Isnin, 31 Mac 2014

Syeikh Muhammad Kurayyim Rajih

Syeikh Muhammad Kurayyim Rajih (1926- kini)
Oleh: Dr. Mohd Rumaizuddin Ghazali


Mukadimah

Tidak ada hari yang mengembirakan saya kecuali berjumpa dengan para ulama. Sebelum berjumpa dengan Syeikh Muhamad Kurayyim di Masjid al-Falah USJ 9 pada 19 Januari 2011, saya mengenalinya apabila menulis buku biografi Syeikh Hassan Habannakah dan beliau merupakan anak murid Hassan Habannakah bersama Syeikh Husain Kattab. Di samping itu, mendengar dari rakan-rakan saya yang pernah belajar di Syria. Beliau juga adalah rakan seperguruan dengan Syeikh Sa’id Ramadan al-Buti dan Wahbah al-Zuhayli.Syeikh Muhamad Kurayyim adalah pentashih al-Quran yang dibaca oleh umat Islam sekarang. 

Dalam konteks zaman moden, dua negara yang terkenal dengan pengajian qiraat dan pengajian tafsir iaitu Mesir dan Syria. Di Mesir terdapatnya pengajian Qiraat di Shubra dan di Tanta manakala di Syria terdapatnya Shaykh al-Qurra’ yang menjadi pakar rujukan dalam bidang tersebut. Pertemuan tersebut mengingatkan saya dengan guru al-Quran yang saya mengambil sanad al-Quran daripadanya iaitu Syeikh Mustafa di Masjid Husain, Kaherah. Syeikh Mustafa seorang yang buta tetapi hatinya tidak buta dan mengajar setiap pagi selepas subuh sehingga Zuhur di Masjid Husain sehingga beliau meninggal dunia setelah mengajar di situ lebih dari 25 tahun.


Latar belakang kehidupan

Syeikh Muhamad Kurayyim bin Sa’id bin Kurayyim Rajih dilahirkan di al-Maydan, Damsyiq, Syria.pada 1344H/1926M. Bapanya seorang yang buta huruf sementara ibunya seorang hafizah (penghafal al-Quran). (www.alislamnoor.com) www. Islam-dz-.com/vb/t1761.html). Beliau merupakan seorang ahli al-Quran yang mendapat sanad ilmu al-Quran dan ilmu qiraat dari ulama Syam dan perkara ini diakui oleh Syeikh Ahmad al-Halwani.

Mula mempelajari  dan menghafal al-Quran sejak kecil dari ibu yang seorang yang alimah dan kemudian berguru dengan Syeikh Yassin Zarzur. Seperti kanak-kanak lain, beliau belajar di Kuttab dengan guru-guru seperti Syeikh Yassin Zarzur, anaknya Muhamad Zarzur, Syeikh Adib Sabban dan Syeikh Abu Rasyad al-Lubni. Semasa tamat di kuttab, umurnya berusia lapan tahun dan memasuki sekolah yang didirikan oleh Syeikh Ali al-Duqr (m.1362H) yang dinamakan Sekolah Jam’iyyah al-Ghara’. Beliau hanya bersekolah di sini selama setahun dan meninggalkannya kerana guru-guru terlalu kasar dan memukul pelajar secara keterlaluan. (www.alislamnoor.com). 

Kemudian, beliau belajar dengan Syeikh Hassan Habannakah di Masjid Manjak, dan setelah mendapat sijil menengah, beliau menyambung pelajaran di Kuliah Syariah, Universiti Damsyiq dan diploma dalam bidang Pendidikan. Kemudian bertugas di Kementerian Wakaf sebagai guru. (www. Islam-dz-.com/vb/t1761.html).


Hubungannya dengan Syeikh Husain Khattab.

Syeikh Kurayyim sejak kanak-kanak bekerja di kedai buku al-Hasyimiah yang dimiliki oleh Abu Akram al-Tarabishi dan kawan-kawan di situ sering mengajaknya bermain dan menonton wayang. Suatu hari apabila beliau pergi menonton wayang dan balik sehingga jam 12 tengah malam, maka ayahnya telah bertanya kepada beliau ke mana beliau pergi. Beliau menjawab,  beliau pergi menonton wayang. Bapanya menjawab alangkah lebih baik dari menonton wayang itu dengan belajar al-Quran dari Syeikh Husain Khattab dan pelajaran agama.

Pada hari berikut, beliau pergi ke Masjid al-Qal’ah dan belajar dengan Syeikh Husain Khattab dan menghafal al-Quran dalam satu tahun Www. Islam-dz-.com/vb/t1761.html). Beliau juga menghafal Alfiah Ibn Malik dalam bidang tatabahasa dan Nihayah al-Tadrib iaitu matan kepada Ghayah al-Taqrib dalam fiqah al-Syafi’i karangan Imam Abi Sujak. Ketika itu, usianya antara 13 dan 14 tahun.

Syeikh Husain Khattab telah mengetahui kecerdikannya, lalu menyuruh Muhammad Kurayyim memasuki sekolah yang diasaskan oleh Syeikh Hassan Habannakah yang dinamakan Sekolah al-Jam’iyyah al-Tawjiyyah al-Islamiah. Sejak tahun 1940, beliau belajar dengan Syeikh Hassan sehingga gurunya itu meninggal dunia. Muhammad Kurayyim merupakan rakan baik kepada Abdul Rahman Habannakah (anak kepada Syeikh Hassan) dan mereka menganggap sebagai dua beradik. .(www.alislamnoor.com)

Menurut Abdul Rahman, apabila kerajaan melarang Hassan Habannakah dari mengajar di sekolah dan masjid, beliau terus mengajar di rumah selepas subuh atau sebelum Zuhur dan selepas Asar. Beliau juga mengadakan halaqah dengan anak muridnya yang telah menjadi khatib dan ulama seminggu sekali. Majlis ini dihadiri oleh Syeikh Husain Khattab, Muhammad Kurayyim Rajih, Abdul Razaq al-Halabi dan Sadiq Habannakah. Majlis-majlis ini dihadiri oleh murid-muridnya sehingga Hassan meninggal dunia pada tahun 1978. (Abdul Rahman, 2002:107)



Belajar Qiraat

Beliau belajar qiraaat sepuluh kecil (al-Qira’at al-‘Ashr) dengan ulamak qiraat seperti Syeikh Sulaim al-Hilwani (m.1363H) yang merupakan Shaykh al-Qura’ pada ketika itu dan menghafal al-Syatibiah dalam waktu masa yang singkat. Beliau menghafal al-Syatibiah sepuluh  bait sehari dan menamatkan hafalan dalam masa beberapa bulan sahaja. Apabila Syeikh Sulaim meninggal beliau belajar dengan Syeikh Ahmad al-Hilwani (m. 1384H) yang menjadi Syeikh al-Qura’ bagi mengantikan ayahnya. Beliau tamat belajar qiraat sepuluh dengan Syeikh Ahmad Sulaim al-Hilwani dan mengulangi bacaan qiraat sepuluh dengan Syeikh Mahmud Faiz al-Dir’atani.(m.1384H). (www.alislamnoor.com). Beliau mendapat ijazah sanad dari mereka semua mengenai ilmu qira’at.


Guru-gurunya.

Pada mulanya, beliau belajar qiraat bersama Husain Khattab dengan Syeikh Salim al-Hilwani dan anaknya Syeikh Ahmad al-Hilwani melalui cara al-Syatibiah dan al-Durrah. Merasakan belum puas menuntut ilmu, beliau bersama guru Syeikh Husain Khattab  belajar qiraat dengan Syeikh Abdul Qadir Quwaidir yang dikenali sebagai syeikh al-Samadiyyah di perkampungan Arabin, Utara Damsyiq. Mereka berdua belajar qiraat sepuluh dengan kaedah Taibah al-Nashar. (www.alislamnoor.com). 

Qiraat tujuh (sab’ah) mahupun qiraat sepuluh (‘asyarah), ia adalah mutawatir daripada Rasulullah SAW. Ini bermakna, Rasulullah SAW membaca dengan kesemua qiraat ini. Qiraat tujuh dikupas dan dijelaskan oleh Imam al-Syatibi (538-590H) dalam bukunya Hirz al-Amani wa Wajhu al-Tahani dan Imam al-Jazari (751-833H) pula mengupas dan menyusunnya sehingga sepuluh qiraat. Tetapi, ini tidaklah bermakna Imam al-Jazari telah melakukan penambahan kepada ilmu ini sehingga menjadi sepuluh.

Perkara ini  berkemungkinan, Imam al-Syatibi pada zamannya hanya sempat mengumpul dan menyusunnya sehingga tujuh sahaja. Al-Jazari mengarang  ad-Durrah al-Mudhiah, kitab Qiraat tiga untuk menyempurnakan Qiraat tujuh oleh Imam as-Syatibi sehingga dikenali sebagai Qiraat Sepuluh Sughra. Setelah itu, pengumpulan dan pengkajian diteruskan oleh Imam al-Jazari sehingga lengkap menjadi sepuluh qiraat. Kesemua sepuluh qiraat Imam al-Jazari dikenali dengan al-Qiraat al-‘Asyarah al-Kubra. al-Jazari mengarang Tahbir al-Taisir, al-Nasyr Fi al-Qiraat al-`Asyr dan ringkasan  kitab al-Nasyr ke dalam bentuk matan dengan nama Tayyibah al-Nasyr Fi al-Qira’at al-`Asyr. (Nabil Muhammad Ibrahim, 2002;131,141-143 dan  254)

Muhamad Kurayyim mula mengajar qiraat dan memberi ijazah apabila usia 30 tahun setelah menghafal qiraat sepuluh sama ada kaedah al-Sughra (kecil) atau al-kubra(besar). Di samping itu sejak kecil menghafal al-Syatibiyyah, al-Durrah dan al-Taibah. Beliau juga pakar dalam ilmu tafsir, tatabahasa dan fiqah syafi’i. (www.alislamnoor.com). Di samping belajar dengan Syeikh Hassan, beliau juga belajar secara formal dan memasuki Fakulti Syariah, Universiti Damsyiq dan kemudian di Fakulti Pendidikan. (www.alislamnoor.com). 

Syeikh al-Qura’ al-Syam (Tokoh al-Qur’an Negeri Syria)

Gelaran ini diberi kepada seorang insan yang diiktiraf keilmuannya dari segi ilmu al-Qur’an oleh ulama-ulama Damsyiq.. Gelaran ini bukan pekerjaan rasmi dan mendapat gaji bulanan tetapi ia merupakan tempat rujukan jika terdapat perbezaan dan perselisihan dalam ilmu-ilmu al-Quran terutama ilmu qiraat.  Beliau dilantik menjadi syeikh Qura’ selepas kematian syeikh Husain Khattab pada tahun 1408H dan pengisytiharan dilakukan  oleh imam Masjid Syeikh Salih al-Alim di Masjid Umawi. Damsyiq. Kemudian diperakui oleh ulama seperti Abu Hassan al-Kurdi dan Syeikh Abdul Razzak al-Halabi dan keputusan tersebut dipersetujui oleh Kementerian Wakaf melalui menterinya ketika itu. (www. Islam-dz-.com/vb/t1761.html.)

Beliau mula mengajar ketika berusia 18 tahun di Masjid dan kemudian menjadi guru di sekolah kerajaan seperti sekolah perempuan di al-Maydan, Damsyiq. Kemudian bertukar dan mengajar di sekolah agama di sana selama 40 tahun dan mengajar ilmu Quran, Tafsir, dan bahasa Arab. Sekarang beliau mengajar di Maahad al-Fatah, Damsiq dalam peringkat Takhassus. Beliau mengajar al-Bahr al-Muhid karangan Abi Hayyan, Fiqah perbandingan dan tajwid. Beliau juga mengajar di Majma’ al-Kaftoro (Universiti Abu Nur). Beliau juga menjadi ahli Fatwa di beberapa masjid di Damsyiq.(www. Islam-dz-.com/vb/t1761.html/www.alislamnoor.com).

Beliau mengajar orang awam di Masjid Hassan setiap hari Selasa dan juga di Masjid Mansur setiap hari selepas solat Subuh dan tafsir setiap hari Khamis selepas Maghrib. Beliau juga seorang Khatib yang berkaliber dan bersemangat. Kini beliau merupakan Khatib di Masjid Hassan di al-Maydan. Antara buku-buku yang digunakan semasa mengajar ialah di Masjid Mansur ialah tafsir al-Qurtubi, al-Sharqawi syarah al-Tahrir karangan Syeikh Zakaria al-Ansari dalam fiqah al-Syafi’i, Syarah Muslim karangan Imam al-Nawawi, Tadrib al-Rawi karangan al-Sayuti, Ihya’ Ulumiddin karangan Imam al-Ghazali, Subul al-Salam karangan San’ani dan Fiqh al-Manhaji. (www.alislamnoor.com). Beliau juga merupakan seorang yang berakhlak mulia dan  tegas dalam menyatakan kebenaran terutama dalam berkhutbah. Menurut Mohd Naim Mohd Nor, Exco Dakwah ABIM, Muhamad Kurayyim juga merupakan seorang yang suka berseloroh dan kelakar ketika mengajar.

Karangan:

i. Iktisar Tafsir Ibn Kathir- 2 jilid-Dar al-Ma’rifah, Beirut, 1999

ii. Awda’ al-Bayan fi Syarah wa Tafsir al-Qur’an

iii. Mukhtasar Tafsir al-Qurtubi-5 jilid. Dar al-Kitab al-Arabi, Beirut,1987

iv. al-Maysir fi al-Qira’at al-Arba’ah ‘Ashar-Ibn Kathir – Damsyiq, 1995.

v. al-Qira’at al-‘Ashr al-Mutawatirah- Dar Muhajir, Madinah al-Munawwarah, 1994.

Bidang penulisan beliau adalah bidang qiraat dan tafsir. Beliau telah membuat ringkasan qiraat empat belas dan juga ringkasan tafsir Ibn Kathir dan al-Qurtubi. 

Beliau juga amat menyukai syair terutama Syair Ahmad Shauqi dan Mustafa Akramah. Beliau juga mengarang beberapa syair tetapi beliau tidak menjadikan syair sebagai tugas rasmi dan membaca dalam majlis-majlis tertentu terutama dalam memperingati guru-gurunya. (www. Islam-dz-.com/vb/t1761.html. (tarikh akses 21 Jan. 2010)

Beliau telah dikurniakan 9 orang anak, enam lelaki dan 3 orang perempuan. Sementara anak muridnya yang belajar dengannya di Masjid dan mendapat ijazah qiraat terlalu ramai dan salah seorang anak muridnya telah mengarang buku yang memuatkan nama-nama pelajar yang mendapat ijazah al-Quran dari beliau. Buku tersebut ditulis oleh Syeikh Abdullah Husain al-Somali yang berjudul al-Atar al-fa’ih fi Asanid wa talamidh al-Shaykh Kurayyim Rajih. (www.alislamnoor.com).

Syeikh Kurayyim juga menyusun al-Qira’at al-Ashr al-Mutawatirah bersama Alawi bin Muhammad al-Balfaqiyyah. Buku ini menghimpunkan secara ringkas qira’at sepuluh dari kaedah (Turuq) al-Syatibiiah dan al-Durrah bersama dengan mashaf al-Quran. Perkara ini memudahkan pembaca meneliti qiraat tanpa melihat kepada buku qiraat yang lain. Begitu juga setiap al-Quran yang dicetak di dunia Arab khususnya di Syria perlu pentahsihan dari lujnah ulama.

Syeikh Kurayyim merupakan salah seorang pentahsih al-Quran bersama al-Marhum al-Tayyib Abu al-Yusr, al-Marhum Abdul Aziz ‘Uyun, Ustaz Marwan Siwar dan Ustaz Aziz Abidin. (Muhammad Kurayyim Rajih,1994)  Beliau juga membuat perakuan kepada buku ‘ilm Qiraa’at karangan Nabil bin Muhamad Ibrahim Al Isma’il. Buku ini mengupas mengenai perkembangan ilmu qiraat, jalan dan kaedah pembacaan serta qiraat yang masyhur dan qiraat yang janggal. Buku ini juga membicarakan mengenai madrasah  dan aliran qiraat serta kesannya kepada ulum syariah.

Bacaan Qiraat ialah :
•    Qiraat Nafi’
•    Qiraat Ibn Kathir
•    Qiraat Abi Umru al-Basri
•    Qiraat Ibn Amir
•    Qiraat Asim
•    Qiraat Hamzah
•    Qiraat al-Kasa’i

Sebahagian ulama menambahkan tiga lagi qiraat menjadi ia sepuluh qiraat yang mutawatir iaitu Imam Abu Jaafar,  Imam Ya’aqub dan Imam Khalaf Al-Asyir.


Jumaat, 21 Mac 2014

Imam at-Termizi

Nama dan tahun kelahiran

Nama Imam at-Termizi ialah Muhammad bin 'Isa bin Saurah bin Musa bin ad-Dhahak as-Sulami at-Termizi. Dalam bidang hadith, beliau terkenal dengan nama Imam al-Hafiz Abu Isa Muhammad bin ‘Isa at-Termizi. Perkataan at-Termizi boleh dibaca dengan tiga cara iaitu at-Termizi, at-Tarmizi dan at-Turmuzi. Beliau merupakan salah seorang ahli hadith yang masyhur dengan karangan beliau iaitu Sunan at-Termizi dan Syamail al-Muhammadiyyah. Beliau lahir pada 209H di kota Tirmiz (sebuah kawasan di Uzbekistan).

Menuntut ilmu dan mengembara

Semenjak kecil, Imam at-Termizi sudah gemar mempelajari ilmu dan mengumpul hadith. Untuk keperluan inilah beliau mengembara ke berbagai negara seperti Hijaz, Iraq, Khurasan dan lain-lain. Dalam pengembaraannya itu, beliau banyak mengunjungi ulama-ulama besar dan guru-guru hadith untuk mendengar hadits.

Guru-gurunya

Imam at-Termizi belajar dan meriwayatkan hadith daripada ulama-ulama yang ternama. Di antaranya:

1. Imam al-Bukhari

2. Imam Muslim

3. Imam Abu Dawud

4. Qutaibah bin Sa’id

5. Ishaq bin Musa

6. Mahmud bin Gailan

7. Sa’id bin 'Abdur Rahman

8. Muhammad bin Basyyar

9. 'Ali bin Hajar

Murid-muridnya

Hadith-hadith dan ilmu-ilmunya dipelajari dan diriwayatkan oleh banyak ulama. Diantaranya ialah:

1. Makhul ibn al-Fadl

2. Muhammad bin Mahmud 'Anbar

3. Hammad bin Syakir

Kekuatan hafalannya

Imam at-Termizi diakui oleh para ulama keahliannya dalam bidang hadith, kesolehan dan ketakwaannya. Beliau terkenal pula sebagai seorang yang dapat dipercaya, amanah dan sangat teliti. Salah satu bukti kekuatan dan cepat hafalannya ialah kisah berikut yang dikemukakan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam kitab Tahzib at-Tahzib, dari Ahmad bin 'Abdullah bin Abu Dawud, yang berkata:

"Saya mendengar Abu 'Isa at-Tirmizi berkata: Pada suatu waktu dalam perjalanan menuju Makkah, dan ketika itu saya telah menuslis dua jilid berisi hadith-hadith yang berasal dari seorang guru. Kemudian saya menemui guru tersebut. Saya mengira bahwa "dua jilid kitab" itu ada padaku. Ternyata yang kubawa bukanlah dua jilid tersebut, melainkan dua jilid lain yang mirip dengannya. Ketika saya telah bertemu dengan dia, saya memohon kepadanya untuk mendengar hadith, dan beliau mengabulkan permohonan itu. Kemudian beliau membacakan hadith yang dihafalnya. Di sela-sela pembacaan itu beliau mencuri pandang dan melihat bahawa kertas yang kupegang masih putih bersih tanpa ada tulisan sesuatu apa pun.

Melihat keadaan ini, beliau berkata: "Tidakkah engkau malu kepadaku?" Lalu aku bercerita dan menjelaskan kepadanya bahwa apa yang beliau bacakan itu telah kuhafal semuanya. 'Cuba bacakan!' suruhnya. Lalu aku pun membacakan seluruhnya secara berturutan. Beliau bertanya lagi: "Apakah telah engkau hafalkan sebelum datang kepadaku?'' "Tidak," jawabku. Kemudian saya meminta lagi agar beliau meriwayatkan hadith yang lain. Beliau pun kemudian membacakan empat puluh buah hadith yang tergolong hadits-hadits yang sukar atau garib, lalu berkata: 'Cuba ulangi apa yang kubacakan tadi,' Lalu aku membacakannya dari pertama sampai selesai dan beliau berkata: "Aku belum pernah melihat orang seperti engkau."

Pandangan pengkritik hadith kepada Imam at-Termizi

Para ulama besar telah memuji dan menyanjungnya dan mengakui akan kemuliaan dan keilmuannya. Al-Hafiz Abu Hatim Muhammad ibn Hibban menggolongkan Imam at-Termizi ke dalam kelompok "thiqat" atau orang-orang yang dapat dipercayai dan kukuh hafalannya dan beliau berkata: "at-Termizi adalah salah seorang ulama yang mengumpulkan hadith, menyusun kitab, menghafal hadith dan bermuzakarah (berdiskusi) dengan para ulama."

Abu Ya'la al-Khalili dalam kitabnya 'Ulum al-Hadith menerangkan: "Muhammad bin 'Isa at-Termizi adalah seorang penghafal dan ahli hadith yang baik yang telah diakui oleh para ulama. Beliau memiliki kitab as-Sunan dan kitab al-Jarh wa at-Ta'dil. Hadith-hadithnya diriwayatkan oleh Abu Mahbub dan ramai ulama yang lain. Beliau terkenal sebagai seorang yang dapat dipercaya, seorang ulama dan imam yang menjadi ikutan dan yang berilmu luas. Kitabnya, Jami' al-Kabir adalah bukti atas keagungan darjatnya, keluasan hafalannya, banyak pembacaannya dan pengetahuannya tentang hadith yang sangat mendalam.

Fiqh Imam at-Termizi dan ijtihadnya

Imam at-Termizi, di samping dikenal sebagai ahli dan penghafal hadith yang mengetahui darjat hadith dan perawi-perawinya, beliau juga dikenali sebagai ahli fiqh yang mewakili wawasan dan pandangan luas. Barang siapa mempelajari kitab Jami'nya akan mendapati ketinggian ilmu dan kedalaman penguasaannya terhadap berbagai mazhab fiqh. Kajian-kajiannya mengenai persoalan fiqh mencerminkan dirinya sebagai ulama yang sangat berpengalaman dan mengerti betul permasalahan fiqh.

Karya-karyanya

Imam Tirmizi banyak menulis kitab-kitab. Di antaranya:

1. Kitab al-Jami' al-Kabir, terkenal dengan sebutan Sunan at-Termizi.




2. Kitab al-'Ilal.




3. Kitab at-Tarikh.

4. Kitab Asy-Syamail al-Muhamdiyyah.




5. Kitab az-Zuhd.

6. Kitab al-Asma' wa al-Kuna.

Kematian

Setelah menjalani perjalanan panjang untuk belajar, mencatat, berdiskusi dan bertukar fikiran dengan para ulama serta mengarang, beliau pada akhir kehidupannya terkena penyakit buta, dan beberapa tahun lamanya beliau hidup dalam keadaan buta dan akhirnya dalam keadaan seperti inilah akhirnya Imam at-Termizi meninggal dunia. Beliau wafat di Tirmiz pada malam Isnin 13 Rajab tahun 279 H dalam usia 70 tahun.

Sekilas tentang al-Jami' al-Kabir

Kitab ini adalah salah satu kitab karya Imam at-Termizi yang terbesar dan paling banyak manfaatnya. Ia tergolong dalam salah satu "Kutubus Sittah" (enam kitab utama dalam Bidang Hadits) dan ensiklopedia hadith terkenal. Al-Jami' al-Kabir ini terkenal dengan nama Jami' at-Termizi, dinisbahkan kepada penulisnya, yang juga terkenal dengan nama Sunan at-Termizi. Namun nama pertamalah yang popular.

Sebagian ulama tidak berkeberatan menyandangkan gelar as-Sahih kepadanya, sehingga mereka menamakannya dengan Sahih Tirmizi. Sebenarnya pemberian nama ini kurang tepat kerana bukan semua hadith yang terdapat dalam Sunan at-Termizi sahih semuanya. Masih terdapat hadith-hadith daif dalam kitab ini.

Setelah selesai menyusun kitab ini, Imam at-Termizi memperlihatkan kitabnya kepada para ulama dan mereka senang dan menerimanya dengan baik. Beliau menerangkan: "Setelah selesai menyusun kitab ini, aku perlihatkan kitab tersebut kepada ulama-ulama Hijaz, Iraq dan Khurasan, dan mereka semuanya meredhainya. Mereka berkata sesiapa yang memiliki kitab ini di rumahnya seolah-olah di rumah tersebut ada Nabi yang sedang berbicara."

Imam at-Termizi di dalam al-Jami' al-Kabir menerangkan bahawa beliau tidak hanya meriwayatkan hadith sahih semata-mata, tetapi beliau juga meriwayatkan hadith-hadith hasan, daif, garib dan mu'allal dengan menerangkan kelemahannya.

Dalam pada itu, beliau tidak meriwayatkan dalam kitabnya itu, kecuali hadith-hadith yang diamalkan atau dijadikan pegangan oleh ahli fiqh. Metode demikian ini merupakan cara atau syarat yang longgar. Oleh kerana itu, beliau meriwayatkan semua hadith yang memiliki nilai demikian, baik jalan periwayatannya itu sahih ataupun tidak sahih. Beliau juga selalu memberikan penjelasan yang sesuai dengan keadaan setiap hadith.

Diriwayatkan, bahawa beliau pernah berkata: "Semua hadits yang terdapat dalam kitab ini adalah dapat diamalkan." Oleh karena itu, sebagian besar ahli ilmu menggunakannya (sebagai pegangan), kecuali dua buah hadits, yaitu: Pertama, yang artinya: "Sesungguhnya Rasulullah SAW menjamak shalat Zuhur dengan Asar, dan Maghrib dengan Isya, tanpa adanya sebab "takut" dan "dalam perjalanan."

Hadith yang kedua ialah "Jika peminum arak minum lagi arak pada kali yang keempat, maka bunuhlah dia." Hadits ini telah dimansuhkan dan ijma ulama menunjukan demikian perkara tersebut. Sedangkan mengenai solat jamak dalam hadith di atas, para ulama berbeza pendapat, ada yang berpegang dengan hadith tersebut dan ada yang meninggalkannya. Sebagian besar ulama berpendapat boleh (jawaz) hukumnya melakukan salat jamak di rumah selama tidak dijadikan kebiasaan. Pendapat ini adalah pendapat Ibn Sirin, Ibn Munzir dan Asyab serta sebagian besar ahli fiqh dan ahli hadith. Manakala menurut pendapat Imam asy-Syafi'e tidak boleh melakukan solat jamak kecuali ketika musafir.

Hadith-hadith daif dan munkar yang terdapat dalam kitab ini, pada umumnya hanya berkaitan dengan fadail 'amal (anjuran melakukan perbuatan-perbuatan kebajikan). Syarat-syarat meriwayatkan dan mengamalkan hadith seperti ini lebih longgar dibandingkan dengan persyaratan bagi hadith-hadith tentang halal dan haram.

Rabu, 5 Mac 2014

Imam Muslim

Imam Muslim adalah salah seorang ulama besar hadith yang mana kitab Sahihnya merupakan salah satu daripada enam buah kitab hadith yang utama dalam Islam. Imam Muslim dilahirkan pada tahun 206H/820M di Nisabur. Nama sebenarnya ialah Abu Husain Muslim bin Hajjaj bin Muslim. Beliau berasal dari keturunan Bani Qusyair salah sebuah kabilah Arab.

Pengembaraan dan kecintaannya Kepada Ilmu

Imam Muslim merupakan ulama yang mencintai ilmu dan amat menggemari bersua muka dengan para ulama. Beliau belayar melintasi padang-padang pasir dan menyeberangi lautan. Segala tujuannya ialah menjumpai ulama-ulama terkenal pada masanya dan para cerdik pandai sezaman dengannya dan juga mereka yang bijaksana yang sewaktu dengannya. Beliau belayar ke Hijaz, Iraq, Mesir dan Syria. Beliau telah pergi ke Baghdad lebih dari sekali. Beliau telah mendapat banyak faedah dari penduduk-penduduknya dan kali terakhir pemergiannya ke Baghdad ialah pada tahun 259H.

Dan bila masa Imam al-Bukhari telah datang ke Naisabur, pada masa itulah Imam Muslim banyak menemuinya serta mengakui kelebihannya. Bahkan lebih dari itu, bila masa Imam al-Bukhari telah tinggal di Naisabur, Imam Muslim terus mendampingi beliau. Oleh kerana itu, kita akan mendapati Imam Muslim banyak terkesan dengan gurunya, Imam Bukhari. Hal ini dilihat  jelas dalam sahihnya.

Tetapi, walaupun beliau berguru dengan Imam al-Bukhari, beliau tidak meriwayatkan dari riwayat-riwayatnya, kemungkinan besar kerana beliau merasa memadailah dengan apa yang telah dikarang oleh gurunya.

Dan sesungguhnya pelayaran-pelayarannya itu telah memudahkan beliau bertemu dengan bilangan besar dari ulama-ulama terkemuka dan bijaksana seperti Imam Ahmad bin Hanbal, Abdullah bin Salamah, Ibnu Rahawaih, Ibnu Mahran, Said bin Mansur dan ramai lagi.

Sememangnya Imam Muslim amat meminati ilmu hadith semenjak dari kecil lagi. Beliau mula mempelajari hadith ketika umur yang sangat muda iaitu pada umur 12 tahun. Minat beliau dalam ilmu hadith telah menjadikan beliau sebagai orang yang amat menguasai ilmu hadith dan karangannya dalam ilmu hadith telah diterima dan diiktiraf oleh para ulama sepanjang zaman.

Karya-Karyanya

Selain karyanya yang terkenal iaitu Sahih Muslim, Imam Muslim telah mengarang berbagai-bagai kitab serta penulisan-penulisan yang lain yang telah tersebar dikalangan kaum Muslimin. Antara karya-karyanya itu ialah:

1. Al-Musnad al-Kabir

2. Al-Asma’ Wal Kunni

3. At-Tamyiz




4. Al-Ifrad

5. Sualat Ahmad Ibnu Hanbal

Terlalu Banyak Makan Kurma

Suatu hari Imam Muslim mengadiri majlis muzakarah bersama para ilmuan yang membahaskan ilmu hadith. Salah seorang di antara peserta muzakarah bertanya satu hadith kepada Imam Muslim, tapi beliau tidak mengetahui hadith tersebut. Beliau balik dengan tekad untuk menyemak  catatan-catatan hadithnya.

Sesampainya di rumah, beliau terus masuk ke dalam biliknya dan menyalakan lampu.

”Sesiapa pun tidak boleh masuk menjumpaiku pada malam ini.” kata Imam Muslim kepada keluarganya.

Pada siang harinya, seseorang telah menghadiahkan sebakul kurma kepada beliau. Maka kurma itu pun di bawa masuk ke dalam biliknya.

Mulailah beliau menyemak catatan-catatan hadithnya. Apabila selesai membaca satu hadith, beliau mencapai sebiji kurma lalu dimakannya. Kemudian membaca satu hadith lagi, lalu mencapai sebiji kurma dan memakannya setelah satu hadith yang dibacanya selesai. Demikianlah seterusnya sehingga pagi dan tanpa disedarinya dan satu bakul kurma telah habis dimakannya. Akibatnya, beliau sakit perut yang membawa kepada ajalnya. Maka pada hari Ahad malam Isnin, 25 Rejab 261H/875M, imam besar itu wafat dan dikebumikan pada esok harinya. Umur beliau hanya lebih kurang 53 tahun sahaja.

Sekilas tentang Sahih Muslim



Kitab ini merupakan salah satu dari dua kitab yang paling sahih selepas al-Quran. Kedua kitab Sahih ini diterima baik oleh segenap umat Islam. Imam Muslim telah mengerahkan seluruh kemampuannya untuk meneliti dan mempelajari keadaan para periwayat hadith, menyaring hadith-hadith yang diriwayatkan, membandingkan riwayat riwayat itu antara satu sama lain. Imam Muslim sangat teliti dan begitu berhati-hati dalam menggunakan lafaz-lafaz dan selalu memberikan isyarat jika terdapat sebarang perbezaan antara lafaz-lafaz tersebut.

Usaha yang sedemikian rupa telah menghasilkan sebuah kitab bermutu tinggi dan menjadi rujukan utama oleh umat Islam hingga dekad ini. Bukti kukuh mengenai kehebatan kitab karyanya ini merupakan suatu kenyataan yang dilakukan sendiri oleh Imam Muslim yang telah menyaring segala isi kandungan kitabnya dari ribuan riwayat hadith yang pernah didengarinya dari ratusan ulama sezaman dengannya.

Di dalam hal ini, pernah diceritakan yang ia menyebutkan: “Aku menyusun kitab Sahih ini yang telah disaring dari 300,000 buah hadith.”

Diriwayatkan dari Ahmad bin Salamah, dia berkata: “Aku menulis bersama Muslim untuk menyusun kitab Sahihnya itu selama 15 tahun. Kitab itu berisi 12000 buah hadith.”

Dalam pada itu, Ibn Salah menyebutkan dari Abu Quraisy al-Hafiz, bahawa jumlah hadith Sahih Muslim itu sebanyak 4,000 buah hadith. Kedua pendapat tersebut adalah benar jika dilihat daripada bilangan pertama yang menunjukkan hadith yang telah dimasukkan ke dalamnya merupakan hadith-hadith yang berulang-ulang disebut, sedangkan bilangan kedua hanya menjelaskan hadith-hadith yang tidak disebut secara berulang.

Imam Muslim menyebutkan di dalam Sahihnya: “Aku gabungkan di sini, bukanlah setiap hadith yang sahih menurut pandanganku. Aku hanya menghimpunkan hadith-hadith yang telah disepakati oleh para ulama hadith.”

Imam Muslim pernah berkata, sebagai ungkapan gembira atas anugerah Allah yang telah diterimanya: “Apabila penduduk bumi ini menulis hadith selama 200 tahun, maka usaha mereka hanya akan berkisar pada kitab ini.”

Ketelitian dan sikap berwaspada Imam Muslim daripada melakukan sebarang kesilapan dan kesalahan terhadap hadith yang diriwayatkan dalam Sahihnya dapat dilihat dari perkataannya seperti berikut: “Aku tidak meletakkan sesebuah hadith di dalam kitabku ini, melainkan ia mempunyai hujah dan alasan. Begitu juga, aku tidak akan menggugurkan sesebuah hadith daripadanya melainkan terdapat hujah dan alasan pula.”

Imam Muslim di dalam penulisan Sahihnya tidak membuat judul setiap bab secara terperinci. Judul-judul kitab dan bab yang didapati pada sebahagian naskhah Sahih Muslim yang sudah dicetak, sebenarnya telah dibuat oleh para penyemak yang muncul kemudian. Di antara para penyemak (pentahqiq) yang paling baik dalam menyusun semula judul bab dengan lebih bersistematik adalah Imam an-Nawawi sebagaimana di dalam kitab Syarahnya.


Ahad, 2 Mac 2014

Prof Dr Ali Juma'ah



Latar belakang

Prof Dr. Ali Juma’ah merupakan bekas mufti Republik Arab Mesir selepas tempat beliau diganti oleh Dr Syauqi Ibrahim. Nama penuh beliau ialah Ali bin Juma’ah bin Muhammad bin Abdul Wahab dan telah dilahirkan di daerah Bani Suwaif, Mesir pada tanggal 3 Mac 1953.

Beliau bermazhab aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah (Asha’irah) manakala mazhab fiqh beliau adalah mazhab Syafie.

Beliau menjadi mufti Republik Arab Mesir selama 10 tahun iaitu dari tahun 2003 sehingga 2013.

Bersama dengan Mufti baru Mesir Dr Syauqi Ibrahim 'Allam

Keluarga

Hasil perkongsian hidup dengan isteri tersayang, lahirlah tiga orang puteri penyeri rumah tangga. Kesemua anaknya kini sudah berkahwin dan masing-masing telah pun dikurniakan cahaya mata.



Pencapaian akademik

Dr Ali Juma’ah merupakan tokoh cendekiawan yang cukup berpotensi dan mempunyai prestasi akademik yang sangat mantap.

Apabila beliau mendapat B.A. dalam bidang Perniagaan di Universiti ‘Ain Syams pada tahun 1973, beliau berhasil pula meraih B.A. dari Kuliah Dirasat Islamiah wal Arabiah, Universiti al-Azhar pada tahun 1979. Kemudian, menyambung lagi pengajian di peringkat M.A. dalam bidang Usul Fiqh di Kuliah Syariah wal Qanun, Universiti al-Azhar pada tahun 1985 dan berjaya mendapat pangkat Mumtaz. Tiga tahun berikutnya iaitu pada 1988, di kuliah dan universiti yang sama, beliau berjaya mendapat Ph.D dalam bidang Usul Fiqh dengan pangkat Mumtaz Syaraf Ula.



Kerjaya

Melihat kepada keunggulan syakhsiyah dan pencapaian akademik yang cemerlang, Dr Ali Juma’ah telah dilantik oleh berbagai-bagai pihak untuk memegang pelbagai jawatan. Antaranya jawatan sebagai mufti Mesir yang disandang sejak tahun 2003 hingga 2013. Selain daripada itu, beliau yang merupakan tenaga pengajar dalam bidang Usul Fiqh di Kuliah Dirasat Islamiah wal Arabiah, Universiti al-Azhar cawangan Kaherah, juga adalah anggota kepada Majma’ Buhus Islamiah sejak tahun 2004 hingga sekarang.

Jawatan beliau tidak terbatas di dalam negara sahaja tetapi juga di luar negara. Di samping pernah menjadi penasihat kepada Menteri Waqaf Mesir dari tahun 1998 hingga 2003, Dr Ali Juma’ah merupakan ahli majlis Fatwa Utara Amerika dan ahli majlis Fiqh Islam di India. Beliau juga adalah anggota Majlis Fatwa al-Azhar dari tahun 1995 hingga 1997.

Antara jawatan yang telah dan masih beliau pegang ialah sebagai Perunding Syari’ah kepada banyak bank dan syarikat kewangan. Menjadi penasihat pelbagai pertubuhan akademik, ekonomi, kebajikan, fatwa di Mesir dan seluruh dunia.



Kegiatan ilmu

Dr Ali Juma’ah merupakan antara orang yang bertanggungjawab menghidupkan kembali majlis-majlis ilmu dan pengajian di masjid al-Azhar sekitar tahun 1990-an. Berkat usaha dan kesungguhannya, terlaksanalah pengajian dalam pelbagai subjek di masjid tersebut yang diajar oleh tenaga-tenaga pengajar yang berkredibiliti secara percuma, sedang beliau sendiri berperanan menyampaikan kuliah agama dan mengajar kitab-kitab turath.

Beliau juga menyampaikan khutbah dan pengajian Fiqh Syafie secara tetap di masjid Sultan Hassan, Kaherah semenjak tahun 1998 hingga sekarang. Selain turut menerima undangan untuk menyampaikan pengajian agama kepada Yang Mulia Raja Maghribi pada setiap tahun, beliau telah terlibat sama dalam mengasas dan menyusun sistem pengajian di Kuliah Syari’ah Amman, Jordan sehingga membawa kepada penubuhan kuliah tersebut.

Jasa Dr Ali Juma’ah dalam kegiatan ilmu tidak terhenti setakat itu sahaja, beliau turut menyumbang dalam menyusun sistem pengajian Universiti Ilmu-ilmu Islam dan Kemasyarakatan (SISS) di Washington. Beliau turut bekerjasama dengan Majma’ Bahasa Arab dalam mengeluarkan ensiklopedia istilah-istilah ilmu Usul, pernah dilantik untuk menjadi musyrif kehormat di cawangan Universiti Oxford dalam bidang Pengajian Islam & Bahasa Arab dan di cawangan Universiti Harvard, Mesir dalam bidang Pengajian Timur.

Tokoh ulama yang disegani ini sememangnya mendapat perhatian seluruh dunia termasuk Malaysia. Ini terbukti apabila beliau sering diundang untuk memberi syarahan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Kuala Lumpur serta diminta memberi khidmat nasihat kepada tenaga-tenaga pengajar di universiti tersebut dalam kursus untuk meningkatkan mutu pengajaran mereka.  

Beliau juga telah melawat lebih daripada 20 negara untuk menyampaikan syarahan dan meng-hadiri pelbagai seminar di seluruh dunia serta sering diundang sebagai pengisi slot untuk siaran televisyen dan radio Mesir atau antarabangsa.



Karangan-karangan

Dr Ali Juma’ah telah menulis banyak buku dan karangan yang bermanfaat, terutamanya dalam pengajian Syariah dan khususnya dalam bidang Usul Fiqh.

a. Di antara karya beliau ialah:

1. Al-Musthalah al-Usuli wa al-Tatbiq ‘ala Ta’rif al-Qiyas

2. Al-Hukm asy-Syar’I ‘inda al-Usuliyyin

3. Athar Zihab al-Mahal fi al-Hukm

4. Al-Madkhal li Dirasah al-Mazahib al-Fiqhiyyah al-Islamiyyah

5. ‘Alaqah Usul al-Fiqh bi al-Falsafah

6. Madi Hujiyyah ar-Ru’ya

7. An-Nasakh ‘Inda al-Usuliyyin

8. Al-Ijma’ ‘Inda al-Usuliyyin

9. Alyat al-Ijtihad

10. Al-Imam al-Bukhari

11. Al-Imam asy-Syafi’ie wa Madrasatuhu al-Fiqhiyyah

12. Al-Awamir wa an-Nawahi

13. Al-Qiyas ‘Inda al-Usuliyyin

14. Ta’arudh al-Aqisah

15.  Qaul as-Sahabi

16. Al-Mayiil wa al-Mawazin

17. At-Thariq ila at-Turath

18. Al-Kalim at-Tayyib-Fatawa ‘Asyriyyah Jilid 1 & 2

19. Ad-Din wa al-Hayah-Fatawa Mu’asirah

20. Al-Jihad fi Al-Islam

21. Syarah Ta’rif al-Qiyas

22. Al-Bayan Lima Yashghil al-Azhan-100 Fatawa

23. Simat al-‘Asr-Ru’yah Muhtam

24. Muhammad Rasulullah lil ‘Alamin

25. Fatawa Al-Imam Muhammad ‘Abduh

26. Haqaiq al-Islam fi Muwajihah Syubhat al-Musyakkikin

27. Qadhiyyah Tajdid Usul al-Fiqh

28. Sina’ah al-Ifta’ Min Majmu’ah Silsilah at-Tanwir al-Islami

29. At-Tajribah al-Misriyyah Min Majmu’ah Silsilah at-Tanwir al-Islami

30. Makanah al-Mar’ah Fi al-Fiqh al-Islami Min Majmu’ah Silsilah al-Tanwir al-Islami

31. Al-Mar’ah Baina Insaf al-Islam wa Syubhat al-Akhar

32. Qadhaya al-Mar’ah fi al-Fiqh al-Islami

33. Al-Mar’ah fi al-Hadharah al-Islamiyyah

34. Taisir an-Nahj fi Syarah Manasik al-Haj

35. An-Nabi Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam

36. At-Thariq ila Allah

37. Al-Wahyu-al-Quran al-Karim

38. Al-Baiyinah wa al-Hufaz ‘Alaiha Min Manzur Islami

39. Sabil al-Mubtadi’in Syarah Manazil as-Sairin

b. Antara kitab-kitab yang telah beliau tahqiq;

1. Riyadhus Solihin karya Imam Nawawi

2. Jauharah Tauhid karya Imam al-Bajuri

3. Syarah Alfiah as-Sirah karya al-Ajhuri

4. Al-Furuq karya al-Qarafi

5. At-Tajrid fi Muqaranat Fiqh al-Hanafi wa asy-Syafie karya al-Qaduri

6. Al-Muqaranat at-Tasyri’iyyah karya Makhluf al-Munyawi

7. Al-Muqaranat at-Tasyri’iyyah karya Abdullah Husain at-Taidi



Penulisan ilmiah dan Artikel

Dr Ali Juma’ah telah menghasilkan banyak penulisan ilmiah yang merangkumi pel-bagai bidang ilmu dan dimuatkan dalam majalah-majalah di Mesir sendiri atau luar negara serta banyak menyumbangkan artikel untuk akhbar Mesir dan antarabangsa dalam multi tajuk yang menarik dan berfaedah. Dalam masa yang sama, beliau turut memegang banyak jawatan sebagai redaksi dan menjadi editor beberapa buah majalah terkenal.



Mufti dan Darul Ifta’

Dr Ali Juma’ah telah melakukan pembaharuan yang drastik di Darul Ifta’ dari segi mem-pertingkatkan kecanggihan sistem pertanyaan fatwa menggunakan Sistem Teknologi Maklumat (IT) dengan mengemaskinikan laman-laman web fatwa dan meramaikan pegawai-pegawai fatwa bagi memudahkan segala urusan berkaitan.

Beliau juga telah menyusun sistem pengajian dan kursus fatwa untuk pelajar-pelajar asing di Darul Ifta’ sebagai latihan kepada mereka yang akan pulang menjadi dai’e di negara masing-masing.



Guru-guru beliau

1. Al-Muhadith Abdullah Siddiq al-Ghumari



Beliau merupakan seorang ahli hadith dari Tanjah, Maghribi yang telah menghafal lebih 50000 buah hadith berserta sanadnya. Dr Ali Juma’ah membaca kepada beliau seluruh kitab Sahih Bukhari, Muwatta’ Imam Malik dan al-Luma’ fi Usul Fiqh karya Imam Abu Ishaq al-Syirazi. Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari telah mengijazahkan kepada beliau untuk meriwayatkan hadith dan mengeluarkan fatwa. Malah beliau menasihatkan kepada murid-muridnya yang lain untuk belajar kepada Dr Ali Juma’ah.

2. Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah



Beliau merupakan seorang muhaqqiq yang terkenal dan banyak mentahqiq kitab-kitab besar. Dr Ali Juma’ah telah membaca kepada beliau kitab al-Adab al-Mufrad karya Imam al-Bukhari. Beliau telah mengambil ijazah kitab Usul al-Fiqh karya Syeikh Muhammad Abu Nur Zuhair dari Dr Ali Jumaah sebagai satu pengiktirafah terhadap ilmu Dr Ali Juma’ah.

3. Syeikh Muhammad Abu Nur Zuhair

Beliau merupakan Professor Usul al-Fiqh di Kuliah Syariah, Universiti al-Azhar dan merupakan ahli Lajnah Fatwa. Dr Ali Juma’ah telah membaca kepada beliau 4 jilid kitab Usul al-Fiqh karya beliau sendiri. Beliau telah mengijazahkan kepada Dr Ali Juma’ah kebenaran untuk mengajar dan mengeluarkan fatwa.

4. Syeikh Jad ar-Rab Ramadhan Juma’ah

Beliau merupakan Dekan Kuliah Syariah dan Undang-undang. Dr Ali Juma’ah telah membaca kepada beliau kitab al-Asybah wa an-Nazair karya Imam as-Sayuti. Beliau telah mengelar Dr Ali Juma’ah sebagai asy-Syafie as-Saghir (Imam Syafie kecil).

5. Syeikh al-Husaini Yusuf al-Syeikh

Beliau merupakan Professor Syariah dan Usul al-Fiqh di Kuliah Syariah dan Undang-undang di Universiti al-Azhar. Dr Ali Juma’ah telah membaca kepada beliau kitab at-Tamhid karya Imam al-Asnawi.

6. Syeikh Abd al-Jalil al-Quransyawi al-Maliki

Beliau merupakan Professor Fiqh di Kuliah Syariah dan Undang-undang. Dr Ali Juma’ah telah memuji beliau sebagai ‘Allamah Dunya (orang paling alim di dunia). Dr Ali Juma’ah telah belajar dengan beliau kitab Syarah al-‘Adadh ‘ala Ibnu Hajib dalam ilmu Usul.

7. Imam al-Akbar Syeikh al-Azhar Jad al-Haq Ali Jad al-Haq

Dr Ali Juma’ah mengambil banyak manfaat daripada beliau dan sentiasa melazimi beliau. Beliau telah memberi kepercayaan kepada Dr Ali Juma’ah untuk menganggotai Lajnah Fatwa ketika beliau masih muda.

8. Syeikh Abdul Aziz al-Zayyat

Beliau merupakan Syeikh al-Qurra’ pada masa ini dan di Mesir keseluruhannya. Dr Ali Juma’ah telah belajar dengan beliau kitab Mughni al-Muhtaj Syarah al-Minhaj karya Imam Khatib asy-Syarbini. Dr Ali Juma’ah sentiasa menziarahi beliau selepas solat Subuh di rumah beliau yang berdekatan dengan Masjid al-Azhar.

9. Syeikh Ahmad Muhammad Mursi al-Naqsyabandi

10. Syeikh Muhammad al-Hafiz at-Tijani. Syeikh tariqat at-Tijani.



11. Syeikh Muhammad Alawi al-Maliki



12. Syeikh Soleh al-Ja’fari



13. Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim