Sabtu, 4 Oktober 2025

Sinopsis Surah al-Sajdah

Surah al-Sajdah merupakan surah Makkiyah (diturunkan sebelum hijrah), dan sepertimana surah-surah Makkiyah yang lain, ia menegaskan dasar-dasar akidah Islam: keimanan kepada Allah, Hari Akhirat, Kitab-kitab, para Rasul, Kebangkitan serta Pembalasan. Paksi utama surah ini ialah pembuktian tentang 'Kebangkitan selepas mati', satu hakikat besar yang sering diperdebatkan oleh kaum musyrikin dan golongan materialis, lalu dijadikan alasan oleh mereka untuk mendustakan Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam.

Surah ini dimulakan dengan menolak keraguan dan syak wasangka terhadap al-Quran al-‘Azim, mukjizat terbesar Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, yang jelas kemukjizatannya, terang ayat-ayatnya, luhur hukum-hakamnya dan indah penjelasannya. Walau bagaimanapun, kaum musyrikin menuduh Baginda mereka-reka al-Quran ini. Maka, surah al-Sajdah datang untuk menyangkal tuduhan tersebut dengan hujah yang kukuh bahawa kitab ini adalah wahyu Allah, membuktikan kerasulan Nabi, dan belum pernah datang seorang rasul sepertinya kepada kaum itu sebelum ini.

Selepas itu, al-Quran mengemukakan dalil-dalil kekuasaan dan keesaan Allah. Ia menjelaskan kesan-kesan kekuasaan Allah pada alam semesta, pentadbiran-Nya terhadap langit dan bumi, penciptaan manusia serta pemeliharaannya melalui fasa-fasa kejadian. Kemudian, manusia akan dibangkitkan semula untuk menghadapi hari yang kadarnya seribu tahun menurut perhitungan manusia. Semua ini dikemukakan dengan gaya bahasa yang menyanggah syubhat kaum musyrikin, yang menyangka jasad yang telah hancur mustahil untuk dikembalikan menjadi ciptaan baru.

Seterusnya, surah ini menggambarkan perbezaan antara golongan kafir yang berdosa dan golongan mukmin yang taat. Orang-orang kafir akan diliputi kehinaan dan berharap agar dikembalikan ke dunia untuk beramal soleh, namun hanya akan merasakan azab yang pedih. Sebaliknya, orang-orang beriman digambarkan sebagai mereka yang tidak meninggalkan ketaatan siang dan malam, berdoa kepada Allah dengan penuh takut dan harap, serta menafkahkan harta mereka pada jalan yang diredai Allah. Sebagai balasan, mereka akan mendapat kurniaan yang agung, syurga yang menyejukkan pandangan mata, kediaman yang kekal, serta kenikmatan yang tiada bandingan.

Surah ini juga menegaskan bahawa kedua-dua golongan itu sama sekali tidak boleh disamakan, mustahil orang derhaka diberi ganjaran yang sama seperti orang yang taat. Penutup surah mengulangi semula tema awalnya: ia menekankan kerasulan, mengingatkan tujuan diturunkan Taurat kepada Musa ‘alaihissalam untuk memberi petunjuk kepada Bani Israil, serta menunjukkan persamaan antara risalah Musa dan risalah Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam. Surah ini turut menampilkan bukti tauhid dan kekuasaan Allah melalui pembinasaan umat-umat zalim terdahulu, dan akhirnya menegaskan kepastian hari kebangkitan dan pengumpulan (al-hasyr) yang diingkari orang kafir.

Maka, permulaan, pertengahan dan penutup surah ini berpadu dalam satu rangka besar menetapkan dasar-dasar akidah iaitu Tauhid, Kerasulan, dan Kebangkitan, dengan gaya hujah yang kukuh, penjelasan yang jelas, serta peringatan yang mendalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan