Khamis, 27 Julai 2023

Hadis Kelebihan Surah al-Kahfi

Galakan Membaca Surah al-Kahfi Pada Siang dan Malam Jumaat

1- Imam al-Syafi’e berkata dalam kitab al-Umm:

“Telah sampai kepada kami (hadis) bahawa sesiapa yang membaca surah al-Kahfi akan selamat daripada tipu daya Dajjal. Aku suka agar memperbanyakkan selawat ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam pada setiap masa dan pada hari Jumaat dan malamnya lebih lagi aku galakkan. Aku suka agar dibaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat dan siangnya kerana ada (hadis) tentangnya.”

 2 – Imam al-Nawawi dalam kitab al-Azkar berkata:

“Digalakkan untuk memperbanyakkan pada siang dan malamnya (Jumaat) bacaan al-Quran, zikir, doa, selawat ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan membaca surah al-Kahfi pada harinya.”

Hikmah Dibaca Surah al-Kahfi Pada Hari Jumaat

Imam Kamaluddin al-Damiri dalam kitab al-Najm al-Wahhaj Syarah al-Minhaj berkata:

“Hikmah pembacaannya pada hari Jumaat kerana Allah menyebutkan di dalamnya berkenaan hari kiamat. Hari Jumaat menyerupai hari kiamat kerana pada hari Jumaat manusia akan berhimpun dan bangun khatib (menyampaikan khutbah). Begitu juga kiamat akan berlaku pada hari Jumaat. Apabila dibaca surah al-Kahfi pada waktu siang akan mengingatkan kepada kiamat. Jika dibaca pada waktu malam akan mengingatkan bahawa tidak ada malam lagi setelahnya melainkan hari kiamat.”

Hadis Kelebihan Surah al-Kahfi

Hadis Pertama

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ:

مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْفِ عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ.

Diriwayatkan daripada Abu Darda’, Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi maka dia akan dipelihara daripada Dajjal.”

Riwayat Muslim (no. 809).

Dalam riwayat Muslim yang lain:

منْ حفِظَ عشْر آيَاتٍ مِنْ آخِرِ سُورةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ.

“Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada akhir surah al-Kahfi maka dia akan dipelihara daripada Dajjal.”

Dalam riwayat al-Tirmizi (no. 2886):

مَنْ قَرَأَ ثَلَاثَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ الكَهْفِ عُصِمَ مِنْ فِتْنَةِ الدَّجَّالِ.

“Sesiapa yang membaca 3 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan diperlihara daripada tipu daya Dajjal.”

Kata al-Tirmizi: “Hadis ini hasan sahih.”

Keterangan Hadis dan Pengajaran Hadis:

1 – Syeikh Abdullah al-Talidi dalam kitab Bidayah al-Sul berkata: “Hadis ini menunjukkan keutamaan surah al-Kahfi dan kelebihan menghafal dan membacanya iaitu terpelihara daripada Dajjal dan tipu dayanya, meskipun orang tersebut hanya menghafal 10 ayat daripada awalnya atau membaca 10 ayat terakhir daripadanya.”

2 - Maksud tipu daya Dajjal ialah perkara-perkara ajaib dan luar biasa yang dizahirkan oleh Dajjal  seperti menurunkan hujan dan menumbuhkan tumbuhan di bumi yang tandus yang membuatkan orang yang lemah imannya terpedaya dan tersesat sehingga mengikut Dajjal.

3 – Imam al-Nawawi menyebutkan dalam Syarah Sahih Muslim bahawa dikatakan hikmah surah ini dapat menjadi pelindung daripada tipu daya Dajjal adalah kerana 10 ayat awal surah ini menceritakan tentang perkara-perkara yang luar biasa dan ajaib. Oleh itu sesiapa yang benar-benar memahami dan menghayati ayat-ayat tersebut maka dia tidak akan tertipu dan terpesona lagi dengan keajaiban-keajaiban yang dizahirkan oleh Dajjal. Manakala 10 ayat yang terakhir pula mengandungi peringatan agar tidak mengambil selain Allah sebagai sembahan. Firman Allah Ta’ala (ayat ke 102 Surah al-Kahfi):

أَفَحَسِبَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓاْ أَن يَتَّخِذُواْ عِبَادِى مِن دُونِىٓ أَوْلِيَآءَ ۚ إِنَّآ أَعْتَدْنَا جَهَنَّمَ لِلْكَٰفِرِينَ نُزُلًا.

Maka adakah orang-orang kafir menyangka bahawa mereka mengambil hamba-hambaKu sebagai makhluk-makhluk yang disembah, selain daripadaKu, dapat menolong mereka? Sesungguhnya Kami telah sediakan neraka Jahannam bagi orang-orang kafir itu sebagai tempat tetamu.”

4 – Hadis ini juga menunjukkan sifat belas kasihan Nabi sallahu ‘aihi wasallam terhadap umatnya. Baginda mengkhabarkan tentang ujian dan huru hara yang bakal menimpa umatnya serta mengajarkan cara-cara untuk selamat daripada kesusahan tersebut.

5 – Dalam riwayat al-Tirmizi dikatakan bahawa cukup hanya perlu membaca 3 ayat daripada surah al-Kahfi. Adakah riwayat ini bercanggah dengan riwayat Muslim yang menunjukkan bahawa perlu menghafal 10 ayat? Para ulama menyebutkan beberapa kemungkinan untuk mengharmonikan antara kedua-dua riwayat ini:

Pertama: Hadis yang menyebutkan 3 ayat adalah yang terkemudian yang memansuhkan hadis yang menyebutkan 10 ayat. Maka cukup untuk membaca 3 ayat sahaja dan tidak perlu lagi membaca 10 ayat.

Kedua: Hadis yang menyebutkan 10 ayat adalah yang terkemudian yang memansuhkan hadis yang menyebutkan 3 ayat. Sesiapa yang membaca 10 ayat maka dia sudah membaca 3 ayat yang awal sekaligus.

Ketiga: Hadis yang menyebutkan 10 ayat adalah untuk hafalan manakala hadis yang menyebutkan 3 ayat adalah untuk bacaan. Oleh itu sesiapa yang menghafal 10 ayat yang awal dan sentiasa membaca 3 ayat yang awal maka dia akan dipelihara daripada Dajjal.

Menurut Syeikh Muhammad Ali Adam al- Ityubi dalam kitab Al-Bahr al-Muhith al-Thajjaj  Fi Syarh Sahih al-Imam Muslim bin al-Hajjaj, hadis yang menyebutkan 3 ayat adalah hadis yang syaz (daif). Oleh itu tidak perlu bersusah payah berusaha untuk mengharmonikan kedua-dua riwayat tersebut sebaliknya dahulukan sahaja hadis yang menyebutkan 10 ayat.

6 – Dalam riwayat Muslim juga ada perbezaan antara 10 ayat awal dan 10 ayat terakhir. Riwayat manakah yang lebih kuat? Menurut Syeikh Muhammad Ali Adam al-Ityubi, riwayat 10 ayat awal lebih kuat kerana diriwayatkan oleh perawi yang lebih  ramai.

Imam al-Syaukani pula berpandangan bahawa lebih baik untuk beramal dengan kedua-dua riwayat tersebut. Dan yang lebih baik dan lebih sempurna lagi adalah dengan membaca keseluruhan surah al-Kahfi pada malam dan siang Jumaat.

Hadis Kedua

عَنِ الْبَرَاءِ، قَالَ:

كَانَ رَجُلٌ يَقْرَأُ سُورَةَ الْكَهْفِ، وَإِلَى جَانِبِهِ حِصَانٌ مَرْبُوطٌ بِشَطَنَيْنِ، فَتَغَشَّتْهُ سَحَابَةٌ، فَجَعَلَتْ تَدْنُو وَتَدْنُو، وَجَعَلَ فَرَسُهُ يَنْفِرُ، فَلَمَّا أَصْبَحَ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ، فَقَالَ: تِلْكَ السَّكِينَةُ تَنَزَّلَتْ بِالْقُرْآنِ.

Diriwayatkan daripada al-Bara’, beliau berkata:

“Seorang lelaki membaca surat al-Kahfi. Di sisinya terdapat seekor kuda yang terikat dengan dua tali.  Lalu datang awan/kabus yang menaunginya. Awan/kabus itu mendekat dan semakin mendekat sehingga membuatkan kudanya lari. Apabila tiba waktu pagi, lelaki itu pun datang bertemu Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan menceritakan kejadian itu. Maka Nabi SAW pun bersabda: "Itu adalah al-Sakinah yang turun kerana (bacaan) al-Qur'an"

Riwayat al-Bukhari (no. 5011) dan Muslim (no. 795)

Keterangan Hadis dan Pengajaran Hadis:

1 – Maksud al-Sakinah dari segi terjemahan literalnya adalah ketenangan, kedamaian dan ketenteraman. Namun tafsiran al-Sakinah bagi hadis ini menjadi perbezaan ulama yang menafsirkannya dengan banyak tafsiran.

Menurut Imam al-Nawawi, pendapat yang terpilih bagi tafsiran al-Sakinah adalah ia merupakan sesuatu daripada makhluk Allah yang padanya ada ketenangan dan bersamanya juga ada para malaikat.

Imam al-Qurtubi berpendapat bahawa al-Sakinah ini adalah nama bagi malaikat dan dinamakan sebagai sakinah kerana sifat mereka yang tenang dan tenteram kerana menghormati pembacaan al-Quran. Syeikh Muhammad Ali Adam al-Ityubi juga bersetuju bahawa al-Sakinah itu merujuk kepada malaikat.

2 – Hadis ini menunjukkan kelebihan membaca al-Quran. Malaikat akan turut hadir untuk mendengar bacaan al-Quran dan kehadiran mereka akan membuat hati merasa tenang dan dilimpahi rahmat Allah.

3 – Galakan untuk mendengar bacaan al-Quran orang lain sebagimana yang dilakukan oleh para malaikat.

4 – Hadis ini juga membuktikan bahawa manusia selain nabi dan rasul juga mungkin dapat melihat malaikat. Begitu juga haiwan dapat melihat malaikat.

5 – Imam al-Bukhari meletakkan hadis ini di bawah bab kelebihan surah al-Kahfi. Ini menunjukkan bahawa pembaca surah al-Kahfi akan dihadiri oleh malaikat yang akan membuatkannya rasa tenang dan dilimpahi rahmat Allah.

Namun menurut pendapat ulama lain, kelebihan tersebut tidaklah khusus kepada pembacaan surah al-Kahfi semata-mata bahkan pembacaan al-Quran secara umumnya. Oleh itu pembacaan mana-mana surah sekalipun akan mendapat kelebihan tersebut.

Hadis Ketiga

 عَن النَّواس بنِ سَمْعانَ قالَ، قالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم:

فمَن أَدْرَكَهُ مِنكُمْ، فَلْيَقْرَأْ عليه فَوَاتِحَ سُورَةِ الكَهْفِ.

Diriwayatkan daripada al-Nawwas bin Sam’an, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sesiapa di kalangan kamu yang bertemu dengan Dajjal maka bacakan kepadanya pembukaan (bahagian awal) surah al-Kahfi.”

Riwayat Muslim (no. 2937).

Pengajaran Hadis:

1 – Hadis ini sama seperti hadis pertama yang menunjukkan bahawa pembaca surah al-Kahfi akan dilindungi daripada kejahatan Dajjal. Oleh itu sesiapa yang bertemu dengan Dajjal maka hendaklah dia membaca bahagian awal surah al-Kahfi.

Hadis Keempat

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، قَالَ:

مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ كَمَا أُنْزِلَتْ، ثُمَّ أَدْرَكَ الدَّجَّالَ لَمْ يُسَلَّطْ عَلَيْهِ، أَوْ لَمْ يَكُنْ لَهُ عَلَيْهِ سَبِيلٌ، وَمَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ كَانَ لَهُ نُورًا مِنْ حَيْثُ قَرَأَهَا مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ مَكَّةَ.

Diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri, beliau berkata:

“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi sebagaimana ia diturunkan, kemudian dia bertemu dengan Dajjal, maka Dajjal tidak mampu untuk menguasainya atau tidak ada jalan bagi Dajjal untuk menguasainya. Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi, maka baginya cahaya dari tempat dia membacanya sehingga Mekah.”

Riwayat al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (10724).

Dalam riwayat al-Darimi (no. 3450) secara mauquf:

مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ، أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّورِ فِيمَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْبَيْتِ الْعَتِيقِ.

“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat, maka diterangi baginya cahaya antara tempatnya sehingga Bait al-‘Atiq (Kaabah).

Dalam riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (no. 2220) secara mauquf:

مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّورِ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْبَيْتِ الْعَتِيقِ.

“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, maka diterangi baginya cahaya antara tempatnya sehingga Bait al-‘Atiq (Kaabah).”

Dalam riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (no. 6063) secara marfu’:

مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ فِي يَوْمِ الْجُمُعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّورِ مَا بَيْنَ الْجُمُعَتَيْنِ.

“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, maka diterangi baginya dengan cahaya antara dua Jumaatnya.”

Dan ada beberapa lafaz hadis yang berbeza-beza yang saya tidak sebutkan di sini.

Keterangan dan Pengajaran Hadis

1 – Telah berlaku khilaf besar pada periwayatan hadis ini sama ada dari sudut sanad mahupun matannya. Dari sudut sanad, hadis ini diriwayatkan secara marfu’ (ucapan Nabi) dan mauquf (ucapan sahabat).

Begitu juga berlaku khilaf pada matannya. Ada riwayat yang menyebutkan membaca al-Kahfi tanpa disebut Jumaat, ada yang menyebutkan malam Jumaat dan ada yang menyebutkan hari Jumaat.

Selain itu ada juga perbezaan pada hujung matannya iaitu ‘diterangi baginya dengan cahaya antara tempatnya sehingga Bait al-‘Atiq’ danditerangi baginya dengan cahaya antara dua Jumaatnya”.

Pendapat yang lebih sahih/tepat adalah hadis ini sebenarnya adalah ucapan Abu Sa’id al-Khurdi (mauquf). Inilah pendapat kebanyakan ulama seperti al-Nasa’ie, al-Daraqutni, al-Tabarani, al-Baihaqi, al-Zahabi dan Ibnu Hajar al-Asqalani. Meskipun begitu ucapan Abu Sa’id al-Khudri ini mempunyai hukum marfu’ (bersumber dari Nabi) kerana tidak mungkin beliau mengucapkan perkara seperti ini berdasarkan pandangan beliau sendiri.

Untuk matannya, yang lebih tepat adalah yang tidak menyebut Jumaat dan lafaz hadis dihujungnya menyebut ‘antara tempatnya sehingga Bait al-‘Atiq’. Lafaz hadis yang menyebut ‘antara dua Jumaat’ itu pula merupakan kesilapan salah seorang perawinya iaitu Nu’aim bin Hammad.

2 – Hadis yang menyebut membaca al-Kahfi pada hari dan malam Jumaat telah dijadikan dalil oleh para ulama yang menganjurkan pembacaan surah ini pada hari dan malam Jumaat.

Ini kerana kebanyakan ulama berpendapat tidak ada masalah untuk menggunakan hadis daif dalam bab fadhail a’mal (kelebihan amalan). Imam Ibnu Qudamah al-Hanbali dalam kitab al-Mughni menyebutkan: “Perkara-perkara sunat dan kelebihan-kelebihan (amalan) tidak disyaratkan kesahihan hadis padanya.”

3 – Para ulama juga khilaf pada menafsirkan bahagian hadis ‘diterangi baginya cahaya antara tempatnya sehingga Bait al-‘Atiq’.

Menurut al-Jurdani dalam kitab Misbah al-Zalam, cahaya dalam hadis tersebut adalah kiasan kepada pengampunan dosa dan ganjaran pahala. Jikalau pengampunan dosa dan ganjaran pahala itu dijisimkan/dibentukkan maka saiznya adalah jarak antara tempatnya sehingga Kaabah. Ini mengambarkan betapa besar dan luasnnya pengampunan dosa dan ganjaran pahala yang diperoleh oleh pembaca surah al-Kahfi.

Al-San’ani dalam al-Tanwir Syarah al-Jami’ al-Saghir pula berpendapat cahaya yang diterangkan bagi pembaca surah al-Kahfi itu mungkin berlaku di dunia ini yang akan meliputinya dengan kadar keluasan cahaya itu adalah dari tempatnya sehingga ke Kaabah. Cahaya itu akan menjadi tanda bagi malaikat supaya menerima amalannya dan melindunginya daripada syaitan. Boleh jadi juga cahaya itu adalah pada basirahnya (pandangan mata hati) yang akan memandunya kepada kebenaran.  

Hadis Keempat

عَنْ مُعَاذِ بْنِ أَنَسٍ، عَنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ:

مَنْ قَرَأَ أَوَّلَ سُورَةِ الْكَهْفِ وَآخِرَهَا، كَانَتْ لَهُ نُورًا مِنْ قَدَمِهِ إِلَى رَأْسِهِ، وَمَنْ قَرَأَهَا كُلَّهَا كَانَتْ لَهُ نُورًا مَا بَيْنَ السَّمَاءِ إِلَى الْأَرْضِ.

Diriwayatkan daripada Mu’az bin Anas, daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda:

“Sesiapa yang membaca awal surah al-Kahfi dan juga akhirnya, baginya cahaya daripada kakinya sehingga kepalanya. Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi keseluruhannya, baginya cahaya antara langit sehingga ke bumi.”

Riwayat Ahmad (no. 15626) dengan sanad yang daif. Dalam sanadnya terdapat perawi bernama Zabbad bin Faid, dia adalah daif.

Bangun Pada Waktu Yang Dikehendaki Dengan Membaca Akhir Surah al-Kahfi

Seorang tabiin besar (kibar tabiin) yang sempat belajar dengan ramai sahabat bernama Zirr bin Hubaish berkata:

مَنْ قَرَأَ آخِرَ سُورَةِ الْكَهْفِ لِسَاعَةٍ يُرِيدُ يَقُومُ مِنَ اللَّيْلِ، قَامَهَا.

“Sesiapa yang membaca akhir surah al-Kahfi untuk dia bangun pada suatu masa pada malam tersebut maka dia akan bangun.”

Riwayat al-Darimi (no. 3449) dan Abu ‘Ubaid dalam Fadhail al-Quran (no. 465).

Murid Zirr bin Hubaish bernama ‘Abdah yang meriwayatkan ucapan beliau ini berkata:

“Aku mencubanya dan aku mendapati ianya benar.”

Begitu juga salah seorang perawi ucapan Zirr bin Hubaish ini yang bernama Muhammad bin Kathir al-Masisi berkata:

“Aku mencubanya juga beberapa kali sewaktu perang dan aku bangun pada waktu yang aku kehendaki.”

Menurut Muhammad bin Kathir ayat tersebut perlu dibaca bermula ayat yang ke-107 sehingga akhir surah al-Kahfi.

Syeikh Nabil al-Ghamri dalam kitab Fath al-Manan menceritakan bahawa guru beliau, Syeikh Hasan al-Masyat turut mencubanya dan mendapatinya mujarab.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan