bin al-Hasan bin Abi Yazid, dia adalah matruk (ditinggalkan hadisnya).”

Hadis ini juga didaifkan oleh al-Busiri dalam Ithaf al-Khiyarah al-Maharah.

2 - Hadis Jabir bin Abdillah

Hadis Jabir bin Abdillah pula diriwayatkan oleh Abu Ya’la dengan lafaz:

أَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى مَا يُنَجِّيكُمْ مِنْ عَدُوِّكُمْ وَيُدِرُّ لَكُمْ أَرْزَاقَكُمْ، تَدْعُونَ اللَّهَ فِي لَيْلِكُمْ وَنَهَارِكُمْ، فَإِنَّ الدُّعَاءَ سِلَاحُ الْمُؤْمِنِ.

“Mahukah aku tunjukkan kepada kamu sesuatu yang akan menyelamatkan kamu daripada musuh kamu dan akan mengalirkan bagi kamu rezeki-rezeki kamu. Berdoalah kepada Allah pada malam dan siang hari kamu. Sesungguhnya doa itu ialah senjata orang mukmin.

Sanad hadis ini juga sangat daif. Dalam sanadnya ada perawi Salam bin Sulaim atau lebih dikenali sebagai Sallam al-Thawil dan Muhammad bin Abi Humaid, kedua-duanya adalah sangat daif.

Al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid mengulas tentang hadis ini dengan katanya: “Diriwayatkan oleh Abu Ya’la dan dalam sanadnya Muhammad bin Abi Humaid, dia adalah daif.”

Akan tetapi di beberapa tempat yang lain dalam kitab tersebut beliau menyebutkan bahawa Muhammad bin Abi Humaid adalah perawi yang sangat daif dan disepakati akan kedaifannya. Beliau juga tidak menyebutkan tentang kedaifan Sallam al-Thawil. Tetapi di tempat yang lain beliau turut mengakui bahawa Sallam al-Thawil adalah perawi yang matruk (ditinggalkan hadisnya) dan disepakati akan kedaifannya.

Hadis ini juga didaifkan oleh al-Busiri dalam Ithaf al-Khiyarah al-Maharah, tetapi beliau juga sama seperti al-Haithami yang hanya menyebutkan kedaifan Muhammad bin Abi Humaid.

Hadis Yang Hampir Sama 

Saya turut menemui sebuah lagi hadis yang semakna dengannya yang diriwayatkan oleh al-Dailami daripada hadis Ibnu Abbas:

نِعْمَ سِلاَحُ المُؤْمِنِ الصَّبْرُ وَالدُّعَاءُ.

“Sebaik-baik senjata orang mukmin itu ialah sikap sabar dan doa.”

Menurut al-Munawi dalam Faidh al-Qadir, dalam sanadnya terdapat perawi-perawi yang beliau tidak kenali. Al-‘Ajluni pula sekadar menyebutkannya sahaja dalam Kasyf al-Khafa tanpa sebarang ulasan. Saya tidak menemui sanad hadis ini dalam mana-mana kitab. Jadi saya tidak dapat mengkaji lebih lanjut tentang sanad hadis ini.

Kesimpulan

Hadis Ali bin Abi Thalib dan Jabir bin Abdillah kedua-dua sanadnya sangat daif dan tidak dapat saling menguatkan menjadi hasan li ghairih. Jadi statusnya kekal sebagai sangat daif. Manakala hadis Ibnu Abbas pula tidak dapat diletakkan hukum baginya kerana sanadnya tidak dapat ditemui.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan