Rabu, 18 Jun 2025

Al-Habib Ahmad bin Zain al-Habasyi: Pengarang al-Risalah al-Jami’ah

Nama dan Keturunannya

Beliau ialah Abu Alawi Ahmad bin Zain bin Alawi bin Ahmad bin Muhammad bin Alawi bin Abu Bakar al-Habasyi bin Ali bin Ahmad bin Muhammad bin Hassan al-Turabi bin Ali bin al-Faqih Al-Muqaddam Muhammad bin Ali bin Muhammad bin Ali  bin Alawi bin Muhammad bin Alawi bin Ubaidillah bin Ahmad al-Muhajir bin Isa bin Muhammad bin Ali al-Uraidhi bin Ja'far al-Sadiq bin Muhammad al-Baqir bin Ali Zainal Abidin bin Husain bin Ali bin Abi Talib dan Fatimah al-Zahra binti Muhammad Rasulullah sallallahu alaihi wa alihi wasahbihi wasallam dan semoga Allah meredhai mereka semua.

Ibunya ialah Fatimah binti al-Sayyid Ali bin Aqil Baharun Jamalullail Ba'alawi al-Husaini Al-Makki.

Kelahiran dan Awal Kehidupannya

Beliau dilahirkan di bandar al-Ghurfah, salah satu bandar di lembah Hadhramaut, Yaman pada awal tahun 1069 Hijrah.

Beliau membesar dan dididik oleh ayahnya di sana. Beliau telah menghafal al-Quran al-Azim serta berusaha dengan tekun dan bersungguh-sungguh sejak kecil. Sejak dari usia mudanya, hati beliau telah terpaut pada Tuhannya.

Menuntut ilmu

Sejak permulaan pembelajarannya, beliau sangat tekun dalam menuntut ilmu, pembelajaran, ibadah dan pengasingan diri. Beliau tidak mengenal penat lelah dalam mencari ketinggian ilmu. Beliau telah mengembara mencari ilmu ke kawasan-kawasan berdekatan dengan berjalan kaki. Beliau akan ke Shibam setiap hari Isnin dan Khamis dan juga ke Taris, Seiyun dan Tarim.

Guru-Guru Utamanya:

1 - Al-Imam Qutub al-Irsyad al-Habib Abdullah bin Alawi bin Muhammad Al-Haddad.

Beliau telah mendampinginya dan berulang-alik kepadanya selama empat puluh tahun dan mempelajari daripadanya lebih tujuh puluh buah kitab dalam pelbagai bidang ilmu. Gurunya wafat ketika beliau sedang membaca di hadapannya kitab al-Muwatta' karangan Imam Malik.

Imam al-Haddad sangat memuliakan, menyayangi dan mendahulukannya, akan bertanya khabarnya jika beliau tidak hadir dan merasai kehilangannya, serta menyifatkannya sebagai seorang alim yang zuhud yang patut diziarahi.

Setelah kewafatan gurunya, Imam al-Haddad pada tahun 1132 Hijrah, sebahagian besar murid gurunya kembali merujuk kepadanya, lalu menjadi murid-murid dan para pengikutnya. Beliau tampil sesudahnya sebagai pendakwah ke jalan Allah dan memegang panji-panji dalam memberi nasihat dan bimbingan.

Beliau telah menetap di bandar Khala' Rashid yang kemudiannya dinamakan Hawtah Ahmad bin Zain. Maka orang ramai pun datang kepadanya dari segenap pelosok dan beliau kemudiannya menjadi masyhur sepertimana kemasyhuran gurunya.

2 - Al-Allamah Abdullah bin Ahmad Balfaqih.

3 - Syeikh al-Faqih Muhammad bin Abdullah Bajammal.

4 – Syeikh al-Faqih Ahmad bin Abdullah Syurahil.

5 - Syeikh al-Faqih al-Muhaqqiq Abdul Rahim bin Muhammad bin Qadhi Bakathir.

6 - Syeikh Mahrus. Beliau mengambil ilmu nahu daripadanya.

7 - Al-Habib al-Allamah Abdullah bin Umar Balfaqih. Beliau mengambil ilmu tajwid daripadanya.

8 - Al-Habib al-Allamah Muhammad bin Abdul Rahman al-Aidrus.

9 - Al-Faqih al-Allamah Muhammad bin Ahmad Bajubair.

10 - Al-Faqih al-Allamah Abdullah bin Abu Bakar al-Khatib.

11 - Al-Habib Ahmad bin Umar Al-Hinduan.

12 – Ayahnya, al-Habib Zain bin Alawi.

13 - Bapa saudaranya, al-Habib Aidrus bin Alawi bin Ahmad al-Habasyi.

14 - Bapa saudara ayahnya, al-Habib Hassan bin Ahmad bin Muhammad al-Habasyi.

15 - Sepupu-sepupu ayahnya: Al-Habib Muhammad bin Hussein bin Ahmad al-Habasyi, al-Habib Isa bin Muhammad bin Ahmad al-Habasyi dan al-Habib Ahmad bin Hasyim bin Ahmad al-Habasyi.

16 - Al-Habib Hussein bin Umar bin Abdul Rahman al-Attas.

17 - Al-Habib Syaikhan bin al-Imam al-Hussein bin Syeikh Abu Bakar bin Salim.

18 - Al-Habib Ali bin Salim bin Ahmad bin al-Imam al-Hussein bin Syeikh Abu Bakar bin Salim.

Di antara ulama Haramain yang beliau mengambil ilmu melalui surat-menyurat:

19 – Al-Sayyid al-Allamah al-Arif Billah Muhammad bin Abu Bakar al-Syilli Ba'alawi.

20 - Syeikh al-Alim al-Muhaddith Muhammad bin Muhammad bin Sulaiman.

21 - Al-Faqih al-Allamah Hassan bin Ali al-Ajimi al-Hanafi.

Murid-murid

Orang yang mengambil ilmu daripadanya sangat ramai, antaranya:

1 - Anak-anaknya: Al-Habib Alawi, al-Habib Muhammad, al-Habib Abu Bakar, al-Habib Hassan, al-Habib al-Sultan Ja'far dan puterinya, al-Syarifah al-Afifah Salma.

2 - Al-Habib Muhammad bin Zain bin Sumait dan saudaranya al-Habib Umar bin Zain bin Sumait.

3 - Al-Habib Umar bin Abdurrahman al-Bar.

4 - Al-Habib Ahmad bin Ali bin Al-Hussein bin Umar al-Attas.

5 - Al-Habib Ali bin Hassan al-Attas dan saudaranya al-Habib Abu Bakar bin Hassan al-Attas.

6 - Al-Habib Syeikh bin Abdullah bin Muhammad bin Hussein bin Ahmad al-Habasyi.

7 - Al-Habib Saqqaf bin Muhammad al-Saqqaf.

8 - Al-Habib Yusuf bin Abid al-Hasani.

9 - Syeikh Umar bin Abdullah Syurahil.

10 - Syeikh Umar bin Abdul Qadir al-Amudi.

11 - Syeikh Abdullah bin Uthman al-Amudi.

12 - Syeikh Ahmad al-Maghribi al-Miknasi dan lain-lain.

Pendekatan Dalam Memberi Nasihat dan Bimbingan:

Kebanyakan dakwah dan teguran beliau terhadap kemungkaran kepada golongan khusus adalah melalui kiasan dan isyarat, petunjuk dan sindiran, bukan dengan berhadapan secara langsung dan terus terang.

Cara yang demikian itu lebih mendalam kesannya dalam memberi nasihat, dan lebih berhasil untuk mencapai matlamat; kerana jiwa manusia itu ada kalanya mulia, maka ia tidak dapat dipimpin melainkan dengan kelembutan dan belas kasihan; dan ada kalanya pula tercela yang telah bersarang di dalamnya sifat sombong dan gila kuasa, maka ia mungkin akan membalas pendekatan yang terus-terang itu dengan penolakan dan bantahan yang nyata, sepertimana yang menjadi kebiasaan pada tabiat orang-orang zaman ini.

Namun, kadangkala semangat beliau kerana Allah Azza wa Jalla mendorong beliau untuk berhadapan dan berterus terang dalam dakwahnya. Maka ketika itu beliau tidak peduli lagi, lalu beliau memberi peringatan dan teguran dengan keras, berpaling dan menjauhkan diri dan tidak mengendahkan orang yang dikenalinya kerana kerana didorong oleh rasa pengagungan terhadap perintah Allah Taala dan kehebatan-Nya yang menguasai hati sanubari beliau.

Beliau memberi peringatan kepada orang awam secara terus terang dan tidak peduli dalam dakwahnya. Beliau sangat keras dalam hal ini dan berpesan kepada sesiapa yang dapat menyampaikan kepada mereka.

Beliau juga sangat bersungguh-sungguh dalam mengembalikan manusia kepada kebenaran dengan segala cara yang mungkin, sangat mengasihani mereka dalam urusan agama mereka, mengorbankan tenaga dan hartanya untuk mereka dalam hal tersebut, tidak mengenal penat lelah dalam memperbaiki mereka dan tidak meninggalkan sebarang usaha dalam memberi hidayah, mendekatkan mereka dan menggalakkan mereka agar kembali kepada Allah Ta'ala.

Akhlak Mulianya dan Sifat-Sifat Agungnya

Beliau sangat pemurah dan dermawan. Beliau tidak menghiraukan apa yang diberikannya dari harta dunia mahupun kepada siapa ia diberikan kerana beliau tidak mementingkannya. Tidaklah beliau menerima melainkan beliau akan membelanjakannya pada ketika itu juga untuk membantu para fakir dan miskin.

Beliau berbuat baik kepada orang dagang dan mereka yang terputus bekalan, sentiasa menyambung silaturahim dengan para sahabat dan kaum kerabat, berusaha keras untuk merahsiakan semua itu semata-mata mencari keredhaan Allah.

Beliau sangat warak, amat berhati-hati dalam urusan agama, sangat bersungguh-sungguh mengikuti jejak datuknya penghulu para rasul, selawat dan salam ke atasnya.

Beliau melayani manusia dengan mengutamakan orang lain, berbudi pekerti mulia dan kemurahan hati. Beliau sangat membenci pujian terutama sebagai balasan atas kebaikannya, tetapi jika dipuji tanpa sebab kadangkala beliau menerimanya dan menganggapnya dari Allah Taala yang menzahirkan kebaikan itu.

Beliau mencela orang-orang zamannya yang menyangka ketaatan kepada Allah hanya dengan melakukan amalan-amalan kebajikan secara zahir dan berterusan melakukannya sedangkan lalai dari hakikat takwa secara batin, serta bersikap sambil lewa dan cuai dalam hal warak.

Beliau juga sangat warak dalam tutur katanya, sepertimana dalam amalan dan perbuatannya, dan amat berhati-hati dalam percakapannya; beliau menimbang kata-katanya sebagaimana beliau menimbang perbuatannya di atas neraca kebenaran, landasan keadilan, dan jalan kesaksamaan. Di dalam majlis-majlisnya, tidak pernah sekali-kali kedengaran umpatan terhadap seorang Muslim, tidak juga adu domba, mahupun perkara yang menunjukkan sangka buruk atau perbuatan meremehkannya.

Beliau amat murka kepada sesiapa yang menyebut keburukan tentang salah seorang yang mempunyai hubungan dengannya, sama ada anak-anak, kaum kerabat dan para sahabat, apatah lagi orang lain. Pada yang demikian itu terkandung satu makna yang agung, yang difahami oleh golongan yang mempunyai kefahaman dan tersembunyi daripada golongan yang cetek pemikirannya.

Beliau sangat tawaduk, membenci kemasyhuran dan menjadi tumpuan, serta cenderung kepada keadaan tidak dikenali dan bersendirian. Beliau tidak menghiraukan kedudukannya di hati manusia dan kemunculannya di khalayak ramai serta pertemuannya dengan mereka hanyalah demi dakwah di jalan Allah Jalla wa 'Alaa.

Masjidnya dan Peninggalan yang Kekal

Beliau sangat mencintai kebaikan dan amat gemar memakmurkan masjid-masjid dan zawiyah. Beliau telah membina untuk Allah Taala sebanyak tujuh belas buah masjid di pelbagai tempat di Lembah Hadhramaut yang diberkati. Masjid pertama yang dibina olehnya ialah masjid Ba'alawi di al-Ghurfah pada tahun 1103 Hijrah.

Karya-Karya Tulisannya

Beliau mempunyai banyak karya tulis yang agung dalam ilmu naqli dan aqli, yang menunjukkan kedalaman dan keluasan ilmunya, antaranya:

1 - Al-Safinah al-Jami'ah al-Kubra.

Sebuah karya ilmiah yang besar dan agung, terdiri daripada lebih dua puluh jilid seperti yang disifatkan oleh muridnya, Imam Muhammad bin Zain bin Sumait.

Di dalamnya, beliau menghimpunkan daripada kitab-kitab hadis induk, sirah para sahabat yang agung dan tabi'in, serta sebahagian daripada kitab-kitab fiqh, ilmu syariat, tarekat dan hakikat, ilmu bahasa dan sastera, serta perubatan.

Beliau banyak mengambil daripada karya-karya Imam al-Ghazali, terutamanya Ihya' Ulumiddin dan daripada kitab-kitab suluk yang lain seperti 'Awarif al-Ma'arif dan Qut al-Qulub.

2 - Al-Maqasid as-Salihah fi Syarh Syai'in min 'Ulum al-Fatihah.

Sebuah kitab ringkas sekitar empat kuras (buku kecil). Beliau bersandar padanya daripada kitab al-Anwar al-La'ihah karangan Ibnu Bint al-Mailaq al-Syafi'i.

3 - Al-Qaul ar-Ra'iq Syarh Hikmah al-Imam Ja'far as-Sadiq.

4 - Tiryaq al-Qulub wa al-Asrar fi Syarhi Syai'in min 'Ulum Sayyid al-Istighfar.

Dalam satu kuras. Telah dicetak.

5 - Al-Maslak al-Sawi.

Faedah-faedah dan pelengkap kepada al-Masyra' al-Rawi karangan al-'Allamah asy-Syalli.

6 - Fath al-Hayy al-Qayyum fi Syarhi Syai'in min Syarab al-Qaum.

Sebuah komentar ringkas mengenai beberapa bait syair karangan Syeikh al-Salih 'Awadh Ba Mukhtar.

7 - Al-Isyarah al-Sufiyyah ila al-Atwar al-Insaniyyah wa at-Thaharah 'an al-Sabu'iyyah.

Sebuah risalah ringkas. Telah dicetak.

8 - Al-Risalah al-Jami'ah wa at-Tadzkirah al-Nafi'ah.

Kitab ringkasan masyhur dalam fiqh al-Syafi’i. Telah dicetak.

9 - Nubzah fi Syarh Thariq Al Abi 'Alawi.

Dalam beberapa halaman yang ditulisnya dalam satu majlis atas isyarat gurunya, Imam al-Haddad. Telah dicetak.

10 - Salawat Nabawiyyah wa Awrad wa Ad'iyah.

Terdapat di kebanyakan masjid di Hadhramaut.

Syarahan beliau terhadap qasidah-qasidah gurunya, Imam Al-Haddad:

11 – Al-Nafahat al-Sirriyyah wa al-Nafathat al-Amriyyah Syarh al-Qasidah al-'Ainiyyah.

Ia merupakan sebuah jilid yang besar. Telah dicetak dua kali, pertama di Mesir dan kedua di Singapura. Terdapat naskhah-naskhah tulisan tangan di Hadramaut, antaranya di Perpustakaan Al-Ahqaf di Tarim dan yang lain di Dau'an, Syibam dan al-Ghurfah.

12 - Al-Mawarid Ar-Rawiyyah Al-Haniyyah Syarh Abyat Al-Wasiyyah.

Dalam satu jilid sederhana. Terdapat naskhah-naskhah tulisan tangan di Shibam, Hautah, al-Ghurfah dan Tarim dan  ia telah dicetak dalam satu jilid yang ringkas.

13 - Sabil ar-Rusyd wa al-Hidayah fi Wasiyyah Ahl al-Bidayah.

Dalam satu jilid yang ringkas dan terdapat satu naskhah tulisan tangan di Tarim.

14 - Al-Jazabat al-Syauqiyyah ila al-Maqa'id al-Sidqiyyah.

Kitab ini dalam sekitar satu kuras. Terdapat satu naskhah tulisan tangan di Hautah dan Tarim. Ia telah dicetak.

15 – Al-Raudh al-Nadhir Syarah Qasidah Alhamdulillah al-Syahid al-Hadhir.

Ia adalah sebuah ringkasan yang ringkas dalam sekitar satu kuras. Terdapat satu naskhah tulisan tangan di Hautah dan Tarim.

16 - Risalah mengenai hadis Thuhur Ina'i Ahadikum.

17 - Beliau jugalah yang menghimpunkan kitab yang dinamakan al-Nafais al-'Ulwiyyah fi al-Masa'il as-Sufiyyah yang dijawab oleh Imam al-Haddad. Ia telah dicetak dalam siri karya-karya Imam al-Haddad.

Kitab Khas Tentangnya

Muridnya Sayyid Muhammad bin Zain bin Sumait telah mengkaji secara mendalam akan segala hal ehwalnya, surat-menyuratnya dan syair-syairnya di dalam kitabnya yang dikhususkannya tentang beliau, yang dinamakan Qurrah al-'Ain fi Manaqib Syaikhina Ahmad bin Zain.

Kewafatannya

Beliau meninggal dunia selepas mengalami penyakit yang ringan. Rohnya yang mulia kembali ke Rahmatullah pada waktu asar hari Jumaat 19 Sya’ban tahun 1144 Hijrah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan