Soalan:
Adakah nazar untuk membaca maulid atau wasiat dengan
sepertiga harta untuk diwakafkan bagi mengadakan majlis maulid Nabi SAW
dibenarkan?
Jawapan Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili:
Nazar ini tidak wajib ditunaikan dan wasiat ini tidak sah
dilaksanakan. Wakaf untuk tujuan tersebut tidak disyariatkan kerana pembacaan
maulid bukanlah ibadah kepada Allah Ta’ala pada zatnya dan ia adalah bidaah
yang diada-adakan oleh golongan Fatimiyyah.
Tetapi jika tujuan perhimpunan itu hanyalah untuk membaca al-Quran
dan berselawat ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, serta menceritakan
tentang sifat-sifat dan peribadi baginda, tanpa mempercayai bahawa ia adalah
ibadah yang disyariatkan dan tanpa nyanyian dan perkara-perkara yang melampau,
tetapi untuk tujuan pengajaran dan penyebaran dakwah Islam, serta mengenali
akhlak Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, maka pada pandangan saya ia
dibenarkan.
Al-Allamah al-Suyuti telah menulis risalah bertajuk Husn
al-Maqsid fi 'Amal al-Maulid (Tujuan Yang Baik dalam Amalan Maulid). Di
dalamnya beliau menjawab dengan menyatakan keharusannya dan menganggap
perhimpunan orang ramai untuk membaca al-Quran, meriwayatkan kisah-kisah
Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, kemudian makan dalam majlis ini
sebagai perkara yang baik, kerana ia mengandungi pengagungan terhadap kedudukan
Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan menzahirakn kegembiraan dengan
kelahiran baginda yang mulia.
Hakikatnya, bidaah yang tercela adalah perkara yang
bertentangan dengan apa yang Allah perintahkan kepada kita dari segi akidah,
ibadah, halal atau haram.
Adapun perkara yang Allah tidak tetapkan sebagai ibadah,
maka pengaturannya atau menganggap baik sebahagian daripadanya mungkin selaras
dengan maqasid syariah. Maka ia tidak dianggap sebagai bidaah yang menjejaskan
sistem keagamaan dan hubungan manusia dengan Tuhannya, tetapi ia dianggap
sebagai sebahagian daripada adat yang berkembang dalam urusan kehidupan
pendidikan, pengajaran dan keduniaan seperti pertanian, perniagaan,
perindustrian dan sebagainya daripada aspek tamadun atau kemajuan.
Perkara ini diserahkan oleh syarak kepada keperluan ilmu,
akal, kreativiti, pembaharuan, pembaikan dan pembangunan. Tidak wajar
mengingkari adat kebiasaan yang baik dan apa yang termasuk dalam skop
kaedah penyebaran dakwah kepada Allah dan menggalakkan orang ramai kepada
syariat Islam dan adab-adabnya, seperti orang yang menyampaikan ceramah pada
waktu tertentu tentang sejarah, sirah dan sunnah Nabi yang mulia.
Sumber:
Fatwa Mu'asirah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan