Hadis Pertama
مَنْ يُرِد اللَّه بِهِ خيْراً يُفَقِّهْهُ في
الدِّينِ.
“Sesiapa yang Allah inginkan kebaikan baginya Allah akan
fahamkan dia dalam ilmu agamanya.”
Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada hadis Mu’awiyyah.
Pengajaran Hadis:
1 - Hadis ini menunjukkan keutamaan ilmu dan kefahaman dalam
agama serta galakan untuk mencapainya, kerana ia menjadi pemandu kepada
ketakwaan kepada Allah.
2 - Hadis ini juga menegaskan bahawa kebaikan diberikan
kepada sesiapa yang mendalami agama Allah dan ia bukan hanya boleh diperoleh
melalui usaha semata-mata, tetapi juga merupakan anugerah daripada Allah kepada
sesiapa yang Allah bukakan pintu kefahaman agama kepadanya.
3 - Kefahaman dalam ilmu agama bermaksud mempelajari
asas-asas Islam, mengetahui perkara halal dan haram, memahami al-Quran dan
sunnah, serta hukum-hakam syariat, akidah dan akhlak.
4 - Maksud tersirat daripada hadis ini ialah sesiapa yang
tidak mendalami ilmu agama, iaitu tidak mempelajari asas-asas Islam dan
cabang-cabang yang berkaitan dengannya, maka dia telah terhalang daripada
kebaikan. Ini menunjukkan dengan jelas keutamaan para ulama berbanding orang lain,
serta keutamaan ilmu agama berbanding ilmu-ilmu lain. Sesungguhnya kefahaman
dalam agama hanya diberikan kepada sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan yang
besar baginya.
5 - Sekumpulan ulama yang memberi perhatian kepada tazkiyah
al-nafs (penyucian jiwa) berkata: "Seseorang itu tidak dianggap
sebagai faqih (orang yang mendalam ilmunya) melainkan dia mengamalkan apa yang
dia ketahui." Al-Qadhi Ibn al-'Arabi berkata: "Mereka benar
kerana sesiapa yang tidak mengamalkan ilmu yang diketahuinya tentang perkara
yang membawa kepada keselamatan dan pembebasannya (di akhirat), maka dia
sebenarnya tidak memahami." Para salaf (generasi terdahulu)
tidak akan menggelar seseorang itu sebagai berilmu melainkan dia mengamalkan
ilmu tersebut.
Hadis Kedua
مَنْ خَرَجَ في طَلَبِ العِلْمِ فَهُوَ في سَبيلِ
اللهِ حَتَّى يَرْجِعَ.
“Sesiapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka dia berada
di jalan Allah sehinggalah dia kembali (ke tempat asalnya).”
Riwayat al-Tirmizi daripada hadis Anas bin Malik. Kata al-Tirmizi:
“Hadis ini hasan gharib.”
Huraian Hadis:
1 - Maksud ‘jalan Allah’ iaitu dalam melakukan ketaatan
kepada Allah.
Pengajaran Hadis:
1 - Menuntut ilmu adalah sebuah jihad di jalan Allah.
2 - Menuntut ilmu disamakan dengan jihad kerana kedua-duanya
adalah sebuah usaha untuk menghidup dan mempertahankan agama Islam, selain
untuk menghinakan syaitan, memenatkan jiwa dan mengekang hawa nafsu serta
kesenangan.
3 - Orang yang pulang dari menuntut ilmu lalu mengajar akan
mendapat pula ganjaran mengajar dan juga ganjaran jihad yang telah
dilaksanakan. Pada waktu itu dia memiliki darjat yang lebih tinggi kerana
ketika itu dia adalah pewaris para Nabi dalam menyempurnakan orang-orang yang
kurang ilmunya.
4 - Sesiapa yang meninggal dunia ketika sedang menuntut
ilmu, maka baginya pahala seumpama orang mati syahid.
5 - Dibenarkan untuk memberi zakat kepada penuntut ilmu jika
dia miskin dan ia dikira sebagai sebahagian daripada asnaf ‘fi sabilillah’ (di
jalan Allah).
6 – Imam al-Ghazali berkata: “Apa yang disebutkan ini dan
juga hadis-hadis sebelumnya merangkumi ilmu yang bermanfaat, iaitu ilmu yang
menambah rasa takut kepada Allah, menjadikan seseorang zuhud terhadap dunia,
dan mengurangkan keinginan terhadapnya. Setiap ilmu yang tidak mengajakmu
daripada dunia menuju akhirat, maka kejahilan adalah lebih baik baginya. Maka,
mohonlah perlindungan kepada Allah daripada ilmu yang tidak bermanfaat.”
Hadis Ketiga
الْعَالِمُ وَالْمُتَعَلِّمُ شَرِيكَانِ فِي
الْأَجْرِ، وَلَا خَيْرَ فِي سَائِرِ النَّاسِ بعد.
“Orang alim dan penuntut ilmu sama-sama dalam mendapat
pahala dan tidak ada kebaikan pada manusia yang lain.”
Riwayat Ibnu Majah daripada hadis Abu al-Darda’ dengan sanad
yang daif.
Pengajaran Hadis:
1 - Orang alim dan penuntut ilmu itu sama-sama mendapat pahala
kerana kedua-duanya termasuk dalam golongan orang yang Allah kehendaki kebaikan
baginya, di mana Allah telah memudahkan ilmu baginya. Orang alim dimudahkan dengan
menyebarkannya di kalangan manusia dan penuntut ilmu dimudahkan dengan menuntut
ilmu sehingga dia mendapat petunjuk daripadanya dan memimpin manusia ke arah
petunjuk tersebut.
2 - Tidak ada kebaikan bagi manusia yang tidak terlibat
dengan ilmu, sama ada mempelajarinya atau mengajarkannya. Maksud kebaikan di
sini ialah kebaikan yang khusus, iaitu kebaikan yang diperolehi oleh para ulama
disebabkan ilmu mereka. Adapun kebaikan mutlak yang diperolehi oleh mana-mana
orang mukmin dengan keimanannya dan amal solehnya, maka ia tidak dimaksudkan di
sini. Sesiapa yang tidak mempunyai kefahaman agama dan tidak pula menuntutnya,
maka tiada kebaikan baginya. Orang yang tidak mendapat kebaikan ilmu itu disamakan
dengan tidak mempunyai kebaikan secara mutlak.
3 - Sebahagian ulama berkata: Maksud sabda Nabi ‘tidak ada
kebaikan pada manusia yang lain’ ialah tiada kebaikan yang sempurna pada golongan
manusia selain daripada orang alim dan penuntut ilmu. Ini kerana seluruh
kebaikan terletak pada ilmu dan ahlinya. Maka sesiapa yang tidak berusaha
mendapatkan ilmu sedangkan dia mampu untuk memperolehnya, tiada kebaikan pada
dirinya, bahkan dia tidak dianggap sebagai sebahagian daripada manusia.
Ini kerana keistimewaan yang membezakan manusia daripada
haiwan adalah ilmu dan amal. Seorang manusia dianggap manusia kerana
kemuliaannya yang terletak pada ilmu dan amal, bukan kerana kekuatan tubuhnya
Hadis Keempat
مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَبْتَغِي فِيهِ عِلْمًا
سَهَّلَ اللهُ لَهُ طَريقًا إِلَى الجَنَّةِ، وَإنَّ المَلاَئِكَةَ لَتَضَعُ
أجْنِحَتَهَا لِطَالِبِ العِلْمِ رِضًا بِمَا يَصْنَعُ، وَإِنَّ طَالِبَ الْعِلْمِ
يَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ حَتَّى الْحِيتَانِ فِي
الْمَاءِ.
“Sesiapa yang menempuhi satu jalan untuk menuntut ilmu,
Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga. Sesungguhnya malaikat
merendahkan sayapnya bagi penuntut ilmu kerana reda dengan apa yang dilakukan
oleh penuntut ilmu tersebut. Sesungguhnya penuntut ilmu itu akan dimohonkan ampun
oleh makhluk yang ada di langit dan di bumi, sehinggakan ikan-ikan di dalam
air."
Riwayat Ibnu Majah daripada hadis Abu al-Darda’.
Huraian Hadis:
1 - Maksud ‘malaikat merendahkan sayapnya’ dapat difahami
secara hakiki walaupun perbuatan meletakkan itu tidak dapat disaksikan iaitu malaikat
membentangkan sayapnya supaya menjadi alas untuknya ketika dia berjalan atau
menahan sayapnya daripada terbang dan turun untuk berada bersama-sama di
majlis-majlis ilmu. Merendahkan sayap itu juga boleh difahami secara majaz
(kiasan) iaitu sifat tawaduk (merendah
diri) malaikat yang merendah diri terhadap penuntut ilmu dan memuliakan mereka.
2 - Makhluk di langit iaitu malaikat dan makhluk di bumi
akan memohon daripada Allah Ta'ala agar mengampuni penuntut ilmu sebagai
menunaikan haknya dan sebagai balasan atas kebaikan usahanya. Pemohonan makhluk
di langit dan bumi itu adalah ilham daripada Allah Ta'ala kepada mereka untuk
berbuat demikian.
Malaikat yang ada di langit juga mendoakan penuntut ilmu
kerana mereka hanya dikenali dan dimuliakan kerana orang-orang yang berilmu
yang memperkenalkan dan mengajar tentang mereka kepada manusia. Makluk di bumi
pula mendoakan penuntut ilmu kerana kelangsungan hidup dan kebaikan mereka
terikat dengan pandangan dan fatwa para ulama. Orang alimlah yang mengajarkan
manusia cara untuk menjaga makhluk-makhluk ini, memperkenalkan kepada mereka
apa yang halal dan haram berkaitan haiwan, serta menjelaskan cara yang betul
untuk memanfaatkan haiwan-haiwan tersebut – baik dari segi cara memakannya,
menggunakannya, menunggangnya, atau mengambil manfaat darinya. Orang alim juga
mengajarkan cara menyembelih haiwan dengan cara terbaik yang penuh belas
kasihan dan lembut terhadap haiwan itu.
Selain itu, orang alim adalah manusia yang paling penyayang
terhadap haiwan dan paling bertanggungjawab dalam menjelaskan tujuan penciptaan
haiwan oleh Allah. Secara ringkas, sifat kasih sayang dan ihsan yang menjadi
tujuan penciptaan haiwan serta hak-hak yang telah ditetapkan untuk mereka,
hanya dapat diketahui melalui ilmu. Maka, orang alim yang memperkenalkan ilmu
ini layak untuk mendapat doa keampunan daripada haiwan-haiwan tersebut.
Oleh kerana itu, dikatakan: Tidak ada sesuatu pun daripada
makhluk yang wujud, sama ada yang hidup atau yang mati, melainkan ia mempunyai
maslahat (kebaikan) yang berkaitan dengan ilmu.
3 - Ikan disebut secara khusus untuk menolak sangkaan bahawa
‘makhluk yang ada di bumi tidak merangkumi makhluk yang ada di laut atau ia
adalah pengkhususan selepas pengkhususan, dengan maksud ikan-ikan itu ialah
semua haiwan di laut, dan ia lebih banyak daripada alam-alam di darat, seperti
yang dikatakan. Dan ada yang mengatakan selain daripada itu tentang sebab
pengkhususan tersebut, yang mana ia perlu diteliti.
Sebahagian ulama berkata: Ikan-ikan dikhususkan
penyebutannya kerana ia tidak mempunyai lidah, dan makhluk yang tidak mempunyai
lidah mungkin disangka tidak memohon ampun untuk penuntut ilmu, berbeza dengan
haiwan lain, kerana walaupun ia kecil, ia mempunyai lidah.
4 - Menuntut ilmu adalah salah satu cara untuk mudah masuk
ke syurga. Dalam hadis ini terdapat isyarat bahawa jalan ke syurga itu terhad
pada jalan-jalan ilmu kerana syurga itu adalah balasan amal soleh dan amal
soleh tidak dapat dibayangkan dan tidak dapat direalisasikan tanpa ilmu.
5 - Galakan supaya memuliakan penuntut ilmu dan bersikap
tawaduk terhadap mereka.
Hadis Kelima
طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ.
“Menuntut ilmu wajib ke atas setiap muslim.”
Riwayat Ibnu Majah daripada hadis Anas bin Malik. Hadis ini
dinilai sebagai hasan oleh al-Hafiz al-Mizzi kerana sanadnya yang banyak.
Pengajaran Hadis:
1 - Para ulama berbeza pendapat tentang maksud ilmu yang
dimaksudkan dalam hadis tersebut. Pendapat yang paling tepat ialah ilmu yang
wajib dipelajari oleh seorang manusia dan ilmu tersebut tidak boleh diabaikan.
Contohnya, apabila seseorang memeluk Islam, dia wajib mengetahui tentang
Pencipta (Allah), sifat-sifat-Nya, kerasulan Nabi-Nya, dan perkara-perkara lain
yang menjadikan keimanannya sah.
Kemudian, apabila tiba waktu solat, dia wajib mempelajari
hukum-hukum solat sebelum masuk waktu yang mencukupi untuk belajar dan
melaksanakan solat tersebut. Begitu juga, apabila datang bulan Ramadan, dia
wajib mempelajari hukum-hukum puasa, dan apabila memiliki harta yang mencapai
nisab, dia wajib mempelajari hukum-hukum zakat. Jika dia meninggal dunia
sebelum sempat mempelajari ilmu-ilmu tersebut, dia tidak dianggap berdosa.
Begitu juga, apabila seseorang berkahwin, dia wajib
mempelajari ilmu berkaitan haid, nifas, dan perkara-perkara yang berkaitan
dengannya. Jika dia seorang peniaga, maka dia wajib mempelajari ilmu berkaitan
jual beli. Dan berdasarkan kaedah ini, kewajipan ilmu ditentukan mengikut
keadaan dan keperluan seseorang.
Begitu juga, apabila seseorang telah memeluk Islam dan mula
mengamalkan hukum-hukumnya, serta melaksanakan ketaatan dan ibadah, maka wajib
baginya mempelajari ilmu tentang keikhlasan, mengenali penyakit-penyakit hati,
dan perkara-perkara yang merosakkan amalan. Ini juga merupakan kewajipan agar
imannya menjadi sempurna.
2 - Menuntut ilmu agama adalah fardu atas setiap orang Islam
yang mukallaf sama ada lelaki mahupun wanita. Oleh itu orang yang tidak
mukallaf seperti kanak-kanak yang belum baligh dan orang gila tidak diwajibkan
menuntut ilmu agama.
3 - Walaupun dalam hadis hanya menyebut muslim (lelaki)
tetapi ia juga merangkumi muslimah (wanita). Sebahagian ulama menyebutkan hadis
tersebut dengan tambahan ‘muslimah’ di hujungnya, tetapi menurut al-Hafiz
al-Sakhawi ia tidak ada dalam mana-mana riwayat walaupun maknanya adalah benar.
Hadis Keenam
أَلَا إِنَّ الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ مَلْعُونٌ مَا
فِيهَا إِلَّا ذِكْرُ اللَّهِ وَمَا وَالَاهُ وَعَالِمٌ أَوْ مُتَعَلِّمٌ.
“Ketahuilah, sesungguhnya dunia itu dilaknat dan dilaknat
apa yang ada di dalamnya melainkan zikir kepada Allah dan apa yang dicintai
oleh Allah, orang alim dan penuntut ilmu.”
Riwayat al-Tirmizi daripada hadis Abu Hurairah. Kata al-Tirmizi:
“Hadis ini hasan gharib.”
Huraian Hadis:
1 - Maksud ‘dunia’ di sini ialah setiap perkara yang
membuatkan manusia sibuk dan jauh daripada Allah seperti kemaksiatan,
kemungkaran dan syahwat.
2 - Maksud ‘dilaknat’
ialah dimurkai dan dicela oleh Allah. Dunia ini dilaknat kerana ia telah
memperdaya jiwa-jiwa manusia dengan keindahan dan kelazatannya dan telah
memalingkan mereka daripada pengabdian kepada Allah kepada mengikut hawa nafsu
sehingga mereka mengambil jalan yang menyimpang daripada petunjuk yang benar.
3 - Maksud ‘apa yang dicintai oleh Allah’ iaitu ketaatan
kepada Allah dan amalan baik yang mendekatkan diri kepada Allah.
Pengajaran Hadis:
1 - Penjelasan tentang kelebihan ilmu dan para penuntut
ilmu, kerana ia adalah perkara yang dikecualikan daripada dunia yang terlaknat.
1 - Harus untuk melaknat setiap perkara yang membuat manusia
jauh daripada Allah dan mengganggu daripada mengingatiNya.
2 - Mengetahui nilai dunia bahawa tidak ada kebaikan padanya
dan setiap perkara keduniaan ini adalah hiburan dan mainan kecuali apa yang
mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala daripada zikir dan ilmu.
3 - Orang yang berilmu dan penuntut ilmu berada di atas
jalan keselamatan. Oleh itu, hendaklah seorang mukmin itu berusaha untuk
menjadi orang yang berilmu, atau penuntut ilmu, atau pendengar ilmu, dan
janganlah menjadi orang yang jahil, kelak dia akan binasa. Menuntut ilmu dan
mengajarkannya itu merupakan salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah dan
terselamat daripada kemurkaannya.
Hadis Ketujuh
مَنْ جَاءَهُ الْمَوْتُ وَهُوَ يَطْلُبُ الْعِلْمَ
لِيُحْيِيَ بِهِ الإِسْلَامَ فَبَيْنَهُ وَبَيْنَ النَّبِيِّينَ دَرَجَةٌ
وَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ.
“Sesiapa yang didatangi maut ketika dia sedang menuntut ilmu
untuk menghidupkan Islam, maka antara dia dan para Nabi hanya berbeza satu
darjat di dalam syurga.”
Riwayat al-Darimi daripada al-Hasan al-Basri secara mursal
(daif).
Pengajaran Hadis:
1 - Kelebihan besar bagi orang yang meninggal dunia dalam
keadaan menuntut ilmu.
2 - Galakan untuk terus menuntut ilmu sehingga akhir hayat
3 - Kepentingan niat yang benar dalam menuntut ilmu iaitu
untuk menghidupkan Islam yang prinsip-prinsip dan hukum-hukumnya telah pudar maka
dibangunkannya semula. Tujuannya mencari ilmu itu bukan untuk tujuan yang rosak
seperti mencari harta atau kedudukan.
4 - Ganjaran yang tinggi bagi penuntut ilmu di syurga iaitu
hampir menyamai kedudukan para Nabi. Perkataan ‘satu darjat’ adalah satu bentuk
mubalaghah (hiperbola/penekanan) untuk menunjukkan betapa dekatnya kedudukan
mereka dengan para Nabi, oleh itu ia dikuatkan dengan perkataan ‘satu’.
Kemungkinan maksudnya bahawa penuntut ilmu ini menduduki
tempat para Nabi dalam menyampaikan ilmu dan menghidupkan agama, tetapi dia
adalah cabang dan pengikut kepada para Nabi, maka kedudukannya satu darjat di
bawah mereka.
Walau bagaimanapun, perlu difahami bahawa yang dimaksudkan
dengan darjat di sini adalah dalam konteks penyampaian ilmu dan pahalanya,
bukan dalam semua darjat dan martabat.
Hadis Kelapan
خَصْلَتَانِ لَا تَجْتَمِعَانِ فِي مُنَافِقٍ: حُسْنُ
سَمْتٍ وَلَا فِقْهٌ فِي الدّين.
“Dua sifat
yang tidak akan berkumpul pada diri seorang munafik: Perilaku yang baik dan
pemahaman tentang agama.”
Riwayat
al-Tirmizi daripada Abu Hurairah. Menurut al-Tirmizi, hadis ini gharib
dan salah seorang perawinya, Khalaf bin Ayyub adalah majhul. Namun
begitu al-Khalili berkata dalam kitab al-Irsyad tentang Khalaf bin Ayyub:
"Saduq masyhur (jujur dan terkenal), beliau disifatkan dengan as-sitr
(terjaga), as-salah (kesolehan) dan az-zuhd (zuhud)". Al-Zahabi menthiqahkannya
dalam kitab al-Kasyif dan berkata dalam kitab al-Mughni: "Sadiq
(benar/jujur)". Maka sekurang-kurangnya sanad hadis ini hasan. Jika
daif sekalipun hadis ini dapat dikuatkan dengan mursal Muhammad bin Hamzah bin
Abdullah bin Salam yang diriwayatkan oleh Ibnu al-Mubarak dalam al-Zuhd.
Kesimpulannya, hadis ini sekurang-kurangnya berstatus hasan.
Pengajaran Hadis:
1 - Dua sifat ini
tidak berkumpul pada diri seorang munafik, namun boleh jadi salah satu daripada
sifat tersebut ada padanya tanpa ada yang satu lagi atau kedua-duanya tiada
padanya, iaitu tidak terdapat satu pun daripada kedua-dua sifat tersebut
padanya.
2 - Penggunaan
perkataan ‘berkumpul’ adalah sebagai dorongan kepada orang-orang yang beriman
untuk menghimpunkan kedua-dua sifat tersebut dan sebagai larangan bagi mereka
daripada bersifat dengan salah satu daripadanya.
Al-Turibishti
berkata: "Bukanlah maksudnya bahawa salah satu daripada dua sifat ini
boleh diperolehi tanpa yang lain, tetapi ia adalah galakan kepada orang mukmin
untuk memiliki kedua-duanya dan menjauhi sifat-sifat yang berlawanan dengannya,
kerana sesungguhnya orang munafik itu kosong daripada kedua-duanya, dan ini
termasuk dalam bab taghliz (penegasan yang keras)."
3
- Munafik di sini boleh jadi secara hakiki, iaitu kemunafikan dari segi akidah
atau secara majazi (kiasan), iaitu orang yang riyak dan ini adalah
kemunafikan dari segi amalan.
4 – Orang yang
mempunyai perilaku yang baik sentiasa mencari jalan-jalan kebaikan dan
mencontohi gaya hidup orang-orang soleh sambil menjauhi segala keburukan yang
zahir dan batin.
5 - Al-Turibishti
berkata: "Hakikat fiqh dalam agama adalah apa yang tertanam dalam hati
kemudian zahir pada lisan, lalu menghasilkan amalan, dan membuahkan rasa takut
dan taqwa. Adapun orang yang mempelajari beberapa bab ilmu hanya untuk mencari
kemuliaan dan mencari makan dengannya, maka dia jauh dari martabat yang tinggi
kerana fiqhnya hanya pada lisan tanpa melibatkan hati. Berkenaan hal ini,
Ali berkata: Tetapi aku bimbangkan kamu
daripada setiap munafik yang petah lidahnya."
Sebahagian ulama
berkata: “Maksud ‘pemahaman tentang agama’ adalah ilmu yang ada dalam batinnya
(hatinya). Maka orang munafik mungkin menampilkan tingkah laku agama tanpa
memiliki kefahaman dalam batinnya dan seseorang mungkin memperoleh ilmu agama
tetapi dikalahkan oleh hawa nafsunya lalu terkeluar dari tingkah laku
orang-orang soleh. Apabila zahir (perilaku yang baik) dan batin (pemahaman
tentang agama) berhimpun, maka ternafilah kemunafikan.”
Hadis Kesembilan
لَنْ يَشْبَعَ الْمُؤْمِنُ مِنْ خَيْرٍ يَسْمَعُهُ
حَتَّى يَكُونَ مُنْتَهَاهُ الْجنَّة
"Seorang
mukmin tidak akan puas mendengar kebaikan sehinggalah dia sampai ke destinasi
akhirnya iaitu syurga"
Riwayat
al-Tirmizi daripada Abu Sa’id al-Khudri. Al-Tirmizi berkata: “Hadis hasan
gharib.”
Pengajaran Hadis:
1 – Kebaikan yang
disebutkan dalam hadis di atas ialah ilmu sebagaimana yang disebut dalam
beberapa buah hadis.
2 – Imam al-Tibi
berkata: “Keseronokan mendengar ilmu disamakan dengan keseronokan menikmati
makanan kerana makanan itu lebih diminati, lebih menyelerakan dan lebih banyak
dicari untuk mendapatkannya.”
3 - Dalam hadis
ini terdapat petunjuk bahawa seorang mukmin yang bersungguh-sungguh dalam
menuntut ilmu akan meninggal dunia dalam keadaan beriman.
4 - Galakan untuk
melakukan amalan kebajikan dan berterusan dalam melakukannya, dan di antara
yang paling mulia adalah ilmu, sama ada mempelajarinya atau mengajarkannya,
kerana ia mengawal amalan dan menjadi penentu ke atasnya.
5 -Imam Hasan bin Ali al-Fayyumi dalam Syarah
al-Targhib Wa al-Tarhib berkata:
“Seorang
mukmin tidak akan berpuas hati dengan sedikit ilmu, bahkan dia
bersungguh-sungguh dalam menimba ilmu sehingga ilmunya menjadi sebab untuk dia
memasuki syurga. Sebahagian ulama juga berkata tentang maknanya: Seorang mukmin
tidak akan kenyang daripada mendengar ilmu dan tidak berpuas hati dengan apa
yang telah diketahuinya sehingga akhir hayatnya, maka dia meninggal dunia dalam
menuntutnya (ilmu) lalu memasuki syurga dengan pahalanya. Maka, sesiapa yang
kenyang (puas dengan ilmu), dia bukanlah seorang mukmin (yang sempurna). Dan
cukuplah ini sebagai peringatan daripada rasa berpuas hati dengan ilmu (yang
sedia ada).”
Hadis Kesepuluh
مَنْ طَلَبَ الْعِلْمَ لِيُجَارِيَ بِهِ الْعُلَمَاءَ
أَوْ لِيُمَارِيَ بِهِ السُّفَهَاءَ أَوْ يصرف بِهِ وُجُوه النَّاس إِلَيْهِ أَدخل
الله النَّار
“Sesiapa yang
menuntut ilmu untuk menyaingi para ulama, atau untuk berdebat dengan
orang-orang bodoh, atau untuk menarik perhatian orang ramai kepadanya, maka
Allah akan memasukkannya ke dalam neraka.”
Riwayat
al-Tirmizi daripada Ka’ab bin Malik. Menurut al-Tirmizi, hadis ini gharib
dan dalam sanadnya ada perawi Ishaq bin Yahya bin Talhah yang tidak kuat dari
sudut ingatannya. Namun begitu, Syeikh Abdullah al-Talidi menghasankan hadis
ini kerana ada syawahid (hadis sokongan) daripada hadis Jabir, Ibnu
Umar, Huzaifah, Abu Hurairah dan riwayat Makhul secara mursal.
Pengajaran
Hadis:
1 - Dalam hadis
ini terdapat ancaman yang keras bagi mereka yang belajar untuk tujuan-tujuan
buruk ini:
a) Dia tidak
belajar melainkan untuk menentang dan berdebat dengan para ulama.
b) Untuk bersaing
dengan orang-orang bodoh dan meninggikan diri di atas mereka.
c) Untuk menarik
perhatian orang ramai kepadanya. Ini bermaksud dia menuntut ilmu dengan niat
untuk mendapatkan harta dan kemuliaan, dan untuk membuat orang awam menghadap
kepadanya, dan menjadikan mereka seperti khadam baginya, atau menjadikan mereka
memandangnya ketika dia berbicara, kagum dengan kata-katanya, berkumpul di
sekelilingnya ketika dia duduk.
Semua ini
bermaksud dia tidak mempelajarinya melainkan untuk riak dan kemasyhuran, bukan
kerana Allah.
2 - Menuntut ilmu
adalah ibadah yang agung, maka wajib bagi penuntut ilmu untuk memurnikan
niatnya dalam menuntut ilmu kerana Allah, bersungguh-sungguh melawan nafsunya,
dan menangkis bisikan dan fikiran buruk.
3 - Janganlah
belajar kerana harta, atau kerana dunia, atau kerana kemasyhuran, atau kerana
jawatan. Semua perkara ini tidak sepatutnya ada dalam fikiran penuntut ilmu.
Ilmu itu lebih mulia dan lebih tinggi daripada itu. Apa yang diberikan
kepadanya berupa ganjaran dan lain-lain yang membantunya dalam menuntut ilmu
dan menggalakkannya, maka janganlah dia mempunyai tujuan yang buruk.
Hadis Kesebelas
مَنْ تَعَلَّمَ عِلْمًا مِمَّا يُبْتَغَى بِهِ وَجْهُ
اللَّهِ لَا يَتَعَلَّمُهُ إِلَّا لِيُصِيبَ بِهِ عَرَضًا مِنَ الدُّنْيَا لَمْ
يَجِدْ عَرْفَ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
"Sesiapa
yang mempelajari ilmu yang sepatutnya dipelajari untuk mencari keredhaan Allah,
tetapi dia tidak mempelajarinya melainkan untuk mendapatkan habuan dunia, maka
dia tidak akan mencium bau syurga pada hari kiamat."
Riwayat Abu Daud
dan Ibnu Majah daripada Abu Hurairah. Sanadnya sahih menurut Imam al-Nawawi
dalam Riyadh al-Salihin.
Pengajaran
Hadis:
1 – Tidak akan
mencium bau syurga merupakan kiasan tentang jauhnya dia dari syurga dan tidak
memasukinya bersama orang-orang yang selamat.
2 - Kewajiban
ikhlas dalam menuntut ilmu dan bahawa tujuannya adalah untuk mendapatkan
keredhaan Allah 'Azza wa Jalla.
3 – Hadis ini
menunjukkan ancaman bagi sesiapa yang tidak berniat mencari ilmunya melainkan untuk
tujuan dunia, kerana baginda mengungkapkannya dengan kata penegas: "melainkan
untuk mendapatkan habuan dunia". Adapun sesiapa yang menuntut ilmu
untuk keredhaan Allah Taala dan pada masa yang sama dia mempunyai kecenderungan
terhadap dunia, maka dia tidak termasuk dalam ancaman ini.
Imam al-Tibi
berkata: "Dalam hadis ini, sesiapa yang belajar untuk keredhaan Allah
Taala serta mendapatkan habuan duniawi tidak termasuk dalam ancaman ini, kerana
mencari keredhaan Allah Taala mestilah menjadi tujuan utama, manakala
keuntungan dunia hanya menjadi perkara sampingan."
4 - Sesiapa yang
menuntut ilmu kerana Allah Ta'ala dan dunia datang kepadanya sebagai perkara
sampingan, maka harus baginya untuk mengambilnya dan ia tidak akan
memudaratkannya.
Hadis Kedua Belas
نَضَّرَ الله امرَأً سَمِعَ منَّا حديثًا فحفِظَه
حتىِ يُبَلَّغَهُ، فَرُبَّ حامِلِ فقهٍ إلى مَن هو أفقَهُ منه، ورُبَّ حاملِ فقهٍ
ليس بفقيهٍ.
“Semoga
Allah menyerikan wajah seseorang yang mendengar hadis daripada kami, lalu dia
menghafalnya sehingga dia menyampaikannya (kepada orang lain). Kadang-kadang
orang yang membawa ilmu itu menyampaikannya kepada orang yang lebih faham
daripadanya dan kadang-kadang orang yang membawa ilmu itu bukanlah seorang yang
ahli dalam ilmu tersebut.”
Riwayat Abu Daud,
al-Tirmizi dan Ibnu Majah daripada Zaid bin Thabit. Hadis ini adalah mutawatir.
Syeikh Ahmad al-Siddiq al-Ghumari berjaya menghimpunkannya daripada 20 orang
sahabat.
Pengajaran
Hadis:
1 - Keutamaan
ilmu dan galakan untuk menuntutnya.
2 - Galakan untuk
menyebarkan ilmu dan mengajarkan kebaikan kepada orang ramai.
3 - Amanah dalam
menyampaikan ilmu, dan berhati-hati dalam memelihara dan memahaminya. Wajib
memelihara ilmu tanpa penambahan atau pengurangan kerana penyampai adalah orang
yang diamanahkan.
4 – Pemahaman
manusia berbeza-beza; kadangkala orang yang menerima ilmu lebih memahami
daripada orang yang mendengar secara langsung, dan kadangkala orang yang
membawa ilmu itu bukanlah seorang yang ahli dalam ilmu tersebut. Ada
kemungkinan sebahagian daripada tabi'in lebih faham tentang hadis Rasulullah sallahu
‘alaihi wasallam berbanding sebahagian sahabat.
5 - Doa Nabi sallahu
‘alaihi wasallam untuk sesiapa daripada umatnya yang menyampaikan hadis
yang didengarinya menunjukkan bahawa rahmat Allah akan memeliharanya dan dia
termasuk dalam kalangan orang yang beruntung pada hari kiamat.
Hadis Ketiga Belas
مَنْهُومَانِ لَا يَشْبَعَانِ: مَنْهُومٌ فِي
الْعِلْمِ لَا يَشْبَعُ مِنْهُ وَمَنْهُومٌ فِي الدُّنْيَا لَا يَشْبَعُ مِنْهَا
“Dua orang
yang tamak yang tidak pernah puas: Orang yang tamak dengan ilmu, dia tidak
pernah puas dengannya, dan orang yang tamak dengan dunia, dia tidak pernah puas
dengannya.”
Riwayat al-Hakim
daripada Anas bin Malik. Al-Hakim mensahihkannya.
Pengajaran
Hadis:
1 - Penuntut ilmu
adalah seorang yang rakus, tidak pernah puas dengan ilmu kerana tidak pernah
puas dengan ilmu termasuk tuntutan iman dan sifat-sifat orang beriman. Oleh
sebab itu, para imam Islam, apabila ditanya kepada salah seorang daripada
mereka: "Sampai bila menuntut ilmu?" Maka dia akan menjawab: "Dari
tinta hingga ke liang lahad."
2 - Penuntut ilmu
sentiasa mencari ilmu tambahan sebagai realisasi firman Allah Taala: “Dan
katakanlah, Ya Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan."
3 - Kelazatan
yang diperoleh daripada ilmu dan iman sentiasa dalam keadaan baharu dan
berterusan, dan pemiliknya sentiasa mencari tambahan dan bersungguh-sungguh
terhadapnya. Maka, pencariannya dan kesungguhannya disertai dengan kelazatan
yang diperoleh, kelazatan yang diharap dan dituntut, serta kelazatan mencari,
kegembiraan dan keriangan dengannya.
4 - Pencari dunia
akan bertambah tamak dengannya setiap kali dia memperolehinya kerana terbukanya
pintu-pintu syahwat dan kecintaan mengumpul dan menyimpan harta.
5 - Pencari ilmu
diberi ganjaran dengan ketamakannya dan dicintai oleh Allah Taala kerananya dan
sebaliknya orang yang tamak dengan mencari dunia maka dia tidak dicintai oleh
Allah dan tidak diberi pahala.
Hadis Keempat
Belas
مَنْ غَدَا إلى المسْجِدِ لا يُرِيدُ إلا أَنْ
يَتعلَّمَ خَيْراً، أو يُعَلِّمَهُ، كان له كأَجْرِ حَاجٌّ تامّاً حجَّتَهُ
“Sesiapa yang
pergi ke masjid pada waktu pagi dengan niat semata-mata untuk mempelajari
kebaikan atau mengajarkannya, maka baginya pahala seperti pahala orang yang
mengerjakan haji yang sempurna hajinya.”
Riwayat
al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir daripada Abu Umamah. Al-Hafiz
al-Munziri mengatakan tidak ada masalah pada sanadnya. Menurut al-Hafiz
al-‘Iraqi pula, sanadnya baik.
Pengajaran Hadis:
1 - Hadis ini menunjukkan
betapa besarnya keutamaan menuntut ilmu agama dan mengajarkannya kepada orang
lain. Ganjaran yang dijanjikan adalah setara dengan pahala haji yang sempurna,
yang merupakan salah satu ibadah yang paling utama dalam Islam.
2 - Hadis ini
menekankan kepentingan niat yang ikhlas dalam menuntut ilmu. Seseorang itu
hendaklah pergi ke masjid dengan niat yang tulus ikhlas semata-mata untuk
mempelajari atau mengajarkan ilmu agama, bukan untuk tujuan duniawi seperti
riyak atau menunjuk-nunjuk.
3 - Hadis ini
juga menunjukkan peranan penting masjid sebagai pusat pembelajaran dan
penyebaran ilmu agama. Masjid bukan sahaja tempat untuk beribadah, tetapi juga
tempat untuk menimba ilmu dan meningkatkan kefahaman tentang Islam.
4 - Hadis ini
menggalakkan umat Islam untuk memanfaatkan waktu pagi dengan sebaik-baiknya,
khususnya untuk menuntut ilmu. Waktu pagi adalah waktu yang berkat dan penuh
dengan peluang untuk melakukan kebaikan.
Hadis Kelima Belas
مَنْ جَاءَ مَسْجِدِي هَذَا، لَمْ يَأْتِ إِلَّا
لِخَيْرٍ يَتَعَلَّمُهُ، أَوْ يُعَلِّمُهُ، فَهُوَ بِمَنْزِلَةِ الْمُجَاهِدِ فِي
سَبِيلِ اللهِ، وَمَنْ جَاءَه لِغَيْرِ ذَلِكَ، فَهُوَ بِمَنْزِلَةِ رَجُلٍ
يَنْظُرُ إِلَى مَتَاعِ غَيْرِهِ
“Sesiapa yang
datang ke masjidku ini dan dia tidak datang melainkan untuk mempelajari
kebaikan atau mengajarkannya, maka dia seperti kedudukan orang yang berjihad di
jalan Allah. Dan sesiapa yang datang selain daripada itu, maka dia seperti
kedudukan orang yang melihat barang orang lain.”
Hadis hasan,
riwayat Ahmad dan Ibnu Majah daripada Abu Hurairah. Hadis ini ada syahid
(sokongan) daripada hadis Sahl bin Sa’ad yang diriwayatkan
oleh al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir:
مَنْ دَخَلَ مَسْجِدِي هذا ليتَعلَّمَ خَيْراً أَو
يُعَلِّمهُ، كانَ بمنزلةِ المجاهِدِ في سبيلِ الله، وَمَنْ دَخَلَهُ لغيرِ ذَلِك
مِنْ أَحادِيثِ النّاسِ كانَ بمنزلةِ الذي يَرى ما يُعجِبُهُ وهوَ شيءٌ لغيرِهِ.
“Sesiapa yang
memasuki masjidku ini untuk belajar kebaikan atau mengajarkannya, dia seperti
orang yang berjihad di jalan Allah. Dan sesiapa yang memasukinya selain
daripada itu seperti untuk berbual-bual kosong, maka kedudukannya seperti orang
yang melihat sesuatu yang mengkagumkannya sedangkan ia milik orang lain.”
Pengajaran Hadis:
1 – Baginda
bersabda: "Sesiapa yang datang ke masjidku ini…", masjid yang baginda
maksudkan ialah Masjid Nabawi, dan pengkhususan penyebutannya sama ada kerana
kekhususan hukum ini padanya, atau kerana ia merupakan tempat percakapan ketika
itu, dan hukum masjid-masjid lain sama seperti hukumnya.
2 - Persamaan
antara menuntut ilmu dengan jihad di jalan Allah adalah kerana kedua-duanya
menghidupkan agama, menghinakan syaitan, memenatkan diri, dan mematahkan puncak
kelazatan puncak syahwat, lebih-lebih lagi telah dibenarkan untuk tidak turut
serta dalam jihad demi mendalami ilmu agama! Seperti firman Allah: "Dan
tidaklah sepatutnya orang-orang mukmin itu semuanya pergi (ke medan
perang)..."
3 –Sabda baginda:
"Maka dia seperti orang yang melihat barang orang lain",
bermaksud dia seperti orang yang masuk ke pasar, tidak menjual dan tidak
membeli, hanya melihat barang-barang orang lain, adakah dia mendapat faedah
dengan perbuatan itu? Maka begitulah keadaannya.
4 – Menurut
al-Syaukani, hadis ini juga memberi panduan bahawa pembelajaran dan pengajaran
di masjid adalah lebih afdhal daripada tempat-tempat lain.
Hadis Keenam Belas
عَنْ صَفْوَانُ بْنُ عَسَّالٍ الْمُرَادِيُّ قَالَ:
أَتَيْتُ رَسُولَ اللهِ ﷺ، وَهُوَ مُتَّكِئٌ فِي الْمَسْجِدِ عَلَى بُرْدٍ لَهُ
فَقُلْتُ لَهُ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنِّي جِئْتُ أَطْلُبُ الْعِلْمَ، فَقَالَ: مَرْحَبًا بطالبِ الْعِلْمِ، طَالِبُ الْعِلْمِ لَتَحُفُّهُ الْمَلَائِكَةُ
وَتُظِلُّهُ بِأَجْنِحَتِهَا، ثُمَّ يَرْكَبُ بَعْضُهُ بَعْضًا حَتَّى يَبْلُغُوا
السَّمَاءَ الدُّنْيَا مِنْ حُبِّهِمْ لِمَا يَطْلُبُ
Daripada Safwan
bin 'Assal Al-Muradi berkata: “Aku datang kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi
wasallam, ketika baginda sedang bersandar di masjid di atas kain burdahnya lalu
aku berkata kepadanya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku datang untuk menuntut
ilmu."
Maka baginda
bersabda: "Selamat datang kepada penuntut ilmu. Sesungguhnya penuntut
ilmu akan dikelilingi oleh para malaikat dan dinaungi dengan sayap-sayap
mereka, kemudian mereka berlapis-lapis sehingga mencapai langit dunia kerana
kecintaan mereka terhadap apa yang dia tuntut."
Diriwayatkan oleh
al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir dan al-Hafiz al-Munziri dalam
al-Targhib Wa al-Tarhib mengatakan sanadnya baik.
Pengajaran Hadis:
1 - Beradab dalam
menuntut ilmu dan ketika bersama dengan ulama
2 - Bersabar atas
kesusahan kerana ilmu tidak dapat dicapai melainkan dengan berjihad melawan
nafsu seperti perkara-perkara penting yang lain.
3 - Kelebihan
ilmu dan galakan memberi khabar gembira kepada orang yang berusaha dalam
kebaikan kerana ia memberi semangat kepadanya dan menyemarakkan jiwa ke
arahnya.
4 - Kecintaan
malaikat kepada ketaatan kepada Allah dan orang-orang yang melakukannya.
Hadis Ketujuh Belas
النَّاسَ مَعَادِنَ خِيَارُهُمْ فِي الْجَاهِلِيَّةِ
خِيَارُهُمْ فِي الْإِسْلَامِ إِذَا فَقِهُوا
“Manusia itu
umpama galian (logam berharga); mereka yang terbaik semasa jahiliah juga adalah
yang terbaik dalam Islam, jika mereka memahami (agama).”
Riwayat
al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah.
Pengajaran Hadis:
1 – Nabi sallahu
‘alaihi wasallam mengumpamakan manusia sebagai galian kerana ia mengandungi
pelbagai jenis bahan, antaranya yang bernilai tinggi dan yang bernilai rendah,
dan setiap galian mengeluarkan apa yang terkandung di dalamnya. Begitu juga
dengan manusia, setiap daripada mereka menzahirkan apa yang ada pada asalnya.
Oleh itu, sesiapa yang mempunyai kemuliaan pada zaman jahiliah, kemudian
memeluk Islam, maka Islam tidak menambah kepadanya melainkan kemuliaan.
Sekiranya dia mendalami ilmu agama Allah, maka dia telah mencapai puncak
kemuliaan, kerana dia telah mengumpulkan semua sebab kemuliaan.
2
- Orang-orang yang terbaik pada zaman jahiliah adalah juga yang terbaik dalam
Islam, perumpamaan ini menunjukkan bahawa bahan seperti logam apabila digali
akan menampakkan apa yang tersembunyi di dalamnya dan sifatnya tidak berubah,
begitu juga sifat kemuliaan tidak berubah pada zatnya. Malah sesiapa yang mulia
pada zaman jahiliah seperti pemimpin bagi sesebuah kaumnya, maka apabila dia
memeluk Islam, kemuliaannya berterusan dan dia menjadi lebih mulia berbanding
orang-orang mulia lain dari zaman jahiliah yang memeluk Islam.
3 - Hadis ini
menunjukkan bahawa kemuliaan dalam Islam tidak sempurna melainkan dengan
memahami agama secara mendalam. Berdasarkan ini, manusia terbahagi kepada empat
kategori beserta lawannya:
a) Mulia di zaman
jahiliah, memeluk Islam dan memahami agama.
[Lawan: Tidak
mulia di zaman jahiliah, tidak memeluk Islam dan tidak memahami agama]
b) Mulia di zaman
jahiliah, memeluk Islam tetapi tidak memahami agama.
[Lawan: Tidak
mulia di zaman jahiliah, tidak memeluk Islam tetapi memahami agama].
c) Mulia di zaman
jahiliah, tidak memeluk Islam dan tidak memahami agama.
[Lawan: Tidak
mulia di zaman jahiliah, memeluk Islam dan memahami agama].
d) Mulia di zaman
jahiliah, tidak memeluk Islam tetapi memahami agama.
[Lawan: Tidak
mulia di zaman jahiliah, memeluk Islam tetapi tidak memahami agama] .
Kategori
tertinggi adalah:
a) Orang yang
mulia di zaman jahiliah, kemudian memeluk Islam dan memahami agama.
b) Orang yang
tidak mulia di zaman jahiliah, kemudian memeluk Islam dan memahami agama.
c) Orang yang
mulia di zaman jahiliah, kemudian memeluk Islam tetapi tidak memahami agama.
d) Orang yang
tidak mulia di zaman jahiliah, kemudian memeluk Islam tetapi tidak memahami
agama.
e) Adapun mereka
yang tidak memeluk Islam, tidak diambil kira sama ada mereka mulia atau tidak
mulia di zaman jahiliah, dan sama ada mereka memahami agama atau tidak.
4 - Yang
dimaksudkan dengan "terbaik", "kemuliaan" dan seumpamanya
ialah: mereka yang memiliki sifat-sifat akhlak yang terpuji; seperti pemurah,
menjaga kehormatan diri, penyantun, dan lain-lain, serta menjauhi sifat-sifat
tercela; seperti bakhil, keji, zalim, dan lain-lain.
5
– Hadis ini menjelaskan perbezaan darjat manusia, dan bahawa mereka seperti
logam emas dan perak, yang merangkumi yang berharga dan yang tidak berharga.
6 – Hadis ini
juga menjelaskan keutamaan ilmu fiqh, dan bahawa seseorang itu dimuliakan
mengikut kadar ilmu fiqh agamanya, dan inilah maksud sabda Nabi sallallahu
'alaihi wasallam: "Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan baginya,
maka Dia akan memberinya kefahaman dalam agama."
7 - Islam tidak
mengurangkan kemuliaan orang yang mulia, bahkan menambah kemuliaan di atas
kemuliaannya. Oleh itu, antara petunjuk Nabi sallallahu 'alaihi wasallam
apabila ada utusan datang kepadanya, baginda akan bertanya kepada mereka: "Siapakah
pemimpin kamu?" Apabila mereka memberitahunya, baginda akan
melantiknya sebagai pemimpin mereka.
Hadis Kelapan Belas
مَثَلُ مَا بَعَثَنِي اللهُ بِهِ مِنَ الْهُدَى
وَالْعِلْمِ كَمَثَلِ الْغَيْثِ الْكَثِيرِ أَصَابَ أَرْضًا، فَكَانَ مِنْهَا
نَقِيَّةٌ، قَبِلَتِ الْمَاءَ، فَأَنْبَتَتِ الْكَلَأَ وَالْعُشْبَ الْكَثِيرَ،
وَكَانَتْ مِنْهَا أَجَادِبُ، أَمْسَكَتِ الْمَاءَ، فَنَفَعَ اللهُ بِهَا
النَّاسَ، فَشَرِبُوا وَسَقَوْا وَزَرَعُوا، وَأَصَابَتْ مِنْهَا طَائِفَةً
أُخْرَى، إِنَّمَا هِيَ قِيعَانٌ، لَا تُمْسِكُ مَاءً، وَلَا تُنْبِتُ كَلَأً،
فَذَلِكَ مَثَلُ مَنْ فَقُهَ فِي دِينِ اللهِ، وَنَفَعَهُ مَا بَعَثَنِي اللهُ
بِهِ، فَعَلِمَ وَعَلَّمَ، وَمَثَلُ مَنْ لَمْ يَرْفَعْ بِذَلِكَ رَأْسًا، وَلَمْ
يَقْبَلْ هُدَى اللهِ الَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ.
“Perumpamaan
petunjuk dan ilmu yang Allah utuskan aku dengannya adalah seperti hujan lebat
yang menimpa bumi.
Sebahagian
daripada bumi itu subur, menyerap air lalu menumbuhkan rumput dan tumbuhan yang
banyak. Sebahagiannya pula tandus, menakung air lalu Allah memberi manfaat
kepada manusia dengannya, mereka minum, memberi minum (haiwan ternakan) dan
bercucuk tanam.
Dan sebahagian
lagi menimpa kawasan yang lain, iaitu tanah rata yang tidak menakung air dan
tidak menumbuhkan rumput.
Demikianlah
perumpamaan orang yang memahami agama Allah dan mendapat manfaat daripada apa
yang Allah utuskan aku dengannya, dia belajar dan mengajar.
Dan
perumpamaan orang yang tidak mengangkat kepala (tidak mengendahkan) dengannya
dan tidak menerima petunjuk Allah yang aku diutuskan dengannya.”
Riwayat
al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Musa al-Asy’ari.
Pengajaran
Hadis:
1 – Dalam hadis
ini baginda mengumpamakan petunjuk dan ilmu yang dibawakan oleh baginda dengan
hujan. Manakala bumi yang menerima hujan pula diumpamakan dengan manusia yang
terbahagi kepada tiga jenis:
a) Bumi yang mendapat
manfaat daripada hujan, lalu hidup setelah sebelumnya mati, dan menumbuhkan
rumput, lalu memberi manfaat kepada manusia, haiwan, tanaman, dan lain-lain.
Begitu juga jenis pertama daripada manusia, petunjuk dan ilmu sampai kepadanya,
lalu dia memeliharanya, maka hatinya hidup, dia mengamalkannya, dan
mengajarkannya kepada orang lain, lalu dia mendapat manfaat dan memberi
manfaat.
b) Bumi yang
tidak mendapat manfaat untuk dirinya sendiri, tetapi ia mempunyai manfaat iaitu
menakung air untuk pihak lain, lalu manusia dan haiwan mendapat manfaat
daripadanya. Begitu juga jenis kedua daripada manusia, mereka mempunyai hati
yang mampu menghafal, tetapi mereka tidak mempunyai kefahaman yang mendalam,
dan mereka tidak mempunyai kekuatan akal untuk membuat kesimpulan makna dan
hukum, dan mereka tidak mempunyai kesungguhan dalam ketaatan dan
mengamalkannya. Mereka memeliharanya, sehingga datang seorang penuntut yang
memerlukan, dahagakan ilmu yang ada pada mereka, yang layak untuk mendapat
manfaat, lalu dia mengambilnya daripada mereka dan mendapat manfaat dengannya.
Maka mereka ini memberi manfaat dengan apa yang sampai kepada mereka.
c) Bumi gersang
yang tidak menumbuhkan apa-apa. Ia tidak mengambil manfaat daripada air, dan
juga tidak menakungnya untuk memberi manfaat kepada yang lain. Begitu juga
jenis ketiga dari manusia, mereka tidak memiliki hati yang mampu menghafal, dan
tidak pula pemahaman yang mendalam. Apabila mereka mendengar ilmu, mereka tidak
mengambil manfaat daripadanya dan tidak pula memeliharanya untuk memberi
manfaat kepada orang lain.
2 - Rasulullah membuat
perumpamaan untuk menjelaskan ilmu dan memudahkan penyampaiannya kepada
pemahaman manusia.
3 - Kelebihan
ilmu dan mengajarkannya, dan dorongan yang kuat terhadap keduanya.
4 - Celaan
terhadap berpaling daripada ilmu dan tidak menyibukkan diri dengan
memperolehinya.
5 - Pembahagian
manusia terhadap petunjuk dan ilmu yang dibawa oleh Nabi. Antara mereka ada
yang beriman dengannya, memberi manfaat kepada dirinya sendiri dan memberi
manfaat kepada orang lain. Antara mereka ada yang memberi manfaat kepada
dirinya sendiri, tetapi tidak sampai ke tahap memberi manfaat kepada orang
lain. Dan antara mereka ada yang berpaling dan membelakanginya.
*Tulisan
ini saya telah kemas kini semula pada 29/12/2024. Semoga
bermanfaat.