Jumaat, 2 Jun 2023

Manhaj Kitab Tahzib al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal oleh al-Hafiz al-Mizzi



Biografi Ringkas al-Hafiz al-Mizzi

1 – Nama sebenar beliau adalah Yusuf bin Abdul Rahman bin Yusuf al-Mizzi. Gelaran (laqab) beliau ialah Jamaluddin dan kunyah beliau ialah Abu al-Hajjaj. Gelaran al-Mizzi berasal daripada nama sebuah kampung yang terletak di barat Damsyik, Syiria iaitu al-Mizzah yang merupakan tempat beliau membesar. Beliau dilahirkan pada tahun 654 Hijrah.

2 – Beliau telah menghafal al-Quran sejak kecil lagi lalu beliau mempelajari ilmu fiqh mazhab al-Syafi’e dan ilmu-ilmu bahasa Arab. Beliau mula memberi perhatian untuk mempelajari hadis pada tahun 675 Hijrah iaitu ketika berumur 21 tahun.

3 - Kitab hadis yang pertama beliau pelajari ialah Hilyah al-Auliya’ karangan Abu Nu’aim al-Asbahani yang dipelajari dari Ahmad bin Abu al-Khayr al-Haddad. Setelah itu beliau mengembara ke merata tempat untuk mempelajari hadis seperti Baitul Maqdis, Homs, Hama, Mekah, Madinah, Kaherah, Iskandariah dan lain-lain.

4 – Guru-guru beliau sangat ramai sehingga dikatakan mencapai jumlah seribu orang. Antara guru beliau yang masyhur ialah Imam al-Nawawi, Ibnu Qudamah al-Maqdisi, Ibnu Daqiq al-‘Eid, Syarafuddin al-Dimyati dan Fakhruddin Ibnu al-Bukhari.

5 – Murid-murid beliau juga sangat ramai sehinggakan menurut al-Zahabi kebanyakan ahli hadis di Damsyik dan selainnya merupakan murid beliau. Antara murid beliau yang terkenal ialah al-Hafiz al-Zahabi, al-Hafiz Ibnu Kathir, al-Hafiz al-‘Alla’ie dan Imam Tajuddin al-Subki.

6 – Al-Hafiz al-Mizzi telah menghabiskan masa selama hampir 50 tahun untuk menulis, memberi fatwa dan mengajar. Beliau pernah menjadi mahaguru ilmu hadis di beberapa buah pusat pengajian hadis seperti Dar al-Hadith al-Nasiriyyah, Dar al-Hadith al-Himsiyyah, Dar al-Hadith al-Nuriyyah dan Dar al-Hadith al-Asyrafiyyah.

7 – Penguasaan beliau yang tinggi dalam bidang ilmu keislaman terutamanya ilmu hadis membolehkan beliau menghasilkan karya-karya yang bermutu dan berkualiti tinggi. Antara hasil penulisan beliau yang terkenal dan mendapat sambutan para ulama ialah Tahzib al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal dan Tuhfah al-Asyraf Bi Ma’rifah al-Atraf.

Kitab Tuhfah al-Asyraf (kiri) dan Tahzib al-Kamal (kanan). Dua buah karya teragung al-Hafiz al-Mizzi.

8 – Berkenaan keperibadian beliau, muridnya, al-Hafiz al-Zahabi menceritakan dalam Tazkirah al-Huffaz:

“Beliau mempunyai akhlak yang baik, banyak berdiam diri, sangat sedikit berbicara, bercakap benar, tidak diketahui bahawa dia bersifat sombong, seorang yang merendah diri, sangat sabar, sederhana pada perwatakan dan makanannya, banyak berjalan kaki dalam urusan sehariannya, mempunyai keluhuran budi, merasa cukup dengan yang sedikit, sanggup mengorbankan buku-bukunya, hartanya dan dirinya, mempunyai banyak sifat mulia. Abu al-Hasan Ibn al-‘Attar telah menyakiti dan mencercanya tetapi beliau tidak pernah berkata apa pun tentangnya dan terhadap orang lain yang menyakitinya.”

9 – Di penghujung usianya, beliau telah ditimpa penyakit taun. Pada mulanya penyakit tersebut hanya ringan sahaja dan tidak menghalang beliau daripada mengajar dan menghadiri solat jemaah. Namun setelah itu sakitnya semakin kuat sehingga menghalang beliau daripada menghadiri solat Jumaat. Akhirnya beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada hari sabtu 12 Safar tahun 742 Hijrah ketika berusia 88 tahun. Jenazah beliau telah disolatkan di Jami’ al-‘Umawi dan diimamkan oleh Imam Taqiyuddin al-Subki. Ramai di kalangan pembesar dan pemimpin negara yang turut sama menghadiri pengebumian beliau. Jenazah beliau dikebumikan di perkuburan al-Sufiyyah, bersebelahan dengan kubur isterinya yang meninggal dunia 9 bulan lebih awal dan tidak jauh dari kubur Ibnu Taimiyyah.

Semoga Allah merahmati beliau atas jasa dan khidmatnya kepada ilmu hadis.

Manhaj Kitab Tahzib al-Kamal

1 – Al-Hafiz al-Mizzi telah mengkaji secara teliti kitab al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal karangan al-Hafiz Abdul Ghani al-Maqdisi lalu beliau mendapatinya mempunyai kekurangan dan keluputan ratusan nama perawi Kutub Sittah yang tidak dimasukkan di dalam kitab ini.

2 – Oleh itu beliau berhasrat untuk menyusun semula sebuah kitab baru yang mengekalkan susunan asal kitab al-Kamal namun dapat menampung kekurangan kitab tersebut lalu terhasillah kitab Tahzib al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal.

3 – Sebahagian orang menyangka bahawa kitab Tahzib al-Kamal ini adalah ringkasan kepada kitab al-Kamal berdasarkan tajuknya, namun sebenarnya kitab ini adalah penambahbaikan dan pembetulan terhadap kitab al-Kamal.

4 – Dalam kitab ini al-Hafiz al-Mizzi bukan sahaja menambah senarai perawi Kutub Sittah yang tidak disebutkan oleh Al-Hafiz Abdul Ghani al-Maqdisi bahkan beliau juga menambah lebih 1700 orang perawi tambahan yang terdapat dalam kitab-kitab karangan pengarang Kutub Sittah yang lain selain Kutub Sittah. Perinciannya seperti berikut:

1 – Al-Bukhari:

i) Kitab al-Qira’ah Khalfa al-Imam.

ii) Kitab Raf’u al-Yadain Fi al-Solah.

Iii) Kitab al-Adab al-Mufrad.

iv) Kitab Khalq Af’al al-‘Ibad.

v) Perawi-perawi sokongan yang disebutkan oleh al-Bukhari secara mu’allaq (tanpa sanad lengkap).

2 – Muslim:

i) Perawi yang terdapat dalam mukadimah kitab Sahih beliau.

3 – Abu Daud:

i) Kitab al-Marasil.

ii) Kitab al-Radd ‘Ala Ahl al-Qadar.

iii) Kitab al-Nasikh Wa al-Mansukh.

iv) Kitab al-Tafarrud.

v) Kitab Fadhail al-Ansar.

vi) Kitab Masail Imam Ahmad.

vii) Kitab Musnad Hadith Malik bin Anas.

4 – Al-Tirmizi:

i) Kitab al-Syamail.

5 – Al-Nasa’ie:

i) Kitab ‘Amal al-Yaum Wa al-Lailah.

ii) Kitab Khasais Ali bin Abi Talib.

iii) Kitab Musnad Ali.

iv) Kitab Musnad Hadith Anas bin Malik.

6 - Ibnu Majah:

i) Kitab al-Tafsir.

5 – Al-Hafiz Al-Mizzi menyebutkan beberapa orang perawi yang pada hakikatnya bukanlah perawi Kutub Sittah akan tetapi tujuan beliau menyebutkannya adalah untuk membezakan (tamyiz) antara perawi tersebut dengan perawi Kutub Sittah kerana mereka memiliki nama dan tabaqat yang hampir sama.

Misalnya, al-Mizzi menyebutkan biografi Asbat bin al-Yasa' (kiri) untuk membezakannya dengan Asbat Abu al-Yasa' (kanan) kerana ada yang menganggap kedua mereka adalah individu yang sama kerana nama yang hampir sama.

6 – Beliau juga menyebutkan beberapa maklumat sejarah berkaitan perawi yang tidak disebutkan dalam kitab al-Kamal seperti senarai guru perawi tersebut, murid-murid yang meriwayatkan daripadanya, kritikan (jarh) dan pujian (ta’dil dan tauthiq), tarikh kelahiran dan kematian dan maklumat-maklumat lain.

7 – Selain itu, beliau juga meletakkan empat fasal tambahan yang penting di bahagian akhir kitab yang tidak diletakkan dalam kitab al-Kamal, iaitu:

i) Fasal perawi yang terkenal dengan penisbahannya kepada bapanya, datuknya, ibunya, bapa saudaranya atau yang seumpama dengannya.


ii) Fasal perawi yang terkenal dengan penisbahannya kepada kabilah, negeri, pekerjaan atau yang seumpama dengannya.


iii) Fasal perawi yang terkenal dengan gelarannya (laqab) atau yang seumpama dengannya.


iv) Perawi mubham (yang tidak disebutkan namanya secara jelas).


Fasal-fasal yang disebutkan oleh al-Mizzi ini sangat membantu pembaca untuk mencari perawi yang dikehendaki yang terdapat dalam kitab ini.

8 – Al-Mizzi telah merujuk banyak kitab yang tidak dirujuk oleh pengarang kitab al-Kamal. Oleh itu kitab ini mempunyai maklumat yang jauh lebih banyak daripada kitab al-Kamal. Menurut kajian al-Sayyid Muhammad al-Sayyid Nuh, al-Mizzi telah menggunakan sebanyak 91 buah rujukan bagi menghasilkan kitab ini.

9 – Al-Mizzi juga telah melakukan penelitian dan semakan semula terhadap maklumat sejarah berkaitan perawi yang dikemukakan oleh pengarang al-Kamal sehingga dapat membetulkan maklumat yang silap.

10 – Al-Mizzi menggunakan beberapa rumus yang menjelaskan kedudukan perawi tersebut dalam kitab-kitab pengarang Kutub Sittah:

(ع) bagi perawi yang berada dalam Kutub Sittah.

(٤) Perawi dalam Sunan Arba’ah.

(خ) Perawi dalam Sahih al-Bukhari.

(م) Perawi dalam Sahih Muslim.

(د) Perawi dalam Sunan Abu Daud.

(ت) Perawi dalam Sunan al-Tirmizi.

(س) Perawi dalam Sunan al-Nasai’e.

(ق) Perawi dalam Sunan Ibnu Majah.

(خت) Perawi-perawi sokongan yang disebutkan oleh al-Bukhari secara mu’allaq.

(بخ) Perawi dalam al-Adab al-Mufrad.

(ي) Perawi dalam Raf’u al-Yadain Fi al-Solah.

(عخ) Perawi dalam Khalq Af’al al-‘Ibad.

(ز) Perawi dalam al-Qira’ah Khalfa al-Imam.

 (مق) Perawi dalam mukadimah Sahih Muslim.

(مد) Perawi dalam al-Marasil karangan Abu Daud.

(قد) Perawi dalam al-Qadr.

(خد) Perawi dalam al-Nasikh Wa al-Mansukh.

(ف) Perawi dalam al-Tafarrud.

(صد) Perawi dalam Fadhail al-Ansar.

(ل) Perawi dalam al-Masail.

(كد) Perawi dalam Musnad Malik.

(تم) Perawi dalam al-Syamail karangan al-Tirmizi.

(سي) Perawi dalam ‘Amal al-Yaum Wa al-Lailah karangan al-Nasa’ie.

(كن) Perawi dalam Musnad Malik.

(ص) Perawi dalam Khasais Ali.

(عس) Perawi dalam Musnad Ali.

(فق) Perawi dalam al-Tafsir karangan Ibnu Majah.

11 - Al-Mizzi memulakan penulisan kitab ini pada 9 Muharram tahun 705H dan tamat pada hari raya Aidil Adha tahun 712H. Beliau mengambil masa selama hampir 8 tahun bagi menyiapkan kitab ini.

12 - Kitab ini telah diterbitkan oleh Muassasah al-Risalah dengan tahqiq Dr Basyar ‘Awadh Ma’ruf pada tahun 1982 sebanyak 35 jilid. 

13 - Kitab ini boleh dimuat turun di sini

Baca juga: 

Manhaj Kitab al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal oleh al-Hafiz Abdul Ghani al-Maqdisi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan