Isnin, 4 Ogos 2025

Hadis Palsu: Kelebihan Mengangkat Kertas Bertulis Bismillah

Al-Mawahib al-Ladunniyyah

مَنْ رَفَعَ قِرْطَاسًا مِنَ الأَرْضِ فِيهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ إِجْلالا لِلَّهِ أَنْ يُدَاسَ كَتَبَهُ اللَّهُ مِنَ الصِّدِّيقِينَ وَخَفَّفَ عَنْ وَالِدَيْهِ، وَإِنْ كَانَا مُشْرِكَيْنِ

“Sesiapa yang mengangkat sekeping kertas dari tanah yang padanya tertulis Bismillahir-Rahmanir-Rahim kerana memuliakan Allah agar (nama-Nya) tidak dipijak, nescaya Allah akan mencatatnya di kalangan orang-orang yang benar (as-siddiqin) dan diringankan (azab) untuk kedua ibu bapanya, sekalipun kedua-duanya adalah orang musyrik.”

Sumber Hadis:

Hadis ini saya temui telah disebutkan oleh Imam al-Bajuri dalam al-Mawahib al-Ladunniyyah Syarah al-Syamail al-Muhammadiyyah.

Hadis ini telah diriwayatkan oleh Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil Fi Dhu’afa’ al-Rijal dan lain-lain melalui sanad:

Abu Salim al-‘Ala’ bin Maslamah ar-Rawwas daripada Abu Hafs al-'Abdi daripada Aban daripada Anas daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Penilaian Hadis:

Ibnu al-Jauzi berkata dalam al-‘Ilal al-Mutanahiyyah: “Adapun mengenai sanad riwayat Anas, padanya terdapat al-‘Ala’ bin Maslamah.

Ibn Hibban berkata: Dia meriwayatkan riwayat-riwayat palsu dan maqlub daripada para perawi yang dipercayai. Tidak halal untuk berhujah dengannya.

Abu al-Fath al-Azdi berkata: Al-‘Ala’ adalah seorang lelaki yang jahat, tidak peduli apa yang diriwayatkannya. Tidak halal bagi sesiapa yang mengenalnya untuk meriwayatkan daripadanya.

Padanya juga terdapat Abu Hafs al-‘Abdi.

Ahmad berkata: Kami telah membakar hadisnya.

Yahya berkata: Dia tiada nilai."

Dalam sanadnya juga terdapat Aban bin Abi ‘Ayyash, seorang perawi matruk (sangat lemah).

Pandangan Ulama Tentang Hadis Ini:

1 - Ibnu al-Jauzi berkata dalam al-‘Ilal al-Mutanahiyyah: “Tiada satu pun di dalam hadis-hadis ini yang sahih daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.”

2 - Al-Syaukani berkata dalam al-Fawa'id al-Majmu'ah: “Ia telah diriwayatkan melalui beberapa jalan dan dengan lafaz-lafaz yang berbeza, namun tanda-tanda kepalsuan jelas kelihatan padanya.”

Bantahan al-Suyuti Terhadap Ibnu al-Jauzi:

As-Suyuti menyebutkannya dalam al-La'ali' al-Masnu’ah dan tidak bersetuju dengan penghukumannya sebagai palsu (mawdhu') kerana wujudnya beberapa riwayat sokongan (syawahid) untuknya, iaitu daripada hadis Ali dan Abu Hurairah.

Namun, pandangan ini disanggah oleh Ibn ‘Arraq dalam Tanzih al-Syari'ah al-Marfu’ah yang menyatakan bahawa riwayat-riwayat sokongan ini tidak boleh diterima kerana terdapat perawi yang dituduh berdusta di dalam sanad-sanadnya.

Kesimpulan:

Hadis ini adalah palsu sebagaimana yang dihukumkan oleh para ulama seperti Ibn al-Jauzi dan al-Syaukani. Walaupun al-Suyuti mempertahankan hadis ini atas dasar adanya riwayat sokongan, pandangan tersebut ditolak kerana semua riwayat sokongan juga bermasalah.

Oleh itu riwayat ini tidak boleh disebarkan dan dinisbahkan kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.