Ahad, 2 Mac 2014

Prof Dr Ali Juma'ah



Latar belakang

Prof Dr. Ali Juma’ah merupakan bekas mufti Republik Arab Mesir selepas tempat beliau diganti oleh Dr Syauqi Ibrahim. Nama penuh beliau ialah Ali bin Juma’ah bin Muhammad bin Abdul Wahab dan telah dilahirkan di daerah Bani Suwaif, Mesir pada tanggal 3 Mac 1953.

Beliau bermazhab aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah (Asha’irah) manakala mazhab fiqh beliau adalah mazhab Syafie.

Beliau menjadi mufti Republik Arab Mesir selama 10 tahun iaitu dari tahun 2003 sehingga 2013.

Bersama dengan Mufti baru Mesir Dr Syauqi Ibrahim 'Allam

Keluarga

Hasil perkongsian hidup dengan isteri tersayang, lahirlah tiga orang puteri penyeri rumah tangga. Kesemua anaknya kini sudah berkahwin dan masing-masing telah pun dikurniakan cahaya mata.



Pencapaian akademik

Dr Ali Juma’ah merupakan tokoh cendekiawan yang cukup berpotensi dan mempunyai prestasi akademik yang sangat mantap.

Apabila beliau mendapat B.A. dalam bidang Perniagaan di Universiti ‘Ain Syams pada tahun 1973, beliau berhasil pula meraih B.A. dari Kuliah Dirasat Islamiah wal Arabiah, Universiti al-Azhar pada tahun 1979. Kemudian, menyambung lagi pengajian di peringkat M.A. dalam bidang Usul Fiqh di Kuliah Syariah wal Qanun, Universiti al-Azhar pada tahun 1985 dan berjaya mendapat pangkat Mumtaz. Tiga tahun berikutnya iaitu pada 1988, di kuliah dan universiti yang sama, beliau berjaya mendapat Ph.D dalam bidang Usul Fiqh dengan pangkat Mumtaz Syaraf Ula.



Kerjaya

Melihat kepada keunggulan syakhsiyah dan pencapaian akademik yang cemerlang, Dr Ali Juma’ah telah dilantik oleh berbagai-bagai pihak untuk memegang pelbagai jawatan. Antaranya jawatan sebagai mufti Mesir yang disandang sejak tahun 2003 hingga 2013. Selain daripada itu, beliau yang merupakan tenaga pengajar dalam bidang Usul Fiqh di Kuliah Dirasat Islamiah wal Arabiah, Universiti al-Azhar cawangan Kaherah, juga adalah anggota kepada Majma’ Buhus Islamiah sejak tahun 2004 hingga sekarang.

Jawatan beliau tidak terbatas di dalam negara sahaja tetapi juga di luar negara. Di samping pernah menjadi penasihat kepada Menteri Waqaf Mesir dari tahun 1998 hingga 2003, Dr Ali Juma’ah merupakan ahli majlis Fatwa Utara Amerika dan ahli majlis Fiqh Islam di India. Beliau juga adalah anggota Majlis Fatwa al-Azhar dari tahun 1995 hingga 1997.

Antara jawatan yang telah dan masih beliau pegang ialah sebagai Perunding Syari’ah kepada banyak bank dan syarikat kewangan. Menjadi penasihat pelbagai pertubuhan akademik, ekonomi, kebajikan, fatwa di Mesir dan seluruh dunia.



Kegiatan ilmu

Dr Ali Juma’ah merupakan antara orang yang bertanggungjawab menghidupkan kembali majlis-majlis ilmu dan pengajian di masjid al-Azhar sekitar tahun 1990-an. Berkat usaha dan kesungguhannya, terlaksanalah pengajian dalam pelbagai subjek di masjid tersebut yang diajar oleh tenaga-tenaga pengajar yang berkredibiliti secara percuma, sedang beliau sendiri berperanan menyampaikan kuliah agama dan mengajar kitab-kitab turath.

Beliau juga menyampaikan khutbah dan pengajian Fiqh Syafie secara tetap di masjid Sultan Hassan, Kaherah semenjak tahun 1998 hingga sekarang. Selain turut menerima undangan untuk menyampaikan pengajian agama kepada Yang Mulia Raja Maghribi pada setiap tahun, beliau telah terlibat sama dalam mengasas dan menyusun sistem pengajian di Kuliah Syari’ah Amman, Jordan sehingga membawa kepada penubuhan kuliah tersebut.

Jasa Dr Ali Juma’ah dalam kegiatan ilmu tidak terhenti setakat itu sahaja, beliau turut menyumbang dalam menyusun sistem pengajian Universiti Ilmu-ilmu Islam dan Kemasyarakatan (SISS) di Washington. Beliau turut bekerjasama dengan Majma’ Bahasa Arab dalam mengeluarkan ensiklopedia istilah-istilah ilmu Usul, pernah dilantik untuk menjadi musyrif kehormat di cawangan Universiti Oxford dalam bidang Pengajian Islam & Bahasa Arab dan di cawangan Universiti Harvard, Mesir dalam bidang Pengajian Timur.

Tokoh ulama yang disegani ini sememangnya mendapat perhatian seluruh dunia termasuk Malaysia. Ini terbukti apabila beliau sering diundang untuk memberi syarahan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Kuala Lumpur serta diminta memberi khidmat nasihat kepada tenaga-tenaga pengajar di universiti tersebut dalam kursus untuk meningkatkan mutu pengajaran mereka.  

Beliau juga telah melawat lebih daripada 20 negara untuk menyampaikan syarahan dan meng-hadiri pelbagai seminar di seluruh dunia serta sering diundang sebagai pengisi slot untuk siaran televisyen dan radio Mesir atau antarabangsa.



Karangan-karangan

Dr Ali Juma’ah telah menulis banyak buku dan karangan yang bermanfaat, terutamanya dalam pengajian Syariah dan khususnya dalam bidang Usul Fiqh.

a. Di antara karya beliau ialah:

1. Al-Musthalah al-Usuli wa al-Tatbiq ‘ala Ta’rif al-Qiyas

2. Al-Hukm asy-Syar’I ‘inda al-Usuliyyin

3. Athar Zihab al-Mahal fi al-Hukm

4. Al-Madkhal li Dirasah al-Mazahib al-Fiqhiyyah al-Islamiyyah

5. ‘Alaqah Usul al-Fiqh bi al-Falsafah

6. Madi Hujiyyah ar-Ru’ya

7. An-Nasakh ‘Inda al-Usuliyyin

8. Al-Ijma’ ‘Inda al-Usuliyyin

9. Alyat al-Ijtihad

10. Al-Imam al-Bukhari

11. Al-Imam asy-Syafi’ie wa Madrasatuhu al-Fiqhiyyah

12. Al-Awamir wa an-Nawahi

13. Al-Qiyas ‘Inda al-Usuliyyin

14. Ta’arudh al-Aqisah

15.  Qaul as-Sahabi

16. Al-Mayiil wa al-Mawazin

17. At-Thariq ila at-Turath

18. Al-Kalim at-Tayyib-Fatawa ‘Asyriyyah Jilid 1 & 2

19. Ad-Din wa al-Hayah-Fatawa Mu’asirah

20. Al-Jihad fi Al-Islam

21. Syarah Ta’rif al-Qiyas

22. Al-Bayan Lima Yashghil al-Azhan-100 Fatawa

23. Simat al-‘Asr-Ru’yah Muhtam

24. Muhammad Rasulullah lil ‘Alamin

25. Fatawa Al-Imam Muhammad ‘Abduh

26. Haqaiq al-Islam fi Muwajihah Syubhat al-Musyakkikin

27. Qadhiyyah Tajdid Usul al-Fiqh

28. Sina’ah al-Ifta’ Min Majmu’ah Silsilah at-Tanwir al-Islami

29. At-Tajribah al-Misriyyah Min Majmu’ah Silsilah at-Tanwir al-Islami

30. Makanah al-Mar’ah Fi al-Fiqh al-Islami Min Majmu’ah Silsilah al-Tanwir al-Islami

31. Al-Mar’ah Baina Insaf al-Islam wa Syubhat al-Akhar

32. Qadhaya al-Mar’ah fi al-Fiqh al-Islami

33. Al-Mar’ah fi al-Hadharah al-Islamiyyah

34. Taisir an-Nahj fi Syarah Manasik al-Haj

35. An-Nabi Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam

36. At-Thariq ila Allah

37. Al-Wahyu-al-Quran al-Karim

38. Al-Baiyinah wa al-Hufaz ‘Alaiha Min Manzur Islami

39. Sabil al-Mubtadi’in Syarah Manazil as-Sairin

b. Antara kitab-kitab yang telah beliau tahqiq;

1. Riyadhus Solihin karya Imam Nawawi

2. Jauharah Tauhid karya Imam al-Bajuri

3. Syarah Alfiah as-Sirah karya al-Ajhuri

4. Al-Furuq karya al-Qarafi

5. At-Tajrid fi Muqaranat Fiqh al-Hanafi wa asy-Syafie karya al-Qaduri

6. Al-Muqaranat at-Tasyri’iyyah karya Makhluf al-Munyawi

7. Al-Muqaranat at-Tasyri’iyyah karya Abdullah Husain at-Taidi



Penulisan ilmiah dan Artikel

Dr Ali Juma’ah telah menghasilkan banyak penulisan ilmiah yang merangkumi pel-bagai bidang ilmu dan dimuatkan dalam majalah-majalah di Mesir sendiri atau luar negara serta banyak menyumbangkan artikel untuk akhbar Mesir dan antarabangsa dalam multi tajuk yang menarik dan berfaedah. Dalam masa yang sama, beliau turut memegang banyak jawatan sebagai redaksi dan menjadi editor beberapa buah majalah terkenal.



Mufti dan Darul Ifta’

Dr Ali Juma’ah telah melakukan pembaharuan yang drastik di Darul Ifta’ dari segi mem-pertingkatkan kecanggihan sistem pertanyaan fatwa menggunakan Sistem Teknologi Maklumat (IT) dengan mengemaskinikan laman-laman web fatwa dan meramaikan pegawai-pegawai fatwa bagi memudahkan segala urusan berkaitan.

Beliau juga telah menyusun sistem pengajian dan kursus fatwa untuk pelajar-pelajar asing di Darul Ifta’ sebagai latihan kepada mereka yang akan pulang menjadi dai’e di negara masing-masing.



Guru-guru beliau

1. Al-Muhadith Abdullah Siddiq al-Ghumari



Beliau merupakan seorang ahli hadith dari Tanjah, Maghribi yang telah menghafal lebih 50000 buah hadith berserta sanadnya. Dr Ali Juma’ah membaca kepada beliau seluruh kitab Sahih Bukhari, Muwatta’ Imam Malik dan al-Luma’ fi Usul Fiqh karya Imam Abu Ishaq al-Syirazi. Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari telah mengijazahkan kepada beliau untuk meriwayatkan hadith dan mengeluarkan fatwa. Malah beliau menasihatkan kepada murid-muridnya yang lain untuk belajar kepada Dr Ali Juma’ah.

2. Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah



Beliau merupakan seorang muhaqqiq yang terkenal dan banyak mentahqiq kitab-kitab besar. Dr Ali Juma’ah telah membaca kepada beliau kitab al-Adab al-Mufrad karya Imam al-Bukhari. Beliau telah mengambil ijazah kitab Usul al-Fiqh karya Syeikh Muhammad Abu Nur Zuhair dari Dr Ali Jumaah sebagai satu pengiktirafah terhadap ilmu Dr Ali Juma’ah.

3. Syeikh Muhammad Abu Nur Zuhair

Beliau merupakan Professor Usul al-Fiqh di Kuliah Syariah, Universiti al-Azhar dan merupakan ahli Lajnah Fatwa. Dr Ali Juma’ah telah membaca kepada beliau 4 jilid kitab Usul al-Fiqh karya beliau sendiri. Beliau telah mengijazahkan kepada Dr Ali Juma’ah kebenaran untuk mengajar dan mengeluarkan fatwa.

4. Syeikh Jad ar-Rab Ramadhan Juma’ah

Beliau merupakan Dekan Kuliah Syariah dan Undang-undang. Dr Ali Juma’ah telah membaca kepada beliau kitab al-Asybah wa an-Nazair karya Imam as-Sayuti. Beliau telah mengelar Dr Ali Juma’ah sebagai asy-Syafie as-Saghir (Imam Syafie kecil).

5. Syeikh al-Husaini Yusuf al-Syeikh

Beliau merupakan Professor Syariah dan Usul al-Fiqh di Kuliah Syariah dan Undang-undang di Universiti al-Azhar. Dr Ali Juma’ah telah membaca kepada beliau kitab at-Tamhid karya Imam al-Asnawi.

6. Syeikh Abd al-Jalil al-Quransyawi al-Maliki

Beliau merupakan Professor Fiqh di Kuliah Syariah dan Undang-undang. Dr Ali Juma’ah telah memuji beliau sebagai ‘Allamah Dunya (orang paling alim di dunia). Dr Ali Juma’ah telah belajar dengan beliau kitab Syarah al-‘Adadh ‘ala Ibnu Hajib dalam ilmu Usul.

7. Imam al-Akbar Syeikh al-Azhar Jad al-Haq Ali Jad al-Haq

Dr Ali Juma’ah mengambil banyak manfaat daripada beliau dan sentiasa melazimi beliau. Beliau telah memberi kepercayaan kepada Dr Ali Juma’ah untuk menganggotai Lajnah Fatwa ketika beliau masih muda.

8. Syeikh Abdul Aziz al-Zayyat

Beliau merupakan Syeikh al-Qurra’ pada masa ini dan di Mesir keseluruhannya. Dr Ali Juma’ah telah belajar dengan beliau kitab Mughni al-Muhtaj Syarah al-Minhaj karya Imam Khatib asy-Syarbini. Dr Ali Juma’ah sentiasa menziarahi beliau selepas solat Subuh di rumah beliau yang berdekatan dengan Masjid al-Azhar.

9. Syeikh Ahmad Muhammad Mursi al-Naqsyabandi

10. Syeikh Muhammad al-Hafiz at-Tijani. Syeikh tariqat at-Tijani.



11. Syeikh Muhammad Alawi al-Maliki



12. Syeikh Soleh al-Ja’fari



13. Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan