Ahad, 25 Oktober 2015

Menuntut ilmu dari buaian sehingga ke liang lahat



Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah rahimahullah berkata: Perkataan ini (menuntut ilmu dari buaian sehingga ke liang lahat) dan dihikayatkan juga dengan lafaz yang lain (tuntutlah ilmu dari buaian sehingga ke liang lahat), bukan hadis nabi. Bahawasanya ianya adalah kalam manusia. Maka tidak harus disandarkan kepada Rasulullah sallahu’alaihi wasallam sebagaimana yang dinukilkan oleh sebahagian orang, kerana tidak dinisbahkan kepada Rasulullah sallahu’alaihi wasallam kecuali apa yang disabdakan oleh baginda atau apa yang dilakukan oleh baginda atau apa yang diakui oleh baginda.

Perkataan ini mempunyai makna yang sahih pada zatnya dan benar pada seruannya. Tidak boleh menyandarkan perkataan ini kepada Nabi sallahu’alaihi wasallam. Al-Hafiz Abu al-Hajjaj al-Halabi al-Mizzi berkata: “Tidak boleh bagi seseorang menyandarkan satu huruf yang dianggap baik daripada perkataan, kepada Rasulullah sallahu’alaihi wasallam walaupun perkataan itu benar. Maka sesungguhnya setiap yang disabdakan oleh Rasulullah sallahu’alaihi wasallam adalah benar dan bukanlah setiap yang benar itu disabdakan oleh Rasulullah sallahu’alaihi wasallam.” Tamat (nukilan) daripada kitab Zail al-Maudhu’at oleh al-Hafiz al-Sayuthi muka surat 202.

Dan hadis ini maudhu’ (palsu): (tuntutlah ilmu dari buaian sehingga ke liang lahat) masyhur atas lidah-lidah ramai (orang) dan yang menghairankan kitab-kitab yang ditulis berkenaan hadis-hadis al-muntasyirah (hadis yang masyhur) tidak menyebutkannya.[1]
_______________________


[1] Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, Qimah al-Zaman ‘Inda al-‘Ulama, ms. 30, cetakan Maktabah al-Mathbu’at al-Islamiyyah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan