Sabtu, 11 November 2017

Syeikh Badruddin al-Hasani


- Syeikh Badruddin al-Hasani al-Syafi'e (1850M-1935M) merupakan seorang Syeikh di Darul Hadith, Dimasyq, sebuah madrasah hadith yang al-Imam al-Nawawi dan beberapa ulama hadith yang lain pernah mengajar di situ.

- Sayyid Ahmad al-Siddiq al-Ghumari memuji guru ijazah beliau ini sebagai seorang syeikh dataran Syam, seorang yang alim, zuhud dan warak.

- Beliau akan keluar dari rumahnya sebelum subuh menuju ke Darul Hadith. Beliau akan bersolat subuh di situ. Setelah selesai solat subuh, beliau akan duduk di sebuah bilik lalu para pelajar akan datang belajar dengan beliau. Ketika sedang mengajar sesuatu subjek, akan ada pelajar lain yang menunggu di luar untuk belajar subjek lain dengan beliau. Beliau akan duduk di situ sepanjang siang untuk mengajar.

- Beliau berpuasa setiap hari sepanjang tahun sejak 50 tahun dulu. Hanya pada dua hari raya sahaja beliau tidak berpuasa.

- Beliau seorang yang warak dan zuhud. Mempunyai wajah dan uban yang bercahaya. Sangat banyak berzikir dan berselawat ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Jika ada yang bertanyakan soalan, beliau akan menjawab sekadarnya sahaja kemudian kembali berzikir dan berselawat.

- Beliau tidak suka berfatwa. Jika ada yang meminta fatwa, beliau akan suruh minta kepada orang lain. Beliau juga tidak suka jadi imam solat kerana sikap tawaduknya dan tidak mengambil tahu tentang hal keduniaan. Keadaan beliau sama ada mengajar ataupun berzikir sahaja.

- Beliau tidak menulis kecuali hanya beberapa risalah kecil sahaja seperti syarah al-Baiquniyyah. Ketika ada orang meminta beliau untuk menulis, beliau jawab: “Apa yang ulama tulis sudah mencukupi.”

- Umur beliau panjang sehingga ulama-ulama Syam yang tua dan muda adalah murid beliau.

- Pernah sekali beliau keluar berziarah ke beberapa tempat. Apabila beliau kembali ke Dimasyq, orang ramai sanggup beratur sekitar dua jam di kiri dan kanan jalan untuk bertemu dengan beliau. Jumlah orang ketika itu lebih daripada 100 ribu orang.

- Beliau tidak menerima tetamu kecuali di Darul Hadith. Orang yang menziarahi beliau pun tidak duduk lama dengan beliau, sekadar menyampaikan salam kemudian duduk seketika. Kemudian khadam beliau akan akan beri isyarat supaya keluar. Kadang-kadang ada orang-orang kaya dan tokoh kehormat datang jumpa beliau, beliau tidak izinkan mereka duduk. Kemudian mereka akan berlalu pergi. Kalau ada orang yang boleh duduk lama dengan beliau sekitar 20 minit atau setengah jam dan boleh tanya banyak soalan dengannya, itu akan dianggap satu kemuliaan bagi orang tersebut.

Sumber:

- Kitab Bahr al-‘Amiq Fi Marwiyat Ibn al-Siddiq karangan Sayyid Ahmad bin al-Siddiq al-Ghumari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan