Sabtu, 24 Oktober 2015

Amalan Baca Tiga Qul Selepas Solat Jumaat

Menjadi kebiasaan di sesetengah masjid di Malaysia selepas solat Jumaat imam akan membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah al-Nas sebanyak tujuh kali. Amalan ini adalah berdasarkan hadis Nabi sallahu’alaihiwasallam:

عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ قَرَأَ بَعْدَ صَلَاةِ الْجُمُعَةِ قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ، وَقُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ، وَقُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ سَبْعَ مَرَّاتٍ؛ أَجَارَهُ اللَّهُ بِهَامِنَ السُّوءِ إِلَى الْجُمُعَةِ الْأُخْرَى.

“Sesiapa yang membaca selepas solat Jumaat Qul Huwallahu Ahad, Qul A’uzu Bi Rabbil Falaq dan Qul A’uzu Bi Rabbin Nas sebanyak tujuh kali, Allah akan melindunginya daripada segala keburukan sehingga Jumaat yang seterusnya.”

Hadis riwayat Ibnu Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (no. 375).

Dalam riwayat yang lain disebutkan bahawa dibaca surah-surah tersebut sebelum berkata-kata (yakni sejurus selepas salam) dan dalam riwayat yang lain menyebutkan bahawa dia membacanya dalam keadaan membengkokkan kakinya (yakni dalam keadaan duduk tasyahud akhir).

Sanad hadis ini daif kerana dalam sanadnya terdapat perawi yang daif bernama al-Khalil bin Murrah. Ibnu Hajar al-Asqalani turut mendaifkan sanad hadis ini namun menurut beliau  hadis ini mempunyai syahid (penguat) daripada hadis mursal Makhul yang dikeluarkan oleh Sa’id bin Mansur dalam Sunannya.

Oleh itu berkemungkinan hadis ini dapat meningkat menjadi hasan lighairih atau jika kekal daif sekaipun ia masih boleh diamalkan dalam bab fadhail a’mal (kelebihan amalan).

Hadis mursal Makhul tersebut terdapat sedikit penambahan di bahagian awal dan akhir lafaz hadisnya. Di awal lafaz hadisnya terdapat penambahan surah al-Fatihah di samping tiga Qul tersebut. Di bahagian akhir pula disebutkan bahawa sesiapa membaca empat surah berkenaan sebanyak tujuh kali maka diampunkan dosa-dosanya di antara dua Jumaat.

Berdasarkan hadis-hadis ini, al-Imam al-Ghazali dalam Bidayah al-Hidayah berpendapat bahawa sunat dibacakan surah-surah tersebut selepas solat Jumaat sebagaimana kata beliau:

“Jika kamu telah selesai dan telah memberi salam (daripada solat Jumaat), maka bacalah surah al-Fatihah sebelum kamu bercakap-cakap sebanyak tujuh kali, surah al-Ikhlas sebanyak tujuh kali dan al-Mu’awwizatain tujuh kali. Perkara tersebut akan menghapuskan dosa kamu daripada Jumaat itu sehingga Jumaat seterusnya dan akan menjadi pelindung bagi kamu daripada syaitan.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan