Sabtu, 23 September 2023

10 Hadis Kelebihan Solat Dhuha


 Hadis Pertama

يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلَامَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ، فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ، وَنَهْيٌ عَنْ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ، وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنْ الضُّحَى.

“Bagi setiap sendi salah seorang daripada kamu terdapat sedekah (yang perlu dikeluarkan). Maka setiap tasbih (Subhanallah) itu adalah sedekah, setiap tahmid (Alhamdulillah) itu adalah sedekah, setiap takbir (Allahuakbar) itu adalah sedekah, menyuruh berbuat perkara yang baik adalah sedekah, melarang daripada perkara yang mungkar adalah sedekah. Dan semua itu cukup (terlaksana sedekahnya) dengan dua rakaat daripada solat dhuha yang telah didirikan oleh seseorang itu.”

Takhrij Hadis:

Riwayat Muslim (no. 720) daripada hadis Abu Zar.

Pengajaran Hadis:

1 - Galakan untuk bersedekah sebagai tanda syukur atas atas nikmat kesihatan dan kesejahteraan tubuh badan yang dikurniakan oleh Allah.

2 - Kelebihan amalan tasbih, tahmid, takbir dan amar makruf nahi mungkar.

3 - Kelebihan memelihara solat Dhuha yang dua rakaat daripadanya sudah cukup dan memadai bagi pelakunya daripada melaksanakan semua amalan yang telah disebutkan itu.

Hadis Kedua

مَنْ صَلَّى الضُّحَى ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً بَنَى اللَّهُ لَهُ قَصْرًا مِنْ ذَهَبٍ فِي الجَنَّةِ.

“Sesiapa yang solat Dhuha sebanyak 12 rakaat, Allah akan membina sebuah istana daripada emas baginya di dalam syurga.”

Takhrij Hadis:

Riwayat al-Tirmizi (no. 473) dan Ibnu Majah (no. 1380) daripada hadis Anas bin Malik. Sanad hadis ini daif kerana terdapat perawi bernama Musa bin Fulan bin Anas, dia adalah majhul (tidak dikenali).

Pengajaran Hadis:

1 - Besar ganjaran bagi orang yang istiqamah melaksanakan 12 rakaat solat Dhuha bahawa disediakan baginya sebuah istana di syurga yang dibina daripada emas.

2 -  Sebahagian ulama berpendapat bahawa jumlah rakaat yang maksimum bagi solat Dhuha adalah 12 rakaat kerana berpegang dengan hadis ini. Sebahagian ulama lain pula berpandangan bahawa  8 rakaat adalah jumlah yang terbanyak kerana berpegang dengan hadis yang lain. Menurut Imam al-Nawawi dalam kitab Raudhah al-Talibin, yang paling afdal adalah 8 rakaat, yang paling banyak adalah 12 rakaat dan diberi salam pada setiap 2 rakaat.

Hadis Ketiga

Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata:

 أَوْصَانِي خَلِيلِي بِثَلَاثٍ لا أَدَعُهُنَّ حَتَّى أَمُوتَ: صَوْمِ ثَلاثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَصَلاةِ الضُّحَى، وَنَوْمٍ عَلَى وِتْرٍ.

 “Kekasihku (Rasulullah) mewasiatkan kepadaku dengan tiga perkara yang tidak akan aku tinggalkan sehingga aku mati; Puasa tiga hari pada setiap bulan, solat Dhuha, dan tidak tidur melainkan setelah mengerjakan solat witir.”

Takhrij Hadis:

Riwayat al-Bukhari (no. 1178 & 1981) dan Muslim (no. 721)

Pengajaran Hadis:

1 - Hadis ini mengandungi galakan untuk melaksanakan puasa 3 hari pada setiap bulan, solat Dhuha dan solat Witir kerana amalan tersebut merupakan wasiat Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam kepada sahabat yang rapat dengan baginda iaitu Abu Hurairah dan kepada umat Islam keseluruhannya.

2 - Galakan puasa 3 hari pada setiap bulan iaitu pada hari ke 13, 14 dan 15 yang dipanggil al-ayyam al-bidh (hari putih).

Setiap amalan kebaikan itu akan digandakan 10 kali ganda. Sesiapa yang berpuasa 3 hari pada setiap bulan, maka dalam setahun dia sudah berpuasa sebanyak 36 hari.  Apabila 36 digandakan 10 kali ganda bersamaan 360, iaitu jumlah hari dalam setahun. Oleh itu sesiapa yang berpuasa 3 hari pada setiap bulan maka baginnya pahala seolah-olah berpuasa sepanjang tahun.

3 - Sesiapa yang bimbang akan terlepas daripada melakukan solat Witir maka disunatkan dia melaksanakan solat Witir sebelum tidur. Jika dia mampu untuk bangun dari tidur di akhir malam bagi melaksanakan solat tahajud maka lebih afdal untuk dia melewatkan solat Witir.

4 - Anjuran untuk saling memberikan nasihat dan pesanan sesama umat Islam dalam melaksanakan kebaikan dan ketaatan.

Hadis Keempat

Diriwayatkan daripada Abu al-Darda’ dan Abu Zar, daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, daripada Allah tabaraka wa ta’ala, bahawa Allah berfirman (hadis Qudsi):

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ، وَأَبِي ذَرٍّ، عَنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ اللهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى أَنَّهُ قَالَ: ابْنَ آدَمَ ارْكَعْ لِي أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مِنْ أَوَّلِ النَّهَارِ أَكْفِكَ آخِرَهُ.

“Anak Adam, solatlah untukKu 4 rakaat di awal siang, Aku akan cukupkan bagimu di akhir siangmu.”

Takhrij Hadis:

Riwayat al-Tirmizi (no. 475) dan beliau berkata: “Hadis hasan gharib.”

Pengajaran Hadis:

1 - Hadis ini mengandungi janji Allah kepada orang yang melaksanakan solat Dhuha secara ikhlas semata-mata kerana Allah bahawa Dia akan mencukupkan keperluan dan hajatnya serta melindunginya dari keburukan, mudarat dan dosa sehingga penghujung waktu siang.

Hadis Kelima

لَا يُحَافِظُ عَلَى صَلَاةِ الضُّحَى إِلَّا أَوَّابٌ.

“Tidak ada yang mampu menjaga solat Dhuha melainkan golongan Awwab.”

Takhrij Hadis:

Riwayat Ibnu Khuzaimah (no. 1224), al-Tabarani dalam al-Ausath (no. 3865) dan al-Hakim (no. 1182) daripada hadis Abu Hurairah dengan sanad yang daif.

Pengajaran Hadis:

1 - Golongan Awwab adalah orang yang sering kembali kepada Allah bagi bertaubat atas maksiat dan dosa yang dilakukannya.

2 - Kelebihan orang yang mampu untuk sentiasa istiqamah melaksanakan solat Dhuha kerana mereka digolongkan sebagai orang yang sentiasa bertaubat kepada Allah.

Hadis Keenam

مَنْ حَافَظَ عَلَى شُفْعَةِ الضُّحَى، غُفِرَتْ لَهُ ذُنُوبُهُ وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ.

“Sesiapa yang menjaga 2 rakaat solat Dhuha, maka akan diampunkan baginya dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan.”

Takhrij Hadis

Riwayat Ahmad (no. 9716), al-Tirmizi (no. 476) dan Ibnu Majah (no. 1382) daripada hadis Abu Hurairah dengan sanad yang daif.

Pengajaran Hadis:

1 - Pengampunan dosa-dosa kecil walaupun sebanyak buih-buih di lautan bagi orang yang istiqamah melaksanakan solat Dhuha.

Hadis Ketujuh

مَنْ قَعَدَ فِي مُصَلَّاهُ حِينَ يُصَلِّي الصُّبْحَ حَتَّى يُسَبِّحَ الضُّحَى، لَا يَقُولُ إِلَّا خَيْرًا غُفِرَتْ لَهُ خَطَايَاهُ، وَإِنْ كَانَتْ أَكْثَرَ مِنْ زَبَدِ الْبَحْرِ.

“Sesiapa yang duduk di tempat solatnya setelah dia mengerjakan solat subuh lalu dia mengerjakan pula solat Dhuha dan dia tidak ada berkata-kata melainan yang baik-baik sahaja, maka akan diampunkan dosa-dosanya walaupun lebih banyak daripada buih di lautan.”

Takhrij Hadis:

Riwayat Ahmad (no. 15623) dan Abu Daud (no. 1287) daripada hadis Mu’az bin Anas al-Juhani dengan sanad yang daif.

Pengajaran Hadis:

1 - Kelebihan orang yang tetap kekal di tempat solatnya setelah dia melaksanakan solat Subuh untuk dia berzikir kepada Allah dan tidak bercakap perkara-perkara yang lagha sehinggalah dia melaksanakan solat Dhuha setelah terbit matahari.

2 - Solat Dhuha salah satu amalan penghapusan dosa-dosa kecil walaupun banyak jumlahnya seumpama banyaknya buih di lautan.

Hadis Kelapan

مَنْ صَلَّى الْغَدَاةَ فِي جَمَاعَةٍ، ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ، كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ، وَعُمْرَةٍ، تَامَّةٍ، تَامَّةٍ، تَامَّةٍ.

“Sesiapa yang solat subuh secara berjemaah lalu dia duduk untuk mengingati Allah sehinggalah terbit matahari, kemudian dia solat 2 rakaat, maka baginya seperti pahala haji dan umrah yang sempurna, sempurna, sempurna.”

Takhrij Hadis:

Riwayat  al-Tirmizi (no. 586) daripada hadis Anas bin Malik. Kata al-Tirmizi: “Hadis ini hasan gharib.”

Pengajaran Hadis:

1 - Galakan untuk duduk di masjid setelah solat subuh untuk berzikir kepada Allah sehingga sampai waktu terbit matahari lalu diikuti dengan solat sunat Dhuha.

2 - Besarnya pahala orang yang mampu melaksanakan amalan ini seolah-olah pahala menunaikan haji dan umrah.

3 - Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam mengulang perkataan sempurna sebanyak tiga kali sebagai satu bentuk penegasan.

Hadis Kesembilan

مَنْ خَرَجَ مِنْ بَيْتِهِ مُتَطَهِّرًا إِلَى صَلَاةٍ مَكْتُوبَةٍ فَأَجْرُهُ كَأَجْرِ الْحَاجِّ الْمُحْرِمِ، وَمَنْ خَرَجَ إِلَى تَسْبِيحِ الضُّحَى لَا يَنْصِبُهُ إِلَّا إِيَّاهُ فَأَجْرُهُ كَأَجْرِ الْمُعْتَمِرِ، وَصَلَاةٌ عَلَى أَثَرِ صَلَاةٍ لَا لَغْوَ بَيْنَهُمَا كِتَابٌ فِي عِلِّيِّينَ.

“Sesiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci untuk melaksanakan solat fardu, maka pahalanya seperti seorang yang melaksanakan haji dalam keadaan berihram.

Sesiapa yang keluar untuk melaksanakan solat Dhuha dan tidaklah dia keluar melainkan semata-mata untuk solat  maka pahalanya seperti orang yang melaksanakan umrah.

Dan melakukan solat setelah selesai satu solat sebelumnya serta tidak ada perbualan yang lagha di antara keduanya maka akan ditulis di ‘illiyyin (tempat simpanan catatan amalan).”

Takhrij Hadis:

Riwayat Ahmad (no. 22304) dan Abu Daud (no. 558) daripada hadis Abu Umamah. Imam al-Nawawi dalam kitab Khulasah al-Ahkam mengatakan sanadnya sama ada sahih atau hasan.

Pengajaran Hadis:

1 - Kelebihan keluar menuju ke masjid untuk menunaikan solat bahawa pahalanya seolah-olah menyamai orang yang melaksanakan haji dan umrah.

2 - Keutamaan istiqamah dalam melakukan kebaikan. Setelah selesai melakukan satu amalan baik diikuti amalan baik yang lain pula.

3 - Galakan untuk menjaga lisan daripada berbicara perkara yang sia-sia dan tidak berfaedah.

4 -  Tingginya amalan dan darjat orang yang mampu melaksanakan amalan-amalan ini di sisi Allah.

Hadis Kesepuluh

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عُمَرَ قَالَ: لَقِيتُ أَبَا ذَرٍّ فَقُلْتُ: يَا عَمِّ، أَقْبِسْنِي خَيْرًا، فَقَالَ: سَأَلْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَمَا سَأَلْتَنِي، فَقَالَ:

"إِنْ صَلَّيْتَ الضُّحَى رَكْعَتَيْنِ لَمْ تُكْتَبْ مِنَ الْغَافِلِينَ، وَإِنْ صَلَّيْتَهَا أَرْبَعًا كُتِبتَ مِنَ الْمُحْسِنِينَ، وَإِنْ صَلَّيْتَهَا سِتًّا كُتَبْتَ مِنَ الْقَانِتِينَ، وَإِنْ صَلَّيْتَهَا ثَمَانِيًا كُتَبْتَ مِنَ الْفَائِزِينَ، وَإِنْ صَلَّيْتَهَا عَشْرًا لَمْ يُكْتَبْ لَكَ ذَلِكَ الْيَوْمَ ذَنْبٌ، وَإِنْ صَلَّيْتَهَا ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً بَنَى اللهُ لَكَ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ."

Daripada Abdullah bin ‘Umar, beliau berkata:

Aku bertemu dengan Abu Zar lalu aku berkata kepadanya: Wahai pak cik, ajarkan kepadaku kebaikan. Beliau lalu berkata: Aku telah bertanya kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang telah engkau tanya kepadaku. Baginda bersabda:

“Jika engkau solat Dhuha dua rakaat maka engkau tidak digolongkan di kalangan orang yang lalai. 

Jika engkau solat Dhuha empat rakaat  maka engkau digolongkan di kalangan orang yang berbuat kebaikan. 

Jika engkau solat Dhuha enam rakaat maka engkau digolongkan di kalangan orang yang taat kepada Allah. 

Jika engkau solat Dhuha lapan rakaat maka engkau digolongkan di kalangan orang yang berjaya. 

Jika engkau solat Dhuha sepuluh rakaat  maka tidak akan ditulis dosa bagimu pada hari tersebut. 

Jika engkau solat Dhuha dua belas rakaat  maka Allah akan membina bagimu rumah di syurga.

Takhrij Hadis:

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (no. 4969). Hadis ini didaifkan oleh al-Baihaqi.

 Pengajaran Hadis:

1 – Kelebihan orang yang mampu memperbanyakkan rakaat solat Dhuha. Bagi setiap dua rakaat tersebut mempunyai kelebihan yang tersendiri.

2 – Hadis ini juga menjadi dalil sebahagian ulama yang berpendapat rakaat terbanyak bagi solat Dhuha adalah 12 rakaat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan