Isnin, 24 Februari 2025

Hadis: Balasan Tidak Adil Dalam Poligami

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ كَانَتْ لَهُ امْرَأَتَانِ فَمَالَ إِلَى إِحْدَاهُمَا جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَشِقُّهُ مَائِلٌ

"Sesiapa yang mempunyai dua orang isteri, lalu dia cenderung kepada salah seorang daripada keduanya, dia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan sebelah badannya senget."

Riwayat Abu Daud (hadis no. 2133), al-Tirmizi (hadis no. 1141), al-Nasa’i (hadis no. 3942) dan Ibnu Majah (hadis no. 1969).

Lafaz riwayat al-Tirmizi:

إِذَا كَانَ عِنْدَ الرَّجُلِ امْرَأَتَانِ فَلَمْ يَعْدِلْ بَيْنَهُمَا جَاءَ يَوْمَ القِيَامَةِ وَشِقُّهُ سَاقِطٌ

“Jika seorang lelaki mempunyai dua orang isteri, lalu dia tidak berlaku adil antara kedua-duanya, dia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan sebelah badannya senget.”

Hadis ini disahihkan oleh Ibnu Hibban, al-Hakim, Ibnu Kathir dalam Irsyad al-Faqih, Ibnu al-Mulaqqin dalam al-Badr al-Munir dan Ibnu Hajar dalam Bulugh al-Maram.

Kosa Kata Hadis:

1 - "Mempunyai dua orang isteri": Iaitu sebagai contoh, atau dia mempunyai lebih daripada dua orang isteri.

2 - "Cenderung kepada salah seorang daripada keduanya": Iaitu mengutamakan seorang isteri berbanding yang lain.

Pengajaran Hadis:

1 - Pembahagian giliran dan berlaku adil antara isteri-isteri ketika berpoligami adalah wajib. Dalil-dalil mengenai kewajipan berlaku adil adalah sangat banyak. Cukuplah nas al-Quran: "Jika kamu takut tidak dapat berlaku adil, maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja" (An-Nisa': 3). Para ulama telah bersepakat bahawa sesiapa yang takut tidak dapat berlaku adil, haram baginya untuk berkahwin dengan isteri lain dan ini adalah ijmak umat Islam.

Akan tetapi, tidak disyaratkan dalam keadilan antara isteri-isteri itu untuk mengkhususkan satu malam bagi setiap isteri sehingga dia tidak bertemu dengan isteri yang lain pada malam itu. Bahkan, dibolehkan untuk duduk bersama dan berbual dengan isteri yang bukan gilirannya

Oleh itu, isteri-isteri Nabi sallahu ‘alaihi wasallam berkumpul setiap malam di rumah isteri yang mendapat giliran, seperti yang diriwayatkan oleh Anas: "Nabi sallahu ‘alaihi wasallam mempunyai sembilan isteri, apabila baginda membahagikan giliran antara mereka, baginda tidak kembali kepada isteri pertama melainkan selepas sembilan hari, dan mereka berkumpul setiap malam di rumah isteri yang mendapat giliran..."

Maka tidak disyaratkan dalam keadilan antara para isteri untuk mengkhususkan satu malam bagi setiap seorang daripada mereka serta tidak bertemu dengan isteri yang lain pada malam itu. Bahkan harus duduk bersama dan berbual dengan isteri yang bukan gilirannya.

Jika dia membahagikan giliran, tidak wajib baginya untuk bersetubuh dan tidak juga wajib menyamaratakan dalam hal itu. Bahkan harus baginya untuk bermalam bersama mereka dan tidak bersetubuh dengan seorang pun daripada mereka. Harus baginya untuk bersetubuh dengan sebahagian daripada mereka pada gilirannya dan tidak dengan sebahagian yang lain.

Akan tetapi disunatkan agar tidak mengabaikan mereka dan hendaklah menyamaratakan antara mereka dalam hal itu. Maka dia tidak dianggap mengabaikan hak isteri-isterinya demi untuk memelihara kehormatan mereka serta ia termasuk dalam pergaulan yang baik dengan isteri-isterinya dan kerana meninggalkan persetubuhan itu boleh membawa kepada perbuatan keji (zina).

2 – Haram berat sebelah kepada salah seorang isteri berbanding yang lain dalam perkara yang berada dalam kawalan suami seperti pembahagian giliran, makanan dan pakaian.

Suami tidak diwajibkan untuk berlaku adil antara isteri-isteri dalam perkara yang tidak dapat dikawal seperti perasaan kasih sayang dan seumpamanya.

Imam al-Khattabi dalam Ma’alim al-Sunan berkata:

“Hadis ini menunjukkan penekanan terhadap kewajipan pembahagian yang adil antara isteri-isteri yang merdeka. Kecenderungan yang dilarang adalah dalam aspek layanan zahir yang menyebabkan pengabaian hak, bukannya kecenderungan hati kerana hati tidak dapat dikawal.

Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam membahagikan giliran dengan adil antara isteri-isterinya dan berdoa: Ya Allah, ini pembahagianku dalam perkara yang aku mampu kawal, maka jangan hukum aku dalam perkara yang aku tidak mampu kawal.

Berkenaan ini turun firman Allah: Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan yang lain seperti tergantung." (An-Nisa': 129)

3 – Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam kitab al-Zawajir menganggap mengutamakan salah seorang isteri berbanding yang lain sebagai dosa besar, kerana ancaman keras dalam nas-nas mengenainya dan kerana ia mengandungi unsur penganiayaan dan melakukan kezaliman terhadap isteri yang tidak bersalah.

4 - Wajib menghadkan diri kepada seorang isteri sahaja jika takut tidak dapat berlaku adil antara isteri-isteri supaya dapat mengelakkan diri daripada hukuman yang berat ini dan mematuhi firman Allah: "Jika kamu takut tidak dapat berlaku adil, maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja." (An-Nisa': 3) 

Rujukan: 

1 - Fiqh Bulugh al-Maram Li Bayan al-Ahkam al-Syar'iyyah - Dr Muhammad al-Zuhaili. 

2 - I'lam al-Anam Syarah Bulugh al-Maram Min Ahadith al-Ahkam - Dr Nuruddin 'Itr

Tiada ulasan:

Catat Ulasan