Rabu, 21 Jun 2017

Status Hadis: Banyakkanlah Meminta Doa Daripada Orang Lain

اسْتَكْثِرْ مِنَ النَّاسِ مِنْ دُعَاءِ الْخَيْرِ لَكَ، فَإِنَّ الْعَبْدَ لَا يَدْرِي عَلَى لِسَانِ مَنْ يُسْتَجَابُ لَهُ أَوْ يُرْحَمُ، وَلِذَلِكَ جَعَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ الْمُسْلِمِينَ شُفَعَاءَ بَعْضِهِمْ لِبَعْضٍ

“Banyakkanlah meminta doa daripada orang lain untuk kebaikan dirimu. Sesungguhnya seorang hamba itu tidak mengetahui lisan siapakan di antara manusia itu yang dikasihi oleh Allah dan dikabulkan baginya (apabila dia berdoa). Disebabkan itu Allah menjadikan kaum Muslimin itu sebagai pemberi syafaat sesama mereka.”

Takhrij hadis

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Daraqutni dalam Gharaib Malik, Tamam al-Razi dalam Fawaid Tamam, dan al-Khatib al-Baghdadi dalam al-Ruwah ‘An Malik, kesemuannya meriwayatkan melalui jalur perawi:

Nusair bin Abi ‘Uqbah/’Utbah al-Balisi al-Daqqaq daripada ‘Ali bin ‘Isa al-Ghassani daripada Malik bin Anas daripada hadis Abu Hurairah.

Penilaian Hadis

Al-Khatib al-Baghdadi berkata: “Gharib. Ali dan Nusair kedua-duanya majhul (tidak dikenali).”

Al-Daraqutni berkata: “Tidak diriwayatkan hadis ini daripada Malik melainkan oleh Ali bin Isa dan dia adalah majhul, begitu juga orang sebelumnya (yakni Nusair).”

Al-Hafiz al-Zahabi dalam Mizan al-I’tidal mengatakan bahawa Ali bin ‘Isa al-Ghassani ini meriwayatkan khabar palsu daripada Malik.

Imam Malik bin Anas seorang imam hadis yang terkenal dan mempunyai ramai murid yang juga merupakan tokoh hadis yang hebat.

Memang mencurigakan apabila hadis ini tidak diriwayatkan daripada Imam Malik oleh anak murid beliau yang ramai tersebut sebaliknya hanya diriwayatkan oleh ‘Ali bin ‘Isa al-Ghassani, seorang perawi yang tidak dikenali.

Ini menjadi petunjuk bahawa dia berdusta apabila dia mendakwa bahawa dia meriwayatkan hadis ini daripada Imam Malik. Oleh itu al-Hafiz al-Zahabi menghukumkan hadis yang dia riwayatkan daripada Imam Malik ini sebagai palsu

Kritikan

Dalam buku Himpunan Hadis Masyhur (ms. 345) karangan Dr Budah@Udah Mohsin dan Dr Jawiah Dakir menyatakan bahawa menurut al-Suyuti hadis ini diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi di dalam kitabnya al-Tarikh.

 Ini adalah satu kesilapan kerana hadis ini tidak diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad sebaliknya kitab Ruwah Malik sebagaimana yang tercatat dalam kitab al-Suyuti seperti al-Jami’ al-Saghir dan al-Jami’ al-Kabir.

Kedua-dua penulis juga merujuk kepada al-Albani sedangkan al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah Wa al-Maudhu’ah turut menyatakan bahawa ia diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam al-Ruwah ‘An Malik.

Ahad, 18 Jun 2017

Isu hadis 'kepal tanah baca surah al-Qadr'

Saya melihat masih ada beberapa orang yang berkeras mempertahankan kewujudan hadis 'kepal tanah baca surah al-Qadr' dengan alasan ia wujud dalam beberapa buah kitab fiqh dan dengan alasan 'jika tidak jumpa dalam kitab hadis tidak semestinya ia tidak wujud'.
Saya katakan bahawa hadis mestilah dirujuk dalam kitab-kitab hadis, bukannya kitab fiqh. Saya pernah tulis sebelum ini teguran al-Imam Muhammad Abdul Hayy al-Laknawi terhadap orang-orang yang berpegang secara yakin terhadap hadis-hadis dalam kitab-kitab fiqh.
Menurut beliau, tidak hanya disebabkan hadis tersebut ada dalam kitab-kitab fiqh maka ia diyakini secara pasti bahawa ia warid daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Betapa banyak hadis-hadis yang disebutkan dalam kitab-kitab yang muktabar sedangkan ia adalah palsu.
Jika penulis kitab tersebut dikalangan ahli hadis, ya, mungkin dapat dipegang hadis-hadis yang disebut oleh penulis kitab atau jika penulis menyandarkan hadis-hadis tersebut kepada kitab-kitab hadis maka mungkin kita boleh menerimanya jika dia benar dalam menukilkannya.
Lihat teguran Al-Imam Mulla Ali al-Qari terhadap pengarang kitab al-Nihayah dan para pensyarah kitab al-Hidayah (fiqh mazhab Hanafi) yang memuatkan hadis palsu tentang mengqadha solat fardu pada Jumaat terakhir bulan Ramadhan dapat menampung solat yang telah luput selama 70 tahun. Kata Mulla 'Ali al-Qari: "Mereka bukan ahli hadis (walaupun mereka adalah ahli fiqh)." [Rujuk ta'liq Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah ke atas kitab al-Ajwibah al-Fadilah, ms. 30.]
Bagi yang kehairanan kenapa wujud hadis-hadis palsu dalam karya-karya ulama, dipersilakan baca penulis Ustaz Khafidz Soroni berkenaan isu ini yang bertajuk 'Tak Pelik Ulama Terguna Hadis Palsu' [1].
Jika sesebuah ucapan yang didakwa sebagai hadis tidak ditemui dalam kitab-kitab hadis yang bersanad -setelah dicari oleh mereka yang pakar - maka memadailah untuk dihukumi ia sebagai tidak wujud dan palsu. Inilah garis panduan yang digariskan oleh al-Hafiz al-Sayuthi dalam Tadrib al-Rawi dan Ibnu 'Arraq dalam Tanzih al-Syari'ah al-Marfu'ah. Jika ingin mengambil sikap berhati-hati daripada menghukum ia sebagai palsu sekalipun, maka kita seharusnya mengambil sikap tawaqquf dengan tidak menyebarkannya sehinggalah dipastikan kewujudannya.
Ironinya, mereka yang mendakwa ia sebagai hadis pun tidak dapat buktikan ia wujud dalam kitab-kitab hadis muktabar. Lalu dituduh orang yang mengatakannya palsu sebagai pendusta atas nama Nabi. Siapa yang berdusta atas nama nabi sebenarnya ini? Kalau benar ia wujud sila buktikan kewujudannya.
Ustaz Khafidz sudah lama menjawab isu ini. Menurut beliau, ia bukan hadis nabi sallahu 'alaihi wasallam. Berdasarkan carian, kitab terawal yang menyebutkannya adalah kitab al-Nurain Fi Islah al-Darain oleh al-Hubasyi (w. 782H) dan beliau tidak menyebutkannya sebagai hadis. Barangkali ia hanya mujarabat daripada para solehin. Jika hendak beramal dengannya sekalipun, seharusnya tidak menyandarkan amalan tersebut kepada Nabi sallahu 'alaihi wasallam.

Wallahu a'lam.