Sabtu, 10 Oktober 2020

Manhaj Kitab al-Maudhu’at Karangan al-Imam Ibnu al-Jauzi

 

1 - Kitab ini dianggap sebagai rujukan paling lengkap bagi mengenali hadis-hadis palsu.

2 - Sebab kitab ini ditulis dijelaskan sendiri oleh Ibnu al-Jauzi di mukadimah kitab ini iaitu untuk memenuhi permintaan murid beliau agar dihimpunkan untuknya sebuah kitab himpunan hadis-hadis palsu dan cara mengetahui kepalsuannya.

3 - Ibnu al-Jauzi memulakan kitab ini dengan sebuah mukadimah yang mengandungi beberapa fasal tentang pembahagian hadis sahih dan daif, jenis-jenis pemalsu hadis dan kisah tentang mereka serta kritikan ke atas orang yang mengatakan bahawa mengkritik perawi termasuk dalam perbuatan ghibah (mengumpat).

4 - Seterusnya disebutkan beberapa bab pula di dalam mukadimah tersebut, iaitu:

Bab Pertama: Mencela perbuatan berdusta.

Bab Kedua: Tentang hadis “Sesiapa yang berdusta atas namaku....”, menyebutkan jalur-jalur sanadnya, jumlah sahabat yang meriwayatkannya dan perbincangan tentang makna hadis tersebut dan takwilannya.

Bab Ketiga: Perintah untuk menyelidiki tentang perawi dan berjaga-jaga daripada meriwayatkan hadis daripada perawi pendusta.

Bab Keempat: Tentang bab-bab yang terkandung di dalam kitab ini.

5 - Bab-bab yang terkandung di dalam kitab ini menyerupai bab-bab kitab hadis jenis al-Jami’ (الجامع) iaitu bab akidah, hukum hakam (seperti bersuci, solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain), adab-adab, pancaroba akhir zaman, tanda-tanda kiamat, kelebihan dan keutamaan amalan.

6 - Bagi setiap hadis akan disebutkan sanadnya, sebab-sebab kepalsuannnya dan perawi yang dituduh memalsukannya.

7 - Kebanyakannya hadis yang terkandung di dalam kitab ini diambil oleh Ibnu al-Jauzi daripada kitab-kitab berikut: 

a) Al-Kamil Fi al-Dhu’afa’ karangan Ibnu ‘Adi.

b) Al-Majruhin karangan Ibnu Hibban.

d) Al-Dhu’afa’ karangan al-‘Uqaili.

e) Al-Dhu’afa’ karangan al-Azdi.

d) Tafsir Ibnu Mardawaih. 

e) Tiga Mu’jam al-Thabarani (al-Kabir, al-Ausath dan al-Saghir). 

f) Al-Afrad karangan al-Daraqutni.

g) Tulisan al-Khatib al-Baghdadi. 

h) Tulisan Ibnu Syahin.

i) Tulisan Abu Nu’aim al-Asbahani seperti Hilyah al-Auliya’, Tarikh Asbahan dan lain-lain. 

j) Tulisan al-Hakim seperti Tarikh Naisabur.

k) Al-Abathil karangan al-Juzaqani.

8 - Ibnu al-Jauzi akan meriwayatkan dengan sanad beliau sendiri sehingga penulis kitab tersebut dan daripada sanad penulis tersebut sehingga kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Misalnya Ibnu Jauzi meriwayatkan dengan sanadnya sehingga Ibnu 'Adi (bergaris merah), pengarang kitab al-Kamil dan daripada Ibnu 'Adi sehingga Rasulullah.

9 - Jumlah hadis yang terkandung dalam kitab ini ialah 1847 buah hadis.

10 - Kitab ini mendapat kritikan daripada para ulama selepas Ibnu al-Jauzi disebabkan sikap beliau yang agak mudah menghukum hadis sebagai palsu, antaranya:

a) Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani mengarang kitab al-Qaul al-Musaddad Fi al-Zabb ‘An Musnad Ahmad yang mempertahankan 24 buah hadis daripada kitab Musnad Ahmad yang dihukum palsu oleh Ibnu al-Jauzi.

b) Al-Hafiz al-Suyuti membuat penambahan terhadap kitab al-Qaul al-Musaddad dengan menambah 14 buah hadis lagi.

c) Al-Hafiz al-Suyuti mengarang pula sebuah kitab bertajuk al-Qaul al-Hasan Fi al-Zabb ‘An al-Sunan yang menghimpunkan hadis-hadis daripada kitab al-Qaul al-Musaddad dan 14 hadis tambahan beliau sendiri serta lebih 120 buah hadis lagi yang tidak sampai ke tahap palsu, antaranya: 4 buah hadis daripada Sunan Abu Daud, 23 buah hadis Sunan al-Termizi, sebuah hadis Sunan al-Nasa’ie, 16 buah hadis Sunan Ibnu Majah, sebuah hadis Sahih Muslim, sebuah hadis Sahih Sahih al-Bukhari (riwayat Hammad bin Syakir), bakinya lagi daripada kitab Khalq Af’al al-‘Ibad karangan al-Bukhari, hadis mu’allaq daripada kitab al-Sahih (al-Bukhari dan Muslim), Sunan al-Darimi, Sahih Ibnu Hibban, Mustadrak al-Hakim dan tulisan-tulisan al-Baihaqi. Kitab ini masih belum diterbitkan dan terdapat manuskripnya di Iran.

d) Al-Hafiz al-Suyuti juga meringkaskan kitab al-Maudhu’at dengan membuang sanad Ibnu al-Jauzi kepada pengarang kitab sumber rujukan beliau dalam sebuah lagi kitab yang berjudul al-Laali' al-Masnu'ah. 

Beliau juga mengkritik Ibnu al-Jauzi pada mana-mana hukum palsu Ibnu terhadap hadis yang beliau tidak setuju dan memulakan kritikannya dengan berkata: قلت (Aku berkata) dan diakhiri dengan wallahu a'lam. Hadis yang beliau bersetuju dengan penilaian Ibnu al-Jauzi tidak akan diberi sebarang komen. 

Contoh hadis yang dihukum oleh Ibnu al-Jauzi namun dikritik oleh al-Suyuti

e) Al-Hafiz al-Suyuthi turut mengkhususkan sebuah kitab yang berjudul al-Ta’aqqubat ‘Ala al-Maudhu’at atau al-Nukat al-Badi'at 'Ala al-Maudhu'at yang hanya menghimpunkan hadis-hadis yang beliau tidak setuju dengan penilaian palsu Ibnu al-Jauzi. Terdapat lebih 300 buah hadis dalam kitab ini.

f) Al-Hafiz al-Suyuti juga mengarang kitab Zail al-Laali al-Masnu'ah atau al-Ziyadat 'Ala al-Maudhu'at yang menghimpunkan hadis-hadis palsu tambahan yang tidak disebutkan oleh Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu'at.

g) Setelah itu datang Ibnu 'Arraq dengan kitab Tanzih al-Syari'ah al-Marfu'ah yang menghimpunkan hadis-hadis kitab al-Maudhu'at, kritikan-kritikan al-Suyuti dalam al-Laali al-Masnu'ah dan al-Nukat al-Badi'at 'Ala al-Maudhu'at serta hadis-hadis palsu tambahan dalam Zail al-Laali al-Masnu'ah. Beliau juga turut menyertakan kritikan-kritikan beliau sendiri terhadap pendapat dan penilaian al-Suyuti

Beliau mengekalkan susunan kitab ini sebagaimana kitab Ibnu al-Jauzi dan al-Suyuti akan tetapi beliau membuang sanad-sanad hadisnya. 

Hadis-hadis pada setiap bab pula beliau bahagikan kepada tiga fasal: Pertama: Hadis yang dihukum palsu oleh Ibnu al-Jauzi dan dipersetujui oleh al-Suyuti, keduaHadis yang dihukum palsu oleh Ibnu al-Jauzi dan diperselisihkan oleh al-Suyuti, ketiga: Hadis yang ditambah oleh al-Suyuti dalam Zail al-Laali al-Masnu'ah

Setelah menyelesaikan kitab ini Ibnu 'Arraq menghadiahkannya kepada Sultan Sulaiman al-Qanuni.

 Rujukan:

- Masadir al-Hadith Wa Maraji’uhu oleh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri. 

Baca juga: 

Manhaj Kitab Misykat al-Masabih Karya al-Khatib al-Tibrizi

Sabtu, 3 Oktober 2020

Al-Bukhari Yang Pendusta

- Di dalam kitab Lisan al-Mizan karangan al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani dicatatkan tentang seorang perawi pendusta yang namanya, nama bapanya, kunyahnya dan laqabnya yang sama dengan al-Imam al-Bukhari iaitu Abu Abdillah Muhammad bin Ismail al-Bukhari.

- Dikatakan bahawa dia merupakan seorang pemuda yang datang ke Baghdad untuk belajar hadis pada awal tahun 500 Hijrah.

- Dia telah dituduh berdusta oleh Imam Ibnu al-Jauzi.

- Al-Silafi mengatakan: “Aku melihat para syeikh sepakat akan buruk perbuatannya serta keji iktikad dan penipuannya.”

- Seseorang pernah berkata kepadanya: “Bukankah Nabi sallahu ‘alaihi wasallam mengatakan: Sesiapa yang berdusta atas namaku maka siaplah tempatnya di neraka?” Dia berdolak-dalik dengan mengatakan: “Aku hanya berdusta atas nama syeikh-syeikh sahaja (bukan atas nama nabi).”

- Al-Silafi dalam Mu’jam al-Asbahaniyyin berkata: “Abu Abdillah, Muhammad bin Ismail bin Muhammad al-Bukhari al-Zandani, seorang pemuda yang datang bertemu kami di Asbahan. Dia menulis hadis daripadaku dan aku menulis hadis daripadanya. Dia mendengar banyak hadis daripadaku. Dia seorang yang semberono dan bercelaru fikirannya. Sangat banyak berdusta. Ditulis satu laporan tentangnya di Baghdad yang ditandatangani oleh para huffaz Baghdad seperti Abu Ali al-Baradani, Abu Ghalib al-Baqilani, Abu Muhammad al-Samarqandi, al-Mu’taman al-Saji, Abu ‘Amir al-‘Abdari dan aku juga menandatanganinya. Kemudian dia mati dan Allah menyelamatkan kaum mukminin daripada kejahatannya.”

- Abu Bakar al-Hanafi al-Makki (yang digelar Kaka (كاك) al-Bukhari) berkata: “Namanya bukanlah Muhammad dan bukanlah nama bapanya Ismail. Dia hanya mencipta nama tersebut supaya sama dengan nama al-Imam (al-Bukhari), penulis kitab al-Sahih.”