Sabtu, 18 Oktober 2014

Syeikhul Islam Zakariyya Al-Ansari



Nama dan pembesaran

Beliau ialah Syeikhul Islam, al-Qadhi al-Qudhah (qadi agung), Zainul ‘Abidin (perhiasan para ‘abid), al-Hafiz (seorang penghafal hadis), Abu Yahya, Zakariyya bin Muhammad bin Ahmad bin Zakariyya al-Ansari as-Sunaiki al-Misri al-Azhari al-Asy’ari asy-Syafi’e.

Dilahirkan di Sunaikah (nama sebuah kampung di Mesir) pada tahun 826 Hijrah. Ada juga pendapat yang mengatakan beliau di lahirkan pada tahun 823 Hijrah dan ada juga mengatakan pada 824 Hijrah tetapi pendapat yang mengatakan pada tahun 826 Hijrah lebih tepat.

Beliau dilahirkan dalam keluarga yang sangat miskin. Diceritakan bahawa beliau sentiasa dalam keadaan kelaparan kerana tidak mempunyai wang untuk membeli makanan. Pada waktu malam beliau keluar untuk mengutip sisa-sisa kulit tembikai kemudian dibasuh lalu beliau memakannya. Begitulah keadaan para ulama dahulu. Kebanyakan mereka dilahirkan dalam keluarga yang miskin tetapi kemiskinan tidak pernah menghalang mereka menuntut ilmu.

Menuntut ilmu

Beliau mula menghafal al-Quran di bawah bimbingan dua orang faqih iaitu Syeikh Muhammad bin Rabi’ dan Syeikh al-Burhan al-Faqusi al-Balbisi.

Kemudian beliau mula menghafal matan-matan ilmiah seperti kitab Umdah al-Ahkam oleh al-Hafiz Abdul Ghani al-Maqdisi dan kitab Mukhtasar al-Tibrizi oleh Abi al-Khair Muzaffar al-Tibrizi.

Pada tahun 841 Hijrah, ketika berumur 15 tahun, beliau bertolak menuju ke Kaherah untuk menuntut di Jami’ al-Azhar. Di sana beliau menamatkan hafalan kitab Mukhtasar at-Tibrizi dan mula menghafal kitab Minhaj at-Thalibin oleh an-Nawawi dalam ilmu fiqh, Alfiyyah Ibnu Malik dalam ilmu nahu, asy-Syatibiyyah dalam ilmu qiraat, Mazumah ar-Rai’yyah oleh al-Zanjani, Minhaj al-Wusul oleh al-Baidhawi dalam ilmu usul fiqh  dan sebahagian daripada kitab Alfiyyah al-Iraqi dalam ilmu mustholah hadis. Beliau tinggal di Kaherah tidak lama dan beliau pulang semula ke kampungnya selepas itu.

Beliau kembali semula ke Kaherah untuk kali kedua untuk menuntut ilmu dengan para ulama di Mesir dalam pelbagai bidang ilmu sehingga beliau menjadi alim dan mahir dalam pelbagai bidang ilmu seperti nahu, bahasa Arab, tafsir, hadis, fiqh, usul fiqh, qiraat, sastera Arab dan lain-lain.

Keahlian dalam bidang ilmu

Keahliah beliau dalam pelbagai bidang ilmu terbukti apabila beliau diamanahkan untuk mengajar di pelbagai madrasah. Malah guru-guru beliau turut memberi keizinan kepada beliau untuk mengajar.

Pada tahun 886 Hijrah, beliau dilantik menjadi Qadhi Qudhah di bawah pemerintahan Raja Mesir iaitu, an-Nasir Muhammad bin Qaitibai dan beliau memegang jawatan tersebut sehingga beliau meninggal dunia. Walaupun sibuk dengan tugas sebagai qadi tetapi tugas tersebut tidak pernah menghalang beliau daripada aktiviti mengajar, mengeluarkan fatwa dan menulis.

Beliau sempat hidup dibawah pemerintahan lima orang raja kerajaan Mamluk Mesir iaitu an-Nasir Muhammad bin Qaitibai, al-Zahir Qansuh, al-Asyraf Jan Bilath, al-‘Adil Thuman Bai dan al-Asyraf al-Ghauri.

Guru-guru beliau

Beliau membaca al-Quran daripada beberapa orang guru, antaranya:

1. Syeikh Riduan bin Muhammad bin Yusuf bin Salamah bin al-Baha’, Abu an-Na’im al-‘Aqbi asy-Syafi’e.

2. Syeikh Soleh bin Amr bin Ruslan ibn al-Qadhi Abu al-Baqa’ Siraj ad-Din al-Bulqini.

3. Syeikh Tahir bin Muhammad bin Ali bin Muhammad bin Makin ad-Din, Abu al-Hasan an-Nuwairi al-Maliki.

4. Syeikh Nur ad-Din Ali bin Muhammad bin al-Imam Fakh ad-Din al-Balbisi asy-Syafi’e.

Beliau mengambil ilmu fiqh daripada:

5. Syeikh Ahmad bin Abdullah bin Mufarraj bin Badr ad-Din al-A’zzi asy-Syafi’e.

6. Syeikh Ahmad bin Ali bin Muhammad al-Syihab, Abu al-Fadl al-Kanani al-Asqalani, terkenal dengan nama Ibnu Hajar al-Asqalani.

7. Syeikh Muhammad bin Ismail bin Ahmad bin Yusuf bin al-Syams al-Wana’ie asy-Syafi’e.

8. Syeikh Musa bin Ahmad bin Musa bin Abdullah bin Sulaiman as-Subki al-Qahiri asy-Syafi’ie.

Beliau mengambil ilmu hadis daripada:

10. Syeikh Ibrahim bin Sadaqah bin Ibrahim bin Ismail, Burhan ad-Din Abu Ishaq bin Fath ad-Din al-Maqdisi al-Hanbali.

11. Syeikh Abu Abbas Ahmad bin Rejab bin Tibgha asy-Syafi’e, dikenali dengan nama Ibnu al-Majdi.

12. Syeikh Muhammad bin Ali al-Qayati asy-Syafi’e.

13. Syeikh Muhammad bin Sulaiman bin Mas’ud, Muhyi ad-Din Abu Abdullah al-Kafiji.

14. Syeikh Husain bin Ali bin Yusuf, Badr ad-Din al-Irbili al-Huskafi asy-Syafi’e.

Beliau membaca kepada guru-gurunya kitab Sirah an-Nabawiyyah, Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Musna Imam asy-Syafi’e, Sunan an-Nasa’ie as-Sughra dan Sunan Ibnu Majah.

Kesemua guru-gurunya memberikan ijazah kepada beliau dan disebutkan dalam kitab thabatnya bahawa guru-guru beliau lebih daripada 150 orang.

Imam Zakariyya al-Ansari telah dipakaikan khirqah as-sufiyyah oleh beberapa orang gurunya iaitu :

15. Syeikh Abi Abbas Ahmad bin Ali al-Atkawi.

16. Syeikh Abi Hafs Umar bin Ali an-Nabtini.

17. Syeikh Ahmad bin Ali al-Dimyathi.

Beliau mengambil ilmu tarikat daripada Syeikh Muhammad bin Umar al-Wasithi al-Umri asy-Syafi’e.

Murid-murid beliau

Oleh sebab keilmuan dan kealiman beliau dalam pelbagai jenis ilmu Islam, maka ramailah para ulama yang dating menuntut dengan beliau, di antaranya:

1. Syeikh Abu Bakar bin Muhammad bin Yusuf al-Qari.

2. Syeikh Ahmad bin Ahmad bin Ahmad bin Muhammad, Syeikhul Islam Syihab ad-Din terkenal dengan nama Ibnu Hajar al-Haitami al-Misri al-Makki asy-Syafi’e. Telah dijelaskan biodata beliau dalam posting yang lalu.

3. Syeikh Ahmad bin Ahmad bin Hamzah al-Ramli al-Ansari asy-Syafi’e.

4. Syeikh Ahmad bin Syihabuddin al-Ramli al-Misri asy-Syafi’e. Beliau merupakan murid utama bagi Imam Zakariyya al-Ansari. Beliau berdamping dengan Imam Zakariyya al-Ansari dalam waktu yang sangat lama sehingga beliau diberi kebenaran oleh Imam Zakariyya al-Ansari untuk membetulkan kitab-kitab karangan beliau sewaktu hayatnya dan selepas matinya dan perkara tersebut tidak diizinkan kepada murid beliau yang lain.

5. Syeikh Ahmad bin Muhammad bin Umar bin Abu Bakar, Syihab ad-Din al-Homsi ad-Dimasyqi asy-Syafi’e.

6. Syeikh Syihab ad-Din al-Birlisi al-Misri asy-Syafi’e, terkenal dengan nama ‘Umairah.

7. Syeikh as-Soleh Abdul Wahab bin Zauqa bin Musa asy-Sya’rawai al-Misri asy-Syafi’e.

8. Syeikh Ali bin Ahmad bin Ali bin Abdul Muhaimin bin Hasan bin Ali, Syeikh Nur ad-Din asy-Syafi’e, terkenal dengan nama al-Qarafi.

9. Syeikh Muhammad bin Ahmad bin Mahmud bin al-Farfur ad-Dimasyqi asy-Syafi’e.

10. Syeikh Muhammad bin Salam bin Ali at-Tablawi.

11. Syeikh Muhammad bin Abdullah, Bahauddin al-Misri.

12. Syeikh Yusuf bin Zakariyya, anak kepada Imam Zakariyya al-Ansari.

Penulisan

Beliau telah menghasilkan lebih kurang 89 buah karangan, di antara kitab beliau yang terkenal ialah:

1. Ahkam ad-Dilalah ‘Ala Tahrir ar-Risalah, syarah kepada kitab Risalah al-Qusyairiyyah karya Imam al-Qusyairi.



2. Tahrir Tanqih al-Lubab, dalam fiqh mazhab asy-Syafi’e.



3. Tuhfah at-Thulab Bi Syarah Tahrir Tanqih al-Lubab, syarah kepada kitab di atas.



4. Tuhfah al-Bari ‘Ala Sahih al-Bukhari, syarah kepada kitab Sahih al-Bukhari.



5. Hasyiah ‘Ala Tafsir al-Baidhawi, catatan ke atas Tafsir al-Baidhawi.

6. Al-Durar As-Saniyyah Fi Syarah Alfiyah, syarah kepada kitab Alfiyah Ibnu Malik dalam ilmu Nahu.

7. Al-Daqa’iq al-Muhakkamah Fi Syarah Al-Muqaddimah, syarah kepada Muqaddimah al-Jazariyyah dalam ilmu tajwid.

8. Syarah al-Arba’in an-Nawawiyyah.

9. Fath al-Baqi Bi Syarah Alfiyah al-Iraqi, syarah kepada kitab Alfiyah al-Iraqi dalam ilmu Mustholah hadis.



10. Fath al-Wahab bi Syarah Minhaj at-Thulab.



11. Minhaj al-Thulab, merupakan ringkasan kepada kitab Minhaj at-Thalibin karya Imam an-Nawawi.

Meninggal dunia

Imam Zakariyya al-Ansar meninggal dunia pada bulan Zulkaedah tahun 926 Hijrah ketika berumur 100 tahun. Jenazah beliau disolatkan di Masjid al-Azhar, malah raja juga turut mensolatkan jenazah beliau. Jenazah beliau dikebumikan tidak jauh dari makam Imam asy-Syafi’e. Semoga Allah merahmati Imam Zakariyya al-Ansari. Amin.

Makam Imam Zakariyya Al-Ansari

Isnin, 6 Oktober 2014

18 Hadis Kelebihan Menuntut Ilmu


Hadis Pertama

مَنْ يُرِد اللَّه بِهِ خيْراً يُفَقِّهْهُ في الدِّينِ.

“Sesiapa yang Allah inginkan kebaikan baginya Allah akan fahamkan dia dalam ilmu agamanya.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada hadis Mu’awiyyah.

Pengajaran Hadis:

1 - Hadis ini menunjukkan keutamaan ilmu dan kefahaman dalam agama serta galakan untuk mencapainya, kerana ia menjadi pemandu kepada ketakwaan kepada Allah.

2 - Hadis ini juga menegaskan bahawa kebaikan diberikan kepada sesiapa yang mendalami agama Allah dan ia bukan hanya boleh diperoleh melalui usaha semata-mata, tetapi juga merupakan anugerah daripada Allah kepada sesiapa yang Allah bukakan pintu kefahaman agama kepadanya.

3 - Kefahaman dalam ilmu agama bermaksud mempelajari asas-asas Islam, mengetahui perkara halal dan haram, memahami al-Quran dan sunnah, serta hukum-hakam syariat, akidah dan akhlak.

4 - Maksud tersirat daripada hadis ini ialah sesiapa yang tidak mendalami ilmu agama, iaitu tidak mempelajari asas-asas Islam dan cabang-cabang yang berkaitan dengannya, maka dia telah terhalang daripada kebaikan. Ini menunjukkan dengan jelas keutamaan para ulama berbanding orang lain, serta keutamaan ilmu agama berbanding ilmu-ilmu lain. Sesungguhnya kefahaman dalam agama hanya diberikan kepada sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan yang besar baginya.

5 - Sekumpulan ulama yang memberi perhatian kepada tazkiyah al-nafs (penyucian jiwa) berkata: "Seseorang itu tidak dianggap sebagai faqih (orang yang mendalam ilmunya) melainkan dia mengamalkan apa yang dia ketahui." Al-Qadhi Ibn al-'Arabi berkata: "Mereka benar kerana sesiapa yang tidak mengamalkan ilmu yang diketahuinya tentang perkara yang membawa kepada keselamatan dan pembebasannya (di akhirat), maka dia sebenarnya tidak memahami." Para salaf (generasi terdahulu) tidak akan menggelar seseorang itu sebagai berilmu melainkan dia mengamalkan ilmu tersebut.

Hadis Kedua

مَنْ خَرَجَ في طَلَبِ العِلْمِ فَهُوَ في سَبيلِ اللهِ حَتَّى يَرْجِعَ.

“Sesiapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka dia berada di jalan Allah sehinggalah dia kembali (ke tempat asalnya).”

Riwayat al-Tirmizi daripada hadis Anas bin Malik. Kata al-Tirmizi: “Hadis ini hasan gharib.”

Huraian Hadis:

1 - Maksud ‘jalan Allah’ iaitu dalam melakukan ketaatan kepada Allah.

Pengajaran Hadis:

1 - Menuntut ilmu adalah sebuah jihad di jalan Allah.

2 - Menuntut ilmu disamakan dengan jihad kerana kedua-duanya adalah sebuah usaha untuk menghidup dan mempertahankan agama Islam, selain untuk menghinakan syaitan, memenatkan jiwa dan mengekang hawa nafsu serta kesenangan.

3 - Orang yang pulang dari menuntut ilmu lalu mengajar akan mendapat pula ganjaran mengajar dan juga ganjaran jihad yang telah dilaksanakan. Pada waktu itu dia memiliki darjat yang lebih tinggi kerana ketika itu dia adalah pewaris para Nabi dalam menyempurnakan orang-orang yang kurang ilmunya.

4 - Sesiapa yang meninggal dunia ketika sedang menuntut ilmu, maka baginya pahala seumpama orang mati syahid.

5 - Dibenarkan untuk memberi zakat kepada penuntut ilmu jika dia miskin dan ia dikira sebagai sebahagian daripada asnaf ‘fi sabilillah’ (di jalan Allah).

6 – Imam al-Ghazali berkata: “Apa yang disebutkan ini dan juga hadis-hadis sebelumnya merangkumi ilmu yang bermanfaat, iaitu ilmu yang menambah rasa takut kepada Allah, menjadikan seseorang zuhud terhadap dunia, dan mengurangkan keinginan terhadapnya. Setiap ilmu yang tidak mengajakmu daripada dunia menuju akhirat, maka kejahilan adalah lebih baik baginya. Maka, mohonlah perlindungan kepada Allah daripada ilmu yang tidak bermanfaat.”

Hadis Ketiga

الْعَالِمُ وَالْمُتَعَلِّمُ شَرِيكَانِ فِي الْأَجْرِ، وَلَا خَيْرَ فِي سَائِرِ النَّاسِ بعد.

“Orang alim dan penuntut ilmu sama-sama dalam mendapat pahala dan tidak ada kebaikan pada manusia yang lain.”

Riwayat Ibnu Majah daripada hadis Abu al-Darda’ dengan sanad yang daif.

Pengajaran Hadis:

1 - Orang alim dan penuntut ilmu itu sama-sama mendapat pahala kerana kedua-duanya termasuk dalam golongan orang yang Allah kehendaki kebaikan baginya, di mana Allah telah memudahkan ilmu baginya. Orang alim dimudahkan dengan menyebarkannya di kalangan manusia dan penuntut ilmu dimudahkan dengan menuntut ilmu sehingga dia mendapat petunjuk daripadanya dan memimpin manusia ke arah petunjuk tersebut.

2 - Tidak ada kebaikan bagi manusia yang tidak terlibat dengan ilmu, sama ada mempelajarinya atau mengajarkannya. Maksud kebaikan di sini ialah kebaikan yang khusus, iaitu kebaikan yang diperolehi oleh para ulama disebabkan ilmu mereka. Adapun kebaikan mutlak yang diperolehi oleh mana-mana orang mukmin dengan keimanannya dan amal solehnya, maka ia tidak dimaksudkan di sini. Sesiapa yang tidak mempunyai kefahaman agama dan tidak pula menuntutnya, maka tiada kebaikan baginya. Orang yang tidak mendapat kebaikan ilmu itu disamakan dengan tidak mempunyai kebaikan secara mutlak.

3 - Sebahagian ulama berkata: Maksud sabda Nabi ‘tidak ada kebaikan pada manusia yang lain’ ialah tiada kebaikan yang sempurna pada golongan manusia selain daripada orang alim dan penuntut ilmu. Ini kerana seluruh kebaikan terletak pada ilmu dan ahlinya. Maka sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan ilmu sedangkan dia mampu untuk memperolehnya, tiada kebaikan pada dirinya, bahkan dia tidak dianggap sebagai sebahagian daripada manusia.

Ini kerana keistimewaan yang membezakan manusia daripada haiwan adalah ilmu dan amal. Seorang manusia dianggap manusia kerana kemuliaannya yang terletak pada ilmu dan amal, bukan kerana kekuatan tubuhnya

Hadis Keempat

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَبْتَغِي فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللهُ لَهُ طَريقًا إِلَى الجَنَّةِ، وَإنَّ المَلاَئِكَةَ لَتَضَعُ أجْنِحَتَهَا لِطَالِبِ العِلْمِ رِضًا بِمَا يَصْنَعُ، وَإِنَّ طَالِبَ الْعِلْمِ يَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ حَتَّى الْحِيتَانِ فِي الْمَاءِ.

“Sesiapa yang menempuhi satu jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga. Sesungguhnya malaikat merendahkan sayapnya bagi penuntut ilmu kerana reda dengan apa yang dilakukan oleh penuntut ilmu tersebut. Sesungguhnya penuntut ilmu itu akan dimohonkan ampun oleh makhluk yang ada di langit dan di bumi, sehinggakan ikan-ikan di dalam air."

Riwayat Ibnu Majah daripada hadis Abu al-Darda’.

Huraian Hadis:

1 - Maksud ‘malaikat merendahkan sayapnya’ dapat difahami secara hakiki walaupun perbuatan meletakkan itu tidak dapat disaksikan iaitu malaikat membentangkan sayapnya supaya menjadi alas untuknya ketika dia berjalan atau menahan sayapnya daripada terbang dan turun untuk berada bersama-sama di majlis-majlis ilmu. Merendahkan sayap itu juga boleh difahami secara majaz (kiasan) iaitu  sifat tawaduk (merendah diri) malaikat yang merendah diri terhadap penuntut ilmu dan memuliakan mereka.

2 - Makhluk di langit iaitu malaikat dan makhluk di bumi akan memohon daripada Allah Ta'ala agar mengampuni penuntut ilmu sebagai menunaikan haknya dan sebagai balasan atas kebaikan usahanya. Pemohonan makhluk di langit dan bumi itu adalah ilham daripada Allah Ta'ala kepada mereka untuk berbuat demikian.

Malaikat yang ada di langit juga mendoakan penuntut ilmu kerana mereka hanya dikenali dan dimuliakan kerana orang-orang yang berilmu yang memperkenalkan dan mengajar tentang mereka kepada manusia. Makluk di bumi pula mendoakan penuntut ilmu kerana kelangsungan hidup dan kebaikan mereka terikat dengan pandangan dan fatwa para ulama. Orang alimlah yang mengajarkan manusia cara untuk menjaga makhluk-makhluk ini, memperkenalkan kepada mereka apa yang halal dan haram berkaitan haiwan, serta menjelaskan cara yang betul untuk memanfaatkan haiwan-haiwan tersebut – baik dari segi cara memakannya, menggunakannya, menunggangnya, atau mengambil manfaat darinya. Orang alim juga mengajarkan cara menyembelih haiwan dengan cara terbaik yang penuh belas kasihan dan lembut terhadap haiwan itu.

Selain itu, orang alim adalah manusia yang paling penyayang terhadap haiwan dan paling bertanggungjawab dalam menjelaskan tujuan penciptaan haiwan oleh Allah. Secara ringkas, sifat kasih sayang dan ihsan yang menjadi tujuan penciptaan haiwan serta hak-hak yang telah ditetapkan untuk mereka, hanya dapat diketahui melalui ilmu. Maka, orang alim yang memperkenalkan ilmu ini layak untuk mendapat doa keampunan daripada haiwan-haiwan tersebut.

Oleh kerana itu, dikatakan: Tidak ada sesuatu pun daripada makhluk yang wujud, sama ada yang hidup atau yang mati, melainkan ia mempunyai maslahat (kebaikan) yang berkaitan dengan ilmu.

3 - Ikan disebut secara khusus untuk menolak sangkaan bahawa ‘makhluk yang ada di bumi tidak merangkumi makhluk yang ada di laut atau ia adalah pengkhususan selepas pengkhususan, dengan maksud ikan-ikan itu ialah semua haiwan di laut, dan ia lebih banyak daripada alam-alam di darat, seperti yang dikatakan. Dan ada yang mengatakan selain daripada itu tentang sebab pengkhususan tersebut, yang mana ia perlu diteliti.

Sebahagian ulama berkata: Ikan-ikan dikhususkan penyebutannya kerana ia tidak mempunyai lidah, dan makhluk yang tidak mempunyai lidah mungkin disangka tidak memohon ampun untuk penuntut ilmu, berbeza dengan haiwan lain, kerana walaupun ia kecil, ia mempunyai lidah.

4 - Menuntut ilmu adalah salah satu cara untuk mudah masuk ke syurga. Dalam hadis ini terdapat isyarat bahawa jalan ke syurga itu terhad pada jalan-jalan ilmu kerana syurga itu adalah balasan amal soleh dan amal soleh tidak dapat dibayangkan dan tidak dapat direalisasikan tanpa ilmu.

5 - Galakan supaya memuliakan penuntut ilmu dan bersikap tawaduk terhadap mereka.

Hadis Kelima

طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ.

“Menuntut ilmu wajib ke atas setiap muslim.”

 

Riwayat Ibnu Majah daripada hadis Anas bin Malik. Hadis ini dinilai sebagai hasan oleh al-Hafiz al-Mizzi kerana sanadnya yang banyak.

Pengajaran Hadis:

1 - Para ulama berbeza pendapat tentang maksud ilmu yang dimaksudkan dalam hadis tersebut. Pendapat yang paling tepat ialah ilmu yang wajib dipelajari oleh seorang manusia dan ilmu tersebut tidak boleh diabaikan. Contohnya, apabila seseorang memeluk Islam, dia wajib mengetahui tentang Pencipta (Allah), sifat-sifat-Nya, kerasulan Nabi-Nya, dan perkara-perkara lain yang menjadikan keimanannya sah.

Kemudian, apabila tiba waktu solat, dia wajib mempelajari hukum-hukum solat sebelum masuk waktu yang mencukupi untuk belajar dan melaksanakan solat tersebut. Begitu juga, apabila datang bulan Ramadan, dia wajib mempelajari hukum-hukum puasa, dan apabila memiliki harta yang mencapai nisab, dia wajib mempelajari hukum-hukum zakat. Jika dia meninggal dunia sebelum sempat mempelajari ilmu-ilmu tersebut, dia tidak dianggap berdosa.

Begitu juga, apabila seseorang berkahwin, dia wajib mempelajari ilmu berkaitan haid, nifas, dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Jika dia seorang peniaga, maka dia wajib mempelajari ilmu berkaitan jual beli. Dan berdasarkan kaedah ini, kewajipan ilmu ditentukan mengikut keadaan dan keperluan seseorang.

Begitu juga, apabila seseorang telah memeluk Islam dan mula mengamalkan hukum-hukumnya, serta melaksanakan ketaatan dan ibadah, maka wajib baginya mempelajari ilmu tentang keikhlasan, mengenali penyakit-penyakit hati, dan perkara-perkara yang merosakkan amalan. Ini juga merupakan kewajipan agar imannya menjadi sempurna.

2 - Menuntut ilmu agama adalah fardu atas setiap orang Islam yang mukallaf sama ada lelaki mahupun wanita. Oleh itu orang yang tidak mukallaf seperti kanak-kanak yang belum baligh dan orang gila tidak diwajibkan menuntut ilmu agama.

3 - Walaupun dalam hadis hanya menyebut muslim (lelaki) tetapi ia juga merangkumi muslimah (wanita). Sebahagian ulama menyebutkan hadis tersebut dengan tambahan ‘muslimah’ di hujungnya, tetapi menurut al-Hafiz al-Sakhawi ia tidak ada dalam mana-mana riwayat walaupun maknanya adalah benar.

Hadis Keenam

أَلَا إِنَّ الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ مَلْعُونٌ مَا فِيهَا إِلَّا ذِكْرُ اللَّهِ وَمَا وَالَاهُ وَعَالِمٌ أَوْ مُتَعَلِّمٌ.

“Ketahuilah, sesungguhnya dunia itu dilaknat dan dilaknat apa yang ada di dalamnya melainkan zikir kepada Allah dan apa yang dicintai oleh Allah, orang alim dan penuntut ilmu.”

Riwayat al-Tirmizi daripada hadis Abu Hurairah. Kata al-Tirmizi: “Hadis ini hasan gharib.”

Huraian Hadis:

1 - Maksud ‘dunia’ di sini ialah setiap perkara yang membuatkan manusia sibuk dan jauh daripada Allah seperti kemaksiatan, kemungkaran dan syahwat.

2 -  Maksud ‘dilaknat’ ialah dimurkai dan dicela oleh Allah. Dunia ini dilaknat kerana ia telah memperdaya jiwa-jiwa manusia dengan keindahan dan kelazatannya dan telah memalingkan mereka daripada pengabdian kepada Allah kepada mengikut hawa nafsu sehingga mereka mengambil jalan yang menyimpang daripada petunjuk yang benar.

3 - Maksud ‘apa yang dicintai oleh Allah’ iaitu ketaatan kepada Allah dan amalan baik yang mendekatkan diri kepada Allah.

Pengajaran Hadis:

1 - Penjelasan tentang kelebihan ilmu dan para penuntut ilmu, kerana ia adalah perkara yang dikecualikan daripada dunia yang terlaknat.

1 - Harus untuk melaknat setiap perkara yang membuat manusia jauh daripada Allah dan mengganggu daripada mengingatiNya.

2 - Mengetahui nilai dunia bahawa tidak ada kebaikan padanya dan setiap perkara keduniaan ini adalah hiburan dan mainan kecuali apa yang mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala daripada zikir dan ilmu.

3 - Orang yang berilmu dan penuntut ilmu berada di atas jalan keselamatan. Oleh itu, hendaklah seorang mukmin itu berusaha untuk menjadi orang yang berilmu, atau penuntut ilmu, atau pendengar ilmu, dan janganlah menjadi orang yang jahil, kelak dia akan binasa. Menuntut ilmu dan mengajarkannya itu merupakan salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah dan terselamat daripada kemurkaannya.

Hadis Ketujuh

مَنْ جَاءَهُ الْمَوْتُ وَهُوَ يَطْلُبُ الْعِلْمَ لِيُحْيِيَ بِهِ الإِسْلَامَ فَبَيْنَهُ وَبَيْنَ النَّبِيِّينَ دَرَجَةٌ وَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ.

“Sesiapa yang didatangi maut ketika dia sedang menuntut ilmu untuk menghidupkan Islam, maka antara dia dan para Nabi hanya berbeza satu darjat di dalam syurga.”

Riwayat al-Darimi daripada al-Hasan al-Basri secara mursal (daif).

Pengajaran Hadis:

1 - Kelebihan besar bagi orang yang meninggal dunia dalam keadaan menuntut ilmu.

2 - Galakan untuk terus menuntut ilmu sehingga akhir hayat

3 - Kepentingan niat yang benar dalam menuntut ilmu iaitu untuk menghidupkan Islam yang prinsip-prinsip dan hukum-hukumnya telah pudar maka dibangunkannya semula. Tujuannya mencari ilmu itu bukan untuk tujuan yang rosak seperti mencari harta atau kedudukan.

4 - Ganjaran yang tinggi bagi penuntut ilmu di syurga iaitu hampir menyamai kedudukan para Nabi. Perkataan ‘satu darjat’ adalah satu bentuk mubalaghah (hiperbola/penekanan) untuk menunjukkan betapa dekatnya kedudukan mereka dengan para Nabi, oleh itu ia dikuatkan dengan perkataan ‘satu’.

Kemungkinan maksudnya bahawa penuntut ilmu ini menduduki tempat para Nabi dalam menyampaikan ilmu dan menghidupkan agama, tetapi dia adalah cabang dan pengikut kepada para Nabi, maka kedudukannya satu darjat di bawah mereka.

Walau bagaimanapun, perlu difahami bahawa yang dimaksudkan dengan darjat di sini adalah dalam konteks penyampaian ilmu dan pahalanya, bukan dalam semua darjat dan martabat.

Hadis Kelapan

خَصْلَتَانِ لَا تَجْتَمِعَانِ فِي مُنَافِقٍ: حُسْنُ سَمْتٍ وَلَا فِقْهٌ فِي الدّين.

“Dua sifat yang tidak akan berkumpul pada diri seorang munafik: Perilaku yang baik dan pemahaman tentang agama.

Riwayat al-Tirmizi daripada Abu Hurairah. Menurut al-Tirmizi, hadis ini gharib dan salah seorang perawinya, Khalaf bin Ayyub adalah majhul. Namun begitu al-Khalili berkata dalam kitab al-Irsyad tentang Khalaf bin Ayyub: "Saduq masyhur (jujur dan terkenal), beliau disifatkan dengan as-sitr (terjaga), as-salah (kesolehan) dan az-zuhd (zuhud)". Al-Zahabi menthiqahkannya dalam kitab al-Kasyif dan berkata dalam kitab al-Mughni: "Sadiq (benar/jujur)". Maka sekurang-kurangnya sanad hadis ini hasan. Jika daif sekalipun hadis ini dapat dikuatkan dengan mursal Muhammad bin Hamzah bin Abdullah bin Salam yang diriwayatkan oleh Ibnu al-Mubarak dalam al-Zuhd. Kesimpulannya, hadis ini sekurang-kurangnya berstatus hasan.

 Pengajaran Hadis:

1 - Dua sifat ini tidak berkumpul pada diri seorang munafik, namun boleh jadi salah satu daripada sifat tersebut ada padanya tanpa ada yang satu lagi atau kedua-duanya tiada padanya, iaitu tidak terdapat satu pun daripada kedua-dua sifat tersebut padanya.

2 - Penggunaan perkataan ‘berkumpul’ adalah sebagai dorongan kepada orang-orang yang beriman untuk menghimpunkan kedua-dua sifat tersebut dan sebagai larangan bagi mereka daripada bersifat dengan salah satu daripadanya.

Al-Turibishti berkata: "Bukanlah maksudnya bahawa salah satu daripada dua sifat ini boleh diperolehi tanpa yang lain, tetapi ia adalah galakan kepada orang mukmin untuk memiliki kedua-duanya dan menjauhi sifat-sifat yang berlawanan dengannya, kerana sesungguhnya orang munafik itu kosong daripada kedua-duanya, dan ini termasuk dalam bab taghliz (penegasan yang keras)."

3 - Munafik di sini boleh jadi secara hakiki, iaitu kemunafikan dari segi akidah atau secara majazi (kiasan), iaitu orang yang riyak dan ini adalah kemunafikan dari segi amalan.

4 – Orang yang mempunyai perilaku yang baik sentiasa mencari jalan-jalan kebaikan dan mencontohi gaya hidup orang-orang soleh sambil menjauhi segala keburukan yang zahir dan batin.

5 - Al-Turibishti berkata: "Hakikat fiqh dalam agama adalah apa yang tertanam dalam hati kemudian zahir pada lisan, lalu menghasilkan amalan, dan membuahkan rasa takut dan taqwa. Adapun orang yang mempelajari beberapa bab ilmu hanya untuk mencari kemuliaan dan mencari makan dengannya, maka dia jauh dari martabat yang tinggi kerana fiqhnya hanya pada lisan tanpa melibatkan hati. Berkenaan hal ini, Ali  berkata: Tetapi aku bimbangkan kamu daripada setiap munafik yang petah lidahnya."

Sebahagian ulama berkata: “Maksud ‘pemahaman tentang agama’ adalah ilmu yang ada dalam batinnya (hatinya). Maka orang munafik mungkin menampilkan tingkah laku agama tanpa memiliki kefahaman dalam batinnya dan seseorang mungkin memperoleh ilmu agama tetapi dikalahkan oleh hawa nafsunya lalu terkeluar dari tingkah laku orang-orang soleh. Apabila zahir (perilaku yang baik) dan batin (pemahaman tentang agama) berhimpun, maka ternafilah kemunafikan.”

Hadis Kesembilan

لَنْ يَشْبَعَ الْمُؤْمِنُ مِنْ خَيْرٍ يَسْمَعُهُ حَتَّى يَكُونَ مُنْتَهَاهُ الْجنَّة

"Seorang mukmin tidak akan puas mendengar kebaikan sehinggalah dia sampai ke destinasi akhirnya iaitu syurga"

Riwayat al-Tirmizi daripada Abu Sa’id al-Khudri. Al-Tirmizi berkata: “Hadis hasan gharib.”

Pengajaran Hadis:

1 – Kebaikan yang disebutkan dalam hadis di atas ialah ilmu sebagaimana yang disebut dalam beberapa buah hadis.

2 – Imam al-Tibi berkata: “Keseronokan mendengar ilmu disamakan dengan keseronokan menikmati makanan kerana makanan itu lebih diminati, lebih menyelerakan dan lebih banyak dicari untuk mendapatkannya.”

3 - Dalam hadis ini terdapat petunjuk bahawa seorang mukmin yang bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu akan meninggal dunia dalam keadaan beriman.

4 - Galakan untuk melakukan amalan kebajikan dan berterusan dalam melakukannya, dan di antara yang paling mulia adalah ilmu, sama ada mempelajarinya atau mengajarkannya, kerana ia mengawal amalan dan menjadi penentu ke atasnya.

 5 -Imam Hasan bin Ali al-Fayyumi dalam Syarah al-Targhib Wa al-Tarhib berkata:

“Seorang mukmin tidak akan berpuas hati dengan sedikit ilmu, bahkan dia bersungguh-sungguh dalam menimba ilmu sehingga ilmunya menjadi sebab untuk dia memasuki syurga. Sebahagian ulama juga berkata tentang maknanya: Seorang mukmin tidak akan kenyang daripada mendengar ilmu dan tidak berpuas hati dengan apa yang telah diketahuinya sehingga akhir hayatnya, maka dia meninggal dunia dalam menuntutnya (ilmu) lalu memasuki syurga dengan pahalanya. Maka, sesiapa yang kenyang (puas dengan ilmu), dia bukanlah seorang mukmin (yang sempurna). Dan cukuplah ini sebagai peringatan daripada rasa berpuas hati dengan ilmu (yang sedia ada).”

Hadis Kesepuluh

مَنْ طَلَبَ الْعِلْمَ لِيُجَارِيَ بِهِ الْعُلَمَاءَ أَوْ لِيُمَارِيَ بِهِ السُّفَهَاءَ أَوْ يصرف بِهِ وُجُوه النَّاس إِلَيْهِ أَدخل الله النَّار

“Sesiapa yang menuntut ilmu untuk menyaingi para ulama, atau untuk berdebat dengan orang-orang bodoh, atau untuk menarik perhatian orang ramai kepadanya, maka Allah akan memasukkannya ke dalam neraka.”

Riwayat al-Tirmizi daripada Ka’ab bin Malik. Menurut al-Tirmizi, hadis ini gharib dan dalam sanadnya ada perawi Ishaq bin Yahya bin Talhah yang tidak kuat dari sudut ingatannya. Namun begitu, Syeikh Abdullah al-Talidi menghasankan hadis ini kerana ada syawahid (hadis sokongan) daripada hadis Jabir, Ibnu Umar, Huzaifah, Abu Hurairah dan riwayat Makhul secara mursal.

Pengajaran Hadis:

1 - Dalam hadis ini terdapat ancaman yang keras bagi mereka yang belajar untuk tujuan-tujuan buruk ini:

a) Dia tidak belajar melainkan untuk menentang dan berdebat dengan para ulama.

b) Untuk bersaing dengan orang-orang bodoh dan meninggikan diri di atas mereka.

c) Untuk menarik perhatian orang ramai kepadanya. Ini bermaksud dia menuntut ilmu dengan niat untuk mendapatkan harta dan kemuliaan, dan untuk membuat orang awam menghadap kepadanya, dan menjadikan mereka seperti khadam baginya, atau menjadikan mereka memandangnya ketika dia berbicara, kagum dengan kata-katanya, berkumpul di sekelilingnya ketika dia duduk.

Semua ini bermaksud dia tidak mempelajarinya melainkan untuk riak dan kemasyhuran, bukan kerana Allah.

2 - Menuntut ilmu adalah ibadah yang agung, maka wajib bagi penuntut ilmu untuk memurnikan niatnya dalam menuntut ilmu kerana Allah, bersungguh-sungguh melawan nafsunya, dan menangkis bisikan dan fikiran buruk.

3 - Janganlah belajar kerana harta, atau kerana dunia, atau kerana kemasyhuran, atau kerana jawatan. Semua perkara ini tidak sepatutnya ada dalam fikiran penuntut ilmu. Ilmu itu lebih mulia dan lebih tinggi daripada itu. Apa yang diberikan kepadanya berupa ganjaran dan lain-lain yang membantunya dalam menuntut ilmu dan menggalakkannya, maka janganlah dia mempunyai tujuan yang buruk.

Hadis Kesebelas

مَنْ تَعَلَّمَ عِلْمًا مِمَّا يُبْتَغَى بِهِ وَجْهُ اللَّهِ لَا يَتَعَلَّمُهُ إِلَّا لِيُصِيبَ بِهِ عَرَضًا مِنَ الدُّنْيَا لَمْ يَجِدْ عَرْفَ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

"Sesiapa yang mempelajari ilmu yang sepatutnya dipelajari untuk mencari keredhaan Allah, tetapi dia tidak mempelajarinya melainkan untuk mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mencium bau syurga pada hari kiamat."

Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah daripada Abu Hurairah. Sanadnya sahih menurut Imam al-Nawawi dalam Riyadh al-Salihin.

Pengajaran Hadis:

1 – Tidak akan mencium bau syurga merupakan kiasan tentang jauhnya dia dari syurga dan tidak memasukinya bersama orang-orang yang selamat.

2 - Kewajiban ikhlas dalam menuntut ilmu dan bahawa tujuannya adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah 'Azza wa Jalla.

3 – Hadis ini menunjukkan ancaman bagi sesiapa yang tidak berniat mencari ilmunya melainkan untuk tujuan dunia, kerana baginda mengungkapkannya dengan kata penegas: "melainkan untuk mendapatkan habuan dunia". Adapun sesiapa yang menuntut ilmu untuk keredhaan Allah Taala dan pada masa yang sama dia mempunyai kecenderungan terhadap dunia, maka dia tidak termasuk dalam ancaman ini.

Imam al-Tibi berkata: "Dalam hadis ini, sesiapa yang belajar untuk keredhaan Allah Taala serta mendapatkan habuan duniawi tidak termasuk dalam ancaman ini, kerana mencari keredhaan Allah Taala mestilah menjadi tujuan utama, manakala keuntungan dunia hanya menjadi perkara sampingan."

4 - Sesiapa yang menuntut ilmu kerana Allah Ta'ala dan dunia datang kepadanya sebagai perkara sampingan, maka harus baginya untuk mengambilnya dan ia tidak akan memudaratkannya.

Hadis Kedua Belas

نَضَّرَ الله امرَأً سَمِعَ منَّا حديثًا فحفِظَه حتىِ يُبَلَّغَهُ، فَرُبَّ حامِلِ فقهٍ إلى مَن هو أفقَهُ منه، ورُبَّ حاملِ فقهٍ ليس بفقيهٍ.

“Semoga Allah menyerikan wajah seseorang yang mendengar hadis daripada kami, lalu dia menghafalnya sehingga dia menyampaikannya (kepada orang lain). Kadang-kadang orang yang membawa ilmu itu menyampaikannya kepada orang yang lebih faham daripadanya dan kadang-kadang orang yang membawa ilmu itu bukanlah seorang yang ahli dalam ilmu tersebut.”

Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibnu Majah daripada Zaid bin Thabit. Hadis ini adalah mutawatir. Syeikh Ahmad al-Siddiq al-Ghumari berjaya menghimpunkannya daripada 20 orang sahabat.

Pengajaran Hadis:

1 - Keutamaan ilmu dan galakan untuk menuntutnya.

2 - Galakan untuk menyebarkan ilmu dan mengajarkan kebaikan kepada orang ramai.

3 - Amanah dalam menyampaikan ilmu, dan berhati-hati dalam memelihara dan memahaminya. Wajib memelihara ilmu tanpa penambahan atau pengurangan kerana penyampai adalah orang yang diamanahkan.

4 – Pemahaman manusia berbeza-beza; kadangkala orang yang menerima ilmu lebih memahami daripada orang yang mendengar secara langsung, dan kadangkala orang yang membawa ilmu itu bukanlah seorang yang ahli dalam ilmu tersebut. Ada kemungkinan sebahagian daripada tabi'in lebih faham tentang hadis Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam berbanding sebahagian sahabat.

5 - Doa Nabi sallahu ‘alaihi wasallam untuk sesiapa daripada umatnya yang menyampaikan hadis yang didengarinya menunjukkan bahawa rahmat Allah akan memeliharanya dan dia termasuk dalam kalangan orang yang beruntung pada hari kiamat.

Hadis Ketiga Belas

مَنْهُومَانِ لَا يَشْبَعَانِ: مَنْهُومٌ فِي الْعِلْمِ لَا يَشْبَعُ مِنْهُ وَمَنْهُومٌ فِي الدُّنْيَا لَا يَشْبَعُ مِنْهَا

“Dua orang yang tamak yang tidak pernah puas: Orang yang tamak dengan ilmu, dia tidak pernah puas dengannya, dan orang yang tamak dengan dunia, dia tidak pernah puas dengannya.”

Riwayat al-Hakim daripada Anas bin Malik. Al-Hakim mensahihkannya.

Pengajaran Hadis:

1 - Penuntut ilmu adalah seorang yang rakus, tidak pernah puas dengan ilmu kerana tidak pernah puas dengan ilmu termasuk tuntutan iman dan sifat-sifat orang beriman. Oleh sebab itu, para imam Islam, apabila ditanya kepada salah seorang daripada mereka: "Sampai bila menuntut ilmu?" Maka dia akan menjawab: "Dari tinta hingga ke liang lahad."

2 - Penuntut ilmu sentiasa mencari ilmu tambahan sebagai realisasi firman Allah Taala: “Dan katakanlah, Ya Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan."

3 - Kelazatan yang diperoleh daripada ilmu dan iman sentiasa dalam keadaan baharu dan berterusan, dan pemiliknya sentiasa mencari tambahan dan bersungguh-sungguh terhadapnya. Maka, pencariannya dan kesungguhannya disertai dengan kelazatan yang diperoleh, kelazatan yang diharap dan dituntut, serta kelazatan mencari, kegembiraan dan keriangan dengannya.

4 - Pencari dunia akan bertambah tamak dengannya setiap kali dia memperolehinya kerana terbukanya pintu-pintu syahwat dan kecintaan mengumpul dan menyimpan harta.

5 - Pencari ilmu diberi ganjaran dengan ketamakannya dan dicintai oleh Allah Taala kerananya dan sebaliknya orang yang tamak dengan mencari dunia maka dia tidak dicintai oleh Allah dan tidak diberi pahala.

Hadis Keempat Belas

مَنْ غَدَا إلى المسْجِدِ لا يُرِيدُ إلا أَنْ يَتعلَّمَ خَيْراً، أو يُعَلِّمَهُ، كان له كأَجْرِ حَاجٌّ تامّاً حجَّتَهُ

“Sesiapa yang pergi ke masjid pada waktu pagi dengan niat semata-mata untuk mempelajari kebaikan atau mengajarkannya, maka baginya pahala seperti pahala orang yang mengerjakan haji yang sempurna hajinya.

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir daripada Abu Umamah. Al-Hafiz al-Munziri mengatakan tidak ada masalah pada sanadnya. Menurut al-Hafiz al-‘Iraqi pula, sanadnya baik.

Pengajaran Hadis:

1 - Hadis ini menunjukkan betapa besarnya keutamaan menuntut ilmu agama dan mengajarkannya kepada orang lain. Ganjaran yang dijanjikan adalah setara dengan pahala haji yang sempurna, yang merupakan salah satu ibadah yang paling utama dalam Islam.

2 - Hadis ini menekankan kepentingan niat yang ikhlas dalam menuntut ilmu. Seseorang itu hendaklah pergi ke masjid dengan niat yang tulus ikhlas semata-mata untuk mempelajari atau mengajarkan ilmu agama, bukan untuk tujuan duniawi seperti riyak atau menunjuk-nunjuk.

3 - Hadis ini juga menunjukkan peranan penting masjid sebagai pusat pembelajaran dan penyebaran ilmu agama. Masjid bukan sahaja tempat untuk beribadah, tetapi juga tempat untuk menimba ilmu dan meningkatkan kefahaman tentang Islam.

4 - Hadis ini menggalakkan umat Islam untuk memanfaatkan waktu pagi dengan sebaik-baiknya, khususnya untuk menuntut ilmu. Waktu pagi adalah waktu yang berkat dan penuh dengan peluang untuk melakukan kebaikan.

Hadis Kelima Belas

مَنْ جَاءَ مَسْجِدِي هَذَا، لَمْ يَأْتِ إِلَّا لِخَيْرٍ يَتَعَلَّمُهُ، أَوْ يُعَلِّمُهُ، فَهُوَ بِمَنْزِلَةِ الْمُجَاهِدِ فِي سَبِيلِ اللهِ، وَمَنْ جَاءَه لِغَيْرِ ذَلِكَ، فَهُوَ بِمَنْزِلَةِ رَجُلٍ يَنْظُرُ إِلَى مَتَاعِ غَيْرِهِ

“Sesiapa yang datang ke masjidku ini dan dia tidak datang melainkan untuk mempelajari kebaikan atau mengajarkannya, maka dia seperti kedudukan orang yang berjihad di jalan Allah. Dan sesiapa yang datang selain daripada itu, maka dia seperti kedudukan orang yang melihat barang orang lain.”

Hadis hasan, riwayat Ahmad dan Ibnu Majah daripada Abu Hurairah. Hadis ini ada syahid (sokongan) daripada hadis Sahl bin Sa’ad yang diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir:

مَنْ دَخَلَ مَسْجِدِي هذا ليتَعلَّمَ خَيْراً أَو يُعَلِّمهُ، كانَ بمنزلةِ المجاهِدِ في سبيلِ الله، وَمَنْ دَخَلَهُ لغيرِ ذَلِك مِنْ أَحادِيثِ النّاسِ كانَ بمنزلةِ الذي يَرى ما يُعجِبُهُ وهوَ شيءٌ لغيرِهِ.

“Sesiapa yang memasuki masjidku ini untuk belajar kebaikan atau mengajarkannya, dia seperti orang yang berjihad di jalan Allah. Dan sesiapa yang memasukinya selain daripada itu seperti untuk berbual-bual kosong, maka kedudukannya seperti orang yang melihat sesuatu yang mengkagumkannya sedangkan ia milik orang lain.”

Pengajaran Hadis:

1 – Baginda bersabda: "Sesiapa yang datang ke masjidku ini…", masjid yang baginda maksudkan ialah Masjid Nabawi, dan pengkhususan penyebutannya sama ada kerana kekhususan hukum ini padanya, atau kerana ia merupakan tempat percakapan ketika itu, dan hukum masjid-masjid lain sama seperti hukumnya.

2 - Persamaan antara menuntut ilmu dengan jihad di jalan Allah adalah kerana kedua-duanya menghidupkan agama, menghinakan syaitan, memenatkan diri, dan mematahkan puncak kelazatan puncak syahwat, lebih-lebih lagi telah dibenarkan untuk tidak turut serta dalam jihad demi mendalami ilmu agama! Seperti firman Allah: "Dan tidaklah sepatutnya orang-orang mukmin itu semuanya pergi (ke medan perang)..."

3 –Sabda baginda: "Maka dia seperti orang yang melihat barang orang lain", bermaksud dia seperti orang yang masuk ke pasar, tidak menjual dan tidak membeli, hanya melihat barang-barang orang lain, adakah dia mendapat faedah dengan perbuatan itu? Maka begitulah keadaannya.

4 – Menurut al-Syaukani, hadis ini juga memberi panduan bahawa pembelajaran dan pengajaran di masjid adalah lebih afdhal daripada tempat-tempat lain.

Hadis Keenam Belas

عَنْ صَفْوَانُ بْنُ عَسَّالٍ الْمُرَادِيُّ قَالَ: أَتَيْتُ رَسُولَ اللهِ ﷺ، وَهُوَ مُتَّكِئٌ فِي الْمَسْجِدِ عَلَى بُرْدٍ لَهُ فَقُلْتُ لَهُ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنِّي جِئْتُ أَطْلُبُ الْعِلْمَ، فَقَالَ: مَرْحَبًا بطالبِ الْعِلْمِ، طَالِبُ الْعِلْمِ لَتَحُفُّهُ الْمَلَائِكَةُ وَتُظِلُّهُ بِأَجْنِحَتِهَا، ثُمَّ يَرْكَبُ بَعْضُهُ بَعْضًا حَتَّى يَبْلُغُوا السَّمَاءَ الدُّنْيَا مِنْ حُبِّهِمْ لِمَا يَطْلُبُ

Daripada Safwan bin 'Assal Al-Muradi berkata: “Aku datang kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, ketika baginda sedang bersandar di masjid di atas kain burdahnya lalu aku berkata kepadanya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku datang untuk menuntut ilmu."

Maka baginda bersabda: "Selamat datang kepada penuntut ilmu. Sesungguhnya penuntut ilmu akan dikelilingi oleh para malaikat dan dinaungi dengan sayap-sayap mereka, kemudian mereka berlapis-lapis sehingga mencapai langit dunia kerana kecintaan mereka terhadap apa yang dia tuntut."

Diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir dan al-Hafiz al-Munziri dalam al-Targhib Wa al-Tarhib mengatakan sanadnya baik.

Pengajaran Hadis:

1 - Beradab dalam menuntut ilmu dan ketika bersama dengan ulama

2 - Bersabar atas kesusahan kerana ilmu tidak dapat dicapai melainkan dengan berjihad melawan nafsu seperti perkara-perkara penting yang lain.

3 - Kelebihan ilmu dan galakan memberi khabar gembira kepada orang yang berusaha dalam kebaikan kerana ia memberi semangat kepadanya dan menyemarakkan jiwa ke arahnya.

4 - Kecintaan malaikat kepada ketaatan kepada Allah dan orang-orang yang melakukannya.

Hadis Ketujuh Belas

النَّاسَ مَعَادِنَ خِيَارُهُمْ فِي الْجَاهِلِيَّةِ خِيَارُهُمْ فِي الْإِسْلَامِ إِذَا فَقِهُوا

“Manusia itu umpama galian (logam berharga); mereka yang terbaik semasa jahiliah juga adalah yang terbaik dalam Islam, jika mereka memahami (agama).”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah.

Pengajaran Hadis:

1 – Nabi sallahu ‘alaihi wasallam mengumpamakan manusia sebagai galian kerana ia mengandungi pelbagai jenis bahan, antaranya yang bernilai tinggi dan yang bernilai rendah, dan setiap galian mengeluarkan apa yang terkandung di dalamnya. Begitu juga dengan manusia, setiap daripada mereka menzahirkan apa yang ada pada asalnya. Oleh itu, sesiapa yang mempunyai kemuliaan pada zaman jahiliah, kemudian memeluk Islam, maka Islam tidak menambah kepadanya melainkan kemuliaan. Sekiranya dia mendalami ilmu agama Allah, maka dia telah mencapai puncak kemuliaan, kerana dia telah mengumpulkan semua sebab kemuliaan.

2 - Orang-orang yang terbaik pada zaman jahiliah adalah juga yang terbaik dalam Islam, perumpamaan ini menunjukkan bahawa bahan seperti logam apabila digali akan menampakkan apa yang tersembunyi di dalamnya dan sifatnya tidak berubah, begitu juga sifat kemuliaan tidak berubah pada zatnya. Malah sesiapa yang mulia pada zaman jahiliah seperti pemimpin bagi sesebuah kaumnya, maka apabila dia memeluk Islam, kemuliaannya berterusan dan dia menjadi lebih mulia berbanding orang-orang mulia lain dari zaman jahiliah yang memeluk Islam.

3 - Hadis ini menunjukkan bahawa kemuliaan dalam Islam tidak sempurna melainkan dengan memahami agama secara mendalam. Berdasarkan ini, manusia terbahagi kepada empat kategori beserta lawannya:

a) Mulia di zaman jahiliah, memeluk Islam dan memahami agama.

[Lawan: Tidak mulia di zaman jahiliah, tidak memeluk Islam dan tidak memahami agama]

b) Mulia di zaman jahiliah, memeluk Islam tetapi tidak memahami agama.

[Lawan: Tidak mulia di zaman jahiliah, tidak memeluk Islam tetapi memahami agama].

c) Mulia di zaman jahiliah, tidak memeluk Islam dan tidak memahami agama.

[Lawan: Tidak mulia di zaman jahiliah, memeluk Islam dan memahami agama].

d) Mulia di zaman jahiliah, tidak memeluk Islam tetapi memahami agama.

[Lawan: Tidak mulia di zaman jahiliah, memeluk Islam tetapi tidak memahami agama] .

Kategori tertinggi adalah:

a) Orang yang mulia di zaman jahiliah, kemudian memeluk Islam dan memahami agama.

b) Orang yang tidak mulia di zaman jahiliah, kemudian memeluk Islam dan memahami agama.

c) Orang yang mulia di zaman jahiliah, kemudian memeluk Islam tetapi tidak memahami agama.

d) Orang yang tidak mulia di zaman jahiliah, kemudian memeluk Islam tetapi tidak memahami agama.

e) Adapun mereka yang tidak memeluk Islam, tidak diambil kira sama ada mereka mulia atau tidak mulia di zaman jahiliah, dan sama ada mereka memahami agama atau tidak.

4 - Yang dimaksudkan dengan "terbaik", "kemuliaan" dan seumpamanya ialah: mereka yang memiliki sifat-sifat akhlak yang terpuji; seperti pemurah, menjaga kehormatan diri, penyantun, dan lain-lain, serta menjauhi sifat-sifat tercela; seperti bakhil, keji, zalim, dan lain-lain.

5 – Hadis ini menjelaskan perbezaan darjat manusia, dan bahawa mereka seperti logam emas dan perak, yang merangkumi yang berharga dan yang tidak berharga.

6 – Hadis ini juga menjelaskan keutamaan ilmu fiqh, dan bahawa seseorang itu dimuliakan mengikut kadar ilmu fiqh agamanya, dan inilah maksud sabda Nabi sallallahu 'alaihi wasallam: "Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan baginya, maka Dia akan memberinya kefahaman dalam agama."

7 - Islam tidak mengurangkan kemuliaan orang yang mulia, bahkan menambah kemuliaan di atas kemuliaannya. Oleh itu, antara petunjuk Nabi sallallahu 'alaihi wasallam apabila ada utusan datang kepadanya, baginda akan bertanya kepada mereka: "Siapakah pemimpin kamu?" Apabila mereka memberitahunya, baginda akan melantiknya sebagai pemimpin mereka.

Hadis Kelapan Belas

مَثَلُ مَا بَعَثَنِي اللهُ بِهِ مِنَ الْهُدَى وَالْعِلْمِ كَمَثَلِ الْغَيْثِ الْكَثِيرِ أَصَابَ أَرْضًا، فَكَانَ مِنْهَا نَقِيَّةٌ، قَبِلَتِ الْمَاءَ، فَأَنْبَتَتِ الْكَلَأَ وَالْعُشْبَ الْكَثِيرَ، وَكَانَتْ مِنْهَا أَجَادِبُ، أَمْسَكَتِ الْمَاءَ، فَنَفَعَ اللهُ بِهَا النَّاسَ، فَشَرِبُوا وَسَقَوْا وَزَرَعُوا، وَأَصَابَتْ مِنْهَا طَائِفَةً أُخْرَى، إِنَّمَا هِيَ قِيعَانٌ، لَا تُمْسِكُ مَاءً، وَلَا تُنْبِتُ كَلَأً، فَذَلِكَ مَثَلُ مَنْ فَقُهَ فِي دِينِ اللهِ، وَنَفَعَهُ مَا بَعَثَنِي اللهُ بِهِ، فَعَلِمَ وَعَلَّمَ، وَمَثَلُ مَنْ لَمْ يَرْفَعْ بِذَلِكَ رَأْسًا، وَلَمْ يَقْبَلْ هُدَى اللهِ الَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ.

“Perumpamaan petunjuk dan ilmu yang Allah utuskan aku dengannya adalah seperti hujan lebat yang menimpa bumi.

Sebahagian daripada bumi itu subur, menyerap air lalu menumbuhkan rumput dan tumbuhan yang banyak. Sebahagiannya pula tandus, menakung air lalu Allah memberi manfaat kepada manusia dengannya, mereka minum, memberi minum (haiwan ternakan) dan bercucuk tanam.

Dan sebahagian lagi menimpa kawasan yang lain, iaitu tanah rata yang tidak menakung air dan tidak menumbuhkan rumput.

Demikianlah perumpamaan orang yang memahami agama Allah dan mendapat manfaat daripada apa yang Allah utuskan aku dengannya, dia belajar dan mengajar.

Dan perumpamaan orang yang tidak mengangkat kepala (tidak mengendahkan) dengannya dan tidak menerima petunjuk Allah yang aku diutuskan dengannya.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Musa al-Asy’ari.

Pengajaran Hadis:

1 – Dalam hadis ini baginda mengumpamakan petunjuk dan ilmu yang dibawakan oleh baginda dengan hujan. Manakala bumi yang menerima hujan pula diumpamakan dengan manusia yang terbahagi kepada tiga jenis:

a) Bumi yang mendapat manfaat daripada hujan, lalu hidup setelah sebelumnya mati, dan menumbuhkan rumput, lalu memberi manfaat kepada manusia, haiwan, tanaman, dan lain-lain. Begitu juga jenis pertama daripada manusia, petunjuk dan ilmu sampai kepadanya, lalu dia memeliharanya, maka hatinya hidup, dia mengamalkannya, dan mengajarkannya kepada orang lain, lalu dia mendapat manfaat dan memberi manfaat.

b) Bumi yang tidak mendapat manfaat untuk dirinya sendiri, tetapi ia mempunyai manfaat iaitu menakung air untuk pihak lain, lalu manusia dan haiwan mendapat manfaat daripadanya. Begitu juga jenis kedua daripada manusia, mereka mempunyai hati yang mampu menghafal, tetapi mereka tidak mempunyai kefahaman yang mendalam, dan mereka tidak mempunyai kekuatan akal untuk membuat kesimpulan makna dan hukum, dan mereka tidak mempunyai kesungguhan dalam ketaatan dan mengamalkannya. Mereka memeliharanya, sehingga datang seorang penuntut yang memerlukan, dahagakan ilmu yang ada pada mereka, yang layak untuk mendapat manfaat, lalu dia mengambilnya daripada mereka dan mendapat manfaat dengannya. Maka mereka ini memberi manfaat dengan apa yang sampai kepada mereka.

c) Bumi gersang yang tidak menumbuhkan apa-apa. Ia tidak mengambil manfaat daripada air, dan juga tidak menakungnya untuk memberi manfaat kepada yang lain. Begitu juga jenis ketiga dari manusia, mereka tidak memiliki hati yang mampu menghafal, dan tidak pula pemahaman yang mendalam. Apabila mereka mendengar ilmu, mereka tidak mengambil manfaat daripadanya dan tidak pula memeliharanya untuk memberi manfaat kepada orang lain.

2 - Rasulullah membuat perumpamaan untuk menjelaskan ilmu dan memudahkan penyampaiannya kepada pemahaman manusia.

3 - Kelebihan ilmu dan mengajarkannya, dan dorongan yang kuat terhadap keduanya.

4 - Celaan terhadap berpaling daripada ilmu dan tidak menyibukkan diri dengan memperolehinya.

5 - Pembahagian manusia terhadap petunjuk dan ilmu yang dibawa oleh Nabi. Antara mereka ada yang beriman dengannya, memberi manfaat kepada dirinya sendiri dan memberi manfaat kepada orang lain. Antara mereka ada yang memberi manfaat kepada dirinya sendiri, tetapi tidak sampai ke tahap memberi manfaat kepada orang lain. Dan antara mereka ada yang berpaling dan membelakanginya.

*Tulisan ini saya telah kemas kini semula pada 29/12/2024. Semoga bermanfaat.