الْوُضُوءُ عَلَى الْوُضُوءِ نُورٌ عَلَى نُورٍ
“Wuduk
atas wuduk itu cahaya atas cahaya.”
Hadis ini
saya temui dalam kitab al-Jauhar al-Mauhub (hlm. 37, baris ke-10
daripada atas) karangan Syeikh Ali bin Abdul Rahman al-Kelantani.
Pandangan
Ulama Tentang Hadis Ini
1 – Al-Hafiz
al-Munziri dalam kitab al-Targhib Wa al-Tarhib berkata: “Aku tidak mengingati bahawa baginya asal daripada hadis Nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Mungkin
ia daripada kalam golongan salaf.”
2 – Al-Hafiz
al-‘Iraqi dalam Takhrij al-Ihya’ berkata: “Aku tidak temui sumber
asal baginya.”
3 - Imam Badruddin al-'Aini dalam al-Banayah Fi Syarah al-Hidayah berkata: "Hadis ini masyhur dalam kitab-kitab fiqh namun tidak disebutkan dalam kitab-kitab hadis yang masyhur dan muktabar."
4 - Menurut al-Hafiz al-Suyuti dalam al-Hawi Lil Fatawi, beliau tidak melihat sesiapapun yang meriwayatkannya sebagaimana yang dikatakan oleh al-Hafiz al-Munziri.
5 – Al-Hafiz
al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah menukilkan daripada guru beliau,
al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani yang mengatakan: “Ia adalah hadis yang daif
dan diriwayatkan oleh Razin dalam Musnadnya.”
Razin yang
dimaksudkan ialah Razin bin Mu’awiyah al-Saraqusti (m. 535 H). Beliau ada
mengarang sebuah kitab yang bertajuk al-Tajrid Lil Sihah al-Sittah yang
menghimpunkan hadis-hadis kitab al-Muwatta’, Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim,
Sunan Abu Daud, Sunan al-Tirmizi dan Sunan al-Nasa’ie.
Namun begitu beliau juga ada menambah hadis-hadis yang lain dalam kitab tersebut yang menurut al-Hafiz al-Zahabi dalam Tarikh al-Islam, hadis-hadis tersebut sangat bermasalah (واهية). Begitu juga disebutkan oleh Imam al-Syaukani dalam al-Fawaid al-Majmu’ah bahawa Razin telah memasukkan dalam kitab tersebut hadis-hadis palsu yang tidak diketahui daripada mana datang hadis tersebut.
Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari juga pernah ditanya hadis-hadis yang ditambah oleh Razin dalam kitab tersebut. Beliau menjawab: Razin bukanlah di kalangan huffaz hadis. Hadis-hadis tambahan yang beliau masukkan tidak diriwayatkan secara bersanad bahkan secara mu'allaq (tidak bersanad) dan kebanyakannya tidak ada asal baginya. (Rujuk Mausu'ah Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari, jil. 16, hlm. 262)
Syeikh Abdul Aziz al-Siddiq al-Ghumari menyebutkan dalam kitab Dhau' al-Syam'ah (ms. 6-7): "Razin (semoga Allah merahmatinya) telah menghimpunkan al-Usul al-Sittah (Enam Kitab Induk) iaitu Muwatta’ Malik, Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abi Daud, al-Tirmizi dan al-Nasa'i di dalam sebuah kitab dan menamakannya Tajrid al-Sihah. Akan tetapi, beliau memasukkan ke dalam kitab al-Tajrid apa yang tidak terdapat di dalam kitab-kitab ini, dan menisbahkan hadis-hadis di dalamnya kepada kitab-kitab al-Sihah (kitab-kitab sahih), sedangkan hadis-hadis tersebut tidak mempunyai asal (sumber) dan sanad yang boleh dipercayai.
Perkara ini telah dinyatakan oleh para huffaz (pakar hadis), antaranya al-Munziri (semoga Allah merahmatinya) di dalam kitab al-Targhib wa al-Tarhib. Beliau telah menunjukkan hal ini di beberapa tempat dalam al-Targhib wa al-Tarhib, sebagaimana yang dapat diketahui oleh sesiapa yang merujuknya. Saya juga telah menunjukkan sebahagian daripada perkara ini di dalam kitab saya, Imamah al-Mar'ah.
Hakikatnya, Razin (semoga Allah merahmatinya) telah melakukan kesalahan yang amat buruk di dalam kitab Tajridnya. Ini kerana beliau telah memasukkan hadis-hadis yang batil tanpa memberikan penjelasan mengenainya dan tanpa menunjukkan sumber asalnya. Bahkan, beliau menambah lagi kesalahan di atas kesalahan apabila menyebutnya di dalam sebuah kitab yang didakwa menghimpunkan hadis-hadis sahih.
Perkara ini menambahkan lagi kesukaran untuk membezakan (antara hadis yang sahih dan batil) dan berwaspada daripadanya. Oleh sebab itu, mereka yang tidak mempunyai kepakaran dalam ilmu hadis telah terpedaya dengan penambahan-penambahan yang batil dan palsu ini. Lalu mereka menyebutnya sebagai hujah dan menjadikan nas-nasnya sebagai dalil bagi menyokong dakwaan mereka."
Al-Hafiz
Ibnu Hajar tidak mendatangkan sanad bagi hadis tersebut sehingga dapat dikaji
sanad tersebut dan tidak wujud sanadnya dalam kitab-kitab yang lain. Oleh itu hadis
ini dianggap oleh para ulama sebagai hadis yang palsu dan tidak berasal
daripada Rasulullah sallahu ‘alihi wasallam, antaranya oleh:
1 – Al-Syaukani
dalam al-Fawaid al-Majmu’ah.
2 – Al-Fattani
dalam Tazkirah al-Maudhu’at.
3 – Mulla ‘Ali
al-Qari dalam al-Asrar al-Marfu’ah.
4 – Syeikh Muhammad
Abdul Hayy al-Laknawi dalam Zafr al-Amani (hlm. 251). Menurut beliau
hadis ini masyhur di sisi fuqaha’ dan mereka menyebutnya dalam kitab-kitab
mereka. Namun begitu ia tidak ada nilai di sisi ahli hadis.
5 – Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari dalam Irsyad al-Thalib al-Najib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan