Syeikh
Mustafa bin Said bin Mahmud al-Khin as-Syafi'e al-Maidani ad-Dimasyqi di
Damsyiq, Syiria, pada tahun 1922M. Beliau merupakan anak yang ke 11 daripada 18
orang adik beradik. Ketika berumur 8 tahun. Beliau mendapat pendidikan rasminya
yang pertama di al-Jami’ah al-Gharra'.
Pada
musim panas, 1931 M, Syeikh Muhammad Zarzur, seorang penulis khat yang masyhur,
yang juga merupakan guru kepada Syeikh Mustafa, melihat kecerdikan dan
kebolehan yang ada pada Syeikh Mustafa. Beliau meminta izin daripada bapa
Syeikh Mustafa untuk membawa Syeikh Mustafa ke pengajian Syeikh Hasan
Habannakah di Masjid Manjak.
Syeikh
Hasan Habbanakah telah mengasaskan sebuah sekolah yang mana, pelajar-pelajar
khusus mempelajari ilmu agama pada sesi pagi, dan mereka yang sudah berusia
ataupun bekerja menghadiri kelas pada sesi petang.
Syeikh
Mustafa asalnya mengikuti pengajian sesi petang. Namun begitu gurunya, Syeikh Husain Khitab mengenali
kecerdikannya kerana dapat menghafal 50 hadith dalam satu hari, maka beliau pun
memberitahukan perkara tersebut kepada Syeikh Hasan Habannakah.
Syeikh
Mustafa pun mula mencintai ilmu pengetahuan, dan beliau pun diserapkan kepada
sesi pengajian pagi. Satu kegembiraan yang amat bagi Keluarga al-Khin, kerana
beliau menjadi ahli keluarga yang pertama yang terbit daripada keluarga ini.
Dipakaikanlah Syaikh Mustafa serban bagi menggantikan tarbusnya, dan bapanya
pun mengisytiharkan bahawa beliau akan memelihara dan bertanggungjawab terus ke
atas Syeikh Mustafa.
Perjalanan Ilmu
Syaikh
Mustafa membesarlah sebagai seorang penuntut yang amat rajin di Masjid Manjak.
Sebelah pagi beliau sebagai seorang penuntut, di sebelah petang pula sebagai
tenaga pengajar. Sesi petang itu pula menjadi cawangan kepada Ma'had at-Ataujih
al-Islami. Maka Syeikh Mustafa menjadi tenaga pengajar di sekolah tersebut.
Aktiviti
sebagai penuntut ilmu, dan dalam masa yang sama sebagai seorang tenaga pengajar
memberi kesan yang mendalam kepada peribadi keilmuan Syeikh Mustafa. Syeikh
Hasan Habannakah pula sebagai seorang bapa murabbinya, memberikan petunjuk dan
kesan yang besar pada tanggungjawabnya dalam keduanya.
Syeikh
Hasan Habannakah juga sering kali menasihati para penuntutnya untuk menziarahi
para ulama dan duduk di majlis-majlis pengajian mereka. Syeaikh Mustafa amat
mengambil berat perkara ini, dan acap kali berusaha menemui para ulamak ini,
malah tiga kali bertemu dengan Syeikh Abul Hasan Ali an-Nadawi.
Syeikh
Mustafa mengajar pelbagai bidang dalam ilmu-ilmu Islam, namun akhirnya beliau
menumpukan perhatian dan jelas kehebatannya di dalam Usul Feqh dan ilmu Bahasa
Arab.
Pada
tahun 1949, beliau tiba di Kaherah dengan harapan dapat menimba ilmu di Al-Azhar, selain
memperolehi ijazah yang membolehkan beliau mengajar di sekolah-sekolah kerajaan
di Syiria. Beliau pun ditemuduga, dan diterima masuk ke tahun ketiga, Kuliah
Syariah. Selepas dua tahun, beliau pun berjaya mendapatkan ijazah dengan
keputusan Mumtaz (Kepujian Kelas Pertama / Cemerlang).
Di
al-Azhar, beliau banyak mengambil faedah daripada Dr. Isa Mannun, Dr. Abdullah
Musa, Dr Mustafa Abdul Khaliq dan adiknya Dr Abdul Ghani Abdul Khaliq.
Sejurus
pulang ke Siria, beliau mengajar Pendidikan Islam di sekolah-sekolah menengah
di Halab dan Damsyiq, selain sumbangan besarnya di dalam menyusun silibus pengajian,
menulis buku-buku teks dan menganggotai lajnah peperiksaan. Beliau juga dalam
masa yang sama menjadi pensyarah di Kuliah Syariah, Universiti Damsyiq
(1955-1962) dan dipinjamkan kepada Kuliah Syariah dan Bahasa Arab, Universiti
Islam Al-Imam Muhammad bin Sa'ud, Riyadh (1962-1966).
Apabila
Al-Azhar mengeluarkan kenyataan untuk menerima graduan Kuliah Syariah yang
berpengalaman mengajar di Universiti selama lebih 5 tahun untuk terus
mengemukakan disertasi Ijazah Kedoktoran (PhD), Syeikh Mustafa pun bersegera
mendaftarkan disertas beliau yang bertajuk Atharul ikhtilaf fil Qawa'id
Al-usuliyyah fi Ikhtilafil Fuqaha' (Kesan Ikhtilaf pada Qaedah-qaedah Usul Feqh
pada Iktilaf Fuqaha'), dengan seliaan Prof. Dr. Mustafa Abdul Khaliq. Beliau
memperolehi Ijazah Kedoktoran pada tahun 1971 dengan anugerah Asyyarfu al-ula
(Cemerlang yang tertinggi).
Beliau
seterusnya dilantik sebagai pensyarah dan Ketua Jabatan Aqidah, Kuliah Syariah,
serta pensyarah di Kuliah Pendidikan, Universiti Damsyiq, dan terus di universiti
tersebut sehinggalah tahun 1983. Beliau juga turut menulis buku-buku teks
universiti. Tiga buah buku teks yang ditulis oleh beliau yang amat penting dan
masih diajar sehingga ke hari ini di Kuliah Syariah, iaitu kitab at-Tafsir al-'Am,
Fiqh al-Mu'amalat dan Mabadi' al-Aqidah al-Islamiah.
Setelah
bersara, beliau menjadi pensyarah di Universiti Muhammad bi Su’ud, Riyadh
sehingga tahun 1992. Kerinduannya dan kecintaannya kepada bumi Damsyiq yang
amat, beliau pulang dan menjadikan rumahnya sebagai tempat tumpuan para
penuntut ilmu.
Pada
tahun 1993 beliau bersetuju untuk mengajar di bahagian Pasca-Ijazah Universiti
Ummu Darman, Sudan dan Ketua Jabatan Pengkhususan Kuliah Syariah di Ma'hadul
Fath Al-Islami.
Beliau
juga memiliki sebuah bilik khas di Masjid Daqqaq. Bilik ini menyimpan sejarah
yang banyak terutama dari sudut aktiviti-aktiviti ilmiah dan mempunyai sebuah
perputakaan yang memiliki banyak kitab-kitab utama.
Penulisan
Syeikh
Mustafa al-Khin meninggalkan himpunan khazanah tulisan yang amat berharga buat
umat Islam. Antaranya:
1)
Atsaru-l Ikhtilâf Fi-l Qawâ'idi-l Usùliyyah Fi-khtilâfi-l Fuqahâ'
2)
'Abdullah bin 'Abbâs : Habrul Ummah wa Turjumân Alqurân
3)
Dirasah Târîkhiah lil Fiqh wa Usùlihi walitijjâhât allati zoharat fîhima
4)
Alhasan bin Yasâr Albasri : Alhâkimu-l Wa'idz Waz-Zâhidu-l 'Âlim
5)
Al-adillatu-s Syar'iyyah, Wamauqifu-l Fuqahâ' min-alihtijâj bihâ
6)
Abhâsun haula Usùli-l Feqhi-l Islâmi (Tâarikhuhu Watathowwuruh)
7)
Alkâfiyu-l Wâfi fi Usuli-l Feqhi-l Islâmi
Tulisan
Bersama:
1)
Nuzhatu-l Muttaqîn Syarhu-r Riyâdhis- Sôlihîn min Kalâmi Sayyidil Mursalîn
(bersama Dr. Mustafa al-Bugha, Dr. Muhyiddin Mistu, Ustaz Ali as-Syarbaji dan
Ustaz Muhammad Amin Lutfi.
2)
Al-Fiqh al-Manhâji 'ala Mazhab al-Imami asy-Syâfi'i (bersama Dr. Mustafa
Al-Bugha dan Ustaz Ali As-Syarbaji)
Sebuah Kisah
Syeikh
Mustafa al-Khin menyebutkan di dalam kitab Atsaru-l Ikhtilâf Fi-l Qawâ'idi-l
Usùliyyah Fi-khtilâfi-l Fuqahâ', yang juga merupakan disertasi PhDnya, kisah
kefahaman awalnya yang sering tertanya-tanya, mengapa terdapat pelbagai mazhab
Fiqh sedangkan rujukan utama kita adalah al-Quran dan as-Sunnah. Mengapa tidak
boleh disatukan dan diambil satu pandangan sahaja yang didapati paling hampir
kepada keduanya.
Kedatangannya
ke Al-Azhar membawa rahmat buat beliau, apabila persoalan tersebut terjawab
dengan bertambahnya ilmu berkaitan ikhtilaf Fuqaha' dan sebab-sebabnya.
Minatnya yang mendalam dalam perkara tersebut dan kehandalannya dalam Usul Feqh
menyebabkan beliau membuat kajian dalam kesan khilaf di dalam kaedah-kaedah
Usul Fiqh yang menyebabkan ikhtilaf para Fuqaha'.
Kajian
ilmiah PhDnya ini sangat dan ia menjelaskan secara terperinci dan menunjukkan
bahawa para ulamak bukan berikhtilaf kerana kejahilan atau hawa nafsu mereka,
tetapi biasanya mereka berikhtilaf kerana metodologi asas yang sedikit berbeza
yang menatijahkan beberapa perselisihan hukum.
Perselisihan
mereka bukan kerana tidak mengetahui satu dua hadis yang kita tahu, akan tetapi
jauh lagi rumit dan memerlukan pengajian bermazhab secara bersistematik untuk
menggarap metodologi para imam Mujtahidin tersebut. Oleh kerana itulah, manusia
jahil seperti kita ini perlu bermazhab dan mengelakkan diri tertipu seolah-olah
kita mampu dengan mudah mencari hukum yang lebih tepat dan hampir kepada al-Quran
dan as-Sunnah.
Kewafatan
Beliau
meninggal dunia pada 23 Muharram 1429H bersamaan 2 Februari 2008M di Masjid
Hasan , Maydan, Damsyik ketika berusia 86 tahun. Beliau meninggal selepas solat
Jumaat di masjid tersebut dan dikebumikan pada hari berikutnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan