Khamis, 27 Julai 2023

Hadis Kelebihan Surah al-Kahfi

Galakan Membaca Surah al-Kahfi Pada Siang dan Malam Jumaat

1- Imam al-Syafi’e berkata dalam kitab al-Umm:

“Telah sampai kepada kami (hadis) bahawa sesiapa yang membaca surah al-Kahfi akan selamat daripada tipu daya Dajjal. Aku suka agar memperbanyakkan selawat ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam pada setiap masa dan pada hari Jumaat dan malamnya lebih lagi aku galakkan. Aku suka agar dibaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat dan siangnya kerana ada (hadis) tentangnya.”

 2 – Imam al-Nawawi dalam kitab al-Azkar berkata:

“Digalakkan untuk memperbanyakkan pada siang dan malamnya (Jumaat) bacaan al-Quran, zikir, doa, selawat ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan membaca surah al-Kahfi pada harinya.”

Hikmah Dibaca Surah al-Kahfi Pada Hari Jumaat

Imam Kamaluddin al-Damiri dalam kitab al-Najm al-Wahhaj Syarah al-Minhaj berkata:

“Hikmah pembacaannya pada hari Jumaat kerana Allah menyebutkan di dalamnya berkenaan hari kiamat. Hari Jumaat menyerupai hari kiamat kerana pada hari Jumaat manusia akan berhimpun dan bangun khatib (menyampaikan khutbah). Begitu juga kiamat akan berlaku pada hari Jumaat. Apabila dibaca surah al-Kahfi pada waktu siang akan mengingatkan kepada kiamat. Jika dibaca pada waktu malam akan mengingatkan bahawa tidak ada malam lagi setelahnya melainkan hari kiamat.”

Hadis Kelebihan Surah al-Kahfi

Hadis Pertama

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ:

مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْفِ عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ.

Diriwayatkan daripada Abu Darda’, Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi maka dia akan dipelihara daripada Dajjal.”

Riwayat Muslim (no. 809).

Dalam riwayat Muslim yang lain:

منْ حفِظَ عشْر آيَاتٍ مِنْ آخِرِ سُورةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ.

“Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada akhir surah al-Kahfi maka dia akan dipelihara daripada Dajjal.”

Dalam riwayat al-Tirmizi (no. 2886):

مَنْ قَرَأَ ثَلَاثَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ الكَهْفِ عُصِمَ مِنْ فِتْنَةِ الدَّجَّالِ.

“Sesiapa yang membaca 3 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan diperlihara daripada tipu daya Dajjal.”

Kata al-Tirmizi: “Hadis ini hasan sahih.”

Keterangan Hadis dan Pengajaran Hadis:

1 – Syeikh Abdullah al-Talidi dalam kitab Bidayah al-Sul berkata: “Hadis ini menunjukkan keutamaan surah al-Kahfi dan kelebihan menghafal dan membacanya iaitu terpelihara daripada Dajjal dan tipu dayanya, meskipun orang tersebut hanya menghafal 10 ayat daripada awalnya atau membaca 10 ayat terakhir daripadanya.”

2 - Maksud tipu daya Dajjal ialah perkara-perkara ajaib dan luar biasa yang dizahirkan oleh Dajjal  seperti menurunkan hujan dan menumbuhkan tumbuhan di bumi yang tandus yang membuatkan orang yang lemah imannya terpedaya dan tersesat sehingga mengikut Dajjal.

3 – Imam al-Nawawi menyebutkan dalam Syarah Sahih Muslim bahawa dikatakan hikmah surah ini dapat menjadi pelindung daripada tipu daya Dajjal adalah kerana 10 ayat awal surah ini menceritakan tentang perkara-perkara yang luar biasa dan ajaib. Oleh itu sesiapa yang benar-benar memahami dan menghayati ayat-ayat tersebut maka dia tidak akan tertipu dan terpesona lagi dengan keajaiban-keajaiban yang dizahirkan oleh Dajjal. Manakala 10 ayat yang terakhir pula mengandungi peringatan agar tidak mengambil selain Allah sebagai sembahan. Firman Allah Ta’ala (ayat ke 102 Surah al-Kahfi):

أَفَحَسِبَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓاْ أَن يَتَّخِذُواْ عِبَادِى مِن دُونِىٓ أَوْلِيَآءَ ۚ إِنَّآ أَعْتَدْنَا جَهَنَّمَ لِلْكَٰفِرِينَ نُزُلًا.

Maka adakah orang-orang kafir menyangka bahawa mereka mengambil hamba-hambaKu sebagai makhluk-makhluk yang disembah, selain daripadaKu, dapat menolong mereka? Sesungguhnya Kami telah sediakan neraka Jahannam bagi orang-orang kafir itu sebagai tempat tetamu.”

4 – Hadis ini juga menunjukkan sifat belas kasihan Nabi sallahu ‘aihi wasallam terhadap umatnya. Baginda mengkhabarkan tentang ujian dan huru hara yang bakal menimpa umatnya serta mengajarkan cara-cara untuk selamat daripada kesusahan tersebut.

5 – Dalam riwayat al-Tirmizi dikatakan bahawa cukup hanya perlu membaca 3 ayat daripada surah al-Kahfi. Adakah riwayat ini bercanggah dengan riwayat Muslim yang menunjukkan bahawa perlu menghafal 10 ayat? Para ulama menyebutkan beberapa kemungkinan untuk mengharmonikan antara kedua-dua riwayat ini:

Pertama: Hadis yang menyebutkan 3 ayat adalah yang terkemudian yang memansuhkan hadis yang menyebutkan 10 ayat. Maka cukup untuk membaca 3 ayat sahaja dan tidak perlu lagi membaca 10 ayat.

Kedua: Hadis yang menyebutkan 10 ayat adalah yang terkemudian yang memansuhkan hadis yang menyebutkan 3 ayat. Sesiapa yang membaca 10 ayat maka dia sudah membaca 3 ayat yang awal sekaligus.

Ketiga: Hadis yang menyebutkan 10 ayat adalah untuk hafalan manakala hadis yang menyebutkan 3 ayat adalah untuk bacaan. Oleh itu sesiapa yang menghafal 10 ayat yang awal dan sentiasa membaca 3 ayat yang awal maka dia akan dipelihara daripada Dajjal.

Menurut Syeikh Muhammad Ali Adam al- Ityubi dalam kitab Al-Bahr al-Muhith al-Thajjaj  Fi Syarh Sahih al-Imam Muslim bin al-Hajjaj, hadis yang menyebutkan 3 ayat adalah hadis yang syaz (daif). Oleh itu tidak perlu bersusah payah berusaha untuk mengharmonikan kedua-dua riwayat tersebut sebaliknya dahulukan sahaja hadis yang menyebutkan 10 ayat.

6 – Dalam riwayat Muslim juga ada perbezaan antara 10 ayat awal dan 10 ayat terakhir. Riwayat manakah yang lebih kuat? Menurut Syeikh Muhammad Ali Adam al-Ityubi, riwayat 10 ayat awal lebih kuat kerana diriwayatkan oleh perawi yang lebih  ramai.

Imam al-Syaukani pula berpandangan bahawa lebih baik untuk beramal dengan kedua-dua riwayat tersebut. Dan yang lebih baik dan lebih sempurna lagi adalah dengan membaca keseluruhan surah al-Kahfi pada malam dan siang Jumaat.

Hadis Kedua

عَنِ الْبَرَاءِ، قَالَ:

كَانَ رَجُلٌ يَقْرَأُ سُورَةَ الْكَهْفِ، وَإِلَى جَانِبِهِ حِصَانٌ مَرْبُوطٌ بِشَطَنَيْنِ، فَتَغَشَّتْهُ سَحَابَةٌ، فَجَعَلَتْ تَدْنُو وَتَدْنُو، وَجَعَلَ فَرَسُهُ يَنْفِرُ، فَلَمَّا أَصْبَحَ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ، فَقَالَ: تِلْكَ السَّكِينَةُ تَنَزَّلَتْ بِالْقُرْآنِ.

Diriwayatkan daripada al-Bara’, beliau berkata:

“Seorang lelaki membaca surat al-Kahfi. Di sisinya terdapat seekor kuda yang terikat dengan dua tali.  Lalu datang awan/kabus yang menaunginya. Awan/kabus itu mendekat dan semakin mendekat sehingga membuatkan kudanya lari. Apabila tiba waktu pagi, lelaki itu pun datang bertemu Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan menceritakan kejadian itu. Maka Nabi SAW pun bersabda: "Itu adalah al-Sakinah yang turun kerana (bacaan) al-Qur'an"

Riwayat al-Bukhari (no. 5011) dan Muslim (no. 795)

Keterangan Hadis dan Pengajaran Hadis:

1 – Maksud al-Sakinah dari segi terjemahan literalnya adalah ketenangan, kedamaian dan ketenteraman. Namun tafsiran al-Sakinah bagi hadis ini menjadi perbezaan ulama yang menafsirkannya dengan banyak tafsiran.

Menurut Imam al-Nawawi, pendapat yang terpilih bagi tafsiran al-Sakinah adalah ia merupakan sesuatu daripada makhluk Allah yang padanya ada ketenangan dan bersamanya juga ada para malaikat.

Imam al-Qurtubi berpendapat bahawa al-Sakinah ini adalah nama bagi malaikat dan dinamakan sebagai sakinah kerana sifat mereka yang tenang dan tenteram kerana menghormati pembacaan al-Quran. Syeikh Muhammad Ali Adam al-Ityubi juga bersetuju bahawa al-Sakinah itu merujuk kepada malaikat.

2 – Hadis ini menunjukkan kelebihan membaca al-Quran. Malaikat akan turut hadir untuk mendengar bacaan al-Quran dan kehadiran mereka akan membuat hati merasa tenang dan dilimpahi rahmat Allah.

3 – Galakan untuk mendengar bacaan al-Quran orang lain sebagimana yang dilakukan oleh para malaikat.

4 – Hadis ini juga membuktikan bahawa manusia selain nabi dan rasul juga mungkin dapat melihat malaikat. Begitu juga haiwan dapat melihat malaikat.

5 – Imam al-Bukhari meletakkan hadis ini di bawah bab kelebihan surah al-Kahfi. Ini menunjukkan bahawa pembaca surah al-Kahfi akan dihadiri oleh malaikat yang akan membuatkannya rasa tenang dan dilimpahi rahmat Allah.

Namun menurut pendapat ulama lain, kelebihan tersebut tidaklah khusus kepada pembacaan surah al-Kahfi semata-mata bahkan pembacaan al-Quran secara umumnya. Oleh itu pembacaan mana-mana surah sekalipun akan mendapat kelebihan tersebut.

Hadis Ketiga

 عَن النَّواس بنِ سَمْعانَ قالَ، قالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم:

فمَن أَدْرَكَهُ مِنكُمْ، فَلْيَقْرَأْ عليه فَوَاتِحَ سُورَةِ الكَهْفِ.

Diriwayatkan daripada al-Nawwas bin Sam’an, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sesiapa di kalangan kamu yang bertemu dengan Dajjal maka bacakan kepadanya pembukaan (bahagian awal) surah al-Kahfi.”

Riwayat Muslim (no. 2937).

Pengajaran Hadis:

1 – Hadis ini sama seperti hadis pertama yang menunjukkan bahawa pembaca surah al-Kahfi akan dilindungi daripada kejahatan Dajjal. Oleh itu sesiapa yang bertemu dengan Dajjal maka hendaklah dia membaca bahagian awal surah al-Kahfi.

Hadis Keempat

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، قَالَ:

مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ كَمَا أُنْزِلَتْ، ثُمَّ أَدْرَكَ الدَّجَّالَ لَمْ يُسَلَّطْ عَلَيْهِ، أَوْ لَمْ يَكُنْ لَهُ عَلَيْهِ سَبِيلٌ، وَمَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ كَانَ لَهُ نُورًا مِنْ حَيْثُ قَرَأَهَا مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ مَكَّةَ.

Diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri, beliau berkata:

“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi sebagaimana ia diturunkan, kemudian dia bertemu dengan Dajjal, maka Dajjal tidak mampu untuk menguasainya atau tidak ada jalan bagi Dajjal untuk menguasainya. Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi, maka baginya cahaya dari tempat dia membacanya sehingga Mekah.”

Riwayat al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (10724).

Dalam riwayat al-Darimi (no. 3450) secara mauquf:

مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ، أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّورِ فِيمَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْبَيْتِ الْعَتِيقِ.

“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat, maka diterangi baginya cahaya antara tempatnya sehingga Bait al-‘Atiq (Kaabah).

Dalam riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (no. 2220) secara mauquf:

مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّورِ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْبَيْتِ الْعَتِيقِ.

“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, maka diterangi baginya cahaya antara tempatnya sehingga Bait al-‘Atiq (Kaabah).”

Dalam riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (no. 6063) secara marfu’:

مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ فِي يَوْمِ الْجُمُعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّورِ مَا بَيْنَ الْجُمُعَتَيْنِ.

“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, maka diterangi baginya dengan cahaya antara dua Jumaatnya.”

Dan ada beberapa lafaz hadis yang berbeza-beza yang saya tidak sebutkan di sini.

Keterangan dan Pengajaran Hadis

1 – Telah berlaku khilaf besar pada periwayatan hadis ini sama ada dari sudut sanad mahupun matannya. Dari sudut sanad, hadis ini diriwayatkan secara marfu’ (ucapan Nabi) dan mauquf (ucapan sahabat).

Begitu juga berlaku khilaf pada matannya. Ada riwayat yang menyebutkan membaca al-Kahfi tanpa disebut Jumaat, ada yang menyebutkan malam Jumaat dan ada yang menyebutkan hari Jumaat.

Selain itu ada juga perbezaan pada hujung matannya iaitu ‘diterangi baginya dengan cahaya antara tempatnya sehingga Bait al-‘Atiq’ danditerangi baginya dengan cahaya antara dua Jumaatnya”.

Pendapat yang lebih sahih/tepat adalah hadis ini sebenarnya adalah ucapan Abu Sa’id al-Khurdi (mauquf). Inilah pendapat kebanyakan ulama seperti al-Nasa’ie, al-Daraqutni, al-Tabarani, al-Baihaqi, al-Zahabi dan Ibnu Hajar al-Asqalani. Meskipun begitu ucapan Abu Sa’id al-Khudri ini mempunyai hukum marfu’ (bersumber dari Nabi) kerana tidak mungkin beliau mengucapkan perkara seperti ini berdasarkan pandangan beliau sendiri.

Untuk matannya, yang lebih tepat adalah yang tidak menyebut Jumaat dan lafaz hadis dihujungnya menyebut ‘antara tempatnya sehingga Bait al-‘Atiq’. Lafaz hadis yang menyebut ‘antara dua Jumaat’ itu pula merupakan kesilapan salah seorang perawinya iaitu Nu’aim bin Hammad.

2 – Hadis yang menyebut membaca al-Kahfi pada hari dan malam Jumaat telah dijadikan dalil oleh para ulama yang menganjurkan pembacaan surah ini pada hari dan malam Jumaat.

Ini kerana kebanyakan ulama berpendapat tidak ada masalah untuk menggunakan hadis daif dalam bab fadhail a’mal (kelebihan amalan). Imam Ibnu Qudamah al-Hanbali dalam kitab al-Mughni menyebutkan: “Perkara-perkara sunat dan kelebihan-kelebihan (amalan) tidak disyaratkan kesahihan hadis padanya.”

3 – Para ulama juga khilaf pada menafsirkan bahagian hadis ‘diterangi baginya cahaya antara tempatnya sehingga Bait al-‘Atiq’.

Menurut al-Jurdani dalam kitab Misbah al-Zalam, cahaya dalam hadis tersebut adalah kiasan kepada pengampunan dosa dan ganjaran pahala. Jikalau pengampunan dosa dan ganjaran pahala itu dijisimkan/dibentukkan maka saiznya adalah jarak antara tempatnya sehingga Kaabah. Ini mengambarkan betapa besar dan luasnnya pengampunan dosa dan ganjaran pahala yang diperoleh oleh pembaca surah al-Kahfi.

Al-San’ani dalam al-Tanwir Syarah al-Jami’ al-Saghir pula berpendapat cahaya yang diterangkan bagi pembaca surah al-Kahfi itu mungkin berlaku di dunia ini yang akan meliputinya dengan kadar keluasan cahaya itu adalah dari tempatnya sehingga ke Kaabah. Cahaya itu akan menjadi tanda bagi malaikat supaya menerima amalannya dan melindunginya daripada syaitan. Boleh jadi juga cahaya itu adalah pada basirahnya (pandangan mata hati) yang akan memandunya kepada kebenaran.  

Hadis Keempat

عَنْ مُعَاذِ بْنِ أَنَسٍ، عَنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ:

مَنْ قَرَأَ أَوَّلَ سُورَةِ الْكَهْفِ وَآخِرَهَا، كَانَتْ لَهُ نُورًا مِنْ قَدَمِهِ إِلَى رَأْسِهِ، وَمَنْ قَرَأَهَا كُلَّهَا كَانَتْ لَهُ نُورًا مَا بَيْنَ السَّمَاءِ إِلَى الْأَرْضِ.

Diriwayatkan daripada Mu’az bin Anas, daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda:

“Sesiapa yang membaca awal surah al-Kahfi dan juga akhirnya, baginya cahaya daripada kakinya sehingga kepalanya. Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi keseluruhannya, baginya cahaya antara langit sehingga ke bumi.”

Riwayat Ahmad (no. 15626) dengan sanad yang daif. Dalam sanadnya terdapat perawi bernama Zabbad bin Faid, dia adalah daif.

Bangun Pada Waktu Yang Dikehendaki Dengan Membaca Akhir Surah al-Kahfi

Seorang tabiin besar (kibar tabiin) yang sempat belajar dengan ramai sahabat bernama Zirr bin Hubaish berkata:

مَنْ قَرَأَ آخِرَ سُورَةِ الْكَهْفِ لِسَاعَةٍ يُرِيدُ يَقُومُ مِنَ اللَّيْلِ، قَامَهَا.

“Sesiapa yang membaca akhir surah al-Kahfi untuk dia bangun pada suatu masa pada malam tersebut maka dia akan bangun.”

Riwayat al-Darimi (no. 3449) dan Abu ‘Ubaid dalam Fadhail al-Quran (no. 465).

Murid Zirr bin Hubaish bernama ‘Abdah yang meriwayatkan ucapan beliau ini berkata:

“Aku mencubanya dan aku mendapati ianya benar.”

Begitu juga salah seorang perawi ucapan Zirr bin Hubaish ini yang bernama Muhammad bin Kathir al-Masisi berkata:

“Aku mencubanya juga beberapa kali sewaktu perang dan aku bangun pada waktu yang aku kehendaki.”

Menurut Muhammad bin Kathir ayat tersebut perlu dibaca bermula ayat yang ke-107 sehingga akhir surah al-Kahfi.

Syeikh Nabil al-Ghamri dalam kitab Fath al-Manan menceritakan bahawa guru beliau, Syeikh Hasan al-Masyat turut mencubanya dan mendapatinya mujarab.

Rabu, 12 Julai 2023

Adakah Syeikh Zahid al-Kauthari Mencerca dan Menuduh Anas bin Malik Nyanyuk?

Syeikh Zahid al-Kauthari

1 – Syeikh Abdul Razzaq Hamzah menulis sebuah risalah mengkritik Syeikh Muhammad Zahid al-Kauthari.

2 - Dalam kitab tersebut, ada satu bab yang diletakkan tajuknya sebagai: ‘Al-Kauthari mencerca sahabat’.

Dalam bab itu, Syeikh Abdul Razzaq Hamzah menuduh kononnya Syeikh Zahid al-Kauhari mencerca Anas bin Malik dan mengatakannya nyanyuk (الخرف), berdusta atas nama nabi dan bersifat ummiy (tidak tahu menulis dan membaca) disebabkan Anas bin Malik sudah tua dan berusia lanjut.

3 – Seorang penuntut ilmu seharusnya merujuk kepada kitab Syeikh Zahid al-Kauthari dan membandingkan sendiri apa yang beliau katakan dengan apa yang dituduh oleh Syeikh Abdul Razzaq Hamzah.

4 – Dalam kitab Ta’nib al-Khatib (hlm. 159), Syeikh Zahid al-Kauthari membawakan pendapat Imam Abu Hanifah yang berpandangan bahawa para sahabat bersifat ‘adil namun mereka tidak maksum daripada berkurangan hafalan (قلة الضبط) disebabkan sifat ummiy atau berusia lanjut.

5 – Dalam kitab al-Nukat al-Tarifah (hlm. 100), Syeikh Zahid al-Kauthari sekali lagi menukilkan pendapat Imam Abu Hanifah yang mengatakan bahawa para sahabat itu ‘adil tetapi kita tidak mendakwa bahawa mereka itu maksum daripada kesilapan yang mana tidak ada manusia yang tidak melakukan kesilapan seperti berkurangannya hafalan dan terlupa disebabkan sifat ummiy atau lanjut usia.

6 – Berkaitan sifat ummiy pada Anas bin Malik, Syeikh Abdul Razzaq Hamzah mengkritik Syeikh Zahid al-Kauthari dan membuktikan bahawa Anas bin Malik boleh menulis. Maka kritikan Syeikh Abdul Razzaq Hamzah dalam masalah tersebut adalah benar.

7 – Namun begitu, Anas bin Malik memang benar berusia lanjut (hampir 100 tahun). Jadi tidak mustahil beliau ada tersilap dalam beberapa riwayat hadis sebagaimana kebiasaan manusia biasa.

8 - Berkurangan hafalan sebenarnya memang berlaku kepada berlaku kepada perawi-perawi thiqah yang hebat seperti Imam Malik yang digelar Amirul Mu’minin Fi al-Hadith. Beliau juga ada melakukan beberapa kesilapan dalam kitab al-Muwatta’.

Disebabkan itu, sebahagian ahli hadis seperti Yahya bin Ma’in berkata: “Sesiapa yang mendakwa dia langsung tidak melakukan kesilapan dalam (meriwayatkan) hadis maka dia berdusta.”

Setiap perawi hadis ada melakukan kesilapan dalam meriwayatkan hadis. Namun kadar kesilapan bagi setiap perawi tersebut itu berbeza tingkatannya.

Seorang perawi thiqah mungkin ada sedikit kekurangan dan terlupa pada hafalannya, mereka ini dikatakan sebagai perawi thiqah yang ada beberapa kekeliruan (auham) atau perawi thiqah yang ada beberapa kesilapan.

Ada perawi yang lebih lagi kekurangan hafalannya. Perawi ini adalah perawi soduq dan perawi hadis hasan.

Dan ada perawi yang kurang lagi hafalannya sehingga dinafikan langsung hafalan padanya. Mereka ini adalah perawi yang buruk hafalannya, banyak kesilapannya dan teruk kesilapannya.

7 – Syeikh Zahid al-Kauthari berpandangan bahawa ada beberapa hadis tertentu yang ada beberapa kalimah di dalamnya yang tersilap berpunca daripada Anas bin Malik disebabkan beliau terlupa kerana usianya yang sudah lanjut sebagaimana yang ada berlaku pada perawi thiqah yang lain.

Beliau tidak menafikan langsung kekuatan hafalan pada Anas bin Malik, bahkan beliau mengatakan kemungkinan Anas bin Malik ada terlupa disebabkan ketuaannya dan terlupa ini adalah sifat biasa yang ada pada manusia, apatah lagi setelah berusia tua.

6 – Perhatikan bahawa Syeikh Zahid al-Kauhari menyebut tentang berkurangan hafalan dan bukannya nyanyuk atau berdusta atas nama Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang dituduh oleh Syeikh Abdul Razzaq Hamzah.

9 – Kebanyakan orang yang mengkritik Syeikh Zahid al-Kauthari pasti menuduh beliau mencerca Anas bin Malik sedangkan mereka tidak melihat sendiri ucapan beliau dalam kitabnya sendiri. Oleh itu, bandingkan antara kalam pengkritik dan kalam Syeikh Zahid al-Kauthari sendiri dalam kitab beliau.

Rujukan:

Video Dr Hamzah al-Bakri

Sabtu, 8 Julai 2023

Hadis Jariah - Pandangan Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari

Matan Hadis Jariah

عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ الْحَكَمِ السُّلَمِيِّ، قَالَ:

كَانَتْ لِي جَارِيَةٌ تَرْعَى غَنَمًا لِي قِبَلَ أُحُدٍ وَالْجَوَّانِيَّةِ، فَاطَّلَعْتُ ذَاتَ يَوْمٍ فَإِذَا الذِّيبُ قَدْ ذَهَبَ بِشَاةٍ مِنْ غَنَمِهَا، وَأَنَا رَجُلٌ مِنْ بَنِي آدَمَ، آسَفُ كَمَا يَأْسَفُونَ، لَكِنِّي صَكَكْتُهَا صَكَّةً، فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَظَّمَ ذَلِكَ عَلَيَّ، قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ أَفَلَا أُعْتِقُهَا؟ قَالَ: ائْتِنِي بِهَا. فَأَتَيْتُهُ بِهَا، فَقَالَ لَهَا: أَيْنَ اللهُ؟ قَالَتْ: فِي السَّمَاءِ، قَالَ: مَنْ أَنَا؟ قَالَتْ: أَنْتَ رَسُولُ اللهِ، قَالَ: أَعْتِقْهَا، فَإِنَّهَا مُؤْمِنَةٌ.

Mu'awiyah bin al-Hakam al-Sulami berkata:

Aku mempunyai seorang hamba perempuan (jariah) yang menggembala kambingku di kawasan sekitar bukit Uhud dan al-Jawwaniyyah.

Pada suatu hari aku datang menjenguknya, tiba-tiba ada seekor serigala melarikan seekor kambing yang digembalanya.

Aku sebagai seorang manusia biasa menjadi marah sebagaimana manusia lainnya, lalu aku menampar mukanya sekali.

Kemudian aku datang kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan baginda menganggap perbuatanku itu sebagai dosa besar.

Aku bertanya kepada baginda: Wahai Rasulullah, adakah aku perlu merdekakannya? (untuk menebus kesilapaku menamparnya tadi).

Baginda bersabda: Bawakan dia kepadaku.

Lalu aku pun membawanya berjumpa baginda.

Baginda bertanya kepadanya: Di manakah Allah?

Jariah tersebut menjawab: Di langit.

Baginda bertanya lagi: Siapakah aku?

Jariyah tersebut menjawab: Engkau adalah utusan Allah (Rasulullah).

Baginda bersabda: Merdekakanlah dia. Sesungguhnya dia seorang yang beriman.”

Riwayat Muslim (no. 537).

Pendapat Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari

Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari dalam kitab al-Fawaid al-Maqsudah Fi Bayan al-Ahadith al-Syazah al-Mardudah menjelaskan pendapat beliau tentang hadis ini:

Menurut beliau, hadis ini syaz dan tidak harus beramal dengannya. Syaznya hadis ini dapat dijelaskan dari beberapa sudut:

Sudut Pertama: Hadis ini bercanggah dengan riwayat yang mutawatir daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bahawa apabila datang kepada baginda seseorang yang ingin memeluk Islam, baginda akan bertanya kepadanya tentang dua kalimah syahadah. Apabila dia menerima dua kalimah syahadah maka baginda akan menganggapnya sebagai seorang muslim.

Misalnya dalam hadis-hadis berikut:

Hadis Pertama

Dalam Muwatta’ Imam Malik diriwayatkan daripada Ubaidillah Bin Abdullah Bin Utbah Bin Mas’ud:

“Seorang laki-laki dari kalangan Ansar datang kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Dia memiliki seorang hamba perempuan berkulit hitam.

Dia berkata: Wahai Rasulullah. Sesungguhnya aku wajib membebaskan seorang hamba yang beriman. Jika engkau melihatnya sebagai seorang yang beriman, maka aku akan bebaskan dia.

Maka Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bertanya kepadanya (hamba perempuan):

"Adakah engkau bersaksi bahawa tidak ada tuhan selain Allah?"

Dia menjawab: Ya.

Baginda bertanya lagi: Adakah engkau bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan Allah?

Dia menjawab: Ya.

Baginda bertanya lagi: Adakah engkau meyakini adanya kebangkitan setelah kematian?

Ia menjawab: Ya.

Baginda kemudian bersabda: Bebaskanlah dia.”

Hadis Kedua

Al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra meriwayatkan daripada ‘Utbah bin Mas’ud, beliau berkata:

“Seorang wanita datang kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersama hamba perempuan berkulit hitam.

Dia berkata: Wahai Rasulullah, aku perlu membebaskan hamba yang beriman. Adakah memadai bagiku membebaskan hamba ini?

Rasulullah bertanya kepada hamba itu: Siapakah tuhanmu?

Dia menjawab: Allah adalah tuhanku.

Baginda bertanya lagi: Apakah agamamu?

Dia menjawab: Islam.

Baginda bertanya lagi: Siapakah aku?

Dia menjawab: Engkau adalah utusan Allah.

Baginda bertanya lagi: Adakah engkau solat lima waktu dan dan membaca apa yang aku bawakan daripada Allah (yakni al-Quran)?

Dia menjawab: Ya.

Baginda lalu menampar (perlahan) di belakangnya dan bersabda: Bebaskan dia.”

Al-Baihaqi juga meriwayatkan daripada al-Syarid bin Suwaid (dengan lafaz berbeza), dia berkata:

“Wanita itu berkata: Wahai Rasulullah, ibuku mewasiatkan kepadaku supaya membebaskan hamba sebagai wakil kepadanya. Aku mempunyai hamba perempuan Nubia (berkulit hitam).

Baginda bersabda: Bawakan dia.

Baginda bertanya kepadanya: Siapakah tuhanmu?

Dia menjawab: Allah.

Baginda bertanya lagi: Siapakah aku?

Dia menjawab: Utusan Allah.

Baginda bersabda: Bebaskan dia. Sesungguhnya dia beriman.”

Hadis Ketiga

Imam Ahmad meriwayatkan:

“Seorang lelaki Ansar datang bersama seorang hamba perempuan. Dia berkata: Wahai Rasulullah, aku perlu membebaskan hamba yang beriman. Jika engkau melihat bahawa dia seorang yang beriman maka aku akan membebaskannya.

Maka baginda bertanya kepadanya: Adakah engkau bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah?

Dia menjawab: Ya.

Baginda bertanya lagi: Adakah engkau bersaksi bahawa aku adalah utusan Allah?

Dia menjawab: Ya.

Baginda bertanya lagi: Adakah engkau beriman dengan kebangkitan selepas kematian?

Dia menjawab: Ya.

Baginda bersabda: Bebaskan dia.”

Hadis Keempat: 

Al-Bazzar meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas, beliau berkata:

“Seorang lelaki datang kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan berkata: Ibuku perlu membebaskan hamba. Aku mempunyai seorang hamba perempuan.

Baginda bersabda: Bawakan dia kepadaku.

Baginda bertanya kepadanya: Adakah engkau bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan aku adalah utusan Allah?

Dia menjawab: Ya.

Baginda bersabda: Bebaskan dia.”

Sudut Kedua: Dalam hadis Jibril, baginda menerangkan tentang rukun iman. Baginda bersabda: “Iman itu adalah engkau beriman dengan Allah, malaikatNya, kitab-kitabNya, Rasul-RasulNya, hari akhirat dan engkau beriman dengan qadar, sama ada baik ataupun buruk.”

Baginda langsung tidak menyebutkan tentang akidah ‘Allah di langit’.

Sudut Ketiga:  Akidah ‘Allah di langit’ tidak mensabitkan/membuktikan ketauhidan dan menafikan kesyirikan. Lalu bagaimana baginda boleh mensifatkan pemilik akidah berkenaan sebagai seorang yang beriman?

Orang-orang musyrik berkeyakinan bahawa Allah di langit dan dalam masa yang sama mereka mensyirikkan/menyekutukan Allah dengan tuhan-tuhan di bumi.

Dalam satu riwayat menceritakan bahawa Husain bin ‘Utbah atau Husain bin ‘Ubaid (bapa Imran bin Husain) datang kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Baginda bertanya kepadanya: “Berapakah tuhan yang engkau sembah?” Beliau menjawab: “Enam di bumi dan satu di langit.”

Dalam surah al-Qasas ayat ke 38 menceritakan bahawa Firaun berkata kepada Haman: Wahai Haman, bakarkanlah untukku batu-bata, serta binalah untukku bangunan yang tinggi, supaya aku naik melihat Tuhan Musa.”

Firaun meminta agar dibinakan bangunan yang tinggi kerana dia percaya bahawa Allah itu di langit. Dan dalam masa yang sama dia mengaku sebagai tuhan, sebagaimana yang disebutkan dalam surah al-Nazi’at ayat 24:  "Akulah tuhan kamu, yang tertinggi." dan dalam surah al-Qasas ayat 38:  “Aku tidak mengetahui ada bagi kamu sebarang tuhan yang lain daripadaku.”

Sudut Keempat: Sebagaimana yang diketahui, ‘Allah di langit’ itu tidak (difahami) berdasarkan hakikatnya di sisi sekumpulan ulama, bahkan ia ditakwil di sisi mereka dengan makna ketinggian (‘uluw) yang maknawi (abstrak atau tidak bersifat kebendaan).

Imam al-Baji mengulas tentang ucapan Jariah (Allah di langit): “Mungkin dia ingin mensifatkan Allah dengan ketinggian (‘uluw). Dan kerana itu disifatkan bagi orang yang mempunyai kedudukan/darjat yang tinggi dengan dikatakan: Tempat si fulan itu di langit, iaitu tinggi status, martabat dan kedudukannya.”

Imam al-Subki menyebutkan dalam Tabaqat al-Syafi’eyyah bait syair yang disandarkan kepada Abdullah bin Rawahah:

Aku bersaksi bahawa janji Allah itu benar,

Sesungguhnya neraka itu adalah tempat tinggal bagi orang kafir,

Sesungguhnya Arasy itu mengapung di atas air,

Di atas Arasy itu Tuhan sekalian alam.

Selepas itu Imam al-Subki berkata:

“Alangkah indahnya ucapan Imam al-Rafi’e dalam kitab al-Amali selepas menyebutkan bait syair ini: Atas (dalam syair) ini adalah atas (yang bermaksud) keagungan/kemuliaan (al-‘azamah) dan tidak perlu kepada yang lain (al-istighna’). (Sifat) ini berlawanan dengan dengan sifat sesuatu yang lemah dan binasa (fana’) (yakni makhluk).”



Rabu, 5 Julai 2023

Al-Khatib al-Syirbini - Pengarang Mughni Muhtaj Syarah Minhaj al-Talibin

Syirbin pada masa kini

Nama, Nasab dan Gelaran

Nama beliau ialah Muhammad bin Ahmad. Menurut satu pendapat nama bapanya ialah Muhammad dan ada yang mengatakan nama bapanya Abdul Rahman. Menurut Syeikh Sayyid Syaltut, tidak tepat menamakan bapa beliau dengan nama Muhammad kerana beliau sendiri menyebutkan namanya sebagai Muhammad bin Ahmad al-Syirbini al-Khatib di penghujung kitab tafsirnya, al-Siraj al-Munir.

Laqab beliau ialah Syamsuddin kerana adat orang pada zaman tersebut menggelarkan orang bernama Muhammad sebagai Syamsuddin. Beliau juga terkenal dengan gelaran al-Khatib al-Syirbini. Gelaran al-Khatib tersebut menurut Imam al-Bujairimi adalah kerana beliau merupakan khatib di Masjid al-Azhar. Gelaran al-Syirbini pula adalah nisbah kepada kampung Syirbin yang terletak di al-Daqahliyah, Mesir yang merupakan tempat kelahiran beliau.

Kelahiran

Para ulama yang menulis berkenaan biografi beliau tidak menyebutkan tarikh kelahiran beliau. Namun begitu dapat dianggarkan tarikh kelahiran beliau berdasarkan tarikh wafat guru beliau.

Di antara guru beliau ialah Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari (m. 925 H). Untuk melayakkan seorang pelajar untuk belajar dengan ulama hebat seperti Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari sudah tentu usia beliau ketika itu tidak kurang dari 18 sehingga 20 tahun. Tempoh beliau berdamping dengan Syeikh al-Islam Zakariyyah al-Ansari juga sudah tentu tidak kurang daripada tiga atau lima tahun.

Di zaman itu juga ada Imam al-Suyuti (m. 911 H) yang merupakan seorang ulama yang terkenal juga. Namun begitu beliau tidak pernah belajar dengan Imam al-Suyuti. Jika usia beliau ketika itu sudah melayakkan beliau untuk belajar dengan Imam al-Suyuti sudah tentu beliau akan belajar dengannya. Ini menunjukkan bahawa tahun kelahiran beliau adalah sekitar tahun 900 Hijrah sehingga 905 Hijrah.

Begitu juga tidak ada sebarang maklumat tentang bapa beliau. Tidak dapat dipastikan sama ada bapa beliau merupakan seorang ahli ilmu ataupun tidak.

Pembesaran dan Perjalanan Menuntut Ilmu

Tidak disebutkan dalam biografi beliau tentang perjalanan ilmiah beliau menuntut ilmu ketika kecil. Begitu juga tidak dinyatakan bila beliau mula menghafal al-Quran dan mengembara ke Kaherah untuk belajar dengan para ulama al-Azhar.

Namun berdasarkan adat ibu bapa pada masa tersebut, kita dapat pastikan bahawa ibu bapanya telah menghantar beliau untuk belajar di kuttab (tadika) semenjak kecil lagi untuk menghafal al-Quran dan mempelajari cara membaca, menulis dan mengira. Setelah itu beliau belajar pula di majlis-majlis ilmu di masjid-masjid sekitar tempat kelahiran beliau sehinggalah mencapai usia baligh. Kemudian barulah beliau mengembara ke Masjid al-Azhar untuk belajar dengan ulama-ulamanya. Setelah menguasai pelbagai bidang ilmu khususnya fiqh mazhab al-Syafie beliau pula menggantikan guru-gurunya mengajar dan berkhutbah di Masjid al-Azhar sehingga namanya harum dan masyhur di sisi ulama dan orang awam.

Biografi al-Khatib al-Syirbini juga tidak merekodkan bahawa beliau ada melakukan pengembaraan ke luar Kaherah melainkan sewaktu beliau menunaikan haji. Guru-guru beliau kesemuannya berada di Kaherah dan bermazhab al-Syafi’e. Mungkin kerana pada waktu itu Kaherah merupakan kota ilmu yang menjadi tumpuan para ulama dalam pelbagai bidang ilmu. Oleh itu tidak ada keperluan lagi untuk mengembara mencari ulama di luar kota Kaherah.

Guru-Guru

Al-Khatib al-Syirbini sempat belajar dengan ramai ulama hebat di zamannya. Beliau mempelajari daripada mereka ilmu-ilmu syariat sama ada secara riwayat dan dirayah. Dalam biografi beliau telah disebutkan sejumlah guru-guru beliau, antaranya:

1 – Syeikh al-Islam Zakariyyah al-Ansari (m. 925 H).

Al-Khatib al-Syirbini sangat banyak mengambil manfaat daripada beliau dan mengelar beliau sebagai Syeikhuna dalam kitabnya, Mughni al-Muhtaj.

2 – Imam Syihabuddin al-Ramli (m. 957 H).

Al-Khatib Al-Shirbini sangat memuliakan dan mengagungkannya. Ini menunjukkan bahawa beliau sangat banyak mengambil manfaat daripada ilmunya.

Antara pujian beliau kepadanya dapat dilihat di bahagian mukadimah kitab Mughni al-Muhtaj, beliau berkata: "Beliau tidak ada bandingannya pada masanya, yang unggul pada zamannya, sultan para ulama, lisan ahli kalam, tonggak para guru, dan petunjuk bagi para pelajar. Beliau adalah (contoh) kebaikan di siang dan malam hari. Beliau adalah bintang dunia dan agama."

3 – Imam Syihabuddin Ahmad al-Burrullusi yang terkenal dengan nama ‘Amirah (m. 957 H). Pengarang Hashiyyah ‘Amirah ‘Ala Syarah al-Mahalli ‘Ala Minhaj al-Talibin.

4 – Imam Nasiruddin Muhammad bin Salim al-Tablawi (m. 966 H).

6 – Imam Badruddin Muhammad bin Muhammad al-Masyhadi (m. 932 atau 933 H).

7 – Imam Nasiruddin Muhammad bin Hasan al-Laqqani (m. 958 H).

8 – Imam Abu al-Fath al-Qalqasyandi (m. 922 H).

9 – Imam Abdul Haqq al-Sunbati (m.  931 H).

10 – Imam Kamaluddin Muhammad bin Hamzah al-Syami (m.  933 H).

11 – Imam Ibnu al-Najjar al-Hanbali (m.  949 H).

12 – Imam Abu al-Hasan al-Bakri al-Siddiqi (m. 952 H).

13 – Imam Jamaluddin Abdullah al-Safi.

Murid-Murid

Keilmuan dan kemasyhuran nama al-Khatib al-Syirbini menarik minat ramai murid yang ingin menuntut dan mengambil ilmu daripada beliau sehingga dikatakan murid-murid beliau tidak terbilang banyaknya. Disenaraikan di sini sebahagian murid-muridnya:

1 – Anak beliau, Zainuddin Abdul Rahman bin Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini (m. 1014 H).

2 – Sepupunya, Syihabuddin Ahmad al-Khatib al-Syirbini.

3 – Ahmad bin Qasim al-‘Abbadi (m. 994 H).

Al-Bujairmi menyebutkan bahawa beliau adalah murid kepada al-Khatib al-Syirbini. Beliau adalah pengarang kepada beberapa kitab yang masyhur, antaranya Hashiyyah ‘Ala Tuhfah al-Muhtaj karangan Ibnu Hajar al-Haitami dan al-Syarah al-Kabir ‘Ala al-Waraqat.

4 – ‘Allauddin Ali al-Ghazi (m. 1001 H).

5 – Nuruddin Ali al-Tandata’ie.

Beliau ada menghimpunkan fatwa-fatwa gurunya, al-Khatib al-Syirbini.

6 – Nu’man al-‘Ajluni (m. 1019 H).

Beliau sangat kuat hafalannya tehadap permasalahan fiqh dalam kitab Mughni al-Muhtaj seolah-olah kitab tersebut berada di depan matanya.

7 – Zainuddin Abdul Rahman bin Yusuf al-Buhuti.

Beliau berusia panjang sehingga dikatakan mencapai 130 tahun.

8 – Ibnu Sarim al-Din al-Saidawi (m. 977 H).

9 – Syamsuddin Muhammad bin Salahuddin al-Dawudi (m 1006 H).

10 – Salim bin al-Hasan al-Syabsyiri (m. 1018 H atau 1019 H).

11 – Sulaiman bin Abdul Daim al-Babili (m. 1026 H).

Penulisan

Al-Khatib al-Syirbini telah meninggalkan hasil penulisan yang sangat berkualiti dan diberkati. Kitab-kitabnya mengandungi permata yang berharga dan khazanah ilmu yang bernilai. Allah telah menjadikan hasil karyanya itu bermanfaat bagi umat Islam, sama ada para ulamanya mahupun penuntut ilmu.

Syeikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi dalam kitab al-Fawaid al-Madaniyyah memuji karya-karya al-Khatib al-Baghdadi dengan katanya: “Telah dikurniakan kepada al-Khatib dalam kitab-kitabnya itu kecantikan gaya bahasa sewaktu menjelaskan sesuatu ibarat sebagaimana yang dapat dilihat dan dirasai pada kalam-kalamnya.”

Berikut adalah sebahagian hasil karya al-Khatib al-Syirbini yang dibahagikan menurut bidang ilmu:

a) Tafsir al-Quran:

1 – Al-Siraj al-Munir Fi al-I’anah ‘Ala Ma’rifah Ba’d Kalam Rabbina al-Hakim al-Khabir. (Muat Turun)

Al-Khatib menceritakan sebab penulis kitab ini di bahagian mukadimahnya. Menurut beliau, para ulama salaf sangat mengambil berat dengan al-Quran, sama ada menulis tafsir baginya atau menjelaskan ilmu-ilmunya berserta hukum-hakamnya. Oleh itu terlintas dalam hati beliau untuk mengikuti jejak langkah mereka dalam menafsirkan al-Quran.

Begitu juga terdapat beberapa orang murid beliau yang meminta agar ditulis sebuah tafsir sederhana yang tidak terlalu panjang sehingga menjemukan dan tidak terlalu ringkas sehingga terdapat kelompongan. Pada mulanya beliau teragak-agak untuk menulis tafsir ini. Sehinggalah beliau berziarah ke Madinah pada tahun 961 Hijrah dan bersolat dua rakaat di Raudah di samping berdoa istikharah di hadapan makam Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Allah lalu melapangkan dada beliau untuk menghasilkan tafsir ini.

Beliau juga menceritakan bahawa ada seorang muridnya yang bermimpi melihat Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam atau Imam al-Syafi’e berkata kepadanya: “Katakan kepada si fulan (al-Khatib al-Syirbini) supaya membuat tafsir bagi al-Quran.”

Beliau menyelesaikan penulisan kitab ini pada tahun 968 Hijrah dan kitab ini sudah diterbitkan beberapa kali, antaranya yang diterbitkan oleh pencetakan Bulaq pada tahun 1285 H dalam empat jilid tebal.

b) Akidah

2 – Syarah Minhaj al-Din Fi Syu’ab al-Iman.

Syarah bagi kitab al-Minhaj Fi Syu’ab al-Iman karya Imam Abu Abdillah al-Halimi al-Jurjani (m. 403 H).

c) Fiqh

3 – Al-Najm al-Thaqib Fi Syarah Tanbih al-Talib. (Muat Turun)

Syarah bagi kitab al-Tanbih karya Imam Abu Ishaq al-Syirazi (m. 476 H). Disiapkan sebelum tahun 959 Hijrah yang merupakan tahun beliau mula menulis kitab Mughni al-Muhtaj.

4 – Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj. (Muat Turun)

Kitab ini merupakan syarah bagi kitab Minhaj al-Talibin karya Imam al-Nawawi. Setelah menyelesaikan syarah bagi kitab al-Tanbih yang mengandungi perbahasan fiqh yang sangat luas, murid beliau meminta kepadanya untuk menulis pula syarah yang sama bagi kitab Minhaj al-Talibin. Mulanya beliau merasa ragu-ragu untuk melaksanakan permintaan tersebut. Namun setelah berziarah ke makam Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam pada tahun 959 Hijrah dan beristikharah di Raudah, akhirnya hati beliau terbuka untuk melaksanakan permintaan tersebut. Kitab ini berjaya beliau  siapkan pada tahun 963 Hijrah.

5 – Al-Mawahib al-Saniyyah Syarah al-Bahjah al-Wardiyyah.

Syarah bagi manzumah al-Bahjah al-Wardiyyah karya Imam Ibnu al-Wardi (m. 749 H) yang menazamkan kitab al-Hawi al-Saghir karya Imam Najmuddin al-Qazwini (m. 665 H) dalam 5063 buah bait.


6 – Al-Iqna’ Fi Halli Alfaz Abi Syuja’. (Muat Turun)

Kitab ini merupakan syarah bagi Matan Abi Syuja’ atau al-Ghayah wa al-Taqrib. Beliau mensyarahkan Matan Abi Syuja’ ini setelah selesai mensyarahkan kitab al-Tanbih, Minhaj al-Talibin dan al-Bahjah al-Wardiyyah.

Beliau tidak memulakan penulisan kitab ini melainkan setelah beristikharah di makam Imam al-Syafi’e sebagaimana yang beliau sendiri sebutkan di bahagian mukadimah dan kitab ini berjaya diselesaikan pada tahun 972 Hijrah. Kitab ini telah diterbitkan beberapa kali dan ditulis atasnya beberapa buah hashiyyah, antara yang terkenal ialah Hashiyyah al-Bujairimi.

7 – Manasik al-Hajj al-Kabir.

Kitab ini telah diterbitkan bersama Hashiyyah Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasabillah al-Hindi (m. 1335 H) dan ada yang diterbitkan secara berasingan tanpa hashiyyah tersebut.

8 – Manasik al-Hajj al-Saghir atau al-Mansak al-Saghir. 

Kitab ini telah diterbitkan bersama syarahnya oleh Syeikh Muhammad Nawawi al-Bantani bertajuk Fath al-Mujib Syarah Mansak al-Khatib.

(d) Usul al-Fiqh

9 – Al-Badr al-Tali’ Fi Halli Alfaz Jam’ al-Jawami’. (Muat Turun)

Syarah kepada Jam’ al-Jawami’ karya Imam Tajuddin al-Subki (m. 771 H). Disiapkan pada tahun 974 Hijrah.

(e) Tasawwuf

10 – Sawati’ al-Hikam.

Syarah kepada Hikam Ibnu ‘Ataillah al-Sakandari (m. 709 H)

11 – Al-Mawa’iz al-Safiyyah ‘Ala al-Manabir al-‘Aliyyah dan dinamakan juga sebagai al-Mawa’iz al-Syafiyyah ‘Ala al-Manabir al-‘Aliyyah.

12 – Risalah Fi Birr al-Walidain Wa Silah al-Rahim



13 - Al-Khisal al-Mukaffirah Lil Zunub(Muat Turun)

(f) Bahasa Arab (Nahu, Saraf dan Balaghah)

14 – Fath al-Khaliq al-Malik Fi Halli Alfaz Kitab Alfiyyah Ibnu Malik. (Muat Turun)

Syarah bagi matan Alfiyah karangan Imam Ibnu Malik (m. 672 H).

15 – Mughith al-Nida Syarah Qatr al-Nada. (Muat Turun)

Syarah bagi matan Qatr al-Nada karangan Imam Ibnu Hisyam (m. 761 H).

16 – Syarah Syawahid Qatr al-Nada Wa Ball al-Sada. 

Beliau menghimpunkan syair-syair yang disebutkan dalam matan Qatr al-Nada lalu menyatakan sumber asal syair tersebut berserta i’rabnya.

17 – Nur al-Sajiyyah Fi Halli Alfaz al-Ajurumiyyah. (Muat Turun)

Syarah bagi matan al-Ajurumiyyah karangan Imam Ibnu Aajurrum (m. 723 H). Beliau mula menulis kitab ini setelah beristikharah di makam Imam al-Syafi’e dan berjaya menyiapkannya pada 972 Hijrah.

18 – Fath al-Rabbani Fi Halli Alfaz Tasrif ‘Izz al-Din al-Zanjani.

Syarah kepada matan Tasrif al-‘Izzi karangan Imam ‘Izzuddin al-Zanjani (m. selepas 655 H).

19 – Taqrir ‘Ala al-Mutawwal. 

Syarah bagi al-Mutawaal karangan Imam Sa’duddin al-Taftazani (m. 792 H) dalam ilmu balaghah.

Sifat Peribadi

Al-Khatib al-Syirbini terkenal mempunyai akhlak dan keperibadian yang terpuji sehinggakan Imam al-Sya’rani dalam al-Tabaqat al-Sughra berkata: “Penduduk Mesir bersepakat akan kesolehannya dan menyifatkannya dengan ilmu, amal, warak dan banyak melakukan haji dan ibadah.

Imam al-Sya’rani berkata: “Aku bersahabat dengannya selama 40 tahun dan aku tidak pernah melihat padanya ada sesuatu yang boleh mencemari agamanya.”

Imam al-Sya’rani berkata: “Aku tidak pernah langsung melihat beliau mencari-cari sesuatu pun daripada perkara keduniaan dan jawatan. Beliau tidak bersaing dengan sesiapa pun untuk berdamping dengan penguasa dan hakim. Bahkan mungkin beliau tidak kenal seorang pun daripada mereka.”

Imam al-Sya’rani berkata: “Aku tidak pernah melihat orang yang lebih banyak membaca al-Quran daripada beliau. Adapun kekusyukkan dan tadabbur beliau terhadap al-Quran, maka ia sesuatu yang luar biasa di kalangan penduduk Mesir. Begitu juga kecintaan beliau terhadap khumul (tidak dikenali) dan ketidakmasyhuran sewaktu beliau tinggal di Mekah sehingga tidak ada seorang pun yang mengenalinya.”

Imam al-Sya’rani berkata: “Engkau tidak akan mendapatinya melainkan sedang mutalaah ilmu atau solat atau membaca al-Quran atau berdiam diri memikirkan tentang keadaan hari kiamat. Beliau bertahajud di malam hari dan banyak berpuasa di waktu siang.”

Imam al-Sya’rani berkata: “Kadang-kala beliau memberi makan malam beliau kepada orang yang meminta dan beliau tidur dalam keadaan berlapar.”

Imam al-Sya’rani berkata: “Selama aku bersahabat dengannya aku tidak pernah mendengar beliau berkata buruk tentang rakan-rakannya. Beliau tidak berhasad dengki dengan seorang pun daripada mereka atas apa yang Allah kurniakan kepada mereka seperti ilmu, harta atau penerimaan di sisi orang-orang besar.”

Imam al-Sya’rani berkata: “Aku tidak pernah melihat orang yang lebih ringkas ziarahnya dan banyak adabnya daripada beliau. Beliau tidak pernah langsung mengetuk pintu (rumahku). Bahkan beliau akan berdiri di hadapan pintu untuk seketika. Jika tidak ada sesiapa yang membukanya beliau akan balik dan membaca surah al-Fatihah untuk melapangkan dadanya dan beliau tidak terkesan dengan perkara tersebut.”

Imam al-Sya’rani berkata: “Aku tidak pernah melihat di kalangan rakan-rakannya yang lebih banyak beriktikaf di bulan Ramadan dan luar Ramadan lebih daripada beliau. Antara adat beliau ialah beliau akan masuk ke masjid al-Azhar pada awal malam puasa dan tidak keluar melainkan setelah solat hari raya. Anaknya Sayyidi Abdul Rahman menceritakan kepadaku bahawa beliau selalu tidak makan malam pada bulan Ramadan melainkan setelah solat Tarawih. Beliau makan beberapa suapan kecil dan banyak minum air.”

Imam al-Sya’rani berkata: “Beliau berpuasa pada kebanyakan waktu dalam perjalanan menunaikan haji dan sewaktu beliau tinggal di Mekah. Beliau tidak makan pada kebanyakan malamnya. Beliau cukup sekadar minum air zamzam. Aku tidak pernah melihat orang yang lebih banyak membaca al-Quran daripada beliau dan lebih banyak bertawaf sewaktu beliau tinggal di Mekah. Suatu hari aku ingin meniru beliau dan aku tidak mampu untuk melakukannya.”

Al-Ghazzi berkata: “Antara adat beliau ialah beliau akan beriktikaf dari awal Ramadan dan tidak keluar dari masjid melainkan setelah solat hari raya. Apabila beliau melakukan haji, beliau tidak akan menunggang (haiwan tunggangan) melainkan setelah terlalu penat. Beliau lebih banyak berjalan kaki daripada (menunggang) haiwan tunggangan. Apabila beliau keluar dari Birkah al-Hajj (tempat berkumpul jemaah haji Mesir sebelum bertolak ke Mekah), beliau terus-menerus mengajarkan orang ramai cara melakukan haji, adab bermusafir, menggalakan mereka melakukan solat dan mengajarkan mereka cara melakukan solat qasar dan jamak. Beliau banyak membaca al-Quran sewaktu berada dalam perjalanan dan selainnya. Apabila beliau di Mekah, beliau banyak melakukan tawaf. Beliau lebih memperhatikan dirinya sendiri. Beliau lebih suka kepada khumul (tidak dikenali) dan tidak mempedulikan kesibukan dunia.”

Beliau juga sangat memberikan perhatian untuk beristikharah sebelum melakukan sesuatu perkara yang penting seperti menulis kitab. Sewaktu beliau di Madinah, beliau berziarah ke makam Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam lalu bersolat dua rakaat dan beristikharah kepada Allah di Raudah. Sewaktu di Kaherah, beliau melakukan perkara yang sama di makam Imam al-Syafi’e.

Puji-Pujian Ulama

Al-Khatib al-Syirbini mempunyai kedudukan yang istimewa di sisi para ulama. Keilmuan, kesolehan, kewarakan dan sifat tawaduk beliau mendapat pujian yang tinggi daripada para ulama. Namanya disebut-sebut dan buku-bukunya sentiasa dibaca dan dikaji oleh ulama dan penuntut ilmu. Berikut sebahagian daripada puji-pujian tersebut:

1 – Sahabat beliau, Imam Abdul Wahab al-Sya’rani memujinya:

“Saudara yang soleh, yang beramal, yang memberi tumpuan untuk beribadat kepada Tuhannya siang dan malam.”

Beliau juga pernah berkata:

“Syeikh al-Islam, yang alim lagi soleh.”

Beliau berkata lagi:

“Beliau mensyarahkan kitab al-Minhaj (dalam ilmu) fiqh dan al-Tanbih dengan dua syarahan yang agung. Beliau menghimpunkan di dalam keduanya rumusan guru-gurunya setelah Syeikh Zakariyya. Orang ramai menyalin kedua kitab tersebut dan mempelajarinya daripada beliau.”

2 – Gurunya, Imam Syihabuddin al-Ramli berkata:

“Syeikh Syamsuddin al-Khatib menghimpunkan permasalahan yang nadir dalam pengajarannya.”

3 – Imam Najmuddin al-Ghazzi berkata:

“Beliau salah satu daripada keajaiban di antara keajaiban-keajaiban (ciptaan) Allah dan hujah di antara hujah-hujahNya ke atas ciptaanNya.”

Beliau juga berkata:

“Beliau mengajar dan berfatwa ketika guru-gurunya masih hidup. Tidak terbilang ramainya orang yang mengambil manfaat daripada beliau.”

 4 – Imam Syihabuddin al-Syuja’ie berkata:

“Yang sangat alim (‘allamah), yang sangat tinggi kefahamannya (fahhamah), wali Allah tanpa disangkal lagi.”

5 – Imam Syamsuddin al-Kurdi berkata:

“Al-Khatib al-Syirbini adalah imam mazhab al-Syafi’e.”

Beliau juga menukilkan daripada Imam al-Sayyid al-Basri yang berkata:

“Telah mengkhabarkan kepadaku oleh sebahagian murid al-Syihab Ibnu Hajar. Dia menghadiri majlis pengajian Ibnu Hajar dan Ibnu Hajar telah selesai mengajar. Al-Khatib al-Syirbini pula sedang mengajar di bahagian lain di Masjidil Haram.  Al-Syihab Ibnu Hajar berkata kepada murid-muridnya yang berada bersamanya: Mari pergi bersama kami untuk menghadiri kuliah guru kami, Syeikh Syamsuddin al-Khatib. Ibnu Hajar lalu pergi bersama murid-muridnya untuk menghadiri majlis al-Khatib.”

6 – Syeikh ‘Alawi al-Saqqaf dalam al-Fawaid al-Makiyyah meletakkan beliau di peringkat guru bagi Ibnu Hajar al-Haitami kerana beliau berada satu tingkat lebih tinggi daripada Ibnu Hajar. Begitu juga apabila ulama mazhab al-Syafi’e ingin berfatwa dan mereka tidak menjumpai pendapat Ibnu Hajar atau al-Syihab al-Ramli, mereka akan berfatwa menggunakan pendapat Zakariyya al-Ansari, lalu pendapat al-Khatib al-Syirbini dan kemudian pendapat pengarang-pengarang hashiyyah.

Kewafatan

Setelah menghabiskan usia beliau bergelut dengan ilmu, mengarang kitab, berfatwa dan mendidik murid-muridnya, al-Khatib al-Syirbini menghembuskan nafas terakhir beliau pada hari khamis, 8 Sya’ban tahun 997 Hijrah selepas waktu asar. Ada sebahagian rujukan menyebutkan beliau wafat pada tahun 998 Hijrah.

Para ulama yang menulis biografi al-Khatib al-Syirbini tidak menyatakan tempat beliau dikebumikan. Namun apabila merujuk biografi beberapa tokoh lain yang disebutkan bahawa mereka dikebumikan di sebelah kubur al-Khatib al-Syirbini, dapat diketahui bahawa kubur beliau terletak di al-Qarafah al-Kubra, Kaherah.

Semoga Allah melimpahkan rahmatNya ke atas al-Khatib al-Syirbini atas jasa dan sumbangan beliau kepada Islam, khususnya fiqh mazhab al-Syafi’e.

Qarafah atau The City of The Dead