Rabu, 7 Jun 2023

Imam Jalaluddin al-Mahalli

al-Mahallah al-Kubra pada masa kini

Nama dan nasab

Beliau ialah Muhammad bin Ahmad bin Muhammad bin Ibrahim bin Ahmad bin Hashim al-Ansari al-Mahalli al-Qahiri al-Syafi’e.

Kunyah beliau ialah Abu ‘Abdillah dan laqab beliau ialah Jalaluddin.

Gelaran al-Mahalli berasal dari al-Mahallah al-Kubra yang terletak di al-Gharbiyyah, Mesir.

Kelahiran

Beliau dilahirkan di Kaherah pada awal bulan Syawal tahun 791 Hijrah. Beliau diasuh di bawah didikan bapa beliau, Syeikh Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad yang merupakan seorang ahli ilmu yang soleh.

Bapa beliau merupakan murid kepada Imam al-Bulqini dan Imam Ibnu al-Mulaqqin. Bapanya juga menghafal kitab al-Tanbih dan berkerja sebagai seorang peniaga. Kesolehan bapanya sangat memberi kesan kepada pertumbuhan Imam al-Mahalli. Bapanya meninggal dunia pada tahun 852H ketika dalam perjalanan menunaikan haji. Datuknya juga merupakan seorang ulama mazhab al-Syafi’e.

Beliau memulakan perjalanannya menuntut ilmunya dengan menghafal al-Quran dan mempelajari beberapa buah kitab dalam pelbagai bidang ilmu. Berdampingannya beliau dengan gurunya al-Syams al-Barmawi di Madrasah al-Baibarisiyyah banyak membantu perkembangan keilmuan beliau.

Menuntut ilmu

Dalam pelbagai rujukan yang menyebutkan biografi Imam al-Mahalli tidak dinyatakan secara jelas tarikh beliau mula menuntut ilmu. Namun berdasarkan senarai guru-guru beliau dapat dipastikan bahawa beliau mula belajar dalam usia yang muda kerana beliau sempat belajar dengan Burhanuddin al-Abnasi (m. 802H), Ibnu al-Mulaqqin (m. 804H) dan al-Bulqini (meninggal 805H). Jika dilihat tarikh kelahiran Imam al-Mahalli dan tarikh kewafatan ketiga imam tersebut dapat diyakini bahawa Imam al-Mahlli sudah mula belajar ketika beliau masih muda.

Biografi Imam al-Mahalli juga jelas menunjukkan bahawa perjalanan menuntut ilmu beliau dimulakan dengan menghafal al-Quran, lalu mempelajari ilmu fiqh, usul fiqh, nahu, faraid, hisab, ilmu jadal, mantik, ilmu balaghah, tafsir, usuluddin dan lain-lain. Beliau juga sangat banyak mengambil manfaat daripada gurunya, ‘Alauddin al-Bukhari.

Bukan sahaja fiqh mazhab al-Syafi’e, beliau juga turut mempelajari mazhab-mazhab yang lain. Beliau mempelajari mazhab Hanafi daripada al-Nizam al-Shairami dan al-Syams Ibn al-Dairi. Beliau juga turu menghadiri majlis pengajian al-Syihab Ahmad al-Maghrawi al-Maliki.

Ilmu hadis pula beliau pelajari daripada Abu Zur’ah al-Iraqi dan Ibnu Hajar al-Asqalani. Bersama Ibnu Hajar, beliau mempelajari keseluruhan Syarah Alfiah al-‘Iraqi dan Ibnu Hajar mengizinkan beliau untuk mengajarkannya.

Guru-Guru

Sepanjang menuntut ilmu, Imam al-Mahalli sempat belajar dengan ramai ulama, antaranya:

1 – Burhanuddin al-Anbasi (m. 802H).

2 – Ibnu al-Mulaqqin (m. 804H).

3 – Sirajuddin al-Bulqini (m. 805H). Imam al-Mahalli belajar ilmu hadis dan fiqh daripadanya.

4 – Kamaluddin al-Damiri (m. 808H) Imam al-Mahalli sempat menghadiri beberapa buah majlis pengajiannya.

5 – Nasiruddin al-Tantada’ie (m. 809H). Imam al-Mahalli belajar ilmu faraid dan hisab daripadanya.

6 – Syamsuddin Al-Gharaqi (m. 816H). Imam al-Mahalli belajar ilmu fiqh daripadanya.

7 – Syihabuddin al-Maghrawi (m. 816H).

8 – Ibnu al-Kuwaik (m. 821H). Imam al-Mahalli meriwayatkan hadis daripadanya.

9 – Burhanuddin Ibrahim bin Ahmad al-Baijuri (m. 825). Imam al-Mahalli belajar ilmu fiqh daripadanya.

10 – Al-Aqsarani (m. 825H). Imam al-Mahalli belajar ilmu mantik, jadal, ma’ani, bayan, arudh dan usul fiqh daripadanya.

11 – Abu Zur’ah al-‘Iraqi (m. 826H). Imam al-Mahalli belajar ilmu hadis daripadanya.

12 – Syamsuddin al-Barmawi (m. 831H). Imam al-Mahalli tinggal bersama beliau di Madrasah al-Baibarisiyyah dan mempelajari daripadanya ilmu fiqh, usul fiqh dan bahasa Arab.

13 – Nizamuddin al-Sairami (m. 833H). Imam al-Mahalli belajar ilmu-ilmu aqliyat dan fiqh daripadanya.

14 – Ibnu al-Jazari (m. 833H).

15 – Al-Bustami al-Maliki (m. 842H). Imam al-Mahalli belajar tafsir dan ilmu usuluddin daripadanya.

16 – Ibnu Hajar al-Asqalani (m. 852H). Imam al-Mahalli mempelajari keseluruhan Syarah Alfiah al-‘Iraqi daripadanya.

17 – Nasiruddin al-Samnudi (m. 855H). Imam al-Mahalli belajar al-Quran daripadanya sewaktu kecil.

18 – Ibnu al-Dairi (m. 862H).

19 – ‘Izzuddin Ibnu Jama’ah (m. 867H). Imam al-Mahalli belajar hadis dan usul fiqh daripadanya.

20 – Syamsuddin al-Syatnufi (m. 873H). Imam al-Mahalli belajar nahu dan ilmu bahasa Arab daripadanya.

21 – Syamsuddin al-Basati (m. 842H).

Murid-Murid

Bilangan murid yang datang untuk belajar dan mengambil manfaat daripada Imam al-Mahalli tidak terbilang banyaknya. Di sebutkan di sini sebahagiannya:

1 – Abu al-Fida’ Ibn Jama’ah (m. 861H).

2 – Kamaluddin al-Tarabulusi (m. 877H).

3 – Ibnu Qadhi ‘Ajlun (m. 876H).

4 – Ibnu Kumail (m. 887H).

5 – Sibt Ibn Hajar al-Asqalani (m. 899H).

6 – Ibnu al-Farra’ (m. 897H).

7 – Syarafuddin al-Qabani (m. 900H).

8 – Al-Sakhawi (m. 902H).

9 – Jalaluddin al-Suyuti (m. 911H).

10 – Al-Syarif al-Samhudi (m. 911H).

11 – Ali al-Asymuni (m. 918H).

12 – Ibnu Abi Syarif (m. 923H).

13 – Al-Samhudi (m. 866H).

14 – Ibnu ‘Utaif (lahir 812H).

15 – Ibnu ‘Arab (lahir 831H).

16 – Al-Sinbati.

17 – Abu Bakar al-Zahiri (lahir 850H).

18 – Al-Absyihi.

19 – Syihabuddin al-Khanki.

20 – Ibnu al-Harsh (m. 874H).

21 – Zainuddin al-Sintawi (m. 896H).

22 – Al-Jaujari (m. 887H).

23 – Sirajuddin al-Nawawi.

Penulisan

Imam al-Mahalli telah menghasilkan penulisan yang berkualiti sehingga para ulama di zamannya berusaha untuk mendapatkannya serta membaca dan mengajarkannya. Mereka juga berusaha untuk menyalin dan menyebarkannya ke negara-negara Islam yang lain. Begitu juga karya penulisan beliau dikhidmati oleh para ulama selepas beliau dengan menulis syarah dan hashiyah ke atasnya. Berikut adalah senarai kitab-kitab hasil karya beliau:

1 – Al-Anwar al-Madhiyyah Fi Madh Khair al-Bariyyah. Syarah kepada Burdah Imam al-Busiri.

2 – Syarah al-Jam' al-Jawami' Fi al-Usul atau diterbitkan pada hari ini dengan nama Al-Badr al-Tali’ Fi Halli Jam’ al-Jawami’

Kitab ini merupakan syarah kepada kitab Jam’ al-Jawami’ karangan Imam Tajuddin al-Subki. Diselesaikan penulisannya pada tahun 824 H. Kitab ini sangat mendapat sambutan di kalangan ulama sehingga mereka meminta Imam al-Mahalli untuk membaca dan mengajarkan kepada mereka. Kitab ini dianggap sebagai antara syarah yang utama bagi Jam’ al-Jawami’ sehingga kitab ini dijadikan sebagai silibus usul fiqh di al-Azhar dan di pusat-pusat pengajian yang lain serta ditulis beberapa hashiah ke atasnya.

3 – Tafsir al-Quran yang terkenal dengan nama Tafsir al-Jalalain. Imam al-Mahalli menafsirkan surah al-Fatihah kemudian beliau menafsirkan bermula surah al-Kahfi sehingga akhir al-Quran. Kemudian beliau meninggal dunia tanpa sempat menyempurnakannya. Lalu murid beliau, al-Suyuti menyempurnakannya bermula surah al-Baqarah sehingga surah a-Israk.

3 – Hashiyah ke atas Jawahir al-Bahrain karangan al-Isnawi. Tidak sempat disempurnakan.

4 – Hashiyah ke atas Syarah Jami’ al-Mukhtasarat berkenaan furuk mazhab al-Syafi'e karangan Ahmad bin 'Umar al-Nasya'ie

5 – Syarah al-I’rab ‘An Qawa’id al-I’rab karangan Ibnu Hisyam. Tidak sempat disempurnakan.

6 – Syarah al-Syamsiyyah dalam ilmu mantik. Tidak sempat disempurnakan.

7 – Syarah al-Waraqat karangan Imam al-Haramain al-Juwaini dalam ilmu usul fiqh.

8 – Syarah Tashil al-Fawaid karangan Ibnu Malik. Tidak sempat disempurnakan.

9 – Syarah Maqsurah Ibnu Hazim.

10 – Sebuah kitab berkenaan jihad.

11 – Kanz al-Zakhair Fi Syarah al-Taiyyah. Syarah kepada al-Taiyyah karangan Imam Taqiyuddin al-Subki berkenaan sirah.

12 – Kanz al-Raghibin Syarah Minhaj al-Talibin. Syarah kepada kitab Minhaj al-Talibin karangan Imam al-Nawawi. Diselesaikan pada tahun 860H. Kitab ini juga banyak ditulis hashiyah  ke atasnya oleh para ulama dan diajarkan di al-Azhar. 

Menurut pentahqiq kitab Syarah al-Minhaj terbitan Dar al-Dhiya’, menamakan kitab ini sebagai Kanz al-Raghibin adalah silap kerana Imam al-Mahalli tidak menamakannya sebagaimana kebanyakan kitab-kitab lain karangan beliau yang juga tidak dinamakan. Nama kitab ini juga tidak disebutkan oleh murid-murid beliau dan para ulama yang menulis hashiyah ke atas kitab ini. Hanya dalam sebahagian kecil manuskrip yang ditulis agak terkemudian yang menuliskan namanya sebagai Kanz al-Raghibin, itupun hanya ditulis di bahagian tepi manuskrip dan bukan di bahagian tengah sebagaimana kebiasaaan penulis manuskrip ketika menulis nama kitab. 

Orang pertama yang dikesan menyebutkannya sebagai Kanz al-Raghibin ialah Haji Khalifah dalam Kasyf al-Zunun ketika menyenaraikan syarah-syarah Minhaj al-Talibin. Penamaan itu lalu diikuti oleh orang lain. Namun dalam terbitan terbaru bagi kitab Kasyf al-Zunun yang ditahqiq oleh Dr Basyar 'Awadh Ma'ruf tidak terdapat penamaan tersebut. Tidak dipastikan mengapa penamaan tersebut digugurkan. Mungkin pentahqiq berpendapat penamaan tersebut bukan daripada tulisan Haji Khalifah sebaliknya berasal dari penyalin atau penerbit kitab Kasyf al-Zunun. Wallahu a'lam.

Terbitan Dar al-Minhaj (kiri) dan Dar al-Dhiya' (kanan)

13 – Mukhtasar al-Tanbih.

14 – Is’af al-Qasidin Li Fahm al-Syihab al-Zahid atau namanya juga, al-Mahid Fi Masail al-Zahid. Syarah kitab al-Sittin al-Masalah karangan Syeikh Ahmad bin Sulaiman al-Zahid dalam ilmu fiqh mazhab al-Syafi’e. Menurut pentahqiq kitab Syarah al-Minhaj terbitan Dar al-Dhiya’, kitab ini sebenarnya bukan karya Imam Jalaluddin al-Mahalli sebaliknya Nuruddin al-Mahalli.

15 – Risalah Fi al-Jahr Bil Basmalah. Kitab ini disyarahkan oleh Syeikh Yusuf bin Mustafa al-Sowi (m. 1241H).

16 – Risalah Fi Lailatul Qadr.

17 – Al-Fatawa.

18 – Mabda’ al-Nil ‘Ala al-Tahrir atau namanya al-Qaul al-Mufid Fi al-Nil al-Sa’id. Risalah yang ditulis untuk membincangkan sumber asal air sungai Nil.

Pujian Ulama

Muridnya, al-Sakhawi memujinya dengan berkata: “Beliau seorang imam, sangat alim, muhaqqiq, sangat tajam pemikirannya, sangat bijak dan mempunyai pemikiran yang sempurna. Sehingga sebahagian ulama berkata: Pemikirannya dapat menembusi berlian. Beliau juga pernah berkata tentang dirinya: Pemahamanku tidak akan salah. Beliau juga sangat genius dan mahir berbahas. Sehingga diceritakan kepadaku bahawa Imam al-Kamiliyyah melihat al-Wana’ie berbincang bersamanya seperti seorang budak bersama gurunya.”

Ibnu al-‘Imad menyifatkan beliau sebagai seorang yang menakjubkan dari segi kebijaksanaan dan kefahaman sehinggakan mengelarkan beliau sebagai Taftazani Arab kerana hendak menyamakan beliau dengan Sa’duddin al-Taftazani dari segi keluasan ilmunya dalam ilmu-ilmu ‘aqliyyah.

Meskipun beliau disifatkan sebagai seorang yang sangat bijak namun beliau juga menghadapi masalah untuk menghafal. Al-Suyuti menceritakan: “Beliau tidak mampu untuk menghafal. Pernah suatu ketika beliau ingin menghafal beberapa helaian kertas daripada sebahagian kitab lalu badan beliau menjadi panas.”

Pekerjaan

Beliau pernah ditawarkan untuk menjadi al-Qudhah al-Akbar (ketua hakim) namun beliau menolak dengan berkata: “Aku tidak mampu menahan api neraka.”

Beliau juga pernah mengajar ilmu fiqh di Madrasah al-Barquqiyyah bagi mengantikan tempat al-Syihab al-Kurani.

Selain itu beliau juga pernah ditugaskan mengajar di Madrasah al-Muayyadiyyah selepas kematian Ibnu Hajar al-Asqalani.

Kewafatan

Pada pertengahan bulan Ramadan tahun 863H beliau ditimpa penyakit ciri birit. Penyakit beliau berlarutan sehinggalah beliau meninggal dunia pada waktu subuh hari sabtu awal tahun 864H.

Jenazah beliau disolatkan di Musolla Bab al-Nasr dan dihadiri oleh ramai orang. Jenazah beliau lalu dikebumikan di perkuburan keluarga beliau.

Semoga Allah merahmati Imam al-Mahalli.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan