Ahad, 29 Jun 2025
Kisah-Kisah Husnul Khatimah
Khamis, 26 Jun 2025
Hadis Palsu Dalam Dalail al-Khairat
Soalan:
Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari ditanya tentang suatu
hadis yang dilihat oleh orang yang bertanya dalam kitab Dalail al-Khairat
pada hizib kelima, hari Jumaat, iaitu:
Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Sesiapa
yang membaca selawat ini sekali, Allah akan mencatatkan baginya pahala haji
yang diterima dan pahala orang yang memerdekakan seorang hamba sahaya daripada
keturunan Nabi Ismail ‘alaihis salam.
Maka Allah Taala berfirman: Wahai para malaikat-Ku, ini
adalah seorang hamba daripada hamba-hamba-Ku yang banyak berselawat ke atas
kekasih-Ku Muhammad. Maka demi Kemuliaan-Ku, Keagungan-Ku, Kebesaran-Ku,
Kemurahan-Ku dan Ketinggian-Ku, pasti akan Aku kurniakan kepadanya bagi setiap
huruf yang dia selawatkan sebuah istana di dalam Syurga.
Dia pasti akan datang pada hari Kiamat di bawah Panji al-Hamd
(Panji Pujian), cahaya wajahnya seperti bulan purnama dan tangannya berada
dalam genggaman tangan kekasih-Ku Muhammad.
Ini adalah bagi sesiapa yang mengucapkannya setiap hari
Jumaat, baginya fadilat ini. Allah Maha Memiliki Kurniaan Yang Agung."
Beliau menjawab:
Hadis ini tidak mempunyai asal usul dalam mana-mana kitab
Sunnah Nabawiyyah. Sesungguhnya aku telah meneliti hadis-hadis Qudsi sehingga
aku sampai ke batasan paling jauh yang dicapai oleh pengetahuan penutup para pakar
hadis (Huffaz) – iaitu sembilan
ratus hadis Qudsi – dengan harapan aku dapat menemukan hadis tersebut, namun
aku tidak menemuinya sama sekali.
Aku yakin bahawa ia adalah palsu (maudhu') disebabkan
beberapa perkara berikut:
A - Kecacatan maknanya dan kelemahan susunan bahasanya.
B - Selawat yang
disebutkan dalam hadis ini sebagai penjelasan kelebihannya tidak pernah
diriwayatkan dari Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan tidak juga dari
mana-mana sahabat baginda.
C - Orang pertama yang menyebutkan hadis ini - iaitu Ibn
'Azum al-Qairawani - bukanlah dari kalangan ahli hadis dan bukan pula dari
mereka yang teliti dalam periwayatan. Kita dapati beliau menyebutkan dalam
kitabnya yang dikarang tentang kelebihan berselawat ke atas Nabi sallahu
‘alaihi wasallam hadis-hadis yang tidak diragui oleh pembacanya bahawa ia
dipetik dari kitab-kitab seperti Sirah al-Bakri, Diya' al-Anwar, Ra's
al-Ghul dan seumpamanya.
Kemudian aku merujuk kepada Syarah Dalail al-Khairat karangan Sayyidi al-Mahdi al-Fasi, lalu aku dapati beliau melepaskan diri dari tanggungjawab hadis tersebut dan meletakkan bebannya kepada orang pertama yang menukilkannya, iaitu orang yang telah kami sebutkan tadi. Wallahu a'lam.
Sumber:
Mausu’ah Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari (16/154-155).
Status Hadis: Aku Adalah Cahaya Di Hadapan Tuhanku
كنت نورا بين يدي ربى قبل خلق آدم بأربعة عشر ألف عام.
“Dahulu
aku adalah cahaya di hadapan Tuhanku sebelum penciptaan Adam selama empat belas
ribu tahun.”
Ulasan:
Hadis ini
disebutkan dalam beberapa kitab seperti al-Mawahib al-Ladunniyah karya
al-Qastalani, Kasyf al-Khafa karya al-‘Ajluni dan lain-lain. Mereka
menyandarkannya kepada kitab al-Ahkam karya Ibnu al-Qattan dan tidak dibawakan
sanadnya.
Hadis ini telah
dihukumkan sebagai palsu oleh Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari.
Beliau berkata
dalam kitab Irsyad al-Tullab al-Najib: “Hadis ini telah dinisbahkan
kepada riwayat Ali Zainal Abidin daripada bapanya daripada datuknya dan ia
adalah dusta yang direka-reka.”
Beliau berkata lagi dalam kitab Qasas al-Anbiya’: “Ia adalah palsu meskipun diriwayatkan melalui sanad Zainal Abidin daripada bapanya daripada datuknya alaihim as-salam. Sesungguhnya kepalsuan padanya adalah daripada orang sebelum Zainal Abidin dan ia adalah dusta yang diada-adakan ke atasnya.”
Rabu, 18 Jun 2025
Al-Habib Ahmad bin Zain al-Habasyi: Pengarang al-Risalah al-Jami’ah
Nama dan Keturunannya
Beliau ialah Abu Alawi Ahmad bin Zain bin Alawi bin Ahmad
bin Muhammad bin Alawi bin Abu Bakar al-Habasyi bin Ali bin Ahmad bin Muhammad
bin Hassan al-Turabi bin Ali bin al-Faqih Al-Muqaddam Muhammad bin Ali bin
Muhammad bin Ali bin Alawi bin Muhammad
bin Alawi bin Ubaidillah bin Ahmad al-Muhajir bin Isa bin Muhammad bin Ali al-Uraidhi
bin Ja'far al-Sadiq bin Muhammad al-Baqir bin Ali Zainal Abidin bin Husain bin
Ali bin Abi Talib dan Fatimah al-Zahra binti Muhammad Rasulullah sallallahu
alaihi wa alihi wasahbihi wasallam dan semoga Allah meredhai mereka semua.
Ibunya ialah Fatimah binti al-Sayyid Ali bin Aqil Baharun
Jamalullail Ba'alawi al-Husaini Al-Makki.
Kelahiran dan Awal Kehidupannya
Beliau dilahirkan di bandar al-Ghurfah, salah satu bandar di
lembah Hadhramaut, Yaman pada awal tahun 1069 Hijrah.
Beliau membesar dan dididik oleh ayahnya di sana. Beliau
telah menghafal al-Quran al-Azim serta berusaha dengan tekun dan
bersungguh-sungguh sejak kecil. Sejak dari usia mudanya, hati beliau telah
terpaut pada Tuhannya.
Menuntut ilmu
Sejak permulaan pembelajarannya, beliau sangat tekun dalam
menuntut ilmu, pembelajaran, ibadah dan pengasingan diri. Beliau tidak mengenal
penat lelah dalam mencari ketinggian ilmu. Beliau telah mengembara mencari ilmu
ke kawasan-kawasan berdekatan dengan berjalan kaki. Beliau akan ke Shibam
setiap hari Isnin dan Khamis dan juga ke Taris, Seiyun dan Tarim.
Guru-Guru Utamanya:
1 - Al-Imam Qutub al-Irsyad al-Habib Abdullah bin Alawi bin
Muhammad Al-Haddad.
Beliau telah mendampinginya dan berulang-alik kepadanya
selama empat puluh tahun dan mempelajari daripadanya lebih tujuh puluh buah
kitab dalam pelbagai bidang ilmu. Gurunya wafat ketika beliau sedang membaca di
hadapannya kitab al-Muwatta' karangan Imam Malik.
Imam al-Haddad sangat memuliakan, menyayangi dan
mendahulukannya, akan bertanya khabarnya jika beliau tidak hadir dan merasai
kehilangannya, serta menyifatkannya sebagai seorang alim yang zuhud yang patut
diziarahi.
Setelah kewafatan gurunya, Imam al-Haddad pada tahun 1132 Hijrah,
sebahagian besar murid gurunya kembali merujuk kepadanya, lalu menjadi
murid-murid dan para pengikutnya. Beliau tampil sesudahnya sebagai pendakwah ke
jalan Allah dan memegang panji-panji dalam memberi nasihat dan bimbingan.
Beliau telah menetap di bandar Khala' Rashid yang
kemudiannya dinamakan Hawtah Ahmad bin Zain. Maka orang ramai pun datang
kepadanya dari segenap pelosok dan beliau kemudiannya menjadi masyhur
sepertimana kemasyhuran gurunya.
2 - Al-Allamah Abdullah bin Ahmad Balfaqih.
3 - Syeikh al-Faqih Muhammad bin Abdullah Bajammal.
4 – Syeikh al-Faqih Ahmad bin Abdullah Syurahil.
5 - Syeikh al-Faqih al-Muhaqqiq Abdul Rahim bin Muhammad bin
Qadhi Bakathir.
6 - Syeikh Mahrus. Beliau
mengambil ilmu nahu daripadanya.
7 - Al-Habib al-Allamah Abdullah bin Umar Balfaqih. Beliau
mengambil ilmu tajwid daripadanya.
8 - Al-Habib al-Allamah Muhammad bin Abdul Rahman al-Aidrus.
9 - Al-Faqih al-Allamah Muhammad bin Ahmad Bajubair.
10 - Al-Faqih al-Allamah Abdullah bin Abu Bakar al-Khatib.
11 - Al-Habib Ahmad bin Umar Al-Hinduan.
12 – Ayahnya, al-Habib Zain bin Alawi.
13 - Bapa saudaranya, al-Habib Aidrus bin Alawi bin Ahmad al-Habasyi.
14 - Bapa saudara ayahnya, al-Habib Hassan bin Ahmad bin
Muhammad al-Habasyi.
15 - Sepupu-sepupu ayahnya: Al-Habib Muhammad bin Hussein
bin Ahmad al-Habasyi, al-Habib Isa bin Muhammad bin Ahmad al-Habasyi dan al-Habib
Ahmad bin Hasyim bin Ahmad al-Habasyi.
16 - Al-Habib Hussein bin Umar bin Abdul Rahman al-Attas.
17 - Al-Habib Syaikhan bin al-Imam al-Hussein bin Syeikh Abu
Bakar bin Salim.
18 - Al-Habib Ali bin Salim bin Ahmad bin al-Imam al-Hussein
bin Syeikh Abu Bakar bin Salim.
Di antara ulama Haramain yang beliau mengambil ilmu melalui
surat-menyurat:
19 – Al-Sayyid al-Allamah al-Arif Billah Muhammad bin Abu
Bakar al-Syilli Ba'alawi.
20 - Syeikh al-Alim al-Muhaddith Muhammad bin Muhammad bin
Sulaiman.
21 - Al-Faqih al-Allamah Hassan bin Ali al-Ajimi al-Hanafi.
Murid-murid
Orang yang mengambil ilmu daripadanya sangat ramai,
antaranya:
1 - Anak-anaknya: Al-Habib Alawi, al-Habib Muhammad, al-Habib
Abu Bakar, al-Habib Hassan, al-Habib al-Sultan Ja'far dan puterinya, al-Syarifah
al-Afifah Salma.
2 - Al-Habib Muhammad bin Zain bin Sumait dan saudaranya al-Habib
Umar bin Zain bin Sumait.
3 - Al-Habib Umar bin Abdurrahman al-Bar.
4 - Al-Habib Ahmad bin Ali bin Al-Hussein bin Umar al-Attas.
5 - Al-Habib Ali bin Hassan al-Attas dan saudaranya al-Habib
Abu Bakar bin Hassan al-Attas.
6 - Al-Habib Syeikh bin Abdullah bin Muhammad bin Hussein
bin Ahmad al-Habasyi.
7 - Al-Habib Saqqaf bin Muhammad al-Saqqaf.
8 - Al-Habib Yusuf bin Abid al-Hasani.
9 - Syeikh Umar bin Abdullah Syurahil.
10 - Syeikh Umar bin Abdul Qadir al-Amudi.
11 - Syeikh Abdullah bin Uthman al-Amudi.
12 - Syeikh Ahmad al-Maghribi al-Miknasi dan lain-lain.
Pendekatan Dalam Memberi Nasihat dan Bimbingan:
Kebanyakan dakwah dan teguran beliau terhadap kemungkaran kepada
golongan khusus adalah melalui kiasan dan isyarat, petunjuk dan sindiran, bukan
dengan berhadapan secara langsung dan terus terang.
Cara yang demikian itu lebih mendalam kesannya dalam memberi
nasihat, dan lebih berhasil untuk mencapai matlamat; kerana jiwa manusia itu
ada kalanya mulia, maka ia tidak dapat dipimpin melainkan dengan kelembutan dan
belas kasihan; dan ada kalanya pula tercela yang telah bersarang di dalamnya
sifat sombong dan gila kuasa, maka ia mungkin akan membalas pendekatan yang
terus-terang itu dengan penolakan dan bantahan yang nyata, sepertimana yang
menjadi kebiasaan pada tabiat orang-orang zaman ini.
Namun, kadangkala semangat beliau kerana Allah Azza wa Jalla
mendorong beliau untuk berhadapan dan berterus terang dalam dakwahnya. Maka
ketika itu beliau tidak peduli lagi, lalu beliau memberi peringatan dan teguran
dengan keras, berpaling dan menjauhkan diri dan tidak mengendahkan orang yang
dikenalinya kerana kerana didorong oleh rasa pengagungan terhadap perintah
Allah Taala dan kehebatan-Nya yang menguasai hati sanubari beliau.
Beliau memberi peringatan kepada orang awam secara terus
terang dan tidak peduli dalam dakwahnya. Beliau sangat keras dalam hal ini dan
berpesan kepada sesiapa yang dapat menyampaikan kepada mereka.
Beliau juga sangat bersungguh-sungguh dalam mengembalikan
manusia kepada kebenaran dengan segala cara yang mungkin, sangat mengasihani
mereka dalam urusan agama mereka, mengorbankan tenaga dan hartanya untuk mereka
dalam hal tersebut, tidak mengenal penat lelah dalam memperbaiki mereka dan
tidak meninggalkan sebarang usaha dalam memberi hidayah, mendekatkan mereka dan
menggalakkan mereka agar kembali kepada Allah Ta'ala.
Akhlak Mulianya dan Sifat-Sifat Agungnya
Beliau sangat pemurah dan dermawan. Beliau tidak
menghiraukan apa yang diberikannya dari harta dunia mahupun kepada siapa ia
diberikan kerana beliau tidak mementingkannya. Tidaklah beliau menerima melainkan
beliau akan membelanjakannya pada ketika itu juga untuk membantu para fakir dan
miskin.
Beliau berbuat baik kepada orang dagang dan mereka yang
terputus bekalan, sentiasa menyambung silaturahim dengan para sahabat dan kaum
kerabat, berusaha keras untuk merahsiakan semua itu semata-mata mencari
keredhaan Allah.
Beliau sangat warak, amat berhati-hati dalam urusan agama,
sangat bersungguh-sungguh mengikuti jejak datuknya penghulu para rasul, selawat
dan salam ke atasnya.
Beliau melayani manusia dengan mengutamakan orang lain, berbudi
pekerti mulia dan kemurahan hati. Beliau sangat membenci pujian terutama
sebagai balasan atas kebaikannya, tetapi jika dipuji tanpa sebab kadangkala
beliau menerimanya dan menganggapnya dari Allah Taala yang menzahirkan kebaikan
itu.
Beliau mencela orang-orang zamannya yang menyangka ketaatan
kepada Allah hanya dengan melakukan amalan-amalan kebajikan secara zahir dan
berterusan melakukannya sedangkan lalai dari hakikat takwa secara batin, serta
bersikap sambil lewa dan cuai dalam hal warak.
Beliau juga sangat warak dalam tutur katanya, sepertimana
dalam amalan dan perbuatannya, dan amat berhati-hati dalam percakapannya;
beliau menimbang kata-katanya sebagaimana beliau menimbang perbuatannya di atas
neraca kebenaran, landasan keadilan, dan jalan kesaksamaan. Di dalam
majlis-majlisnya, tidak pernah sekali-kali kedengaran umpatan terhadap seorang
Muslim, tidak juga adu domba, mahupun perkara yang menunjukkan sangka buruk
atau perbuatan meremehkannya.
Beliau amat murka kepada sesiapa yang menyebut keburukan
tentang salah seorang yang mempunyai hubungan dengannya, sama ada anak-anak,
kaum kerabat dan para sahabat, apatah lagi orang lain. Pada yang demikian itu
terkandung satu makna yang agung, yang difahami oleh golongan yang mempunyai
kefahaman dan tersembunyi daripada golongan yang cetek pemikirannya.
Beliau sangat tawaduk, membenci kemasyhuran dan menjadi
tumpuan, serta cenderung kepada keadaan tidak dikenali dan bersendirian. Beliau
tidak menghiraukan kedudukannya di hati manusia dan kemunculannya di khalayak
ramai serta pertemuannya dengan mereka hanyalah demi dakwah di jalan Allah
Jalla wa 'Alaa.
Masjidnya dan Peninggalan yang Kekal
Beliau sangat mencintai kebaikan dan amat gemar memakmurkan
masjid-masjid dan zawiyah. Beliau telah membina untuk Allah Taala sebanyak tujuh
belas buah masjid di pelbagai tempat di Lembah Hadhramaut yang diberkati. Masjid
pertama yang dibina olehnya ialah masjid Ba'alawi di al-Ghurfah pada tahun 1103
Hijrah.
Karya-Karya Tulisannya
Beliau mempunyai banyak karya tulis yang agung dalam ilmu
naqli dan aqli, yang menunjukkan kedalaman dan keluasan ilmunya, antaranya:
1 - Al-Safinah al-Jami'ah al-Kubra.
Sebuah karya ilmiah yang besar dan agung, terdiri daripada
lebih dua puluh jilid seperti yang disifatkan oleh muridnya, Imam Muhammad bin
Zain bin Sumait.
Di dalamnya, beliau menghimpunkan daripada kitab-kitab hadis
induk, sirah para sahabat yang agung dan tabi'in, serta sebahagian daripada
kitab-kitab fiqh, ilmu syariat, tarekat dan hakikat, ilmu bahasa dan sastera,
serta perubatan.
Beliau banyak mengambil daripada karya-karya Imam
al-Ghazali, terutamanya Ihya' Ulumiddin dan daripada kitab-kitab suluk
yang lain seperti 'Awarif al-Ma'arif dan Qut al-Qulub.
2 - Al-Maqasid as-Salihah fi Syarh Syai'in min 'Ulum
al-Fatihah.
Sebuah kitab ringkas sekitar empat kuras (buku kecil).
Beliau bersandar padanya daripada kitab al-Anwar al-La'ihah karangan Ibnu
Bint al-Mailaq al-Syafi'i.
3 - Al-Qaul ar-Ra'iq Syarh Hikmah al-Imam Ja'far as-Sadiq.
4 - Tiryaq al-Qulub wa al-Asrar fi Syarhi Syai'in min
'Ulum Sayyid al-Istighfar.
Dalam satu kuras. Telah dicetak.
5 - Al-Maslak al-Sawi.
Faedah-faedah dan pelengkap kepada al-Masyra' al-Rawi
karangan al-'Allamah asy-Syalli.
6 - Fath al-Hayy al-Qayyum fi Syarhi Syai'in min Syarab
al-Qaum.
Sebuah komentar ringkas mengenai beberapa bait syair
karangan Syeikh al-Salih 'Awadh Ba Mukhtar.
7 - Al-Isyarah al-Sufiyyah ila al-Atwar al-Insaniyyah wa
at-Thaharah 'an al-Sabu'iyyah.
Sebuah risalah ringkas. Telah dicetak.
8 - Al-Risalah al-Jami'ah wa at-Tadzkirah al-Nafi'ah.
Kitab ringkasan masyhur dalam fiqh al-Syafi’i. Telah
dicetak.
9 - Nubzah fi Syarh Thariq Al Abi 'Alawi.
Dalam beberapa halaman yang ditulisnya dalam satu majlis
atas isyarat gurunya, Imam al-Haddad. Telah dicetak.
10 - Salawat Nabawiyyah wa Awrad wa Ad'iyah.
Terdapat di kebanyakan masjid di Hadhramaut.
Syarahan beliau terhadap qasidah-qasidah gurunya, Imam
Al-Haddad:
11 – Al-Nafahat al-Sirriyyah wa al-Nafathat al-Amriyyah
Syarh al-Qasidah al-'Ainiyyah.
Ia merupakan sebuah jilid yang besar. Telah dicetak dua
kali, pertama di Mesir dan kedua di Singapura. Terdapat naskhah-naskhah tulisan
tangan di Hadramaut, antaranya di Perpustakaan Al-Ahqaf di Tarim dan yang lain
di Dau'an, Syibam dan al-Ghurfah.
12 - Al-Mawarid Ar-Rawiyyah Al-Haniyyah Syarh Abyat
Al-Wasiyyah.
Dalam satu jilid sederhana. Terdapat naskhah-naskhah tulisan
tangan di Shibam, Hautah, al-Ghurfah dan Tarim dan ia telah dicetak dalam satu jilid yang
ringkas.
13 - Sabil ar-Rusyd wa al-Hidayah fi Wasiyyah Ahl al-Bidayah.
Dalam satu jilid yang ringkas dan terdapat satu naskhah tulisan
tangan di Tarim.
14 - Al-Jazabat al-Syauqiyyah ila al-Maqa'id al-Sidqiyyah.
Kitab ini dalam sekitar satu kuras. Terdapat satu naskhah tulisan
tangan di Hautah dan Tarim. Ia telah dicetak.
15 – Al-Raudh al-Nadhir Syarah Qasidah Alhamdulillah al-Syahid
al-Hadhir.
Ia adalah sebuah ringkasan yang ringkas dalam sekitar satu
kuras. Terdapat satu naskhah tulisan tangan di Hautah dan Tarim.
16 - Risalah mengenai hadis Thuhur Ina'i Ahadikum.
17 - Beliau jugalah yang menghimpunkan kitab yang dinamakan al-Nafais
al-'Ulwiyyah fi al-Masa'il as-Sufiyyah yang dijawab oleh Imam al-Haddad. Ia
telah dicetak dalam siri karya-karya Imam al-Haddad.
Kitab Khas Tentangnya
Muridnya Sayyid Muhammad bin Zain bin Sumait telah mengkaji
secara mendalam akan segala hal ehwalnya, surat-menyuratnya dan syair-syairnya
di dalam kitabnya yang dikhususkannya tentang beliau, yang dinamakan Qurrah al-'Ain
fi Manaqib Syaikhina Ahmad bin Zain.
Kewafatannya
Beliau meninggal dunia selepas mengalami penyakit yang
ringan. Rohnya yang mulia kembali ke Rahmatullah pada waktu asar hari Jumaat 19
Sya’ban tahun 1144 Hijrah.
Isnin, 9 Jun 2025
Orang Murtad Dibunuh: Islam Larang Kebebasan Beragama?
Soalan:
Sesetengah pihak mendakwa bahawa Islam telah menghapuskan
kebebasan kepercayaan kerana membenarkan pembunuhan orang murtad. Jadi apakah
kebenaran tentang perkara ini?
Jawapan Syeikh Dr Ali Juma’ah:
Isu ‘membunuh orang murtad’ dalam pemikiran Barat merupakan
masalah besar, kerana mereka menyangka Islam memaksa orang untuk mengikutinya dan mereka mengabaikan perlembagaan umat Islam dalam isu kebebasan kepercayaan
yang diwakili oleh firman Allah: "Tidak ada paksaan dalam agama;
sesungguhnya telah nyata kebenaran dari kesesatan" (Surah al-Baqarah: 256).
Isu ‘membunuh orang murtad’ boleh dilihat dari dua sudut:
Sudut pertama: Teks syariat secara teori yang menghalalkan
darah seorang Muslim jika dia meninggalkan agamanya dan memisahkan diri dari jemaah.
Sudut kedua: Aplikasi perundangan dan pendekatan
dalam menangani isu murtad pada zaman Nabi, serta para khalifahnya, semoga
Allah meredhai mereka.
Adapun pada zaman Nabi sallahu ‘alaihi wasallam,
beliau tidak membunuh Abdullah bin Ubai, walaupun dia berkata: "Jika
kita kembali ke Madinah, yang mulia akan mengusir yang hina (merujuk kepada
Nabi) daripada Madinah", dan tidak membunuh Zul-Khuwaisirah al-Tamimi
yang berkata kepada baginda: "Berlaku adillah kerana kamu tidak berlaku
adil" dan tidak membunuh orang yang berkata kepada baginda: "Mereka
berkata kamu melarang kejahatan tetapi engkau sendiri melakukannya"
dan tidak membunuh orang yang berkata kepada baginda: "Pembahagian ini
tidak diniatkan untuk mencari keredhaan Allah" dan tidak membunuh
orang yang berkata kepada baginda ketika baginda memberi keutamaan kepada
Zubair dalam pengairan: "Kerana dia anak ibu saudaramu" dan
lain-lain yang sampai kepadanya tentang gangguan dan penghinaan daripada mereka
terhadap baginda, yang merupakan kata-kata yang pasti menjadikan penuturnya murtad
kerana ia adalah tuduhan terhadap Nabi sallahu ‘alaihi wasallam yang
termasuk dalam mendustakan kejujuran dan keadilan baginda.
Dalam meninggalkan pembunuhan orang-orang yang telah saya
sebutkan dan orang lain selain mereka, terdapat maslahat (kepentingan) yang
besar semasa hidup baginda dan masih berterusan selepas kematiannya dalam
menyatukan manusia dan tidak menjauhkan mereka daripada baginda kerana jika
sampai kepada mereka bahawa baginda membunuh para sahabatnya, mereka akan lari.
Baginda telah menyatakan perkara ini secara khusus dan berkata kepada Umar
ketika dia mencadangkan untuk membunuh Abdullah bin Ubai: "Jangan
sampai orang-orang mengatakan bahawa Muhammad membunuh para sahabatnya.”
Baginda tidak menggunakan apa yang Allah halalkan baginya bagi membalas dendam terhadap orang-orang munafik dan menghukum mereka seperti yang dinyatakan dalam Surah al-Ahzab, Allah berfirman: "Sesungguhnya jika orang-orang munafik, orang-orang yang berpenyakit dalam hatinya dan orang-orang yang menyebarkan berita bohong di Madinah tidak berhenti (dari menyakitimu), niscaya Kami akan perintahkan kamu untuk menguasai mereka, kemudian mereka tidak menjadi tetanggamu di Madinah kecuali dalam waktu yang sebentar. Mereka dalam keadaan terlaknat. Di mana sahaja mereka dijumpai, mereka ditangkap dan dibunuh habis-habisan.”
Begitu juga apa yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah
bahawa seorang Arab Badwi telah memberi baiah kepada Rasulullah, kemudian Arab
Badwi itu ditimpa demam di Madinah, lalu dia datang kepada Nabi dan berkata: "Wahai
Muhammad, batalkan baiah saya," tetapi Rasulullah menolak, kemudian
dia datang lagi dan berkata: "Batalkan baiah saya," dan
baginda menolak, kemudian dia datang lagi dan berkata: "Batalkan baiah
saya," dan baginda tetap menolak, lalu Arab Badwi itu keluar, maka
Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Madinah itu seperti relau besi, ia
menyingkirkan kotorannya dan memurnikan yang baiknya daripadanya." Baginda
tidak membunuhnya, jadi mengapa baginda tidak membunuh semua orang itu yang
termasuk dalam firman Tuhan kita: "Sesungguhnya mereka telah
mengucapkan perkataan kufur dan telah menjadi kufur selepas Islam mereka."
(Surah al-Taubah:74)
Adapun pada zaman para khalifah, khususnya pada zaman Umar al-Faruq,
telah diriwayatkan bahawa Anas telah kembali dari Tustar, lalu dia datang
kepada Umar. Maka Umar bertanya: "Apa yang berlaku kepada enam orang
dari Bani Bakr bin Wa'il yang murtad dari Islam, lalu menyertai orang-orang
musyrik?" Anas berkata: “Wahai Amirul Mukminin, mereka adalah kaum
yang murtad dari Islam dan menyertai orang-orang musyrik, mereka terbunuh dalam
pertempuran.” Maka Umar beristirja' - iaitu mengucapkan: Inna
lillahi wa inna ilaihi raji'un. Anas berkata: “Adakah jalan lain bagi mereka
selain daripada dibunuh? Umar berkata: "Ya, aku akan tawarkan Islam
kepada mereka, jika mereka enggan, aku akan masukkan mereka ke dalam
penjara."
Maka Umar tidak berpendapat untuk membunuh mereka pada
mulanya, walaupun mereka telah murtad dan memerangi orang-orang Islam, tetapi
dia berpendapat untuk menyuruh mereka bertaubat terlebih dahulu, jika tidak, mereka
dipenjarakan.
Semua peristiwa-peristiwa yang berlaku pada zaman
pensyariatan telah menjadikan fuqaha Islam memahami persoalan ‘membunuh orang
murtad’ bukanlah persoalan yang berkaitan dengan kebebasan akidah dan pemikiran
dan tidak berkaitan dengan penindasan. Nas-nas yang keras dalam hal ini
tidaklah merujuk kepada tindakan ‘keluar daripada Islam’, sebaliknya merujuk
kepada ‘penentangan terhadap Islam’ yang dianggap sebagai satu jenayah terhadap
ketenteraman awam negara. Ia juga merupakan satu penentangan terhadap
hukum-hakam agama yang dianuti oleh umat dan pada ketika itu dianggap setara
dengan jenayah ‘pengkhianatan besar’ yang diharamkan oleh semua syariat,
perlembagaan dan undang-undang.
Syeikh Syaltut, bekas Syeikhul Azhar rahimahullah
berpendapat bahawa membunuh orang murtad bukanlah satu hukuman hudud. Beliau
berkata: "Pandangan dalam persoalan ini mungkin berubah apabila
diperhatikan bahawa ramai ulama berpendapat bahawa hukuman hudud tidak dapat
ditetapkan dengan hadis ahad dan bahawa kekufuran itu sendiri bukanlah sesuatu
yang menghalalkan darah. Sebaliknya, yang menghalalkannya ialah tindakan
memerangi kaum Muslimin dan menyerang mereka serta cubaan memesongkan mereka
dari agama mereka dan bahawa zahir al-Quran al-Karim dalam banyak ayat menolak
paksaan dalam beragama."
Maka membunuh orang murtad bukanlah semata-mata kerana
kemurtadan, tetapi kerana melakukan perkara tambahan yang memecah belahkan
jemaah muslimin, di mana mereka menggunakan kemurtadan untuk memalingkan orang
Islam daripada agama mereka, maka ia adalah peperangan terhadap agama
sebagaimana firman Allah Ta'ala: “Dan berkatalah segolongan dari Ahli Kitab
(sesama sendiri): Berimanlah kamu kepada Al-Quran yang diturunkan kepada
orang-orang yang beriman itu: pada sebelah pagi, dan kufurlah (ingkarlah) pada
petangnya, supaya mereka (merasa ragu-ragu, lalu) kembali menjadi kafir semula."
Ini juga disokong oleh apa yang dinyatakan oleh Syeikh
al-Islam Ibnu Taimiyyah: "Nabi sallahu ‘alaihi wasallam pernah menerima
taubat sekumpulan orang murtad dan memerintahkan pembunuhan sekumpulan yang
lain, yang mencampur kemurtadan mereka dengan perkara-perkara lain yang
mengandungi kemudaratan dan kerugian kepada Islam dan orang Islam, seperti
perintah baginda untuk membunuh Miqyas bin Hubabah pada hari pembukaan Makkah,
ketika dia mencampurkan kemurtadannya dengan pembunuhan orang Islam dan
mengambil harta serta dia tidak bertaubat sebelum ditangkap.
Baginda memerintahkan pembunuhan al-Quraniyyin ketika mereka
mencampurkan dengan kemurtadan mereka dengan perkara yang serupa dan begitu
juga memerintahkan pembunuhan Ibnu Khatal ketika dia mencampurkan kemurtadannya
dengan mencaci maki dan membunuh orang Islam dan memerintahkan pembunuhan Ibnu
Abi al-Sarh ketika dia mencampurkan kemurtadannya dengan mencela dan memfitnah.”
Daripada apa yang telah disebutkan, jelaslah kepada kita
bahawa ‘isu membunuh orang murtad’ tidak dilaksanakan dalam realiti kehidupan
dan kewujudannya dalam sumber-sumber pensyariatan bukanlah hukuman terhadap
kebebasan pemikiran dan akidah, tetapi ia tertakluk kepada undang-undang
pentadbiran.
Allah Ta'ala Maha Tinggi dan lebih mengetahui.
Sumber:
Al-Bayan Li Ma Yashghal al-Azhan oleh Syeikh Dr Ali Juma’ah.
Ahad, 8 Jun 2025
Adakah Nabi Itu Cahaya?
Soalan:
Adakah Nabi itu cahaya atau adakah baginda manusia seperti
kita sebagaimana yang diberitahu oleh al-Quran?
Jawapan Syeikh Dr Ali Juma’ah
Nabi sallahu ‘alaihi wasallam adalah cahaya, ini
benar.
Allah berfirman: "Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah
datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad, s.a.w) dengan menerangkan kepada kamu
banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum) yang telah kamu sembunyikan
dari Kitab Suci, dan ia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak
perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya
kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang
jelas nyata keterangannya.” (Al-Maidah:15)
Allah berfirman: "Dan juga sebagai penyeru (umat
manusia seluruhnya) kepada agama Allah dengan taufiq yang diberiNya; dan
sebagai lampu yang menerangi." (Al-Ahzab: 46).
Maka baginda adalah cahaya dan yang menerangi. Tidak ada
salahnya jika anda mengatakan bahawa Nabi Muhammad adalah cahaya selagi mana
Allah Yang Maha Agung telah menyifatkannya demikian dan menamakannya sebagai cahaya.
Telah sabit dalam Sunnah bahawa para sahabat berkata: “Wajahnya
seperti bulan.” (Riwayat al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra dan
al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir)
Baginda telah mengkhabarkan bahawa bahawa ketika ibunya
mengandungkannya: "Dia melihat cahaya yang menerangi istana-istana
Busra di tanah Syam." (Riwayat Ibnu Hisyam, al-Tabari dalam Tarikhnya
dan Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’)
Para sahabat baginda, semoga Allah meredhai mereka, telah
memberitahu bahawa apabila Nabi sallahu ‘alaihi wasallam memasuki
Madinah, segala-galanya menjadi bercahaya, dan apabila baginda wafat,
segala-galanya menjadi gelap. (Riwayat Ahmad, al-Tirmizi, Ibnu Majah dan Ibnu
Hibban)
Selain itu, terdapat banyak athar dan hadis yang menunjukkan
bahawa baginda adalah cahaya, dan kita tidak seharusnya menafikan bahawa cahaya
itu adalah cahaya bersifat fizikal (hissi). Tidak ada yang bertentangan
dengan hakikat bahawa keadaan baginda yang menerangi dan memiliki cahaya
fizikal dengan asas akidah dan ia juga tidak bertentangan dengan sifat
kemanusiaan baginda yang diberitahu oleh al-Quran.
Sesungguhnya yang dilarang adalah menafikan kemanusiaan
baginda kerana ini bertentangan dengan kenyataan jelas al-Quran. Allah Ta'ala
berfirman: "Katakanlah: Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti
kamu, diwahyukan kepadaku." (al-Kahfi: 110 dan Fussilat: 6)
Maka jalan selamat dalam hal ini adalah dengan menetapkan
semua yang Allah tetapkan untuk Nabi-Nya, iaitu menetapkan bahawa baginda
adalah cahaya dan yang menerangi dan masih kekal sedemikian dan bahawa baginda
adalah manusia seperti kita, tanpa perincian dan perhalusinya.
Penetapan cahaya fizikal bagi baginda tidak bertentangan
dengan hakikat bahawa baginda adalah manusia kerana bulan mempunyai sifat
berbatu, namun ia tetap cahaya dan mempunyai cahaya fizikal. Nabi sallahu ‘alaihi
wasallam lebih baik daripada bulan dan lebih baik daripada semua makhluk
Allah.
Kita memohon kepada Allah untuk membimbing kita ke jalan
yang lurus. Inilah penjelasan tentang isu kecahayaan Nabi sallahu ‘alaihi
wasallam. Ucapan terakhir kami adalah segala puji bagi Allah, Tuhan
sekalian alam dan Allah Ta'ala Maha Tinggi dan Maha Mengetahui.
Sumber:
Al-Bayan Li Ma Yashghal al-Azhan oleh Syeikh Dr Ali
Juma’ah.
Sabtu, 7 Jun 2025
Hukum Ziarah Kubur Pada Hari Raya
Soalan:
Hukum ziarah kubur pada hari raya.
Jawapan al-Sayyid Abdullah bin Mahfuz al-Haddad (m. 1996M):
Sesungguhnya ziarah kubur adalah sunnah qauliyyah (ucapan)
dan fi'liyyah (perbuatan) yang diperintahkan oleh Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan
dilakukan oleh baginda. Maka celakalah bagi sesiapa yang mengatakan:
Sesungguhnya ziarah kubur itu syirik atau bid'ah!! Sesungguhnya dia menentang
Allah dan Rasul-Nya.
Adapun mengkhususkannya pada hari raya, maka tiada apa yang
menghalangnya. Sesungguhnya kerana kami merasakan bahawa dalam kegembiraan dan
kebahagiaan hari raya, sepatutnya kita tidak melupakan orang-orang (kesayangan)
kita yang telah meninggal dunia, maka kita hadiahkan ziarah dan doa untuk
mereka, serta menghadiahkan pahala bacaan (al-Quran atau zikir) yang dibacakan kepada
mereka supaya kita memasukkan kegembiraan kepada mereka.
Tidak ada halangan dari sudut syarak mahupun akal yang
menghalang pengkhususan itu melainkan semata-mata keberanian melampau terhadap
Allah dengan mengatakan apa yang tidak Dia katakan, bahkan mengada-adakan
terhadap Allah dengan apa yang tidak Dia izinkan. Ini kerana semua ibadat yang umum
seperti zikir-zikir, tilawah al-Quran, selawat ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, ziarah
kubur dan lain-lain... keizinan untuk melakukannya adalah umum dan tuntutan
melakukannya berterusan, tidak terhalang oleh pengkhususan pada sesuatu masa
atau tempat.
Sesiapa yang berkata selain daripada itu, maka sesungguhnya
dia berkata menurut pendapat dan hawa nafsunya, dan telah menyalahi tujuan
syarak dan nasnya. Sungguhnya Nabi sallahu
‘alaihi wasallam apabila melakukan sesuatu amalan, baginda
berterusan melakukannya dan baginda menyukai amalan yang berterusan sama ada secara
harian, bulanan, atau tahunan. Penyusunan (amalan) ini menghidupkan
sunnah-sunnah ini dan mengingatkan orang yang berakal dan mendorong kepada amalan
yang berterusan walaupun sekali setahun. Maka semua itu dianggap sebahagian
daripada amalan berterusan yang disukai oleh Allah dan Rasul-Nya sallahu ‘alaihi wasallam.
Sumber:
Fatawa Ramadhan oleh al-Sayyid Abdullah bin Mahfuz al-Haddad.
Jumaat, 6 Jun 2025
Hadis Tidak Ada Asal: Orang Banyak Selawat Banyak Isterinya Di Syurga
أَكْثَرَكُم عَليّ صَلَاة أَكْثَرَكُم أَزْوَاجًا فِي الْجنَّة
"Orang yang paling banyak berselawat kepadaku di
antara kamu adalah orang yang paling banyak isteri di syurga."
Ulasan:
Antara yang terawal menyebutkan hadis ini adalah Ibnu
al-Jauzi (m. 597H) dalam kitab Bustan al-Wa’izin, itupun beliau hanya menyebutkannya
tanpa sanad dan dengan menggunakan sighah tamridh (رُوِيَ) yang menunjukkan ketidaksahihannya.
Menurut al-Hafiz al-Sakhawi (m. 902H) dalam al-Qaul
al-Badi’, ia disebutkan oleh pengarang kitab al-Durr al-Munazzam
tetapi beliau belum menemui sumbernya sehingga sekarang. Pengarang al-Durr
al-Munazzam ialah Abu al-Qasim al-Busti (m. 723H).
Apabila seorang ahli hadis bertaraf al-Hafiz berkata bahawa
dia tidak menemui sanad bagi sesuatu hadis itu maka sudah memadai untuk
dinafikan kewujudan hadis tersebut. Ini sebagaimana yang telah disebutkan oleh
al-Hafiz al-Sayuti (m. 911H) dalam Tadrib al-Rawi:
“Jika seorang al-Hafiz al-Mutthali’ (yang luas
telaahnya), al-Naqid (pakar hadis) berkata pada sesuatu hadis ‘aku tidak
mengetahuinya’ dipegang pada perkataanya pada menafikannya (yakni dinafikan
kewujudan hadis tersebut), sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh al-Islam
(al-Hafiz Ibnu Hajar).”
Oleh itu, hadis ini tidak boleh disebarkan dan dinisbahkan kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.
Ulama dan Penjagaan Masa
1 - Musa bin Ismail al-Tabudzaki berkata: "Jika saya katakan kepada kamu bahawa saya tidak pernah melihat Hammad bin Salamah ketawa, maka saya berkata benar. Beliau sentiasa sibuk, sama ada menyampaikan hadis, membaca, bertasbih, atau solat. Beliau telah membahagikan waktu siangnya untuk semua itu."
2 - Ahmad bin Abdullah Al-'Ijli berkata: “Ayah saya
memberitahu saya: Hammad bin Salamah tidak akan menyampaikan hadis sehingga beliau
membaca seratus ayat Al-Quran dengan melihat mushaf."
3 - Al-Hakim berkata: "Saya telah melakukan perjalanan
ke Tus sebanyak dua kali dan saya bertanya kepada Abu al-Nadhr al-Tusi: Bilakah
tuan ada masa untuk menulis karya sedangkan tuan turut mengeluarkan fatwa yang
begitu banyak? Beliau menjawab: Saya membahagikan malam kepada tiga bahagian: Satu
bahagian untuk menulis, satu bahagian untuk tidur dan satu bahagian untuk
membaca al-Quran."
4 - Abu al-Qasim Ibnu Asakir berkata: "Saya telah
membaca tulisan Ghaith al-Armanazi: Sulaim al-Faqih telah tenggelam di Laut
Merah, di pesisir Jeddah, selepas menunaikan haji pada bulan Safar tahun 447H.
Usianya telah melebihi 80 tahun. Beliaulah orang pertama yang menyebarkan ilmu
ini di Sur (Syria) dan ramai yang mendapat manfaat daripadanya. Saya diberitahu
bahawa beliau sentiasa menghisab dirinya pada setiap hembusan nafas, tidak
membiarkan waktu berlalu tanpa faedah, sama ada menyalin, mengajar, atau
membaca. Saya juga diberitahu bahawa beliau sentiasa menggerakkan bibirnya (untuk
membaca al-Quran atau berzikir) ketika meraut penanya."
5 - Ibnu Aqil berkata: "Allah telah memelihara saya
semasa muda dengan pelbagai cara dan menjadikan kecintaan saya hanya pada ilmu.
Saya tidak pernah bergaul dengan orang yang lalai sama sekali dan tidak bergaul
melainkan dengan orang-orang seperti saya daripada kalangan penuntut ilmu. Kini
saya berusia 80-an tahun dan saya mendapati semangat saya terhadap ilmu lebih
kuat berbanding ketika saya berusia 20 tahun. Saya telah mencapai usia 82 tahun
dan hari ini saya tidak melihat pengurangan dari segi pemikiran, ingatan, dan
ketajaman penglihatan untuk melihat anak bulan yang samar, melainkan kekuatan
fizikalku yang lemah."
Ibnu al-Jauzi berkata: "Ibnu Aqil adalah seorang yang kuat
beragama dan menjaga batasan syariat. Dua orang anaknya meninggal dunia dan beliau
menunjukkan kesabaran yang mengagumkan. Beliau sangat pemurah, membelanjakan
apa yang ada padanya. Beliau tidak meninggalkan apa-apa selain buku-bukunya dan
pakaian yang dipakainya. Beliau meninggal pada tahun 513H dan jumlah orang yang
hadir pada pengebumiannya tidak terhitung. Guru kami Ibnu Nasir berkata: Saya
menganggarkan mereka berjumlah 300,000 orang."
6 - Abu Musa al-Madini berkata: “Abu Bakar Qadhi al-Maristan
adalah seorang imam dalam pelbagai bidang. Beliau pernah berkata: Saya telah
menghafal Al-Quran ketika saya berumur tujuh tahun. Tiada suatu ilmu melainkan
saya telah menelitinya dan saya telah memperoleh kesemuanya atau sebahagiannya,
kecuali ilmu Nahu ini, kerana saya mempunyai sedikit pengetahuan tentangnya. Saya
tidak pernah tahu bahawa saya telah membuang satu waktu pun dari umur saya untuk
hiburan atau permainan.”
7 - Dalam biografi Ibnu al-Tallayah, al-Sam'ani berkata: “Seorang
syeikh hebat yang telah menghabiskan umurnya dalam ibadah, solat dan berpuasa. Mungkin
beliau tidak menggunakan satu waktu pun dari umurnya melainkan untuk ibadah. Beliau
sudah membongkok sehingga tidak dapat dibezakan antara berdirinya dengan
rukuknya kecuali sedikit. Beliau adalah seorang penghafal Al-Quran. Beliau
tidak menerima apa-apa dari sesiapa dan beliau mempunyai memiliki rezeki yang
mencukupi yang beliau merasa puas dengannya.”
8 - Al-Qasim bin al-Hafiz Ibnu ‘Asakir berkata: “Ayah saya
sentiasa menjaga solat berjemaah dan membaca al-Quran. Beliau mengkhatamkan
al-Quran setiap Jumaat dan mengkhatamkannya setiap hari di bulan Ramadan. Beliau
beriktikaf di Menara Timur (Masjid Umawi) dan beliau banyak melakukan solat
sunat dan zikir. Beliau menghidupkan malam nisfu Syaaban dan dua hari raya
dengan solat dan tasbih. Beliau sentiasa menghisab dirinya atas setiap detik
yang berlalu tanpa melakukan ketaatan.
Beliau pernah berkata kepada saya: Ketika ibu saya
mengandungkan saya, dia melihat dalam mimpinya seseorang berkata: Kamu akan
melahirkan seorang anak lelaki yang akan mempunyai kedudukan dan beliau
memberitahu saya bahawa ayahnya melihat mimpi yang bermaksud akan dilahirkan
kepada kamu seorang anak yang Allah akan menghidupkan Sunnah dengannya.”
9 - Imam al-Zahabi berkata dalam biografi Imam al-Hafiz
Abdul Ghani al-Maqdisi: “Beliau tidak mensia-siakan sedikit pun dari masanya
tanpa faedah, kerana beliau solat Subuh, mengajar al-Quran dan kadang-kadang
mengajar beberapa buah hadis, kemudian beliau bangun, berwuduk dan solat 300
rakaat dengan membaca Surah al-Fatihah dan al-Mu'awwidzatain sehingga sebelum
Zohor.
Beliau tidur sebentar kemudian solat Zohor dan sibuk sama
ada dengan memperdengarkan (hadis) atau menulis sehingga Maghrib. Jika beliau
berpuasa, beliau berbuka dan jika tidak, beliau solat (sunat) dari Maghrib
hingga Isyak dan solat Isyak.
Beliau tidur hingga tengah malam atau selepasnya, kemudian
bangun seolah-olah ada seseorang yang membangunkannya, lalu beliau solat
sebentar kemudian berwuduk dan solat lagi hingga hampir Subuh. Kadang-kadang beliau
berwuduk tujuh atau lapan kali pada waktu malam dan beliau berkata: Solat tidak
terasa nikmat bagi saya kecuali selagi anggota badan saya basah (dengan air
wuduk). Kemudian beliau tidur sebentar hingga Subuh. Inilah kebiasaannya.”
Mahmud bin Salamah al-Tajir al-Harrani berkata: “Al-Hafiz
Abdul Ghani tinggal bersama saya di Asbahan dan dia tidak tidur pada waktu
malam kecuali sedikit, bahkan dia solat, membaca dan menangis.
Nasr bin Radwan al-Muqri' berkata: “Saya tidak pernah
melihat sesiapa pun yang mengikuti jalan hidup al-Hafiz (Abdul Ghani al-Maqdisi),
beliau sentiasa sibuk sepanjang masanya.”
10 - Al-Sarri bin al-Mughallis berkata: "Aku terlepas
sebahagian daripada wirid harianku dan aku tidak dapat menggantinya - iaitu
kerana seluruh waktunya telah terisi."
11 - Al-Husain bin Muhammad al-Samarqandi berkata:
"Muhammad bin Ismail Al-Bukhari mempunyai tiga sifat khusus selain
daripada sifat-sifat terpuji lain yang ada padanya: Beliau sedikit bercakap, beliau
tidak tamak dengan apa yang ada pada orang lain dan beliau tidak sibuk dengan
urusan orang lain, semua kesibukannya adalah untuk ilmu."
12 - Ibnu al-Abnusi berkata: "Al-Hafiz al-Khatib (al-Baghdadi)
berjalan sambil memegang juzuk (kitab) di tangannya untuk dibacanya."
13 - Yahya bin al-Qasim, pengajar di Madrasah Nizamiyah,
berkata tentang guru-gurunya: "Ibnu Sukainah adalah seorang alim yang
mengamalkan ilmunya, sentiasa mengulang-ulang kitab al-Tanbih dalam bidang
fiqh, banyak mendalami kitab al-Muhazzab dan al-Wasit. Beliau tidak
mensia-siakan sedikit pun daripada waktunya. Apabila kami masuk menemuinya, beliau
berkata: Jangan tambah apa-apa selepas ucapan Salam Alaikum kecuali berkaitan
permasalahan ilmu, kerana beliau sangat bersungguh-sungguh dalam perbahasan dan
penetapan hukum-hakam."
Sumber:
Siyar A’lam al-Nubala’ oleh al-Hafiz al-Zahabi.