Selasa, 31 Disember 2024

Kisah Taubat Pembunuh 100 Orang

 عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، أَنَّ نَبِيَّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: " كَانَ فِيمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ رَجُلٌ قَتَلَ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ نَفْسًا، فَسَأَلَ عَنْ أَعْلَمِ أَهْلِ الْأَرْضِ فَدُلَّ عَلَى رَاهِبٍ، فَأَتَاهُ فَقَالَ: إِنَّهُ قَتَلَ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ نَفْسًا، فَهَلْ لَهُ مِنْ تَوْبَةٍ؟ فَقَالَ: لَا، فَقَتَلَهُ، فَكَمَّلَ بِهِ مِائَةً، ثُمَّ سَأَلَ عَنْ أَعْلَمِ أَهْلِ الْأَرْضِ فَدُلَّ عَلَى رَجُلٍ عَالِمٍ، فَقَالَ: إِنَّهُ قَتَلَ مِائَةَ نَفْسٍ، فَهَلْ لَهُ مِنْ تَوْبَةٍ؟ فَقَالَ: نَعَمْ، وَمَنْ يَحُولُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ التَّوْبَةِ؟ انْطَلِقْ إِلَى أَرْضِ كَذَا وَكَذَا، فَإِنَّ بِهَا أُنَاسًا يَعْبُدُونَ اللهَ فَاعْبُدِ اللهَ مَعَهُمْ، وَلَا تَرْجِعْ إِلَى أَرْضِكَ، فَإِنَّهَا أَرْضُ سَوْءٍ، فَانْطَلَقَ حَتَّى إِذَا نَصَفَ الطَّرِيقَ أَتَاهُ الْمَوْتُ، فَاخْتَصَمَتْ فِيهِ مَلَائِكَةُ الرَّحْمَةِ وَمَلَائِكَةُ الْعَذَابِ، فَقَالَتْ مَلَائِكَةُ الرَّحْمَةِ: جَاءَ تَائِبًا مُقْبِلًا بِقَلْبِهِ إِلَى اللهِ، وَقَالَتْ مَلَائِكَةُ الْعَذَابِ: إِنَّهُ لَمْ يَعْمَلْ خَيْرًا قَطُّ، فَأَتَاهُمْ مَلَكٌ فِي صُورَةِ آدَمِيٍّ، فَجَعَلُوهُ بَيْنَهُمْ، فَقَالَ: قِيسُوا مَا بَيْنَ الْأَرْضَيْنِ، فَإِلَى أَيَّتِهِمَا كَانَ أَدْنَى فَهُوَ لَهُ، فَقَاسُوهُ فَوَجَدُوهُ أَدْنَى إِلَى الْأَرْضِ الَّتِي أَرَادَ، فَقَبَضَتْهُ مَلَائِكَةُ الرَّحْمَةِ."

Daripada Abu Sa’id al-Khudri, bahawa Nabi Allah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

"Pada zaman sebelum kamu, ada seorang lelaki yang telah membunuh 99 nyawa. Lalu dia bertanya (orang ramai) tentang orang yang paling alim di muka bumi, lalu dia ditunjukkan kepada seorang rahib. Dia pergi berjumpa rahib itu dan berkata: Aku telah membunuh 99 nyawa, adakah masih ada taubat untukku? Rahib itu menjawab: Tidak. Maka lelaki itu membunuhnya dan genaplah 100 nyawa yang dibunuhnya.

Kemudian dia bertanya lagi tentang orang yang paling alim di muka bumi, lalu dia ditunjukkan kepada seorang alim. Dia berkata kepada alim itu: Aku telah membunuh 100 nyawa, adakah masih ada taubat untukku? Alim itu menjawab: Ya. Siapa yang dapat menghalang antara pembunuh dengan taubat? Pergilah ke suatu negeri yang tertentu, kerana di sana terdapat orang-orang yang menyembah Allah. Sembahlah Allah bersama mereka dan jangan kembali ke negerimu kerana ia adalah tempat yang buruk.

Lelaki itu pun pergi. Dalam perjalanan, apabila dia sampai di pertengahan jalan, maut menjemputnya. Maka malaikat rahmat dan malaikat azab pun berebut untuk mengambil rohnya. Malaikat rahmat berkata: Dia telah datang dalam keadaan bertaubat dan hatinya berpaling kepada Allah. Malaikat azab pula berkata: Dia belum pernah melakukan kebaikan sedikit pun.

Lalu datang seorang malaikat dalam rupa manusia. Mereka menjadikan malaikat itu sebagai hakim di antara mereka. Dia berkata, Ukur jarak antara kedua-dua negeri, ke mana dia lebih hampir, maka itulah tempatnya. Mereka mengukur dan mendapati dia lebih dekat dengan negeri yang ditujunya, lalu malaikat rahmat mengambilnya.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim. Lafaz hadis di atas daripada riwayat Muslim.

Huraian Hadis:

1 – Dalam riwayat al-Bukhari, disebutkan bahawa lelaki tersebut adalah daripada kaum Bani Israel.

2 – Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar dalam kitab Fath al-Bari, tidak ditemui nama lelaki yang membunuh tersebut dan begitu juga nama setiap individu yang disebutkan dalam kisah tersebut.

3 – Rahib adalah orang yang meninggalkan kesibukan dunia, meninggalkan kelazatannya, zuhud terhadapnya, mengasingkan diri daripada manusia dan sengaja menempuh hidup yang susah. Rahib yang ditanya tersebut beragama Nasrani. 

Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar, ini menunjukkan bahawa perkara tersebut berlaku selepas diangkatnya Nabi Isa kerana sistem kerahiban hanya dimulakan oleh para pengikutnya, sebagaimana yang dinyatakan dalam Al-Quran.

4 – Rahib tersebut mengatakan tiada taubat untuknya setelah membunuh 99 orang dan dia memberi fatwa sedemikian kerana: Rasa takut yang menguasainya atau dia menganggap mustahil taubatnya diterima selepas membunuh orang tanpa alasan yang munasabah. 

Menurut Mulla Ali al-Qari, rahib itu berkata demikian sama ada kerana kejahilannya tentang ilmu taubat atau kerana dikuasai rasa takut atau kerana dia membayangkan mustahil untuk mendapat keredhaan dari pihak-pihak yang dizalimi.

5 – Dalam riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir, disebutkan kampung asal pembunuh itu bernama Kufrah manakala kampung yang dia ingin tuju untuk bertaubah itu bernama Nadhrah.

Pengajaran Hadis:

1 - Keindahan gaya Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dalam memberi panduan dan nasihat dengan memberi contoh-contoh yang realistik.

2 - Keharusan menceritakan tentang umat terdahulu selagi tidak bertentangan dengan Islam.

3 - Jiwa-jiwa yang mempunyai kesediaan untuk kebaikan dan kebenaran akan kembali kepada jalan yang benar walaupun pernah dipesongkan dengan hawa nafsu.

4 - Disyariatkannya bertaubat bagi semua dosa besar, bahkan termasuk dosa membunuh kerana Allah Ta'ala menerima taubat lelaki yang membunuh seratus orang ini. 

Tidak boleh dikatakan: Sesungguhnya pembunuhan adalah berkaitan hak manusia yang tidak diterima taubat melainkan dengan mendapat keizinan, kemaafan dan keredaan dari pemilik hak. 

Ini kerana apabila Allah menerima taubat seseorang hamba maka Dia akan membuatkan pihak yang dizalimi meredai haknya.

5 - Pintu taubat sentiasa terbuka dan orang yang bertaubat diterima taubatnya walau sebesar mana pun dosanya dan sebanyak mana pun kesalahannya.

6 - Seorang pendakwah dan orang yang menyeru ke arah kebaikan hendaklah memiliki kebijaksanaan yang tinggi sehingga dapat memahami apa yang sesuai untuk memperbaiki jiwa sasaran dakwahnya dan dapat membimbingnya ke jalan harapan serta menunjuk pintu kebaikan.

7 - Kelebihan berpindah dari tempat di mana seseorang melakukan maksiat kerana sama ada kerana dia akan mengingati perbuatan-perbuatan yang dilakukan sebelumnya lalu kembali melakukannya atau kerana adanya orang-orang yang membantu dan mendorongnya untuk kembali melakukan maksiat tersebut.

Hendaklah dia menggantikan sahabat yang jahat itu dengan bersahabat dengan orang-orang yang baik dan soleh, para ulama dan ahli ibadah yang warak, serta orang-orang yang boleh diteladani dan mendapat manfaat daripada persahabatan mereka dan dengan itu taubatnya akan lebih kukuh.

8  - Orang yang bertaubat sepatutnya meninggalkan keadaan-keadaan yang biasa dilakukannya semasa bermaksiat, beralih daripada semuanya dan menyibukkan diri dengan perkara-perkara lain.

9 -  Keutamaan ilmu walaupun dengan sedikit ibadah berbanding banyaknya ibadah dengan kejahilan, kerana ahli ibadah yang jahil mungkin melakukan keburukan dalam keadaan dia ingin melakukan kebaikan, lalu dia binasa dan membinasakan orang lain, sedangkan orang yang berilmu mendapat petunjuk dengan cahaya ilmu lalu dia diberi taufik kepada kebenaran maka dia mendapat manfaat dari ilmunya itu dan dapat memberi manfaat ilmunya itu kepada orang lain.

10 - Kemampuan malaikat untuk berubah bentuk.

11 - Kemuliaan manusia di mana malaikat yang menjadi hakim dijadikan dalam bentuk manusia.

12 - Luasnya rahmat dan kurnia Allah, di mana Allah menerima taubat pembunuh itu walaupun kesalahannya sangat besar, kerana Allah Ta'ala mengampuni semua dosa kecuali syirik kepada Allah Ta'ala. Firman Allah Ta’ala: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya" [An-Nisa': 116].

13  - Pegangan Ahli Sunnah bahawa taubat menghapuskan semua dosa kecil dan dosa besar. 

Adapun nas-nas yang menunjukkan kekalnya pembunuh yang sengaja membunuh di dalam neraka, seperti firman Allah Ta'ala: "Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka Jahannam, dia kekal di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melaknatinya serta menyediakan azab yang besar baginya" [An-Nisa': 93], maka ia ditafsirkan sebagai penekanan dan ancaman berat terhadap pembunuhan beserta azab yang keras yang menantinya. Ini adalah dari sudut menakutkan dan mencegah, agar manusia tidak berani menumpahkan darah. 

Atau ia ditafsirkan kepada orang yang menghalalkan darah Muslim tanpa hak, maka dia kafir yang kekal dalam neraka kerana menghalalkan apa yang Allah haramkan dan ini adalah kesepakatan para ulama.

Isnin, 30 Disember 2024

Muhammad bin Abdul Wahab dan Tawassul

 

Muhammad bin Abdul Wahab membincangkan tentang pendapat sebahagian ulama dalam bab istisqa' (meminta hujan): "Tidak mengapa bertawassul dengan orang-orang soleh", dan pendapat Imam Ahmad: "Boleh bertawassul dengan Nabi sahaja", berserta dengan pendapat mereka: "Bahawa tidak boleh meminta pertolongan (istighathah) kepada makhluk."

Maka kata beliau:

Maka perbezaannya sangat jelas dan perbincangan ini bukanlah perkara yang sedang kita bincangkan. Sebahagian ulama membenarkan tawassul dengan orang-orang soleh, sebahagian yang lain mengkhususkannya dengan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam sahaja, dan majoriti ulama melarang dan memakruhkannya. Ini adalah masalah fiqh. Walaupun pendapat yang benar menurut kami adalah pendapat majoriti ulama, iaitu makruh, kami tidak mengingkari orang yang melakukannya. Tiada pengingkaran dalam masalah ijtihad.

Akan tetapi, pengingkaran kami adalah terhadap orang yang berdoa kepada makhluk lebih bersungguh-sungguh daripada berdoanya kepada Allah Taala dan menuju ke kubur dengan merendah diri di makam Syeikh Abdul Qadir atau yang lain, memohon agar dihilangkan kesusahan, diberi pertolongan, dan dikabulkan permintaan.

Maka di manakah kedudukan perbuatan ini berbanding orang yang berdoa kepada Allah dengan ikhlas, tidak berdoa kepada selain Allah, tetapi dia berkata dalam doanya: "Aku memohon kepada-Mu dengan berkat Nabi-Mu, atau para rasul, atau hamba-hamba-Mu yang soleh," atau dia menuju kubur orang yang terkenal atau yang lain, berdoa di sisinya, tetapi dia tidak berdoa melainkan kepada Allah sahaja dengan ikhlas. Maka di manakah kedudukan perbuatan ini berbanding dengan apa yang sedang kita bincangkan?

Sumber:

Fatawa Wa Masa’il Muhammad bin Abdul Wahab, ms. 68.

Hadis Kelebihan Mendoakan Orang Lain

 


Hadis Pertama

مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ: وَلَكَ بِمِثْلٍ.

"Tidaklah seorang hamba Muslim yang berdoa untuk saudaranya tanpa pengetahuannya, melainkan malaikat akan berkata: Dan untukmu juga seperti itu."

Riwayat Muslim daripada Abu al-Darda’.

Hadis Kedua

دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ، عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ، كلَّمَا دَعَا لأَخِيهِ بِخَيْرٍ، قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِينَ، وَلَكَ بِمِثْلٍ.

“Doa seorang Muslim untuk saudaranya secara diam-diam adalah mustajab. Di sisi kepalanya ada malaikat yang ditugaskan. Setiap kali dia mendoakan kebaikan untuk saudaranya, malaikat yang ditugaskan itu berkata: "Amin, dan untukmu juga yang serupa."

Riwayat Muslim daripada Abu al-Darda’.

Hadis Ketiga

مَا دَعْوَةٌ أَسْرَعَ إِجَابَةً مِنْ دَعْوَةِ غَائِبٍ لِغَائِبٍ

"Tiada doa yang lebih cepat dimakbulkan daripada doa orang yang tidak hadir untuk orang yang tidak hadir."

Riwayat al-Tirmizi daripada Abdullah bin ‘Amru dengan sanad yang daif.

Hadis Ketiga

دُعَاءُ الْأَخِ لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ لَا يُرَدُّ

“Doa seorang saudara untuk saudaranya yang lain secara diam-diam tidak akan ditolak.”

Riwayat al-Bazzar daripada ‘Imran bin al-Hussein dengan sanad yang daif.

Pengajaran Hadis:

1 - Galakan berdoa untuk saudara Muslimnya secara diam-diam.

2 - Doa untuk saudaranya secara diam-diam adalah sebab doa dimakbulkan. Oleh itu, sebahagian salaf apabila hendak berdoa untuk diri sendiri, mereka berdoa untuk saudara mereka secara sembunyi-sembunyi.

3 - Seperti yang dikatakan oleh Imam Nawawi: “Ini menunjukkan kelebihan berdoa untuk saudara Muslim secara diam-diam. Jika seseorang berdoa untuk sekumpulan Muslim, kelebihan ini akan diperolehi. Jika berdoa untuk seluruh umat Islam, zahirnya kelebihan ini juga akan diperolehi. Ada di kalangan salaf apabila hendak berdoa untuk diri sendiri, mereka berdoa untuk saudara Muslim dengan doa yang sama kerana ia akan dimakbulkan dan mereka akan mendapat yang serupa.”

4 – Doa secara diam-diam ini lebih mustajab kerana kerana ia jauh dari riya' dan tujuan-tujuan yang merosakkan atau mengurangkan pahala. Doa yang ikhlas menjadi murni dan niat mencari keredaan Allah menjadi benar, lalu malaikat akan menyertai doanya.

5 - Disunatkan bagi seorang Muslim untuk mendoakan dirinya dan saudaranya dengan kebaikan dunia dan akhirat.

6 - Hadis ini menjelaskan mengenai sebahagian tugas malaikat dan bahawa di antara mereka ada yang ditugaskan oleh Allah untuk tugas ini.

7 - Para malaikat tidak akan mengaminkan doa melainkan doa untuk tujuan kebaikan.

8 – Imam Abu Bakar al-Turtushi berkata dalam kitabnya al-Dua' al-Ma'thur wa Adabuhu: "Hadis ini memberikan faedah yang besar kerana jika doamu untuk saudaramu dimakbulkan kerana dia ghaib daripadamu, maka kita berharap bahawa doa malaikat untukmu juga akan dimakbulkan kerana kamu ghaib daripadanya."

Ahad, 29 Disember 2024

Imam Burhanuddin al-Zarnuji - Pengarang Ta'lim al-Muta'allim

 

Beliau ialah Burhanuddin atau Burhanul Islam, al-Zarnuji.

Buku-buku biografi tidak menyebutkan perincian tentang kehidupan al-Zarnuji, melainkan kemasyhurannya datang dari satu-satunya karya beliau yang terkenal, iaitu kitab Ta'lim al-Muta'allim Tariq al-Ta'allum.

Apa yang disebutkan oleh rujukan yang ada ialah beliau menuntut ilmu di bawah bimbingan pengarang kitab al-Hidayah dalam fiqh Hanafi iaitu Burhanuddin Ali bin Abi Bakar al-Farghani al-Marghinani, yang dianggap oleh al-Zarnuji sebagai gurunya dalam kitab ini. Al-Zarnuji juga menyebutkan bahawa Fakhrul Islam al-Hasan bin Mansur al-Farghani Qadikhan adalah gurunya.

Tarikh Lahir

Tidak ditemui dalam rujukan-rujukan tarikh lahir al-Zarnuji, yang menyukarkan penentuan tempoh masa beliau hidup. Sebagaimana kitab-kitab biografi mengabaikan penyebutan maklumat tentang kehidupannya, tidak disampaikan juga maklumat tentang tahun kemasyhurannya atau tahun beliau mengarang kitabnya.

Dalam penulisan-penulisan moden tentang al-Zarnuji dan pandangannya tentang pembelajaran, disebutkan tahun kematiannya ialah (591 H) atau (593 H) atau (597 H) tanpa bukti atau rujukan untuk maklumat ini. Sebahagian penulisan hanya menyebutkan bahawa beliau adalah salah seorang tokoh abad keenam Hijrah tanpa menentukan tahun tertentu.

Gelaran al-Zarnuji

Al-Zarnuji dinisbahkan kepada negerinya, Zarnuj. Menurut al-Qurashi, pengarang kitab al-Jawahir al-Mudhi'ah, negeri itu termasuk dalam negeri-negeri orang Turk. Adapun Yaqut al-Hamawi berkata tentangnya dalam Mu'jam al-Buldan: “Sebuah negeri yang terkenal di Ma Wara'a al-Nahr, selepas kawasan Khujand, sebahagian daripada wilayah Turkistan.”

 Ma Wara'a al-Nahr (Transoxiana) ialah negeri-negeri yang terletak di seberang Sungai Jeyhun di Khurasan yang dikatakan Yaqut al-Hamawi sebagai salah satu wilayah yang paling indah, paling subur, dan paling makmur. Orang pertama yang menghantar tentera untuk menaklukinya ialah al-Hajjaj bin Yusuf (m. 95 H) atas perintah Khalifah Abdul Malik bin Marwan bin al-Hakam (m. 86 H).

Guru-Guru

Rujukan utama untuk mengetahui guru-gurunya ialah kitabnya sendiri. Beliau menyebut sebilangan daripada mereka di dalam kitabnya dan memetik kata-kata yang dinisbahkan kepada mereka. Antara guru-guru yang disebut beliau ialah:

1 - Burhanuddin Ali bin Abu Bakar al-Marghinani, yang meninggal dunia pada tahun 593 H, pengarang kitab al-Hidayah dalam fiqh dan banyak karya lain. Beliau adalah salah seorang fuqaha besar mazhab Hanafi pada zamannya. Beliau merupakan tokoh yang paling masyhur yang banyak dipetik daripadanya di banyak tempat dalam kitab ini

2 - Rukun al-Islam Muhammad bin Abi Bakar yang dikenali sebagai Khawāhar Zāda atau Imām Zāda, mufti penduduk Bukhara. Beliau seorang faqih, sasterawan, dan penyair. Beliau meninggal dunia pada tahun 573 H/1177 M.

3 - Hammad bin Ibrahim, seorang faqih, sasterawan dan ahli kalam. Beliau meninggal dunia pada tahun 576 H/1180 M.

4 - Fakhr al-Din al-Kasani, kemungkinan besar beliau ialah Abu Bakar bin Mas'ud al-Kasani, pengarang kitab Badā'i' al-Ṣanā'i' dalam bidang fiqh. Beliau meninggal dunia pada tahun 587 H/1191 M.

5 - Fakhr al-Din Qadikhan al-Uzjandi, beliau mempunyai banyak karya dalam bidang fiqh dan merupakan seorang mujtahid. Beliau meninggal dunia pada tahun 592 H/1196 M.

6 - Al-Adib Al-Mukhtar Rukn Al-Din Al-Farghani: Seorang faqih, sasterawan dan penyair, meninggal dunia pada tahun 594 H/1198 M.

Hasil Penulisan

Burhan al-Islam al-Zarnuji dikenali sebagai pengarang kitab Ta'lim Al-Muta'allim. Kitabnya tidak masyhur kerana penisbahannya kepada beliau, berbeza dengan ramai pengarang lain. Ramai yang menyebutkan biografinya sebagai ‘pengarang kitab Ta'lim al-Muta'allim’. Ini menunjukkan kemasyhuran kitab tersebut kerana kepentingannya, walaupun maklumat mengenai pengarangnya sedikit seperti yang telah disebutkan sebelum ini.

Berkemungkinan al-Zarnuji telah meninggalkan banyak tinggalan ilmiah yang tidak sampai kepada kita, namun berat pada sangkaan bahawa kitab ini merupakan satu-satunya karya yang ditulis oleh al-Zarnuji. Beliau tidak mempunyai karya ilmiah lain, sama ada dalam bidang pendidikan, fiqh, atau ilmu-ilmu lain. Semua yang telah menyebutkan biografinya hanya menyebut kitab ini sahaja sebagai karyanya.

Tahun Kewafatan

Setelah menyelidik daripada kitab-kitab yang ada, jelas bahawa al-Zarnuji wafat pada abad ketujuh Hijrah. Ini berdasarkan bukti yang dikemukakan oleh al-Qurashi, pengarang kitab al-Jawahir, bahawa al-Zarnuji adalah sezaman dengan al-Nu'man bin Ibrahim al-Zarnuji yang wafat pada tahun 640 H di Bukhara.

Jika al-Zarnuji tidak wafat pada tahun itu, maka beliau wafat tidak lama selepas itu kerana beliau sezaman dengan al-Nu'man dan hidup pada era yang sama. Dengan itu, dapat disimpulkan bahawa al-Zarnuji hidup antara pertengahan abad keenam hingga akhir sepertiga pertama abad ketujuh Hijrah

Biografi al-Zarnuji Dalam Beberapa Buah Kitab

Berikut adalah beberapa maklumat yang ditulis mengenainya dalam kitab-kitab yang menyebutkan biografinya:

1 – Imam Abdul Qadir al-Qurashi al-Hanafi (m. 775H) berkata dalam kitab al-Jawahir al-Mudiyyah fi Tabaqat al-Hanafiyyah tentangnya:

"Burhanul Islam adalah salah seorang murid pengarang al-Hidayah. Beliau adalah pengarang kitab Ta'lim al-Muta'allim Tariq al-Ta'allum. Kitab ini bernilai tinggi, bermanfaat, dan mengandungi beberapa bab yang jumlahnya (menyamai) kira-kira tiga risalah kecil. Kitab ini jarang ditemukan di negeri kami, namun saya berjaya memperolehnya. Segala puji bagi Allah."

2 – Imam Abdul Hayy al-Laknawi al-Hindi (m. 1304H) dalam kitab al-Fawaid al-Bahiyyah fi Tarajim al-Hanafiyyah berkata:

"Burhanul Islam al-Zarnuji adalah pengarang kitab Ta'lim al-Muta'allim. Kitab ini bernilai tinggi, bermanfaat, mengandungi bab-bab tertentu, kecil dari segi saiz tetapi banyak faedahnya. Beliau adalah murid kepada pengarang al-Hidayah.

Saya telah menelaan Ta'lim al-Muta'allim dan ia sebagaimana yang dikatakan oleh al-Kafawi: Kitab yang bernilai tinggi dan bermanfaat."

3 - Edward van Dyck dalam kitabnya Iktifa' al-Qanu' bima Huwa Matbu' berkata:

"Burhanuddin al-Zarnuji adalah seorang tokoh pada abad ke-6 Hijrah dan merupakan murid kepada Burhanuddin, pengarang al-Hidayah dalam cabang-cabang fiqah. Beliau mempunyai sebuah kitab dalam bidang nasihat (mawa’iz) dan tasawuf yang berjudul Ta'lim al-Muta'allim Tariq al-Ta'allum. Kitab ini dicetak di kota Murshidabad pada tahun 1265H, juga di Leipzig pada tahun 1838M dengan syarah oleh Ibnu Ismail, salah seorang ulama abad ke-10 Hijrah, beserta terjemahan dalam bahasa Latin. Kitab ini juga dicetak dengan syarah tersebut di Mesir pada tahun 1301H dan di Istanbul di Matba'ah al-Jawa'ib dengan syarah ringkas."

4 - Carl Brockelmann dalam kitabnya Tarikh al-Adab al-'Arabi berkata:

"Burhanuddin al-Zarnuji hidup sebelum tahun 600H. Beliau memiliki kitab Ta'lim al-Muta'allim Tariq al-Ta'allum."

5 - Yusuf Elian Sarkis dalam kitabnya Mu'jam al-Matbu'at al-'Arabiyyah wa al-Mu'arrabah berkata:

"Burhanuddin al-Zarnuji atau Burhanul Islam adalah murid kepada pengarang al-Hidayah, Burhanuddin al-Farghani, seorang tokoh dari abad ke-6 Hijrah. Beliau memiliki kitab Ta'lim al-Muta'allim Tariq al-Ta'allum atau Ta'lim al-Muta'allim Tariq al-'Ilm, sebuah karya ringkas yang mengandungi bab-bab seperti:

(i) Tentang hakikat ilmu.

(ii) Tentang niat.

(ii) Tentang perkara yang mendatangkan rezeki.

Dicetak di Jerman dengan usaha Monsieur Relandus pada tahun 1709M, di Leipzig pada tahun 1838M dengan usaha Monsieur Caspari, dan disertai mukadimah oleh Monsieur Fleischer. Ia juga dicetak di Murshidabad pada tahun 1265H, di Kazan pada tahun 1901M dengan syarah ringkas di akhirnya, di Tunisia pada tahun 1286H, di Istanbul pada tahun 1292H dan 1307H, di Kazan pada tahun 1898M, serta di Mesir pada tahun 1300H dan 1307H.”

Yusuf Elian Sarkis juga menyebutkan biografi Ibrahim bin Ismail, pensyarah Ta'lim al-Muta'allim:

"Beliau adalah salah seorang ulama abad ke-10 Hijrah. Beliau telah mensyarahkan Ta'lim al-Muta'allim karya Burhanuddin al-Zarnuji dalam bidang nasihat. Syarah ini berbentuk syarahan yang bercampur dengan teks asal  (mamzuj) yang ditulis untuk Sultan Murad Khan III bin Salim. Beliau menyelesaikan penulisannya pada tahun 996H. Kitab ini telah dicetak di Matba'ah Muhammad Mustafa pada tahun 1301H dan di Matba'ah al-Maimaniyyah pada tahun 1311H, dengan Ta'lim al-Muta'allim dicetak di pinggir halamannya."

6 - Haji Khalifah dalam kitab Kasyf al-Zunun 'an Asami al-Kutub wa al-Funun berkata:

"Burhanul Islam adalah salah seorang murid pengarang al-Hidayah, penyusun kitab Ta'lim al-Muta'allim Tariq al-Ta'allum, sebuah kitab yang sangat bernilai. Kitab ini telah disyarahkan oleh Ibnu Ismail dengan syarahan yang bercampur dengan teks asal  (mamzuj) dan diterjemahkan ke dalam bahasa Turki oleh Syaikh Abdul Majid bin Nasuha bin Israel, yang menamakannya dengan Irshad al-Talibin fi Ta'lim al-Muta'allimin."

Biografi beliau juga ditulis oleh Tash Kubri Zadah dalam Tabaqat al-Fuqaha' dan ditulis biografinya dalam Taj al-Tarajim wa Tarajim al-A'ajim, Idhah al-Maknun, Hadiyyah al-'Arifin, Mu'jam Al-Mu'allifin dan lain-lain. Semua biografi ini mempunyai maklumat yang serupa.

Ringkasan Ta’lim al-Muta’allim

Terdapat juga manuskrip ringkasan kepada kitab ini yang dinisbahkan kepada Abu Bakar bin Abi Al-Qasim Al-Ahdal Al-Yamani dari abad kesepuluh dan kitab itu berjudul al-Fawa'id al-Muntakhabah min Kitab Thalabat al-Thalabah fi Thariq al-'Ilm liman Thalabah.

Ahad, 22 Disember 2024

Sebab Banyaknya Tulisan al-Hafiz al-Suyuti

Dalam tulisan saya pada 4 tahun lepas saya ada menulis tentang banyaknya karya yang dihasilkan oleh al-Hafiz al-Suyuti (m. 911H) sehingga ada ulama dan pengkaji yang menghitung jumlahnya yang mencapai 1000 buah karangan. Boleh baca di sini.

Tidak diragukan lagi bahawa banyaknya tulisan beliau disebabkan Allah Ta'ala telah memberkati waktu dan usianya, yang menjadi sebab utama di sebalik banyaknya karya yang beliau tinggalkannya. Sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Ibnu 'Athaillah dalam Hikam-nya: "Sesiapa yang diberkati umurnya, nescaya dalam masa yang singkat dia akan mencapai kurniaan-kurniaan Allah Taala yang tidak terungkap oleh kata-kata dan tidak dapat dijelaskan dengan isyarat."

Namun begitu, tidak salah jika kita cuba mencari beberapa sebab luaran/material lain yang boleh dijadikan dorongan bagi kita untuk menjaga waktu dan mengisinya dengan perkara yang bermanfaat lagi berguna. Antara sebab-sebab tersebut ialah:

1 - Memulakan penulisan pada usia yang muda:

Beliau menulis karya pertamanya semasa gurunya, ‘Alamuddin al-Bulqini (m. 868H) masih hidup dan ketika itu beliau baru berusia 17 tahun. Karya tersebut ialah Syarah al-Isti'azah wa al-Basmalah yang dikarang pada tahun 865 Hijrah. Pada tahun yang sama, beliau juga mengarang kitab Syarah al-Hai'alah wa al-Haiqalah dan sebuah kitab berjudul al-Syam'ah al-Mudhiyyah fi Ilm al-Arabiyyah. Dalam fasa awal kehidupannya, beliau juga mengarang beberapa karya yang kemudiannya beliau hapuskan dan tarik balik semula, seperti: Syarah al-Jumal oleh al-Zajjaji, Syarah al-Kafiyah al-Kubra oleh Ibnu Malik, Syarah 'ala Matan al-Ajurrumiyyah, Syarah Nazam  al-Ajurrumiyyah dan lain-lain.

2 - Banyaknya sumber rujukan yang dimilikinya:

Ayahnya telah meninggalkan sebuah perpustakaan yang kaya dengan pelbagai karya ilmiah untuknya. Sejak kecil, beliau juga sering mengunjungi Madrasah al-Mahmudiyyah, yang memiliki sebuah perpustakaan besar yang mengandungi koleksi buku paling berharga di Kaherah.

3 - Kepantasannya dalam menulis:

Muridnya, al-Daudi, menyebut bahawa beliau adalah salah satu keajaiban yang hebat dalam kepantasan menulis. Beliau berkata: "Aku telah menyaksikan sendiri Syeikh menulis dalam satu hari sebanyak tiga buku kecil (kurras), baik dalam bentuk karangan mahupun suntingan."

Al-Hafiz Abdullah al-Ansari berkata: "Seorang ahli hadis perlu memiliki sifat: cepat berjalan, cepat menulis, dan cepat membaca."

4 – Pengunduran diri daripada memberi fatwa dan mengajar:

Beliau berhenti memberi fatwa dan mengajar ketika berusia 40 tahun, yang mana ia telah membantunya untuk memberi tumpuan sepenuhnya untuk menyusun karya-karyanya. Muridnya, Abdul Qadir al-Syazili berkata: "Apabila Syeikh Jalaluddin mencapai usia 40 tahun, beliau mula mengasingkan diri untuk beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah Taala serta berpaling daripada dunia dan penghuninya. Beliau mula menyusun karya-karyanya, serta meninggalkan tugas memberi fatwa dan mengajar"

5 - Kaedah yang digunaakan oleh al-Suyuti dalam penulisan:

Kaedah yang digunakan oleh al-Suyuti dalam penulisan juga memberi kesan kepada banyaknya karya-karya beliau. Beliau memulakan penulisannya dengan meringkaskan kitab-kitab ulama terdahulu, yang mana ia membantunya mengumpul khazanah ilmu yang sangat besar. Ini memberinya kemampuan pada kemudian harinya untuk mengarang secara menyeluruh dan bebas.

Dari sudut yang lain pula, al-Suyuti mengkaji secara mendalam bagi topik-topik yang ingin dikarangnya, sehingga beliau menulis satu karya khusus untuk satu topik. Sekiranya beliau memperoleh bahan ilmiah baru mengenai topik yang sama, beliau akan menyusulkan karyanya yang pertama dengan karya baru dan begitulah seterusnya.

Sudut ketiga yang disedari oleh sejumlah pengkaji ialah al-Suyuti akan mengarang sebuah kitab yang menyeluruh, kemudian beliau akan membahagikan perbahasannya kepada beberapa karya dan risalah kecil. Kadang-kadang beliau melakukan sebaliknya, iaitu mengumpulkan beberapa risalah dan karya dalam satu kitab.

Terdapat sebahagian pengkaji yang beranggapan bahawa al-Suyuti hanyalah seorang yang sekadar meringkaskan karya-karya yang diringkaskannya. Berdasarkan anggapan ini, mereka menyimpulkan bahawa al-Suyuti memiliki pandangan dan pemikiran yang bercanggah disebabkan perbezaan pendapat antara pengarang-pengarang kitab yang diringkaskannya dengan pendapatnya sendiri. Mereka juga beranggapan bahawa al-Suyuti tidak teliti dalam meneliti pendapat-pendapat tersebut dan tidak memilihkan pendapat yang lebih kuat.

Pandangan terhadap karya ringkasan al-Suyuti ini tidak berasaskan bukti yang kukuh, malah menunjukkan kurangnya pengalaman dalam meneliti karya-karya dan ringkasan-ringkasan al-Suyuti serta membandingkannya dengan karya asal. Hakikatnya, apabila al-Suyuti meringkaskan, beliau tidak melakukannya secara literal seperti maksud biasa perkataan ‘ringkasan’. Sebaliknya, beliau memilih dan menapis isi kandungan dengan cara memberikan pembaca inti pati yang menjadi tujuan asal penulisan karya tersebut. Beliau mengekalkan inti karya asal dan meninggalkan perkara-perkara yang tidak bermanfaat, kemudian menambah banyak faedah yang tidak terdapat dalam karya asal. Dengan itu, keperibadian dan cara pemikiran al-Suyuti tetap jelas kelihatan dalam karya-karya tersebut.

Adapun anggapan sebahagian pengkaji bahawa terdapat percanggahan dalam pandangan al-Suyuti yang berpunca daripada dakwaan mereka sebelum ini, sebenarnya ia hanyalah perubahan dalam ijtihad atau perubahan pandangan, sebagaimana yang biasa berlaku kepada ramai penulis dan pengkaji lain.

6 - Sebahagian besar karya al-Suyuti adalah risalah kecil atau fatwa:

Lebih daripada dua pertiga karya al-Suyuti terdiri daripada risalah-risalah kecil atau fatwa-fatwa mengenai peristiwa-peristiwa tertentu, yang mana sebahagiannya kadangkala tidak lebih daripada sehelai kertas.

Beliau juga meletakkan tajuk yang berasingan untuk sebuah qasidah yang tidak melebihi 20 buah bait, jika ia mempunyai tema atau topik yang lengkap, seperti Tuhfah al-Muhtadin fi Asma' al-Mujaddidin dan Qatf al-Thimar fi Muwafaqat Umar. Mungkin inilah yang menyebabkan sebahagian ulama memperkecilkan semua karya al-Suyuti berbanding karya-karya Ibnu Hajar.

Menurut Abdul Hayy al-Kattani, ada sebahagian orang yang memperkecilkan semua karya al-Suyuti berbanding karya-karya Ibnu Hajar dan berkata: “Tidak ada seorang pun daripada kaum Muslimin yang mengarang sebanyak karangan beliau - yakni Ibnu Hajar - hatta al-Zahabi dan al-Suyuti. Dikatakan bahawa salah satu karangan beliau (Ibnu Hajar) menyamai semua karya al-Suyuti."

Al-Kattani menjawab kenyataan ini dengan berkata:

"Kenyataan tersebut tidak terlepas daripada unsur keterlaluan (mubalaghah), kerana karya terbesar Ibnu Hajar dari segi saiz adalah Fath al-Bari, dan saiznya tidak pun menyamai seperempat daripada karya-karya al-Suyuti yang bersaiz sederhana."

Kenyataan ini adalah benar kerana jumlah karya al-Suyuti jauh lebih banyak daripada jumlah karya Ibnu Hajar. Selain itu, saiz karya-karya al-Suyuti juga jauh lebih besar daripada saiz karya-karya Ibnu Hajar, seperti yang kita dapat saksikan.

7 – Perdebatan ilmu dengan pesaingnya:

Perselisihan ilmiah yang dialami oleh al-Suyuti telah memberi kesan positif dalam memperkayakan karya-karyanya. Ini kerana beliau tidak cenderung kepada perdebatan lisan dalam menyelesaikan perselisihan dengan pihak yang tidak sependapat dengannya. Sebaliknya, beliau berpendapat bahawa mengarang karya yang mendalam tentang isu-isu yang diperdebatkan adalah lebih bermanfaat dan berkesan. Beliau berkata: “Penulisan memberikan manfaat yang berterusan sepanjang zaman, sedangkan perdebatan hanyalah bersifat sementara dan sering kali membawa kepada perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah.”

Rujukan:

1 - الإمام الحافظ جلال الدين السيوطي معلمة العلوم الإسلامية - إياد خالد الطباع.

2 - الامام الحافظ جلال الدين السيوطي وجهوده في الحديث وعلومه - بديع السيد اللحام.

Jumaat, 20 Disember 2024

Status Hadis: Syaitan Memakai Pakaian Tidak Dilipat

 

Hadis Pertama

اطْوُوا ثِيَابَكُمْ تَرْجِعُ إِلَيْهَا أَرْوَاحُهَا، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ إِذَا وَجَدَ الثَّوْبَ مَطْوِيًّا لَمْ يَلْبَسْهُ، وَإِذَا وَجَدَهُ مَنْشُورًا لَبِسَهُ.

"Lipatlah pakaian kamu, kerana roh (keelokan) pakaian itu akan kembali kepadanya. Sesungguhnya, syaitan apabila mendapati pakaian yang dilipat, dia tidak memakainya. Tetapi jika dia mendapati pakaian yang terbentang, dia akan memakainya."

Sumber Hadis:

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam Mu’jam al-Ausat (hadis no. 5702) melalui sanad:

Umar bin Musa daripada Abu al-Zubair daripada Jabir daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Hukum Hadis:

1 - Al-Hafiz al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid berkata: “Diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Ausat dan dalam sanadnya terdapat Umar bin Musa bin Wajih dan dia adalah pemalsu hadis.”

2 – Al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah menghukumkannya bersama beberapa lagi hadis yang berkaitan sebagai wahiyah (sangat lemah).

3 – Syeikh Ahmad al-Siddiq al-Ghumari dalam al-Mudawi berkata:

“Umar bin Musa adalah seorang pendusta dan pemalsu hadis, maka hadis ini adalah hadis maudu’ (palsu)."

Beliau berkata lagi dalam al-Mughir:

“Dalam sanadnya terdapat pemalsu hadis. Nabi sallahu ‘alaihi wasallam tidak melipat pakaiannya, sebaliknya baginda meletakkannya di atas penyidai. Saya telah membaca dalam kitab al-Mujalasah karya al-Dinawari daripada al-Thauri yang berkata: Sampai kepadaku bahawa pakaian apabila dilipat, keelokannya akan kembali kepadanya. Al-Thauri sendiri mengamalkan perkara ini. Maka inilah asal-usul ucapan tersebut yang kemudian diambil oleh pemalsu hadis dan disandarkan kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.” 

Hadis yang menyatakan baginda meletakkan pakaiannya di penyidai diriwayatkan oleh Ibnu Wahb dalam al-Jami' daripada Jabir bin Abdullah: 

أَنَّهُ رَأَى رَسُولَ اللَّهِ ﷺ يُصَلِّي فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ مُخَالِفًا بَيْنَ طَرَفَيْهِ عَلَى عَاتِقِهِ، وَثَوْبُهُ عَلَى الْمِشْجَبِ.

"Sesungguhnya beliau melihat Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersolat dengan memakai sehelai pakaian, dengan kedua-dua hujungnya disilangkan di atas bahunya dan pakaiannya yang lain diletakkan di atas penyidai." 

Hadis Kedua

الشَّيَاطِينُ يَسْتَمْتِعُونَ بِثِيَابِكُمْ، فَإِذَا نَزَعَ أَحَدُكُمْ ثَوْبَهُ فَلْيَطْوِهِ حَتَّى تَرْجِعَ إِلَيْهَا أَنْفَاسُهَا، فَإِنْ الشَّيَاطِينَ لا تلبس ثوبا مطويا.

"Syaitan-syaitan berseronok mengambil manfaat dengan pakaian kamu. Maka apabila salah seorang daripada kamu menanggalkan pakaiannya, hendaklah dia melipatnya sehingga nafas-nafasnya (keelokannya) kembali pakaian itu. Sesungguhnya syaitan-syaitan tidak memakai pakaian yang dilipat."

Sumber Hadis:

Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq melalui sanad:

Yasin bin Mu’az daripada Abu al-Zubair daripada Jabir.

Hadis ini juga disebutkan oleh al-Dailami dalam al-Firdaus.

Hukum Hadis:

1 – Al-Hafiz al-Suyuti dalam al-Jami’ al-Kabir berkata:

“Dalam sanadnya ada Yasin bin Mu’az, ditinggalkan hadisnya (matruk). Ibnu Hibban berkata: Dia meriwayatkan hadis-hadis palsu.”

Abu Hatim berkata: "Dia adalah seorang yang soleh tetapi tidak memahami apa yang diriwayatkannya, tidak kuat (dalam periwayatan hadis) dan hadisnya munkar."

Oleh itu, dia tidak sengaja memalsukan hadis, tetapi hadis-hadis palsu masuk ke dalam riwayatnya kerana kelalaiannya dan kurangnya pemahaman tentang ilmu hadis.

Kesimpulan:

Hadis pertama adalah palsu dan hadis kedua pula sekurang-kurangnya adalah sangat daif jika tidak sampai ke tahap palsu sekalipun. Oleh itu kedua-dua hadis ini tidak boleh diamalkan, disebarkan dan disandarkan kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.

Selasa, 17 Disember 2024

Sejarah Mazhab al-Syafi’i

Kubur Imam al-Syafi'i

Pengasas Mazhab

Mazhab ini dinisbahkan kepada Imam Abu Abdullah Muhammad bin Idris al-Syafi’i, yang nasab keturunannya bertemu dengan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam pada Abdul Manaf. Beliau dilahirkan di Gaza pada tahun 150H, kemudian dibawa ke Mekah ketika berusia dua tahun pada tahun 152H dan meninggal dunia di Mesir pada tahun 204H.

Allah Ta’ala telah mengurniakan beliau daya ingatan yang kuat yang membolehkannya mempelajari dan menghafal dengan cepat, disertai dengan kejernihan fikiran dan hati. Beliau telah menghafal al-Quran, kemudian syair-syair Arab dan kemudian kitab al-Muwatta’ karangan Imam Malik, kesemuanya pada usia yang muda dalam tempoh masa yang singkat.

Al-Muwatta'

Setelah dewasa, beliau mula kerap mengunjungi kabilah-kabilah Arab di sekitar Mekah, terutamanya kabilah Huzail, untuk mempelajari bahasa Arab daripada orang Arab tulen. Pembelajaran bahasa Arab beliau daripada orang Arab Badwi disertai dengan mendengar syair-syair mereka dan menghafal nasab keturunan serta sejarah mereka.

Antara guru-guru terkemuka yang mengajar Imam al-Syafi’i di Mekah ialah Sufyan bin ‘Uyainah yang merupakan daripada kalangan tabi’ tabi'in dan mufti Mekah, Muslim bin Khalid al-Zanji yang memberi keizinan kepada Imam al-Syafi’i untuk memberi fatwa ketika beliau berusia lima belas tahun.

Kemudian beliau berhijrah ke Madinah dan bertemu dengan Imam Malik, mempelajari kitab al-Muwatta’ daripadanya, yang mana beliau telah hafal sebelum mempelajarinya secara langsung. Beliau meriwayatkan al-Muwatta’ daripadanya selain berguru dan terus bersama Imam Malik sehingga kewafatannya pada tahun 179H. Selepas kewafatan gurunya Imam Malik di Madinah dan gurunya Muslim bin Khalid al-Zanji di Mekah pada tahun yang sama (menurut riwayat yang paling sahih), beliau berhijrah ke Yaman bersama gabenornya, yang melantik beliau untuk bertugas di sana.

Di Yaman, beliau bertemu dengan Umar bin Abi Salamah yang merupakan murid Imam al-Auza'i dan mempelajari fiqh daripadanya. Beliau juga bertemu dengan Yahya bin Hassan yang merupakan murid Laith bin Sa'ad (ahli fiqh Mesir) dan Hisham bin Yusuf al-San'ani, hakim Sana’a yang belajar dari Sufian al-Thauri dan lain-lain.

Pada tahun 184H, Imam al-Syafi’i dibawa ke Baghdad kerana dituduh cuba memberontak terhadap Khilafah Abbasiyyah. Namun, Khalifah Harun al-Rasyid memaafkannya setelah terbukti bahawa beliau tidak bersalah dan memberinya ganjaran. Kedatangannya ke Baghdad membawa kepada pertemuannya dengan ahli fiqh Iraq, Muhammad bin al-Hassan al-Syaibani, murid Imam Abu Hanifah. Beliau berguru dengannya, membaca kitab-kitabnya, mengambil riwayat daripadanya dan berbincang masalah-masalah fiqh dengannya sehingga kewafatan al-Syaibani pada tahun 189H.

Semasa penempatan pertamanya di Baghdad, Imam al-Syafi’i juga berguru dengan beberapa ulama terkemuka selain Muhammad bin al-Hassan al-Syaibani, antaranya: Waki' bin al-Jarrah, Abdul Wahhab bin Abdul Majid al-Thaqafi dan Ismail bin Ibrahim al-Basri.

Kemudian beliau berpindah ke Mekah dan membawa bersamanya kitab-kitab fiqh dari Iraq. Beliau mengadakan halaqah pengajaran di kawasan Zamzam berhadapan dengan pancuran air Kaabah di Masjidil Haram untuk mengajar fiqh dan memberi fatwa kepada orang ramai. Antara tokoh yang mendapat manfaat dari Imam al-Syafi’i semasa beliau berada di Mekah ialah Imam Ahmad bin Hanbal dan Ishaq bin Rahawaih.

Kemudian beliau kembali ke Baghdad pada tahun 195H dan menetap di sana selama dua tahun. Kemungkinan sebab perpindahan Imam al-Syafi’i ke Baghdad pada peringkat ini dan tujuan perjalanan ini adalah untuk memulakan pembukuan mazhabnya dari segi usul dan furu' serta menyampaikannya kepada umat. Perkara terpenting yang dilakukan oleh Imam al-Syafi’i pada peringkat ini ialah penulisan dua buah kitab: al-Risalah dalam bidang usul fiqh dan al-Hujjah dalam bidang fiqh.

Kitab al-Risalah

Beliau mula membincangkan dalam halaqahnya masalah-masalah yang biasa dibincangkan dalam fiqh mazhab Ahli Ra'yi (aliran yang banyak menggunakan ijtihad dan qiyas) dan halaqah pengikut-pengikut Abu Hanifah, tetapi dengan pendekatan baru yang sentiasa merujuk kepada nas-nas al-Quran, Sunnah dan athar serta keputusan-keputusan para sahabat berkaitan fiqh.

Dengan cara ini, Imam al-Syafi’i mula menyemai kefahaman fiqhnya yang berasaskan al-Quran dan Sunnah di tengah-tengah mazhab Ahli Ra'yi dengan cara yang unik yang belum pernah dilakukan sebelumnya. Beliau menggabungkan antara metodologi Ahli Hadis dalam menjaga dan memastikan kesahihan nas bersama dengan kebijaksanaan metodologi Ahli Ra'yi dalam pengambilan hukum dari nas-nas dan qiyas. Hasilnya, fiqh beliau menjadi pertengahan antara Ahli Hadis dan Ahli Ra'yi, di mana beliau menyokong pengambilan Sunnah walaupun ia hadis ahad.

Kemudian selepas itu Imam al-Syafi’i meninggalkan Baghdad pada tahun 197H menuju ke Makkah al-Mukarramah. Beliau tinggal di sana sebentar sehingga tahun 198H, kemudian kembali semula ke Baghdad di mana beliau menetap selama beberapa bulan. Selepas itu, beliau meninggalkan Baghdad pada tahun 199H menuju ke Mesir. Barangkali sebab utama beliau berulang-alik antara Iraq dan Hijaz dalam tempoh ini (197 - 199H) adalah untuk mencari murid-murid yang berkemampuan bagi mempelajari ilmu yang banyak yang telah beliau kumpulkan dalam bidang fiqh, usul fiqh, dan ilmu syariah yang lain. Selepas itu, beliau menetap di Mesir, mula mengajar, memberi fatwa, dan menulis karya-karyanya.

Di Mesir, Imam al-Syafi’i telah menulis apa yang dikenali sebagai mazhab barunya (Mazhab Jadid), dengan membandingkan fiqh yang telah beliau tulis di Baghdad pada tahun 195H dalam kitab al-Hujjah, yang dikenali sebagai mazhab lamanya (Mazhab Qadim). Kitab-kitab ini telah beliau tulis di Iraq namun belum disempurnakan. Kemudian, beliau kembali ke Mesir dan menyempurnakan kitab-kitab tersebut. Beliau telah mengimlak kepada murid-muridnya di Mesir sebanyak 1,500 lembaran, mengarang kitab al-Umm sebanyak 2,000 lembaran, kitab al-Sunan dan karya-karya lain. Semua ini dilakukan dalam tempoh empat tahun.

Kitab al-Umm

Antara muridnya yang terkenal di Mesir adalah al-Buwaiti, al-Muzani dan al-Rabi' al-Muradi.

Kemudian, Imam al-Syafi’i jatuh sakit pada akhir hayatnya disebabkan penyakit buasir. Penyakit tersebut berlarutan dan semakin teruk sehingga menyebabkan kewafatannya akibat pendarahan yang teruk dan berterusan. Beliau meninggal dunia pada akhir bulan Rejab tahun 204 Hijrah, pada usia 54 tahun. Semoga Allah merahmatinya dengan rahmat yang luas, dan memberikan manfaat kepada kita dengan ilmu yang telah beliau tinggalkan.

Asas Mazhab Imam al-Syafi’i

1 - Al-Quran al-Karim.

2 - Sunnah: Menurut Imam al-Syafi’i, Sunnah adalah penjelas bagi nas-nas al-Quran, memperincikan yang umum, mengikat yang mutlak dan mengkhususkan yang am walaupun hadis itu adalah khabar ahad (diriwayatkan oleh seorang perawi), asalkan perawinya adalah thiqah (dipercayai) dan adil. Beliau tidak mensyaratkan hadis tersebut perlu masyhur dalam perkara yang melibatkan keperluan umum ('umum al-balwa) seperti yang disyaratkan oleh mazhab Hanafi dan tidak juga mensyaratkan hadis tersebut perlu selaras dengan amalan penduduk Madinah sebagaimana pendapat Imam Malik. Beliau hanya mensyaratkan kesahihan sanad sahaja.

Mengenai hadis mursal, hadis mursal daripada para sahabat dianggap hujah oleh Imam al-Syafi’i dan pengikutnya. Manakala hadis mursal daripada selain sahabat, Imam al-Syafi’i tidak menerimanya sebagai hujah kecuali dengan syarat-syarat tertentu seperti yang dinyatakan dalam kitab al-Risalah dan diikuti oleh para ulama yang mendalam ilmunya (muhaqiqin)  dari kalangan pengikutnya. Syarat-syarat tersebut adalah:

i) Perawi yang memursalkan hadis mestilah dari kalangan tabi’in senior.

ii) Tidak memursalkan hadis kecuali dengan alasan yang kukuh.

iii) Hadith tersebut disokong oleh riwayat lain yang bersanad atau atau diriwayatkan secara mursal oleh perawi lain tetapi guru-guru mereka berbeza.

iv) Disokong oleh amalan sahabat.

v) Disokong oleh majoriti ulama.

vi) Disokong oleh qiyas.

vii) Hadis tersebut tersebar luas.

viii) Diamalkan pada zaman tersebut.

Menurut beliau, hadis-hadis mursal daripada Said bin al-Musayyib diterima tanpa syarat, kerana setelah diteliti, kebanyakannya didapati mempunyai sanad yang lengkap.

3 - Ijmak (Ijmak para sahabat).

4 - Pendapat para sahabat, dengan mengutamakan pendapat Khulafa' Ar-Rasyidin berbanding sahabat yang lain.

5 - Qiyas.

Imam al-Syafi’i menolak penggunaan istihsan atau kaedah seumpamanya, dan menganggapnya sebagai pensyariatan berdasarkan hawa nafsu. Beliau juga menolak penggunaan maslahah mursalah sebagai dalil.

Fasa-Fasa Perkembangan Mazhab al-Syafi’i

1 - Fasa Kemunculan Fiqh Imam al-Syafi’i dan Penyebarannya (Fasa Penubuhan 195H - 270H):

Seperti yang telah kita ketahui, Imam al-Syafi’i berkesempatan untuk mendalami dan mengkaji secara terperinci mazhab-mazhab yang terkenal pada zamannya. Beliau mempelajari fiqh Makkah daripada Muslim bin Khalid dan lain-lain, kemudian berguru dengan Imam Malik untuk mempelajari fiqhnya dan fiqh penduduk Madinah.

Seterusnya, beliau mempelajari fiqh Abu Hanifah dan alirannya melalui Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani. Dengan cara ini, Imam al-Syafi’i berjaya menghimpunkan fiqh Hijaz dan Iraq.

Selepas itu, beliau mula mengkaji, meneliti dan merenungi ilmu fiqh yang telah dipelajarinya sehingga terbentuklah keperibadian beliau dengan fiqh baharu yang merupakan gabungan antara fiqh penduduk Hijaz dan Iraq dan beliau mula membukukan mazhabnya.

Karya-Karya Imam al-Syafi’i

Imam al-Syafi’i mempunyai banyak karya penulisan yang tidak semuanya sampai kepada kita. Ada kemungkinan sesetengah karya dinisbahkan kepada beliau sedangkan beliau tidak menulisnya dan tidak pula mengimlakannya kepada murid-muridnya.

Ibn al-Nadim dalam kitabnya, al-Fihrist menyenaraikan lebih daripada seratus buah kitab karangan Imam al-Syafi’i. Walau bagaimanapun, beliau menganggap bab-bab fiqh seperti Kitab al-Taharah (Bersuci), Kitab al-Salah (Solat) ... dan seterusnya, setiap satunya sebagai kitab yang berasingan.

Perlu diketahui bahawa tidak ada bukti yang menunjukkan Imam al-Syafi’i sendiri memberi nama tertentu kepada karya-karyanya. Beliau hanya menyebut kitab al-Hujjah sebagai kitab al-Baghdadi dan merujuk kepada al-Risalah dengan kata-kata: “Kitab kami.

Oleh itu, jelaslah bahawa penamaan yang lazim digunakan untuk kitab-kitab Imam al-Syafi’i adalah hasil pemberian murid-muridnya yang menukilkan kitab-kitab tersebut dan meriwayatkan isinya, khususnya al-Hasan al-Za'farani dan al-Rabi' al-Muradi. Mungkin inilah sebab wujudnya beberapa nama untuk satu karya yang sama.

Karya-karya Imam al-Syafi’i terbahagi kepada dua bahagian:

1 - Karya-karya di Iraq (antara tahun 195 - 199H) atau kitab-kitab Mazhab Qadim:

Pada fasa ini, beliau mengarang kitab al-Hujjah, iaitu kitab tentang cabang-cabang fiqh yang disusun mengikut bab-bab fiqh. Al-Hasan al-Za'farani menamakannya al-Hujjah kerana tujuan penulisannya adalah untuk menolak pandangan Ahli Ra'yi dari kalangan mazhab Hanafi dan fuqaha Iraq yang lain.

Beliau juga mengarang kitab al-Risalah al-Iraqiyyah atau al-Qadimah, iaitu kitab yang dikarang oleh Imam al-Syafi’i di Baghdad semasa lawatan keduanya ke sana pada tahun 195H atas permintaan Abdul Rahman bin Mahdi yang ketika itu berada di Basrah. Imam al-Syafi’i mengirimkan kitab ini bersama muridnya, al-Harith bin Suraij al-Naqqal, yang digelar al-Naqqal (pemindah) kerana memindahkan kitab tersebut dari Baghdad ke Basrah.

Kedua-dua kitab ini diriwayatkan oleh al-Hasan al-Za'farani (meninggal pada tahun 260 H).

Perhatian terhadap karya-karya Imam al-Syafi'i di Iraq mula merosot dan lemah selepas kewafatan al-Hasan al-Za‘farani yang merupakan salah seorang muridnya yang paling terkenal di Iraq dan yang paling panjang umur selepasnya. Dalam hal ini, Ibn al-Nadim menyebut dalam kitabnya al-Fihrist

"...Beliau meriwayatkan kitab al-Mabsut daripada al-Syafie berdasarkan susunan yang diriwayatkan oleh al-Rabi‘, namun terdapat sedikit perbezaan. Orang ramai tidak berminat dengannya dan tidak berpegang padanya. Para fuqaha hanya beramal dengan apa yang diriwayatkan oleh al-Rabi‘. Tiada keperluan bagi kami untuk menyebut nama-nama kitab yang diriwayatkan oleh al-Za‘farani kerana bilangannya sedikit dan banyak di antaranya telah hilang..."

2 - Karya-karya di Mesir (antara 200H - 204H) atau kitab-kitab Mazhab Jadid:

Perlu diketahui bahawa karya-karya di Mesir terbahagi kepada dua bahagian:

Bahagian pertama adalah kitab-kitab yang tidak pernah ditulis oleh Imam al-Syafi’i semasa di Iraq, seperti kitab Ikhtilaf Malik wa al-Syafi’i yang ditulis di Mesir apabila beliau mendapati beberapa pendapat Imam Malik yang berbeza dengan hadis-hadis sahih yang jelas.

Bahagian kedua - yang merupakan bahagian terbesar - dari karya-karya di Mesir adalah pengembangan dari karya-karya di Iraq melalui proses penambahbaikan, penambahan, pengurangan dan pengubahsuaian banyak ijtihad.

Kitab al-Umm yang ditulis di Mesir sebenarnya adalah pengembangan dari kitab al-Hujjah yang ditulis di Iraq. Begitu juga dengan al-Risalah al-Misriyyah al-Jadidah (yang sampai kepada kita) merupakan pengembangan dari al-Risalah al-Iraqiyyah al-Qadimah.

Kedua-dua kitab ini dan kitab-kitab di Mesir yang lain diriwayatkan oleh al-Rabi' al-Muradi, manakala kitab al-Sunan diriwayatkan oleh Harmalah bin Yahya al-Tujibi dari Imam al-Syafi’i yang mengandungi pendapat-pendapat dan dalil-dalil yang beliau imlakkan dan ditulis selepas itu atau yang dibacakan kepadanya dari karya-karyanya.

Kitab Sunan Imam al-Syafi'i

Sebab utama karya-karya di Iraq tidak sampai kepada kita adalah kerana Imam al-Syafi’i melarang periwayatan karya-karya di Iraq sebagai mazhab beliau, disebabkan beliau telah menarik balik beberapa pandangannya di dalam karya-karya tersebut.

Sebaliknya, karya-karya Imam al-Syafi’i yang ditulis di Mesir - khususnya yang diriwayatkan oleh al-Rabi' al-Muradi - telah sampai kepada kita. Ini kerana Imam al-Syafi’i sendiri berpegang dengan pandangan-pandangannya yang dikemukakan dalam karya-karya di Mesir sebagai mazhab beliau, yang dikenali sebagai mazhab barunya yang beliau pegang sehingga wafat.

Peranan Murid-Murid Imam al-Syafi'i dalam Menjaga dan Mengembangkan Mazhab Guru Mereka

Murid-murid Imam al-Syafi'i di Mesir telah berkhidmat dengan cemerlang dalam menyebarluaskan fiqhnya selepas kewafatannya. Sesungguhnya Allah telah mempermudahkan baginya di bumi Mesir para murid yang memahami ajarannya dengan baik, menghafalnya dengan teliti dan seterusnya menjadi mahir dalam istinbat serta mengarang kitab demi berkhidmat kepada mazhab guru mereka.

Murid-murid Imam al-Syafi'i di Mesir yang meneruskan mazhabnya selepas kewafatannya adalah ramai. Antara mereka ialah Harmalah al-Tujibi, perawi kitab al-Sunan al-Syafi'i (m. 243H), Yunus bin Abd al-A‘la al-Sadafi (m. 264H), Bahr bin Nasr al-Khaulani (m. 267H), dan al-Rabi‘ bin Sulaiman al-Jizi (m. 257H). 

Namun, yang paling menonjol di kalangan murid-murid ini dalam khidmat mereka kepada mazhab al-Syafie adalah tiga orang: Abu Ya‘qub al-Buwaiti (m. 231H), Abu Ibrahim al-Muzani (m. 264H), dan al-Rabi‘ bin Sulaiman al-Muradi (m. 270H). Setiap seorang daripada mereka memberikan sumbangan yang jelas dalam menjaga dan menyebarkan fiqh guru mereka, Imam al-Syafi'i, kepada generasi umat Islam, bahkan turut menambah baik dan memperluaskannya.

Peranan Imam al-Buwaiti

Abu Ya‘qub al-Buwaiti adalah murid Imam al-Syafi'i yang paling faqih  dan pada waktu itu beliau juga merupakan yang paling tua usianya di kalangan murid-murid al-Syafi'i. Oleh itu, gurunya, Imam al-Syafi'i, memilih beliau untuk menggantikannya dalam mengendalikan halaqah pengajian apabila Imam al-Syafie jatuh sakit yang akhirnya menyebabkan kewafatannya. 

Al-Buwaiti terus menjadi pengganti Imam al-Syafi'i dalam mengajar fiqhnya dan mengumpulkan ramai murid. Beliau memegang tanggungjawab ini selama lebih daripada dua puluh tahun, sehinggalah beliau diuji dengan fitnah Khalq al-Quran pada zaman pemerintahan Khalifah Abbasiyah, al-Wathiq bin al-Mu‘tasim bin Harun al-Rasyid. Beliau dibawa ke Baghdad dan dipenjarakan di sana sehingga meninggal dunia dalam tahanan pada tahun 231 Hijrah. 

Peranan Imam al-Muzani

Adapun Abu Ibrahim al-Muzani, beliau adalah pengganti al-Buwaiti dalam halaqah pengajian. Al-Baihaqi berkata tentangnya: 

"...Ketika al-Buwaiti menghadapi apa yang telah menimpanya (merujuk kepada pemenjaraannya dalam fitnah isu Khalq al-Quran), orang yang mengambil alih tugas pengajaran dan pengajian ilmu fiqh mengikut mazhab al-Syafi'i ialah Abu Ibrahim Ismail bin Yahya al-Muzani. 

Beliau telah menyusun kitab-kitab berdasarkan penulisan Imam al-Syafi'i dan salah satu daripadanya ialah al-Mukhtasar al-Kabir. Selepas itu, beliau mengarang al-Mukhtasar al-Saghir, yang tersebar luas di negeri-negeri Islam dan memberi manfaat kepada umat Islam." 

Al-Muzani sangat cemerlang dalam bidang fiqh dan merupakan seorang ahli debat yang mahir serta kuat hujahnya. Beliau mempertahankan mazhab Imam al-Syafi'i dalam perdebatan-perdebatannya dengan para fuqaha mazhab lain pada zamannya dan melalui karya-karyanya yang banyak dalam fiqh gurunya. Antara karya terbesarnya ialah al-Mukhtasar al-Saghir

Disebabkan oleh penguasaan al-Muzani yang mendalam terhadap pandangan gurunya, kitab al-Mukhtasar ini menjadi asas kepada rangkaian karya-karya fiqh mazhab al-Syafi'i yang berkembang selama lebih daripada seribu seratus tahun, termasuk dalam bentuk syarah, ringkasan, hashiyyah dan sebagainya. 

Kedudukan Abu Ibrahim al-Muzani dalam ilmu mencapai tahap yang sangat tinggi sehingga beliau dianggap telah mencapai darjat ijtihad mutlak. Malah, pada penghujung hayatnya, beliau memiliki mazhab tersendiri yang berdiri secara bebas.

Peranan Imam al-Rabi' al-Muradi 

Adapun al-Rabi‘ bin Sulaiman al-Muradi, beliau adalah seorang yang sangat kuat hafalannya dan teliti dalam menjaga dan meriwayatkan karya-karya Imam al-Syafi'i. Dengan tempoh lama beliau bersama gurunya dan khidmatnya yang penuh dedikasi, al-Rabi‘ hidup selama 66 tahun selepas kewafatan gurunya. Beliau menghabiskan masa tersebut dengan meriwayatkan karya-karya Imam al-Syafi'i secara tepat dan teliti, seperti kitab al-Umm dan al-Risalah al-Jadidah. Al-Muradi meninggal dunia pada tahun 270 Hijrah, menjadikannya murid terakhir Imam al-Syafi'i yang wafat. 

Beliau menjadi tumpuan para penuntut ilmu yang ingin mempelajari karya-karya Imam al-Syafi'i dengan sanad yang tinggi. Salah satu bukti tentang perkara ini adalah riwayat yang dinukilkan oleh Imam  al-Nawawi dalam kitab Tahzib al-Asma' wa al-Lughat  dengan sanadnya kepada Muhammad bin Ahmad bin Sufyan al-Taraifi al-Baghdadi, yang berkata: "Aku pernah bertemu dengan al-Rabi‘ bin Sulaiman pada suatu hari dan terdapat 900 tunggangan yang berhenti di depan pintu rumahnya, (digunakan oleh para penuntut ilmu) yang datang untuk mempelajari karya-karya Imam al-Syafie." 

Ilmu Imam al-Syafie telah dipelajari daripada al-Muzani dan al-Muradi oleh sejumlah besar murid yang kemudiannya mencapai kedudukan yang tinggi dalam bidang ilmu. Mereka turut berperanan besar dalam menyebarkan apa yang mereka pelajari daripada kedua-dua guru tersebut ke negeri-negeri di dunia Islam bahagian timur.

Mazhab Jadid Imam al-Syafie, dengan usul dan furuknya, telah disampaikan dengan sanad yang tinggi melalui al-Muzani dan al-Muradi kepada para ulama abad ke-4 Hijrah, disebabkan kewafatan kedua-duanya yang agak lewat berbanding dengan murid-murid lain.

2 - Fasa Kemunculan dan Pemantapan Mazhab al-Syafi'i (270 - 505H):

Fasa ini bermula dengan kewafatan al-Rabi' bin Sulaiman al-Muradi, yang memainkan peranan penting dalam menyebarkan karya-karya Imam al-Syafi'i. Fasa ini merangkumi dua peringkat:

Pertama: Kemunculan dan penyebaran mazhab Syafi'i.

Kedua: Pemantapan dan kestabilan mazhab Syafi'i.

Pertama: Kemunculan dan Penyebaran Mazhab Syafie (270 - 404 H):

Dalam fasa ini, bilangan ulama yang mempelajari karya-karya Imam al-Syafi'i di Mesir dan karya-karya murid-muridnya di Mesir bertambah, terutamanya Mukhtasar al-Muzani, setelah mereka menerimanya melalui sanad yang bersambung kepada Imam al-Syafi'i dan murid-muridnya. 

Mukhtasar al-Muzani

Al-Muzani telah mengumpulkan dalam kitabnya apa yang beliau ketahui daripada pendapat-pendapat Imam al-Syafi‘i. Beliau mengambilnya daripada kitab-kitab Imam al-Syafi‘i dan juga daripada persoalan-persoalan yang didengarnya terus daripada Imam al-Syafi‘i, yang mana tidak dimasukkan oleh Imam al-Syafi‘i dalam kitab-kitabnya. 

Dalam Mukhtasar-nya, al-Muzani turut menyertakan ijtihad peribadinya dan tambahan kepada pendapat-pendapat Imam al-Syafi‘i. Oleh itu, kitab ini adalah sebuah karya yang berdiri sendiri dan bukannya ringkasan kepada kitab al-Umm seperti yang didakwa oleh sebahagian pihak. 

Mukhtasar al-Muzani dianggap sebagai kitab ringkasan pertama dalam fiqh aliran Mazhab al-Syafi‘i. Dalam kitab ini, beliau telah menyusun asas-asas masalah utama mazhab dan cabang-cabangnya. Kitab ini telah mendapat perhatian besar daripada para ulama Mazhab al-Syafi‘i sehingga ia menjadi asas kepada penulisan kitab-kitab mazhab yang lain, dan kitab-kitab mazhab tersebut disusun mengikut acuan kitab ini. 

Imam al-Baihaqi berkata tentang kitab ini: "Kami tidak mengetahui ada kitab yang ditulis dalam Islam yang lebih besar manfaatnya, lebih luas keberkatannya, dan lebih banyak hasilnya daripada Mukhtasar al-Muzani."

Kitab murid Imam al-Syafi'i yang lain ialah Mukhtasar al-Buwaiti. Imam al-Buwaiti telah menyusun hukum-hukum fiqh dalam bentuk yang ringkas dan tersusun mengikut bab-bab fiqh, serta menumpukan kepada pendapat-pendapat Imam al-Syafi‘i.

Mukhtasar al-Buwaiti

Kadangkala, beliau juga menyebut pandangan Imam Abu Hanifah dan Imam Malik, serta beberapa pendapat para sahabat. Mukhtasar al-Buwaiti mempunyai keistimewaan kerana ia telah dibacakan secara langsung kepada Imam al-Syafi‘i, yang kemudian mengesahkannya dan memperbetulkan sebahagian daripadanya. Kitab ini juga memuatkan ijtihad-ijtihad peribadi Imam al-Buwaiti, serta tambahan yang beliau sertakan kepada pendapat-pendapat Imam al-Syafi‘i.

Setelah itu terbentuklah ikatan antara para ulama yang menghubungkan mereka dan membezakan pendekatan ijtihad mereka daripada ulama-ulama mazhab lain sehingga muncul istilah mazhab al-Syafi'i. Gelaran ini tersebar di kalangan ulama dan murid-murid mereka sehingga menjadi nama khas untuk pendekatan mereka dalam ijtihad dan fatwa, kemudian selepas itu dalam bidang kehakiman.

Petanda paling ketara yang boleh dijadikan bukti kemunculan dan penyebaran luas mazhab al-Syafi'i pada fasa ini ialah penulisan kitab-kitab yang khusus memuatkan biografi para ulama dan ahli fiqh mazhab ini sahaja dan tidak mencampurkannya dengan biografi ahli fiqh mazhab-mazhab lain. Kitab pertama yang muncul dalam bidang ini ialah al-Muzhab fi Zikr A'immah al-Mazhab karya Abu Hafs Umar bin Ali al-Muttawi'i yang wafat pada tahun 440 H.

Antara tokoh-tokoh yang paling menonjol dalam menyumbang kepada penyebaran mazhab pada tempoh tersebut ialah:

i) Abu al-Qasim Uthman bin Sa'id bin Basyar al-Anmati (m. 288H). 

Beliau mempelajari fiqh daripada al-Muzani dan al-Muradi serta banyak melazimi mereka berdua. Kemudian, beliau berhijrah ke Baghdad dan menetap di sana sehingga wafat pada tahun 288 Hijrah. 

Al-Anmati memainkan peranan penting dalam menghidupkan minat masyarakat Baghdad terhadap fiqh Imam al-Syafi'i dan karya-karya barunya di Mesir. Ramai ulama yang berperanan besar dalam menyebarkan dan berkhidmat kepada mazhab al-Syafi'i telah mengambil ilmu daripada al-Anmati, di antaranya yang paling menonjol ialah Abu al-Abbas Ibn Suraij. 

Tidak dapat dinafikan betapa pentingnya penyebaran mazhab di ibu kota negara bagi memastikan mazhab tersebut tersebar ke seluruh wilayah dunia Islam pada ketika itu. Baghdad, sebagai pusat pemerintahan khalifah dan kiblat ilmu serta para ulama, menjadi tempat tumpuan para pemimpin, pembesar, dan pedagang dari seluruh pelosok negeri. 

Imam al-Syafie sendiri telah menyedari kepentingan ibu kota tersebut dalam menyebarkan mazhabnya, sehingga beliau berpindah ke Baghdad pada tahun 195 H dalam kunjungannya yang kedua ke sana. Tujuannya adalah untuk memperkenalkan mazhabnya dalam bidang usul dan furuk kepada umat Islam, serta menghasilkan karya pertamanya yang mencerminkan ijtihad-ijtihadnya, seperti yang telah dijelaskan sebelum ini.

ii) Abu al-Abbas Ahmad bin Umar bin Suraij al-Baghdadi (m. 306H). 

Beliau mempelajari fiqh daripada Abu al-Qasim al-Anmati dan lain-lain, dan ramai ulama pula belajar daripadanya. Beliau merupakan imam mazhab al-Syafi'i pada zamannya tanpa sebarang tandingan sehingga digelar Syaikh al-Mazhab. Beliau juga dikenali sebagai al-Baz al-Asyhab. 

Melalui beliaulah mazhab al-Syafi'i tersebar luas di kebanyakan negara Islam secara amnya. Beliau antara ulama mazhab al-Syafi'i terawal yang memegang jawatan hakim. Beliau pernah menjadi hakim di Shiraz, Parsi, kemudian berpindah ke Baghdad dan meninggal dunia di sana pada tahun 306 Hijrah, iaitu kira-kira seratus tahun selepas kewafatan Imam al-Syafi'i. 

Sebahagian ulama sejarah dan biografi berpendapat bahawa Ibn Suraij ialah mujaddid pada permulaan kurun ke-3. Setelah meneliti biografi Ibn Suraij, didapati bahawa beliau memainkan peranan paling penting di antara ulama al-Syafi'i dalam tempoh antara kurun ke-3 dan ke-4 Hijrah dalam memperjuangkan dan menyebarkan mazhab al-Syafi'i serta mengukuhkan asasnya di seluruh negara dan di Baghdad sebagai menyempurnakan usaha gurunya, Abu al-Qasim al-Anmati sebelum itu. 

Mungkin pelantikannya sebagai hakim di Shiraz telah membantunya dalam hal ini, di samping banyaknya karya beliau yang menunjukkan kedudukan ilmunya yang tinggi dan karya-karya beliau melebihi empat ratus. Ibn al-Nadim dalam al-Fihrist ada menyebut sebahagian daripadanya: "Antara karya beliau: Al-Radd 'ala Muhammad bin al-Hasan, al-Radd 'ala Isa bin Aban, al-Taqrib baina al-Muzani wa al-Syafie dan Mukhtasar fi al-Fiqh."

iiii) Abu Muhammad Abdullah bin Muhammad bin Isa al-Marwazi, dikenali sebagai 'Abdan (m. 293H). 

Dilahirkan pada tahun 220 Hijrah. Beliau mengembara ke Mesir dan berguru dengan al-Muzani dan al-Muradi. Selepas kedua-duanya meninggal dunia, beliau berpindah ke Marw – sebuah bandar yang terletak di timur laut Parsi – dengan membawa bersamanya kitab Mukhtasar al-Muzani, untuk menyebarkan mazhab al-Syafi'i di sana dan kawasan sekitarnya. 

iv) Abu Zur'ah Muhammad bin Uthman bin Ibrahim al-Dimashqi (m. 302H). 

Beliau mempelajari fiqh daripada ar-Rabi' al-Muradi dan lain-lain, kemudian menetap di Mesir. Beliau memegang jawatan sebagai hakim di sana pada suku terakhir abad ketiga Hijrah dan mungkin beliau adalah hakim mazhab al-Syafi'i pertama di Mesir. 

Selepas itu, beliau berpindah ke Damsyik untuk memegang jawatan hakim di sana juga dan mewajibkan para hakim di situ berpegang kepada mazhab al-Syafi'i, serta berusaha menyebarkan mazhab tersebut di seluruh negeri Syam secara umum, khususnya di Damsyik, yang mana sebelum itu mazhab al-Auza'i yang dominan di sana. Beliau berjaya dalam usahanya itu dan antara yang diriwayatkan mengenai beliau dalam hal ini ialah beliau pernah memberi seratus dinar kepada sesiapa yang menghafal Mukhtasar al-Muzani

Abu Zur'ah juga sangat mendalami ilmu hadis, baik dari segi riwayat mahupun dirayah dan beliau dianggap sebagai salah seorang imam ahli hadis pada zamannya. 

Tidak diragukan lagi bahawa penyebaran mazhab al-Syafi'i di Damsyik memberi kesan besar terhadap penyebarannya di seluruh negeri Syam, kerana Damsyik adalah kota terbesar di wilayah itu dan pernah menjadi ibu kota Khilafah Umayyah. 

Perlu disebutkan juga bahawa Abu Zur'ah mempunyai seorang anak, iaitu Abu Abdullah al-Husain bin Muhammad, yang turut juga memegang jawatan hakim selepas ayahnya dan meneruskan usaha ayahnya dalam menyebarkan mazhab al-Syafi'i. Beliau meninggal dunia pada tahun 327 Hijrah  

v) Al-Hafiz Abu 'Awanah Ya'qub bin Ishaq bin Ibrahim al-Naisaburi al-Isfirayini (meninggal 316H). 

Beliau merupakan seorang ulama yang menggabungkan ilmu fiqh dan hadis. Beliau telah menyusun kitab Musnad yang terkenal dengan Musnad Abu 'Awanah. 

Musnad Abi 'Awanah

Beliau mempelajari fiqh daripada al-Muzani dan al-Muradi, kemudian kembali ke kampung halamannya di Isfirayin, yang terletak berhampiran Naisabur. Kedua-dua tempat ini kini terletak di negara Turkmenistan pada masa kini. Beliau adalah orang pertama yang memperkenalkan mazhab al-Syafi'i di kawasan tersebut. 

vi) Abu al-Abbas Muhammad bin Ya'qub al-Naisaburi, dikenali sebagai al-Asham (meninggal 346H). 

Dilahirkan pada tahun 247 Hijrah. Beliau mengembara untuk mengumpulkan hadis dan lebih menguasai hadis berbanding fiqh. 

Beliau mempelajari karya-karya Imam al-Syafi'i daripada al-Rabi' al-Muradi pada peringkat akhir hayat al-Rabi'. Kemudian, beliau terus meriwayatkan karya-karya Imam al-Syafi'i dan menyampaikan hadis-hadis yang dihafalnya dengan teliti dan mahir sehingga beliau meninggal dunia,  pada tahun 346 Hijrah. 

Ini bermakna beliau meriwayatkan karya-karya Imam al-Syafi'i selama 67 tahun selepas kewafatan al-Rabi' al-Muradi. Maka, ramai orang merantau kepadanya untuk mempelajari karya-karya tersebut demi mendapatkan sanad yang tinggi ('ali). 

Hubungan Abu al-Abbas al-Asham yang terjalin pada peringkat akhir dengan al-Rabi' al-Muradi, yang merupakan murid Imam al-Syafi'i yang paling panjang umurnya selepas beliau, diikuti dengan umur panjang al-Asham selepas kewafatan al-Muradi, serta ditambah sifat ketelitian dan ketepatan mereka berdua, memberi kesan yang besar dalam penyebaran karya-karya Imam al-Syafi'i di Mesir dengan sanad yang tinggi selama hampir 150 tahun selepas kematian Imam al-Syafi'i yang meninggal dunia pada tahun 204 Hijrah. 

Tidak diragukan lagi bahawa pemeliharaan terhadap periwayatan karya-karya ini menjadi jaminan utama dalam menyebarkan ilmu fiqh dan mazhab Imam al-Syafi'i selepas kematiannya. Oleh itu, tidak menghairankan bahawa sepuluh manuskrip kitab al-Umm yang disemak oleh Dr. Ahmad Badruddin Hassun adalah daripada riwayat Abu al-Abbas al-Asamm melalui al-Rabi' al-Muradi, seperti yang dibuktikan oleh Dr. Hassun dalam kajiannya.

Kitab al-Umm tahqiq Dr Ahmad Badruddin Hassun

vii) Abu Bakr Muhammad bin Ali bin Ismail al-Qaffal al-Kabir al-Shashi (m. 365H). 

Beliau dilahirkan pada tahun 271 Hijrah di Shash, yang merujuk kepada nama sebuah tempat di kota Tashkent, ibu negara Uzbekistan pada zaman ini . 

Beliau mempelajari ilmu fiqh daripada Sheikh Abu al-Abbas bin Suraij dan mahir dalam bidang ini sehingga menjadi salah seorang ulama mazhab al-Syafi'i yang paling terkemuka pada zamannya. Beliau juga mempunyai banyak karya tulis, termasuk syarah  terhadap kitab al-Risalah karangan Imam al-Syafi'i

Beliaulah yang menyebarkan mazhab al-Syafi'i di wilayah Ma Wara’ an-Nahr (yang dimaksudkan ialah kawasan di seberang Sungai Jayhun, yang kini meliputi negara-negara Uzbekistan, Tajikistan, dan Kyrgyzstan).

Jamaluddin al-Isnawi turut menyebut beberapa karya al-Qaffal al-Kabir al-Shashi, antaranya ialah kitab Adab Al-Qudhah dan Mahasin al-Syari’ah

Kitab Mahasin al-Syari’ah dianggap kitab pertama yang ditulis dalam bidang ilmu Maqasid Syariah Islam. 

Kitab Mahasin al-Syari'ah

Maka dengan itu, tersebarlah mazhab al-Syafi'i di timur dunia Islam dari Lembah Nil hingga ke negeri-negeri Ma Wara’a al-Nahr (Transoxiana) dan kekal wujud di kawasan yang luas ini serta meluas ke kawasan-kawasan sekitarnya selama berabad-abad lamanya.

Kedua: Pemantapan dan kestabilan mazhab al-Syafi'I (404 – 505H):

Sesetengah mazhab yang telah pupus mungkin pernah melalui fasa kestabilan tetapi tidak cukup kuat untuk bertahan hingga ke zaman terkemudian. Jadi, apakah faktor-faktor utama yang membawa kepada kemantapan dan kestabilan Mazhab al-Syafi'i pada fasa ini sehingga dapat bertahan hingga ke hari ini?

Faktor-faktor ini boleh diringkaskan kepada dua perkara:

Pertama: Ramai ulama yang mendalam ilmunya dalam mazhab ini yang telah berjaya memberi khidmat dan menghasilkan banyak karya dalam usul dan furu'nya. Mereka telah mengumpulkan karya-karya ulama Syafi'iyyah dari abad ketiga dan keempat Hijrah. Boleh dikatakan bahawa karya-karya pada fasa ini, dari segi jenis dan kuantitinya, mewakili satu rangkaian yang amat penting dalam siri penulisan mazhab ini. Ini kerana kemunculan dua metodologi penulisan:

i) Metodologi ulama Iraq.

ii) Metodologi ulama Khurasan.

Perbezaan antara kedua-dua metodologi ini seperti yang dinyatakan oleh Imam Nawawi rahimahullah dalam mukadimah kitabnya al-Majmu': "Ketahuilah bahawa penukilan ulama Iraq terhadap nas-nas Imam al-Syafi'i, kaedah-kaedah mazhabnya, dan pandangan-pandangan ulama terdahulu dalam mazhab ini adalah lebih tepat dan lebih kukuh berbanding penukilan ulama Khurasan secara umumnya. Manakala ulama Khurasan pula lebih baik dalam pengolahan, pencabangan masalah, dan penyusunan secara umumnya..."

Antara tokoh terkenal yang menulis mengikut metodologi ulama Iraq pada fasa ini ialah:

1) Imam Abu Hamid Ahmad bin Muhammad bin Ahmad al-Isfirayini, yang dianggap sebagai guru kepada metodologi ulama Iraq, meninggal dunia pada tahun 406H.

2) Qadi Abu al-Tayyib Tahir bin Abdullah bin Tahir al-Tabari, yang mensyarahkan Mukhtasar al-Muzani dan menulis dalam bidang khilaf, mazhab, usul dan perdebatan (jadal), meninggal dunia pada tahun 450H.

Syarah Mukhtasar al-Muzani

3) Imam Abu al-Hasan Ali bin Muhammad bin Habib al-Mawardi al-Basri, yang mempunyai karya-karya terkenal seperti al-Ahkam al-Sultaniyyah dan al-Hawi, meninggal dunia pada tahun 450H.

Al-Hawi al-Kabir Syarah Mukhtasar al-Muzani

Antara tokoh terkenal yang menulis mengikut metodologi ulama Khurasan pula ialah:

1) Imam Abu Bakar Abdullah bin Ahmad bin Abdullah al-Marwazi, yang dikenali sebagai al-Qaffal al-Saghir, yang dianggap sebagai guru kepada metodologi ulama Khurasan, yang juga dikenali sebagai metodologi Marawizah (dinisbahkan kepada kota Marw), meninggal dunia pada tahun 417H.

2) Imam Abu Muhammad Abdullah bin Yusuf bin Abdullah al-Juwaini (bapa kepada Imam al-Haramain), yang menulis kitab-kitab komprehensif dalam bidang tafsir, fiqh dan usul, meninggal dunia pada tahun 438H.

3) Imam Abu Ali al-Husain bin Muhammad bin Ahmad al-Marwarruzi - dinisbahkan kepada kota Marw al-Ruz, salah satu kota terkenal di Khurasan, yang juga dikenali sebagai al-Marwazi, masyhur dengan gelaran Qadi Husain, antara karyanya ialah Asrar al-Fiqh, meninggal dunia pada tahun 462H.

Ada juga fuqaha yang menggabungkan kedua-dua metodologi (Iraq dan Khurasan) dalam karya-karya mereka. Antara yang terkenal ialah:

1) Imam al-Haramain, Abu al-Ma'ali Abdul Malik bin Abdullah bin Yusuf al-Juwaini, yang menulis karya-karya komprehensif dan bermanfaat dalam bidang fiqh, usul dan ilmu-ilmu lain. Antara karyanya ialah Nihayah al-Matlab fi Dirayah al-Mazhab, meninggal dunia pada tahun 478H.

Kitab Nihayah al-Matlab

2) Hujjatul Islam Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali; seorang yang sangat luas ilmunya dan banyak menulis dalam bidang fiqh, usul dan ilmu-ilmu syariah yang lain. Antara karyanya ialah al-Wasit, al-Wajiz, al-Mustasfa dan banyak lagi, meninggal dunia pada tahun 505H.

Kitab al-Wasit

Antara tokoh-tokoh terkemuka yang lain pada fasa ini ialah:

1) Al-Hafiz Abu Bakar Ahmad bin al-Husain bin Ali al-Baihaqi. Antara karya-karya utamanya ialah al-Mabsut, Ma'rifah al-Sunan wa al-Athar dan kitabnya Manaqib al-Syafi'i yang merupakan biografi Imam al-Syafi'i yang paling lengkap dengan riwayat-riwayat bersanad. Beliau meninggal dunia pada tahun 458H.

Kitab Ma'rifah al-Sunan Wa al-Athar

2) Imam Abu Ishaq Ibrahim bin Ali bin Yusuf al-Shirazi. Antara karya-karya pentingnya ialah al-Muhazzab fi al-Fiqh, al-Luma' dalam usul fiqh dan banyak lagi. Apabila disebut al-Syeikh dalam kitab-kitab mazhab al-Syafi'i, maka yang dimaksudkan ialah Abu Ishaq al-Shirazi. Beliau meninggal dunia pada tahun 476H.

Kitab al-Muhazzab

Kedua: Antara faktor yang membawa kepada pemantapan Mazhab al-Syafi'i ialah sokongan pemerintah terhadapnya. Antara tokoh-tokoh pemerintah yang menyokong Mazhab al-Syafi'i pada fasa ini (402 - 505H) ialah:

1) Khalifah Abbasiyyah al-Qadir Billah Abu Ishaq Ahmad bin Ishaq bin al-Muqtadir bin al-Mu'tadid bin al-Muwaffaq bin al-Mutawakkil bin al-Mu'tasim bin Harun al-Rashid yang merupakan seorang yang faqih dalam Mazhab al-Syafi'i sehingga beliau mengarang sebuah kitab dalam usul fiqh. Seperti yang diketahui, bermazhabnya Khalifah Abbasiyyah dengan Mazhab al-Syafi'i memberi kesan besar dalam pengukuhan mazhab ini di ibu negara dan di seluruh negeri. Beliau meninggal dunia pada tahun 422H.

2) Sultan Nasr bin Ibrahim bin Nasr, pemerintah wilayah seberang Sungai Jaihun bagi Kerajaan Abbasiyyah, juga merupakan seorang yang faqih dalam Mazhab al-Syafi'i dan seorang khatib yang fasih. Beliau meninggal dunia pada tahun 492H.

3) Wazir Nizam al-Mulk Abu Ali al-Hasan bin Ali bin Ishaq al-Tusi yang juga faqih dalam Mazhab al-Syafi'i. Beliau telah membina sembilan madrasah di kota-kota Islam utama ketika itu, yang dikenali sebagai Madrasah Nizamiyyah. Madrasah Nizamiyyah di Baghdad diketuai oleh Syeikh Abu Ishaq al-Shirazi, manakala Madrasah Nizamiyyah di Nisabur diketuai oleh Imam al-Haramain al-Juwaini.

3 - Fasa Penyaringan (Tanqih) Mazhab:

Pertama: Penyaringan Pertama Mazhab Syafi'i (505 - 676H):

Pada fasa ini, Mazhab al-Syafi'i kembali dengan kuat di Mesir melalui Sultan Salahuddin al-Ayyubi yang memerintah Mesir dan menghapuskan Khilafah Fatimiyyah. Beliau telah membina Madrasah Nasiriyyah dan Madrasah Salahiyyah di Kaherah, yang mengkhususkan pengajaran fiqh al-Syafi'i.

Antara tokoh-tokoh terkenal yang mengajar di Madrasah Nasiriyyah ialah:

1) Imam Ibn Zain al-Tujjar, meninggal dunia pada tahun 591H.

2) Imam Najmuddin al-Khabushani, meninggal dunia pada tahun 587H.

Antara ulama Syafi'iyyah terkemuka yang berkhidmat kepada mazhab ini sepanjang abad keenam Hijrah ialah:

1) Imam al-Husain bin Mas'ud bin Muhammad al-Baghawi yang dikenali sebagai al-Farra'. Antara karya-karyanya:

i) Syarah al-Sunnah.

Syarah al-Sunnah

ii) Masabih al-Sunnah.

Masabih al-Sunnah

iii) Ma'alim al-Tanzil.

Tafsir Ma'alim al-Tanzil

iv) Al-Tahzib.

Al-Tahzib Fi Fiqh al-Imam al-Syafi'i

Beliau meninggal dunia pada tahun 517H.

2) Imam Muhammad bin Yahya bin Mansur al-Naisaburi, yang menjadi ketua ulama Syafi'iyyah di Nisabur. Antara karya-karyanya:

i) Al-Muhit fi Syarah al-Wasit.

ii) Al-Insaf fi Masa'il al-Khilaf.

Beliau meninggal dunia pada tahun 548H.

3) Imam Ibn Abi 'Asrun, yang menjadi qadi Damsyik pada tahun 573H dan merupakan tokoh fiqh al-Syafi'i yang paling terkemuka di Syam pada zamannya tanpa tandingan. Antara karya-karyanya:

i) Safwah al-Mazhab 'ala Nihayah al-Matlab.

ii) Fawa'id al-Muhazzab.

iii) Al-Zari'ah fi Ma'rifah al-Syari'ah.

Beliau meninggal dunia pada tahun 585H.

4) Imam Fakhruddin al-Razi, Abu Abdullah Muhammad bin Umar bin al-Husain al-Razi, yang mahir dalam pelbagai bidang ilmu. Antara karya-karyanya:

i) Al-Mahsul fi 'Ilm al-Usul.

ii) Syarah al-Wajiz karya al-Ghazali dan lain-lain. 

Beliau meninggal dunia pada tahun 606H.

Kemudian muncul keperluan untuk penyaringan mazhab. Maksud penyaringan mazhab ialah membersihkannya daripada pendapat-pendapat yang marjuh (lemah) dan syaz (ganjil) serta menjelaskan pendapat yang muktamad dalam fatwa dan ini disebabkan dua faktor utama:

Pertama: Banyaknya karya-karya fiqh al-Syafi'i dan penyebaran mazhab dari timur ke barat, dari Lembah Nil hingga ke negeri-negeri Ma Wara’a al-Nahr (Transoxiana), tanpa ada perhubungan langsung antara para fuqaha, yang menyebabkan munculnya takhrij-takhrij (kesimpulan hukum) yang menyalahi usul mazhab, istinbat-istinbat yang marjuh dan ijtihad-ijtihad yang syaz dan sebagainya. Maka menjadi sangat perlu untuk menyaring karya-karya yang banyak itu, terutamanya selepas mazhab ini mantap dan menjadi mazhab utama di negeri-negeri Islam.

Pada akhir abad keenam Hijrah, muncul Imam Abdul Karim al-Rafi'i (meninggal dunia tahun 623H) untuk melakukan usaha besar dalam penyaringan mazhab yang dalam masa yang sama turut membuka jalan untuk usaha-usaha Imam al-Nawawi (meninggal dunia tahun 676H) kemudiannya. Usaha besar mereka berdua membentuk fasa pertama dan terpenting dalam penyaringan Mazhab Syafi'i.

Imam al-Nawawi telah menyebut tentang sebab ini dalam mukadimah kitabnya Raudhah al-Talibin dengan berkata:

"Karya-karya ulama mazhab al-Syafi’i rahimahullah sangat banyak, tersebar luas dengan perbezaan pilihan pendapat yang ada padanya. Maka tidak dapat menguasai mazhab dengan tepat kerana hal ini melainkan segelintir individu yang diberi taufik, yang dapat menyelami dan meneliti dengan semangat yang tinggi. Maka Allah Subhanahu wa Ta'ala - segala puji bagi-Nya - telah memberi taufik kepada salah seorang ulama kita yang terkemudian untuk mengumpulkan metodologi-metodologi yang berbeza ini dan menyaring mazhab dengan penyaringan terbaik, serta mengumpulkan yang tersebar dengan ungkapan-ungkapan yang ringkas dan merangkum semua yang terdapat dalam kitab-kitab yang masyhur. Dialah Imam yang mulia yang cemerlang, yang mendalam ilmunya dalam mazhab, Abu al-Qasim al-Rafi'i yang memiliki penelitian yang mendalam. Beliau telah membawa dalam kitabnya Syarah al-Wajiz sesuatu yang tidak banyak lagi ruang untuk ditambah kerana ia merangkumi secara menyeluruh, ringkas, teliti, serta penjelasan ungkapan-ungkapan..."

Kedua: Kemunculan fanatisme mazhab dan taqlid semata-mata serta berkurangnya fenomena ijtihad dalam semua mazhab. Semua ini menyebabkan para fuqaha berusaha untuk menumpukan perhatian kepada penyaringan mazhab mereka dengan menganggap nas-nas imam mereka seperti nas syariat, lalu mereka memperbetulkan takhrij-takhrij hukum, menguatkan sesetengah pendapat dan melemahkan yang lain.

Maka isu penyaringan Mazhab al-Syafi'i - seperti mazhab-mazhab lain - menjadi sangat penting. Usaha ini telah dilaksanakan dengan sangat baik oleh kedua-dua imam: al-Rafi'i dan al-Nawawi.

Kitab al-Muhazzab karya al-Shirazi dan kitab al-Wasit karya al-Ghazali dianggap sebagai kitab yang paling utama mewakili Mazhab al-Syafi'i di antara banyak karya-karya yang beredar ketika itu. 

Imam al-Nawawi dalam al-Majmu' berkata: "Sesungguhnya para ulama kita yang menghasilkan karya (semoga Allah meredai mereka semua, begitu juga seluruh ulama Islam) telah banyak mengarang kitab sebagaimana yang telah kami nyatakan dan karya-karya tersebut beraneka ragam seperti yang telah disebutkan. 

Antara kitab-kitab yang masyhur dan dijadikan rujukan dalam pengajaran para guru serta perbincangan oleh para penuntut ilmu ialah kitab al-Muhazzab dan al-Wasit. Kedua-duanya adalah kitab yang agung yang telah dikarang oleh dua imam besar: Abu Ishaq Ibrahim bin Ali bin Yusuf al-Syirazi dan Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (semoga Allah meredai mereka berdua dan menerima segala amalan mereka). 

Allah Yang Maha Pemurah telah menjadikan para ulama dalam kalangan mazhab kita (semoga Allah merahmati mereka) memberi fokus yang mendalam terhadap kedua-dua kitab ini. Hal ini tidak lain kerana keagungan keduanya, besarnya manfaat yang terkandung di dalamnya, dan keikhlasan niat kedua imam tersebut. 

Di dalam kedua-dua kitab ini terkandung pelajaran bagi para guru, kajian bagi bagi kajian para penuntut ilmu yang teliti, dan hafalan bagi para pelajar yang bersungguh-sungguh, pada zaman dahulu dan juga pada masa kini, di seluruh pelosok negeri dan kawasan."

Imam al-Rafi'i dan Usahanya dalam Penyaringan Mazhab:

Beliau ialah Imam Abu al-Qasim Abdul Karim bin Muhammad bin Muhammad bin Abdul Karim bin al-Fadl al-Qazwini al-Rafi'i. Nisbah beliau adalah kepada Rafi'an, sebuah bandar di Qazwin. Beliau menuntut ilmu daripada ulama-ulama besar pada zamannya dan meninggal dunia pada tahun 623H.

Usaha Imam al-Rafi'i dalam penyaringan mazhab tergambar dalam karya-karyanya. Beliau telah mengarang beberapa kitab yang bermanfaat, antaranya yang terpenting:

i) Al-Muharrar, yang diambil dari kitab al-Wajiz karya al-Ghazali. Ia dianggap antara kitab yang muktamad dalam menentukan pendapat mazhab dalam semua bab fiqh.

ii) Al-'Aziz Syarh al-Wajiz, yang juga dikenali sebagai al-Syarh al-Kabir. Ia merupakan sebuah ensiklopedia fiqh yang besar yang menunjukkan kemampuan Imam al-Rafi'i dalam berkhidmat kepada mazhabnya, mentahqiqnya dan mempertahankannya.

Al-'Aziz Syarah al-Wajiz

iii) Al-Syarh al-Saghir, yang juga merupakan syarah kepada kitab al-Wajiz karya al-Ghazali. 

Imam al-Rafi‘i terkenal dengan ketelitian yang luar biasa dalam menukilkan pendapat. Beliau tidak akan mengaitkan sesuatu pendapat kepada seseorang melainkan jika beliau sendiri menemui pendapat tersebut dalam tulisan atau ucapan orang berkenaan. 

Selain itu, beliau juga amat berhati-hati dalam membuat tarjih (menentukan pendapat yang lebih kuat). Kadangkala beliau menyatakan: "Zahir mazhab menunjukkan bahawa ia tidak sah", atau "Pendapat yang lebih sahih menurut kebanyakan ulama adalah begini". Ada kalanya beliau berkata: "Pendapat yang lebih disukai adalah begini", "Yang lebih menyerupai kebenaran", "Yang lebih utama", dan ungkapan-ungkapan lain yang menunjukkan bahawa tarjih itu adalah berdasarkan pandangan peribadinya. Kadangkala juga beliau menggunakan ungkapan seperti "sepatutnya", "tidak sepatutnya", dan seumpamanya yang membawa maksud tarjih secara lebih umum. Namun demikian, al-Rafi‘i tidak menetapkan istilah-istilah khusus untuk tarjih.

Imam al-Nawawi dan Usahanya dalam Penyaringan Mazhab:

Beliau ialah Imam Abu Zakariya Yahya bin Syaraf bin Murri bin Hasan al-Hizami al-Haurani al-Nawawi. Beliau berhijrah ke Damsyik dan berguru dengan tokoh-tokoh fuqaha dan muhaddith yang besar. Beliau cemerlang dalam hadith dan ilmu-ilmunya, dan mahir dalam fiqh sehingga menjadi tokoh fuqaha Syafi'iyyah yang paling terkemuka pada zamannya. Beliau meninggal dunia pada tahun 676H.

Beliau telah melakukan usaha besar dalam meneruskan usaha Imam al-Rafi'i. Usaha beliau tertumpu kepada penyemakan dan penyuntingan semula kitab-kitab fiqh yang dijadikan rujukan utama dalam pengajaran dan fatwa pada zamannya. 

Oleh kerana sumbangan besar beliau dalam menyunting dan menyaring mazhab secara menyeluruh dan terperinci, beliau diberi gelaran "Muharrir al-Mazhab" (Penyaring Mazhab). Beliau juga merupakan tokoh yang menetapkan istilah-istilah yang tepat untuk tarjih antara pelbagai pandangan dan pendapat dalam mazhab, serta membezakan tahap-tahap perbezaan pendapat berdasarkan kekuatan dan kelemahannya.

Beliau telah mengarang:

i) Raudhah al-Talibin, yang merupakan ringkasan kitab al-'Aziz Syarah al-Wajiz.

ii) Al-Minhaj, yang merupakan ringkasan kitab al-Muharrar karya al-Rafi'i.

iii) Al-Majmu', yang merupakan sebuah ensiklopedia fiqh perbandingan di mana al-Nawawi mensyarahkan kitab al-Muhazzab karya al-Shirazi.

Karya-karya beliau membentuk rangkaian yang sangat penting dalam siri karya-karya mazhab dalam bidang furu', kerana ia telah menyaring karya-karya mazhab daripada ratusan fuqaha Syafi'iyyah sepanjang empat abad sejak kewafatan Imam al-Syafi'i. 

Para muhaqqiqin (ulama yang mendalam ilmunya) telah sepakat bahawa kitab-kitab yang ditulis sebelum zaman dua Syeikh: al-Rafi'i dan al-Nawawi, tidak boleh diambil sebagai rujukan melainkan setelah kajian dan penelitian yang sempurna, sehingga dapat diyakini bahawa ia adalah pendapat yang kuat dalam Mazhab al-Syafi'i.

Kemudian mereka berkata: Ini dalam kes hukum yang tidak disentuh oleh kedua-dua Sheikh atau salah seorang daripada mereka.

Jika kedua-duanya membahaskan sesuatu hukum, maka para muhaqqiqin telah sepakat bahawa yang muktamad ialah apa yang dipersetujui oleh kedua-duanya.

Jika mereka berbeza pendapat dan tiada pentarjih (faktor yang dapat menguatkan salah satu pendapat), atau ada pentarjih tetapi sama kuat, maka yang muktamad ialah pendapat al-Nawawi. Jika ada pentarjih bagi salah seorang daripada mereka tanpa yang lain, maka yang muktamad ialah yang mempunyai pentarjih.

Jika kitab-kitab al-Nawawi berbeza pendapat antara satu sama lain, maka kebiasaannya yang muktamad mengikut susunan berikut:

i) Al-Tahqiq.

Al-Tahqiq

ii) Al-Majmu' Syarah al-Muhazzab.

iii) Al-Tanqih Fi Syarah al-Wasit.

iv) Raudhah al-Talibin.

v) Minhaj al-Talibin.

vi) Syarah Muslim.

vii) Tashih al-Tanbih.

viii) Nukat al-Tanbih.

Kemudian muncul usaha-usaha untuk menghidupkan kembali ijtihad melalui tokoh-tokoh fuqaha Syafi'iyyah yang terkemuka, antaranya:

1) Imam 'Izzuddin bin Abdul Salam, Abu al-Qasim al-Dimasyqi, yang berusaha ke arah ijtihad mutlak dan menyeru kepada pembukaan pintunya mengikut kaedah-kaedah yang diiktiraf dalam ilmu usul. Beliau telah mengarang karya-karya yang bermanfaat antaranya:

i) Al-Ghayah fi Ikhtisar al-Nihayah, dalam ilmu fiqh.

ii) Al-Imam fi Adillah al-Ahkam, dalam ilmu usul fiqh.

Dan kitabnya yang paling terkenal yang telah dicetak: Qawa'id al-Ahkam fi Masalih al-Anam, dalam maqasid syariah.

Beliau meninggal dunia di Kaherah pada tahun 660H.

2) Imam Abu Syamah al-Maqdisi, Abu al-Qasim Syihabuddin Abdul Rahman bin Ismail bin Ibrahim bin Uthman al-Maqdisi, yang dikenali sebagai Abu Syamah kerana tahi lalat di atas keningnya. Beliau - seperti gurunya Imam 'Izzuddin bin Abdul Salam - menyeru kepada keperluan untuk membiarkan pintu ijtihad terbuka luas dan mengawalnya dengan kaedah-kaedah ilmu usul.

Kedua: Penyaringan Kedua Mazhab al-Syafi'i (676 - 1004H):

Tempoh ini boleh dibahagikan kepada:

Pertama: Tempoh yang bermula dari kewafatan Imam al-Nawawi sehingga kemunculan dua Imam: Ibnu Hajar al-Haitami dan al-Ramli (676 - 926H). Atau dengan kata lain: Usaha-usaha yang mendahului usaha imam al-Haitami dan al-Ramli dalam penyaringan mazhab.

Kedua: Usaha-usaha Imam Ibnu Hajar al-Haitami dan al-Ramli dalam penyaringan kedua Mazhab alSyafi'i (926 - 1004H).

Pertama: Usaha-usaha Sebelum Imam Ibnu Hajar al-Haitami dan al-Ramli dalam Penyaringan Mazhab (676 - 926H):

Usaha-usaha yang paling menonjol berlaku di Mesir dan Syam. Para ulama Syafi'iyyah pada zaman ini mengikuti jejak langkah pendahulu mereka dalam berkhidmat kepada mazhab mereka dan mengarang dalam usul dan furu'nya. Antara yang paling menonjol ialah:

1) Imam Najmuddin Ibn al-Rif'ah, Abu al-Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Murtafi' bin Sarim bin al-Rif'ah. Beliau menjadi ketua ulama Syafi'iyyah di Mesir pada zamannya. Antara karya-karyanya:

i) Al-Matlab fi Syarah al-Wasit. Al-Wasit merupakan karya al-Ghazali.

ii) Al-Kifayah Syarah al-Tanbih. Al-Tanbih merupakan karya al-Shirazi.

Beliau meninggal dunia pada tahun 710H.

2) Taqiyuddin al-Subki, Abu al-Hasan, Ali bin Abdul Kafi bin Ali bin Tamam al-Subki. Beliau dilahirkan di Mesir dan berhijrah ke Syam untuk menuntut ilmu sehingga menjadi mahir dalam ilmu-ilmu syariah, khususnya dalam fiqh al-Syafi'i. Antara karya-karyanya:

i) Al-Ibtihaj fi Syarah al-Minhaj karya al-Nawawi.

ii) Al-Ibhaj fi Syarah al-Minhaj karya al-Baidawi dan beliau tidak sempat menyelesaikan karya ini.

Beliau meninggal dunia pada tahun 756H.

3) Imam Tajuddin al-Subki, Abu Nasr Abdul Wahab yang menggantikan ayahnya Taqiyuddin al-Subki sebagai hakim di negeri Syam. Beliau mahir dalam usul fiqh. Antara karyanya ialah:

i) Tabaqat al-Shafi'iyyah al-Kubra.

ii) Jam' al-Jawami' dalam usul fiqh.

Beliau juga menyempurnakan al-Ibhaj Syarah al-Minhaj karya al-Baidawi yang dimulakan oleh ayahnya.

Beliau meninggal dunia pada tahun 771H.

4) Imam Jamaluddin al-Isnawi, Abu Muhammad Abdul Rahim bin al-Hasan bin Ali bin Umar al-Isnawi yang dinisbahkan kepada Isna, sebuah kampung kecil di Mesir. Beliau mahir dalam fiqh dan usul, menguasai bahasa Arab, dan mempunyai pengetahuan mendalam dalam usul fiqh. Antara karyanya ialah:

i) Nihayah al-Sul Syarah Minhaj al-Usul karya al-Baidawi.

ii) Al-Tamhid fi Takhrij al-Furu' 'ala al-Usul.

iii) Al-Muhimmat 'ala al-Raudhah, di mana beliau membuat penambahbaikan terhadap kitab al-Syarah al-Kabir dan Raudhah al-Talibin karya al-Nawawi.

Beliau meninggal dunia di Kaherah pada tahun 772H.

5) Imam Syihabuddin al-Azra'i, Abu al-Abbas Ahmad bin Hamdan bin Abdul Wahid bin Abdul Ghani bin Muhammad. Dilahirkan di Azri'at, Syam. Beliau berhijrah ke Kaherah sehingga mahir dalam fiqh al-Syafi'i. Antara karyanya ialah:

i) Jam' al-Tawassut.

ii) Al-Fath bain al-Raudhah wa al-Syarh.

iii) Ghunyah al-Muhtaj. 

iv) Qut al-Muhtaj.

Dua kitab yang terakhir ini merupakan syarah kepada kitab al-Minhaj karya al-Nawawi.

Namanya sering disebut dalam kitab-kitab fiqh ulama Syafi'i terkemudian. Beliau meninggal dunia di Aleppo pada tahun 783H.

6) Imam Badruddin al-Zarkashi, Abu Abdullah Muhammad bin Bahadur bin Abdullah, dilahirkan di Kaherah. Semasa kecil, beliau mempelajari seni sulaman emas (zarkasyah) dan dinisbahkan kepadanya. Beliau menguasai mazhab al-Syafi'i dalam furu' dan usul dan menjadi salah seorang ulama mazhab al-Syafi'i terkemuka pada zamannya. Antara karyanya ialah:

i) Al-Bahr al-Muhit Fi Usul al-Fiqh.

ii) Tashnif al-Masami' bi Jam'i al-Jawami'.

Beliau meninggal dunia di Kaherah pada tahun 794H.

7) Imam Sirajuddin al-Bulqini, Abu Hafs Umar bin Ruslan bin Nusair bin Salih al-Bulqini, berasal dari Asqalan. Beliau dilahirkan di Bulqinah di wilayah Gharbiyyah, Mesir dan dinisbahkan kepadanya. Beliau berhijrah ke Kaherah pada usia 12 tahun dan menjadi mahir dalam fiqh al-Syafi'i, baik usul mahupun furu'. Beliau kemudian pergi ke Damsyik dan dilantik sebagai hakim. Ramai tokoh terkenal pada zamannya berguru dengan beliau. Antara karyanya ialah:

i) Tashih al-Minhaj.

ii) Al-Mulimmat bi Radd al-Muhimmat, kedua-duanya dalam bidang fiqh.

Beliau meninggal dunia di Kaherah pada tahun 805H.

8) Imam Taqiyuddin al-Hisni, Abu Bakr bin Muhammad bin Abdul Mu'min al-Husaini al-Dimashqi, meninggal dunia di Damsyik pada tahun 829H. Antara karyanya:

i) Kifayah al-Akhyar Fi Halli Ghayah al-Ikhtisar.


ii) Kifayah al-Muhtaj Fi Halli al-Minhaj.

9) Imam Jalaluddin al-Mahalli, Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad bin Muhammad bin Ibrahim al-Mahalli dilahirkan di Kaherah. Beliau berasal dari Mahallah al-Kubra di wilayah Gharbiyyah, Mesir.

Beliau mahir dalam ilmu-ilmu bahasa Arab dan ilmu-ilmu syariah secara umum, dan khususnya dalam mazhab Syafi'i, baik usul mahupun furu'. Antara karyanya ialah:

 i) Al-Badr al-Tali' fi Hall Jam'i al-Jawami'.

ii) Syarah al-Waraqat karya al-Juwaini, kedua-duanya dalam bidang usul.

iii) Syarah al-Mahalli 'ala al-Minhaj.

Beliau meninggal dunia di Kaherah pada tahun 864H.

10) Syeikhul Islam Zakariya bin Muhammad bin Ahmad bin Zakariya al-Ansari al-Sunaiki, dinisbahkan kepada kampung Sunaika yang merupakan tempat kelahirannya, yang terletak di wilayah Syarqiyyah, Mesir. Gelaran al-Ansari merujuk kepada asal-usulnya yang berasal dari kaum Ansar di Madinah.

Beliau memiliki pengetahuan yang mendalam dalam ilmu, menghafal furu' dan berijtihad padanya, mahir dalam usul, dan menguasai ilmu-ilmu bahasa Arab. Beliau pernah menjadi hakim di Mesir dan murid-muridnya menjadi ulama terkemuka pada zaman mereka selepasnya.

Antara karyanya ialah:

i) Al-Ghurar al-Bahiyyah fi Syarah al-Bahjah al-Wardiyyah.

ii) Manhaj al-Tullab yang merupakan ringkasan al-Minhaj karya al-Nawawi.

iii) Fath al-Wahhab Syarah Manhaj al-Thullab.

iv) Ghayah al-Wusul ila 'Ilm al-Usul serta karya-karya lain.

Beliau meninggal dunia pada tahun 926H. 

11) Al-Khatib al-Syirbini atau nama penuhnya Syamsuddin Muhammad bin Muhammad al-Khatib al-Syirbini. Beliau berguru dengan Syihabuddin al-Ramli  dan Ahmad al-Burullusi yang digelar 'Amirah.

Al-Ghazzi (meninggal 1061H) berkata: "Penduduk Mesir sepakat tentang kesalihannya dan mereka mensifatkannya dengan ilmu, amal, zuhud, warak, banyak ibadah dan ketaatan." 

Antara karya beliau ialah:

i) Mughni al-Muhtaj Syarah al-Minhaj.


ii) Al-Najm al-Thaqib Syarah Tanbih al-Talib.

iii) Al-Iqna' fi Halli Alfaz Abi Syuja' serta kitab-kitab berharga yang lain yang mendapat sambutan orang ramai untuk membacanya semasa hayatnya.

Berkenaan syarahnya, Mughni al-Muhtaj, al-Kurdi memetik dari gurunya Sayyid Umar Al-Basri yang berkata: "Syarah al-Khatib al-Shirbini adalah himpunan intipati al-Minhaj beserta dihiasi faedah-faedah dari karangan Sheikh al-Islam Zakariya dan ia mendahului 'Al-Tuhfah' dan pengarangnya setaraf dengan guru-guru Syeikh al-Islam Ibn Hajar kerana beliau lebih awal satu generasi." 

Ia merupakan antara syarah yang sangat masyhur untuk al-Minhaj, yang menjadi rujukan para pelajar dan fuqaha sehingga zaman kita ini, kerana mudah bahasanya dan baik susunan perbahasannya. 

Beliau meninggal dunia pada  977H.

Kedua: Usaha Imam Ibnu Hajar al-Haitami dan al-Ramli dalam Penyaringan Kedua Mazhab Syafi'i (951 - 1004 H):

Sebagai permulaan, perlu dinyatakan bahawa penerangan usaha seorang imam atau ulama mazhab sebagai penyaringan mazhab hanya boleh dilakukan oleh ulama mazhab yang datang selepasnya. Mereka menyemak karya-karyanya dan mengutamakan sebahagian karya berbanding yang lain, kerana menyedari ketepatan huraian ulama tersebut dalam menjelaskan pandangan yang muktamad untuk dijadikan fatwa dalam mazhab tersebut merangkumi seluruh bab fiqh.

Seperti yang telah disebutkan sebelum ini, Imam al-Rafi'i dan al-Nawawi telah menyemak semula karya-karya fiqh mazhab yang ditulis sebelum zaman mereka, membersihkannya daripada ijtihad yang syaz dan takhrij yang bertentangan dengan mazhab, serta mentarjih antara pendapat-pendapat yang bertentangan dan sebagainya.

Perkara yang sama dilakukan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami dan Syamsuddin al-Ramli. Diutamakan usaha mereka dalam penyaringan mazhab al-Syafi'i berbanding usaha ulama lain adalah berdasarkan penilaian ulama mazhab al-Syafi'i pada zaman selepas mereka. 

Pendekatan fiqh para ulama pada zaman tersebut adalah berpegang kepada pendapat yang muktamad dalam mazhab, sebagaimana yang telah dihimpunkan dalam kitab-kitab ulama muta’akhirin daripada kalangan murid-murid Syaikhul Islam Zakaria al-Ansari, terutamanya dua kitab utama: Tuhfah al-Muhtaj karya Ibn Hajar dan Nihayah al-Muhtaj karya al-Ramli. 

Para ulama Mesir lebih mengutamakan Nihayah al-Muhtaj dalam fatwa, manakala ulama Syam, Yaman, dan Daghestan lebih mengutamakan Tuhfah al-Muhtaj. Adapun penduduk Hijaz, pada mulanya mereka cenderung mengikuti pendapat Ibn Hajar, tetapi setelah bercampur dengan ulama Mesir, mereka mula menggabungkan kedua-dua pandangan tersebut tanpa membuat tarjih. Malah, mereka menjadi terkenal dengan pendirian yang melarang berfatwa selain berdasarkan dua kitab ini.

Al-‘Allamah Muhammad Sa’id Sunbul berkata: “Ketahuilah bahawa para imam mazhab telah sepakat bahawa yang menjadi sandaran dan pegangan adalah pendapat Syeikh Ibn Hajar dan al-Ramli dalam kitab al-Tuhfah dan al-Nihayah jika kedua-duanya bersepakat. Jika mereka berbeza pendapat, maka harus bagi seorang mufti untuk memilih salah satu daripada keduanya secara bebas.” 

Al-‘Allamah Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi (wafat 1067H), Al-‘Allamah ‘Alawi al-Saqqaf (wafat 1335H) dan sejumlah ulama muhaqqiqin lainnya telah menguatkan pandangan bahawa kitab-kitab ulama muta’akhirin daripada Syaikhul Islam Zakaria al-Ansari, murid-muridnya, serta para penulis hashiyyah dijadikan sandaran, tanpa mendahulukan salah satu daripada mereka secara khusus.

Berikut adalah pengenalan ringkas tentang Imam Ibnu Hajar al-Haitami dan Syamsuddin al-Ramli ini:

Imam Ibnu Hajar al-Haitami dan Usahanya dalam Penyaringan Mazhab:

Beliau ialah Imam Abu al-Abbas Ahmad bin Muhammad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Haitami, dilahirkan pada tahun 909H di Mahallah Abu al-Haitam di wilayah Gharbiyyah, Mesir, dan dinisbahkan kepadanya.

Beliau menghafal al-Quran semasa kecil, kemudian menghafal Minhaj al-Talibin karya al-Nawawi. Beliau berguru dengan Syeikh Zakariya al-Ansari dan al-‘Allamah Ahmad al-Ramli.

Beliau mahir dalam ilmu-ilmu syariah secara umum dan khususnya dalam fiqh al-Syafi'i. Antara karya-karyanya ialah:

i) Tuhfah al-Muhtaj fi Syarah al-Minhaj.

Kitab Tuhfatul Muhtaj dianggap sebagai salah satu syarahan yang panjang lebar ke atas kitab Minhaj at-Talibin. Ia menjelaskan makna-makna lafaznya, menghuraikan pendapat yang muktamad dalam fatwa, menunjukkan pendapat-pendapat yang lemah (marjuh), menjawab kritikan-kritikan, dan menambah perbahasan-perbahasan fiqh yang terperinci yang kebanyakannya diambil daripada Hashiyyah gurunya, Ibnu Abdul Haq, ke atas Syarah al-Mahalli 'ala al-Minhaj. Secara umumnya, ia dianggap antara kitab yang paling sukar yang mensyarahkan al-Minhaj kerana Ibnu Hajar menggunakan gaya yang sangat ringkas dalam kitabnya ini.

Para ulama muta’akhirin menjadikan kitabnya sebagai rujukan kerana ia menghimpunkan nas-nas Imam al-Syafi'i, berpegang kepada pendapat dua Syeikh (al-Rafi'i dan al-Nawawi), serta kerana ramai ulama muhaqqiqin yang mempelajari kitab ini daripadanya. Ulama Syam, Yaman, Daghestan, dan Kurdi yang datang selepasnya mengikuti pandangannya.

ii) Al-Minhaj al-Qawim fi Syarah al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah.

iii) Fatawa al-Haitami.

Beliau meninggal dunia pada tahun 974H.

Imam Syamsuddin al-Ramli dan Usahanya dalam Penyaringan Mazhab:

Beliau ialah Muhammad bin Ahmad bin Hamzah al-Ramli al-Manufi al-Misri, yang terkenal sebagai al-Syafi'i al-Saghir (Syafi'i Kecil). Beliau dinisbahkan kepada sebuah kampung di daerah Manoufia, Mesir. Dilahirkan pada tahun 919H di Kaherah, beliau dibesarkan di bawah asuhan ayahnya, al-Faqih Syihabuddin Ahmad bin Hamzah al-Ramli.

Beliau menghafal al-Quran dan banyak matan Syafi'iyyah, serta menguasai ilmu-ilmu bahasa Arab dan lain-lain. Selepas kematian ayahnya, beliau menjadi mufti Syafi'iyyah di Mesir, kemudian menjadi ahli fiqh yang terulung di Mesir pada zamannya.

Antara karya-karyanya ialah:

i) Nihayah al-Muhtaj fi Syarah al-Minhaj.

Nihāyah al-Muhtaj dianggap sebagai salah satu syarah yang panjang lebar terhadap Minhaj at-Thalibin. Syamsuddin al-Ramli berpegang kepada pandangan ayahnya, Shihabuddin al-Ramlī, serta dua syarah lain terhadap Minhaj al-Talibin, iaitu syarah al-Shirbini dan Ibn Hajar. 

Syamsuddin al-Ramli memberikan perhatian dalam menjelaskan makna lafaz-lafaz Minhaj al-Talibin, menyebut hukum-hakam dan cabang-cabang fiqh secara terperinci, serta menyampaikan beberapa kaedah dan faedah fiqh. Beliau hanya berpegang pada pendapat yang muktamad dalam fatwa dan meninggalkan perincian terhadap pandangan yang lemah. Gaya bahasa al-Ramlī dalam karyanya lebih mudah jika dibandingkan dengan gaya bahasa Ibnu Hajar dalam al-Tuhfah.

Para ulama muta’akhirin berpegang kepada kitab ini kerana pengarangnya sangat berhati-hati dalam dalam menukilkan pendapat, dan juga kerana kitab ini telah dibaca sepenuhnya di hadapannya oleh ratusan ulama yang kemudian menilai serta membetulkannya. Ulama Mesir mengikuti pendapat al-Ramli dan kebanyakan daripada mereka adalah pengarang hashiyyah.

ii) Ghayah al-Bayan fi Syarah Zubad Ibn Ruslan.

iii) Syarah al-Idhah fi Manasik al-Hajj karya al-Nawawi.

Beliau meninggal dunia pada tahun 1004H. 

Rujukan: 

1 - Al-Madkhal Ila Mazhab al-Syafi'ie - Dr Akram Yusuf Umar al-Qawasimi. 

2 - Al-Madkhal Ila Mazhab al-Syafi'e - Dairah Ifta' Jordan.