Rabu, 5 Julai 2023

Al-Khatib al-Syirbini - Pengarang Mughni Muhtaj Syarah Minhaj al-Talibin

Syirbin pada masa kini

Nama, Nasab dan Gelaran

Nama beliau ialah Muhammad bin Ahmad. Menurut satu pendapat nama bapanya ialah Muhammad dan ada yang mengatakan nama bapanya Abdul Rahman. Menurut Syeikh Sayyid Syaltut, tidak tepat menamakan bapa beliau dengan nama Muhammad kerana beliau sendiri menyebutkan namanya sebagai Muhammad bin Ahmad al-Syirbini al-Khatib di penghujung kitab tafsirnya, al-Siraj al-Munir.

Laqab beliau ialah Syamsuddin kerana adat orang pada zaman tersebut menggelarkan orang bernama Muhammad sebagai Syamsuddin. Beliau juga terkenal dengan gelaran al-Khatib al-Syirbini. Gelaran al-Khatib tersebut menurut Imam al-Bujairimi adalah kerana beliau merupakan khatib di Masjid al-Azhar. Gelaran al-Syirbini pula adalah nisbah kepada kampung Syirbin yang terletak di al-Daqahliyah, Mesir yang merupakan tempat kelahiran beliau.

Kelahiran

Para ulama yang menulis berkenaan biografi beliau tidak menyebutkan tarikh kelahiran beliau. Namun begitu dapat dianggarkan tarikh kelahiran beliau berdasarkan tarikh wafat guru beliau.

Di antara guru beliau ialah Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari (m. 925 H). Untuk melayakkan seorang pelajar untuk belajar dengan ulama hebat seperti Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari sudah tentu usia beliau ketika itu tidak kurang dari 18 sehingga 20 tahun. Tempoh beliau berdamping dengan Syeikh al-Islam Zakariyyah al-Ansari juga sudah tentu tidak kurang daripada tiga atau lima tahun.

Di zaman itu juga ada Imam al-Suyuti (m. 911 H) yang merupakan seorang ulama yang terkenal juga. Namun begitu beliau tidak pernah belajar dengan Imam al-Suyuti. Jika usia beliau ketika itu sudah melayakkan beliau untuk belajar dengan Imam al-Suyuti sudah tentu beliau akan belajar dengannya. Ini menunjukkan bahawa tahun kelahiran beliau adalah sekitar tahun 900 Hijrah sehingga 905 Hijrah.

Begitu juga tidak ada sebarang maklumat tentang bapa beliau. Tidak dapat dipastikan sama ada bapa beliau merupakan seorang ahli ilmu ataupun tidak.

Pembesaran dan Perjalanan Menuntut Ilmu

Tidak disebutkan dalam biografi beliau tentang perjalanan ilmiah beliau menuntut ilmu ketika kecil. Begitu juga tidak dinyatakan bila beliau mula menghafal al-Quran dan mengembara ke Kaherah untuk belajar dengan para ulama al-Azhar.

Namun berdasarkan adat ibu bapa pada masa tersebut, kita dapat pastikan bahawa ibu bapanya telah menghantar beliau untuk belajar di kuttab (tadika) semenjak kecil lagi untuk menghafal al-Quran dan mempelajari cara membaca, menulis dan mengira. Setelah itu beliau belajar pula di majlis-majlis ilmu di masjid-masjid sekitar tempat kelahiran beliau sehinggalah mencapai usia baligh. Kemudian barulah beliau mengembara ke Masjid al-Azhar untuk belajar dengan ulama-ulamanya. Setelah menguasai pelbagai bidang ilmu khususnya fiqh mazhab al-Syafie beliau pula menggantikan guru-gurunya mengajar dan berkhutbah di Masjid al-Azhar sehingga namanya harum dan masyhur di sisi ulama dan orang awam.

Biografi al-Khatib al-Syirbini juga tidak merekodkan bahawa beliau ada melakukan pengembaraan ke luar Kaherah melainkan sewaktu beliau menunaikan haji. Guru-guru beliau kesemuannya berada di Kaherah dan bermazhab al-Syafi’e. Mungkin kerana pada waktu itu Kaherah merupakan kota ilmu yang menjadi tumpuan para ulama dalam pelbagai bidang ilmu. Oleh itu tidak ada keperluan lagi untuk mengembara mencari ulama di luar kota Kaherah.

Guru-Guru

Al-Khatib al-Syirbini sempat belajar dengan ramai ulama hebat di zamannya. Beliau mempelajari daripada mereka ilmu-ilmu syariat sama ada secara riwayat dan dirayah. Dalam biografi beliau telah disebutkan sejumlah guru-guru beliau, antaranya:

1 – Syeikh al-Islam Zakariyyah al-Ansari (m. 925 H).

Al-Khatib al-Syirbini sangat banyak mengambil manfaat daripada beliau dan mengelar beliau sebagai Syeikhuna dalam kitabnya, Mughni al-Muhtaj.

2 – Imam Syihabuddin al-Ramli (m. 957 H).

Al-Khatib Al-Shirbini sangat memuliakan dan mengagungkannya. Ini menunjukkan bahawa beliau sangat banyak mengambil manfaat daripada ilmunya.

Antara pujian beliau kepadanya dapat dilihat di bahagian mukadimah kitab Mughni al-Muhtaj, beliau berkata: "Beliau tidak ada bandingannya pada masanya, yang unggul pada zamannya, sultan para ulama, lisan ahli kalam, tonggak para guru, dan petunjuk bagi para pelajar. Beliau adalah (contoh) kebaikan di siang dan malam hari. Beliau adalah bintang dunia dan agama."

3 – Imam Syihabuddin Ahmad al-Burrullusi yang terkenal dengan nama ‘Amirah (m. 957 H). Pengarang Hashiyyah ‘Amirah ‘Ala Syarah al-Mahalli ‘Ala Minhaj al-Talibin.

4 – Imam Nasiruddin Muhammad bin Salim al-Tablawi (m. 966 H).

6 – Imam Badruddin Muhammad bin Muhammad al-Masyhadi (m. 932 atau 933 H).

7 – Imam Nasiruddin Muhammad bin Hasan al-Laqqani (m. 958 H).

8 – Imam Abu al-Fath al-Qalqasyandi (m. 922 H).

9 – Imam Abdul Haqq al-Sunbati (m.  931 H).

10 – Imam Kamaluddin Muhammad bin Hamzah al-Syami (m.  933 H).

11 – Imam Ibnu al-Najjar al-Hanbali (m.  949 H).

12 – Imam Abu al-Hasan al-Bakri al-Siddiqi (m. 952 H).

13 – Imam Jamaluddin Abdullah al-Safi.

Murid-Murid

Keilmuan dan kemasyhuran nama al-Khatib al-Syirbini menarik minat ramai murid yang ingin menuntut dan mengambil ilmu daripada beliau sehingga dikatakan murid-murid beliau tidak terbilang banyaknya. Disenaraikan di sini sebahagian murid-muridnya:

1 – Anak beliau, Zainuddin Abdul Rahman bin Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini (m. 1014 H).

2 – Sepupunya, Syihabuddin Ahmad al-Khatib al-Syirbini.

3 – Ahmad bin Qasim al-‘Abbadi (m. 994 H).

Al-Bujairmi menyebutkan bahawa beliau adalah murid kepada al-Khatib al-Syirbini. Beliau adalah pengarang kepada beberapa kitab yang masyhur, antaranya Hashiyyah ‘Ala Tuhfah al-Muhtaj karangan Ibnu Hajar al-Haitami dan al-Syarah al-Kabir ‘Ala al-Waraqat.

4 – ‘Allauddin Ali al-Ghazi (m. 1001 H).

5 – Nuruddin Ali al-Tandata’ie.

Beliau ada menghimpunkan fatwa-fatwa gurunya, al-Khatib al-Syirbini.

6 – Nu’man al-‘Ajluni (m. 1019 H).

Beliau sangat kuat hafalannya tehadap permasalahan fiqh dalam kitab Mughni al-Muhtaj seolah-olah kitab tersebut berada di depan matanya.

7 – Zainuddin Abdul Rahman bin Yusuf al-Buhuti.

Beliau berusia panjang sehingga dikatakan mencapai 130 tahun.

8 – Ibnu Sarim al-Din al-Saidawi (m. 977 H).

9 – Syamsuddin Muhammad bin Salahuddin al-Dawudi (m 1006 H).

10 – Salim bin al-Hasan al-Syabsyiri (m. 1018 H atau 1019 H).

11 – Sulaiman bin Abdul Daim al-Babili (m. 1026 H).

Penulisan

Al-Khatib al-Syirbini telah meninggalkan hasil penulisan yang sangat berkualiti dan diberkati. Kitab-kitabnya mengandungi permata yang berharga dan khazanah ilmu yang bernilai. Allah telah menjadikan hasil karyanya itu bermanfaat bagi umat Islam, sama ada para ulamanya mahupun penuntut ilmu.

Syeikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi dalam kitab al-Fawaid al-Madaniyyah memuji karya-karya al-Khatib al-Baghdadi dengan katanya: “Telah dikurniakan kepada al-Khatib dalam kitab-kitabnya itu kecantikan gaya bahasa sewaktu menjelaskan sesuatu ibarat sebagaimana yang dapat dilihat dan dirasai pada kalam-kalamnya.”

Berikut adalah sebahagian hasil karya al-Khatib al-Syirbini yang dibahagikan menurut bidang ilmu:

a) Tafsir al-Quran:

1 – Al-Siraj al-Munir Fi al-I’anah ‘Ala Ma’rifah Ba’d Kalam Rabbina al-Hakim al-Khabir. (Muat Turun)

Al-Khatib menceritakan sebab penulis kitab ini di bahagian mukadimahnya. Menurut beliau, para ulama salaf sangat mengambil berat dengan al-Quran, sama ada menulis tafsir baginya atau menjelaskan ilmu-ilmunya berserta hukum-hakamnya. Oleh itu terlintas dalam hati beliau untuk mengikuti jejak langkah mereka dalam menafsirkan al-Quran.

Begitu juga terdapat beberapa orang murid beliau yang meminta agar ditulis sebuah tafsir sederhana yang tidak terlalu panjang sehingga menjemukan dan tidak terlalu ringkas sehingga terdapat kelompongan. Pada mulanya beliau teragak-agak untuk menulis tafsir ini. Sehinggalah beliau berziarah ke Madinah pada tahun 961 Hijrah dan bersolat dua rakaat di Raudah di samping berdoa istikharah di hadapan makam Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Allah lalu melapangkan dada beliau untuk menghasilkan tafsir ini.

Beliau juga menceritakan bahawa ada seorang muridnya yang bermimpi melihat Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam atau Imam al-Syafi’e berkata kepadanya: “Katakan kepada si fulan (al-Khatib al-Syirbini) supaya membuat tafsir bagi al-Quran.”

Beliau menyelesaikan penulisan kitab ini pada tahun 968 Hijrah dan kitab ini sudah diterbitkan beberapa kali, antaranya yang diterbitkan oleh pencetakan Bulaq pada tahun 1285 H dalam empat jilid tebal.

b) Akidah

2 – Syarah Minhaj al-Din Fi Syu’ab al-Iman.

Syarah bagi kitab al-Minhaj Fi Syu’ab al-Iman karya Imam Abu Abdillah al-Halimi al-Jurjani (m. 403 H).

c) Fiqh

3 – Al-Najm al-Thaqib Fi Syarah Tanbih al-Talib. (Muat Turun)

Syarah bagi kitab al-Tanbih karya Imam Abu Ishaq al-Syirazi (m. 476 H). Disiapkan sebelum tahun 959 Hijrah yang merupakan tahun beliau mula menulis kitab Mughni al-Muhtaj.

4 – Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj. (Muat Turun)

Kitab ini merupakan syarah bagi kitab Minhaj al-Talibin karya Imam al-Nawawi. Setelah menyelesaikan syarah bagi kitab al-Tanbih yang mengandungi perbahasan fiqh yang sangat luas, murid beliau meminta kepadanya untuk menulis pula syarah yang sama bagi kitab Minhaj al-Talibin. Mulanya beliau merasa ragu-ragu untuk melaksanakan permintaan tersebut. Namun setelah berziarah ke makam Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam pada tahun 959 Hijrah dan beristikharah di Raudah, akhirnya hati beliau terbuka untuk melaksanakan permintaan tersebut. Kitab ini berjaya beliau  siapkan pada tahun 963 Hijrah.

5 – Al-Mawahib al-Saniyyah Syarah al-Bahjah al-Wardiyyah.

Syarah bagi manzumah al-Bahjah al-Wardiyyah karya Imam Ibnu al-Wardi (m. 749 H) yang menazamkan kitab al-Hawi al-Saghir karya Imam Najmuddin al-Qazwini (m. 665 H) dalam 5063 buah bait.


6 – Al-Iqna’ Fi Halli Alfaz Abi Syuja’. (Muat Turun)

Kitab ini merupakan syarah bagi Matan Abi Syuja’ atau al-Ghayah wa al-Taqrib. Beliau mensyarahkan Matan Abi Syuja’ ini setelah selesai mensyarahkan kitab al-Tanbih, Minhaj al-Talibin dan al-Bahjah al-Wardiyyah.

Beliau tidak memulakan penulisan kitab ini melainkan setelah beristikharah di makam Imam al-Syafi’e sebagaimana yang beliau sendiri sebutkan di bahagian mukadimah dan kitab ini berjaya diselesaikan pada tahun 972 Hijrah. Kitab ini telah diterbitkan beberapa kali dan ditulis atasnya beberapa buah hashiyyah, antara yang terkenal ialah Hashiyyah al-Bujairimi.

7 – Manasik al-Hajj al-Kabir.

Kitab ini telah diterbitkan bersama Hashiyyah Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasabillah al-Hindi (m. 1335 H) dan ada yang diterbitkan secara berasingan tanpa hashiyyah tersebut.

8 – Manasik al-Hajj al-Saghir atau al-Mansak al-Saghir. 

Kitab ini telah diterbitkan bersama syarahnya oleh Syeikh Muhammad Nawawi al-Bantani bertajuk Fath al-Mujib Syarah Mansak al-Khatib.

(d) Usul al-Fiqh

9 – Al-Badr al-Tali’ Fi Halli Alfaz Jam’ al-Jawami’. (Muat Turun)

Syarah kepada Jam’ al-Jawami’ karya Imam Tajuddin al-Subki (m. 771 H). Disiapkan pada tahun 974 Hijrah.

(e) Tasawwuf

10 – Sawati’ al-Hikam.

Syarah kepada Hikam Ibnu ‘Ataillah al-Sakandari (m. 709 H)

11 – Al-Mawa’iz al-Safiyyah ‘Ala al-Manabir al-‘Aliyyah dan dinamakan juga sebagai al-Mawa’iz al-Syafiyyah ‘Ala al-Manabir al-‘Aliyyah.

12 – Risalah Fi Birr al-Walidain Wa Silah al-Rahim



13 - Al-Khisal al-Mukaffirah Lil Zunub(Muat Turun)

(f) Bahasa Arab (Nahu, Saraf dan Balaghah)

14 – Fath al-Khaliq al-Malik Fi Halli Alfaz Kitab Alfiyyah Ibnu Malik. (Muat Turun)

Syarah bagi matan Alfiyah karangan Imam Ibnu Malik (m. 672 H).

15 – Mughith al-Nida Syarah Qatr al-Nada. (Muat Turun)

Syarah bagi matan Qatr al-Nada karangan Imam Ibnu Hisyam (m. 761 H).

16 – Syarah Syawahid Qatr al-Nada Wa Ball al-Sada. 

Beliau menghimpunkan syair-syair yang disebutkan dalam matan Qatr al-Nada lalu menyatakan sumber asal syair tersebut berserta i’rabnya.

17 – Nur al-Sajiyyah Fi Halli Alfaz al-Ajurumiyyah. (Muat Turun)

Syarah bagi matan al-Ajurumiyyah karangan Imam Ibnu Aajurrum (m. 723 H). Beliau mula menulis kitab ini setelah beristikharah di makam Imam al-Syafi’e dan berjaya menyiapkannya pada 972 Hijrah.

18 – Fath al-Rabbani Fi Halli Alfaz Tasrif ‘Izz al-Din al-Zanjani.

Syarah kepada matan Tasrif al-‘Izzi karangan Imam ‘Izzuddin al-Zanjani (m. selepas 655 H).

19 – Taqrir ‘Ala al-Mutawwal. 

Syarah bagi al-Mutawaal karangan Imam Sa’duddin al-Taftazani (m. 792 H) dalam ilmu balaghah.

Sifat Peribadi

Al-Khatib al-Syirbini terkenal mempunyai akhlak dan keperibadian yang terpuji sehinggakan Imam al-Sya’rani dalam al-Tabaqat al-Sughra berkata: “Penduduk Mesir bersepakat akan kesolehannya dan menyifatkannya dengan ilmu, amal, warak dan banyak melakukan haji dan ibadah.

Imam al-Sya’rani berkata: “Aku bersahabat dengannya selama 40 tahun dan aku tidak pernah melihat padanya ada sesuatu yang boleh mencemari agamanya.”

Imam al-Sya’rani berkata: “Aku tidak pernah langsung melihat beliau mencari-cari sesuatu pun daripada perkara keduniaan dan jawatan. Beliau tidak bersaing dengan sesiapa pun untuk berdamping dengan penguasa dan hakim. Bahkan mungkin beliau tidak kenal seorang pun daripada mereka.”

Imam al-Sya’rani berkata: “Aku tidak pernah melihat orang yang lebih banyak membaca al-Quran daripada beliau. Adapun kekusyukkan dan tadabbur beliau terhadap al-Quran, maka ia sesuatu yang luar biasa di kalangan penduduk Mesir. Begitu juga kecintaan beliau terhadap khumul (tidak dikenali) dan ketidakmasyhuran sewaktu beliau tinggal di Mekah sehingga tidak ada seorang pun yang mengenalinya.”

Imam al-Sya’rani berkata: “Engkau tidak akan mendapatinya melainkan sedang mutalaah ilmu atau solat atau membaca al-Quran atau berdiam diri memikirkan tentang keadaan hari kiamat. Beliau bertahajud di malam hari dan banyak berpuasa di waktu siang.”

Imam al-Sya’rani berkata: “Kadang-kala beliau memberi makan malam beliau kepada orang yang meminta dan beliau tidur dalam keadaan berlapar.”

Imam al-Sya’rani berkata: “Selama aku bersahabat dengannya aku tidak pernah mendengar beliau berkata buruk tentang rakan-rakannya. Beliau tidak berhasad dengki dengan seorang pun daripada mereka atas apa yang Allah kurniakan kepada mereka seperti ilmu, harta atau penerimaan di sisi orang-orang besar.”

Imam al-Sya’rani berkata: “Aku tidak pernah melihat orang yang lebih ringkas ziarahnya dan banyak adabnya daripada beliau. Beliau tidak pernah langsung mengetuk pintu (rumahku). Bahkan beliau akan berdiri di hadapan pintu untuk seketika. Jika tidak ada sesiapa yang membukanya beliau akan balik dan membaca surah al-Fatihah untuk melapangkan dadanya dan beliau tidak terkesan dengan perkara tersebut.”

Imam al-Sya’rani berkata: “Aku tidak pernah melihat di kalangan rakan-rakannya yang lebih banyak beriktikaf di bulan Ramadan dan luar Ramadan lebih daripada beliau. Antara adat beliau ialah beliau akan masuk ke masjid al-Azhar pada awal malam puasa dan tidak keluar melainkan setelah solat hari raya. Anaknya Sayyidi Abdul Rahman menceritakan kepadaku bahawa beliau selalu tidak makan malam pada bulan Ramadan melainkan setelah solat Tarawih. Beliau makan beberapa suapan kecil dan banyak minum air.”

Imam al-Sya’rani berkata: “Beliau berpuasa pada kebanyakan waktu dalam perjalanan menunaikan haji dan sewaktu beliau tinggal di Mekah. Beliau tidak makan pada kebanyakan malamnya. Beliau cukup sekadar minum air zamzam. Aku tidak pernah melihat orang yang lebih banyak membaca al-Quran daripada beliau dan lebih banyak bertawaf sewaktu beliau tinggal di Mekah. Suatu hari aku ingin meniru beliau dan aku tidak mampu untuk melakukannya.”

Al-Ghazzi berkata: “Antara adat beliau ialah beliau akan beriktikaf dari awal Ramadan dan tidak keluar dari masjid melainkan setelah solat hari raya. Apabila beliau melakukan haji, beliau tidak akan menunggang (haiwan tunggangan) melainkan setelah terlalu penat. Beliau lebih banyak berjalan kaki daripada (menunggang) haiwan tunggangan. Apabila beliau keluar dari Birkah al-Hajj (tempat berkumpul jemaah haji Mesir sebelum bertolak ke Mekah), beliau terus-menerus mengajarkan orang ramai cara melakukan haji, adab bermusafir, menggalakan mereka melakukan solat dan mengajarkan mereka cara melakukan solat qasar dan jamak. Beliau banyak membaca al-Quran sewaktu berada dalam perjalanan dan selainnya. Apabila beliau di Mekah, beliau banyak melakukan tawaf. Beliau lebih memperhatikan dirinya sendiri. Beliau lebih suka kepada khumul (tidak dikenali) dan tidak mempedulikan kesibukan dunia.”

Beliau juga sangat memberikan perhatian untuk beristikharah sebelum melakukan sesuatu perkara yang penting seperti menulis kitab. Sewaktu beliau di Madinah, beliau berziarah ke makam Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam lalu bersolat dua rakaat dan beristikharah kepada Allah di Raudah. Sewaktu di Kaherah, beliau melakukan perkara yang sama di makam Imam al-Syafi’e.

Puji-Pujian Ulama

Al-Khatib al-Syirbini mempunyai kedudukan yang istimewa di sisi para ulama. Keilmuan, kesolehan, kewarakan dan sifat tawaduk beliau mendapat pujian yang tinggi daripada para ulama. Namanya disebut-sebut dan buku-bukunya sentiasa dibaca dan dikaji oleh ulama dan penuntut ilmu. Berikut sebahagian daripada puji-pujian tersebut:

1 – Sahabat beliau, Imam Abdul Wahab al-Sya’rani memujinya:

“Saudara yang soleh, yang beramal, yang memberi tumpuan untuk beribadat kepada Tuhannya siang dan malam.”

Beliau juga pernah berkata:

“Syeikh al-Islam, yang alim lagi soleh.”

Beliau berkata lagi:

“Beliau mensyarahkan kitab al-Minhaj (dalam ilmu) fiqh dan al-Tanbih dengan dua syarahan yang agung. Beliau menghimpunkan di dalam keduanya rumusan guru-gurunya setelah Syeikh Zakariyya. Orang ramai menyalin kedua kitab tersebut dan mempelajarinya daripada beliau.”

2 – Gurunya, Imam Syihabuddin al-Ramli berkata:

“Syeikh Syamsuddin al-Khatib menghimpunkan permasalahan yang nadir dalam pengajarannya.”

3 – Imam Najmuddin al-Ghazzi berkata:

“Beliau salah satu daripada keajaiban di antara keajaiban-keajaiban (ciptaan) Allah dan hujah di antara hujah-hujahNya ke atas ciptaanNya.”

Beliau juga berkata:

“Beliau mengajar dan berfatwa ketika guru-gurunya masih hidup. Tidak terbilang ramainya orang yang mengambil manfaat daripada beliau.”

 4 – Imam Syihabuddin al-Syuja’ie berkata:

“Yang sangat alim (‘allamah), yang sangat tinggi kefahamannya (fahhamah), wali Allah tanpa disangkal lagi.”

5 – Imam Syamsuddin al-Kurdi berkata:

“Al-Khatib al-Syirbini adalah imam mazhab al-Syafi’e.”

Beliau juga menukilkan daripada Imam al-Sayyid al-Basri yang berkata:

“Telah mengkhabarkan kepadaku oleh sebahagian murid al-Syihab Ibnu Hajar. Dia menghadiri majlis pengajian Ibnu Hajar dan Ibnu Hajar telah selesai mengajar. Al-Khatib al-Syirbini pula sedang mengajar di bahagian lain di Masjidil Haram.  Al-Syihab Ibnu Hajar berkata kepada murid-muridnya yang berada bersamanya: Mari pergi bersama kami untuk menghadiri kuliah guru kami, Syeikh Syamsuddin al-Khatib. Ibnu Hajar lalu pergi bersama murid-muridnya untuk menghadiri majlis al-Khatib.”

6 – Syeikh ‘Alawi al-Saqqaf dalam al-Fawaid al-Makiyyah meletakkan beliau di peringkat guru bagi Ibnu Hajar al-Haitami kerana beliau berada satu tingkat lebih tinggi daripada Ibnu Hajar. Begitu juga apabila ulama mazhab al-Syafi’e ingin berfatwa dan mereka tidak menjumpai pendapat Ibnu Hajar atau al-Syihab al-Ramli, mereka akan berfatwa menggunakan pendapat Zakariyya al-Ansari, lalu pendapat al-Khatib al-Syirbini dan kemudian pendapat pengarang-pengarang hashiyyah.

Kewafatan

Setelah menghabiskan usia beliau bergelut dengan ilmu, mengarang kitab, berfatwa dan mendidik murid-muridnya, al-Khatib al-Syirbini menghembuskan nafas terakhir beliau pada hari khamis, 8 Sya’ban tahun 997 Hijrah selepas waktu asar. Ada sebahagian rujukan menyebutkan beliau wafat pada tahun 998 Hijrah.

Para ulama yang menulis biografi al-Khatib al-Syirbini tidak menyatakan tempat beliau dikebumikan. Namun apabila merujuk biografi beberapa tokoh lain yang disebutkan bahawa mereka dikebumikan di sebelah kubur al-Khatib al-Syirbini, dapat diketahui bahawa kubur beliau terletak di al-Qarafah al-Kubra, Kaherah.

Semoga Allah melimpahkan rahmatNya ke atas al-Khatib al-Syirbini atas jasa dan sumbangan beliau kepada Islam, khususnya fiqh mazhab al-Syafi’e.

Qarafah atau The City of The Dead

Tiada ulasan:

Catat Ulasan