Kitab al-Radd 'ala al-Jahmiyyah dan kitab Naqd Uthman bin Sa'id 'ala Al-Marisi Al-'Anid oleh Uthman bin Sa'id Al-Darimi (meninggal 280 Hijrah).
Adapun kitab al-Radd 'ala al-Jahmiyyah, beliau telah
berhujah di dalamnya dengan banyak sanad yang lemah (wahiyah) dan
matan-matan yang munkar yang bercanggah dengan konsep Tanzih
(penyucian Allah daripada menyerupai makhluk).
Beliau menetapkan bahawa:
1 - 'Arasy berbunyi kerana berat Allah al-Jabbar di atasnya.
2 - Allah turun pada waktu malam ke Jannah 'Adn yang
merupakan tempat tinggal-Nya di mana para nabi, siddiqin dan syuhada' tinggal
bersama-Nya.
3 - Dia turun dari 'Arasy-Nya ke Kursi-Nya kemudian naik
semula dari Kursi-Nya ke 'Arasy-Nya.
Beliau juga menyusun bab tentang mengkafirkan golongan
Jahmiyyah dan bab tentang membunuh mereka dan meminta mereka bertaubat daripada
kekufuran.
Tidak tersembunyi lagi bahawa istilah Jahmiyyah adalah
istilah celaan yang tidak merujuk kepada kumpulan yang dinisbahkan kepada Jahm
bin Safwan kerana Jahm telah meninggal dan pemikirannya turut lenyap, tetapi al-Darimi
dan pengikutnya menggunakan istilah Jahmiyyah untuk mereka yang berbeza
pendapat dengan mereka tentang sifat-sifat Allah 'Azza wa Jalla, termasuk dalam
kategori ini golongan Muktazilah dan Ahli Sunnah dari kalangan Asy'ariyyah dan
Maturidiyyah.
Adapun kitabnya yang lain, ia seperti kitab sebelumnya, dan
beliau menambah:
1 - Penetapan sifat pergerakan (harakah) bagi Allah 'Azza wa
Jalla.
2 - Penetapan had (batasan) bagi Allah.
3 - Allah menyentuh Adam dengan sentuhan tangan-Nya.
4 - Allah duduk di atas 'Arasy dan tidak ada ruang yang
tersisa kecuali sekadar empat jari.
5 - Allah mampu untuk
berada di atas belakang seekor nyamuk.
6 - Apabila Allah marah, Dia menjadi berat bagi para pembawa
'Arasy,
7 – Puncak menara
lebih dekat kepada-Nya berbanding bahagian bawahnya.
Kedua-dua kitab ini mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi
Ibnu Taimiyyah rahimahullah dan muridnya Ibnu al-Qayyim dan mereka
berdua banyak mengambil nukilan daripada kedua-dua kitab ini.
Ibnu al-Qayyim berkata selepas memuji al-Darimi: "Kedua-dua
kitabnya adalah antara kitab-kitab yang paling agung yang dikarang dalam bidang
Sunnah dan paling bermanfaat. Sewajarnya setiap penuntut Sunnah yang ingin
mengetahui apa yang dipegangn oleh para sahabat, tabiin dan para imam hendaklah
membaca kedua-dua kitabnya. Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah sangat
mengesyorkan kedua-dua kitab ini dan sangat mengagungkannya. Dalam kedua-dua
kitab ini terdapat penjelasan tentang tauhid, nama-nama dan sifat-sifat Allah
berdasarkan akal dan naql yang tidak terdapat dalam kitab-kitab lain."
(Ijtima’ al-Juyush, ms. 143)
Walaupun al-Hafiz al-Dhahabi mengambil nukilan daripada
al-Darimi dan memujinya, namun beliau memberi peringatan tentang sikap melampau
al-Darimi dengan berkata: "Dalam kitabnya terdapat perbahasan yang
pelik bersama al-Marisi di mana beliau berlebihan dalam menetapkan (sifat). Berdiam
diri tentangnya adalah lebih dekat dengan manhaj salaf pada zaman dahulu."
(al-‘Uluw Lil ‘Ali al-Ghaffar, jilid 1, ms. 195)
Sumber:
Al-Tajsim Fi al-Fikr al-Islami oleh Dr Suhaib
al-Saqqar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan