Sabtu, 10 Oktober 2015

Syeikh Ahmad al-Marzuqi - Pengarang Aqidah al-Awam


Nama dan Nasab

Nama penuh beliau ialah Ahmad bin Ramadhan Mansur bin Muhammad bin Syamsuddin bin Rais bin Zainuddin bin Nasibuddin bin Muhammad bin Qasim bin Muhammad bin Rais Ibrahim bin Muhammad bin Marzuq al-Kafafi bin Musa bin Abdullah al-Mahdh al-Kamil bin al-Hasan al-Muthanna bin al-Hasan al-Sibt bin Amir al-Mu'minin Imam Ali bin Abi Talib.

Demikianlah nasabnya yang disampaikan oleh al-Allamah Ahmad Abu al-Khair Mirdad dalam Fath al-Malik al-‘Allam yang merupakan syarah ke atas Aqidah al-‘Awam.

Umar Ridha Kahalah pula menamakannya dalam Mu'jam al-Mu'allifin sebagai Ahmad bin Muhammad bin Ramadhan. Maka hendaklah diperbetulkan nama beliau dan nasabnya itu  sebagaimana yang disebutkan oleh al-‘Allamah Mirdad tersebut.

Sebahagian orang memberinya gelaran al-Husaini, sedangkan beliau berketurunan Hasan. Sebenarnya beliau berketurunan al-Husaini dari pihak ibunya sebagaimana yang dinyatakan oleh al-‘Allamah Mirdad.

Kelahiran, Pendidikan dan Pencarian ilmunya

Beliau dilahirkan di bandar Sunbat dari wilayah Mesir pada tahun 1205 Hijrah. Beliau diberi gelaran kunyah ‘Abu al-Fauz’ oleh Sayyid Abu al-Iqbal Ahmad Wafa'.

Al-Marzuqi adalah nisbah kepada datuknya Sayyid Marzuq yang dimakamkan di Kafafah di tepi Laut Merah. Datuknya adalah seorang syeikh yang mulia yang mempunyai ramai pengikut, dengan zawiyahnya mencapai sebanyak 140 zawiyah yang tersebar di seluruh negeri Mesir.

Beliau telah menerima pendidikan yang baik dan beliau tekun menimba ilmu-ilmu agama di al-Azhar al-Syarif dan mengambil ilmu daripada ramai para syeikh dan ulama yang terkemuka.

Guru-gurunya

Beliau mengambil ilmu daripada sekumpulan ulama besar al-Azhar al-Syarif dan sumber-sumber tidak menyebutkan kepada kita kecuali sebilangan kecil daripada mereka. Antara gurunya yang merupakan ulama yang terkemuka ialah:

1 - Syeikh al-Azhar Abdullah Hijazi al-Syarqawi, meninggal dunia pada 1224 Hijrah).

2 - Syeikh Muhammad al-Amir al-Kabir, penulis thabat yang masyhur yang meninggal dunia pada 1242 Hijrah.

3 - Syeikh Muhammad bin Ali al-Syinwani, juga penulis thabat yang masyhur yang meninggal dunia pada 1233 Hijrah dan lain-lain.

Menetap di Mekah

Beliau datang bersama abangnya, Sayyid Muhammad al-Marzuqi ke Mekah al-Mukarramah, lalu mereka lalu mereka berdua bermukim di sana dan lalu memilih untuk terus menetap di sana dan mendirikan kediaman mereka di kawasan sekitar Masjidil Haram. Mereka berdua mempunyai kemasyhuran dalam bidang ilmu, pengajaran dan penyebaran manfaat dan mereka berdua tidak meninggalkan Mekah sehinggalah kematian mereka.

Sayyid Muhammad al-Marzuqi menjadi mufti mazhab Maliki di Mekah dan tidak meninggalkan jawatan ini sehingga beliau meninggal dunia pada 27 Zulkaedah tahun 1261 Hijrah. Maka jawatan itu diambil alih selepasnya oleh saudaranya Sayyid Ahmad al-Marzuqi dan beliau terus memegang jawatan itu sehingga kematian menjemputnya juga.

Sayyid Ahmad Al-Marzuqi mempunyai kelas pengajian di Masjidil Haram berhampiran dengan Maqam Maliki, di mana beliau mengajar pelbagai jenis ilmu. Pada akhir hayatnya setelah penglihatannya kabur, beliau memberi tumpuan kepada tafsir al-Baidhawi dan mengajarnya berulang kali kepada para pelajarnya.

Karya-karyanya

1 - Manzumah Aqidah al-‘Awam dalam ilmu akidah yang bait-baitnya yang berjumlah 57 buah bait.

2 - Nail al-Maram li Bayan Aqidah al-‘Awam. Syarah beliau sendiri kepada Manzumah Aqidah al-Awam.

3 - Bayan al-Asl fi Bayan Lafz Bafdhal.

4 - Tashil al-Azhan 'ala Matn al-Lisan dalam ilmu nahu. Matan tersebut adalah karya al-‘Allamah al-Khawarizmi al-Baqali.

5 - Al-Fawa'id al-Marzuqiyyah fi Syarh al-Ajrumiyyah.

6 - Manzumah tentang kaedah-kaedah saraf dan nahu.

7 - Nazam tentang ilmu astronomi (falak) dan disyarahkan oleh abangnya, Sayyid Muhammad al-Marzuqi dengan syarah yang ringkas.

8 - Bulugh al-Maram li Bayan Alfaz Maulid Sayyid al-Anam, iaitu syarah kepada maulid yang terkenal dengan nama Maulid al-Hariri, karangan Syeikh Ahmad bin Qasim al-Maliki yang terkenal sebagai al-Hariri. Kitab ini dicetak di percetakan Bulaq pada tahun 1286 Hijrah dan 1291 Hijrah. Syarah ini terdiri daripada 200 halaman.

9 - Manzumah 'Ismah al-Anbiya'. Beliau selesai menazamkannya pada tahun 1258 Hijrah.

Murid-Muridnya

Sukar untuk menghimpunkan semua murid yang mengambil ilmu daripada Sayyid Ahmad al-Marzuqi  dan pengajian beliau yang diadakan di Masjidil Haram sudah tentu dihadiri oleh beratus-ratus orang. Cukuplah disebut sebahagian tokoh-tokoh terkenal yang diketahui mengambil ilmu daripadanya dan mereka yang meriwayatkan serta mengambil sanad daripadanya, antaranya:

1 - Sayyid Ahmad Zaini Dahlan al-Makki al-Syafi'i.

2 - Syeikh Salih Rawah al-Jawi al-Makki.

3 - Syeikh Abdul Ghani al-Bimawi al-Makki.

4 - Syeikh Ahmad bin As'ad al-Dahhan al-Hanafi al-Makki.

5 - Syeikh Ahmad al-Halwani al-Muqri' al-Syami al-Syafi'i.

6 - Syeikh Muhammad al-Mansuri al-Misri al-Makki al-Syafi'i.

7 – Syeikh Ahmad bin Muhammad al-Tahir al-Azdi al-Marakisyi al-Maghribi al-Maliki.

8 - Syeikh Muhammad bin Hani bin Ma'ruf al-Maghribi al-Maliki.

9 – Syeikh Muhammad al-Madani Ibn Azzuz al-Tunisi al-Maliki.

10 - Sayyid Muhammad bin Nasir al-Hazimi al-Hasani al-Tihami dan ramai lagi.

Sesetengah orang tersilap menganggap Sayyid Ahmad bin Hasan al-‘Attas sebagai salah seorang murid yang mengambil ilmu daripadanya. Ini mustahil kerana beliau dilahirkan di Hadhramaut pada tahun 1257 Hijrah dan tidak datang ke Mekah kecuali selepas tahun 1280 Hijrah.

Keluarganya

Sayyid Ahmad al-Marzuqi dikurniakan Allah seorang anak perempuan tunggal. Anak perempuannya ini dijodohkan dengan Sayyid Muhammad Saleh bin Muhammad bin Husain al-Kutbi al-Hasani al-Makki, yang meninggal dunia di Makkah pada tahun 1295 Hijrah.

Kematiannya

Sayyid Ahmad al-Marzuqi meninggal dunia di Makkah al-Mukarramah pada tahun 1262 Hijrah semasa beliau memegang jawatan Mufti bagi mazhab Maliki.

Pengarang Mu'jam al-Matbu'at, Yusuf Sarkis, telah terkeliru lalu menyebut dalam kitabnya bahawa Sayyid Ahmad al-Marzuqi masih hidup pada tahun 1281 Hijrah. Ini adalah satu kekeliruan, tiada syak lagi. Maka hendaklah diberi perhatian terhadap perkara ini.

Mazumah Aqidah al-‘Awam

Manzumah ini merupakan sebuah manzumah yang ringkas yang mengandungi 57 bait syair berkenaan ilmu akidah. 57 bait syair tersebut terbahagi kepada beberapa skop yang dibincangkan dalam ilmu akidah iaitu:

1 - Ilahiyyat (ketuhanan). Merangkumi sifat-sifat wajib, mustahil dan harus bagi Allah.

2 - Nubuwat (kenabian). Merangkumi sifat-sifat wajib, mustahil dan harus bagi para nabi, kemaksuman mereka dan kelebihan mereka melebihi para malaikat.

3 - Nama-nama para nabi dan rasul bermula dari Adam ‘alaihissalam sehingga Muhammad sallahu’alaihi wasallam.

4 - Malaikat. Merangkumi sifat-sifat para malaikat iaitu tidak beribu dan berbapa, tidak makan dan minum serta tidur. Turut diterangkat 10 malaikat yang terutama di antara seluruh malaikat.

5 - Suhuf dan kitab-kitab yang diturunkan kepada para rasul.

6 - Hari akhirat. Hanya terdapat satu bait sahaja berkenaan hari akhirat.

7 - Berkenaan Nabi Muhammad sallahu’alaihi wasallam. Bermula bait yang ke 29 sehingga bait yang ke 50 diterangkan berkenaan ibu, bapa, datuk, kelahiran, anak-anak, isteri-isteri, bapa saudara dan ibu saudara baginda sallahu’alaihi wasallam.

8 - Isra’ dan Mi’raj. Terdapat 5 bait syair yang menerangkan berkenaan Isra’ dan Mi’raj.

Kisah Syeikh Ahmad al-Marzuqi Bermimpi Bertemu Nabi 

Syeikh Muhammad Nawawi al-Bantani al-Jawi dalam Nur al-Zalam Syarah Aqidah al-‘Awam berkata:

(Ketahuilah) bahawa sesungguhnya sebab (asal mula) kitab nazham ini adalah pengarang (Syeikh Ahmad al-Marzuqi) bermimpi bertemu Nabi sallahu’alaihi wallam di penghujung malam Jumaat, pada Jumaat pertama di bulan Rejab, hari keenam tahun 1258H, sedangkan para sahabat radiallahu ‘anhum berdiri di sekelilingnya.

Nabi sallahu’alaihi wallam bersabda kepada Syeikh Ahmad al-Marzuqi: "Bacalah nazam-nazhom tauhid, yang barangsiapa menghafalnya, maka dia akan masuk syurga dan dapat menggapai tujuan dari setiap kebaikan yang sesuai dengan Al-Quran dan As-Sunnah"

Lalu Syeikh Ahmad al-Marzuqi bertanya kepada Nabi sallahu’alaihi wallam"Apa nazam-nazam itu, wahai Rasulullah?"

Para sahabat radiallahu ‘anhum berkata kepadanya: "Dengarkan dari Rasulullah apa yang beliau sabdakan."

Lala Rasulullah sallahu’alaihi wallam bersabda: "Ucapkan olehmu *Aku memulainya dengan menyebut nama Allah dan Yang Maha Pengasih*"

Maka pengarang (Syeikh Ahmad al-Marzuqi) berkata : "Aku memulainya dengan menyebut nama Allah dan Yang Maha Pengasih, sampai akhir nazamm, yaitu ucapannya (syairnya):

Mushaf Nabi Ibrahim dan Nabi Musa itu* di dalamnya terdapat Kalam Allah Yang Maha Menghukumi dan Maha Tahu.

Dan Rasulullah sallahu’alaihi wallam mendengarkannya.

Tatkala Syeikh Ahmad al-Marzuqi terjaga dari tidurnya, beliau membaca apa yang dilihat dalam mimpinya, maka beliau mendapati nazam-nazam itu telah beliau hafal dalam dirinya dari awal sampai akhir.

Kemudian ketika datang malam Juma'at yaitu malam ke-28, hitungan dari Bulan Zulkaedah, pengarang (Syeikh Ahmad al-Marzuqi) melihat Nabi sallahu’alaihi wallam untuk kali kedua di waktu sahur di dalam mimpi.

Lalu Nabi sallahu’alaihi wallam bersabda kepadanya: "Bacalah apa yang telah engkau himpun [hafal]", yakni di dalam hatimu.

Lalu Syeikh Ahmad al-Marzuqi membacanya dari awal sampai akhir, [saat itu] beliau berada di hadapan Nabi sallahu’alaihi wallam, sementara para sahabat radiallahu ‘anhum berada di sekeliling Nabi sallahu’alaihi wallam sambil mengucapkan: "Amin" setelah setiap bait dari nazam itu.

Tatkala beliau telah selesai membacanya, Nabi sallahu’alaihi wallam bersabda kepada beliau:

"Semoga Allah Ta'ala memberi taufik padamu untuk melakukan sesuatu yang Dia redhai dan menerima amalmu itu, memberikan berkat keatasmu dan memberikan manfaat [kitab ini] kepada semua hamba-Nya.”

Setelah itu beliau ditanya oleh orang ramai selepas mereka mengetahui tentang manzumah tersebut, lalu beliau menjawab soalan mereka menambah manzumah daripada kata-katanya sendiri:

“Dan setiap apa yang dibawa oleh Rasul, maka haknya ialah penyerahan diri dan penerimaan.”

Inilah apa yang diberitahu oleh pengarang tentang dirinya sendiri dan kita menukilkannya sebagaimana teks asalnya. Tanggungjawab tentang kesahihan kisah tersebut terletak di atas beliau sendiri.

Syarah Kitab Aqidah al-‘Awam

1 - Kitab ini telah disyarahkan oleh beberapa orang ulama dan yang paling awal yang mensyarahkannya ialah Sayyid Ahmad al-Marzuqi sendiri iaitu kitab yang dinamakan Tahsil Nail al-Maram Li Bayan Manzumah Aqidah al-Awwam.

2 - Hashiyyah al-Allamah Yusuf al-Sunbulawini al-Misri al-Makki (meninggal dunia 1285 Hijrah) ke atas syarah Sayyid Ahmad al-Marzuqi.

3 - Hashiyyah al-Allamah Ahmad Abu al-Khair Mirdad al-Hanafi al-Makki (meninggal dunia 1342 Hijrah) bernama Faidh al-Malik al-'Allam.

4 - Syeikh Muhammad Nawawi al-Jawi al-Bantani (meninggal 1315 Hijrah) telah mensyarahkannya dalam sebuah kitab yang dinamakan Nur al-Zalam ‘Ala Manzumah Aqidah al-Awam.

5 - Tashil al-Maram Li Daris Aqidah al-Awam oleh al-Syeikh Ahmad al-Qoth’ani al-‘Isawi.

6 - Syeikh Muhammad ‘Alawi al-Maliki mensyarahkan dalam pengajaran beliau dan dhimpunkan oleh al-Ustaz Muhammad Ihya’ Ulum al-Din dalam sebuah kitab yang dinamakan Jala’ al-Afham Syarah Manzumah Aqidah al-Awam.

7 - Nail al-Maram Syarah Aqidah al-Awam oleh al-Allamah Syeikh Asad Hamzah Abdul Qadir al-Awsi al-Zabidi (meninggal dunia 1425 Hijrah).

8 - Mujaz al-Kalam Syarah 'Aqidah al-'Awam oleh Syeikh Muhammad bin Ali bin Muhammad Ba’athiyyah.

9 - Fath al-‘Allam Syarah Manzumah Aqidah al-‘Awam oleh Dr Hisyam al-Kamil Hamid Musa.

10 - Sa'adah al-Anam bi Syarah Aqidah al-‘Awam oleh Dr. Murad bin Abdullah bin Bara' bin Mahdi al-Janabi.


*Tulisan ini saya telah kemas kini semula pada 4/5/2025.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan