Selasa, 14 Februari 2023

Imam al-Bukhari - Imam Ahli Hadis dan Pengarang Sahih al-Bukhari

Kota Bukhara

Nama dan Nasab

Beliau ialah Muhammad bin Isma’il bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardizbah bin al-Ahnaf al-Ju’fi al-Bukhari. Kunyah beliau ialah Abu Abdillah.

Bardizbah merupakan orang Parsi yang beragama Majusi dan mati dalam agama tersebut. Perkataan Bardizbah tersebut berasal daripada bahasa orang Bukhara yang membawa maksud petani. Setelah itu anaknya, Al-Mughirah memeluk Islam di tangan Yaman al-Ju’fi, gabenor Bukhara pada ketika itu.

Datuk beliau, al-Mughirah pula tidak ditemui sebarang maklumat tentang beliau menurut al-Hafiz Ibnu Hajar.

Bapa beliau, Isma’il merupakan orang alim yang terhormat. Beliau merupakan murid kepada Hammad bin Zaid dan Imam Malik bin Anas. Bapa beliau bukan sahaja seorang yang alim tetapi juga merupakan seorang yang warak dan bertakwa. Ketika hampir wafatnya beliau pernah berkata: “Tidaklah aku ketahui bahawa ada dalam hartaku ini sedirham pun daripada sumber yang haram dan syubhah.”

Gelaran al-Ju’fi adalah kerana moyang beliau, al-Mughirah memeluk Islam di tangan Yaman al-Ju’fi yang berasal daripada kabilah al-Ju’fi. Lalu diberikan gelaran al-Ju’fi tersebut kepadanya walaupun pada asalnya beliau bukanlah daripada kabilah tersebut dan berterusanlah gelaran tersebut dipakai oleh keturunannya.

Gelaran al-Bukhari pula adalah nisbah kepada Bukhara, tempat kelahiran beliau. Bukhara pada hari ini terletak di negara Uzbekistan. Kota Bukhara pertama kali dibuka oleh orang Islam di bawah pimpinan Ubaidullah bin Ziyad ketika zaman pemerintahan Muawiyah bin Abi Sufyan.

Kelahiran

Imam al-Bukhari dilahirkan selepas solat Jumaat pada 13 Syawal tahun 194 Hijrah di Bukhara.

Bapa beliau meninggal dunia ketika beliau masih kecil. Setelah itu ibu beliau pula menggalas tugas membesarkan beliau dengan bantuan harga peninggalan yang ditinggalkan oleh bapa beliau.

Imam al-Bukhari telah kehilangan penglihatannya ketika beliau masih kecil. Perkara tersebut menyebabkan ibunya sangat sedih. Ibunya selalu berdoa agar dikembalikan semula penglihatan anaknya, sehinggalah pada suatu malam beliau melihat Nabi Ibrahim berkata kepadanya di dalam mimpi: “Allah telah mengembalikan semula penglihatan anakmu disebabkan banyaknya doamu atau tangisanmu.” Apabila ibunya bangun, beliau mendapati penglihatan anaknya telah pulih semula.

Genius Dari Kecil

Kepintaran Imam al-Bukhari sudah terzahir ketika beliau masih kecil sewaktu sedang menuntut di kuttab atau tadika. Allah telah menganugerahkan kepada beliau hafalan yang kuat dan ilham untuk menghafal hadis sehingga beliau mampu untuk menghafal sejumlah besar hadis ketika usianya masih muda lagi.

Muridnya, Abu Ja’far Muhammad bin Abi Hatim al-Warraq al-Nahwi pernah berkata:

Aku pernah bertanya kepada Abu Abdillah Muhammad bin Ismail al-Bukhari:

Bagaimanakah kisahmu ketika mula-mula belajar hadis?”

Beliau menjawab:

“Aku telah diilhamkan untuk menghafal hadis ketika aku masih berada di kuttab (sekolah rendah).”

Aku bertanya:

“Berapakah usia kamu ketika itu?”

Beliau menjawab:

“Sepuluh tahun atau kurang. Setelah itu saya selalu belajar dengan al-Dakhili dan guru yang lain. Pada suatu hari beliau berkata kepada murid-murid: Sufyan meriwayatkan hadis daripada Abi al-Zubair daripada Ibrahim. Aku lalu berkata kepadanya: Wahai Abu Fulan, sesungguhnya Abu al-Zubair tidak meriwayatkan daripada Ibrahim. Dia lalu memarahiku. Aku berkata lagi kepadanya: Rujuk semula catatanmu jika engkau mempunyainya. Beliau lalu masuk ke dalam rumahnya dan merujuk semula catatanya. Setelah itu beliau keluar semula. Beliau bertanya kepadaku: Bagaimanakah yang sebenarnya wahai budak? Aku menjawab: Dia adalah al-Zubair bin Adi yang meriwayatkan daripada Ibrahim. Beliau lalu mengambil penaku dan mencatat pada kitabnya. Beliau berkata: Engkau benar.”

Sebahagian sahabatnya bertanya kepadanya (al-Bukhari):

“Berapakah usia engkau tatkala engkau menegurnya.”

Beliau menjawab:

“Sebelas tahun.”

Beliau berkata lagi:

"Apabila aku berumur enam belas tahun, aku menghafal kitab-kitab Ibnu al-Mubarak dan Waki’ dan aku mengetahui ucapan mereka (ahli hadis). Kemudian, aku, ibuku dan saudaraku, Ahmad keluar menuju ke Mekah. Setelah aku selesai menunaikan haji, saudaraku pulang (ke Bukhara) sementara aku tinggal di Mekah untuk belajar hadis. Apabila aku berusia lapan belas tahun, aku mula menulis sejarah sahabat dan tabi’in serta ucapan-ucapan mereka. Ketika itu aku sedang belajar dengan Ubaidullah bin Musa. Aku menulis kitab al-Tarikh di sisi kubur Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam pada malam berbulan purnama. Sangat jarang nama (tokoh) yang terdapat dalam kitab al-Tarikh melainkan aku mempunyai kisah berkenaan tokoh tersebut. Tetapi aku tidak suka untuk memanjangkan kitab berkenaan.”

Abu Bakar al-A’yan berkata:

“Kami menulis hadis daripada Muhammad bin Isma’il di pintu (rumah) Muhammad bin Yusuf al-Firyabi. Di wajah beliau masih belum ada janggut. Kami bertanya: Berapakah usia engkau? Beliau menjawab: Tujuh belas tahun.”

Muhammad bin Abi Hatim al-Warraq berkata:

“Aku mendengar Muhammad bin Isma’il berkata: Muhammad bin Salam al-Bikandi berkata kepadaku: Lihatlah pada kitab-kitabku ini. Kalau kamu lihat ada kesilapan padanya maka buanglah ia supaya aku tidak meriwayatkannya.”

Al-Bukhari berkata: “Maka aku lakukan pemintaannya tersebut.”

Muhammad bin Salam menulis pada hadis yang diterima oleh al-Bukhari: “Si pemuda menerimanya.”

Pada hadis yang daif pula: “Si pemuda tidak menerimanya.”

Sebahagian sahabat Muhammad bin Salam bertanya kepadanya: “Siapakah pemuda ini?”

Beliau menjawab: “Dia yang tidak ada orang lain seumpamanya, Muhammad bin Isma’il.”

Al-Hafiz Ibnu Nasiruddin al-Dimasyqi berkata:

“Telah sampai kepada kami khabar bahawa al-Bukhari telah melakukan sedemikian pada kitab-kitab al-Bikandi ketika berusia tujuh belas tahun atau kurang. Beliau (semoga Allah merahmatinya) seorang yang sentiasa bersungguh-sungguh dari kecil sehinggalah akhir umurnya.”

Muhammad bin Salam al-Bikandi tersebut merupakan salah seorang guru Imam al-Bukhari. Beliau adalah seorang imam, hafiz dan daripada kalangan pakar hadis.

Al-Warraq juga berkata:

“Aku mendengar Abu Abdillah al-Bukhari berkata: Aku bertemu dengan al-Humaidi ketika itu aku berusia lapan belas tahun. Beliau dan seorang lagi berbeza pendapat tentang suatu hadis. Apabila al-Humaidi melihatku beliau berkata: Telah datang orang yang akan menjadi pemutus bagi kita. Lalu kedua mereka membentangkan pendapat mereka kepadaku. Aku memilih untuk memenangkan al-Humaidi kerana kebenaran ada padanya.”

Al-Humaidi tersebut ialah Abdullah bin al-Zubair al-Humaidi. Seorang imam dan ahli hadis besar. Beliau antara guru Imam al-Bukhari yang paling hebat.

Peta Pengembaraan Imam al-Bukhari

Pengembaraan Ilmiah

Sebagaimana kebiasaan ahli hadis yang mengembara ke serata alam untuk belajar dan mengumpulkan hadis, Imam al-Bukhari juga tidak terkecuali mengikut adat itu. Diriwayatkan bahawa beliau pernah berkata: “Aku telah masuk ke Syam, Mesir, Semenanjung Arab sebanyak dua kali, Basrah sebanyak empat kali dan aku tinggal di Hijaz selama enam tahun. Aku tidak mampu mengira berapa kali aku masuk ke Kufah dan Baghdad bersama-sama ahli hadis Khurasan.”

Al-Khatib al-Baghdadi berkata:

“Al-Bukhari mengembara untuk menuntut ilmu kepada seluruh ahli hadis yang berada di merata tempat. Beliau menulis hadis di Khurasan, al-Jabal dan bandar-bandar di Iraq keseluruhannya, di Hijaz dan Mesir. Beliau datang ke Baghdad beberapa kali dan menyampaikan hadis di sana.”

Al-Hakim berkata:

“Al-Bukhari pertama kali datang ke Naisabur pada tahun 209 Hijrah dan beliau datang untuk kali terakhir pada 250 Hijrah. Beliau tinggal di sana selama lima tahun dan berterusan menyampaikan hadis.”

Pengembaraan beliau yang pertama adalah ke Mekah untuk melaksanakan haji bersama saudaranya dan ibunya. Ketika itu usianya baru 18 tahun. Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata: “Pengembaraan beliau yang pertama pada tahun 210 Hijrah. Kalaulah beliau melakukan pengembaraan lebih awal lagi nescaya beliau mampu mencapai sebagaimana yang dicapai oleh orang yang berada di tabaqat yang tinggi di kalangan orang yang sezaman dengannya. Meskipun begitu beliau mampu mencapai sebagaimana yang dicapai oleh orang yang hampir dengannya seperti Yazid bin Harun dan Abu Daud al-Tayalisi.”

Imam al-Bukhari berkata:

“Aku telah bertemu lebih seribu orang syeikh daripada penduduk Hijaz, Mekah, Madinah, Wasit, Baghdad, Syam dan Mesir. Aku bertemu dengan mereka dari satu generasi ke generasi yang lain.”

Al-Warraq berkata:

Aku mendengar al-Bukhari berkata: Aku telah masuk ke Balkh. Ahli hadis di situ meminta kepadaku untuk membacakan kepada mereka sebuah hadis bagi setiap guru yang aku telah temui. Maka aku bacakan seribu buah hadis bagi seribu orang guru yang telah ditulis hadis daripada mereka. Kemudian beliau berkata lagi: Aku telah tulis hadis daripada 1080 orang, tidaklah mereka itu melainkan ahli hadis.”

Tajuddin al-Subki berkata:

“Al-Hakim telah menyebut satu persatu nama kebanyakan guru-guru al-Bukhari. Beliau lalu menyebut negara yang telah dimasuki oleh al-Bukhari. Kemudian beliau berkata: Sesungguhnya aku menamakan bagi setiap negara tersebut sekumpulan ahli hadis yang awal untuk menunjukkan tingginya sanad al-Bukhari.”

Dalam siri pengembaraan yang berselang-seli ini, Imam al-Bukhari sentiasa tekun menhimpunkan hadis dan ilmu serta menjaganya melalui penulisan. Pada malam hari beliau akan bangun, menyalakan pelitanya dan mencatatkan faedah yang terlintas di fikirannya. Kemudian beliau memadamkan pelitanya dan tidur semula. Beliau melakukan sedemikian sehingga hampir 20 kali dalam masa satu malam. Demikianlah kesungguhan beliau.

Keluasan Hafalannya

Imam al-Bukhari terkenal sebagai seorang ahli hadis yang kuat dan meluas hafalannya. Dengan asbab beliau dan tokoh-tokoh seperti beliaulah Allah menjaga hadis Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.

Diriwayatkan bahawa beliau pernah berkata:

“Aku menghafal seratus ribu buah hadis sahih dan dua ratus ribu buah hadis yang tidak sahih.”

Antara kisah yang diriwayatkan menunjukkan keluasan hafalan beliau ialah kisah hafalan beliau diuji oleh ahli hadis di Baghdad. Ketika beliau tiba di Baghdad, ahli hadis di situ mengujinya dengan seratus buah hadis yang telah ditukar antara sanad dan matannya (maqlub). Seratus buah hadis tersebut lalu dibahagikan kepada sepuluh orang. Jadi setiap seorang akan menanyakan sepuluh buah hadis. Setiap kali hadis tersebut dibacakan kepada beliau maka beliau menjawab: “Aku tidak tahu.” Begitulah jawapan beliau sehingga lengkap seratus buah hadis ditanyakan. Sebahagian orang yang jahil sudah ada yang menyangka bahawa kehebatan Imam al-Bukhari hanya indah khabar daripada rupa. Namun setelah itu beliau berpaling kepada setiap penyoal dan menyebutkan semula hadis tersebut dengan mengembalikan bagi setiap matan hadis kepada sanadnya yang betul sehingga selesai seratus buah hadis. Setelah menyaksikan perkara itu barulah mereka mengakui kehebatan penguasaan beliau dalam ilmu hadis.

Imam al-Bukhari pernah berkata:

“Aku telah tulis hadis daripada seribu orang syeikh atau lebih. Daripada setiap seorang mereka sepuluh ribu buah hadis atau lebih. Tidak ada suatu hadis padaku melainkan aku mengingati sanadnya.”

Abu Bakar al-Kalwazani berkata:

“Aku tidak pernah melihat orang semisal Muhammad bin Isma’il. Beliau mengambil sebuah kitab ilmu lalu membacanya sekali bacaan. Lalu beliau menghafal potongan hadisnya walau dengan sekali bacaan sahaja.”

Al-Warraq berkata:

“Aku bertanya kepada al-Bukhari: Adakah kamu hafal semua hadis yang kamu masukkan dalam penulisanmu? Beliau menjawab: Tidak terselindung kepadaku semua yang ada di dalamnya.”

Ahmad bin Hamdun berkata:

“Aku melihat al-Bukhari sewaktu pengebumian jenazah Muhammad bin ‘Uthman. Muhammad bin Yahya al-Zuhli bertanya kepadanya tentang nama dan kunyah perawi serta ilal hadis. Al-Bukhari menjawab sebagaimana lajunya anak panah seolah-olah beliau membaca Qul Huwallahu Ahad.”

Sifat Fizikal dan Peribadi

Imam al-Bukhari digambarkan bertubuh kurus, ketinggiannya sederhana sahaja antara tinggi dan rendah dan kulitnya pula berwarna kecoklat-coklatan.

Selain terkenal dengan ketinggian ilmu,  beliau juga tersohor dengan banyaknya ibadat, bersifat zuhud, warak dan berbudi pekerti mulia. Begitulah adatnya, semakin bertambah ilmu maka makin bertambahlah rasa kenal kepada Tuhannya.

Imam al-Bukhari sangat kuat sifat malunya, pemurah, bersungguh-sungguh beramal untuk akhirat, selalu menginfakkan hartanya sama ada secara terang mahupun bersembunyi lebih-lebih lagi untuk menuntut ilmu dan kepada penuntutnya. Beliau selalu sahaja memberikan pemberian kepada mereka. Diriwayatkan bahawa beliau berkata: “Aku membelanjakan pada setiap bulan sebanyak lima ratus dirham dan aku infakkannya untuk menuntut ilmu. Apa yang di sisi Allah itulah yang baik dan kekal.”

Berkenaan ibadahnya, direkodkan bahawa pada malam pertama bulan Ramadan beliau akan berkumpul bersama-sama sahabatnya. Beliau akan solat bersama mereka dan akan membaca 20 buah ayat pada setiap rakaat. Begitulah sehingga beliau mengkhatamkan al-Quran. Beliau juga akan membaca al-Quran pada waktu sahur dalam kadar satu pertiga al-Quran sehingga separuh al-Quran. Beliau akan mengkhatamkan al-Quran pada waktu sahur dalam masa tiga hari. Pada waktu siang pula, untuk setiap hari beliau juga menghabiskan sekali khataman al-Quran. Demikian jugalah yang berlaku ketika hampir waktu berbuka puasa. Beliau berkata “Pada setiap kali khataman al-Quran ada doa yang mustajab.”

Abu Sa’id Bakr bin Munir berkata:

“Muhammad bin Isma’il (al-Bukhari) sedang bersolat pada suatu hari. Lalu ada seekor tebuan yang menyengatnya sebanyak 17 kali. Apabila beliau selesai solat, beliau berkata: Tolong lihat apa yang menyakitiku ketika aku sedang solat. Orang yang ada bersama beliau lalu melihat dan mereka mendapati seekor tebuan telah menyebabkan (badan) beliau membengkak pada 17 tempat dan beliau tidak langsung memutuskan solatnya!”

Muhammad bin Yusuf al-Firabri berkata:

“Muhammad bin Isma’il al-Bukhari pernah berkata kepadaku: Tidaklah aku meletakkan satu hadis pun dalam kitab al-Sahih melainkan aku mandi dan bersolat dua rakaat terlebih dahulu.”

Abdul Quddus bin Hammam berkata:

“Aku mendengar beberapa orang syeikh berkata: Muhammad bin Isma’il al-Bukhari menulis bab-bab Jami’-nya di kawasan antara kubur Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan mimbarnya. Bagi setiap bab beliau akan bersolat dua rakaat.”

Mengenai kewarakan beliau pula ialah beliau jarang-jarang untuk mensifatkan seseorang perawi itu sebagai pendusta atau pemalsu hadith. Bahkan beliau akan gunakan istilah yang lain seperti fihi nazar (padanya ada pertikaian), sakatu ‘anhu (ahli hadith mendiamkan diri daripadanya), munkar al-hadith (mungkar hadithnya) yang lafaz-lafaz ini membawa maksud kritikan berat di sisi beliau.

Al-Imam al-Bukhari pernah berkata:

“Aku berharap aku bertemu dengan Allah dan tidaklah aku dihisab bahawa aku pernah mengumpat seorang pun.”

Kata al-Hafiz al-Zahabi mengulas ucapan Imam al-Bukhari tersebut:

“Apa yang Al-Imam al-Bukhari kata itu benar. Sesiapa yang melihat kalam beliau berkenaan al-jarh wa al-ta’dil (kritikan dan pujian kepada perawi hadith) akan mengetahui kewarakan beliau ketika berbicara tentang manusia dan keserhanaan beliau pada perawi yang beliau daifkan. Beliau kerap kali gunakan istilah fihi nazar, sakatu ‘anhu, munkar al-hadith dan yang seumpama dengannya. Jarang sekali beliau akan kata: Si fulan itu pendusta atau memalsukan hadith. Sehinggakan beliau berkata: Jika aku kata si fulan itu ada pertikaian pada hadithnya, maka dia adalah perawi yang dituduh (berdusta/memalsukan hadith) dan sangat daif. Inilah maksud perkataan beliau ‘tidaklah aku dihisab bahawa aku pernah mengumpat seorang pun’. Ini - demi Allah - adalah setinggi-tinggi sifat warak.”

Guru-Guru

Imam Abu Abdillah al-Hakim al-Naisaburi dalam kitab Tarikh Naisabur telah menyebutkan senarai panjang guru-guru Imam al-Bukhari di merata-rata tempat yang beliau meriwayatkan hadis daripada mereka. Antaranya:

1 - Mekah:

i) Abu al-Walid Ahmad bin Muhammad al-Azraqi.

ii) Abdullah bin Yazid al-Muqri’.

iii) Isma’il bin Salim al-Sa’igh.

iv) Abu Bakar Abdullah bin Zubair al-Humaidi.

2 - Madinah:

i) Ibrahim bin al-Munzir al-Hizami.

ii) Mutarrif bin Abdullah.

iii) Ibrahim bin Hamzah.

iv) Abu Thabit Muhammad bin Ubaidullah.

v) Abdul Aziz bin Abdullah al-Uwaisi.

3 - Syam:

i) Muhammad bin Yusuf al-Firyabi.

ii) Abu Nasr Ishaq bin Ibrahim.

iii) Adam bin Abi Iyas.

iv) Abu al-Yaman al-Hakam bin Nafi’.

v) Haiwah bin Syuraih.

4 - Bukhara:

i) Muhammad bin Salam al-Bikandi.

ii) Abdullah bin Muhammad al-Musnadi.

iii) Harun bin al-Asy’ath.

5 - Merv:

i) Ali bin al-Hasan bin Syaqiq.

ii) Abdan.

iii) Muhammad bin Muqatil.

6 - Balkh:

i) Makki bin Ibrahim.

ii) Yahya bin Bisyr.

iii) Muhammad bin Aban.

iv) Al-Hasan bin Syuja’.

v) Yahya bin Musa.

vi) Qutaibah bin Sa’id.

7 - Herat:

i) Ahmad bin Abi al-Walid al-Hanafi.

8 - Naisabur:

i) Yahya bin Yahya.

ii) Bisyr bin al-Hakam.

iii) Ishaq bin Rahawaih.

iv) Muhammad bin Rafi’.

v) Muhammad bin Yahya al-Zuhli.

9) Ray

i) Ibrahim bin Musa.

10) Baghdad:

i) Muhammad bin Isa al-Tabba’.

ii) Muhammad bin Sa’iq.

iii) Suraij bin al-Nu’man.

iv) Ahmad bin Hanbal.

11) Wasit:

i) Hassan bin Hassan.

ii) Hassan bin Abdullah.

iii) Sa’id bin Abdullah bin Sulaiman.

12 - Basrah:

i) Abu al-Asim al-Nabil.

ii) Safwan bin Isa.

iii) Badl bin al-Muharrab.

iv) Harami bin Umarah.

v) Affan bin Muslim.

vi) Muhammad bin ‘Ar’arah.

v) Sulaiman bin Harb.

vi) Abu al-Walid al-Tayalisi.

vii) ‘Arim.

viii) Muhammad bin Sinan.

13) Kufah:

i) ‘Ubaidullah bin Musa.

ii) Abu Nu’aim.

iii) Ahmad bin Ya’qub.

iv) Isma’il bin Aban.

v) Al-Hasan bin al-Rabi’.

vi) Khalid bin Makhlad.

vii) Sa’id bin Hafs.

viii) Thalaq bin Ghannam.

ix) ‘Amru bin Hafs.

x) Qabisah bin ‘Uqbah.

xi) Abi Ghassan.

14 - Mesir:

i) ‘Uthman bin Soleh.

ii) Sa’id bin Abi Maryam.

iii) Abdullah bin Soleh.

iv) Ahmad bin Soleh.

v) Ahmad bin Syabib.

vi) Asbagh bin al-Faraj.

vii) Sa’id bin Isa.

viii) Sa’id bin Kathir bin ‘Ufair.

ix) Yahya bin Abdullah bin Bukair.

15 - Semenanjung Arab:

i) Ahmad bin Abdul Malik al-Harrani.

ii) Ahmad bin Yazid al-Harrani.

iii) ‘Amru bin Khalid.

iv) Isma’il bin Abdullah al-Raqi.

Al-Hakim berkata:

“Al-Bukhari - semoga Allah merahmatinya - telah mengembara ke tempat-tempat yang telah disebutkan ini untuk menuntut ilmu. Beliau telah tinggal di setiap bandar negara-negara berkenaan untuk belajar daripada guru-guru di bandar tersebut.”

Al-Hafiz Ibnu Hajar pula telah menyebutkan peringkat-peringkat guru-guru beliau yang dapat dibahagikan kepada lima peringkat:

Peringkat pertama: Guru yang sempat meriwayatkan daripada tabi’in

Antaranya ialah Muhammad bin Abdullah al-Ansar yang meriwayatkan daripada Humaid, Makki bin Ibrahim daripada Yazib bin Abi ‘Ubaid, Abi ‘Asim al-Nabil daripada Yazid bin Abi ‘Ubaid juga, ‘Ubaidullah bin Musa daripada Isma’il bin Abi Khalid, Abu Nu’aim daripada al-A’masy, Khallad bin Yahya dariada ‘Isa bin Tahman, ‘Ali bin ‘Ayyash dan ‘Isam bin Khalid daripada Hariz bin ‘Uthman. Guru-guru mereka itu semuanya daripada kalangan tabi’in.

Peringkat kedua: Guru yang sempat hidup di zaman tabi’in tetapi tidak meriwayatkan hadis daripada tabi’in yang thiqah

Seperti Adam bin Abi Iyas, Abu Mushir Abdul A’la bin Mushir, Sa’id bin Abi Maryam, Ayyub bin Sulaiman bin Bilal, Hajjaj bin al-Minhal, Thabit bin Muhammad al-Zahid dan selain mereka yang merupakan murid kepada al-Auza’i, Ibnu Abi Zi’b, al-Thauri, Syu’bah dan Malik.

Peringkat ketiga: Peringkat pertengahan

Iaitu mereka yang tidak sempat bertemu tabi’in sebaliknya mengambil hadis daripada tabi’ tabi’in yang senior seperti Sulaiman bin Harb, Qutaibah bin Sa’id, Nu’aim bin Hammad, ‘Ali bin al-Madini, Yahya bin Ma’in, Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Rahawaih, Abu Bakar Ibnu Abi Syaibah, ‘Uthman Ibnu Abi Syaibah dan lain-lain.

Guru-guru beliau di peringkat ini juga merupakan guru kepada Imam Muslim.

Peringkat keempat: Sahabat beliau yang sama-sama belajar dengan beliau, cuma mereka lebih awal belajar daripada beliau

Seperti Muhammad bin Yahya al-Zuhli, Abu Hatim al-Razi, Muhammad bin Abdul Rahim Sa’iqah, ‘Abd bin Humaid, Ahmad bin al-Nadhr dan lain-lain.

Hadis yang diriwayatkan melalui guru di peringkat ini hanyalah beliau sebutkan sekiranya beliau tidak dapati ada pada guru-guru beliau yang lain.

Peringkat kelima: Perawi yang boleh dianggap sebagai murid beliau dari segi umur dan kedudukan sanad

Antaranya ialah Abdullah bin Hammad al-Amuli, Abdullah bin Ubai al-Qadhi, Hussein bin Muhammad al-Qabbani, Muhammad bin Ishaq al-Sarraj, Muhammad bin Isa al-Tirmizi dan selain mereka.

Bilangan hadis yang beliau riwayatkan daripada mereka hanyalah sedikit dan tujuan periwayatan tersebut adalah untuk faedah tertentu seperti untuk beramal sebagaimana yang diucapkan oleh Waki’ bin Jarrah:

“Seorang itu tidak akan menjadi alim sehinggalah dia meriwayatkan hadis daripada guru yang lebih hebat daripadanya, yang sama sepertinya dan yang lebih rendah daripadanya.”

Imam al-Bukhari sendiri pernah berkata:

“Seorang itu tidak dapat menjadi ahli hadis yang sempurna sehinggalah dia menulis hadis daripada guru yang lebih hebat daripadanya, yang sama sepertinya dan yang lebih rendah daripadanya.”

Guru-guru beliau yang disebutkan periwayatan mereka dalam Sahih al-Bukhari berjumlah 324 orang kesemuanya. Di kalangan 324 orang guru tersebut terdapat kira-kira 20 orang guru yang paling kerap disebutkan periwayatan mereka, iaitu: Musaddad bin Musarhad, Abdullah bin Yusuf al-Tinnisi, Qutaibah bin Sa’id al-Thaqafi, Ali bin Abdullah al-Madini, al-Hakam bin Nafi’ al-Homsi, Musa bin Isma’il al-Tabuzaki, Isma’il bin Abdullah bin Abi Uwais, Abdullah bin Muhammad al-Ju’fi al-Musnidi, Adam bin Abi Iyas al-‘Asqalani, Yahya bin Abdullah bin Bukair, Muhammad bin Basyar Bundar dan Abu Nu’aim Fadl bin Dukain.

Penulisan tentang senarai guru-guru al-Bukhari:

1 – Asami Man Rawa ‘Anhum Muhammad bin Isma’il al-Bukhari Min Mashayikhihi Allazi Zakarahum Fi Jami’ihi al-Sahih ‘Ala Huruf al-Mu’jam karangan Abu Ahmad Abdullah bin ‘Adi al-Jurjani.

2 – Asami Mashayikh al-Imam al-Bukhari karangan Muhammad bin Ishaq ibn Mandah al-Asbahani.

3 – Asami Shuyukh al-Bukhari karangan Radhiuddin al-Hasan bin Muhammad al-Saghani.

4 – Al-Mu’lim Bi Asami Shuyukh al-Bukhari Wa Muslim karangan Abu al-Fadl Muhammad bin Tahir al-Maqdisi.

5 – Al-Ta’rif Bi Shuyukh Haddatha ‘Anhum al-Bukhari Wa Ahmala Ansabahum karangan Abu ‘Ali al-Husain bin Muhammad al-Ghassani.

Murid-Murid

Murid-murid Imam al-Bukhari tidak terbilang banyaknya sehingga dikatakan bahawa terdapat sembilan puluh ribu orang yang telah mendengar Sahih al-Bukhari daripada beliau.

Soleh Jazarah berkata:

“Muhammad bin Ismail mengadakan majlis di Baghdad. Aku menjadi tukang imlak untuk beliau. Terdapat lebih daripada dua puluh ribu orang yang berhimpun dalam majlis beliau.”

Muhammad bin Ya’qub al-Akhram berkata:

“Aku mendengar sebahagian sahabatku berkata: Apabila al-Bukhari datang ke Naisabur, terdapat empat ribu orang yang datang untuk bertemu beliau sama ada menaiki kuda, baghal, kedai mahupun berjalan kaki.”

Begitulah kemasyhuran Imam al-Bukhari sama ada di sisi ahli ilmu mahupun masyarakat awam. Namanya menjadi sebutan di bibir manusia di sana sini. Mereka menjadikannya rujukan yang diambil daripadanya hadis, athar, ilmu sanad, ilal, rijal dan lain-lain sehingga lahirlah di bawah asuhannya gergasi dan pakar dalam ilmu hadis. Antaranya ialah:

1 - Imam Muslim bin al-Hajjaj (m. 261 H). Beliau meriwayatkan hadis daripada al-Bukhari dalam kitab-kitab beliau selain Sahih Muslim.

2 - Imam Muhammad bin Isa al-Tirmizi (m. 279 H). Beliau mengambil daripada al-Bukhari ilmu berkenaan analisis hadis dan perawi. Dalam Sunan al-Tirmizi terdapat 41 buah hadis yang beliau riwayatkan melalui al-Bukhari.

3 - Imam Ahmad bin Syu’aib al-Nasa’i (m. 303 H). Ulama berbeza pendapat tentang periwayatan beliau daripada al-Bukhari. Al-Mizzi dan al-Zahabi menafikannya manakala Ibnu Hajar mensabitkannya.

4 - Imam Abu Zur’ah al-Razi (m. 246 H).

5 - Imam Abu Hatim al-Razi (m. 277 H).

6 - Imam Muhammad bin Abdullah bin Sulaiman al-Hadrami yang digelar Mutayyan (m. 297 H).

7 - Imam Abu Bakar Muhammad bin Ishaq bin Khuzaimah al-Sulami al-Naisaburi (m. 311 H).

8 - Imam Muhammad bin Nasr al-Marwazi (m. 294 H).

9 - Imam Soleh bin Muhammad bin Amru al-Asadi al-Baghdadi yang digelar Soleh Jazarah (m. 293 H).

10 - Imam Abu Bakar Abdullah bin Muhammad bin Abi al-Dunya al-Qurasyi al-Baghdadi (m. 281 H).

11 - Imam Yahya bin Muhammad bin So’id al-Baghdadi (m. 318 H).

12 - Imam Abu Bakar Abdullah bin Imam Abu Daud al-Sijistani (m. 316 H).

13 - Imam Ibrahim bin Ishaq al-Harabi al-Baghdadi (m. 285 H).

14 -  Imam Abu Hamid Ahmad bin Hamdun al-Naisaburi al-A’masyi (m. 321 H).

15 - Imam Abu Bakar Ahmad bin Amru bin Abi ‘Asim al-Nabil al-Asbahani (m. 287 H).

16 - Imam Abu bin Salamah bin Abdullah al-Naisaburi (m. 286 H).

17 - Imam Abu Amru Ahmad bin Nasr al-Naisaburi al-Khaffaf (m 299 H).

18 - Imam al-Hussein bin Muhammad bin Hatim al-Baghdadi, yang digelar ‘Ubaid al-‘Ajl (m. 294 H).

19 - Imam Umar bin Muhammad bin Bujair al-Hamdani al-Samarqandi (m. 311 H).

20 - Imam Muhammad bin Sulaiman al-Wasiti al-Baghandi (m. 312 H)

21 - Imam Abu Ja’far Muhammad bin Abi Hatim, tukang tulis Imam al-Bukhari.

22 - Imam Ibrahim bin Musa al-Jauzi (m. 303 H).

23 - Imam Abu Bakar Ahmad bin Amru al-Bazzar (m. 292 H), pengarang Musnad al-Bazzar.

24 - Imam Abu Bakar Ahmad bin Harun al-Bardiji (m. 301 H).

25 - Imam Ja’far bin Muhammad bin Musa al-Naisaburi (meninggal selepas 310 Hijrah).

26 - Al-Hussein bin Muhammad al-Naisaburi (m. 289 H).

27 - Zanjawaih bin Muhammad bin al-Hasan al-Naisaburi (m. 318 H).

28 - Abdullah bin Ahmad bin Abdul Salam al-Naisaburi (m. 294 H).

29 - Imam Abu al-Qasim Abdullah bin Muhammad al-Baghawi al-Baghdadi (m. 318 H).

30 - Imam Abdullah bin Muhammad bin Najih al-Barbari al-Baghdadi (m. 301 H).

31 - Imam Ubaidullah bin Wasil bin Abdul Syakur al-Bukhari (m. 272 H).

32 - Imam Ali bin al-Hussein bin al-Junaid al-Razi (m. 291 H).

33 - Ali bin al-Abbas bin al-Walid al-Maqabi’i al-Kufi (m. 310 H).

34 - Imam al-Qasim bin Zakariyyah bin Yahya al-Baghdadi, yang dikenali sebagai al-Mutharriz (m. 305 H).

35 - Imam Abu Bisyr Muhammad bin Ahmad al-Daulabi al-Razi (m. 310 H).

36 - Imam Abu Quraisy Muhammad bin Jum’ah bin Khalaf al-Quhustani (m. 313 H).

37 - Imam Abu Bakar Muhammad bin Abi ‘Attab al-Baghdadi al-A’yan (m. 240 H).

38 - Imam Muhammad bin Harun bin Abdullah al-Hadrami al-Baghdadi (m. 321 H).

39 - Musa bin Harun bin Abdullah al-Baghdadi al-Hammal (m. 294 H)

40 - Imam Ya’qub bin Yusuf al-Syaibani al-Naisaburi al-Akhram (m. 282 H)

Murid-murid yang meriwayatkan Sahih al-Bukhari daripada beliau pula ialah:

1 - Muhammad bin Yusuf al-Firabri (m. 320 H). Beliau merupakan perawi Sahih al-Bukhari yang paling masyhur.

2 - Ibrahim bin Ma’qal al-Nasafi (m. 295 H).

3 - Hammad bin Syakir al-Nasawi (m. 310 H).

4 - Mansur bin Muhammad al-Bazdawi (m. 329 H).

Pujian Ulama Kepada Imam al-Bukhari

Dengan kedudukan yang tinggi dan pengguasaan beliau yang mendalam terhadap ilmu terutamanya ilmu hadis maka tidak menghairankan apabila beliau dipuji oleh guru-gurunya, ulama sezaman dengannya mahupun ulama yang datang setelah itu.

1 - Seorang lelaki bertanya kepada Qutaibah bin Sa’id tentang al-Bukhari. Beliau menjawab: “Wahai kamu semua, aku telah melihat kepada hadis dan aku telah melihat kepada qiyas (al-ra’yu). Aku telah duduk bersama fuqaha’, ahli ibadat dan orang-orang yang zuhud. Semenjak aku berakal (yakni semenjak aku boleh berfikir) aku tidak pernah melihat orang semisal Muhammad bin Isma’il.”

2 - Ahmad bin Hanbal berkata:

Tidak keluar dari Khurasan orang semisal Muhammad bin Isma'il al-Bukhari.

3 - Ibnu Khuzaimah berkata:

“Tidak ada orang di bawah naungan langit ini yang mengetahui tentang hadis Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam lebih daripada Muhammad bin Isma'il."

Al-Hafiz Abu al-Fadl Muhammad bin Tahir al-Maqdisi berkata:

“Cukuplah bagi kamu apabila imam bagi sekelian imam-imam iaitu Ibnu Khuzaimah mengungkapkan pujian ini sedangkan beliau telah bertemu dengan imam-imam dan syeikh-syeikh di timur dan barat. Tidak pelik pujian ini kerana seluruh syeikh (yakni ulama) telah sepakat akan kehebatan al-Bukhari dan mereka telah meletakkan beliau lebih  tinggi daripada diri mereka sendiri semenjak zaman remaja beliau manakala Ibnu Khuzaimah pula melihat beliau setelah beliau tua dan tidak ada bandingannya dalam ilmu ini (yakni ilmu hadis).

4 – Beliau juga telah dipuji oleh ulama yang sezaman dengannya. Abu Hatim al-Razi berkata:

“Tidak pernah keluar dari Khurasan orang yang lebih hebat penguasaan hadisnya melebihi Muhammad bin Isma’il dan tidak pernah ada orang yang datang dari Khurasan ke Iraq yang lebih alim daripadanya.”

5 -  Al-Hakim meriwayatkan dengan sanadnya bahawa Imam Muslim pernah datang kepada al-Bukhari lalu mencium di antara dua matanya lantas berkata:

“Biarkan aku mencium kedua kakimu wahai guru sekelian guru-guru, ketua ahli hadis dan doktor hadis pada ilalnya.”

Imam Muslim juga pernah berkata:

 "Tidak ada yang membencimu melainkan orang yang dengki. Aku bersaksi bahawa tiada di dunia ini orang semisal engkau."

6 – Al-Hakim berkata: Aku mendengar al-Hafiz Muhammad bin Ya’qub berkata: Aku mendengar bapaku berkata:

“Aku melihat Muslim bin al-Hajjaj duduk di hadapan al-Bukhari dan menanyakannya soalan sebagaimana kanak-kanak bertanyakan soalan.”

7 – Ibrahim al-Khawas berkata:

“Aku melihat Abu Zur’ah seperti kanak-kanak yang duduk di hadapan Muhammad bin Isma’il. Beliau menanyakannya soalan tentang ‘ilal hadis.”

8 – Imam al-Nawawi dalam Tahzib al-Asma’ Wa al-Lughat berkata:

“Ketahuilah bahawa mensifatkan al-Bukhari dengan kedudukan yang tinggi dan menyatakan kehebatan beliau dalam ilmu ini (ilmu hadis) melebihi orang yang seumpama dan sezaman dengan beliau adalah perkara yang disepakati pada masa dahulu dan kemudian. Cukuplah untuk menyatakan kelebihan beliau bahawa kebanyakan orang yang memuji beliau dan menyebarkan manaqib (sifat baik) beliau adalah para gurunya yang merupakan tokoh yang tekemuka, bijak pandai lagi unggul.”

9 – Adapun pujian ulama yang datang selepas zaman beliau, al-Hafiz al-Mizzi dalam Tahzib al-Kamal yang berkata tentang beliau:

“Imam dalam ilmu ini (ilmu hadis), yang dijadikan ikutan dalam ilmu ini dan orang yang dijadikan pegangan pada kitabnya di kalangan orang Islam.”

10 – Al-Hafiz Ibnu Nasiruddin al-Dimasyqi dalam Tuhfah al-Akhbari berkata:

“Ahli ilmu dirayah belajar dengannya. Begitu juga ahli ilmu riwayat mengambil manfaat daripadanya. Dialah yang tunggal pada zamannya. Seorang yang menjaga lisannya. Seorang yang warak pada seluruh keadaannya. Sifat ini juga disertai dengan ilmu beliau yang melimpah-limpah dan ketelitian beliau yang bersangatan. Sangat mengambil berat tentang khabar (hadis). Unggul hafalannya terhadap sunnah dan athar. Sangat mengetahui tentang sejarah perawi dan kritikan terhadap mereka. Berserta sangat menjaga waktu beliau dan ibadah yang berterusan sehingga kematian beliau.”

11 – Al-Hafiz al-Zahabi berkata:

"Syeikh al-Islam. Imam sekalian huffaz. Kemuncak dalam kebijaksanaan. Kemuncak dalam ilmu. Kemuncak dalam kewarakan dan ibadat. Aku tulis manaqibnya dalam satu juzuk kitab yang tebal yang di dalamnya ada perkara yang menakjubkan."

12 - Al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalani berkata:

"Jikalau dibuka pintu puji-pujian kepadanya oleh orang yang datang kemudian daripada zamannya nescaya akan habislah kertas-kertas dan penatlah jiwa-jiwa (untuk mengungkapkannya) kerana ia ibarat lautan yang tidak bertepi."

13 – Al-Hafiz al-Sakhawi berkata:

“Sesiapa yang meneliti ijtihad beliau berkaitan fiqh dalam Jami’nya nescaya akan mengetahui bahawa beliau seorang mujtahid yang sebenar.”

Kitab-Kitab Penulisannya

Imam al-Bukhari menghasilkan penulisan yang pelbagai yang secara umumnya tidak terkeluar dari ruang lingkup ilmu hadis dan sunnah. Sebahagiannya berkaitan periwayatan hadis, sebahagian yang lain pula berkaitan dengan perawi hadis dan ‘ilal hadis. Kesemua hadis penulisan ini menunjukkan keimaman, keluasan ilmu dan kepakaran beliau dalam ilmu yang mulia ini. Karya beliau dapat dibahagikan kepada kategori berikut:

Pertama: Kitab-Kitab Hadis

1 – Al-Jami’ al-Sahih atau Sahih al-Bukhari.

Hasil karya beliau yang teragung. Merupakan kitab yang paling sahih setelah al-Quran. Kitab ini telah disepakati oleh ulama sepanjang zaman akan kesahihannya dan ketinggian kedudukannya. Kitab ini juga menjadi bukti kehebatan, ketelitian dan kepakaran Imam al-Bukhari dalam bidang hadis. Bukti keagungan kitab ini adalah terdapat ramai ulama dahulu dan kini yang berkhidmat untuk kitab ini sama ada mensyarahkannya, meringkaskannya, menghimpunkan senarai perawi-perawi hadisnya, berbicara tentang perkataan gharib (ganjil) yang terdapat di dalamnya, melakukan istikhraj bagi hadis-hadisnya dan khidmat-khidmat yang lain.

2 – Al-Adab al-Mufrad.

Kitab ini yang mengandungi sebanyak 1322 buah hadis yang berkaitan dengan dengan pendidikan dan pembentukan adab serta akhlak yang mulia. Kitab ini telah diterbitkan.


3 – Birr al-Walidain.

Menghimpunkan hadis dan athar berkaitan kewajipan berbuat baik dan mentaati ibu bapa. Kitab ini telah diterbitkan.


4 – Raf’u al-Yadain Fi al-Solah.

Imam al-Bukhari mengumpulkan riwayat yang sangat banyak daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan sahabat yang menunjukkan bahawa perbuatan mengangkat tangan dalam solat adalah sunnah yang sabit dan menolak pendapat orang yang mengingkari perkara tersebut. Kitab ini telah diterbitkan.


5 – Al-Qiraah Khalfa al-Imam.

Menghimpunkan dalil-dalil yang membuktikan kewajipan membaca al-Quran apabila bersolat di belakang imam. Kitab ini telah diterbitkan.


6 – Kitab al-Asyribah.

Disebutkan oleh al-Daraqutni dalam al-Mu’talif Wa al-Mukhtalif.

7 – Kitab al-Hibah.

Disebutkan oleh juru tulis Imam al-Bukhari, Muhammad bin Abi Hatim sebagaimana dalam kitab Siyar A’lam al-Nubala’.

8 – Al-Jami’ al-Kabir.

Disebutkan oleh Abu al-Fadl Muhammad bin Tahir al-Maqdisi sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Hadyu al-Sari.

9 – Al-Jami’ al-Saghir.

Disebutkan oleh Haji Khalifah dalam Kasyf al-Zunun.

10 – Al-Musnad al-Kabir.

Disebutkan oleh Muhammad bin Yusuf al-Firabri sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Hadyu al-Sari.

11 – Al-Mabsuth.

Kitab ini diusahakan oleh Imam al-Bukhari sebelum kitab Sahih-nya. Beliau menghimpunkan semua hadisnya lalu disusun berdasarkan bab. Kemudian beliau melihat kepada hadis yang paling sahih yang beliau rencanakan lalu beliau keluarkan semua sanad-sanadnya. Disebutkan oleh Abu al-Fadl Muhammad bin Tahir al-Maqdisi sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Taghliq al-Ta’liq.

12 – Al-Wuhdan.

Dalam kitab ini Imam al-Bukhari senarai sahabat yang diriwayatkan daripada mereka sebuah hadis sahaja. Kitab ini telah disebutkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani dalam Hadyu al-Sari.

13 – Al-Fawaid.

Disebutkan oleh al-Tirmizi dalam Jami’-nya.

14 – Al-‘Ilal.

 Disebutkan oleh Ibnu Mandah sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Hadyu al-Sari.

15 – Al-Masyaikhah.

Disebutkan oleh al-Hafiz al-Zahabi dalam Tarikh al-Islam.

Kedua: Kitab Sejarah Perawi

1 – Al-Tarikh al-Kabir.

Kitab ini adalah sebuah ensiklopedia besar yang menghimpunkan senarai perawi-perawi hadis. Kitab ini dianggap yang pertama berjaya menghimpunkan hampir keseluruhan nama-nama perawi hadis di kalangan sahabat, tabi’in dan zaman seterusnya sehingga ke zaman Imam al-Bukhari.

Nama-nama perawi dalam kitab ini disusun berdasarkan susunan abjad tetapi beliau mendahulukan perawi bernama Muhammad kerana kemuliaan nama tersebut. Begitu juga beliau mendahulukan senarai nama sahabat kerana kelebihan mereka.

Bagi setiap biografi perawi tersebut terkandung nama perawi, nama bapa dan datuknya, nasabnya, kunyahnya, sebahagian guru dan muridnya dan contoh hadis yang diriwayatkannya yang disebutkan secara ringkas. Al-Bukhari juga mengambil berat untuk menerangkan dari sudut kebersambungan (ittisal) dan keterputusan (inqita’ dan irsal) bagi hadis yang diriwayatkan oleh perawi itu. Selain itu beliau juga memuatkan kritikan dan pujian (jarh wa ta’dil) kepada kebanyakan perawi tersebut yang beliau nukilkan daripada ahli hadis sebelum beliau atau berdasarkan pendapat beliau sendiri. Terdapat 13990 buah biografi perawi dalam kitab ini. Kitab ini telah diterbitkan.


2 – Al-Tarikh al-Ausat.

Imam al-Bukhari memulakan kitab ini dengan kisah penghijrahan ke Habsyah, lalu diikuti dengan sirah nabi ketika zaman Mekah dan Madinah, biografi sahabat yang meninggal dunia ketika zaman Nabi, kemudian sahabat yang meninggal dunia ketika zaman Khulafa’ al-Rashidin yang empat. Setelah itu beliau membincangkan tentang perawi hadis, kisah-kisah mereka dan tarikh kematian mereka yang disusun berdasarkan turutan zaman sehingga tahun 250 Hijrah.

Perhatian: Kitab ini telah diterbitkan di India pada tahun 1324 H, diterbitkan  oleh Dar al-Wa’ie pada tahun 1397 H dan diterbitkan oleh Dar al-Ma’rifah pada tahun 1406 H dengan nama yang salah iaitu al-Tarikh al-Saghir. Setelah itu kitab ini diterbitkan semula dengan namanya yang tepat oleh penerbit Dar al-Sami’ie dengan tahqiq Muhammad bin Ibrahim al-Luhaidan pada tahun 1418 H.


3 – Al-Tarikh al-Saghir.

Kitab ini khas menghimpunkan senarai nama sahabat dan kitab ini adalah yang pertama dan kategori ini.

4 – Al-Kuna.

Kitab ini adalah penyempurna kepada kitab al-Tarikh al-Kabir. Abu Ahmad al-Hakim menyebutkan judulnya sebagai al-Kuna al-Mujarradah. Al-Hafiz  Ibnu Hajar al-‘Asqalani pula menyebutkannya sebagai al-Kuna al-Mufradah dan kadang-kala menamakannya sebagai al-Kuna al-Mujarradah. Kebanyakan perawi yang disebutkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab ini hanya diketahui gelaran mereka dan tidak diketahui nama sebenar mereka.

5 – Asami al-Sahabah.

Disebutkan oleh Ibnu Mandah sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Hadyu al-Sari.

6 – Al-Dhu’afa’ al-Saghir dan al-Dhu’afa’ al-Kabir.

Sebahagian ulama menyandarkan kitab al-Dhu’afa’ ini kepada al-Bukhari tanpa menentukannya sebagai al-Saghir atau al-Kabir, antaranya Ibnu al-Nadim, Ibnu Hajar al-‘Asqalani dan lain-lain.

Ulama yang lain pula menyebutkan bahawa al-Bukhari mempunyai dua buah kitab berkenaan perawi-perawi daif (al-Dhu’afa’) iaitu al-Saghir dan al-Kabir, antaranya al-Mizzi, al-Zahabi, Ibnu Nasiruddin al-Dimasyqi dan lain-lain.

Jumlah biografi perawi dalam al-Dhu’afa’ al-Kabir adalah seramai 700 orang manakala dalam al-Dhu’afa’ al-Saghir hanya seramai 418 orang sahaja.

Biografi dalam al-Saghir disebutkan secara ringkas sahaja manakala dalam al-Kabir dinyatakan secara panjang lebar. Begitu juga dalam al-Kabir juga dikemukakan riwayat-riwayat bagi perawi tersebut yang maka perawi tersebut menjadi punca kedaifan riwayat itu. Perkara ini disebutkan sedikit sahaja dalam al-Saghir.


Ketiga: Kitab Tafsir

1 – Al-Tafsir al-Kabir.

Disebutkan oleh murid al-Bukhari, al-Firabri dan juru tulisnya, Muhammad bin Abi Hatim. Al-Bukhari mengarang tafsir ini di Firab (sebuah bandar di Turkmenistan).

Keempat: Kitab Akidah

1 – Khalq Af’al al-‘Ibad Wa al-Radd ‘Ala al-Jahmiyyah Wa Ashab al-Ta’til.

Dalam kitab ini al-Bukhari menjelaskan tentang masalah akidah iaitu perbezaan antara kalam Allah dan kalam makhluk. Kalam Allah adalah satu sifat daripada sifat-sifat-Nya dan bukan makhluk. Ini berbeza dengan kalam manusia dan perbuatan mereka, ia adalah makhluk. Beliau juga menolak pendapat Mu’tazilah dan Jahmiyyah yang menafikan sifat ini bagi Allah dan mereka berpendapat bahawa kalam Allah adalah baharu dan makhluk. Kitab ini masyhur dan telah diterbitkan beberapa kali.

Kitab-kitab yang telah disebutkan ini ada di antaranya yang sudah diterbitkan dan ada yang masih dalam bentuk manuskrip. Begitu juga ada yang hanya dapat diketahui kerana ada sebahagian ulama menyebutkannya dan menukilkannya daripada al-Bukhari sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini.


Konflik Bersama Gurunya, Muhammad bin Yahya al-Zuhli

Imam Muhammad bin Yahya al-Zuhli (m. 258H) merupakan salah seorang ulama besar hadis yang mempunyai reputasi yang tinggi di Nisabur. Kedudukan beliau seumpama kedudukan Imam Ahmad bin Hanbal di Baghdad dan Imam Malik bin Anas di Madinah. Ramai murid yang meriwayatkan hadis daripada beliau, antaranya Imam al-Bukhari sendiri. Al-Zuhli merupakan gurunya yang berada di peringkat keempat di antara guru-guru beliau iaitu mereka yang tergolong di kalangan sahabat beliau yang sama-sama belajar dengan beliau, cuma mereka lebih awal belajar daripada beliau. Konflik yang berlaku antara al-Bukhari dengan gurunya al-Zuhli ini disebabkan oleh masalah lafaz al-Quran.

Masalah lafaz al-Quran yang dimaksudkan di sini adalah adakah al-Quran yang kita lafazkan itu dikira sebagai makhluk atau bukan?

Ringkasnya pendapat yang tepat dalam masalah ini adalah pendapat Ahli Sunnah Wal Jama’ah (di antaranya ialah pendapat Imam al-Bukhari) iaitu al-Quran adalah kalam Allah dan bukan makhluk. Apabila kita membaca al-Quran, kita membacanya dengan suara kita yang bersifat makhluk. Al-Quran yang kita bacakan itu adalah kalam Allah yang disampaikan daripadaNya. Kita membacanya pergerakan lidah dan suara kita. Kalam tersebut adalah kalam Allah dan suaranya adalah suara pembacanya.

Inilah yang dijawab oleh Imam al-Bukhari tatkala beliau ditanya berulang-kali: “Apa pendapat kamu tentang lafaz al-Quran? Makhluk atau bukan makhluk?” Beliau menjawab: “Al-Quran adalah kalam Allah, bukan makhluk. Perbuatan hamba adalah makhluk.”

Al-Zahabi berkata:

“Adapun al-Bukhari, beliau adalah di kalangan ulama besar yang bijaksana.

Beliau berkata: Apa yang aku katakan bahawa al-Quran yang kita lafazkan itu makhluk (maka yang aku maksudnya ialah) pergerakan (lidah), suara dan perbuatan yang bersifat makhluk. Al-Quran yang dibaca, dilafazkan dan tertulis dalam mushaf adalah kalam Allah, bukan makhluk.

Beliau mengarang kitab Af’al al-‘Ibad dalam satu jilid untuk menerangkan perkara tersebut. Sekumpulan ulama mengingkari beliau. Mereka tidak memahami apa yang beliau kehendaki. Seperti al-Zuhli, Abu Zur’ah, Abu Hatim, Abu Bakar al-A’yan dan selain mereka.”

Pendapat Imam al-Bukhari tentang lafaz al-Quran ini telah disokong oleh Imam Muslim. Apabila Imam al-Bukhari masuk ke Naisabur, Imam Muslim berkali-kali datang bertemu dengannya. Setelah itu berlaku konflik antara al-Bukhari dan al-Zuhli berkaitan lafaz al-Quran sehingga al-Zuhli melarang orang ramai belajar dengan al-Bukhari sehinggalah membuatkan al-Bukhari dipulau lalu keluar meninggalkan Naisabur. Ramai orang memutuskan hubungan dengan al-Bukhari melainkan Imam Muslim. Apabila sampai berita ini kepada al-Zuhli beliau berkata: “Sesiapa yang mengatakan lafaz al-Quran adalah makhluk maka tidak halal baginya untuk duduk dalam majlis kami.” Setelah itu Imam Muslim menghantar semula hadis-hadis yang beliau tulis daripada al-Zuhli.

Imam Tajuddin al-Subki berkata:

“Orang yang bersikap adil tidak akan berasa ragu lagi bahawa Muhammad bin Yahya al-Zuhli telah terkena penyakit hasad yang tidak ada orang yang terselamat daripadanya melainkan orang-orang yang dipelihara (oleh Allah).”

Apabila Imam al-Bukhari mula-mula tiba di Naisabur, al-Zuhli berkata kepada orang ramai: “Pergilah kepada lelaki yang soleh dan alim ini dan dengarkanlah hadis daripadanya.” Maka ramai orang yang pergi ke majlis Imam al-Bukhari dan mendengar hadis daripadanya sehingga tampak kekosongan dalam majlis-majlis al-Zuhli. Setelah itu, al-Zuhli merasa hasad dengannya dan mula mempertikaikan al-Bukhari.

Ibnu ‘Adi berkata:

“Sekumpulan syeikh telah menyebutkan kepadaku bahawa apabila al-Bukhari tiba di Naisabur maka ramailah orang yang berkumpul kepadanya. Sebahagian syeikh di Naisabur pada ketika itu mula merasa hasad kepadanya apabila mereka melihat penerimaan orang ramai terhadapnya dan mereka berkumpul dengannya. Orang itu berkata kepada ahli hadis: Muhammad bin Isma’il mengatakan: Lafaz al-Quran adalah makhluk. Maka mereka mengujinya dalam majlisnya. Apabila orang ramai menghadiri majlis al-Bukhari, seorang lelaki berdiri dan bertanya kepadanya: Wahai Abu Abdillah, apa pendapat kamu tentang lafaz al-Quran? Makhluk atau bukan makhluk? Al-Bukhari berpaling daripadanya dan tidak menjawab. Lelaki itu bertanya lagi: Wahai Abu Abdillah dan dia bertanya soalan yang sama. Al-Bukhari tetap berpaling daripadanya. Dia bertanya kali ketiga lalu al-Bukhari berpaling kepadanya dan berkata: Al-Quran kalam Allah, bukan makhluk. Perbuatan hamba adalah makhluk. Menguji adalah bid’ah. Lelaki itu mula menimbulkan kerusuhan sehingga orang ramai juga turut menjadi huru-hara dan meninggalkan al-Bukhari. Al-Bukhari tinggal tetap di rumahnya.”

Abu Hamid al-A’masyi berkata:

“Aku melihat Muhammad bin Isma’il sewaktu pengkebumian jenazah Abu ‘Uthman Sa’id bin Marwan. Muhammad bin Yahya bertanyakan kepadanya tentang nama-nama dan gelaran perawi serta ‘ilal hadis. Muhammad bin Isma’il menjawabnya seperti anak panah seolah-olah dia membaca Qul Huwa Allahu Ahad.

Tidak lama setelah itu Muhammad bin Yahya berkata: Ingatlah, sesiapa yang pergi ke majlisnya maka jangan datang ke majlis kami. Ahli hadis di Baghdad menulis (surat) kepadaku bahawa dia bercakap tentang lafaz al-Quran. Kami telah melarangnya tetapi dia tidak berhenti. Maka jangan dekatinya. Sesiapa yang mendekatinya maka jangan mendekati kami.

Muhamamd bin Isma’il tinggal di situ (Naisabur) selama beberapa ketika kemudia dia keluar menuju ke Bukhara.”

Al-Zahabi berkata:

“Muhammad bin Isma’il secara sembunyi-sembunyi bermusafir keluar dari Naisabur dan menderita disebabkan perbuatan al-Zuhli.”

Konflik Bersama Pemimpin Bukhara, Khalid bin Ahmad

Apabila Imam al-Bukhari datang ke Bukhara, beliau disambut oleh penduduk Bukhara yang telah bersedia menerima kedatangan beliau. Mereka memberikan kepada beliau wang dinar dan dirham. Tidak ada orang lelaki daripada penduduk Bukhara melainkan mereka akan keluar menyambut Imam al-Bukhari. Imam al-Bukhari tinggal di situ selama beberapa hari. Setelah itu Muhammad bin Yahya al-Zuhli menulis surat kepada Khalid bin Ahmad, pemimpin Bukhara. Al-Zuhli berkata: “Lelaki ini telah menzahirkan perkara yang menyelisihi sunnah.” Khalid bin Ahmad membacakan surat tersebut kepada penduduk Bukhara. Mereka berkata: “Kami tidak mahu meninggalkannya.” Khalid bin Ahmad lalu memerintahkan al-Bukhari untuk keluar dari Bukhara. Al-Bukhari akur lalu keluar dari Bukhara.

Abu Sa’id Bakr bin Munair bin Khulaid bin ‘Askar berkata:

“Pemimpin Bukhara, Khalid bin Ahmad al-Zuhli mengutuskan (utusan) kepada al-Bukhari:

Bawakan kepadaku kitab al-Jami’, al-Tarikh dan selain keduanya kepadaku supaya aku dapat mendengarkannya daripadamu.

Muhammad bin Isma’il berkata kepada utusan tersebut: Aku tidak akan merendahkan ilmu dan aku tidak akan membawanya ke pintu-pintu manusia. Jika engkau berhajat kepadanya, datanglah bertemuku di masjidku atau di rumahku. Jika engkau tidak suka begini, maka engkau adalah pemimpin. Halanglah aku daripada duduk (mengajarkan ilmu) supaya aku ada keuzuran di hadapan Allah di hari akhirat kelak. Sesungguhnya aku tidak menyembunyikan ilmu kerana sabda Nabi sallahu ‘alaihi wasallam: Sesiapa yang ditanya tentang suatu ilmu lalu dia menyembunyikannya maka dia akan dikekang dengan kekangan daripada api neraka.

Itulah sebab permulaan konflik antara mereka berdua.”

Imam al-Bukhari akhirnya keluar dari Bukhara menuju ke Samarqand dan menetap di salah sebuah kampung di situ bernama Khartank.

Kewafatan

Khartank terletak sekitar dua farsakh dari Samarqand. Imam al-Bukhari mempunyai kaum kerabat di sana dan beliau tinggal bersama mereka selama beberapa hari. Setelah itu beliau mula ditimpa sakit teruk sehingga pada suatu malam setelah selesai mengerjakan solat malam beliau berdoa: “Ya Allah, sesungguhnya bumi yang luas ini terasa sempit bagiku. Ambillah aku semula kepadaMu.” Tidak sampai sebulan setelah itu beliau meninggal dunia.

Ketika beliau sedang menderita sakit, beliau bersiap-siap untuk keluar ke Samarqand kerana menerima jemputan daripada keluarga beliau di sana. Beliau berjalan kaki ke haiwan tunggangannya. Tidak sampai 20 langkah beliau berkata: “Bantulah aku. Aku telah lemah.” Beliau lalu berdoa dengan beberapa doa. Kemudian beliau berbaring lalu meninggal dunia. Peluh mengalir daripada tubuhnya sehingga membasahi bajunya.

Peristiwa tersebut berlaku pada malam sabtu iaitu malam hari raya Aidil Fitri tahun 256 Hijrah ketika usia beliau 62 tahun. Beliau dikebumikan di Khartank selepas zohor keesokkan harinya.

Semoga Allah merahmati Imam al-Bukhari atas jasa beliau berkhidmat kepada Islam khususnya kepada hadis Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.

Kubur Imam al-Bukhari